Anda di halaman 1dari 23

Kamus Tasawuf (L-Z)

Kamus Tasawuf (L-Z)

mabuk: Keadaan orang yang di dalam jazbah. Dia lupa kepada dirinya tetapi pancainderanya
masih aktif. Hati nuraninya dikuasai oleh hal ketuhanan yang berbeza dengan sifat
kemanusiaan. Oleh yang demikian lahirlah perbuatan dan perkataan yang menyalahi peraturan
kemanusiaan.
mahabbah: Cinta.
majnun: Gila.
majzub: Orang yang mengalami jazbah.
makam: Hati hamba menjadi tempat curahan kurniaan Allah s.w.t. Dikurniakan-Nya
berbagai-bagai hal kepada hati hamba-Nya. Kurniaan yang demikian adalah semata-mata
kerana rahmat dan belas kasihan-Nya kepada hamba-Nya. Hamba tidak berupaya
mendapatkan yang demikian dengan amal dan ilmunya. Tetapi apabila kurniaan tersebut
diterima oleh hati, maka si hamba perlu mengambil langkah yang sesuai bagi menetapkan hal
berkenaan pada hatinya. Apabila hal kurniaan Allah s.w.t itu menetap di dalam hati. Hal yang
telah diserapkan menjadi makam akan membentuk sifat dan keperibadian khusus dan
berterusan menurut hal berkenaan.
makam abid: Ada sebahagian daripada hamba-Nya dikurniakan hal merasakan kehambaan
yang sangat kuat terhadap Allah s.w.t. Hal yang demikian membuatkan si hamba itu
mempergiatkan amal ibadatnya. Setelah keadaan yang demikian sebati dengannya akan
terbentuklah sifat dan keperibadian yang teguh kehambaannya dan kuat ibadatnya. Suasana
yang demikian dinamakan makam abid.
makam al-buhut: Hamba yang sampai kepada penghujung jalan ilmu dan makrifat akan
menemui suasana kehairan-hairanan tentang zat Ilahiat yang tidak mampu dihuraikan oleh ilmu
dan tidak mampu diperkenalkan oleh makrifat. Bila suasana demikian menguasai jiwa raganya
dia dikatakan memperolehi makam al-buhut.
makam alif: Suasana hati yang menghadap Tuhan dengan tetap, tidak teringat kepada
sesuatu yang lain.
makam Amin: Orang yang lulus ujian iman dan menetap di atas jalan takwa memperoleh
kesejehteraan dan ketenangan. Suasana yang demikian dinamakan makam Amin. Imannya
telah teguh, tidak dapat digoncangkan oleh sesuatu.
makam arifbillah: Setelah melepasi peringkat kehairan-hairanan si hamba dibawa kepada ilmu
dan makrifat yang berbeza dengan yang sebelumnya. Pada tahap ini si hamba mendapat

1 / 23

Kamus Tasawuf (L-Z)

