Anda di halaman 1dari 15

1401 - Hadis Abdullah bin Jaafar r.

a: Diriwayatkan daripada Abdullah bin Abu Mulaikah katanya: Abdullah


bin Jaafar telah berkata kepada Ibnu az-Zubair r.a: Adakah kamu masih ingat semasa kita bertemu
Rasulullah s.a.w. Ketika itu aku, kamu dan Ibnu Abbas bertemu dengan Rasulullah s.a.w. Ibnu az-Zubair
menjawab: Ya, baginda mengambil kami dan meninggalkan kamu
1402 - Diriwayatkan daripada Abdullah bin Jaafar r.a katanya: Kebiasaannya Rasulullah s.a.w apabila
pulang dari musafir akan disambut oleh kanak-kanak dari kalangan anggota keluarga baginda. Satu hari
baginda kembali dari musafir aku mendahului menyambut baginda, lalu aku dikendong oleh baginda.
Setelah itu salah seorang dari anak baginda iaitu Fatimah datang lalu membongceng di belakang baginda.
Kemudian kami bertiga menunggang binatang memasuki Kota Madinah
1403 - Diriwayatkan daripada Ali r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Sebaik-baik
wanita adalah Mariam binti Imran dan Sebaik-baik wanita juga adalah Khadijah binti Khuwailid
1404 - Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Jibril datang menemui Nabi s.a.w dan berkata:
Wahai Rasulullah! Ini Khadijah yang membawa kepada kamu satu bekas yang terdapat di dalamnya lauk,
makanan atau minuman. Apabila beliau sampai kepada kamu, sampaikan salam aku kepadanya dan salam
dari tuhannya. Sampaikan berita gembira kepadanya mengenai sebuah rumah di dalam Syurga yang dibuat
dari mutiara, di dalamnya tidak ada kebisingan dan kesusahan
1405 - Hadis Abdullah bin Abu Aufa r.a: Diriwayatkan daripada Ismail r.a katanya: Aku bertanya Abdullah
bin Abu Aufa: Tidakkah Rasulullah s.a.w pernah menyampaikan berita gembira kepada Khadijah mengenai
sebuah rumah di dalam Syurga. Beliau menjawab: Ya, baginda menyampaikan berita gembira kepadanya
mengenai sebuah rumah di dalam Syurga yang diperbuat dari mutiara, di dalamnya tidak ada kebisingan
dan kesusahan
1406 - Diriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w menyampaikan berita gembira kepada
Khadijah binti Khuwailid mengenai sebuah rumah di dalam Syurga
1407 - Diriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya: Halah binti Khuwailid saudara Khadijah meminta izin
daripada Rasulullah s.a.w untuk masuk. Tiba-tiba baginda teringat kepada Khadijah yang sentiasa meminta
izin untuk masuk, baginda s.a.w merasa senang hati dengan cara begitu dan Rasulullah s.a.w bersabda:
Silakan masuk wahai Halah binti Khuwailid. Aku rasa cemburu dan akupun berkata: Apakah yang
membuat kamu teringat pada seorang wanita Quraisy yang begitu tua dan telah meninggal untuk
selamanya. Bukankah Allah telah menggantikan kepada kamu yang lebih baik daripadanya?
1408 - Diriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Aku bermimpi melihat kamu
sebanyak tiga malam. Malaikat datang kepadaku membawamu di dalam selembar kain sutera serta berkata:
Inilah isterimu. Lalu aku membuka tutupan dari wajahmu, ternyata itu adalah kamu. Maka aku berkata:
Sekiranya perkara itu datangnya dari Allah, pasti ia terlaksana
1409 - Diriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda kepadaku: Sesungguhnya aku
mengetahui ketika kamu suka dan marah padaku. Maka aku bertanya: Bagaimana kamu mengetahuinya?
Rasulullah s.a.w menjawab: Sekiranya kamu suka padaku, kamu berkata tidak, demi tuhan Muhammad,
tetapi sekiranya kamu marah, maka kamu akan berkata, tidak demi tuhan Ibrahim. Aku berkata: Benar,
Wahai Rasulullah! Demi Allah, aku tidak akan melupai namamu
1410 - Diriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya: Ketika aku bermain dengan anak pantung di sisi
Rasulullah s.a.w, tiba-tiba kawan-kawanku datang kepadaku, tetapi mereka merasa malu kepada Rasulullah
s.a.w. Kemudian Rasulullah s.a.w menyuruh mereka menemuiku
1411 - Diriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya: Sesungguhnya orang ramai berusaha untuk memberi
hadiah kepada Rasulullah s.a.w ketika baginda s.a.w berada di rumah Aisyah. Mereka berbuat demikian
untuk mendapatkan keredaan Rasulullah s.a.w

1412 - Diriwayatkan daripada Aisyah r.a isteri Nabi s.a.w katanya: Beberapa orang isteri Nabi s.a.w
meminta Fatimah anak Rasulullah s.a.w supaya menemui baginda s.a.w. Ketika Fatimah meminta izin
untuk masuk, Rasulullah s.a.w sedang tidur bersamaku di dalam sehelai kain. Setelah diizinkan masuk
Fatimah berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya isteri-isteri kamu meminta aku datang menemui kamu
supaya bertanya tentang keadilan yang diberikan kepada anak Abu Kohafah. Ketika itu aku tidak berkata
apa-apa. Rasulullah s.a.w bersabda kepadanya: Wahai anakku, tidakkah kamu suka apa yang aku suka?
Fatimah menjawab: Ya. Rasulullah s.a.w bersabda: Maka sayangilah isteriku ini. Setelah Fatimah
mendengar sabda Rasulullah s.a.w, maka beliau pun pulang dan menemui isteri-isteri Nabi s.a.w. Fatimah
menceritakan kepada mereka apa yang telah beliau perkatakan dan apa yang telah disabdakan oleh
Rasulullah s.a.w kepadanya. Maka isteri-isteri Rasulullah s.a.w berkata kepadanya: Sesungguhnya kamu
tidak pernah memenuhi keinginan kami, pergilah lagi menemui Rasulullah s.a.w dan katakan kepadanya
sesungguhnya isteri-isteri kamu bertanyakan tentang keadilan yang diberikan kepada anak Abu Kohafah.
Fatimah menjawab demi Allah, aku tidak akan bercakap mengenainya lagi. Aisyah berkata: Maka isteriisteri Nabi s.a.w menghantar Zainab binti Jahshi isteri Rasulullah s.a.w. Beliau juga sepertiku, mendapat
tempat di hati Rasulullah s.a.w. Aku tidak pernah menemui perempuan selain dari Zainab yang amat
mengetahui tantang agama, yang amat takut kepada Allah, yang bercakap benar, suka menghubungkan
silaturrahim, suka bersedekah, tekun melakukan kerja yang di yakini betul serta mendapat keredaan dari
Allah. Cuma beliau cepat marah tetapi beliau cepat mengawal diri. Beliau meminta izin untuk menemui
Rasulullah s.a.w dan ketika itu Rasulullah s.a.w berada bersama Aisyah di dalam satu kain, iaitu sama
seperti ketika Fatimah menemui baginda. Rasulullah s.a.w mengizinkannya, lalu Zainab berkata: Wahai
Rasulullah! Sesungguhnya isteri-isteri kamu meminta aku menemui kamu. Mereka bertanya tentang
keadilan yang kamu berikan kepada anak Abu Kohafah, kemudian beliau mula berkata tentang diriku
secara panjang lebar. Aku menunggu di sisi Rasulullah s.a.w, adakah baginda merestui untuk aku berkatakata, aku melihat Zainab terus berkata-kata sehinggalah aku mengetahui Rasulullah s.a.w membenarkan
untuk aku membela diri. Aku menghadapi Zainab dengan cara yang sama dan tidak memberi kesempatan
padanya, sehinggalah aku menguasainya. Rasulullah s.a.w tersenyum dan berkata: Ya, memang benar anak
Abu Bakar
1413 - Diriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya: Apabila Rasulullah s.a.w merasa kehilanganku, baginda
s.a.w berkata: Di manakah aku sekarang? Di manakah aku esok? Baginda s.a.w merasa lama menunggu
giliran bersama Aisyah. Beliau r.a berkata: Ketika Allah mengambil nyawa baginda, baginda berada di
dalam pangkuanku
1414 - Diriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya: Apabila Rasulullah s.a.w hendak musafir, baginda s.a.w
akan membuat undian di antara isteri-isteri baginda. Suatu hari, undi terjatuh kepada Aisyah dan Hafshah,
lalu kami keluar bersama Rasulullah s.a.w. Di waktu malam Rasulullah s.a.w berjalan serta bercerita
dengan Aisyah. Satu ketika Hafshah berkata kepada Aisyah: Malam nanti, bolehkah aku menaiki unta kamu
dan kamu menaiki untaku? Aku pun setuju, maka Aisyah menunggang unta Hafshah dan Hafshah
menunggang unta Aisyah. Ketika Rasulullah s.a.w menuju ke arah unta Aisyah yang ditunggang oleh
Hafshah. Rasulullah s.a.w mengucapkan salam dan berjalan bersamanya sehinggalah mereka berhenti dan
Aisyah yang kehilangan baginda merasa cemburu. Ketika itulah beliau menjatuhkan kakinya di atas rumput
tebal sambil berkata: Ya Tuhanku, datanglah padaku kala atau ular, sesungguhnya RasulMu telah
menyakitiku dan aku tidak berkuasa untuk berkata sesuatu kepadanya
1415 - Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:
Kelebihan Aisyah dari wanita-wanita lain, seperti kelebihan Tharid iaitu sejenis makanan Arab dari
makanan-makanan lain
1416 - Diriwayat dari Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda kepadanya: Sesungguhnya Jibril
mengucap salam kepada kamu. Aku pun berkata: Selamat ke atasnya dan semoga dia mendapat rahmat dari
Allah
1417 - Diriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya: Sebelas orang wanita telah bersepakat untuk
menceritakan perihal suami mereka. Wanita pertama berkata: Suamiku seperti daging unta yang busuk yang
berada di puncak bukit yang tinggi yang tidak dapat untuk didaki. Beliau tidak berlemak dan mudah untuk
bergerak. Wanita kedua berkata: Aku tidak boleh menceritakan mengenai suamiku. Aku takut dan aku tidak

