Anda di halaman 1dari 6

Tarekat Orang majzub

32. Tarekat Orang majzub

Manusia pilihan kelas tertinggi adalah Nabi-nabi. Tuhan kurniakan kepada mereka kekuatan
rohani yang luar biasa. Mereka mampu menempuh alam ghaib dan berhadap kepada Hadrat
Ilahi tanpa berlaku kegoncangan kepada akal fikiran, kesedaran dan sifat-sifat kemanusiaan
mereka. Mereka diperkenalkan dengan berbagai-bagai suasana ketuhanan (hakikat ketuhanan)
dan mengalami berbagai-bagai perkara yang ganjil dalam keadaan jaga, tidak terbalik
pandangan, tidak terlepas kehambaan dan tidak hilang kesedaran terhadap diri sendiri dan
makhluk lainnya. Mereka tidak terdorong kepada suasana fana dan jazbah, tidak ada bersatu
dengan Tuhan, baqa dengan Tuhan dan berpisah dengan Tuhan. Nabi-nabi menghadap
kepada Tuhan tanpa melupai makhluk. Mereka juga melayani makhluk tanpa lalai daripada
Tuhan. Makhluk tidak melindungi Tuhan dan Tuhan tidak menghapuskan makhluk.
Kedua-duanya berada dalam kesedaran nabi-nabi.
Manusia yang selain nabi-nabi akan menerima kesan yang kuat daripada pengalaman
kerohanian yang dinisbahkan kepada suasana ketuhanan. Keadaan ini lebih kuat lagi berlaku
kepada orang yang dibawa kepada tarekat ujian bala. Kegoncangan yang hebat oleh ujian bala
menyebabkan hati mereka pecah'. Akibatnya kesedaran kepada alam maujud dan diri sendiri
hilang. Tabiat dan sifat kemanusiaan juga tertanggal. Kesan yang muncul daripada
pertembungan' dengan suasana ketuhanan itu dinamakan jazbah dan orang yang mengalami
jazbah dinamakan majzub.
Jazbah adalah hal yang dialami oleh hati berhubung dengan aspek ketuhanan yang tidak
dapat dicapai oleh akal. Hijab diangkatkan dan mata hati mereka menyaksikan perkara ghaib
dan kenyataan tentang Tuhan. Suasana jazbah itu berbeza bagi seorang dengan seorang yang
lain. Secara umumnya orang yang mengalami jazbah atau ahli majzub boleh dibahagikan
kepada empat jenis.
Majzub jenis pertama adalah orang yang dibawa oleh Tuhan kepada beberapa pengalaman
kerohanian yang berkait dengan ketuhanan dan mencapai beberapa makam yang tinggi dalam
tempuh yang singkat serta mereka mendapat keasyikan terhadap Allah s.w.t tanpa berguru
dengan sesiapa dalam hidup mereka. Jazbah merombak keperibadian mereka secara
menyeluruh. Mereka menjadi orang yang sangat berlainan daripada keadaan mereka sebelum
kedatangan jazbah. Mereka tidak suka bergaul dengan orang ramai. Mereka lebih merasakan
kedamaian dan kebahagiaan jika mereka bersendirian dalam keasyikan dengan Allah s.w.t.
Apa yang berlaku di sekeliling mereka, baik atau buruk, tidak menarik minat mereka.
Kegoncangan yang berlaku dalam masyarakat dan keluarga tidak mampu menarik mereka
keluar daripada keasyikan mereka. Mereka hanya gilakan Allah s.w.t. Setiap detik mereka
teringatkan Allah s.w.t sahaja. Mereka tidak suka mendengar cerita yang selain Allah s.w.t.
Hanya Allah s.w.t dan yang mengenai Allah s.w.t sahaja yang dapat menembusi hati mereka.
Bila mereka dikuasai oleh jazbah hilanglah kesedaran, fikiran, penglihatan, pendengaran dan
pergerakan mereka. Orang majzub tidak sedarkan diri mereka dan alam maujud sekaliannya.

