Anda di halaman 1dari 11

Hukum-hakam tentang pakaian

Apakah fungsi pakaian menurut Syariat Islam?


Pakaian adalah nikmat Allah untuk melindungi badan manusia, menutup aurat
mereka dan juga sebagai perhiasan bagi mereka. Fungsi-fungsi pakaian ini
dijelaskan oleh Allah di dalam al-Quran;
Dan Allah menjadikan bagi kamu pakaian-pakaian yang memelihara kamu dari
panas dan sejuk, juga pakaian-pakaian yang memelihara kamu semasa berjuang
(an-Nahl, ayat 81).

Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk
menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian takwa itulah
yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan
Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat. (al-Araf:26).
Dalam ayat 26 dari surah al-Araf di atas, ada tiga jenis pakaian yang disebut oleh
Allah;
1. Pakaian untuk menutup aurat
2. Pakaian untuk perhiasan
3. Pakaian takwa
Menurut ulamak; dalam ayat tersebut ialah pakaian untuk menutup aurat.
Adapun ialah apa yang diambil/dipakai supaya nampak cantik pada
luarannya, iaitu untuk perhiasan. Yang pertama (iaitu )adalah keperluan asas,
sementara yang kedua adalah sampingan. Adapun pakaian takwa, menurut Ikrimah;
maksudnya ialah pakaian orang-orang bertakwa pada hari kiamat. Menurut Ibnu
Abbas pula; ia bermaksud amal soleh dan kelakuan yang baik. Menurut Ibnu Aslam;
ia adalah pakaian yang dipakai oleh seorang yang takutkan Allah, lalu ia menutup
auratnya.[1]
Apakah syarat-syarat pakaian lelaki?
1. Hendaklah menutup kawasan aurat
2. Tidak jarang hingga menampakkan kulit tubuh (khususnya kawasan aurat)
3. Tidak sendat hingga menampakkan bentuk kawasan aurat
4. Tidak menyerupai pakaian perempuan
4. Tidak berlebihan atau menzahirkan kesombongan
6. Bukan pakaian syuhrah
7. Bukan diperbuat dari material yang diharamkan iaitu sutera.
8. Tidak menyerupai pakaian orang kafir atau golongan fasiq.

Apakah syarat-syarat pakaian wanita? [2]


1. Hendaklah menutup aurat
2. Tidak jarang atau nipis yang menampakkan kulit badan
3. Tidak ketat atau sendat hingga menampakkan bentuk tubuh
4. Tidak menyerupai pakaian lelaki
5. Tidak menyerupai pakaian orang kafir atau golongan fasiq
6. Tidak berlebihan dan menzahirkan kesombongan
7. Bukan pakaian syuhrah
8. Tidak mempunyai hiasan atau corak yang menarik pandangan lelaki.
Apa dalil bahawa pakaian mesti menutup aurat?
Pertama, tujuan pakaian antaranya adalah untuk menutup aurat sebagaimana ayat
di atas tadi.
Kedua, terdapat dalil yang cukup jelas dari al-Quran dan as-Sunnah yang
memerintahkan orang-orang Islam supaya menutup aurat.
Ketiga, para ulamak telah sepakat atas kewajipan menutup aurat ini.
(*Kupasan tentang aurat akan kita lakukan dalam satu tajuk yang khusus, Insya
Allah).
Apa dalil tidak harus memakai pakaian yang jarang atau sendat?
Dalilnya ialah sabda Nabi s.a.w.;
Dua golongan dari ahli neraka yang aku belum melihat kedua-duanya iaitu; (1)
Kaum yang membawa cambuk seperti ekor lembu untuk memukul manusia
dengannya, dan (2) Wanita-wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang, yang
cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencederungkan orang lain kepadanya.
Kepala-kepala mereka umpama bonggol-bonggol unta yang senget. Mereka ini tidak
akan dapat memasuki syurga dan tidak akan mencium baunya di mana bau syurga
dapat dicium dari jarak perjalanan sekian sekian jauh. (Riwayat Imam Muslim dari
Abu Hurairah r.a.)
Di dalam hadis di atas, Nabi s.a.w. menegaskan; salah satu golongan yang akan
menjadi ahli neraka ialah wanita-wanita yang berpakaian tetapi telanjang, yakni
mereka berpakaian tetapi di sisi agama mereka sebenar tidak berpakaian. Ia
merangkumi yang berikut;[3]
1. Wanita-wanita yang memakai pakaian yang nipis yang masih menampakkan kulit
atau bayangan tubuh mereka. Mereka berpakaian pada nama, namun telanjang
pada hakikatnya.
2. Memakai pakaian yang menutup sebahagian aurat dan mendedahkan
sebahagian lagi (yakni tidak menutupkan secara menyeluruh kawasan aurat yang
wajib ditutup).
3. Memakai pakaian yang ketat atau sendat hingga menampak bentuk tubuh.

