Anda di halaman 1dari 7

1.

0 Pengenalan
Menurut International Dictionary of Education, pendidikan merupakan suatu proses yang
membentuk kemampuan dan sikap manusia melalui suatu proses sosial dalam mana
seseorang individu tersebut memperoleh keyakinan dan pertumbuhan individu yang
dijalankan melalui suatu keadaan yang dipilih dan dikawal serta diinstitusikan seperti sekolah
ataupun kolej. (Sivachandralingam Sundara Raja, 2001).
The New Encyclopaedia Brittanica pula mendefinisikan pendidikan sebagai suatu displin
yang berurusan dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan didalam sekolah
dan juga persekitarannya. Kedua-dua rujukan ini menyatakan bahawa sekolah merupakan
sebuah institusi yang penting dalam usaha memberikan pendidikan kepada manusia dan
dilakukan dalam keadaan secara terancang dan sistematik. (Sivachandralingam Sundara Raja,
2001).
Di Malaysia, suatu halatuju serta pedoman perlu difikirkan bagi mewujudkan pendidikan
yang terancang serta sistematik ini. Dengan adanya Falsafah Pendidikan Kebangsaan, maka
ia menjadi sebuah sistem yang bersepadu kepada setiap institusi sekolah mahupun kolej
dalam melaksanakan pendidikannya. Aspek seperti intelek, rohani, jasmani, emosi dan lainlain ditekankan didalam FPK agar menjadi pedoman kepada para pendidik dalam
melaksanakan tugas pengajaran dan pembelajaran.
Akhirnya, matlamat pendidikan untuk membentuk rakyat yang berpengetahuan serta berguna
kepada diri, bangsa dan agama telah menjadi lebih jelas setelah wujudnya FPK. Falsafah
Pendidikan Kebangsaan yang diamalkan oleh setiap institusi sekolah di Malaysia bukan
sahaja memudahkan usaha mendidik malah telah menjadi suluh serta halatuju kepada usaha
mengembang dan memajukan pendidikan negara.
2.0 Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK)
Falsafah boleh difahamkan sebagai suatu pemikiran yang melihat suatu permasalahan
daripada pelbagai perspektif. Ia dilakukan dalam keadaan yang sistematik, penuh keinginan
serta kritis bagi mendapatkan suatu pandangan atau teori murni yang tidak bias kepada manamana pemikiran dalam mencari kebenaran. Oleh kerana itulah falsafah juga dikenali
bertujuan untuk mencari kebenaran sekaligus memberi arah tuju kepada perkara yang penting
dalam kehidupan.
Berdasarkan huraian ini, maka falsafah pendidikan dapat didefinisikan sebagai suatu
pemikiran yang sistematik, kritis, penuh usaha untuk mencari kebenaran dalam menetapkan
halatuju yang berkaitan dengan pendidikan. Kebiasaannya, falsafah pendidikan sesebuah
negara diwujudkan berdasarkan idealogi yang dipegang oleh sesebuah negara tersebut.
Sebagai contoh, bagi negara German pada zaman pemerintahan Hitler, falsafah
pendidikannya berbeza dengan falsafah pendidikan German pada zaman kini. Begitu juga
dengan negara Malaysia, ia tidak terlepas daripada falsafah atau idealogi yang dipegang oleh