1/6

Tarekat Orang majzub

Dalam keadaan demikian mereka mengalami berbagai-bagai hal atau pengalaman kerohanian.
Mereka berpindah dari satu makam ke satu makam yang lain dengan cepat. Orang majzub
seperti ini dikasihi oleh Allah s.w.t dan Dia melindungi mereka daripada orang jahil yang jahat
perangai. Oleh kerana mereka sudah hilang kesedaran dan sifat kemanusiaan, maka hilang
juga keupayaan mereka untuk membezakan yang baik daripada yang buruk. Majzub yang
seperti ini tidak boleh dijadikan pembimbing orang ramai kerana adab sopan dan peraturan
masyarakat tidak ada dalam kesedaran mereka.
Majzub jenis kedua, setelah dilenyapkan akal dan kesedaran seperti jenis pertama, mereka
dikembalikan semula kepada kesedaran kemanusiaan sedikit demi sedikit. Mereka diturunkan
dari satu makam kepada makam yang lain. Penurunan tersebut mengurangkan kesan jazbah
sehingga akhirnya mereka sampai kepada penetapan dan kesedaran sepenuhnya. Ketika
menaik kesedaran mereka terhadap yang selain Allah s.w.t hilang dengan cepat dan dalam
keadaan demikian mereka menemui'-Nya. Ketika penurunan kesedaran terhadap diri sendiri
dan makhluk lainnya tidak kembali dengan cepat. Mereka mengambil masa yang agak lama
sebelum kesan jazbah hilang sepenuhnya daripada kesedaran mereka. Ada sebahagian
daripada mereka yang kesan jazbah tidak hilang sampai ke akhir hayat mereka. Bagi majzub
kumpulan kedua ini jazbah berperanan sebagai kuasa pemaksa' yang mengheret mereka
keluar daripada alam kelalaian dan memasukkan mereka ke jalan yang memperadabkan
mereka dengan Tuhan. Rahmat Tuhan yang menarik mereka kembali kepada jalan yang lurus.
Perubahan yang berlaku kepada mereka terjadi dengan pantas. Mungkin dalam masa kurang
daripada dua bulan mereka sudah melalui semua stesen kerohanian dan mengalami hal
ketuhanan yang mencukupi untuk mereka mengenal Tuhan secara hakiki. Setelah kembali
kepada sifat kemanusiaan semula mereka meneruskan kehidupan menurut jalan kenabian,
menurut Sunah Rasulullah s.a.w dan menjadikan kehidupan nabi-nabi dan wali-wali sebagai
iktibar. Proses penurunan majzub jenis kedua ini merupakan pembalikan kepada proses
menaik orang salik.
Majzub jenis ke tiga tidak hilang akal fikiran dan kesedaran mereka. Perubahan kerohanian
berlaku dalam sedar dan jaga. Tidak ada perpisahan dengan sifat kemanusiaan, tidak ada fana
dan bersatu dengan Tuhan. Mereka menetap dalam kehambaan, tidak terbalik pandangan,
tidak mengalami mabuk dan tidak mengeluarkan ucapan latah yang menyalahi syariat. Orang
yang di dalam kesedaran ini didatangkan jazbah kepada mereka sebagai kurniaan Tuhan untuk
memperkenalkan mereka kepada Yang Hakiki kerana ilmu dan amal mereka tidak berupaya
menyampaikan mereka kepada yang demikian. Kaum sufi umumnya berpendapat majzub yang
menetap dalam kesedaran dan kehambaan lebih baik daripada majzub yang mengalami
kefanaan dan mabuk. Majzub yang di dalam kesedaran boleh menjauhkan diri mereka daripada
perkara-perkara yang mendatangkan fitnah.
Majzub jenis ke empat adalah orang yang memasuki jalan suluk terlebih dahulu. Ketika
bersuluk itulah akal fikiran dan kesedaran mereka dihapuskan. Majzub jenis ini mengenali alam
terlebih dahulu sebelum mengenal Tuhan (mengalami hakikat ketuhanan). Bimbingan guru
yang mursyid membuat perjalanan jazbah mereka teratur. Mereka meningkat dari satu makam
kepada makam yang lain dengan bersistematik. Mereka melalui stesen-stesen kerohanian
dengan bimbingan yang benar. Guru yang telah melalui semua stesen kerohanian,
memperolehi makam-makam, mengetahui suasana kefanaan, kebaqaan dan Kebenaran Hakiki