pengetahuan tentang Allah s.w.t secara mengetahui tetapi tidak ada pengetahuan tentang-Nya
namun, keyakinannya teguh bahawa Allah s.w.t yang diketahuinya. Dia juga memperolehi
makrifat secara mengenali Allah s.w.t tetapi tiada sebarang pengenalan tentang-Nya, tetapi
keyakinannya teguh bahawa Allah s.w.t yang dikenalinya. Dia dikatakan melihat Allah s.w.t
secara tanpa huruf, tanpa suara, tanpa ibarat dan tanpa sesuatu yang boleh disifatkan. Hamba
yang mengenali Allah s.w.t pada tahap demikian dikatakan mencapai makam arifbillah.
makam asbab: Manusia dikelilingi oleh perjalanan hukum sebab musabab dan mereka
mengambil bahagian dalam sistem tersebut. Mereka melihat kekuatan hukum sebab dalam
menghasilkan akibat. Bila keyakinan sudah penuh terhadap keberkesanan hukum sebab-akibat
itu menguasai hati maka mereka dikatakan berada dalam makam asbab.
makam baqa: Kebaqaan adalah suasana kerohanian yang muncul selepas suasana kefanaan.
Dalam proses menaik, iaitu kefanaan, berlaku pelepasan benda-benda alam, makhluk dan diri
sendiri daripada kesedaran hati seseorang. Kehendak diri sendiri juga terhapus. Pada
kemuncak kefanaan seseorang tidak ingat dan tidak menyedari tentang sesuatu melainkan
Allah s.w.t. Selepas peringkat kemuncak kefanaan itu, ingatan dan kesedarannya terhadap
dirinya dan makhluk lain kembali sedikit demi sedikit. Pada tahap ini walaupun dia melihat,
menyedari dan mengingati dirinya dan makhluk namun, hatinya masih lagi kuat dikuasai oleh
hal ketuhanan yang menyebabkan dia melihat suasana kekekalan dirinya dengan Tuhan. Dia
masih melihat persamaan wujudnya dengan Wujud Tuhan. Suasana yang demikian dinamakan
makam baqa. Setelah melepasi makam baqa ini baharulah hamba dapat membezakan
sepenuhnya wujud makhluk dengan Wujud Tuhan.
makam fana: Suasana terhapusnya kesedaran terhadap diri sendiri dan makhluk sekaliannya,
yang ada hanyalah Allah s.w.t.
makam hakikat: Suasana yang ada pengalaman mengenai hal-hal ketuhanan seperti
menyaksikan suasana ilmu Tuhan atau urusan pentadbiran Tuhan. Orang yang berada pada
makam hakikat hanya melihat Tuhan, dengan Tuhan dan kepada Tuhan.
makam Hakikat Muhammad: Nur Allah merupakan sumber kepada segala kewujudan. Setiap
makhluk yang Tuhan ciptakan adalah berdasarkan hakikat berkenaan yang ada pada sisi Allah
s.w.t. Hakikat yang ada pada sisi Allah s.w.t itu adalah terjemahan kepada keadaan Nur Allah
s.w.t. Kesemua hakikat-hakikat tersebut menceritakan sebahagian daripada keadaan Nur Allah
s.w.t kecuali satu hakikat. Hakikat yang satu ini merupakan terjemahan sepenuhnya mengenai
Nur Allah s.w.t. Hakikat yang mendapat penguasaan Nur Allah s.w.t secara keseluruhan itu
adalah hakikat yang berdasarkan kepadanya Nabi Muhammad s.a.w diciptakan dan ia
dinamakan Hakikat Muhammad. Jadi, Hakikat Muhammad merupakan hakikat yang
menyeluruh sementara hakikat-hakikat yang lain adalah umpama cabang-cabangnya. Oleh
yang demikian terdapat jambatan' di antara hakikat-hakikat yang lain dengan Hakikat
Muhammad. Oleh kerana susunan hakikat yang demikian, maka ada dari kalangan
hamba-hamba Allah yang dapat menyeberangi jambatan tersebut untuk sampai kepada Hakikat
Muhammad. Keadaan ini berlaku dalam pengalaman kerohanian semata-mata, bukan
perjalanan secara nyata. Hamba yang mengalami suasana demikian dikatakan mencapai
makam Hakikat Muhammad. Pada makam ini hati si hamba dikuasai oleh rasa kecintaan

2 / 23

Kamus Tasawuf (L-Z)

