Anda di halaman 1dari 7

Ciri-ciri Dan Doktrin Munafik

28. Ciri-ciri Dan Doktrin Munafik

Gerakan munafik bermula di Madinah di bawah pimpinan Abdullah bin Ubai. Abdullah bin Ubai,
sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w ke Madinah, merupakan seorang yang sangat
berpengaruh di sana sebagaimana kedudukan Abu Sufyan di Makkah. Selepas Perang Bu'as
tamat penduduk Madinah (nama asalnya Yasrib) sudah sepakat untuk melantik Abdullah bin
Ubai sebagai raja di Madinah, malah mahkotanya pun sudah siap dibuat. Masyarakat Madinah
bersetuju melantik Abdullah bin Ubai menjadi raja menunjukkan dia memiliki sifat-sifat yang
menyebabkan dia dihormati dan dimuliakan.
Sebelum Nabi Muhammad s.a.w berhijrah ke Madinah, kaum Yahudi sudah lama bertapak di
sana. Kaum Yahudi dikenali sebagai ahli Kitab, orang beragama yang memiliki peradaban yang
mulia. Kaum Yahudi juga menguasai bidang ekonomi dan mempunyai kekuatan dalam bidang
ketenteraan. Kaum Yahudi yang dikenali sebagai ahli agama, ahli ilmu, ahli ekonomi dan ahli
ketenteraan menyebabkan mereka dipandang tinggi oleh orang Arab Madinah.
Orang Arab Madinah memandang kaum Yahudi sebagai manusia yang berjaya dan disegani.
Kedudukan kaum Yahudi yang demikian menyebabkan orang Arab Madinah suka meniru
peradaban Yahudi tetapi mereka tidak memeluk agama Yahudi. Bagi orang Arab agama Yahudi
dilihat sebagai khusus untuk orang Yahudi sahaja. Walaupun tidak menerima agama Yahudi
tetapi banyak daripada nilai-nilai moral Yahudi diterima pakai oleh orang Arab Madinah.
Golongan Arab Madinah yang berilmu merupakan orang yang paling banyak menceduk
peradaban Yahudi dan meng-Arabkan peradaban tersebut. Di antara mereka adalah Abdullah
bin Ubai. Kumpulan Abdullah bin Ubai mempraktikkan nilai-nilai moral yang lebih tinggi
daripada orang Arab Madinah yang lain. Oleh kerana itu mereka dipandang tinggi dan
dihormati. Ketika Perang Bu'as hampir berlaku di antara dua puak terbesar di Madinah,
kumpulan Abdullah bin Ubai menentang suku-suku mereka yang mahu berperang itu. Bila
peperangan berlaku juga Abdullah bin Ubai tidak ikut serta dalam peperangan tersebut. Sikap
berkecualinya itulah yang menyebabkan dia dicadangkan untuk menjadi raja setelah kedua-dua
pihak yang berperang itu berdamai.
Walaupun menimba dari telaga Yahudi namun ahli fikir Arab Madinah mempertahankan
ke-Araban mereka. Sikap yang demikian menyebabkan terbentuk aliran pemikiran yang kabur.
Ia bukan Yahudi dan bukan juga Arab. Mereka menganggap diri mereka setaraf dengan orang
Yahudi yang berilmu dan mereka lebih mulia daripada umat Arab yang jahil. Oleh kerana apa
yang terbentuk dalam aliran pemikiran mereka tidak jelas, maka tidak ada satu bentuk
kepercayaan atau akidah yang mereka pertahankan. Mereka mempertahankan satu perkara
sahaja, iaitu merekalah golongan Arab yang paling pintar dan apa sahaja yang datang daripada
orang Arab yang lain tidak sama dengan apa yang ada dengan mereka. Apabila agama Islam
datang ke Madinah dibawa oleh orang Arab Makkah, kumpulan Abdullah bin Ubai itu sudah ada
keputusan sejak awal-awal lagi untuk menolaknya. Mereka menganggap apa yang baharu