2/6

Tarekat Orang majzub

sesudah fana dan baqa, diperlukan bagi membimbing salik yang didatangi jazbah. Guru yang
demikian dapat menyapu kekeliruan daripada mengelabui pandangan hati muridnya. Murid itu
dapat maju ke matlamat terakhir dengan selamat dan teratur. Bimbingan guru membuat salik
mengalami dan mengetahui pengalaman mereka. Pengenalan melalui pengalaman yang
diterangi oleh pengetahuan mempercepatkan salik menjadi orang arif. Majzub jenis inilah
dipersetujui oleh kaum sufi.
Majzub jenis pertama hidup terus menerus sebagai orang majzub, tidak kembali lagi kepada
kehidupan manusia biasa. makrifat mereka berdasarkan pengalaman kerohanian mereka.
Pengalaman mereka hanya untuk diri mereka sahaja, bukan untuk orang lain. Tanpa tajalli ilmu
(terbuka pengetahuan tentang pengalaman yang dilalui) mereka tidak boleh dipanggil orang arif
dan mereka tidak dibolehkan menjadi pembimbing orang ramai yang di dalam kesedaran biasa.
Majzub jenis ke dua melalui stesen-stesen kerohanian dan mencapai berbagai-bagai makam
dalam tempuh yang singkat. Kumpulan ini biasanya memasuki jazbah tanpa persediaan dari
segi ilmu dan juga mereka tidak mempunyai guru. Setelah mengalami jazbah mereka kembali
kepada kesedaran biasa. Akal fikiran dan sifat kemanusiaan mereka dikembalikan. Mereka
mendapati sukar untuk menghuraikan pengalaman kerohanian yang telah mereka lalui. Ketika
di dalam zauk pengetahuan tidak penting, tetapi bila kembali sedar akal fikiran memerlukan
kefahaman. Dari sini orang majzub yang kembali sedar itu digerakkan untuk menyelidik,
mengambil iktibar dan bertanya kepada orang-orang yang arif. Keadaan mereka adalah
umpama orang yang bermimpi pada malam hari dan termenung pada siangnya untuk
mengingati apa yang dimimpikan dan apa pula maksud mimpi tersebut. Proses memahami dan
menyusun perjalanan kerohanian jauh lebih lambat daripada proses pengalaman kerohanian itu
sendiri. Pengalaman kerohanian yang dilalui dalam tempuh dua bulan mungkin mengambil
masa lebih daripada lima tahun untuk memahaminya dengan jelas dan menyusunnya secara
terperinci. Kelambatan proses ini juga disebabkan oleh kesan jazbah yang sukar hilang dari
kesedaran seseorang. Kebenaran yang ditemui melalui akal fikiran akan berubah-ubah
mengikut kadar kesan jazbah yang sudah hilang daripada mereka. Apabila mereka bebas
sepenuhnya daripada kesan jazbah, mereka akan temui Kebenaran Hakiki yang sesuai dengan
al-Quran dan as-Sunah. Walaupun mereka mengalami hakikat tetapi tanpa kematangan ilmu
mengenai pengalaman tersebut, mereka tidak layak dipanggil orang arif. Ilmu mereka
benar-benar matang setelah mereka kembali kepada al-Quran dan as-Sunah.
Majzub jenis ke tiga biasanya terdiri daripada mereka yang mempunyai bekalan ilmu yang
mencukupi. Kumpulan ini memasuki jalan kerohanian secara berhati-hati dan diselubungi oleh
keraguan. Mereka memerlukan masa untuk mengharmonikan pengalaman yang dilalui dengan
pengetahuan yang sedia ada. Apa yang diketahui sebelum mendapat jazbah berbeza daripada
apa yang diketahui sesudah mendapat jazbah. Kedua-dua pengetahuan yang kelihatan
berbeza itu kemudiannya dapat dipastikan bahawa perbezaan berlaku pada sudut pandangan
sedangkan kebenarannya tidak berbeza. Pengalaman mengsahkan apa yang sudah diketahui.
Bila kedua-dua jenis pengetahuan itu bersepakat keraguan mereka pun hilang. Pengetahuan
yang lahir daripada cantuman dua sudut itu meneguhkan keyakinan.
Majzub jenis ke empat memasuki bidang suluk terlebih dahulu. Ketika menjalani suluk itulah
mereka memperolehi jazbah. Tempuh mendapatkan jazbah berbeza-beza di antara seorang