Apakah dalil tidak harus pakain lelaki menyerupai pakaian wanita dan
sebaliknya?
Kerana Rasulullah melaknat orang lelaki yang meniru wanita dan wanita yang
meniru lelaki sebagaimana yang diceritakan oleh Ibnu Abbas r.a.;
Rasulullah s.a.w. telah melaknat lelaki-lelaki yang meniru-niru perempuan dan
wanita-wanita yang meniru-niru lelaki. (Riwayat Imam Bukhari).
Bagaimana yang dikatakan meniru itu? Dan apa contohnya?
Iaitu setiap pakaian yang khusus untuk lelaki iaitu diketahui oleh masyarakat
bahawa ia sememangnya untuk lelaki, tidak harus untuk wanita memakainya. Begitu
juga, pakaian yang khusus untuk perempuan iaitu diketahui oleh orang ramai
bahawa ia sememangnya untuk wanita, tidak harus lelaki memakainya. Contohnya;
wanita yang memakai seluar lelaki dan lelaki yang memakai kain wanita.
Di dalam hadis diceritakan; suatu hari Nabi s.a.w. masuk menemui isterinya Ummu
Salamah. Ketika itu Ummu Salamah sedang memakai tudungnya. Lalu Nabi berkata
kepadanya;

Lilitlah dengan satu lilitan sahaja, bukan dengan dua lilitan. (Riwayat Imam Abu
Daud dan al-Hakim. Menurut al-Hakim; hadis ini soheh. Tashih al-Hakim dipersetujui
oleh Imam az-Zahabi. Lihat; Faidhul-Qadier, hadis no. 7744).
Menurut ulamak; tegahan Nabi di atas tujuannya ialah supaya cara pemakaian
tudung oleh perempuan tidak menyerupai cara pemakaian serban oleh kaum lelaki
iaitu dengan melilit di kepala dengan beberapa lilitan.[4]
Apakah dalil pengharaman sutera ke atas lelaki?
Iaitulah sabda Rasulullah s.a.w.;
Diharamkan memakai sutera dan emas ke atas lelaki-lelaki umatku dan dihalalkan
bagi wanita-wanita mereka. (Riwayat Imam at-Tirmizi dari Abi Musa al-Asyari r.a..
Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan soheh)
Dalam hadis yang lain baginda bersabda;
Sesiapa memakai sutera di dunia, ia tidak akan dapat memakainya lagi di akhirat.
(Riwayat Imam Bukhari, Muslim dan Ahmad dari Abi Umamah r.a.).
Adakah sutera tiruan juga dilarang?