1/7

Ciri-ciri Dan Doktrin Munafik

datang itu lebih rendah daripada apa yang ada dengan mereka. Mereka menjadi golongan yang
tidak mempertahankan sebarang kepercayaan dan juga tidak ada satu kepercayaan yang
mereka terima. Sebagaimana puak Yahudi yang menganggap semua bangsa di dunia lebih
rendah daripada mereka, begitu juga kumpulan Abdullah bin Ubai yang meminum air daripada
telaga Yahudi menganggap semua orang Arab lebih rendah daripada mereka. Mereka
memandang rendah apa sahaja yang datang daripada orang Arab yang lain. Mereka adalah
puak yang sudah ada keputusan untuk mengunci mata, telinga dan hati mereka daripada
segala agama yang datang kepada mereka.
Arus perkembangan Islam melanda Madinah dengan deras dan menyeluruh. Dalam masa
kurang daripada satu tahun hampir keseluruhan penduduk Madinah sudah memeluk agama
Islam. Segala aktiviti berpusat kepada Nabi Muhammad s.a.w dan agama Islam. Kumpulan
Abdullah bin Ubai yang memandang diri mereka sebagai lebih mulia itu tidak ada pilihan
melainkan ikut serta di dalam rentak perkembangan Madinah, jika tidak mereka akan tersisih.
Penyertaan mereka di dalam arus tersebut juga bertujuan mencari jalan merampas semula
kekuasaan di Madinah sebagaimana sebelum kedatangan agama Islam dan Nabi Muhammad
s.a.w ke sana. Mereka mahu orang-orang Makkah meninggalkan Madinah.
Oleh kerana mereka tidak mempunyai satu bentuk kepercayaan yang jelas dan tidak ada satu
agama yang mereka pertahankan, maka mereka boleh bergerak cergas dalam apa juga medan
kepercayaan atau agama. Istilah dosa, pahala, syurga, neraka, hari kiamat, halal dan haram
tidak ada pada mereka. Akhirat tidak ada dalam pandangan mereka. Apabila tidak ada agama
yang diperjuangkan dan tidak ada kepercayaan kepada perkara ghaib, kumpulan tersebut
menyertai kegiatan agama orang lain dalam keadaan yang dipanggil munafik. Mereka memakai
baju agama padahal mereka tidak ikhlas berbuat demikian dan tidak merelakannya.
Munafik berbeza daripada kafir. Orang kafir tidak percaya kepada agama Islam kerana mereka
mempunyai kepercayaan sendiri dan mereka pertahankan kepercayaan tersebut. Penentangan
mereka terhadap Islam adalah jelas. Orang munafik pula di samping tidak beriman kepada
agama Islam, mereka tidak mendatangkan kepercayaan yang menjadi alternatif dan mereka
tidak menyebarkan sebarang bentuk kepercayaan. Oleh yang demikian mereka boleh
menyertai kegiatan Islam seolah-olah mereka adalah orang Islam sejati dan mereka boleh
menentang Islam seolah-olah mereka adalah orang kafir tulin. Mereka menganggapkan Islam
sebagai baju yang boleh dipakai dan ditanggalkan menurut keadaan yang membawa
keuntungan kepada mereka.
Al-Quran menceritakan keadaan puak munafik:

Dan sebahagian daripada manusia ada yang berkata: "Kami telah beriman kepada Allah dan
Hari Kemudian". Padahal mereka bukan orang-orang yang beriman. Mereka hendak
memperdayakan Allah dan orang yang beriman, padahal mereka tidak perdayakan melainkan
diri mereka sendiri sedangkan mereka tidak sedar. Di hati mereka ada penyakit, lalu Allah
tambahkan penyakit kepada mereka dan adalah bagi mereka seksaan yang pedih sebab
mereka telah berdusta. Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Janganlah kamu membuat