3/6

Tarekat Orang majzub

salik dengan salik yang lain. Ada yang cepat dan ada yang lambat. Tidak kurang juga yang
langsung tidak mendapat jazbah. Salik yang tidak mendapat jazbah atau lambat
memperolehinya tidak seharusnya berasa kecewa. Jazbah bukanlah matlamat suluk. Kebaikan
bagi orang yang menjalani jalan kerohanian adalah menjaga makam mereka. Jangan meminta
makam yang lebih tinggi atau lebih rendah. Intisari bagi perjalanan kerohanian adalah
kesabaran dalam menjalankan perintah Allah s.w.t dan kesabaran menanggung takdir-Nya.
Salik hanya perlu menjaga takdir yang mereka berada di dalamnya. Sabar mengawal diri dan
tidak bertelingkah dengan takdir merupakan kejayaan yang besar bagi salik, sekalipun mereka
tidak mendapat jazbah. Teruskan tegak berdiri kerana Allah s.w.t, demi Wajah-Nya
semata-mata bukan kerana sebarang keperluan. Salik jenis ini dibawa kepada ikhlas tanpa
melalui jazbah. Ikhlas dan benar dengan Allah s.w.t merupakan matlamat perjalanan
kerohanian, baik melalui jazbah atau secara sedar. Salik yang menetap dalam kesedaran
beriman kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya dengan ikhlas. Mereka beriman kepada perkataan
al-Quran dan Hadis dengan ikhlas tanpa memasuki bidang hakikat. Bagi salik yang mengalami
jazbah pula berdampingan dengan guru menjadi syarat penting. Mereka perlu merujukkan
kepada guru mereka semua pengalaman kerohanian yang mereka lalui semasa jaga mahupun
secara mimpi. Salik jangan mudah membuat tafsiran sendiri mengenai sesuatu perkara.
Setiap orang majzub mempunyai jalannya sendiri yang berbeza dengan majzub yang lain.
Masing-masing ditarik kepada jalannya oleh kuasa ghaib' yang diistilahkan sebagai Tarikan
Rahmani (ketuhanan), Pembimbing Hakiki ataupun Perintah Batin. Orang majzub menerima
Tarikan Rahmani tanpa mereka boleh menahannya. Tarikan tersebut membawa mereka
kepada jalan khusus yang Tuhan sediakan untuk mereka. Tarikan tersebut juga mengarahkan
mereka melakukan sesuatu perkara tanpa terikat dengan hukum logik. Tarikan yang langsung
dari Tuhan itu juga memandu orang majzub sehingga selamat sampai kepada matlamat. Orang
yang di dalam keadaan demikian sering mendapat peringatan dari dalam diri mereka sendiri.
Peringatan yang demikian dinamakan Suara Hakiki. Jika timbul cita-cita mereka untuk berhenti
tatkala terjadi kasyaf suara dari dalam diri mereka akan memberi peringatan: "Apa yang kamu
cari masih jauh di hadapan. Oleh itu jangan berhenti!" Jika terbuka kepada mereka rahsia alam
maya, mereka diperingatkan oleh hakikat alam maya: "Sesungguhnya kami adalah ujian,
kerana itu janganlah kamu kufur!" Hamba yang dipimpin itu menafikan apa juga yang ditemui di
sepanjang jalan. Apa yang mereka saksikan adalah gubahan Tuhan, hikmat kebijaksanaan-Nya
dan tanda-tanda yang memberi pemahaman tentang Dia. Zat Ilahiat tetap tinggal terhijab, tidak
dapat ditembusi oleh sesiapa pun. Akhirnya hamba menemui kenyataan bahawa Dia yang
sebenarnya mengenali Diri-Nya. Dia yang mencari, Dia yang dicari dan Dia yang menemui.
Tidak ada sesiapa yang ikut campur dalam urusan-Nya.
Orang yang sedang dikuasai oleh Tarikan Rahmani akan kehilangan kekuatan akal fikiran dan
kesedaran diri mereka. Pengaruh pancaindera dan alam sekeliling menjadi lemah kepada hati
mereka. Rangsangan yang datang dari kehendak diri sendiri menjadi tumpul. Pada peringkat
permulaan mengalami hal yang demikian, ketika akal fikiran, kesedaran dan kehendak diri
masih mempunyai kekuatan, mereka tidak mengerti apakah yang sedang berlaku kepada diri
mereka. Mereka merasakan kelainan tetapi tidak mengerti mengenainya. Walaupun begitu
mereka terus juga berjalan menurut cetusan yang muncul dari dalam diri mereka. Setelah
beberapa lama mereka mula menyedari kehadiran kuasa ghaib' yang menguasai mereka,
memberi petunjuk dan bimbingan. Kelainan yang mereka alami mereka hubungkan dengan