teramat sangat kepada Allah s.w.t dan rasa yang demikian membuat hatinya berhadapan
sepenuhnya dengan Allah s.w.t.
makam hamba pilihan: Hamba yang dipilih oleh Allah s.w.t untuk memikul sesuatu tugas akan
dibawa kepada jalan yang akan memantapkan kerohaniannya sehingga dia layak memikul
tugas berkenaan. Dalam proses tersebut si hamba dihadapkan dengan ujian bala bencana.
Tujuan bala tersebut bukanlah untuk memusnahkan si hamba itu tetapi untuk membentuk
dirinya. Oleh yang demikian Allah s.w.t memperkuatkan hamba-Nya itu dengan bekalan
kesabaran. Kesabaran dalam menghadapi ujian merupakan latihan yang sangat berkesan
membentuk kerohanian seseorang. Dalam menuju kemantapan si hamba dibekalkan pula
dengan kekuatan reda. Bila kerohaniannya sudah cukup mantap dicanai oleh keredaan dia
menetap dalam suasana yang dipanggil makam hamba pilihan. Dalam suasana ini dia sudah
benar-benar bersedia untuk memikul beban tugas yang Allah s.w.t sediakan untuknya.
makam ihsan: Apabila hati seseorang hamba itu dapat merasakan kehadiran Allah s.w.t pada
setiap masa maka ia dikatakan mencapai makam ihsan.
makam ikhlas: Ikhlas peringkat pertama adalah ikhlas yang dipaksakan samada sebelum
melakukan sesuatu perbuatan ataupun sesudah melakukannya. Seseorang itu perlu
mengingatkan dan mengawasi hatinya agar keikhlasan tidak dirosakkan oleh ungkitan ataupun
perasaan riak. Setelah keikhlasan sudah menjadi sifat dan keperibadian, seseorang itu tidak
perlu memperingatkan dan mengawasi hatinya daripada anasir yang merosakkan keikhlasan
itu, malah tidak terlintas pada hatinya tentang perbuatannya itu ikhlas atau tidak. Hamba yang
sudah benar kedudukannya dengan Tuhannya akan memiliki keikhlasan secara spontan pada
setiap amalannya tanpa dia perlu memperjelaskan niatnya. Suasana yang demikian dinamakan
makam ikhlas.
makam insan: Setelah melepasi peringkat fana dan baqa dalam perjalanan kerohanian
seseorang salik itu kembali kepada kesedaran manusia biasa, iaitu dia kembali kepada makam
insan.
makam Jabarut: Dalam perjalanan menaik kerohanian salik akan sampai kepada peringkat
penguasaan sifat Tuhan terhadap hatinya. Dia dikatakan memasuki makam jabarut.
makam kalbu: Apabila salik dapat melepaskan pengaruh alam benda dan tarikan hawa nafsu
daripada hatinya, dia masuk kepada kesedaran hati. Dia dikatakan mencapai makam kalbu.
makam keesaan: Allah s.w.t adalah Tuhan Yang Maha Esa. Kekuatan akal dan khayal tidak
mampu menyingkap atau menghuraikan keadaan keesaan Tuhan itu. Keesaan Tuhan
tersingkap melalui pengalaman kerohanian. Dalam suasana keesaan itu seseorang diizinkan
merasai ketiadaan diri dan segala yang lain, yang ada hanyalah Allah s.w.t.
makam kehambaan: Keadaan orang yang menyaksikan kehambaan dirinya dan ketuhanan
Allah s.w.t.

3 / 23

Kamus Tasawuf (L-Z)