Sutera yang diharamkan oleh hadis ialah sutera asli yang diperbuat dari benang dari
ulat sutera. Itu yang dimaksudkan oleh hadis. Adapun sutera tiruan (yang dibuat dari
bahan lain dari sutera asli itu iaitu benang dari ulat sutera) ia tidaklah termasuk
dalam larangan hadis. Sesuatu yang tidak termasuk dalam larangan Syarak ia kekal
dalam hukum asalnya iaitu harus.
Namun jika sifat kain sutera tiruan itu adalah terlalu lembut iaitu menyerupai kain
wanita, sebaik-baiknya orang lelaki tidak memakainya kerana tidak bersesuaian
dengan penampilan seorang lelaki.[5]
Apa dalil dilarang pakaian yang menyerupai orang kafir atau orang-orang
fasiq?
Iaitu sabda Nabi s.a.w.;
Sesiapa yang menyerupai suatu golongan, maka ia dari golongan tersebut.
(Riwayat Imam Abu Daud dari Ibnu Umar r.a.).
Menurut Imam Ibnu Kathir; hadis ini merupakan larangan keras terhadap perbuatan
meniru orang kafir sama ada dalam ucapan, perbuatan, pakaian, perayaan, ibadah
dan sebagainya yang tidak disyariatkan untuk kita (umat Islam).[6]
Bagaimana yang dikatakan meniru itu? Apa contohnya?
Setiap pakaian yang memberi gambaran kepada orang lain bahawa si pemakainya
adalah kafir atau menunjukkan bahawa ia adalah fasiq (tidak menjaga agama, yakni
suka melakukan maksiat), maka ia termasuk dalam pengertian meniru orang kafir
atau golongan fasiq. Contohnya; memakai pakaian yang mempunyai lambing salib
atau lambang-lambang agama lain. Saidina Ali menceritakan; aku pernah
mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda;
Jauhilah kamu dari memakai pakaian para Rahib. Sesiapa memakai pakaian
seperti mereka atau menyerupai mereka, dia bukanlah dariku . (Riwayat Imam arRhabrani dalam al-Mujam al-Ausat. Menurut Imam Ibnu Hajar; sanadnya adalah La
Basa Bihi. Lihat; Fathul-Bari, bab al-Baranis).[7]
Apa dalil larangan berlebihan dan menzahirkan kesombongan dalam
berpakaian?
Iaitu firman Allah;
dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang
yang berlebih-lebihan..

Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri. (alHadid: 23)
Sabda Rasulullah s.a.w.;
Sesiapa yang melabuhkan pakaian/kainnya kerana sombong, nescaya Allah tidak
akan memandangnya pada hari kiamat. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Apa maksud pakaian Syuhrah? Apa dalil larangan terhadapnya?
Pakaian Syuhrah bermaksud pakaian yang dipakai untuk dikenali oleh orang lain,
yakni untuk menunjulkan perbezaan diri dengan orang lain. Tujuannya sama ada
untuk berbangga-bangga di hadapan orang lain dengan perasaan takjub dan besar
diri (takbur) atau untuk menunjuk-nunjuk kezuhudan dengan perasan riyak dan nifak
(berpura-pura). Dalil larangan pakaian Syuhrah ini ialah sabda Rasulullah;
Sesiapa memakai pakaian kemasyhuran, nescaya Allah akan memakaikan
kepadanya pakaian kehinaan pada hari kiamat nanti. Kemudian ia akan dibakar
dengan pakaiannya ke dalam neraka. (Riwayat Ahmad, Abu Daud, Nasai dan Ibnu
Majah dari Ibnu Umar r.a.)
Ada seorang lelaki bertanya Ibnu Umar r.a.; Apakah pakaian yang baik untuk aku
pakai?. Jawab Ibnu Umar; Pakailah pakain yang sekira-kira kamu tidak akan
diperlekehkan oleh orang-orang bodoh (as-sufaha) (kerana buruknya pakain itu dan
tidak ada nilai) dan tidak dikeji oleh orang-orang cerdik (hukama) (kerana
melampaui had kesederhanaan). (Riwayat Imam at-Thabrani).
Apakah dalil dilarang pakaian wanita mempunyai corak yang menarik
perhatian lelaki?
Kerana ia termasuk di dalam pengertian tabarruj yang dilarang oleh al-Quran iaitu
firman Allah;
dan hendaklah kamu (wahai isteri-isteri Nabi) tetap di rumahmu dan janganlah
kamu bertabarruj (yakni berhias dan bertingkah laku) seperti orang-orang Jahiliyah
yang dahulu .. (al-Ahzab: 33)
Menurut ulamak; at-Tabarruj bermaksud seorang wanita mendedahkan
perhiasannya atau kecantikannya yang mendorong syahwat lelaki.[8] Pengertian
tabarruj bukan hanya khusus kepada mendedahkan aurat sahaja, tetapi
merangkumi semua perlakuan untuk menarik perhatian lelaki termasuk stail
berpakaian, cara berjalan, cara bercakap, solekan dan sebagainya.
Adakah pakaian kanak-kanak juga perlu mematuhi cirri-ciri pakaian di atas?