2/7

Ciri-ciri Dan Doktrin Munafik

kerosakan di bumi", mereka menjawab: "Kami tidak lain melainkan orang yang membuat
kebaikan". Ketahuilah bahawa mereka itu adalah orang yang membuat kerosakan tetapi
mereka tidak sedar. Dan apabila dikatakan kepada mereka, "Berimanlah sebagaimana orang
yang telah beriman". Mereka berkata, "Apakah harus kami beriman seperti orang-orang bodoh
itu beriman?" Ketahuilah mereka itulah orang-orang yang bodoh tetapi mereka tidak ketahui.
Dan apabila mereka bertemu dengan orang yang beriman mereka berkata, "Kami telah
beriman". Apabila bersendirian dengan syaitan-syaitan mereka, mereka berkata, "Kami beserta
kamu. Kami tidak lain melainkan memperolok-olokkan (orang yang beriman)". ( Ayat 8-14 :
Surah al-Baqarah )
Yang tuli, yang bisu, yang buta. Lantaran itu mereka tidak akan kembali. ( Ayat 18 : Surah
al-Baqarah )
Orang munafik sangat berbeza daripada orang kafir. Orang kafir dengan tegas menyatakan
tidak beriman baik secara terang atau pun secara bersembunyi. Ancaman azab neraka dan
pujukan nikmat syurga tidak menarik orang kafir kepada iman. Orang munafik pula mengucap
dua Kalimah Syahadah dengan lidah mereka dan tidak keberatan menyertai amalan ibadat
bersama-sama orang Islam yang lain, tetapi ucapan dan ibadat yang dilakukan itu tidak
berbekas pada hati mereka. Mulut mereka mengatakan beriman kepada Allah s.w.t dan hari
akhirat tetapi hati mereka kufur. Mereka adalah orang yang Islam pada zahir tetapi kafir pada
hati. Perbuatan zahir mereka sesuai dengan perbuatan orang yang beriman kerana mereka
mahu menyembunyikan apa yang ada dalam hati mereka. Ada kepentingan diri yang mereka
mahu jaga.
Puak munafik tidak mengakui kenabian dan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. Bagi mereka
Nabi Muhammad s.a.w hanyalah seorang lelaki Arab yang sama dengan lelaki Arab yang lain,
yang tergolong dalam kalangan bangsa Arab yang mereka pandang lebih rendah daripada
mereka. Mereka menolak kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w. Mereka mahu agar baginda
s.a.w mengikuti kepimpinan mereka. Mereka juga tidak mempunyai perasaan hormat kepada
Nabi Muhammad s.a.w. Oleh kerana mereka menganggapkan Nabi Muhammad s.a.w, maka
mereka tidak menerima kedudukan wahyu sebagai Kalam Allah s.w.t. Mereka menganggap
wahyu hanyalah perkataan Nabi Muhammad s.a.w yang sama dengan perkataan orang lain
yang boleh dihujah dan ditolak. Puak munafik, dengan kerjasama kaum Yahudi, sangat aktif di
dalam mempertikaikan wahyu dan hadis Nabi Muhammad s.a.w.
Tuhan memperingatkan Rasulullah s.a.w supaya berwaspada terhadap puak munafik yang
akan mencuba untuk membawa baginda s.a.w tunduk kepada pemimpin mereka. Baginda
s.a.w diperingatkan bahawa puak munafik itu tidak suka kepada baginda s.a.w.
Wahai Nabi! Berbaktilah kepada Allah dan jangan engkau taat kepada kafir-kafir dan
munafik-munafik, sesungguhnya Allah adalah Mengetahui, Bijaksana. ( Ayat 1 : Surah
al-Ahzaab )
Dan jangan engkau tunduk kepada orang-orang kafir dan orang-orang munafik, dan biarkanlah
gangguan mereka. Dan berserah dirilah kepada Allah kerana cukuplah Allah sebagai
Pengawal. ( Ayat 48 : Surah al-Ahzaab )