makam kehampiran: Suasana hati yang merasai kehampiran dengan Allah s.w.t.
makam ketuhanan: Hal-hal atau keadaan ketuhanan. Sebahagian orang mengalami jazbah
dan merasai hal-hal atau keadaan tersebut.
makam keteguhan: Sebelum mencapai satu tahap kematangan kerohanian, hati salik berada
dalam keadaan berbolak-balik. Keresahan dan dukacita masih berpeluang memasuki hatinya.
Setelah dia melepasi peringkat tersebut kesabaran, penyerahan dan keredaannya kepada Allah
s.w.t menjadi teguh. Dia memasuki makam ketetapan yang penuh dengan ketenangan.
makam kewalian: Hamba yang sampai kepada makam ketetapan dibawa kepada penjagaan
dan pemeliharaan Allah s.w.t. Tuhan memelihara hatinya dan anggotanya daripada melakukan
maksiat. Dia dipermudahkan melakukan ibadat dan kebajikan. Apa sahaja yang sampai
kepadanya sudah ditapis. Dia hanya menerima yang bersih dan tiada kemudaratan sahaja.
Apabila dia terbabas kepada melakukan kesalahan dia dengan segera dibawa kembali kepada
jalan yang benar. Suasana demikian dinamakan makam kewalian.
makam khalifah: Kedudukan yang layak menjadikan seseorang khalifah kerohanian yang
boleh membimbing orang lain.
makam Lahut: Hal Zat Allah s.w.t yang melepasi semua penyifatan.
makam mahabbah: Apabila hati hamba mempunyai pertalian dengan hakikat dirinya dan
terbuka hubungan dengan Hakikat Muhammad akan memancarlah nur yang membukakan rasa
cinta yang tidak berbelah bahagi kepada Allah s.w.t. Dia dikatakan mencapai makam
mahabbah.
makam makrifat: Hamba yang sudah sampai kepada peringkat mengenal Allah s.w.t secara
hakiki dikatakan memperolehi makam makrifat.
makam melihat Allah s.w.t.: Hati yang akrab dengan Allah s.w.t berada dalam keadaan
menyaksikan sesuatu mengenai-Nya pada setiap masa dan setiap suasana. Dia menyaksikan
sesuatu mengenai Allah s.w.t pada dua perkara yang bertentangan dengan sekali pandang.
Perjalanan hukum sebab musabab dan pergerakan makhluk di dalamnya tidak menutup
pandangannya daripada menyaksikan rububiah. Dia dikatakan mencapai makam melihat Allah
s.w.t. Melihat-Nya bukanlah dengan mata di kepala tetapi ia adalah penyaksian mata hati yang
lahir daripada kecintaan dan kerinduan kepada-Nya.
makam Mukmin: Apabila kecintaan terhadap Allah s.w.t, Rasul-Nya dan berjihad pada
jalannya melebihi daripada segala-galanya maka layaklah seseorang muslim itu disebut
sebagai berada pada makam Mukmin.
makam muqarrabin: Hati yang sudah melimpah-ruah dengan Nur Ilahi akan merasakan
keakraban dengan-Nya. Tidak ada lagi hijab dan jarak yang memisahkan di antara hamba
dengan Tuhan. Allah s.w.t disaksikan di mana-mana, pada segala sesuatu dan pada setiap
waktu. Apa sahaja yang dipandang menjadi cermin untuk melihat sesuatu mengenai-Nya. Apa

4 / 23

Kamus Tasawuf (L-Z)