boleh memberitahu mengenainya. Sekiranya aku memberitahu mengenainya, bermakna aku membuka
aibnya. Wanita ketiga berkata: Suamiku telah membuat syarat, sekiranya aku bercerita, aku akan dicerai
dan sekiranya aku diam, aku akan dikasihi. Wanita ke empat berkata: Suamiku seperti cuaca di Negeri
Tihamah, tidak panas dan tidak sejuk (sederhana), tidak menakutkan dan tidak menjemukan. Wanita kelima
berkata: Suamiku, ketika memasuki rumah seperti seekor harimau bintang (kerana banyak tidur dan malas
bertanya), tetapi apabila beliau keluar seperti seekor singa. Beliau tidak akan bertanya perkara-perkara yang
bukan urusannya. Wanita keenam berkata: Suamiku apabila makan, beliau akan menghabiskan
makanannya. Sekiranya beliau minum, beliau akan menghabiskan minumannya. Sekiranya beliau tidur,
beliau akan berselimut dan tidak memasukkan telapak tangannya kerana beliau tahu akan kesusahannya.
Wanita ketujuh berkata: Suamiku adalah seorang yang lemah syahwat. Walaupun telah berubat tetapi belum
juga sembuh. Di samping itu beliau mudah menjatuhkan tangannya. Wanita kelapan berkata: Suamiku
berbau seperti bau Zarnab (sejenis bauan) dan sentuhannya selembut sentuhan seekor arnab. Wanita
kesembilan berkata: Suamiku berkedudukan tinggi, seorang yang berjaya, dermawan dan rumahnya
berhampiran dengan tempat permainan. Wanita kesepuluh berkata: Suamiku seorang pembesar dan banyak
memiliki harta, sebahagian dari hartanya, beliau memiliki banyak unta. Sebahagian besar unta-untanya pula
dibiarkan di halaman rumah, kerana itulah untanya yang hamil sedikit sahaja. Sekiranya unta-unta itu
mendengar tiupan seruling mereka mengetahui bahawa mereka akan disembelih. Wanita kesebelas berkata:
Suamiku bernama Abu Zar'in. Tahukah kamu siapakah Abu Zar'in? Beliaulah yang memberikan aku antinganting pada sepasang telingaku. Beliaulah yang memberiku makanan-makanan berzat sehingga aku
kelihatan sihat. beliau suka memuji aku, beliau mengambil aku dari keluarga susah dan menjadikan aku
salah seorang anggota keluarga yang kaya. Beliau tidak pernah mencaci aku, sehinggakan aku dapat tidur
dengan nyenyak sampai ke pagi dan aku dapat minum dengan tenang. Selepas itu bagaimana pula Ummu
Abu Zar'in. Tahukah kamu siapa Ummu Abu Zar'in? Beliau memiliki harta simpanan dan rumahnya sangat
luas. Maka bagaimana pula Ibnu Abu Zar'in. Tahukah kamu siapakah Ibnu Abu Zar'in. Tempat tidurnya
seperti pelepah tamar. Beliau merasa kenyang dengan makan sebelah kaki kambing. Maka bagaimana pula
Anak perempuan Abu Zar'in. Tahukah kamu siapakah anak perempuan Abu Zar'in beliau sangat mentaati
kedua orang tuanya. Tubuhnya montel dan sering menasihati jirannya. Maka bagaimana pula Jariah Abu
Zar'in, tahukah kamu siapakah Jariah Abu Zar'in? Beliau tidak pernah menyebarkan rahsia kami dan sangat
jujur sekalipun dalam soal makanan. Beliau Tidak pernah membiarkan rumahku kotor. Setelah itu beliau
berkata: Satu hari Abu Zar'in keluar dengan membawa satu bekas daripada kulit yang diisi dengan susu.
Beliau bertemu dengan seorang wanita yang mempunyai dua orang anak. Kedua anaknya itu seperti dua
ekor harimau kumbang. Mereka bermain dengan dua biji buah delima di bawah pinggang ibunya. Maka
beliau mencerai aku dan mengahwini wanita itu. Setelah itu aku berkahwin dengan seorang lelaki yang
baik dan kaya. Tunggangannya adalah seekor kuda terpilih. Beliau membawa aku ke kandang yang penuh
dengan binatang ternakan. Kemudian dia berkata: Makanlah wahai Ummu Zar'in dan berehatlah supaya
hilang penat lelah. Beliau berkata: Sekiranya aku kumpulkan pemberiannya dengan pemberian Abu Zar'in,
nescaya pemberiannya tidak akan sama dengan pemberian Abu Zar'in yang paling sedikit. Aisyah r.a
berkata: Rasulullah s.a.w bersabda kepadaku: Perhubungan aku denganmu seperti Abu Zar'in dengan
Ummu Zar'in
1418 - Diriwayatkan daripada Miswar bin Makhramah r.a katanya: Beliau mendengar Rasulullah s.a.w
bersabda ketika berada di atas mimbar: Sesungguhnya Bani Hisyam bin al-Mughirah meminta kebenaran
dari aku untuk mengahwinkan anak perempuan mereka dengan Ali bin Abu Talib. Aku tidak
membenarkannya dengan mengulanginya tiga kali, kecuali sekiranya Ali bin Abu Talib menceraikan
puteriku. Ketika itu beliau bolehlah mengahwinkan anak perempuan mereka. Anak perempuanku adalah
sebahagian dari diriku. Aku merasa gembira sekiranya beliau gembira dan aku merasa susah sekiranya
beliau derita
1419 - Diriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w memanggil Fatimah dan
bercakap dengannya secara rahsia. Tiba-tiba Fatimah menangis, baginda bercakap lagi, sejurus kemudian
Fatimah tersenyum. Aisyah berkata: Lalu aku bertanya kepada Fatimah: Apa yang Rasulullah s.a.w katakan
padamu menyebabkan kamu menangis dan ketawa. Fatimah berkata: Aku menangis kerana Rasulullah
memberitahu aku tentang kematiannya dan aku ketawa kerana akulah orang pertama dari kalangan
keluarganya yang akan menyusuli baginda

1420 - Hadis Usamah bin Zaid r.a katanya: Aku diberitahu, sesungguhnya Jibril telah datang menemui
Rasulullah s.a.w ketika baginda berada bersama Ummu Salamah. Setelah bercakap-cakap, Nabi s.a.w
berdiri dan berkata kepada Ummu Salamah: Siapakah beliau? Mungkin juga Nabi s.a.w bertanya dengan
maksud yang sama. Ummu Salamah menjawab: Ini adalah Dihyah. Ummu Salamah berkata: Demi Allah
aku tidak mengetahui siapakah orang itu sehinggalah aku mendengar khutbah Rasulullah s.a.w dan baginda
menceritakan peristiwa kami atau mungkin juga maksudnya begitu
1421 - Diriwayatkan daripada Aisyah Ummu Mukmini r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Orang yang
paling cepat menyusuli aku di kalangan kamu, adalah orang yang paling panjang tangannya. Setelah
mendengar sabda baginda, mereka pun mengukur tangan di antara mereka. Ternyata yang paling panjang
tangannya di antara kami ialah Zainab, kerana beliau bekerja dengan tangannya sendiri dan suka
bersedekah
1422 - Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya: Nabi s.a.w tidak pernah menemui seseorang wanita pun
selain dari isteri-isterinya kecuali Ummu Sulaim. Ketika Nabi s.a.w ditanya, baginda s.a.w menjawab: Aku
menghormatinya, lantaran saudaranya terkorban ketika bersamaku
1423 - Diriwayat dari Jabir bin Abdullah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Aku diperlihatkan dalam
Syurga, aku melihat isteri Abu Talahah. Kemudian aku mendengar hentakan orang berjalan, ternyata beliau
adalah Bilal
1424 - Diriwayat dari Abu Hurairah r.a katanya: Selepas sembahyang Subuh, Rasulullah s.a.w bersabda
kepada Bilal: Wahai Bilal ceritakan padaku tentang amalan (besar pahalanya) kamu yang kamu lakukan
setelah berada dalam Islam, kerana semalam aku mendengar suara hentakan seliparmu di dalam Syurga.
Bilal berkata: Aku tidak pernah melakukan suatu amalan (besar pahalanya) pun dalam Islam, tetapi selagi
Allah mentakdirkan aku mengerjakan sembahyang, maka aku akan berwuduk dengan sempurna samada
malam ataupun siang hari
1425 - Diriwayatkan daripada Abu Musa r.a katanya: Pada suatu hari aku tiba di Yaman bersama saudaraku.
Aku tinggal di sana buat beberapa waktu. Setahuku, Ibnu Mas'ud dan ibunya adalah termasuk anggota
keluarga Rasulullah s.a.w kerana mereka berdua sering bersama baginda s.a.w
1426 - Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Berdasarkan bacaan siapakah kamu
menyuruhku membaca? Sesungguhnya aku pernah membaca di hadapan Rasulullah s.a.w lebih dari tujuh
puluh surah. Para Sahabat Rasulullah s.a.w telah mengetahui bahawa aku lebih mengetahui daripada
mereka tentang kitab Allah. Seandainya aku tahu ada orang lain yang lebih tahu daripada aku tentu aku
akan pergi menemuinya. Syaqiq berkata: Kemudian aku duduk bersama para Sahabat Muhammad s.a.w
dan aku tidak mendengar walaupun seorang yang membangkang pengakuannya itu
1427 - Hadis Abdullah bin Amru r.a: Diriwayatkan daripada Masruq katanya: Kami mengunjungi Abdullah
bin Amru dan kami berbincang dengannya, Ibnu Numair berkata: Suatu hari ketika kami berada di sisinya,
kami telah berkata tentang Abdullah bin Mas'ud. Kemudian beliau berkata: Sesungguhnya kamu bercakap
mengenai lelaki yang aku sayangi, iaitu setelah aku mendengar sesuatu daripada Rasulullah s.a.w. Aku
mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Ambillah Quran dari empat orang; iaitu dari Ibnu Ummu Abdu yang
dimulai dengannya, dari Mu'az bin Jabal, dari Ubai bin Ka'ab dan dari Salim iaitu orang suruhan Abu
Huzaifah
1428 - Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya: Empat orang yang menghimpun al-Quran di zaman
Rasulullah s.a.w semuanya dari golongan Ansar iaitu Muaz bin Jabal, Ubai bin Ka'ab, Zaid bin Thabit dan
Abu Zaid
1429 - Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda ketika jenazah
Saad bin Muaz masih berada di sisi mereka: Arasy Tuhan Yang Maha Pengasih tergoncang kerananya
1430 - Diriwayatkan daripada al-Bara' r.a katanya: Rasulullah s.a.w diberi hadiah pakaian sutera. Para
Sahabat memegangnya dan mereka merasa kagum akan kehalusannya. Baginda s.a.w bersabda: Adakah

