Anda di halaman 1dari 6

Cinta Saidina Abu Bakar R.A. kepada Rasulullah S.A.W.

Berapa umur Nabi Muhammad S.A.W ketika beliau berhijrah? 23 tahun? 30 tahun? Adakah
beliau menaiki kenderaan atau tunggangan? Adakah beliau bergerak dari Mekah ke Madinah
dengan ribuan kaum kafir sedang mengekori beliau untuk membunuh beliau pada umur 35
tahun? Berapa umur beliau ketika itu? 53 TAHUN! Cuba tunjukkan kepada saya seorang tua
yang berumur 53 tahun yang mampu berjalan berbatu-batu jauhnya dalam keadaan panas
gurun tanpa jatuh pengsan! Seorang lagi sahabat paling rapat dengan Rasulullah, yang
menemani Rasulullah, berapa umurnya? Dia berumur 51 tahun. Dialah Saidina Abu Bakar As
Siddiq R.A, sahabat paling rapat dengan Rasulullah S.A.W juga pencinta Rasulullah yang
sangat agung.

Seorang berumur 53 tahun manakala seorang lagi berumur 51 tahun. Bagi kita umur ini
sudah setara dengan umur datuk yang tua. Mereka berdua orang tua yang mengharungi
gunung dan padang pasir dalam keadaan panas yang terik. Anda bayangkan. Tapi disini Abu
Bakar R.A berkata "Wahai Rasulullah, kita tidak akan dapat lari dari musuh-musuh yang
mengejar kita, kita mesti menyusun strategi. Kita perlu bersembunyi dalam salah satu gua
yang ada disini". Lalu Rasulullah S.A.W bersetuju dengan pendapat Abu Bakar R.A. Kemudian
Abu Bakar berkata lagi "Tetapi Rasulullah, ada satu masalah. Kemana sahaja kita pergi
musuh-musuh tetap akan dapat mengekori kita kerana mereka nampak akan kesan tapak
kaki kita berdua. Jadi kita mesti menghilangkan salah satu pasang tapak kaki ini supaya
mereka tidak mengekori kita lagi". Lalu Rasulullah S.A.W bertanya "Wahai Abu Bakar, jadi apa
pendapat mu?". Jawab Saidina Abu Bakar R.A "WAHAI RASULULLAH, PELUKLAH AKU DARI
BELAKANG, ENGKAU NAIKLAH KE ATAS BELAKANGKU, BIAR AKU SAHAJA BAWA KAMU
MENDAKI GUNUNG INI". MasyaAllah. Gunung ini diberi nama Ghar Al Thawr, sebuah gunung
yang sangat curam.

Saidina Abu Bakar R.A bukanlah seorang yang gagah perkasa. Tubuhnya kurus, dan dia
seorang yang lemah. Tetapi kerana cintanya dia kepada Rasulullah S.A.W, dia mengendong
Rasulullah S.A.W sambil berdoa kepada Allah S.W.T menuju ke gua di atas Gunung Ghar Al
Thawr. Biar saya beritahu anda semua yang berat Rasulullah S.A.W itu bukan sahaja terdiri
dari daging, darah dan tulang beliau, tetapi yang paling berat pada batang tubuh Nabi
Muhammad S.A.W adalah KENABIANNYA. Berat badan beliau terdiri dari Wahyu Allah S.W.T.

Satu kisah dimana ketika umat Islam berjaya menakluk Kota Mekah, Rasulullah S.A.W masuk
ke dalam Kaabah, menggunakan tongkatnya, beliau menghancurkan semua berhala yang
ada didalam Kaabah. Tetapi ada satu berhala yang berada di tempat yang agak tinggi di
mana Rasulullah S.A.W tidak dapat mencapainya. Lalu Saidina Ali R.A yang gagah perkasa
berkata "Wahai Rasulullah, naik lah ke atas ku supaya kamu dapat mencapai berhala itu".
Seperti yang kita sedia maklum, Saidina Ali R.A adalah seorang lelaki yang sangat perkasa.
Tubuh badannya sasa. Dengan kata lain, dia jaguh kelas berat bagi seorang peninju.
Bayangkan dalam Perang Khaibar, Saidina Ali R.A mencabut pintu istana musuh dengan
sebelah tangan dan menjadikan pintu besar istana itu sebagai perisainya. Tetapi apabila dia
meminta untuk mengendong Nabi Muhammad S.A.W, lantas Nabi Muhammad S.A.W berkata
"Wahai Ali, sesungguhnya badanmu tidak mampu untuk menanggung beratnya Nubuwwah
(Kenabian)". Tetapi selemah-lemah Saidina Abu Bakar R.A, dia mampu untuk mengendong
Rasulullah S.A.W serta berat Kenabian yang ada pada beliau.