sahaja yang sampai kepada hati adalah umpama tutur-kata-Nya. Beginilah suasana hati yang
merasai kehampiran dan keakraban dengan Tuhan atau yang sampai kepada makam
muqarrabin.
makam Muslim: Apabila seseorang Islam dapat berpegang teguh dengan peraturan Islam dan
mengamalkannya dengan sebaik mungkin maka layaklah dia mendapat makam Muslim.
makam musyahadah: Keakraban dan kehampiran dengan Allah s.w.t membawa hati si hamba
kepada hal atau suasana kerohanian yang dipanggil saling berhadapan dan berpandangan
dengan Tuhan. Inilah makam musyahadah.
makam muttaqin: Apabila sifat ketakwaan sudah teguh seseorang hamba itu mencapai
makam muttaqin.
makam nafsu: Sifat nafsu boleh dibahagikan kepada dua peringkat iaitu nafsu yang keji dan
nafsu yang terpuji. Jika sifat nafsu yang keji menguasai hati maka hati itu berada dalam makam
nafsu yang keji. Jika sifat nafsu yang terpuji menguasai hati maka hati berada dalam makam
nafsu yang terpuji. Makam nafsu yang paling keji ialah nafsu ammarah. Makam nafsu yang
terpuji ialah muthmainnah ke atas. Nafsu yang keji menghijab hati daripada menerima nur dari
alam ghaib, dengan demikian menghalang cahaya iman daripada memasuki hati.
makam penetapan: Apabila pencarian telah berakhir dan pengalaman kerohanian telah
menemukan Yang Haq maka seseorang itu mendapat kepastian mengenai ketuhanan dan
kehambaan yang telah mengelirukannya dahulu. Ketika mencari pandangannya masih diliputi
oleh keraguan dan ketidak-pastian. Dia masih memandang ke atas' atau dalam keadaan
mencari atau menanti yang dia sendiri tidak tahu apa yang dicari dan dinanti. Bila Kebenaran
Hakiki dibukakan kepadanya dia mendapat keyakinan dengan pegangan atau iktikadnya dan
ianya tidak bergoncang lagi. Dia dikatakan memperolehi makam penetapan.
makam penyaksian: Pada makam penyaksian mata hati sentiasa memandang kepada Allah
s.w.t. Apa sahaja yang dilihat dan dihadapi membuka pandangan hati kepada sesuatu yang
mengenai Tuhan, seperti nama-Nya, sifat-Nya, kebesaran-Nya, kemuliaan-Nya dan lain-lain.
Pada makam ini Allah s.w.t dikenali melalui dua perkara yang bertentangan. Pertentangan
tersebut tidak menutup pandangan hati untuk melihat kehadiran Allah s.w.t pada kedua-dua
perkara tersebut. Apabila kehadiran Allah s.w.t dapat disaksikan atau dirasakan pada dua
perkara yang berlawanan dengan sekali pandang, maka seseorang itu dikatakan berada pada
makam penyaksian.
makam pilihan: Apabila Allah s.w.t memilih seseorang hamba-Nya bagi sesuatu tujuan
menurut kehendak-Nya, si hamba itu akan dibawa melalui berbagai-bagai proses dan latihan
kerohanian sehingga dia berada dalam keadaan layak dan kuat untuk menanggung beban
tugas yang akan Allah s.w.t letakkan di atas bahunya. Hamba yang sudah layak memikul tugas
itu dikatakan berada pada makam pilihan. Dia dipilih oleh Allah s.w.t untuk melaksanakan
sesuatu urusan-Nya demi kebaikan agama-Nya dan makhluk-Nya.
makam reda: Setelah hamba berjaya melepasi ujian dengan kesabaran yang teguh dia masuk

5 / 23

Kamus Tasawuf (L-Z)