3/7

Ciri-ciri Dan Doktrin Munafik

Dan apabila dikatakan kepada mereka, "Marilah kepada apa yang diturunkan oleh Allah kepada
Rasul-Nya", kamu melihat orang munafik berpaling daripadamu sungguh-sungguh. (ayat 61 :
Surah an-Nisaa' )
Dan dari kalangan mereka ada yang menyakiti Nabi dan mereka berkata, "Dia itu pendengar!"
(Maksudnya mengiyakan sahaja apa yang orang lain kata). Katakanlah: "Dia memang
pendengar kebaikan kamu, dia beriman kepada Allah dan dia percaya kepada mereka yang
beriman, dan jadi rahmat bagi orang yang beriman di antara kamu". Dan mereka yang
menyakiti Rasul Allah bagi mereka azab yang pedih. ( Ayat 61 : Surah at-Taubah )
Sangat sukar menangani puak munafik kerana secara terangnya mereka mengaku beriman
walaupun hati mereka menolak. Mereka juga sanggup bersumpah bagi menegakkan benang
basah.
Mereka akan bersumpah dengan Nama Allah kepada kamu untuk menyenangkan kamu,
padahal Allah dan Rasul-Nya yang lebih patut mereka sukakan jika adalah mereka orang yang
beriman. ( Ayat 62 : Surah at-Taubah )
Oleh kerana puak munafik hidup dalam kepura-puraan mereka sangat takut jika rahsia mereka
diketahui oleh orang lain.
Amat takut orang munafik itu bahawa akan diturunkan atas mereka suatu surah yang
mengkhabarkan kepada mereka apa yang ada dalam hati mereka. Katakanlah:
"Perolok-olokkanlah! Sesungguhnya Allah akan mengeluarkan apa yang kamu takutkan itu". (A
yat 64 : Surah at-Taubah )
Apabila tembelang mereka pecah puak munafik itu akan berdalih secara selamba dan mudah.
Bila bertembung dengan kebenaran yang tidak dapat dielakkan puak munafik tidak akan
mempertahankan kesesatan dan kebohongan yang mereka telah lakukan.
Dan jika engkau tanyakan kepada mereka tentu mereka akan berkata, "Kami ini hanya
bergurau senda dan bermain-main". Katakanlah: "Apakah dengan Allah dan ayat-ayat-Nya dan
(dengan) Rasul-Nya kamu hendak berolok-olok?" ( Ayat 65 : Surah at-Taubah )
Puak munafik menyebarkan ajaran yang menyalahi syariat Islam. Apabila syariat meletakkan
peraturan amal makruf dan mencegah yang munkar, puak munafik akan menilai yang makruf
sebagai keuntungan duniawi dan yang munkar pula sebagai kerugiannya. Mereka menganggap
zakat dan sedekah sebagai bukan amal makruf kerana ia merugikan dari segi keduniaan.
Laki-laki munafik dan perempuan munafik yang sebahagian mereka adalah dari yang
sebahagian, mereka menyuruh yang munkar dan melarang dari yang makruf dan mereka
genggamkan tangan mereka (bakhil). Mereka telah melupakan Allah dan Allah pun melupakan
mereka. Sesungguhnya orang munafik itu adalah orang yang fasik (melewati batas). ( Ayat 67 :
Surah at-Taubah )
Puak munafik pandai berdolak-dalih. Mereka berani menggunakan nama Allah bagi menutup

4/7

Ciri-ciri Dan Doktrin Munafik

kesesatan dan kekufuran mereka. Tuhan memerintahkan Nabi s.a.w agar berjihad memerangi
orang munafik kerana mereka adalah orang yang kufur.
Wahai Nabi! Berjihadlah terhadap kaum kafir dan munafik dan berlaku keraslah terhadap
mereka. Tempat kembali mereka adalah jahanam dan itulah yang seburuk-buruk kesudahan.
Mereka akan bersumpah dengan Nama Allah bahawa mereka tidak pernah berkata, padahal
mereka pernah mengatakan kalimat kufur dan mereka telah kafir sesudah Islam dan mereka
sangat mengingini apa yang tidak dapat mereka capai. Dan tidaklah kebencian mereka itu
melainkan kerana Allah dan Rasul-Nya telah memperkayakan orang yang beriman dengan
kurnia-Nya. Tetapi jika mereka bertaubat adalah baik bagi mereka dan jika mereka berpaling,
Allah akan azabkan mereka dengan satu azab yang pedih di dunia dan di akhirat; dan tidak ada
bagi mereka pembantu di bumi dan tidak ada penolong. ( Ayat 73 - 74 : Surah at-Taubah )
Al-Quran memberi peringatan tentang ancaman puak munafik terhadap keselamatan dan
kepercayaan orang yang beriman. Tuhan menamakan satu surah al-Quran dengan nama surah
al-Munafiqun, bagi menyedarkan kaum Muslimin betapa bahayanya kehadiran puak munafik di
dalam masyarakat kaum Muslimin. Tuhan menggesa Nabi Muhammad s.a.w dan kaum
Muslimin semua zaman agar berwaspada terhadap tipu daya dan fitnah yang datang daripada
puak munafik.
Apabila orang munafik datang kepada kamu mereka akan berkata, "Kami mengakui
bahawasanya kamu Rasul Allah," padahal Allah mengetahui bahawasanya engkau
pesuruh-Nya dan Allah menyaksikan bahawasanya kaum munafik itu adalah orang yang
berdusta. Mereka jadikan sumpah-sumpah mereka sebagai perlindungan, lalu mereka halangi
manusia dari jalan Allah. Sesungguhnya jelek apa yang telah mereka kerjakan. Yang demikian
(adalah) lantaran beriman kemudian mereka kufur, lalu dimetrai atas hati mereka; oleh itu
mereka tidak dapat memahami. ( Ayat 1 - 3 : Surah al-Munafiquun )
Dan apabila engkau lihat mereka, menghairankan kamu tubuh-tubuh mereka; dan jika mereka
berkata-kata, engkau dengarkan perkataan mereka. Mereka seolah-olah kayu yang
disandarkan. Tiap-tiap teriakan mereka sangka buat membahayakan mereka. Mereka adalah
musuh; maka hendaklah engkau awasi mereka. Allah laknati mereka! Ke manakah mereka
dipalingkan? ( Ayat 4 : Surah al-Munafiquun )
Tuhan memperingatkan sungguh-sungguh kepada Nabi s.a.w dan kaum Muslimin sekaliannya
pada semua zaman, supaya jangan membiarkan racun yang ditabur oleh golongan munafik
memusnahkan umat. Sekali lagi Tuhan memberi peringatan!
Wahai Nabi! Berjihadlah menentang kaum kafir dan munafik dan berlaku keraslah terhadap
mereka dan tempat kembali mereka itu adalah jahanam, dan itulah seburuk-buruk tempat
kembali. ( Ayat 9 : Surah at-Tahrim )
Tuhan memberi peringatan kepada kaum Muslimin, sekiranya kegiatan puak munafik yang
mencampur adukkan kesesatan dan kekufuran ke dalam akidah Islam tidak dibendung,
nescaya umat Islam akan menemui kehancuran. Setiap umat Islam mestilah berwaspada
terhadap orang munafik yang berada di tengah-tengah mereka. Tanda munafik mudah dikenal