Jadi setelah beberapa lama mendaki, Abu Bakar R.A dan Rasulullah S.A.W sampai ke sebuah
gua. Lalu Abu Bakar R.A berkata kepada Rasulullah S.A.W "Wahai Rasulullah, kamu duduk lah
dahulu di luar, biar aku masuk dahulu ke dalam gua ini". Abu Bakar R.A kemudiannya masuk
ke dalam gua itu, dia melepaskan serban yang dipakai nya, dan dia membersihkan gua itu
supaya kekotoran yang ada di dalam gua itu tidak mengotori Rasulullah S.A.W. Kemudian dia
mencarik-carikkan serban nya dan sedikit pakaian nya lalu di tutup segala lubang yang ada
di dalam gua itu supaya tidak ada sesuatu yang mungkin akan keluar dari lubang-lubang itu
dapat mencederakan Rasulullah S.A.W. Setelah selesai Abu Bakar R.A. menjemput Rasulullah
S.A.W masuk untuk berehat di dalam gua itu. Abu Bakar R.A kemudian melihat kepada pintu
gua yang agak luas yang belum di tutup. Rasulullah S.A.W seraya berkata "Jangan khuatir
wahai Abu Bakar". Dengan izin Allah S.W.T datang labah-labah lalu membuat sarangnya di
pintu gua itu dan menutupi keseluruhan pintu gua tersebut.

Apabila mereka berdua bersiap untuk duduk berehat, Abu Bakar R.A ternampak akan satu
lubang yang mana dia terlepas pandang untuk menutupnya. Pada ketika itu, sudah tidak ada
lagi pakaian atau lebihan kain yang ada pada Abu Bakar R.A untuk menutup lubang itu.
Cepat-cepat ditutup lubang itu menggunakan sebelah kakinya. Setelah dia duduk, Abu Bakar
R.A berkata kepada Rasulullah S.A.W "Wahai Rasulullah, kamu pastinya sudah letih. Kamu
tidur sajalah di pangkuanku". Saidina Abu Bakar R.A mempelawa Rasulullah S.A.W untuk tidur
dipangkuannya sedangkan dia telah mengendong Rasulullah S.A.W mendaki gunung yang
curam itu. Siapa yang sepatutnya letih? MasyaAllah. Inilah kecintaan paling tinggi. Inilah
tahap kecintaan pada Rasulullah yang sangat luar biasa yang ada pada Saidina Abu Bakar
R.A. Rasulullah S.A.W kemudiannya tertidur di pangkuan Saidina Abu Bakar R.A.

Dan ini adalah kisah yang sangat terkenal, dimana ketika Rasulullah S.A.W tertidur
dipangkuan Abu Bakar R.A, seekor ular ingin keluar dari lubang yang ditutup oleh Abu Bakar
R.A dengan menggunakan kakinya. Ular itu mematuk kaki Abu Bakar R.A dan racun ular
tersebut menjalar ke seluruh badan nya. Abu Bakar R.A dapat merasakan racun ular itu
bergerak ke seluruh tubuhnya tetapi dia tetap bertahan. Dia tidak bergerak dari tempat
duduknya kerana jika dia bergerak, dia akan membangunkan Rasulullah S.A.W terjaga dari
tidur beliau. Jadi Abu Bakar R.A, kerana cintanya kepada Rasulullah S.A.W, seolah-olah telah
bersedia untuk mati disebabkan racun ular yang mematuknya itu, asalkan Rasulullah S.A.W
dapat berehat di pangkuannya dan tidak terjaga dari tidur beliau. Kerana tidak dapat
menahan kesakitan racun ular itu, maka air mata Saidina Abu Bakar R.A bercucuran keluar
dari matanya dan terjatuh pada wajah mulia Rasulullah S.A.W.