pula kepada suasana reda dengan takdir Allah s.w.t. Bila sifat reda sudah teguh pada hatinya
dia mencapai makam reda.
makam roh: Roh atau rohani pada asal kejadiannya adalah suci bersih. Percantuman dengan
jasad menyebabkan wujud hijab-hijab yang menutup keaslian roh itu. Setelah melalui beberapa
proses dan latihan kerohanian hijab-hijab tersebut dapat disingkapkan. Keaslian roh muncul
semula. Semua ini dinamakan makam roh.
makam sabar: Hati yang teguh dengan sifat kesabaran berada dalam makam sabar.
makam siddiqiyat: Makam orang yang benar, iaitu orang yang bersesuaian kehendaknya dan
pebuatannya dengan kehendak Allah s.w.t dan peraturan agama-Nya.
makam Sir: Bila hati kembali kepada kesucian dan kemurniaannya yang asli dan kembali
memakai sifat rohani yang sejati, ia dikatakan berada pada makam sir.
makam syuhud: Makam syuhud adalah makam penyaksian iaitu menyaksikan rububiah pada
setiap waktu dan semua suasana.
makam takdir: Apabila hamba reda sepenuhnya kepada kehendak dan ketentuan Allah s.w.t
dia dikatakan mencapai makam takdir. Kesenangan dan kesusahan menjadi dua perkara yang
serupa baginya, iaitu takdir Tuhan untuknya.
makam tajrid: Suasana hati yang bergantung sepenuhnya kepada Allah s.w.t, teguh dengan
sifat-sifat sabar, tawakal, reda dan ikhlas kepada-Nya. Karenah makhluk dan teka teki sebab
musabab tidak melemahkan pergantungan dan penyerahannya kepada Allah s.w.t.
makam tauhid sifat: Pada makam tauhid sifat hamba menyaksikan kesempurnaan dan
keelokan sifat Allah s.w.t. Dia tidak melihat ada makhluk yang berkuasa mendatangkan
kemudaratan dan kemanfaatan kepada sesiapa pun. Penyaksian hatinya adalah Allah s.w.t
jualah yang berkuasa dan Dia jualah yang hidup. Dia Berdiri Dengan Sendiri dengan segala
sifat kesempurnaan-Nya.
makam tiada doa: Bila ingatan dan kesedaran terhadap diri sendiri serta kehendak diri sudah
lebur di dalam hal ketuhanan tidak ada apa lagi yang mendorong si hamba berdoa kepada
Tuhan. Bila dirinya dikembalikan bersama-sama kehendaknya dia kembali kepada suasana
yang ada permintaan dan doa.
makrifat: Pengenalan terhadap hakikat-hakikat yang dialami oleh hati yang membawa kepada
pengenalan terhadap Tuhan. makrifat diperolehi setelah terjadinya kasyaf, iaitu pembukaan
kepada keghaiban.
makrifatullah: Hasil daripada pengalaman mengenai hakikat-hakikat seseorang hamba itu
memperolehi makrifatullah, iaitu mengenal Allah s.w.t sekadar yang Dia mahu diri-Nya dikenali.
makruf: Perbuatan baik yang sesuai dengan nilai-nilai murni kemanusiaan yang dilakukan

6 / 23

Kamus Tasawuf (L-Z)

kerana mentaati perintah Allah s.w.t.


malakut: Malaikat. Alam malakut adalah alam malaikat.
mansuh: Dibatalkan.
mardhiah: Nafsu mardhiah.
mata hati: Kebolehan atau bakat untuk menyaksikan perkara ghaib dan hal-hal ketuhanan
yang ada pada hati, juga kebolehan hati untuk mengenal hakikat sesuatu.. Mata hati dapat
melihat kejahatan syaitan sekalipun syaitan datang sebagai orang yang kelihatan alim dan
warak. Lebih penting lagi mata hati mampu menyaksikan sesuatu mengenai Tuhan pada
sesuatu perkara dan kejadian yang disaksikannya. Walaupun digunakan istilah mata hati tetapi
ianya bukanlah bakat melihat seperti mata zahir di kepala. Mata hati melihat dan mendengar
sekaligus. Suasana alam ghaib bukanlah seperti alam nyata. Rupa dan bahasa alam ghaib
tidak sama dengan rupa dan bahasa alam nyata. Walaupun rupa dan bahasanya berbeza
namun, mata hati boleh mengenal rupa tersebut dan memahami bahasa berkenaan.
Keadaannya samalah seperti orang yang bermimpi menemui seseorang yang lain. Orang yang
bermimpi itu mengenali orang yang ditemuinya itu walaupun orang tersebut tidak
memperkenalkan dirinya. Orang yang bermimpi itu juga mengetahui apa yang diberitahu oleh
orang yang berkenaan walaupun orang tersebut tidak berkata apa-apa. Demikianlah halnya
mata hati, melihat dan mendengar sekaligus, mengenali dan memahami apa yang ditemuinya.
mati hisi: Dalam suasana ini apa juga yang mengisi alam ini lenyap dari alam perasaan. Tidak
ada lagi pemikiran, perasaan, bahasa, ruang, masa, ukuran dan rupa bentuk. Dia mengalami
suasana yang kosong, tiada isi, tiada rupa, tiada bahasa dan tidak boleh diperkatakan apa-apa.
Hatinya dikuasai oleh Wujud Allah s.w.t semata-mata, tidak ada yang lain. Keadaan kerohanian
pada peringkat ini adalah menyaksikan zat yang kosong dari makhluk, yang maujud hanya
Allah s.w.t.
mati maknawi: Apabila seseorang sampai kepada peringkat keasyikan terhadap sifat Allah
s.w.t bakat diri zahirnya dikuasai oleh bakat diri batin atau hati nuraninya. Penglihatan mata
zahir dikuasai oleh penglihatan mata hati. Benda-benda alam tidak lagi menarik perhatiannya.
Sifat-sifat alam benda tidak berbekas pada hatinya ketika mata hatinya memandang kepada
sifat Allah s.w.t Yang Maha Sempurna dan Kekal. Kesedaran pancainderanya hilang dan dia
dikuasai oleh suasana sifat Allah s.w.t. Kefanaan pada peringkat ini membuat seseorang
melihat kepada keabadian. Dia tidak lagi melihat kepada jasad yang akan binasa dan tidak juga
kepada dunia yang bersifat sementara. Dia dikuasai oleh suasana rohani sepenuhnya
mati surri: Pengaruh nur dari alam ghaib kepada hati menyebabkan segala kewujudan yang
sementara dan sifat kemanusiaan terhapus dari alam perasaan atau hati. Hatinya dikuasai oleh
suasana alam ghaib yang bersifat nur. Dalam suasana demikian pengaruh nama Allah s.w.t
sangat memberi bekas pada hatinya. Orang yang mengalami kefanaan ini sudah terputus dari
sifat-sifat kemanusiaan maka lahirlah perwatakan yang ganjil dan aneh, tidak secucuk dengan
tatasusila dan adab masyarakat. Percakapannya sukar dimengerti dan kadang-kadang