5/7

Ciri-ciri Dan Doktrin Munafik

melalui keengganan mereka berjuang pada jalan Allah s.w.t.


Dan supaya dibuktikan-Nya pula keadaan orang-orang munafik. Dikatakan kepada mereka:
"Marilah berperang pada jalan Allah atau pertahankanlah." Mereka menjawab, "Kalau kami tahu
berperang nescaya kami ikut kamu (berperang)." Mereka itu pada hari tersebut lebih hampir
kepada kufur daripada kepada iman. Mereka berkata dengan mulut mereka apa yang tidak ada
dalam hati mereka. Dan Allah lebih Mengetahui apa-apa yang mereka sembunyikan. (Adalah)
mereka yang berkata kepada saudara-saudara mereka sambil mundur, "Kalau mereka ikut
kami tentu mereka tidak terbunuh." Katakanlah: "Kalau begitu tolakkanlah kematian daripada
kamu jika memang kamu orang yang benar." ( Ayat 167 - 168 : Surah a-Li Imraan )
Kemunafikan lebih ketara melalui amalan yang mereka lakukan sambil lewa sahaja,
semata-mata sebagai pameran.
Orang munafik menipu Allah dan Allah pun (balas) menipu mereka. Dan apabila mereka berdiri
kepada sembahyang mereka berdiri dalam keadaan malas. Mereka menunjuk-nunjuk kepada
manusia dan tidaklah mereka mengingati Allah kecuali sedikit. Keadaan mereka terumbang
ambing di antara yang demikian itu, tidak kepada mereka itu, tidak kepada mereka ini; kerana
barangsiapa disesatkan oleh Allah maka tidak akan engkau dapat satu jalan (keselamatan)
baginya. ( Ayat 142 - 143 : Surah an-Nisaa' )
Tuhan memberi amaran yang keras kepada orang munafik:
Sesungguhnya jika tidak berhenti juga orang munafik itu dan orang yang dalam hatinya ada
penyakit dan pengacau-pengacau di Madinah, nescaya Kami akan kerahkan engkau terhadap
mereka. Kemudian itu tidaklah mereka akan bertetangga lagi dengan engkau di situ kecuali
bagi masa yang singkat. Mereka di dalam keadaan terkutuk di mana sahaja mereka dijumpai
dan mereka akan dibunuh sampai semusnah-musnahnya. Sunah Allah yang telah berlaku pada
orang-orang yang terdahulu. Dan sekali-kali tidak akan didapati bagi Sunnatullah itu satu
pengganti. ( Ayat 60 -62 : Surah al-Ahzaab )
Al-Quran telah memberi gambaran yang jelas tentang orang munafik. Rasulullah s.a.w dan
kaum Muslimin mengenali puak munafik yang ada di dalam masyarakat mereka. Mereka dapat
menunjukkan dengan jelas bahawa Abdullah bin Ubai adalah pemimpin puak munafik.
Keterangan yang telah diberikan oleh al-Quran memberi manfaat bagi kaum Muslimin dalam
mengawasi pergerakan puak munafik agar perpaduan, keselamatan dan kesejahteraan kaum
Muslimin dapat dipelihara. Umat Islam yang datang kemudian mestilah memerhatikan petunjuk
daripada al-Quran bagi mengenali musuh-musuh mereka.
Abdullah bin Ubai telah pun mati. Markas puak munafik, sebuah masjid yang dibina di Zu
Awan, sudah pun dibakar oleh kaum Muslimin pada zaman Rasulullah s.a.w. Tetapi kaum
Muslimin perlu berwaspada kerana racun munafik masih berjalan hingga ke hari ini.
Puak munafik terdiri daripada orang-orang yang sangat licik. Mereka hidup bersama-sama
orang Islam, mengaku sebagai orang Islam dan melibatkan diri dalam kegiatan kaum Muslimin,
malah mereka merasakan yang mereka lebih Islam daripada orang-orang Islam yang lain.