Rasulullah S.A.W kemudiannya terjaga dan bangun. Dia melihat Abu Bakar R.A lalu bertanya
"Mengapa kamu menangis wahai Abu Bakar?". Jawab Abu Bakar R.A "Wahai Rasulullah, ada
sesuatu telah menggit kaki ku tadi dan aku dapat merasakan racun ia di seluruh tubuhku".
Lalu Rasulullah S.A.W meminta Abu Bakar R.A menunjukkan kaki nya yang dipatuk ular tadi,
dan Rasulullah S.A.W meletakkan sedikit air liur beliau yang sangat diberkati pada tapak kaki
Abu Bakar R.A. Tidak lama kemudian, kesakitan pada badan Abu Bakar R.A beransur hilang
dan dia menjadi kembali bertenaga. Kata Abu Bakar R.A "Wahai Rasulullah, kaki ku yang
tadinya lemah, kini aku rasakan ianya sekuat besi". Inilah mukjizat yang Allah S.W.T berikan
kepada Kekasihnya, Rasulullah S.A.W.

Adakah lagi manusia yang mampu mencintai Rasulullah S.A.W seperti Saidina Abu Bakar As
Siddiq R.A? Mampukah kita? Sama-samalah kita mengambil pengajaran dari kisah ini.
Cintailah Rasullullah S.A.W dengan sepenuh hati kita. Mampu tidak mampu itu kita tidak
tahu. Yang Maha Mengetahui hanyalah Allah S.W.T. Semoga kita beroleh syafaat Rasulullah di
Padang Mahsyar kelak. InsyaAllah.
KETEGASAN MELAKSANAKAN HUKUM ALLAH
Khalifah Sayyidina Umar ibnu Khattab terkenal dengan ketegasannya dalam menjalankan
hukum-hukum Allah. Dengan sebab ketegasannya itulah, orang merasa segan dan hormat
kepadanya. Sayyidina Umar mempunyai beberapa orang anak laki-laki, di antaranya ialah
Abdul Rahman bin Umar. Ia juga terkenal dengan panggilan Abu Syahamah.

Suatu hari Abu Syahamah diuji oleh Allah dengan satu penyakit yang dideritainya selama
kira-kira setahun. Berkat kesabaran dan usahanya akhirnya penyakit tersebut dapat
disembuhkan. Sebagai mensyukuri dan tanda gembira terlepas dari ujian Allah ini, Abu
Syahamah yang sudah lama tidak keluar rumah itu menghadiri majlis jamuan besar-besaran
di sebuah rumah perkampungan Yahudi atas jemputan kawan-kawannya yang juga terdiri
daripada kaum Yahudi. Abu Syahamah dan kawan-kawannya berpesta sehingga lupa kepada
larangan Allah dengan meminum arak sehingga mabuk.

Dalam keadaan mabuk itu, Abu Syahamah pulang melintasi pagar kaum Bani Najjar. Dia
ternampak seorang perempuan Bani Najjar sedang berbaring, lalu mendekatinya dengan
maksud untuk memperkosa. Apabila perempuan itu mengetahuinya dia berusaha untuk
melarikan diri sehingga berjaya mencakar muka dan mengoyakkan baju Abu Syahamah.
Malangnya dia tidak berdaya dan berupaya menahan Abu Syahamah yang sudah dikuasai
oleh syaitan. Akhirnya terjadilah perkosaan.

Akibat perkosaan tersebut perempuan itu hamil. Setelah sampai masanya anak yang
dikandung oleh perempuan itu pun lahir, lalu dibawa ke Masjid Rasulullah Sallallahu 'Alaihi
Wasallam untuk mengadap Amirul Mukminin bagi mengadukan hal kejadian yang menimpa
dirinya. Kebetulan yang menjawat jawatan khalifah pada waktu itu ialah Sayyidina Umar ibnu
Khattab.

"Wahai Amirul Mukminin, ambillah anak ini kerana engkaulah yang lebih
bertanggungjawab untuk memeliharanya daripada aku." Mendengar kenyataan tersebut,
Sayyidina Umar merasa terkejut dan hairan. Perempuan itu berkata lagi: "Anak damit ini
adalah keturunan darah daging anak tuan yang bernama Abu Syahamah." Sayyidina Umar
bertanya: "Dengan jalan halal atau haram?" Perempuan itu dengan berani menjawab: "Ya
Amirul Mukminin, Demi Allah yang nyawaku di tanganNya, daripada pihak aku anak ini halal
dan daripada pihak Abu Syahamah, anak ini haram." Sayyidina Umar semakin kebingungan
dan tidak faham maksud perempuan Bani Najjar ini lalu menyuruh perempuan ini berterus
terang.