4/6

Tarekat Orang majzub

kehadiran kuasa ghaib tersebut. Mereka tidak tahu apakah hakikat kuasa ghaib itu tetapi
mereka yakin bahawa ia adalah sesuatu yang suci dan berhubung rapat dengan pekerjaan
Tuhan. Mereka yakin hanya dengan mengikuti petunjuk ghaib itu mereka dapat menghampiri
Tuhan. Kehadiran kuasa ghaib tersebut dirasakan bertambah kuat dari masa ke masa. Ia
membuat mereka berasa tenang dan mereka merasakan jalan menuju Tuhan semakin terang.
Penguasaan petunjuk ghaib ke atas diri mereka membawa mereka kepada peringkat di mana
mereka menyaksikan kelakukan dan perbuatan muncul daripada diri mereka tanpa mereka
berkehendak melakukannya, tanpa berfikir dan merancang dan juga tanpa menggunakan
kekuatan diri sendiri. Segalanya berlaku secara spontan. Mereka tidak ikut campur dalam
menghasilkan perbuatan diri mereka sendiri. Mereka hanya menyaksikan kuasa ghaib'
menghasilkan kelakuan dan perbuatan diri mereka. Mereka tidak ada kehendak untuk
membantah hal yang demikian, malah hal tersebut membuat mereka memerhatikan sesuatu
tentang Tuhan. Apa yang berlaku secara spontan itu membukakan kefahaman mereka tentang
Tuhan. Dalam keadaan yang demikian akal mereka menjadi umpama bekas yang dituangkan
dengan kefahaman. Banyak perkara mengenai ketuhanan yang mereka tidak fahami
sebelumnya difahamkan' pada peringkat ini. Hal yang demikian membuat hati mereka
merasakan kewujudan hubungan di antara Tuhan dengan mereka. Jika kehendak kepada
sesuatu yang lain menjadi lemah tetapi kehendak berjumpa dengan Tuhan menjadi kuat. Hati
mereka sudah ada rasa kasihkan Tuhan. Mereka juga dapat merasakan kasihan belas Tuhan
kepada mereka. Mereka mendapat penghayatan bahawa Tuhan tidak melupakan mereka,
Tuhan sentiasa mengambil tahu tentang hal-ehwal mereka. Bertambahlah keseronokan mereka
mengintai Tuhan.
Orang yang sedang diheret oleh petunjuk ghaib hilang minat kepada makhluk dan kehidupan
dunia seluruhnya. Hati mereka hanya mencintai Allah s.w.t. Mereka menjadi hamba yang
gilakan Allah s.w.t. Apa sahaja yang dipandang membalikkan sesuatu tentang Allah s.w.t.
Dalam keasyikan mereka mengalami berbagai-bagai hakikat ketuhanan yang menambahkan
pengenalan mereka tentang Tuhan. Puncak kecintaan hamba kepada Allah s.w.t adalah
pengalaman Allah Maha Esa, tiada sesuatu beserta-Nya. Selepas pengalaman tersebut mereka
memasuki suasana baqa dengan Allah s.w.t. Suasana kebaqaan membuat mereka merasakan
yang mereka tidak berpisah dengan Allah s.w.t yang mereka cintai, walau di mana mereka
berada dan apa juga yang mereka lakukan. Bila suasana demikian sudah menguasai hati
mereka baharulah mereka boleh terima kehadiran makhluk kerana pada tahap ini kehadiran
makhluk tidak lagi memisahkan mereka dengan Tuhan.
Perjalanan seterusnya membawa mereka kepada kesedaran mengenai tujuan mereka
diciptakan. Kesedaran, akal fikiran dan sifat kemanusiaan mereka sudah dikembalikan. Mereka
mula bergerak jauh daripada Tuhan tetapi dalam keadaan tidak berpisah. Bila kesedaran,
fikiran dan sifat kemanusiaan mereka kembali sepenuhnya, mereka dapat melihat perbezaan di
antara Tuhan dengan hamba. Mereka berpindah daripada suasana baqa kepada suasana
kehambaan sepenuhnya. Mereka kembali kepada kewujudan diri sendiri dan menghabiskan
sisa-sisa hidup mereka sebagai ahli syariat yang taat. Lengkaplah perjalanan kerohanian
mereka. Pengalaman jazbah menjadi ingatan yang paling berharga bagi mereka kerana melalui
pengalaman tersebut mereka berubah menjadi manusia baharu, mempunyai kehendak dan
citarasa yang baharu. Jazbah telah menghancurkan patung-patung' dalam diri mereka yang

5/6

Tarekat Orang majzub

mereka tidak berupaya menghancurkannya dengan kekuatan diri sendiri.

6/6

Anda mungkin juga menyukai