6/7

Ciri-ciri Dan Doktrin Munafik

Memang sukar untuk mengenali hati yang munafik, sedangkan mulutnya mengucapkan dua
Kalimah Syahadah dan anggotanya melakukan ibadat bersama-sama kaum Muslimin yang lain.
Orang munafik bergerak di dalam masyarakat orang Islam, sebagai orang Islam dan
menggunakan ajaran Islam. Orang munafik melakukan apa yang sudah dibuat oleh kaum
Yahudi dan Nasrani, iaitu mengubah maksud kitab Allah dan meminda syariat Islam. Mereka
mengadakan tafsiran al-Quran menurut cara mereka sendiri. Puak munafik adalah ilmuan yang
mengeluarkan al-Quran tiruan dan Hadis palsu, terutamanya dalam soal yang bersangkutan
dengan akidah dan kebatinan. Daripada puak yang demikianlah muncul istilah kebudayaan
Islam yang ditampalkan kepada kegiatan maksiat yang berlawanan dengan syariat Tuhan. Lahir
pula persatuan Islam pada nama tetapi bergiat memecah-belahkan perpaduan umat Islam. Ada
pula istilah seni bina Islam diletakkan pada bangunan yang digunakan sebagai sarang
perjudian dan pelacuran. Lebih buruk lagi timbul akidah syirik yang dikatakan sebagai akidah
Islam yang sebenarnya. Racun yang dikeluarkan oleh Abdullah bin Ubai dan kawan-kawannya
sudah meresap ke dalam darah daging umat Islam di seluruh dunia pada masa kini. Hanya
bimbingan daripada Allah s.w.t dapat menyelamatkan umat Islam daripada fitnah puak munafik
itu.
Orang munafik tidak mempunyai kepercayaan dan pegangan yang jelas. Mereka sendiri tidak
pasti apakah yang mereka pegang dan imankan. Mereka bergerak berlandaskan kepercayaan
dan pegangan orang lain dengan mengadakan perubahan kepada yang asli, tetapi mereka
tetap menggunakan label yang asli, seperti lembu yang mati di tepi jalan diletakkan label halal.
Orang munafik bergerak di dalam masyarakat orang Islam, bercakap pasal Islam, tetapi apa
yang mereka bawa adalah perkara yang sudah diselewengkan. Orang yang berilmu dapat
melihat penyelewengan tersebut tetapi orang jahil akan keliru kerana si munafik bercakap
tentang Allah s.w.t dan agama Islam. Lebih-lebih lagi si munafik itu pandai menggunakan hujah
keagamaan, terutamanya secara usul yang tidak ada kesudahan. Mereka suka menggunakan
cara berteka teki yang sukar dimengerti. Lebih mengelirukan lagi apabila si munafik berhujah
dengan menyandarkan kepada Hadis Nabi s.a.w, perkataan sahabat dan wali-wali yang mereka
gubah sendiri, yang tidak diketahui oleh orang jahil. Si munafik boleh bersumpah bohong
dengan menggunakan nama Allah bagi memerangkap orang yang jahil. Orang Islam yang jahil
mudah terperangkap dengan ajaran sesat orang munafik. Kegiatan orang munafik menjadi lebih
mudah setelah berlaku proses asimilasi agama-agama lain seperti Buddha, Hindu dan Keristian
ke dalam agama Islam.
Setiap kaum Muslimin yang insaf berkewajipan menyelak setiap hamparan dan membongkar
setiap tutupan bagi mencari racun munafik yang bersembunyi di dalam kalangan umat Islam.
Racun tersebut mestilah dikeluarkan. Inilah jihad kaum Muslimin zaman ini!

7/7

Anda mungkin juga menyukai