Perempuan itu pun menceritakan kepada Sayyidina Umar peristiwa yang menimpa
dirinya sehingga melahirkan anak itu. Sayyidina Umar mendengar pengakuan perempuan itu
sehingga menitiskan air mata. Kemudian Sayyidina Umar menegaskan: "Wahai perempuan
jariyah (jariyah adalah panggilan budak perempuan bagi orang Arab), ceritakanlah perkara
yang sebenarnya supaya aku dapat menghukum perkara kamu ini dengan sebenar-benarnya
dan seadil-adilnya." Perempuan itu menjawab: "Ya Amirul Mukminin, penjelasan apa yang
tuan kehendaki daripadaku? Demi Allah!, Sesungguhnya aku tidak berdusta dan aku sanggup
bersumpah di hadapan mushaf al-Qur'an." Lalu Sayyidina Umar mengambil mushaf al-Qur'an
dan perempuan itu pun bersumpah bermula dari surah al-Baqarah hingga surah Yassiin.
Kemudian bertegas lagi: "Ya Amirul Mukminin, sesungguhnya anak ini adalah dari darah
daging anakmu Abu Syahamah." Kemudian Sayyidina Umar berkata: "Wahai jariyah! Demi
Allah engkau telah berkata benar." Kemudian beliau berpaling kepada para sahabat, katanya
"Wahai sekalian sahabat Rasulullah, aku berharap kamu semua tetap di sini sehingga aku
kembali." Tak lama kemudian Sayyidina Umar datang lagi sambil membawa wang dan kain
untuk diberikan kepada perempuan malang itu: "Wahai jariyah, ambillah wang sebanyak tiga
puluh dinar dan sepuluh helai kain ini dan halalkanlah perbuatan anakku terhadapmu di
dunia ini dan jika masih ada lagi bakinya, maka ambillah sewaktu berhadapan dengan Allah
nanti." Perempuan itu pun mengambil wang dan kain yang diberikan oleh Sayyidina Umar
lalu pulang ke rumah bersama-sama dengan anaknya.

Setelah perempuan itu pulang Sayyidina Umar berkata kepada sahabat-sahabatnya:


"Wahai sekalian sahabat Rasulullah, tetaplah kamu di sini sehingga aku kembali." Sayyidina
Umar terus pergi menemui anaknya Abu Syahamah yang ketika itu sedang menghadapi
hidangan makanan. Setelah mengucap salam dia pun berkata: "Wahai anakku, hampirilah
padaku dan marilah kita makan sama-sama. Tidakku sangka inilah hari terakhir bekalanmu
untuk kehidupan dunia." Mendengar perkataan ayahnya itu, Abu Syahamah terkejut seraya
berkata, "Wahai ayahku, siapakah yang memberitahu bahawa inilah hari terakhir bekalanku
untuk kehidupan dunia? Bukankah wahyu itu telah putus setelah wafatnya Rasulullah
Sallallahu 'Alaihi Wasallam." Kata Sayyidina Umar: "Wahai anakku, berkata benarlah
sesungguhnya Allah Maha Melihat dan Dia tidak dapat dilihat dengan pandangan mata dan
Dialah Maha Luas Penglihatannya."

Sambung Sayyidina Umar lagi: "Masih ingatkah engkau, hari semasa engkau pergi ke
satu majlis di perkampungan Yahudi dan mereka telah memberikan kamu minum arak
sehingga kamu mabuk? Kemudian dalam keadaan mabuk kamu pulang melintasi
perkampungan Bani Najjar di mana engkau bertemu dengan seorang perempuan lalu
memperkosanya? Berkata benarlah anakku, kalau tidak engkau akan binasa." Abu Syahamah
mendengar kenyataan ayahnya itu dengan perasaan malu sambil diam membisu. Dengan
perlahan beliau membuat pengakuan: "Memang benar aku lakukan hal itu, tapi aku telah
menyesal di atas perbuatanku itu." Sayyidina Umar menegaskan: "Tiada guna bagimu
menyesal setelah berbuat suatu kerugian. Sesungguhnya engkau adalah anak Amirul
Mukminin tiada seorang pun yang berkuasa mengambil tindakan ke atas dirimu, tetapi
engkau telah memalukan aku di hadapan sahabat Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam."
Kemudian Sayyidina Umar memegang tangan Abu Syahamah lalu membawa ke tempat para
sahabat yang sudah sekian lama menunggu. "Mengapa ayahanda melakukan ini?" Tanya Abu
Syahamah. "Kerana aku mahu tunaikan hak Allah semasa di dunia supaya aku dapat lepas
daripada dituntut di akhirat kelak," jawab Sayyidina Umar dengan tegas.