Ya. Hukum bagi kanak-kanak juga adalah serupa. Dilarang ibu-bapa atau penjaga
memakaikan kepada anak lelaki pakaian untuk perempuan dan begitu juga
diharamkan memakaikan kepada anak perempuan pakaian untuk lelaki. Diceritakan
bahawa suatu hari Saidina Umar r.a. melihat anak lelaki Zubair dipakaikan
kepadanya pakaian dari sutera. Lalu Umar mengoyaknya dan berkata; Janganlah
kamu memakaikan kepadanya pakaian dari sutera. Begitu juga, Ibnu Masud
pernah mengoyak pakaian sutera yang dipakaikan kepada anak lelakinya.[9]
Dikecualikan dalam masalah aurat. Kanak-kanak yang belum baligh tidaklah dituntut
menutup aurat sebagaimana tuntutan ke atas orang dewasa. Namun ibu-bapa wajib
melatih anak-anak dengan adab-adab Islam (termasuk adab berpakaian menutup)
untuk membiasakan mereka apabila baligh nanti.[10]
Adakah Islam melarang berpakaian cantik?
Islam mengharuskan memakai pakaian yang cantik dan lawa tetapi janganlah
melanggar had-had yang ditetap Allah, jangan membazir dan jangan takbur atau
bongkak.
Imam Muslim meriwayatkan dari Ibnu Masud, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda;
Tidak masuk syurga seorang yang ada sifat takbur dalam hatinya walau sebesar biji
sawi.
Lalu berkata seorang lelaki;
Jika seorang lelaki suka memakai pakaian yang cantik dan memakai kasut yang
lawa, adakah dia juga dikatakan takbur?.
Lalu jawab baginda;
Tidak! Allah itu cantik dan Ia sukakan kecantikan. Yang dikatakan takbur itu ialah
enggan menerima kebenaran (iaitu sombong terhadap kebenaran) dan memandang
rendah terhadap manusia.
Apa makna jilbab?
Di dalam al-Quran Allah memerintahkan wanita-wanita beriman memakai jilbab
sebagaimana firmanNya;
Hai Nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteriisteri orang mu'min: "Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh
mereka". Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal[11], karena
itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha pengampun lagi Maha
penyayang. (al-Ahzab: 59)
Menurut Imam Abu Bakar ibnu al-Arabi; para ulama berikhtilaf dalam mentafsirkan
jilbab. Namun lafaz-lafaz yang mereka gunakan hampir memberi pengertian yang