kamu merasa hairan akan kehalusan pakaian sutera ini? Sesungguhnya sapu tangan Saad bin Muaz di
dalam Syurga lebih baik dan lebih halus dari sutera ini
1431 - Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah diberi
hadiah sepasang jubah yang diperbuat dari kain sutera tipis. Sedangkan baginda melarang orang ramai dari
memakai sutera. Para Sahabat merasa hairan. Baginda s.a.w bersabda: Demi zat Muhammad yang berada
dalam kekuasaanNya. Sesungguhnya sapu tangan Saad bin Muaz di Syurga adalah lebih baik dari jubah ini
1432 - Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah r.a katanya: Ketika perang Uhud ayahku telah dibawa
kepadaku dalam keadaan tertutup seluruh tubuhnya, beliau telah terkorban. Semasa aku ingin membuka
pakaiannya, orang ramai melarangku. Aku mencuba sekali lagi tetapi mereka tetap melarangku. Akhirnya
Rasulullah s.a.w membukanya atau baginda menyuruh orang membukanya. Tiba-tiba terdengar suara
tangisan atau jeritan. Baginda s.a.w bertanya: Siapakah yang menangis? Para Sahabat menjawab: Anak
perempuan Amru atau saudara perempuan Amru. Rasulullah s.a.w bersabda: Mengapa kamu menangis?
Sesungguhnya Malaikat masih menutupi beliau dengan sayap-sayapnya sehinggalah beliau di bawa naik ke
langit
1433 - Diriwayatkan daripada Abu Zar r.a katanya: Kami keluar dari kaum kami Ghifar. Mereka telah
menghalalkan bulan haram. Aku keluar bersama saudaraku Unais serta ibuku. Kami berhenti di rumah bapa
saudara kami. Beliau menghormati dan berbuat baik kepada kami, tetapi kaumnya dengki kepada kami dan
mereka menghasutnya. Kaumnya berkata: Sekiranya kamu meninggalkan keluargamu, maka Unais akan
menentang mereka. Bapa saudaraku datang dan menceritakan apa yang telah dikatakan kepadanya. Aku
berkata: Segala kebaikan kamu dahulu telah kamu rosakkannya sendiri dan kami tidak akan menemui kamu
lagi. Kami terus menuju ke tempat unta dan melihat bapa saudara kami menangis sambil menutup
wajahnya dan kemudian kami berangkat sehingga sampai ke Mekah. Setelah itu Unais mendahului kami
dan beliau pergi menemui pendita. Selepas itu Unais datang menemui kami lagi dengan unta kami dan
seekor unta lain seperti untanya. Beliau berkata: Wahai saudaraku, aku telah sembahyang selama tiga tahun
sebelum aku menemui Rasulullah s.a.w. Aku bertanya: Kamu sembahyang untuk siapa? Beliau menjawab:
Untuk Allah. Aku bertanya lagi: Ke arah manakah kamu menghadap? Beliau menjawab: Aku menghadap
ke arah Tuhanku, pernah aku sembahyang Isyak sehingga berakhirnya malam, aku terdampar seolah-olah
aku tersembunyi, sehinggalah matahari memancariku. Unais berkata: Aku ada urusan di Mekah, oleh itu
biarkan aku pergi. Maka berangkatlah Unais sehinggalah beliau sampai di Mekah. Setelah aku
menunggunya agak lama, beliau kembali lagi kepadaku. Aku bertanya: Apakah yang kamu lakukan di
sana? Beliau menjawab: Di Mekah aku berjumpa dengan seorang lelaki seagama denganmu yang mengaku
bahawa beliau diutuskan oleh Allah. Aku bertanya: Apakah pandangan orang ramai tentangnya? Beliau
menjawab: Mereka mengatakan bahawa lelaki itu adalah penyair, nujum dan ada juga yang mengatakan
bahawa beliau seorang ahli sihir. Manakala saudaraku Unais merupakan seorang penyair. Unais berkata:
Sesungguhnya aku pernah mendengar kata-kata nujum. Aku dapati beliau tidak seperti yang mereka tuduh
dan aku belum pernah mendengar syair seperti itu. Demi Allah, beliau seorang yang benar dan merekalah
yang dusta. Maka aku berkata padanya: Tolong bawa aku ke sana, aku ingin melihatnya. Setibanya aku di
Mekah, aku menemui lelaki yang paling lemah di kalangan mereka dan aku bertanya padanya: Di manakah
orang yang kamu katakan kepadanya sebagai Shaabi iaitu yang keluar dari agama dan memeluk agama
lain? Lelaki itu terus memberi isyarat padaku, dan berkata Shaabi. Setelah itu beliau dan penduduk di situ
membaling aku dengan tanah dan tulang sehinggakan aku jatuh dan pingsan. Beberapa ketika kemudian
aku sedar kembali dan aku dapati tubuhku berlumuran darah, lalu aku diberi air Zamzam, dengan air itulah
aku minum dan membasuh lukaku. Aku tinggal di situ selama sebulan, selama itu tiada makanan untuk aku
selain dari air Zamzam, tetapi aku tidak merasa lapar malahan tubuhku bertambah sihat. Pada suatu malam
purnama, aku dapati penduduk di lembah itu semuanya tidur. Tidak ada seorang pun dari penduduk Mekah
yang tawaf di Kaabah. Tiba-tiba aku terlihat dua orang wanita yang dikenali dengan Isaf dan Nailah sambil
melakukan tawaf, lalu aku menghampiri keduanya dan menggoda mereka dengan kata-kata yang kesat.
Mereka kelihatan marah, ketika hendak meninggalkan tempat tersebut, Rasulullah s.a.w dan Abu Bakar pun
tiba. Rasulullah s.a.w pun bertanya: Apa yang terjadi pada kamu? Mereka menjawab: Seorang yang
beragama Shaabi berada di sekitar Kaabah itu. Rasulullah s.a.w bertanya: Apa yang beliau katakan pada
kamu? Mereka menjawab: Beliau mengucapkan kata-kata kesat kepada kami. Selepas itu Rasulullah s.a.w
dan Sahabatnya iaitu Abu Bakar mengucup Hajar Aswad dan mereka melakukan tawaf di Kaabah
kemudian mereka sembahyang. Setelah baginda selesai sembahyang, aku pun menemui baginda. Abu Zar