7 / 23

Kamus Tasawuf (L-Z)

menyinggung perasaan orang lain. Mungkin juga terkeluar dari mulutnya ucapan yang pada
zahirnya bersalahan dengan syariat.
mati tabii: Apabila hati seseorang mendapat keasyikan terhadap hal ketuhanan fikiran dan
pancainderanya menjadi tidak aktif. Pendengaran dan penglihatan zahir tidak memberi kesan
kepada hati dan fikiran. Pemikiran, perasaan dan keinginannya tidak memberi bekas kepada
hatinya. Dia melihat kelakuan dirinya terjadi diluar kawalannya dan dia tidak berupaya
menyekat apa yang mahu terjadi itu. Dia merasakan seolah-olah kuasa ghaib mengheretnya
untuk berbuat sesuatu dan dia tidak berupaya menentang kuasa tersebut. Hubungan hatinya
dengan Allah s.w.t sangat erat hinggakan setiap kali dia menyebut Allah hatinya merasakan
seolah-olah Allah menjawab seruannya itu. Pada peringkat ini kesedaran diri lenyap di dalam
lakuan Allah s.w.t. Hatinya menghayati bahawa Allah s.w.t jualah yang berkuasa melakukan
segala sesuatu.
Mikraj: Perjalanan Rasulullah s.a.w dari Baitul Makdis naik ke alam langit-langit, sampai ke
Sidratul Muntaha dan seterusnya memasuki alam Arasy hingga ke tempat yang paling tinggi di
Arasy. Di sana baginda s.a.w menerima perintah sembahyang fardu.
muazzin: Juru bang.
mubah: Perkara yang pada dasarnya adalah halal tetapi dikhuatiri bercampur dengan perkara
yang haram.
Muhajirin: Orang yang berhijrah dari Makkah ke Madinah.
mujahadah: Perjuangan mengawal hawa nafsu dan membuang sifat-sifat yang tercela,
menggantikannya dengan sifat-sifat yang terpuji.
mulhid: Orang yang berpegang kepada fahaman wahdatul wujud dan membuang syariat
hanya sekadar bersandar kepada ilmu tanpa melalui pengalaman kerohanian mengenai
hakikat.
muqarrabin: Orang yang merasakan akan kehadiran Allah s.w.t pada setiap ketika.
muridin: Sama seperti salik.
mursyid: Guru yang arif mengenai syariat zahir dan syariat batin dan juga mengamalkan
kedua-duanya. Guru tersebut memiliki kedua-dua jenis ilmu iaitu ilmu fikah dan ilmu tasauf. Dia
memahami selok-belok perjalanan kerohanian dan mampu menghuraikan
pengalaman-pengalaman kerohanian yang ditempuhi oleh muridnya iaitu orang salik. Guru
yang demikian memiliki kasyaf qulub, iaitu boleh membaca perkembangan pemikiran dan jiwa
muridnya. Bakat tersebut memudahkan mursyid itu membimbing muridnya.
musyahadah: Saling berhadapan, iaitu hamba berhadapan dengan Tuhan. Apa yang berlaku
bukanlah berhadapan secara langsung. Ia adalah pengalaman kerohanian yang menyentuh hal
ketuhanan. Tuhan membukakan hijab supaya hamba dapat mengenali-Nya sekadar yang Dia