serupa di mana asasnya ialah pakaian yang menutup/melitupi badan. Dengan


pengertian ini, maka ayat di atas merupakan arahan kepada sekelian wanita Islam
supaya menutup badan mereka. Jika digabungkan ayat di atas dengan ayat dari
surah an-Nur (iaitu ayat 31), maka had yang mesti ditutup ialah dari hujung rambut
hinggalah ke tapak kaki kecuali muka dan dua tangan. Di sisi sebahagian fuqaha,
dikecualikan juga dua kaki. Pakaian yang dipakai untuk menutup badan itu
hendaklah tidak jarang hingga menampakkan bayangan kulit dan juga tidak ketat
hingga mendedahkan bentuk tubuh.[12]
Adakah terdapat fesyen tertentu bagi pakaian dalam Islam?
Tidak ada fesyen tertentu yang ditetapkan Islam bagi pakaian. Ia terserah kepada
manusia untuk menentukannya mengikut pengalaman dan kebiasaan masingmasing kerana hal ini termasuk dalam perkara-perkara duniawi yang diberi
kebebasan kepada manusia untuk menentukannya.
Syarak hanya menetapkan pakaian hendaklah menutupi aurat, tidak jarang, tidak
ketat/sendat dan sebagainya tadi. Adapun bentuk, fesyen dan cara pemakaiannya,
maka terserah kepada kebiasaan atau kehendak manusia selagi tidak bercanggah
dengan ciri-ciri pakaian yang ditetapkan tadi.[13]
Apa hukum memakai pakaian labuh hingga melebihi buku lali?
Ada perbezaan antara lelaki dan wanita. Bagi wanita, digalakkan ia melabuhkan
pakaiannya hingga menutupi keseluruhan kaki. Diriwayatkan dari Sofiyyah binti Abi
Ubaid r.a. yang menceritakan; Ummu Salamah (salah seorang isteri Nabi s.a.w.)
semasa Nabi menyebutkan tentang celaan terhadap orang yang melabuhkan kain
sarungnya, beliau bertanya; Bagaimana dengan kaum wanita wahai Rasulullah?
(yakni adakah mereka juga turut dilarang melabuhkan pakaian). Baginda
menjawab; Labuhkan sejengkal sahaja. Ummu Salamah bertanya lagi;
Bagaimana jika masih terdedah kaki mereka?. Nabi menjawab; Labuhkan sehasta
sahaja. Jangan lebih dari itu. (Riwayat Imam Abu Daud dan at-Tirmizi).[14]
Adapun bagi lelaki, ada perbezaan pandangan di kalangan ulamak;[15]
1. Menurut segolongan ulamak; haram melabuhkan pakaian di bawah buku lali
secara keseluruhannya. Pengharaman ini berdalilkan beberapa hadis antaranya
sabda Nabi s.a.w.;
Kain sarung yang di bawah dari dua buku lali adalah di dalam neraka (Riwayat
Imam al-Bukhari dari Abu Hurairah r.a.).[16]
2. Menurut sebahagian ulamak yang lain; diharamkan jika ada niat berbanggabangga atau menyombong diri. Jika tanpa niat tersebut, tidaklah haram. Ini kerana
terdapat hadis yang mengaitkan pengharaman melabuhkan pakaian itu dengan niat

tersebut. Antaranya sabda Nabi s.a.w.;


Allah tidak memandang[17] (yakni tidak akan memberi rahmatNya) kepada orang
yang melabuhkan pakaiannya kerana menyombong (atau berbangga-bangga diri).
(Riwayat Imam Muslim dari Ibnu Umar r.a.)
Lebih jelas lagi, ada hadis menceritakan tatkala Nabi s.a.w. berkata Sesiapa
melabuhkan pakaiannya kerana menyombong diri, Allah tidak akan memandang
kepadanya pada hari kiamat, Abu Bakar pun berkata kepada baginda; Ya
Rasulullah s.a.w., kain sarungku akan melabuh kecuali aku memegangnya. Nabi
berkata; Engkau bukanlah dari golongan orang-orang yang melakukannya (yakni
melabuhkan pakaian) kerana ingin menyombong. (Riwayat Imam al-Bukhari, Abu
Daud dan an-Nasai dari Ibnu Umar r.a.).
Walaupun tidak haram, hukumnya adalah makruh. Imam Nawawi dalam kitabnya
Syarah Soheh Muslim, tatkala menghuraikan hadis di atas beliau menyebutkan
antaranya; Tidak harus melabuhkan pakaian hingga ke bawah buku lali jika dengan
tujuan menyombong diri. Jika bukan dengan tujuan tersebut, hukumnya adalah
makruhKadar yang disunatkan ialah hingga ke tengah betis. Jika dari tengah betis
hingga ke buku lali (tanpa melepasinya), hukumnya adalah harus. Jika labuh hingga
melepasi buku lali, hukumnya adalah makruh kecuali ada niat menyombong diri,
maka hukumnya adalah haram.[18]
Adakah disunatkan membaca doa ketika memakai pakaian?
Abi Said al-Khudri r.a. menceritakan; Adalah Rasulullah s.a.w. apabila memakai
pakaian baru, baginda akan menyebut nama pakaian baru itu sama ada serban,
baju atau selendangnya, kemudian baginda membaca;
Maksudnya; Ya Allah! Untukmu segala pujian. Engkaulah yang memakaikanku
pakaian ini. Aku memohon kepadaMu kebaikan pakaian ini dan kebaikan tujuan ia
dibuat. Aku berlindung dari kejahatan pakaian ini dan kejahatan tujuan ia dibuat.
(Riwayat Imam at-Tirmizi dan Abu Daud. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini adalah
hasan).
Adakah harus wanita memakai seluar?
Harus dengan syarat-syarat berikut;[19]
1. Seluar itu dibuat khusus untuk wanita. Tidak harus ia memakai seluar lelaki
kerana diharamkan wanita menyerupai lelaki.
2. Ia memakainya di bahagian dalam, yakni dilitupi oleh pakaian lain yang tidak
menampakkan bentuk tubuhnya.
3. Jika tidak dilitupi dengan pakaian luar, tidak harus ia memakainya kecuali di
hadapan suami atau mahramnya atau di hadapan wanita lain. Adapun di hadapan
lelaki-lelaki ajnabi, tidak harus ia memakainya kerana pemakaian seluar sahaja

