Anda di halaman 1dari 4

Habil Dan Qabil - Peristiwa Pembunuhan Pertama Dalam Sejarah Manusia

Habil dan Qabil, kedua-duanya merupakan anak kepada Nabi Adam a.s. iaitu manusia pertama di
muka bumi ini. Qabil adalah seorang yang selalu melakukan keburukan, dosa, tamak dan menentang
kebenaran manakala Qabil pula adalah saudaranya yang sangat soleh, bertaqwa dan selalu berbuat
kebenaran. Pertelingkahan sering terjadi antara kedua-dua saudara ini. Habil selalu mempertahankan
kebenaran sedangkan Qabil pula selalu menentangnya.
Perselisihan antara kedua-duanya sering terjadi hingga akhirnya sampai ke suatu tahap yang
kritikal iaitu peristiwa pembunuhan yang dilakukan oleh Qabil terhadap adiknya, Habil.
Dikisahkan bahawa Nabi Adam a.s. mempunyai dua pasang anak kembar yang pertama
dilahirkan oleh isterinya, Siti Hawa. Setiap kembar itu terdiri dari seorang laki-laki dan perempuan.
Pasangan yang pertama, Qabil dengan saudara kembar perempuannya Iqlima dan yang kedua Habil
dengan saudara kembar perempuannya perempuannya, Lubuda'.
Demi menjaga kemurnian keturunan dan menghindari hubungan kelamin yang bebas di antara
putera-puterinya, Allah SWT memberi ilham dan petunjuk kepada Nabi Adam a.s. agar kedua-dua
puteranya dikahwinkan dengan puterinya. Qabil dijodohkan dengan adik Habil, iaitu Lubuda dan Habil
dengan adik Qabil, iaitu Iqlima. Cara yang telah diilhamkan oleh Allah SWT kepada Nabi Adam a.s. telah
disampaikan kepada kedua-dua puteranya sebagai keputusan si ayah yang harus dipatuhi dan segera
dilaksanakan untuk menjaga dan mengekalkan suasana damai dan tenang yang meliputi keluarga dan
rumah tangga mereka.
Namun, rancangan yang diputuskan itu telah ditolak mentah-mentah oleh Qabil dengan alasan
bahawa ia tidak mahu mengahwini Lubuda, adik Habil kerana Lubuda tidak secantik adiknya sendiri,
Iqlima. Ia berpendapat bahawa ia lebih patut menikahi adiknya, Iqlima dan sekali-kali tidak rela
menyerahkannya untuk dikahwinkan kepada Habil. Demikianlah kecantikan dan keelokan paras wanita
selalu menjadi fitnah dan rebutan lelaki yang kadang-kadang menjurus kepada pertentangan dan
permusuhan yang sampai mengakibatkan hilangnya nyawa dan timbulnya rasa dendam dan dengki di
antara sesama ahli keluarga dan sesama suku.
Kerana Qabil tetap berkeras tidak mahu menerima keputusan ayahnya dan meminta supaya
dikahwinkan dengan adik kembarnya sendiri iaitu Iqlima, maka Nabi Adam a.s. secara bijaksana

mengusulkan agar menyerahkan masalah perjodohan itu kepada Tuhan untuk menentukannya. Caranya
ialah kedua-dua puteranya harus menyerahkan korban kepada Allah SWT dengan syarat bahawa barang
siapa di antara kedua puteranya itu diterima korbannya, maka ia berhak menentukan pilihan jodohnya.
..........
Qabil dan Habil menerima baik jalan penyelesaian yang diusulkan oleh ayah mereka. Habil
keluar dan kembali membawa peliharaannya, sedangkan Qabil datang dengan sekarung gandum yang
dipilih dari hasil tanamannya yang rosak. Kemudian kedua korban itu diletakkan di atas sebuah bukit lalu
pergilah kedua-duanya menyaksikan dari jauh apa yang akan terjadi atas kedua jenis korban tersebut.
Kemudian dengan disaksikan oleh seluruh anggota keluarga Nabi Adam a.s. yang menanti dengan
hati berdebar apa yang akan terjadi di atas bukit di mana kedua korban itu diletakkan, terlihatlah api besar
yang turun dari langit menyambar kambing korban Habil sedangkan karung gandum kepunyaan Qabil
tidak tersentuh sedikit pun oleh api dan tidak terjejas.
Oleh yang demikian, Habil diisytihar sebagai pemenang kerana korbannya telah diterima oleh Allah
SWT. Maka, dialah yang mendapat keutamaan untuk memilih siapakah di antara kedua gadis saudaranya
itu yang akan dinikahinya.
Dengan datangnya keputusan dari langit yang menerima korban Habil dan menolak qurban Qabil, maka
hancurlah harapan Qabil untuk menikahi Iqlima. Ia tidak puas hati dengan keputusan itu, namun tidak ada
jalan untuk menolaknya. Ia menyerah dan menerimanya dengan rasa kesal dan marah sambil menaruh
dendam terhadap Habil.
"Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua putera Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya,
ketika keduanya mempersembahkan korban, maka diterima dari salah seorang dari mereka berdua
(Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Qabil). Ia berkata (Qabil), "Aku pasti
membunuhmu." Berkata Habil,"Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari orang-orang
yang bertakwa. Sungguh kalau kamu menggerakkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku
sekali-kali tidak akan menggerakkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu, aku takut kepada
Allah, Tuhan seru sekalian alam. Sesungguhnya aku ingin agar kamu kembali (membawa) dosa
(membunuh)ku dan dosamu sendiri, maka kamu akan menjadi penghuni neraka, dan demikian itulah
pembalasan bagi orang-orang zalim." Maka hawa nafsu Qabil menjadikannya menganggap mudah