berkata: Aku mengucapkan salam kepada baginda dan baginda menjawab salamku. Setelah itu baginda
s.a.w bertanya: Siapa kamu? Aku jawab: Aku dari kaum Ghifar, Semasa baginda mengusap tangan baginda
s.a.w ke mukanya. Aku berkata sendirian, sebaiknya aku tidak mengaku bahawa aku dari kaum Ghifar. Aku
cuba untuk menghampiri baginda dan memegang tangannya tapi dihalangi oleh Sahabatnya iaitu Abu
Bakar, sambil mengangkat kepalanya. Baginda bertanya: Semenjak bilakah kamu berada di sini? Aku
menjawab: Semenjak sebulan yang lalu. Baginda bertanya: Siapakah yang memberikan makan kepada
kamu? Aku menjawab: Tidak ada makanan bagiku melainkan air Zamzam, tetapi aku menjadi sihat dan
perutku kelihatan buncit. Kemudian baginda bersabda: Sesungguhnya air Zamzam itu penuh keberkatan
dan memberikan kekuatan seperti makanan. Abu Bakar berkata: Wahai Rasulullah! izinkan aku untuk
memberinya makan pada malam ini. Setelah itu aku, Rasulullah dan Abu Bakar meninggalkan tempat
tersebut. Abu Bakar membuka pintu rumah, kemudian membawa segenggam anggur kering dari Taif
untukku dan itulah makanan pertama semenjak aku di situ. Kemudian aku menemui Rasulullah s.a.w dan
baginda bersabda kepadaku: Aku tahu ada sebuah daerah yang banyak menghasilkan kurma, iaitu Yathrib.
Bolehkah kamu menyampaikan berita kepada kaum kamu mengenai diriku? Mudah-mudahan Allah
menolong mereka dan memberi ganjaran padamu. Setelah itu aku pergi menemui Unais. Beliau bertanya
padaku: Apakah yang kamu lakukan di sana? Aku menjawab: Aku telah memeluk Islam dan aku telah
membenarkannya, setelah itu Unais juga memeluk Islam. Kami kemudiannya menemui ibu kami dan
mengajaknya memeluk Islam dan beliau akhirnya memeluk Islam. Begitu juga dengan kaum Ghifar, di
mana sebahagian daripada mereka telah memeluk Islam. Mereka diketuai oleh Aima' bin Rahadah alGhifari. Manakala sebahagian yang lain berkata: Sekiranya Rasulullah s.a.w datang ke Madinah, kami akan
memeluk Islam. Setelah baginda s.a.w sampai di Madinah, mereka pun memeluk Islam. Setelah itu datang
Kabilah Aslam dan mereka berkata: Wahai Rasulullah! Mereka adalah saudara-saudara kami, maka kami
juga mesti memeluk Islam bersama mereka. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda: Kaum Ghifar, Allah
mengampuni mereka dan kepada Kaum Aslam Allah memberikan keselamatan kepada mereka.
1434 - Diriwayatkan daripada Jarir bin Abdullah r.a katanya: Semenjak aku memeluk Islam, Rasulullah
s.a.w tidak pernah melarangku untuk menemui baginda. Setiap kali baginda melihatku, baginda pasti
tersenyum
1435 - Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a katanya: Ketika Rasulullah pergi ke tandas aku meletakkan
air untuk baginda berwuduk. Setelah keluar baginda s.a.w bertanya: Siapakah yang menyediakan air ini?
Dalam setengah riwayat Zuhair dan dalam setengah riwayat lagi Abu Bakar. Aku menjawab: Ibnu Abbas.
Baginda s.a.w berdoa: Ya Allah, pandaikanlah beliau dalam ilmu agama
1436 - Diriwayatkan daripada Ibnu Umar katanya: Aku bermimpi melihat tanganku menggenggam sehelai
kain sutera. Tidak ada tempat yang aku inginkan di Syurga dapat aku sampai kecuali sutera tersebut terbang
ke sana (ke tempat tersebut membawaku). Aku ceritakan perkara itu kepada Hafsah. Manakala Hafsah
menceritakannya kepada Nabi s.a.w. Maka baginda bersabda: Aku yakin Abdullah adalah seorang lelaki
yang soleh
1437 - Diriwayatkan daripada Anas r.a daripada Ummu Sulaim katanya: Wahai Rasulullah! Aku
menjadikan Anas sebagai khadammu, tolonglah berdoa untuknya. Rasulullah s.a.w pun berdoa: Ya Allah,
banyakkanlah harta dan anaknya dan berkatilah apa yang diberikan kepadanya
1438 - Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w datang menemuiku semasa aku bermainmain dengan kawan-kawan. Baginda memberi salam kepada kami, kemudian baginda mengutusi aku untuk
sesuatu perkara, oleh kerana itu aku terlewat pulang ke rumah. Setelah aku pulang ibuku bertanya: Kenapa
kamu pulang lewat? Aku menjawab: Rasulullah s.a.w menyuruhku untuk sesuatu perkara. Ibuku bertanya:
Apakah dia perkara tersebut? Aku menjawab: Itu adalah rahsia. Ibuku berkata: Jangan kamu ceritakan
tentang rahsia Rasulullah s.a.w kepada sesiapa pun. Anas berkata: Demi Allah, sekiranya aku
menceritakannya kepada seseorang tentu aku menceritakan rahsia tersebut padamu, wahai Thabit
1439 - Diriwayatkan daripada Saad bin Abu Waqqas r.a katanya: Aku tidak pernah mendengar Rasulullah
s.a.w bersabda kepada seseorang pun bahawa baginda akan berada di dalam Syurga kecuali kepada
Abdullah bin Salam

1440 - Hadis Abdullah bin Salam r.a: Diriwayatkan daripada Qais bin Ubad katanya: Ketika aku bersama
orang ramai di Madinah. Di antara mereka, terdapat beberapa orang Sahabat Nabi s.a.w. Tiba-tiba muncul
seorang lelaki yang dari mirip wajahnya menandakan beliau seorang yang khusyuk. Beberapa orang di
antara kami berkata: Lelaki ini adalah ahli Syurga. Lelaki itu sembahyang dua rakaat dan memanjangkan
sembahyangnya, setelah itu aku mengikuti beliau keluar dari situ dan masuk ke dalam rumahnya. Ketika di
dalam rumahnya kami bercakap-cakap dan aku berkata kepadanya: Sesungguhnya orang ramai telah
berkata kepadamu begini, begini. Lelaki itu berkata: Maha Suci Allah, seseorang itu tidak boleh berkata
tentang sesuatu perkara yang belum diketahui. Aku akan ceritakan kepadamu tentang perkara itu. Pada
masa Rasulullah s.a.w aku bermimpi berada di dalam taman yang luas yang dipenuhi dengan rumput yang
hijau. Ditengah-tengah taman tersebut, terdapat tiang besi yang terpacak di bumi, di mana hujungnya
menjulang tinggi ke langit, manakala di bahagian atas tiang itu terdapat tali. Ada suara berkata kepadaku:
Naiklah. Aku menjawab: Aku tidak berkuasa untuk naik. Tiba-tiba datang seseorang, Ibnu Auni berkata
seseorang itu adalah khadam. Khadam itu memegang pakaianku dari belakang untuk membantuku,
sehingga aku berupaya naik ke atas tiang itu dan aku berpegangan pada tali. Beliau berkata padaku:
Berpeganglah padanya. Aku terjaga dari tidur dan aku dapati tali itu berada dalam genggaman ku. Setelah
itu aku ceritakan kepada Rasulullah s.a.w dan baginda pun bersabda: Taman itu adalah Islam, tiang itu
adalah tiang Islam dan tali itu adalah tali yang kuat. Sesungguhnya kamu akan mati di dalam Islam.
Dikatakan juga: Lelaki itu ialah Abdullah bin Salam r.a
1441 - Hadis Hassan bin Thabit r.a: Diriwayatkan daripada Said bin Musayyib katanya: Ketika Umar
berjalan di dalam masjid, Hassan sedang mengalunkan syair. Beliau berkata (Hassan): Aku bersyair di
dalamnya (masjid) dan di dalamnya terdapat orang yang lebih baik darimu (Rasulullah s.a.w), kemudian
beliau berpaling ke arah Abu Hurairah dan berkata: Demi Allah, adakah kamu pernah mendengar
Rasulullah s.a.w bersabda: Peliharalah aku. Ya Allah, kuatkanlah beliau dengan Rohulqudus. Abu Hurairah
menjawab: Ya
1442 - Diriwayatkan daripada al-Bara' bin Azib r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda
kepada Hassan bin Thabit: Perangilah mereka (berperang dengan berbalas syair), sesungguhnya Jibril ada
bersamamu
1443 - Hadis Aisyah r.a: Diriwayatkan daripada Urwah r.a katanya: Hassan bin Thabit salah seorang yang
berlebih-lebihan terhadap Aisyah maka aku pun mencacinya, lalu beliau (Aisyah) berkata: Biarkan beliau,
sesungguhnya beliau adalah pembela Rasulullah s.a.w
1444 - Diriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya: Hassan berkata: Wahai Rasulullah! Izinkan aku untuk
menghadapi Abu Sufian. Baginda s.a.w bersabda: Bagaimanakah perhubungan kekeluargaan aku
dengannya? Beliau berkata: Demi Zat yang memuliakan kamu, akan aku ambil kamu seperti aku mencabut
rambut dalam roti. Seterusnya Hassan berkata: Yang bermaksud: Sesungguhnya keturunan keluarga
Hasyim Ialah dari Bani Anak Perempuan Makhzum manakala ayah kamu adalah Abdullah. Inilah
Qasidahnya
1445 - Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Adakah kamu mendustai bahawa Abu Hurairah
banyak meriwayatkan Hadis dari Rasulullah s.a.w? Demi Allah aku akan membuktikannya. Sesungguhnya
aku seorang yang miskin, aku menjadi khadam Rasulullah s.a.w dengan hanya diberi makan sahaja. Ketika
Orang-orang Muhajirin berdagang di pasar-pasar dan Orang-orang Ansar sibuk mengembangkan harta
benda mereka. Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang membentangkan pakaiannya beliau tidak akan lupa
apa yang beliau dengar dariku. Aku terus membentang pakaianku dan baginda memberikan kesemua Hadis
baginda sehingga selesai. Kemudian aku mengumpulkannya dan tidak lupa apa-apa yang aku dengar dari
baginda
1446 - Hadis Saidatina Aisyah r.a: Aisyah pernah berkata kepada Urwah bin az-Zubair: Apakah kamu tidak
merasa kagum terhadap Abu Hurairah r.a? Dia datang lalu duduk di sebelah bilikku lantas menceritakan
Hadis dari Nabi s.a.w. Dia sengaja memperdengarkan cerita tersebut kepadaku. Saat itu aku sedang
menunaikan sembahyang sunat. Dia berdiri meninggalkan tempat itu sebelum aku selesai sembahyang
sunat tersebut. Seandainya aku sempat mendapatinya pada waktu itu nescaya aku akan katakan kepadanya