negara kita pada saat ini. Maka, pendapat bahawa sekolah merupakan sebuah kemungkinan
untuk agen doktrinasi masyarakat adalah tidak dapat disangkal lagi.
Oleh yang demikian, falsafah pendidikan kebangsaan boleh dirumuskan sebagai sebuah
falsafah yang digubal daripada usaha berfikir yang rasional dan kritis, berlandaskan idealogi
negara sebagaimana yang dimanifestikan didalam Laporan dan Dasar Pendidikan termasuk
rukun negara. Hasil falsafah pendidikan kebangsaan ini digunakan sebagai suluh yang
memberi pedoman kepada segala usaha pendidikan yang dijalankan di dalam negara bagi
memenuhi keperluan individu, masyarakat dan negara.
2.1 Sejarah Falsafah Pendidikan Kebangsaan
Sebagaimana yang telah dijelaskan diatas, setiap sesebuah negara mempunyai falsafah
pendidikan yang berbeza antara satu dengan yang lain. Ini disebabkan oleh perbezaaan faktor
seperti falsafah negara, cita-cita pemerintah, berlainan bentuk pemerintahan dan corak
kebudayaan. Di samping perbezaan ini juga, falsafah pendidikan juga tidaklah kaku atau tetap
selamanya. Sebaliknya ia akan sering berubah dari suatu masa ke suatu masa mengikut hal
perubahan faktor seperti yang dinyatakan di atas.
Falsafah pendidikan di negara Malaysia secara rasminya digubal hasil daripada sistem
pendidikan di Malaysia yang telah mengalami banyak perubahan sejak merdeka. Antaranya
setelah diperkenalkan dengan rancangan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan juga
Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). Rancangan KBSR yang menekankan
penguasaan kemahiran asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira berserta penekanan
terhadap aspek intelek, jasmani, emosi dan rohani bertujuan bagi mengembangkan individu
secara holistik. Begitu juga dengan rancangan KBSM yang menitikberatkan agar sistem
pendidikan di Malaysia juga menjadi lebih bersepadu. Dengan adanya perubahan melalui
penerapan rancangan KBSR dan KBSM ini maka Falsafah Pendidikan Kebangsaan
diwujudkan dengan harapan agar sekolah di Malaysia dapat melahirkan pelajar yang berilmu,
berakhlak mulia, berupaya memberi sumbangan kepada kemajuan , dan kesejahteraan
terhadap pembangunan negara.
Mengikut sejarah, sebelum Falsafah Pendidikan Kebangsaan diperkenalkan, pendidikan di
Malaysia telah berusaha untuk menghapuskan cita negara daripada dasar penjajah British
yang bertujuan untuk menjaga kepentingan mereka di Tanah Melayu. Hasil daripada
pemikiran yang terkandung dalam Laporan Razak 1956 berserta Laporan Rahman Talib
1960, kedua-dua laporan ini menitikberatkan pendidikan bagi perpaduan negara dalam usaha
mencipta sebuah negara yang merdeka. Kedua-dua laporan ini juga jika dikaji secara teliti
menunjukkan bahawa usaha untuk mewujudkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah lama
semenjak pasca kemerdekaan.
2.2 Peranan Falsafah Pendidikan Negara
Berlandaskan Falsafah Pendidikan Negara ini maka negara sudah mempunyai petunjuk bagi
menentukan arah sekaligus menentukan halatuju pendidikan di Malaysia. Falsafah

Pendidikan Negara ini bukan sahaja penting bagi mencapai matlamat untuk melahirkan
rakyat yang berilmu pengetahuan malahan ia turut memainkan beberapa lagi peranan penting
dalam usaha untuk memperkembangkan lagi mutu pendidikan di negara Malaysia. Berikut
adalah beberapa peranan hasil wujudnya Falsafah Pendidikan Negara.

Sebagai suluh yang memberi panduan asas untuk menentukan Matlamat Pendidikan
Negara.
Falsafah Pendidikan dibina melalui 3 aspek iaitu menerusi laporan, dasar pemerintahan
sesebuah negara, dan juga ideologi yang dianuti oleh sesebuah negara. Dengan melakukan
perincian terhadap ketiga aspek ini lantas wujudlah Falsafah Pendidikan Negara yang dapat
dijadikan pedoman buat para pendidik sekaligus memudahkan cita negara dalam usaha untuk
mencapai Matlamat Pendidikan Negara.

Menjadi dasar dan pertimbangan asas untuk menentukan Matlamat Pendidikan


Negara.
Selain dapat dijadikan pedoman buat para pendidik, Falsafah Pendidikan Negara juga
dijadikan sebagai penanda bagi menentukan matlamat yang ingin dicapai. Antara matlamat
yang ingin dicapai adalah untuk memperolehi warganegara yang bersepadu kendirinya yang
dilengkapi oleh aspek jasmani, emosi, rohani, dan intelektual yang diharapkan agar dapat
menjadi masyarakat yang berguna.

Sebagai bimbingan untuk para pendidik semasa melaksanakan tugas pendidikan.


Dengan adanya Falsafah Pendidikan Negara para pendidik dapat mengetahui matlamat
pendidikannya yang perlu dicapai. Falsafah Pendidikan Negara akan membimbing para
pendidik bukan sahaja bagi mempermudahkan lagi tugas pendidikan malah dapat dijadikan
satu batasan agar didikan yang disampaikan tidak tergelincir daripada apa yang ingin dicapai.