Abu Syahamah dengan cemas merayu: "Wahai ayahandaku, aku mohon dengan nama
Allah, tunaikanlah hak Allah itu di tempat ini, jangan malukan aku di hadapan sahabat
Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam." Jawab Sayyidina Umar: "Engkau telah membuat malu
dirimu sendiri dan engkau telah menjatuhkan nama baik ayahmu." Apabila sampai di
hadapan para sahabat mereka pun bertanya: "Siapakah di belakangmu wahai Amirul
Mukminin?" Jawab Sayyidina Umar: "Wahai sahabatku, sesungguhnya di belakang aku ini
adalah anakku sendiri dan dia telah mengaku segala perbuatannya, benarlah perempuan
yang menyampaikan khabar tadi."
Kemudian Sayyidina Umar memerintah budaknya (hambanya): "Wahai Muflih, pukullah
anakku Abu Syahamah, rotanlah dia sehingga dia merasa sakit, jangan kasihani dia, setelah
itu kamu aku merdekakan kerana Allah." Muflih agak keberatan untuk melakukannya kerana
khuatir tindakannya itu akan memberi mudharat kepada Abu Syahamah, tetapi terpaksa
mengalah apabila diperintah oleh Sayyidina Umar. Tatkala dia memukul Abu Syahamah
sebanyak sepuluh kali, kedengaranlah Abu Syahamah dalam kesakitan: "Wahai ayahandaku,
rasanya seperti api yang menyala pada jasadku."

Jawab Sayyidina Umar: "Wahai anakku, jasad ayahmu ini terasa lebih panas dari
jasadmu." Kemudian Sayyidina Umar memerintah Muflih memukul sebanyak sepuluh rotan
lagi. Berkata Abu Syahamah: "Wahai ayahandaku, tinggalkanlah aku supaya aku dapat
mengambil sedikit kesenangan." Jawab sayyidina Umar: "Seandainya ahli neraka dapat
menuntut kesenangan, maka aku pasti akan berikan kepadamu kesenangan." Setelah itu
Sayyidina Umar menyuruh Muflih memukul Abu Syahamah sebanyak sepuluh rotan lagi. Abu
Syahamah merayu: "Wahai ayahandaku aku mohon kepadamu dengan nama Allah,
tinggalkanlah aku supaya aku dapat bertaubat."

Jawab Sayyidina Umar dengan pilu: "Wahai anakandaku, apabila selesai aku menjalankan
hak Allah, jika engkau hendak bertaubat pun maka bertaubatlah dan jika engkau hendak
melakukan dosa itu lagi pun maka lakukanlah dan engkau akan dipukul seumpama ini lagi."
Selanjutnya Sayyidina Umar menyuruh Muflih memukul Abu Syahamah sebanyak sepuluh kali
sebatan lagi.

Abu Syahamah terus merayu: "Wahai ayahandaku, dengan nama Allah aku mohon
kepadamu berilah aku minum seteguk air." Sayyidina Umar menjawab dengan tegas: "Wahai
anakandaku, seandainya ahli neraka dapat meminta air untuk diminum, maka aku akan
berikan padamu air minum." Perintah Sayyidina Umar diteruskan dengan meminta Muflih
memukul lagi sebanyak sepuluh rotan. Abu Syahamah mohon dia dikasihani: "Wahai
ayahandaku, dengan nama Allah aku mohon kepadamu kasihanilah aku." Sayyidina Umar
dengan sayu menjawab: "Wahai anakandaku, kalau aku kasihankan kamu di dunia, maka
engkau tidak akan dikasihani di akhirat." Sayyidina Umar selanjutnya memerintahkan Muflih
memukul lagi sebanyak sepuluh kali sebatan. Abu Syahamah dengan nada yang lemah
berkata: "Wahai ayahandaku, tak kasihankah ayahanda melihat keadaan aku begini sebelum
aku mati?"