berulang-kali: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w tidak pernah bersabda secara tergesa-gesa seperti yang kamu
lakukan
1447 - Diriwayatkan daripada Saidina Ali r.a katanya: Rasulullah s.a.w menghantar aku, Zubair dan
Miqdad. Baginda s.a.w bersabda: Pergilah kamu ke Raudah Khah. Di sana terdapat seorang perempuan
yang menunggang Unta, bersamanya ada sepucuk surat dan kamu hendaklah mengambil surat itu darinya.
Kami berangkat dengan kuda dan ketika kami bertemu dengan perempuan itu kami berkata: Berikan surat
kepada kami. Perempuan itu berkata: Aku tidak membawa surat. Kami berkata: Keluarkan surat atau kami
periksa pakaian kamu. Setelah itu beliau mengeluarkan surat dari sanggul rambutnya dan surat itu kami
serahkan kepada Rasulullah s.a.w. Isi kandungan surat berbunyi: Dari Hatib bin Abu Balta'ah kepada
Musyrikin Mekah. Beliau memberitahu kepada orang-orang Musyrikin sebahagian dari urusan Rasulullah
s.a.w. Rasulullah s.a.w pun bersabda: Wahai Hatib! Apakah ini? Beliau berkata: Wahai Rasulullah! Jangan
menuduh aku walaupun aku ada hubungan baik dengan orang-orang Quraisy. Abu Sufian berkata: beliau
sememangnya berkawan baik dengan mereka tetapi bukan dari keturunan mereka. Aku tahu bahawa orangorang Muhajirin yang tinggal bersama kamu mempunyai keluarga yang berada di bawah pengawasan
mereka iaitu Quraisy. Sesungguhnya aku lakukan itu supaya mereka melindungi keluargaku dan aku
lakukan itu bukanlah kerana aku kafir atau murtad dari agamaku. Aku juga tidak reda dengan kekufuran
setelah aku memeluk Islam. Nabi s.a.w bersabda: Beliau benar. Umar berkata: Wahai Rasulullah!
Biarkanlah aku membunuh orang munafik ini. Nabi s.a.w bersabda: Tidakkah kamu ketahui bahawa beliau
dari tentera Badar? Mudah-mudahan Allah memberi keistimewaan kepada tentera Badar. Baginda
bersabda: Buatlah apa yang kamu suka, sesungguhnya aku telah memberi kemaafan kepada kamu. Oleh
sebab itulah Allah menurunkan ayat: Yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu
mangambil musuhku dan musuh kamu menjadi teman rapat
1448 - Diriwayatkan daripada Abu Musa r.a katanya: Aku bersama Nabi s.a.w, iaitu semasa baginda berada
di Ja'ranah yang terletak antara Mekah dan Madinah. Baginda ditemani oleh Bilal. Ketika itu seorang arab
desa datang menemui Rasulullah s.a.w dan berkata: Wahai Muhammad! Adakah kamu laksanakan apa yang
telah kamu janjikan padaku. Rasulullah s.a.w berkata kepadanya: Bergembiralah. Lelaki itu berkata: Kamu
sudah berapa kali meminta supaya aku bergembira. Dengan nada marah Rasulullah s.a.w bersabda kepada
Abu Musa dan Bilal: Orang itu menolak kegembiraan, kamu berdua sahajalah yang menerimanya.
Keduanya berkata: Wahai Rasulullah! Kami menerimanya. Kemudian Rasulullah s.a.w meminta bekas
yang berisi air. Rasulullah s.a.w membasuh tangan dan mukanya serta meludah ke dalam bekas itu dan
baginda s.a.w bersabda: Kamu berdua minumlah air ini serta membasuh muka dan tengkok kamu serta
bergembiralah. Keduanya melakukan apa yang di perintahkan oleh Rasulullah s.a.w. Tiba-tiba Ummu
Sulaim berkata kepada mereka dari balik tabir: Simpanlah sedikit air itu untuk ibu kamu, maka mereka pun
menyimpannya untuk ibu mereka
1449 - Diriwayatkan daripada Abu Musa r.a katanya: Setelah peperangan Hunain tamat Nabi s.a.w
mengutuskan Abu Amir mengetuai tentera ke Autas. Di pertengahan jalan mereka bertembung dengan
Duraid bin Sim'mah. Beliau berjaya membunuh Duraid dan Allah memberi kemenangan kepada para
Sahabat. Abu Musa berkata: Rasulullah s.a.w telah mengutus aku dan Abu Amir, ketika itu lutut Abu Amir
dipanah oleh lelaki dari Bani Jusam dan beliau merasa sakit di tempat yang terkena panah itu. Aku
menghampiri beliau dan berkata: Wahai bapa saudaraku! Siapakah yang memanahmu? Abu Amir memberi
isyarat kepada Abu Musa dan berkata: Orang itulah iaitu Bani Jusam, yang hendak membunuhku. Kamu
lihat beliaulah orang yang memanahku. Abu Musa berkata: Aku pun menuju ke arahnya dan apabila beliau
iaitu Bani Jusam melihatku, beliau berpaling dan melarikan diri dariku, tetapi aku terus mengikutinya. Aku
mendekati beliau dan berkata: Adakah kamu tidak merasa malu? Bukankah kamu orang arab dan
kenapakah kamu tidak berhenti? Akhirnya kami pun bertembung, berkelahi dan saling pukul-memukul.
Akhirnya aku berjaya membunuhnya dengan pedangku. Setelah itu aku kembali kepada Abu Amir. Aku
berkata padanya: Allah telah membunuh kawanmu itu. Beliau iaitu Abu Amir berkata: Cabutlah anak panah
ini. Aku pun mencabutnya dan terkeluar air (yang dimaksudkan ialah darah). Beliau iaitu Abu Amir
berkata: Wahai anak saudaraku! Pergilah kamu menemui Rasulullah s.a.w dan sampaikan salamku kepada
baginda dan beritahu kepada baginda, bahawa Abu Amir meminta supaya Rasulullah s.a.w memohon
ampun untuk beliau. Abu Amir memujukku supaya memimpin tentera. Tidak berapa lama beliau pun
terkorban. Setelah selesai dari peperangan, aku pun pulang dan menemui Rasulullah s.a.w. Ketika itu
baginda s.a.w sedang tidur di atas katil dari jalinan pelepah tamar dan di atas katil tersebut terdapt sebidang