Menghilangkan salah faham, keraguan atau pertelingkahan dalam sebarang usaha


melaksanakan tugas ataupun aktiviti pendidikan.
Falsafah Pendidikan Negara boleh dianggap sebagai sebuah manual atau rukun yang perlu
dipegang oleh para pendidik di Malaysia dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Dengan
adanya Falsafah Pendidikan Negara, ia akan sentiasa dirujuk oleh para pendidik sekiranya
terdapat sebarang salah faham atau keraguan dalam melaksanakan tugas dan aktiviti
pendidikan.
2.3 Matlamat Falsafah Pendidikan Negara
Matlamat Pendidikan Negara bertujuan bagi melahirkan insan yang baik dan sempurna
supaya menjadi warganegara Malaysia yang baik. Dengan perkataan lain, Matlamat
Pendidikan Negara bertujuan melahirkan rakyat Malaysia yang sempurna daripada segi
jasmani, rohani, emosi dan intelektualnya melalui pendidikan secara bersepadu.
Keempat ciri ini penting kepada pembangunan negara dalam usaha melahirkan rakyat yang
bertanggungjawab, progresif, mahir serta cekap selain dapat menghasilkan rakyat yang taat

dan cinta kepada negara. Selain daripada itu juga matlamat yang ingin dicapai melalui
Falsafah Pendidikan Negara ini adalah untuk mewujudkan masyarakat yang dapat
mengamalkan prinsip-prinsip rukun negara dalam usaha mewujudkan toleransi serta
perpaduan dikalangan rakyat berbilang kaum di Malaysia.
Berlandaskan daripada Falsafah Pendidikan Negara, berikut adalah beberapa huraian yang
diambil bagi menjelaskan falsafah yang digariskan dalam usaha menuju pencapaian Matlamat
Falsafah Pendidikan Negara.

Memperkembangkan potensi individu.


Melalui proses pendidikan yang bersepadu hasil daripada perancangan yang diterapkan
didalam Falsafah Pendidikan Negara, maka potensi di setiap diri para pelajar akan
diperkembangkan semaksima mungkin bagi menghasilkan para pelajar yang sempurna
sifatnya iaitu yang berilmu pengetahuan dan juga berakhlak mulia.

Mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis.


Seperti yang sudah dinyatakan, Falsafah Pendidikan Negara bukan sahaja menitikberatkan
kepada perkembangan intelektual semata, sebaliknya ia juga merangkumi aspek jasmani,
rohani dan emosi dalam usaha mewujudkan insan yang lengkap dan seimbang dengan
harapan agar dapat menjadi warganegara yang baik kelak.

Rakyat Malaysia yang berketrampilan.


Dengan penerapan ilmu pengetahuan sejak awal secara bersepadu yang merangkumi aspek
intelektual, jasmani, rohani dan juga emosi, akhir sekali ia diharapkan agar dapat
mewujudkan sebuah masyarakat yang sentiasa bersatupadu menggembleng tenaga dalam
memberi sumbangan kepada kemajuan negara.

Keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.


Ini boleh dikatakan matlamat akhir yang mahu dicapai oleh Falsafah Pendidikan Negara iaitu
dalam usaha mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni dan makmur
didalam sebuah negara yang maju, tenteram serta moden. Dengan keharmonian dan
kemakmuran hasil pendidikan secara bersepadu, negara akan sentiasa terus pesat membangun
bersama masyarakatnya yang berakhlak mulia dan berkualiti.

3.0 Pendidikan Awal Kanak-Kanak


Kanak-kanak hari ini adalah bakal pemimpin dan juga ahli masyarakat pada masa hadapan.
Pendidikan awal kanak-kanak adalah penting kerana ia memainkan peranan utama dalam
usaha memperkembangkan lagi potensi kanak-kanak bersesuaian dengan Falsafah Pendidikan
Negara yang bermatlamatkan menuju sebuah negara yang seimbang dan harmoni.
Menurut Jean-Jacques Rosseau, pendidikan ialah suatu proses yang berterusan dan bermula
sejak seseorang individu itu masih kecil. Selain itu, pendidikan juga merupakan suatu hak
asasi yang perlu diperolehi bagi setiap manusia. Pendidikan di Malaysia, berdasarkan kepada