membunuh saudaranya, sebab itu dibunuhnya. Maka jadilah ia seorang di antara orang-orang yang
merugi." (Surah. Al-Maidah: ayat 27-30).
Perkataan takwa yang diucapkan Habil ketika berdialog dengan Qabil, sebenarnya sangat tepat untuk
mengingatkan dirinya atau Qabil yang ingin melakukan kejahatan itu. Namun, Qabil bukanlah seorang
yang bertakwa. Disebabkan itu, Allah tidak menerima korbannya kerana kedengkian yang meliputi
hatinya memuncak dan menimbulkan suatu keinginan keras untuk membunuh adiknya.
Ketika Nabi Adam AS hendak meninggalkan rumah, beliau mengamanahkan rumahtangga dan keluarga
kepada Qabil. Ia berpesan kepada Qabil agar menjaga baik-baik ibu dan saudara-saudaranya selama
ketiadaannya. Ia berpesan pula agar kerukunan keluarga dan ketenangan rumahtangga dipelihara sebaikbaiknya, jangan terjadi hal-hal yang mengeruhkan suasana atau merosakkan hubungan kekeluargaan.
Qabil menerima pesanan dan amanat ayahnya dengan kesanggupan akan berusaha sekuat tenaga menjaga
amanat ayahnya dengan sebaik-baiknya. Demikianlah kata-kata dan janji yang keluar dari mulut Qabil.
Namun dalam diam dia mula merancang untuk melaksanakan niat jahatnya dan melepaskan rasa
dendamnya dan dengkinya terhadap Habil.
Tidak lama setelah Adam meninggalkan keluarganya, datanglah Qabil menemui Habil di tempat
penternakannya. Berkata ia kepada Habil:"Aku datang ke mari untuk membunuhmu. Masanya telah tiba
untuk aku lenyapkan engkau dari atas bumi ini" "Apa salahku? Dengan alasan apakah engkau hendak
membunuhku?" tanya Habil.
Qabil berkata: "Kerana korbanmu telah diterima oleh Allah sedangkan korbanku ditolak yang bererti
bahawa engkau akan mengahwini adikku Iqlima yang cantik itu dan aku harus mengahwini adikmu yang
buruk itu."
Habil berkata: "Adakah berdosa aku bahawa Allah telah menerima korbanku dan menolak korbanmu?
Tidakkah engkau telah bersetuju cara penyelesaian yang diusulkan oleh ayah sebagaimana telah kami
laksanakan? Janganlah tergesa-gesa wahai saudaraku, mempertaruhkan hawa nasfu dan ajakan syaitan!
Kawallah perasaanmu dan fikirlah masak-masak akan akibat perbuatanmu kelak!"
"Ketahuilah bahawa Allah hanya menerima korban dari orang-orang yang bertakwa yang menyerahkan
dengan tulus ikhlas dari hati yang suci dan niat yang murni. Adakah mungkin sesekali bahawa korban

yang engkau serahkan itu engkau pilihkannya dari gandummu yang telah rosak dan engkau berikan
secara terpaksa bertentangan dengan kehendak hatimu, sehingga ditolak oleh Allah, berlainan dengan
kambing yang aku serahkan sebagai korban yang sengaja aku pilihkan dari ternakanku yang paling sihat
dan kucintai dan ku serahkannya dengan tulus ikhlas disertai permohonan diterimanya oleh Allah."
"Renungkanlah, wahai saudaraku kata-kataku ini dan buangkanlah niat jahatmu yang telah dibisikkan
kepadamu oleh Iblis itu, musuh yang telah menyebabkan turunnya ayah dan ibu dari syurga dan
ketahuilah bahawa jika engkau tetap berkeras kepala hendak membunuhku, tidaklah akan aku angkat
tanganku untuk membalasmu kerana aku takut kepada Allah dan tidak akan melakukan sesuatu yang
tidak diredhainya. Aku hanya berserah diri kepada-Nya dan kepada apa yang akan ditakdirkan bagi
diriku."
..........
Pertentangan sengit itu, hakikatnya tidak terjadi pada diri Qabil dan Habil. Tetapi pertentangan sengit
yang sebenarnya terjadi antara Qabil dan hawa nafsunya, atau antara Qabil dengan nafsu jahatnya. Dalam
keadaan demikian, mestinya Qabil harus bertahan mengekang kerakusan nafsunya untuk melepaskan diri
dari hasutan nafsu jahat itu.
Nasihat dan kata-kata mutiara Habil itu didengari oleh Qabil, namun tidak dipedulikannya dan sekali-kali
tidak sampai menyentuh lubuk hatinya yang penuh rasa dengki, dendam dan iri hati sehingga tidak ada
tempat lagi bagi rasa damai, cinta dan kasih sayang kepada saudara sekandungnya. Qabil yang dihasut
oleh iblis tidak diberinya kesempatan untuk menoleh ke belakang mempertimbangkan kembali tindakan
jahat yang dirancangkan terhadap saudaranya, bahkan bila api dendam dan dengki di dalam dadanya
mulai akan padam, ditiup kembali oleh iblis agar tetap menyala-yala.
Ketika Qabil bingung tidak tahu bagaimana caranya untuk membunuh Habil, menjelmalah iblis dengan
seekor burung yang dipukul kepalanya dengan batu sampai mati. Contoh yang diberikan oleh iblis itu
dilaksanakan ke atas diri Habil ketika ia tidur dengan nyenyak, maka terkorbanlah Habil sebagai korban
keganasan saudara kandungnya sendiri dan sebagai korban pembunuhan pertama dalam sejarah manusia.

Anda mungkin juga menyukai