(tanpa pakaian luar) menampakkan bentuk tubuh.


Digalakkan wanita memakai seluar di bahagian dalamnya (yakni di samping pakaian
luar) kerana ia lebih menjaga aurat.[20]
Adakah Syarak menetapkan warna tertentu bagi pakaian wanita?
Syarak tidak menetapkan warna tertentu bagi pakaian wanita, begitu juga bagi
pakaian lelaki. Namun hendaklah pakaian wanita tidak terlalu terang warnanya
hingga menarik perhatian lelaki atau mempunyai corak yang boleh membangkitkan
ghairah atau mencuri pandangan lelaki kepadanya. Kerana itu, para ulamak
menyukai jika wanita memakai pakaian berwarna gelap kerana ia kurang menarik
perhatian berbanding warna lain.[21]
Apakah warna yang paling baik bagi pakaian lelaki?
Warna putih. Dari Samurah bin Jundab r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda;
Pakailah pakaian berwarna putih kerana sesungguhnya ia lebih suci dan lebih baik
dan kafankanlah dengannya jenazah-jenazah kamu. (Sunan at-Tirmizi, an-Nasai,
Ibnu Majah, Musnad Imam Ahmad)
Hadis di atas menunjukkan keutamaan pakaian putih dari pakaian-pakaian
berwarna lain. Disunatkan memakai pakaian berwarna putih dan mengkafankan
jenazah dengan kain yang berwarna putih. Begitu juga, pakaian putih adalah paling
baik dipakai untuk menghadiri solat Jumaat, solat Jamaah, bertemu ulamak atau
pembesar.[22]
Adakah harus memakai pakaian berwarna lain dari putih?
Ya, Harus. Walaupun Nabi s.a.w. menyukai warna putih, namun dalam pemakaian
baginda sendiri tidaklah baginda hanya memakai pakaian berwarna putih sahaja.
Baginda juga memakai pakaian berwarna lain dari putih. Perhatikan hadis-hadis
berikut;
1. Aisyah r.a. menceritakan; Rasulullah s.a.w. keluar pada suatu pagi dengan
memakai kain yang diperbuat dari bulu hitam. (Riwayat Imam Muslim, at-Tirmizi
dan Abu Daud)
2. Qailah binti Makhramah r.a. menceritakan; Aku melihat Nabi s.a.w. dan pada
badan baginda terdapat dua kain sarung yang telah lusuh (buruk) yang dicelup
dengan zafaran, namun warna zafaran itu telah pun pudar. (Riwayat Imam atTirmizi)
3. Abi Rimsah menceritakan; Aku melihat Nabi s.a.w. dan baginda memakai dua
kain burdah berwarna hijau. (Sunan an-Nasai, Abu Daud, Musnad Ahmad)