tikar. Kesan jalinan pelepah tamar itu terdapat di belakang dan rusuk Rasulullah s.a.w. Aku pun
menceritakan kepada baginda s.a.w tentang kami dan juga mengenai Abu Amir dan aku sampaikan pesan
beliau (Abu Amir), iaitu supaya baginda s.a.w memohon ampun kepada Allah untuk beliau. Setelah itu
Rasulullah s.a.w meminta air untuk berwuduk, setelah selesai berwuduk, baginda s.a.w mengangkat kedua
tangannya dan berdoa: Ya Allah, ampunkanlah Abu Amir. Ketika itulah aku melihat kedua ketiak baginda
s.a.w yang berwarna putih. Kemudian baginda meneruskan doanya: Ya Allah, tinggikanlah kedudukan
beliau dari makhlukmu atau dari manusia di Hari Kiamat. Aku berkata: Wahai Rasulullah! Pohonkanlah
keampunan untukku. Maka Rasulullah s.a.w berdoa: Ya Allah, ampunilah dosa Abdullah bin Qais dan
masukkanlah beliau ke dalam sebuah tempat yang mulia pada Hari Kiamat
1450 - Diriwayatkan daripada Abu Musa r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya aku
mengenali suara Golongan Asy'ari membaca al-Quran ketika masuk waktu malam. Aku juga mengetahui
rumah mereka berdasarkan arah datangnya suara bacaan al-Quran pada waktu malam walaupun aku tidak
mengetahui rumah mereka ketika pada siang hari. Di antara mereka ialah Hakim, apabila bertemu kuda
atau dikatakan juga musuh, Hakim akan berkata kepada mereka: Sesungguhnya kawan-kawanku menyuruh
kamu menunggu mereka
1451 - Diriwayatkan daripada Abu Musa r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sekiranya orang-orang
Asy'ari kehabisan makanan di dalam sesuatu peperangan atau bekalan makanan keluarga mereka di
Madinah berkurangan. Mereka akan mengumpulkan apa yang masih ada pada mereka di dalam sehelai
kain. Kemudian mereka membahagikannya sama rata di antara mereka, sesungguhnya aku dari kalangan
mereka dan mereka dari kalangan aku
1452 - Diriwayatkan daripada Abu Musa r.a katanya: Telah sampai kepada kami berita keberangkatan
Rasulullah s.a.w dan pada ketika itu kami berada di Yaman. Aku dan dua orang saudaraku iaitu Abu Burdah
dan Abu Ruhmi bersama dengan orang-orang Muhajirin berangkat menemui Rasulullah s.a.w dan aku
merupakan saudara yang terkecil. Abi Musa berkata samada beberapa orang, lima puluh tiga atau lima
puluh dua orang dari kaumku menaiki kapal laut. Kami menghalakan kapal kami ke arah pasukan anNajasyi di Habsyah. Di pertengahan jalan, kami berjumpa dengan Jaafar bin Abu Talib berserta sahabatnya.
Jaafar berkata: Rasulullah s.a.w mengutus dan memerintahkan supaya kami tinggal di sini, maka kamu
tinggalah bersama-sama kami. Abu musa berkata: Kami tinggal bersama beliau sehinggalah kami pulang
bersama-sama. Kami menemui Rasulullah s.a.w ketika baginda berjaya membuka Khaibar. Baginda telah
membahagikan harta rampasan kepada kami atau dikatakan juga Rasulullah s.a.w memberikan kepada
kami sebahagiannya dan Rasulullah s.a.w tidak memberikan harta rampasan tersebut kepada sesiapa pun
kecuali kepada tentera yang menyertai pembukaan Khaibar dan kepada pasukan kami yang yang bersama
dengan Jaafar serta sahabat-sahabatnya. Mereka telah membahaginya sesama mereka. Abu Musa berkata:
Orang ramai berkata kepada kami iaitu pasukan laut: Kami berhijrah lebih dahulu daripada kamu. Abu
Musa berkata: Asma' binti Umais iaitu salah seorang yang menyertai kami menemui Hafsah isteri Nabi
s.a.w. Beliau juga telah berhijrah ke Najasyi. Ketika Umar masuk untuk menemui Hafsah, Asma' ada
bersamanya. Setelah melihat Asma', Umar berkata: Siapakah ini? Beliau menjawab: Asma' binti Umais.
Umar berkata: Adakah ini orang Habsyah yang menyertai angkatan laut? Asma' menjawab: Benar. Umar
berkata: Kami lebih dahulu berhijrah daripada kamu, maka kami lebih berhak ke atas Rasulullah s.a.w.
Asma' menjawab dengan marah: Wahai Umar! Sesungguhnya kamu berbohong. Aku tahu kamu bersama
Rasulullah s.a.w, memberikan makan kepada orang kelaparan dan mengajar orang-orang bodoh, manakala
kami yang berada jauh di Habsyah juga adalah kerana Allah dan RasulNya. Demi Allah, aku tidak akan
makan dan minum sehinggalah aku memberitahu apa yang kamu katakan kepada Rasulullah s.a.w. Kami
juga disiksa dan ditakuti. Aku akan ceritakan kepada Rasulullah s.a.w akan semua itu dan meminta
pendapat baginda. Demi Allah, aku tidak akan berdusta, tidak menyeleweng dan tidak menambahi tentang
perkara itu. Setelah Rasulullah s.a.w datang, Asma' pun berkata: Wahai Nabi Allah! Sesungguhnya Umar
telah berkata begini dan begini. Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak ada yang lebih berhak terhadapku selain
daripada kamu. Umar dan sahabat-sahabatnya hanyalah berhijrah satu kali sedangkan pasukan laut
berhijrah sebanyak dua kali. Asma' berkata: Aku melihat Abu Musa dan pasukan laut datang untuk bertanya
kepadaku mengenai Hadis tersebut. Tidak ada sesuatu yang lebih gembira dan agong di dunia ini melainkan
apa yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w kepada mereka. Abu Burdah berkata: Asma' telah berkata: Aku
telah bertemu dengan Abu Musa, beliau meminta semula Hadis ini dariku

1453 - Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah r.a katanya: Ayat yang bermaksud: (Ketika dua golongan
daripadamu ingin (lari) kerana takut, sedangkan Allah adalah penolong bagi kedua golongan itu)
diturunkan tentang kami. Dua golongan yang dimaksudkan itu ialah Bani Salimah dan Bani Harithah. Kami
tidak menyukai ayat ini kerana ayat yang bermaksud: (Sedangkan Allah adalah penolong bagi kedua
golongan itu) masih belum diturunkan
1454 - Diriwayatkan daripada Zaid bin Arqam r.a katanya: Rasulullah s.a.w berdoa: Wahai tuhanku!
Ampunilah Orang-orang Ansar, anak-anak Ansar dan keturunan Ansar
1455 - Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya: Sesungguhnya Nabi s.a.w melihat beberapa orang kanakkanak lelaki dan perempuan menyambut seorang pengantin. Maka Nabi s.a.w berdiri dan bersabda: Ya
Allah, mereka adalah orang yang aku cintai. Ya Allah, mereka adalah orang yang aku cintai. Iaitu Kaum
Ansar
1456 - Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya: Seorang wanita Ansar menemui Rasulullah s.a.w
serta Rasulullah s.a.w melayaninya dan bersabda: Demi Zat ku yang berada di dalam kekuasaanNya,
Sesungguhnya kamu adalah manusia yang sangat aku cintai. Baginda s.a.w bersabda sedemikian sebanyak
tiga kali
1457 - Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya kaum
Ansar adalah golonganku dan kaum kepercayaanku. Walaupun manusia akan bertambah atau berkurang,
namun mereka boleh menerima kebaikan kaum Ansar dan memaafkan kesalahan mereka
1458 - Diriwayatkan daripada Abu Usaid r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sebaik-baik kabilah Ansar
ialah Bani Najjar, selepas itu Bani Abdul Asyhal, selepas itu Bani al-Haris bin Khazraj, selepas itu Bani
Saidah. Sementara itu, pada setiap kabilah Ansar ada kebaikan. Saad berkata: Setahu aku, Rasulullah s.a.w
mengutamakan kami. Ada yang berkata: Baginda s.a.w mengutamakan kamu dari kaum lain
1459 - Hadis Anas bin Malik r.a katanya: Aku telah keluar musafir bersama Jarir bin Abdullah al-Bajali.
Beliau ingin melayani aku, tetapi aku berkata kepadanya: Kamu jangan melayaniku. Maka beliau berkata:
Sesungguhnya aku melihat orang Ansar melakukan sesuatu untuk Rasulullah s.a.w, semenjak itulah aku
bersumpah akan melayani setiap orang Ansar yang berada bersamaku
1460 - Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Kaum
Aslam semoga Allah memberi keselamatan kepada mereka dan Kaum Ghifar semoga Allah memberikan
keampunan kepada mereka. Bukan aku yang berkata tetapi Allah yang berfirman begitu
1461 - Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Kaum Ghiffar Allah
mengampuni mereka dan Kaum Aslam Allah memberikan keselamatan kepada mereka. Manakala Kaum
Usayyat telah durhaka kepada Allah dan RasulNya
1462 - Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Kaum-kaum Quraisy,
Ansar, Muzainah, Juhainah, Aslam, Ghiffar dan Asyja' merupakan para penolong dan penolong mereka
ialah Allah dan RasulNya
1463 - Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Kaum-kaum Aslam, Ghifar
dan Muzainah serta sebahagian dari Kaum Juhainah atau dari Juhainah, adalah lebih baik daripada Bani
Tamim dan Bani Amir, begitu juga dari Kaum Asad dan Kaum Ghatafan
1464 - Diriwayatkan daripada Abu Bakrah r.a katanya: al-Aqra' bin Habis telah datang menemui Rasulullah
s.a.w dan beliau berkata: Sesungguhnya Surraq al-Hajij yang memberi bai'ah kepada kamu adalah dari suku
kaum Aslam, Ghifar dan Muzainah, kemudian termasuk juga Kaum Juhainah, cuma Muhammad yang
masih ragu-ragu. Rasulullah s.a.w bertanya: Adakah kamu lihat kaum-kaum Aslam, Ghiffar dan Muzainah,
manakala Juhainah itu lebih baik daripada Bani Tamim, Amir, Asad dan Ghatafan, maka mereka merasa
kecewa dan rugi? Beliau berkata: Ya. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Demi Zat yang jiwaku berada di