Falsafah Pendidikan Negara, memberikan pendidikan yang menyeluruh merangkumi aspek


jasmani, emosi, rohani dan intelektual. Pendidikan seperti ini iaitu yang bersepadu, menurut
Muhammad Qutb pula akan cenderung mewujudkan keseimbangan dan keharmonian
didalam diri setiap manusia.
Oleh yang demikian, pelbagai program telah diwujudkan hasil kepekaan negara serta
masyarakat terhadap keperluan pendidikan yang perlu diberikan kepada kanak-kanak sejak
usia awal lagi. Program ini dirancang dan dilaksanakan agar membolehkan kanak-kanak
mendapat pendidikan asas yang sesuai untuk pembentukan peribadi dan perwatakan yang
sempurna supaya di usia dewasa kelak dapat menjadi warganegara Malaysia yang baik.
Antara ciri-ciri yang ingin dicapai hasil daripada program pendidikan awal kanak-kanak ini
adalah seperti menghasilkan kanak-kanak yang cerdik dan pandai, yang mempunyai akhlak
dan budi pekerti yang tinggi dan baik, dan juga kanak-kanak yang sihat dan cergas baik dari
segi jasmani mahupun rohani. Ciri-ciri ini yang sudah diterapkan di Malaysia hasil daripada
penggubalan sistem yang akhirnya diharapkan dapat menghasilkan masyarakat yang
seimbang dan harmoni bagi menjamin ketenteraman negara.
4.0 Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Malaysia Dan Beberapa Kritik Keatasnya.
Mengikut sejarah, pendidikan prasekolah secara berinstitusi bermula di Malaysia pada tahun
1950an. Sebelum itu, permintaan bagi mewujudkan institusi pendidikan prasekolah
diwujudkan bersamaan dengan pembukaan ladang-ladang getah dan kawasan perlombongan
semasa pemerintahan kolonial British. Sesetengah pendapat telah mengatakan bahawa
pembukaan institusi pendidikan awal kanak-kanak pada waktu itu adalah untuk menyediakan
kanak-kanak itu dengan pengetahuan asas seperti membaca, mengira, dan menulis supaya
dapat bekerja dikawasan ladang dan perlombongan dibawah pemerintahan British. (Wan
Mohd Nor Wan Daud, 1997).
Satu perubahan berlaku pada tahun 1969 apabila Yayasan Asia telah menyumbangkan
peruntukan kewangan kepada pertubuhan pekerja Malaysia bagi membiayai penubuhan
model institusi prasekolah yang mirip kepada projek "Headstart" di Amerika. Kampung
Muniandy, Kampung Manggis dan Kampung Sentosa di Selangor dipilih dan sasarannya
pada kanak-kanak dari golongan yang kurang berada daripada keturunan Melayu, Cina dan
India. Kajian yang dijalankan di Amerika menunjukkan bahawa kanak-kanak yang
menghadiri projek Headstart telah mencapai tahap pelajaran dan sikap yang lebih baik untuk
jangka masa yang panjang dibandingkan dengan pelajar yang tidak menghadirinya. Hasil
daripada kajian dilaporkan terdapat korelasi positif diantara kehadiran di tadika dengan
pencapaian prestasi kanak-kanak apabila masuk ke tahap sekolah rendah.
Melalui Akta Pendidikan 1996, program pendidikan prasekolah telah dimartabatkan sebagai
satu Sistem Pendidikan Kebangsaan. Dengan pemartabatan ini juga ia menunjukkan bahawa
program pendidikan prasekolah merupakan satu usaha nasional yang perlu difikirkan oleh
semua pihak secara bersama. Biarpun kepentingan terhadap pendidikan prasekolah atau
pendidikan awal kanak-kanak telah diketahui penting secara umumnya. Namun begitu, masih