4. Aun bin Abi Juhaifa meriwayatkan dari bapanya yang menceritakan; Aku melihat
Rasulullah s.a.w. memakai kain/pakaian berwarna merah dan aku lihat seolah-olah
(putih) bercahaya dua betis baginda. Berkata Sufyan (yang merupakan antara
perawi hadis ini); Kami berpandangan kain yang dimaksudkan itu ialah Hibarah.
(Riwayat at-Tirmizi, Imam Ahmad dan Imam at-Thabrani)
5. Al-Barra bin Azib r.a. menceritakan; Aku tidak pernah melihat seorang pun dari
manusia yang lebih kacak dengan pakaiannya berwarna merah dari Rasulullah.
Rambut baginda panjangnya hampir mencecah dua bahunya. (Sunan an-Nasai,
Soheh Muslim, Musnad Ahmad)
Nota Hujung;
[1] Tafsir al-Jalalain dan Tafsir Ibnu Kathir.
[2] Al-Halal wa al-Haram, hlm. 161-162.
[3] Al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 127.
[4] Lihat; ulasan Imam Abu Daud dalam Sunannya (Kitab al-Libas, Bab Fi alIkhtimar). Lihat juga; al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 186).
[5] Fatwa Syeikh al-Munajjid (http://www.islam-qa.com/ar/ref/30812/) .
[6] Lihat; Tafsir al-Quran al-Adziem, surah al-Baqarah, ayat 104.
[7] Al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 183.
[8] Fathul-Qadier, Imam as-Syaukani.
[9] Tasyabbuh Yang Dilarang di Dalam Fiqh Islam, Jamil bin Habib al-Luwaihiq, hlm.
138-139.
[10] Fatawa Ulama Baladil-Haram, hlm. 748.
[11] Yakni mudah dikenali bahawa mereka adalah wanita merdeka, bukan hamba.
Atau mudah dikenali bahawa mereka adalah wanita Islam, bukan wanita kafir. (Lihat
as-Asas fi at-Tafasir).
[12] Dipetik dari Fatwa mufti Mesir tahun 1981 iaitu Syeikh Jadul-Haq Ali Jadul-Haq.
(Rujukan; Mausuah Fatawa Dar al-Iftak al-Mishriyyah, ter. Majlis alAla Li asySyuun al-Islamiyyah, Mesir).
[13] Dipetik dari Fatwa mufti Mesir tahun 1981 iaitu Syeikh Jadul-Haq Ali Jadul-Haq.
(Rujukan; Mausuah Fatawa Dar al-Iftak al-Mishriyyah, ter. Majlis alAla Li asySyuun al-Islamiyyah, Mesir).
[14] Syarh as-Sunnah, Imam al-Baghawi, 7/11.
[15] Al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 170-173.
[16] Maksud hadis ialah; kawasan kaki yang dikenai oleh kain sarung yang
dilabuhkan melepasi dua buku lali, kawasan itu akan diazab di dalam neraka
sebagai balasan kepada pemakainya (ulasan Imam al-Khattabi. Lihat; al-Albisah Wa
az-Zinah, hlm. 170).
[17] Yakni Allah tidak akan merahmatinya atau tidak akan memandangnya dengan
pandangan rahmat (Lihat; al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 169).
[18] Syarah Soheh Muslim, juz. 14, Kitab al-Libas Wa az-Zinah.
[19] Al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 130 dan 187. Fatawa Ulama Baladil-Haram, hlm.

750.
[20] Al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 201.
[21] Al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 126. Fatwa Syeikh al-Munajjid (baca di;
http://www.islam-qa.com/ar/ref/898).
[22] Raudhatul-Muttaqien, 2/314.

Anda mungkin juga menyukai