dalam kekuasaanNya, bahawa mereka iaitu kaum-kaum Aslam, Ghiffar dan Muzainah, adalah lebih baik
daripada mereka iaitu Bani Tamin, Amir, Asad dan Ghatafan
1465 - Diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab r.a katanya: Sedekah pertama yang membuatkan
Rasulullah s.a.w dan Sahabatnya menjadi gembira ialah sedekah Kaum Tayyi' yang dibawa kepada
Rasulullah s.a.w
1466 - Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: At-Tufail serta sahabatnya menemui Rasulullah
s.a.w dan mereka berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kaum Daus telah kufur dan menentang, maka
berdoalah kepada Allah supaya mereka susah. (Dikatakan): Celakalah Daus. Rasulullah s.a.w pun berdoa:
Ya Allah, berikan petunjuk kepada kaum Daus dan bawalah aku kepada mereka
1467 - Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Aku menyukai Bani Tamim kerana tiga perkara
yang aku dengar dari Rasulullah s.a.w, di mana baginda s.a.w bersabda: Mereka iaitu Bani Tamim adalah
umatku yang paling kuat menghadapi Dajjal. Dikatakan: Ketika sedekah-sedekah mereka sampai atau
diterima, Nabi s.a.w bersabda: Ini adalah sedekah kaumku. Ketika orang-orang tawanan dari kalangan
mereka berada bersama Aisyah. Rasulullah s.a.w bersabda: Merdekakanlah mereka kerana mereka adalah
keturunan Nabi Ismail
1468 - Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sebaik-baik wanita
yang menunggang unta salah satunya ialah wanita Quraisy yang soleh dan yang keduanya ialah wanita
Quraisy yang berbuat baik kepada anak yatim yang masih kecil dan mengurus sendiri keperluan suaminya
1469 - Hadis Anas bin Malik r.a: Diriwayatkan daripada Asim r.a katanya: Aku bertanya Anas: Adakah
telah sampai kepada kamu sabda Rasulullah s.a.w yang berbunyi: Tidak ada sumpah di dalam Islam? Anas
menjawab: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersumpah di antara kaum Quraisy dan golongan Ansar di
rumah baginda s.a.w
1470 - Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Akan tiba suatu zaman
di mana segolongan manusia akan berperang dan mereka ditanya: Adakah di antara kamu orang yang
pernah melihat Rasulullah? Mereka menjawab: Ya. Maka mereka diberi kemenangan, kemudian datang lagi
segolongan manusia yang berperang dan mereka ditanya: Adakah di antara kamu orang yang pernah
melihat Sahabat Rasulullah s.a.w? Mereka menjawab: Ya. Maka mereka di beri kemenangan. Setelah itu
datang lagi segolongan manusia yang berperang, lalu ditanya kepada mereka: Adakah di antara kamu yang
melihat Sahabat Rasulullah? Mereka menjawab: Ya. Maka mereka di beri kemenangan
1471 - Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sebaik-baik
umatku ialah mereka yang hidup sezaman denganku, kemudian mereka yang hidup sezaman dengan
Sahabatku, selepas itu mereka yang hidup selepas mereka (sahabat r.a.) Selepas itu akan datang satu kaum
di mana penyaksian salah seorang daripada mereka mendahului sumpahnya dan sumpahnya mendahului
penyaksiannya
1472 - Diriwayatkan daripada Imran bin Husain r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya
yang terbaik dari kalangan kamu ialah sezaman denganku, kemudian orang yang hidup selepas zaman aku,
setelah itu orang yang hidup selepas mereka. Imran berkata: Aku tidak mengetahui kenapakah Rasulullah
s.a.w menyebut selepas kurunnya sebanyak dua atau tiga kali. Selepas itu datang satu kaum yang di minta
memberi penyaksiaan tetapi tidak di beri penyaksian, yang berkhianat sehingga tidak boleh dipercayai,
yang suka bernazar tetapi tidak melaksanakannya dan suka akan kemewahaan
1473 - Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a katanya: Suatu malam Rasulullah s.a.w
bersembahyang Isyak bersama kami (di akhir hayatnya). Setelah memberi salam, baginda s.a.w berdiri dan
bersabda: Tahukah kamu akan malam ini? Sesungguhnya seratus tahun akan datang tidak akan ada lagi
seorang pun manusia di atas muka bumi ini. Ibnu Umar berkata: Orang ramai salah faham mengenai sabda
Rasulullah s.a.w itu, mereka bercakap-cakap tentang Hadis tersebut terutamanya mengenai Kiamat seratus
tahun akan datang. Sedangkan maksud Rasulullah ialah, tidak ada seorang pun manusia yang hidup

sekarang ini (zaman Rasulullah) akan hidup pada seratus tahun yang akan datang, dengan kata lain kurun
itu sudah berlalu
1474 - Diriwayatkan daripada Abu Said r.a katanya: Di antara Khalid bin al-Walid dan Abdul Rahman bin
Auf telah terjadi sesuatu, lalu Khalid mencaci beliau. Mendengar hal itu, Rasulullah s.a.w bersabda:
Janganlah kamu mencaci Sahabatku walaupun salah seorang dari kamu membelanjakan emas sebesar
gunung Uhud sekalipun, dia tidak dapat menandingi salah seorang ataupun separuh dari mereka
1475 - Hadis Asma' binti Abu Bakar r.a: Daripada Abu Naufal daripada al-Hajjaj katanya: Aku berkata
kepada Asma' binti Abu Bakar: Bagaimanakah kamu melihat apa yang aku lakukan terhadap musuh. Asma'
menjawab: Aku melihat kamu merosakkan dunia mereka dan mereka telah merosakkan akhirat kamu.
Sesungguhnya telah sampai kepada aku bahawa kamu memanggilnya dengan pangilan Zatu an-Nitaqain,
demi Allah akulah Zatu an-Nitaqain. Pertamanya kerana aku menghantar makanan untuk Rasulullah s.a.w
dan Abu Bakar dari ternakan. Manakala yang keduanya ialah pakaian wanita yang tidak perlu kamu
mengetahuinya. Apa yang Rasulullah s.a.w ceritakan kepada kami mengenai kaum Thaqif, bahawa di situ
ada seorang pendusta dan seorang perosak. Pendusta tersebut kami pernah melihatnya, manakala tukang
perosak itu aku rasa adalah kamu. Setelah itu beliau pun pergi dan tidak kembali lagi
1476 - Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Seandainya agama itu
berada di bintang, nescaya salah seorang dari lelaki Parsi atau pemuda-pemuda Parsi akan pergi ke sana
untuk mendapatkannya
1477 - Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Akan didapati manusia
seperti seratus ekor unta, tetapi tidak terdapat seorangpun daripada mereka yang dapat dibawa untuk
musafir
1478 - Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah
s.a.w lalu bertanya: Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layani dengan sebaik mungkin?
Rasulullah s.a.w bersabda: Ibumu. Beliau bertanya lagi: Kemudian siapa? Rasulullah s.a.w bersabda:
Kemudian ibumu. Beliau terus bertanya: Kemudian siapa? Rasulullah s.a.w bersabda: Kemudian ibumu.
Beliau terus bertanya: Kemudian siapa? Rasulullah s.a.w bersabda: Kemudian ayahmu
1479 - Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru r.a katanya Telah datang seorang lelaki kepada Nabi
s.a.w memohon izin kepada baginda agar diperkenankan untuk turut berperang. Nabi s.a.w bersabda:
Adakah kedua orang tuamu masih hidup? Lelaki itu menjawab: Ya, masih hidup. Nabi s.a.w bersabda:
Berbuat baiklah kepada mereka, maka keluarlah berperang
1480 - Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Seorang yang bernama Juraij sedang mengerjakan
ibadat di sebuah gereja. Lalu ibunya datang memanggilnya. Humaid berkata: Abu Rafi' pernah
menerangkan kepadaku mengenai bagaimana Abu Hurairah meniru gaya ibu Juraij ketika memanggil
anaknya, sebagaimana beliau mendapatkannya daripada Rasulullah s.a.w iaitu dengan meletakkan
tangannya di bahagian kepala antara dahi dan telinga serta mengangkat kepalanya: Hai Juraij! Aku ibumu,
jawablah panggilanku. Ketika itu perempuan tersebut mendapati anaknya memulakan sembahyang. Dengan
keraguan Juraij berkata kepada diri sendiri: Ya Tuhan, ibuku atau sembahyangku. Tetapi Juraij telah
memilih untuk meneruskan sembahyangnya. Tidak berapa lama selepas itu, perempuan tersebut pergi untuk
yang kedua kalinya. Beliau memanggil: Hai Juraij! Aku ibumu, jawablah panggilanku. Juraij bertanya lagi
kepada diri sendiri: Ya tuhan, ibuku atau sembahyangku. Tetapi beliau masih lagi memilih untuk
meneruskan sembahyangnya. Oleh kerana terlalu kecewa akhirnya perempuan itu berkata: Ya tuhan,
sesungguhnya Juraij adalah anakku. Aku sudah memanggilnya berulang kali, namun ternyata beliau enggan
menjawabnya. Ya tuhan, janganlah Engkau matikan beliau sebelum beliau mendapat fitnah yang
disebabkan oleh perempuan pelacur. Pada suatu hari seorang pengembala kambing sedang berteduh di
gereja Juraij yang letaknya jauh terpencil dari orang ramai. Tiba-tiba datang seorang perempuan dari
sebuah dusun yang juga sedang berteduh di tempat tersebut. Kemudian keduanya melakukan perbuatan
zina, sehingga melahirkan seorang anak. Ketika ditanya oleh orang ramai: Anak dari siapakah ini?
Perempuan itu menjawab: Anak dari penghuni gereja ini. Lalu orang ramai berduyun-duyun datang kepada
Juraij. Mereka membawa besi perejang. Mereka berteriak memanggil Juraij, yang mana pada waktu itu