Sayyidina Umar menjawab: "Wahai anakandaku, aku akan hairan kepadamu sekiranya
engkau masih hidup dan jika engkau mati kita akan berjumpa di akhirat nanti." Sayyidina
Umar terus memerintahkan Muflih memukul lagi sebanyak sepuluh rotan. Dalam keadan
semakin lemah Abu Syahamah berkata; "Wahai ayahandaku, rasanya seperti sudah sampai
ajalku....." Sayyidina Umar dengan perasaan sedih berkata: "Wahai anakandaku, jika engkau
bertemu Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam, sampaikan salamku kepadanya, katakan
bahawa ayahandamu memukul dirimu sehingga kau mati."

Di saat yang semakin hiba ini Sayyidina Umar terus menyuruh Abu Muflih memukul lagi
sebanyak sepuluh kali rotan. Setelah itu Abu Syahamah dengan kudrat yang semakin lemah
berusaha memohon simpati kepada para hadirin: "Wahai sekalian sahabat Rasulullah,
mengapa kamu tidak meminta pada ayahandaku supaya memaafkan aku saja?" Kemudian
salah seorang sahabat pun menghampiri Sayyidina Umar dan berkata: "Wahai Amirul
Mukminin, hentikanlah pukulan ke atas anakmu itu dan kasihanilah dia."

Sayyidina Umar dengan tegas berkata: "Wahai sekalian sahabat Rasulullah, apakah kamu
tidak membaca ayat Allah dalam surah an-Nuur ayat 2 yang tafsirnya: "Jangan kamu
dipengaruhi kasihan belas pada keduanya dalam menjalankan hukum Allah." Mendengar
penjelasan Sayyidina Umar itu, sahabat Rasulullah pun diam tidak membantah, sementara
itu Sayyidina Umar terus memerintah Muflih memukul sepuluh sebatan lagi. Akhirnya Abu
Syahamah mengangkat kepala dan mengucapkan salam dengan suara yang sangat kuat
sebagai salam perpisahan yang tidak akan berjumpa lagi sehingga hari kiamat. Kemudian
berkata Sayyidina Umar: "Wahai Muflih, pukullah lagi sebagai menunaikan hak Allah." Muflih
pun meneruskan pukulan untuk ke seratus kalinya.

"Wahai Muflih, cukuplah pukulanmu itu," perintah Sayyidina Umar apabila melihat
anaknya tidak bergerak lagi. Setelah itu Sayyidina Umar mengisytiharkan: "Wahai sekalian
umat Islam, bahawasanya anakku Abu Syahamah telah pergi menemui Allah." Mendengar
pengumuman itu ramailah umat Islam datang ke masjid sehingga masjid menjadi sesak. Ada
di antara mereka sedih dan terharu, malah ramai yang menangis melihat peristiwa tersebut.
Menurut sumber lain, daripada Kitab Sirah Umar bin al-Khattab al-Khalifatul Rasyid umumnya
masyarakat berpendapat kematian Abu Syahamah adalah disebabkan oleh pukulan rotan
ayahnya sendiri Sayyidina Umar Radhiallah 'Anhu.

Setelah selesai jenazah Abu Syahamah dikebumikan, pada malamnya Ibnu Abbas
Radhiallahu 'Anhuma bermimpi bertemu dengan Rasulullah Sallalllahu 'Alaihi Wasallam yang
wajah baginda seperti bulan purnama, berpakaian putih manakala Abu Syahamah duduk di
hadapan baginda dengan berpakaian hijau. Setelah itu Rasululah Sallallahu 'Alaihi Wasallam
berkata: "Wahai anak bapa saudaraku, sampaikan salamku pada Umar dan beritahu
kerpadanya bahawa Allah telah membalas setiap kebajikannya kerana tidak mencuai-cuaikan
hak Allah dan suatu kebahagiaan baginya sebab Allah telah menyediakan baginya beberapa
mahligai dan beberapa bilik di dalam Jannatun Na'im. Bahawa sesungguhnya Abu Syahamah
telah sampai pada tingkatan orang-orang yang benar di sisi Allah Yang Maha Kuasa.

SENARAI NAMA MURID YANG MENEMPA NAMA DALAM BIDANG


AL-QURAN
No Nama Umur
1 Arieff Hazeeq bin Azhar 13 tahun
2 Muhammad Amiru Rasyid bin Md. Ridhauddin 13 tahun
3 Nur Fatin Darwisyah binti Md. Ridhauddin 11 tahun

Anda mungkin juga menyukai