terdapat banyak lagi halangan yang harus ditempuhi untuk menuju ke tahap
kesempurnaannya. Masih wujud lagi segelintir ibubapa, guru, mahupun agensi kerajaan yang
belum mampu untuk memahami secara tuntas kepentingan pendidikan awal kanak-kanak
yang berkualiti harus diberikan kepada mereka. Contoh yang terdekat adalah permasalahan
yang timbul akibat kurangnya persefahaman antara guru di sekolah elementari dan guru di
prasekolah.
Memang tidak dinafikan bahawa guru besar dan penolong kanan tidaklah diharapkan untuk
memberi perhatian atau sokongan yang lebih kepada kelas-kelas prasekolah berbanding
kelas di gred yang lain. Namun apa yang diperlukan dan diharapkan kepada guru besar dan
juga penolong kanan di sekolah sepatutnya mereka harus mempunyai pengetahuan yang
mendalam mengenai program prasekolah sama seperti pengetahuan yang mereka ada tentang
kelas elementari.
Akibat kurangnya pengetahuan dan juga perhatian yang diberikan, pendidikan yang diberikan
di prasekolah amat jarang mendapat kesinambungan yang memberangsangkan apabila kanakkanak memasuki ke persekolahan di tahun satu. Hal ini ternyata merupakan satu kerugian
besar buat pendidikan di negara kita.
Apabila di alam persekolahan telah timbulnya tidak kesefahaman antara para guru elementari
dan juga prasekolah, efeknya nya juga turut dirasa oleh para ibubapa. Telah terdapat ibubapa
di negara kita yang berpendapat bahawa pendidikan awal kanak-kanak yang diberikan
melalui institusi seperti tadika adalah membazir semata-mata. Pendapat ibubapa seperti ini
bukanlah salah dan juga bukanlah benar kesemuanya. Memang tidak dapat dinafikan bahawa
adalah suatu fakta dapat ditunjukkan biarpun terdapat ibubapa tidak menghantar anak-anak
ke sekolah tadika namun ia tidak merencatkan perkembangan anak-anak mereka ke tahap
yang baik sebanding dengan para ibubapa yang menghantar anak-anak ke sekolah tadika.
Namun begitu, kita juga tak dapat menafikan bahawa dengan menghantar anak-anak ke
tadika, perkembangan kanak-kanak dapat dilakukan dengan sistematik berlandaskan sistem
pendidikan yang teratur yang digunakan didalam silibus pendidikan di sekolah. Hal ini
hakikatnya bergantung kepada kualiti pendidikan yang diberikan oleh guru mahupun ibubapa
yang memilih samaada untuk menyekolahkan anak mereka di sekolah ataupun dengan
memilih pendekatan homeschooling iaitu di rumah.
Begitu juga terhadap sesetengah agensi kerajaan yang lebih memikirkan untuk memberikan
pendidikan demi melegitimasikan lagi idealogi negara berbanding untuk menyerapkan kanakkanak dengan pengetahuan murni supaya dapat menjadi manusia yang bermandiri di dewasa
kelak. Pendidikan yang sepatutnya diberikan untuk memproduksikan struktur sosial yang
baru telah dinafikan sebaliknya hanya difokuskan untuk mere-produksikan struktur sosial
yang ada. Menurut Ivan Illich didalam karyanya yang terkenal iaitu Deschooling Society
menyatakan bahawa Anak yang bersekolah tidak semestinya anak yang berpendidikan.
Sekolah pada hari ini hanyalah perpanjangan daripada sistem negara atau idealogi negara
yang dipaksakan. (Shaharom TM Sulaiman, 2004).

Anak-anak diajar atau dididik demi memenuhi acuan idealogi yang ditetapkan. Untuk anakanak yang berjaya akan ditempatkan di sektor pekerjaan yang mendapat ganjaran yang sedikit
menguntungkan, manakala buat anak-anak yang gagal, akan menerima nasib yang buruk
iaitu dilahirkan untuk bekerja keras mengikut sistem yang diterima secara umum oleh
masyarakat. Kedua-duanya pada hakikatnya adalah sama iaitu dilahirkan sebagai buruh
demi menguntungkan perut kaum kapitalis iaitu kaum elit di atas. Perkara ini bertentangan
dengan pendapat bahawa pendidikan adalah dilakukan seumur hidup yang disarankan oleh
Jean Jacques Rosseau.
Namun begitu, Pendidikan Awal Kanak-Kanak atau prasekolah tentu saja memberikan
peranan yang besar dalam menentukan segala pencapaian dan kemajuan yang dikecapi oleh
negara pada zaman kini. Pendidikan masih lagi dipercayai sebagai agen pengubah taraf sosial
yang paling berkesan dan telah dibuktikan berjaya hampir di seluruh dunia. Telah terdapat
pelbagai model pendekatan pendidikan awal kanak-kanak diwujudkan diatas kepercayaan itu
antaranya seperti Head Start, Bank Street dan juga Reggio Emilia.

Anda mungkin juga menyukai