sedang bersembahyang. Maka sudah tentu Juraij tidak melayani panggilan mereka, akhirnya mereka
merobohkan bagunan gerejanya. Tatakala melihat keadaan itu, Juraij keluar menemui mereka. Mereka
berkata kepada Juraij: Tanyalah anak ini. Juraij tersenyum, kemudian mengusap kepala anak tersebut dan
bertanya: Siapakah bapamu? Anak itu tiba-tiba menjawab: Bapaku adalah seorang pengembala kambing.
Setelah mendengar jawapan jujur dari anak tersebut, mereka kelihatan menyesal, lalu berkata: Kami akan
memdirikan gerejamu yang kami robohkan ini dengan emas dan perak. Juraij berkata: Tidak payahlah,
biarkan ia menjadi debu seperti asalnya. Kemudian Juraij meninggalkannya
1481 - Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya Allah
menciptakan makhluk. Apabila selesai sebahagian mereka, maka tampillah sebuah tempat (rahim) dan
berkata: Inilah tempat orang yang menjaga dari terputusnya hubungan kekeluargaan. Allah berfirman:
Baiklah. Apakah kamu rela kalau Aku menyambung orang yang menyambungmu, dan memutuskan orang
yang memutuskanmu? Beliau berkata: Sudah tentu. Allah berfirman: Itulah milikmu. Kemudian Rasulullah
s.a.w bersabda: Bacalah ayat Yang bermaksud: Maka apakah sekiranya kamu berkuasa kamu akan
membuat kerosakan di muka bumi dan memutuskan hubungan kekeluargaan? Mereka itulah orang-orang
yang dilaknati Allah dan ditulikan telinganya serta dibutakan matanya, maka apakah mereka tidak
memerhatikan al-Quran atau apakah hati mereka sudah terkunci?
1482 - Diriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Hubungan kekeluargaan itu
digantungkan pada Arasy. Ia berkata: Barangsiapa yang menyambungku maka Allah akan menyambungnya
dan barangsiapa yang memutuskan aku maka Allah pun akan memutuskannya
1483 - Diriwayatkan daripada Jubair bin Mut'im r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Tidak akan masuk
Syurga orang yang memutuskan hubungan kekeluargaan (silaturrahim)
1484 - Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w
bersabda: Barangsiapa yang menginginkan rezekinya dimudahkan dan usianya dipanjangkan, maka
hendaklah dia menyambung silaturrahim
1485 - Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda:
Janganlah kamu saling benci membenci, dengki mendengki dan sindir menyindir. Jadilah kamu sebagai
hamba-hamba Allah yang bersaudara. Haram seseorang muslim berkelahi dengan saudaranya lebih dari tiga
hari lamanya
1486 - Diriwayatkan daripada Abu Ayub al-Ansari r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda:
Haram bagi seseorang muslim berkelahi dengan saudaranya lebih dari tiga malam, apabila keduanya
bertemu saling memalingkan mukanya. Sementara itu, yang terbaik di antara keduanya adalah mereka yang
mula mengucapkan salam
1487 - Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda:
Janganlah kamu berbicara dengan ucapan yang buruk, janganlah kamu sindir menyindir, janganlah kamu
memperdengarkan khabar orang lain dan janganlah sebahagian kamu menjual atas jualan sebahagian yang
lain. Sementara itu, jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara
1488 - Diriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya: Aku tidak pernah melihat seorang pun yang paling tahan
menderita sakit melebihi Rasulullah s.a.w
1489 - Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Aku menemui Rasulullah s.a.w ketika
baginda dalam keadaan tidak sihat. Aku menggosok baginda dengan tanganku. Aku katakan kepada
baginda: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya engkau benar-benar tidak sihat. Rasulullah s.a.w bersabda:
Memanglah, apa yang aku alami sekarang ini adalah sama seperti yang di alami oleh dua orang di antara
kamu. Aku berkata: Kalau begitu engkau beroleh dua pahala sekaligus. Rasulullah s.a.w bersabda: Benar.
Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda lagi: Setiap orang muslim yang ditimpa musibah atau sakit dan
sebagainya, maka Allah akan mengampunkan kesalahan-kesalahan dari sakitnya, sebagaimana daun yang
gugur dari pokoknya

1490 - Diriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap orang muslim yang
tersusuk duri atau lebih dari itu misalnya, maka kerananya dicatatkan satu darjat dan dihapuskan
daripadanya satu kesalahan
1491 - Diriwayatkan daripada Abu Said r.a katanya: Sesungguhnya aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w
bersabda: Setiap musibah yang di timpa ke atas orang-orang mukmin yang berupa sakit yang berterusan,
sakit yang biasa dan kesedihan bahkan membawa kepada kebingungan dari musibah yang beliau alami,
maka hal yang demikian merupakan penghapus bagi kesalahan-kesalahannya
1492 - Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Ketika diturunkan ayat: Yang bermaksud: Sesiapa
yang melakukan kejahatan, nescaya akan diberi pembalasan dengan kejahatan itu. Orang-orang Islam
merasa amat sedih tetapi kemudiannya Rasulullah s.a.w bersabda: Sederhanalah dan jangan terlalu
berlebih-lebihan serta berusahalah melakukan yang benar. Setiap musibah yang menimpa orang-orang
muslim adalah suatu pelebur kesalahan biarpun hanya sekadar tersusuk duri
1493 - Hadis Ibnu Abbas r.a: Diriwayatkan daripada Ata' bin Abu Rabah r.a katanya: Ibnu Abbas bertanya
kepadaku: Mahukah kamu jika aku perlihatkan seorang wanita yang menjadi calon penghuni Syurga? Aku
menjawab: Sudah tentu. Ibnu Abbas berkata: Wanita berkulit hitam itulah, beliau pernah datang kepada
Nabi s.a.w dan berkata: Sesungguhnya aku diserang penyakit sawan babi atau gila babi. Aku ingin sembuh.
Oleh itu berdoalah kepada Allah demi menyembuhkanku. Nabi s.a.w bersabda: Jika sekiranya kamu mahu
bersabar bagimu adalah Syurga. Sekiranya kamu mahu sembuh, aku boleh mendoakan kepada Allah
semoga Dia berkenan menyembuhkanmu. Wanita itu berkata: Baiklah aku akan bersabar, tetapi aku ingin
sembuh, jadi berdoalah kepada Allah supaya menyembuhkanku. Nabi s.a.w akhirnya mendoakan untuknya
1494 - Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya kezaliman
itu akan mendatangkan kegelapan pada Hari Kiamat kelak
1495 - Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Seorang
muslim itu adalah saudara bagi muslim lain. Beliau tidak boleh menzalimi dan menyusahkannya.
Barangsiapa yang mahu memenuhi hajat saudaranya, maka Allah pun akan berkenan memenuhi hajatnya.
Barangsiapa yang melapangkan satu kesusahan kepada seorang muslim, maka Allah akan melapangkan
salah satu kesusahan di antara kesusahan-kesusahan Hari Kiamat nanti. Barangsiapa yang menutup keaiban
seseorang muslim, maka Allah akan menutup keaibannya pada Hari Kiamat
1496 - Diriwayatkan daripada Abu Musa r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya Allah Yang
Maha Mulia lagi Maha Agung akan memanjangkan usia atau waktu bagi orang-orang yang zalim.
Walaupun begitu Allah tetap menyiksanya, maka Dia (Allah) tidak akan melepaskannya. Kemudian beliau
membaca firman Allah: Yang bermaksud: Dan begitulah azab Tuhanmu apabila Dia mengazabkan
penduduk negeri-negeri yang berbuat zalim. Sesungguhnya azabNya itu adalah sangat pedih lagi keras
1497 - Diriwayatkan daripada Jabir r.a katanya: Dua orang anak muda yang mana salah seorang di
antaranya dari kaum Muhajirin dan seorang lagi dari kaum Ansar sedang bertengkar. Seorang dari kaum
Muhajirin atau mungkin juga beberapa orang dari kaum Muhajirin berteriak. Wahai orang Muhajirin!
Manakala kaum Ansar berteriak. Wahai orang Ansar! Setelah mendengar suasana begitu Rasulullah s.a.w
keluar dan bersabda: Ada apakah panggilan seperti Jahilyah ini? Mereka menjawab: Tidak ada apa-apa,
wahai Rasulullah. Hanya ada dua anak muda sedang bertengkar di mana salah satu dari keduanya berusaha
memukul bahagian tubuh yang satunya. Rasulullah s.a.w bersabda: Kamu tidak perlu menyebunyikan
persoalan. Seharusnya kamu menolongnya baik yang zalim mahupun yang dizalimi. Terhadap yang zalim,
maka hendaklah beliau mencegah kezalimannya. Sesungguhnya itu bererti telah menolongnya. Manakala
terhadap yang dizalimi hendaklah beliau membelanya
1498 - Diriwayatkan daripada Abu Musa r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Seorang mukmin terhadap
mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan di mana sebahagiannya menguatkan sebahagian yang
lain

1499 - Diriwayatkan daripada Nu'man bin Basyir r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Perumpamaan
orang-orang mukmin dalam hal berkasih sayang dan saling cinta-mencintai adalah seperti sebatang tubuh.
Apabila salah satu anggotanya mengadu kesakitan, maka seluruh anggota tubuh yang lain turut merasa
sakit
1500 - Diriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya: Sesungguhnya seorang lelaki meminta untuk masuk
berjumpa Nabi s.a.w. Baginda bersabda: Persilakanlah beliau masuk. Beliau adalah putera yang paling
buruk dari sebuah keluarga atau lelaki yang paling buruk dari sebuah keluarga. Tatakala lelaki itu masuk
berjumpa Nabi s.a.w, maka Nabi s.a.w menyambutnya dengan kata-kata yang lemah lembut. Aisyah
berkata: Wahai Rasulullah! Mengapa anda (iaitu baginda) bercakap dan bersikap seramah itu. Baginda
bersabda: Wahai Aisyah! Sesungguhnya orang yang kedudukannya paling buruk di sisi Allah pada Hari
Kiamat kelak ialah orang yang di jauhi atau orang yang ditinggalkan oleh orang ramai kerana mereka takut
akan kejahatannya (orang yang buruk perkataan dan perbuatannya)

Anda mungkin juga menyukai