8 / 23

Kamus Tasawuf (L-Z)

mahu diri-Nya dikenali.


muttakhaliq: Orang yang memasuki alam kerohanian dan mengalami hal ketuhanan. Sifat,
keperibadian, daya-rasa dan daya-nilainya berubah. Segala sesuatu diisbatkannya kepada
Tuhan. Dia samada melihat dirinya sebagai alat dan Tuhan yang menggunakan alat ataupun
dia melihat Tuhan mengurniakan kepadanya alat dan dia sendiri yang menggunakan alat
tersebut.
muttaqin: Orang yang menjalankan perintah Allah s.w.t dengan tepat dan
bersungguh-sungguh meninggalkan larangan-Nya, iaitu orang yang bertakwa.
muwahhid: Orang yang dikuasai oleh hal di mana kesedaran dan ingatannya terhadap dirinya
dan sekalian makhluk sudah tidak ada lagi. Dia dikuasai oleh suasana Allah' semata-mata. Dia
melihat Allah', mendengar Allah' dan merasa Allah' pada semua perkara dan ketika.
mazhab: Aliran kefahaman mengenai agama.
Mikraj: Perjalanan Rasulullah s.a.w dari Baitul Makdis naik ke Alam Langit-langit, sampai ke
Sidratul Muntaha dan seterusnya memasuki alam Arasy hingga ke tempat yang paling tinggi di
Arasy. Di sana baginda s.a.w menerima perintah sembahyang fardu.
Muhajiirin: Orang yang berhijrah dari Makkah ke Madinah.
mujahadah: Perjuangan mengawal hawa nafsu dan membuang sifat-sifat yang tercela,
menggantikannya dengan sifat-sifat yang terpuji.
Mujahidin: Tentera yang berjuang demi jihad pada jalan Allah s.w.t.
mujtahid: Orang yang berkelayakan untuk berijtihad.
muktabar: Kedudukan atau kebolehan yang diperakui oleh orang-orang yang mempunyai ilmu
dalam bidang berkenaan.
mulhamah: Nafsu mulhamah.
mumkinul wujud: Wujud makhluk.
munafik: Munafik kelas pertama muncul di Madinah pada zaman Nabi Muhammad s.a.w.
Mereka dipimpin oleh Abdullah bin Ubai. Mereka menolak kerasulan Nabi Muhammad s.a.w.
Mereka tidak memperakui bahawa wahyu itu datangnya dari Tuhan. Mereka beranggapan Nabi
Muhammad s.a.w hanyalah seorang manusia biasa, bukanlah seorang rasul yang diutus oleh
Tuhan. Mereka beranggapan wahyu hanyalah perkataan yang keluar daripada pemikiran Nabi
Muhammad s.a.w. Walaupun mereka menolak kerasulan Nabi Muhammad s.a.w dan agama
yang baginda s.a.w bawa namun, suasana di Madinah membuat mereka terpaksa menyertai
Islam. Mereka memeluk agama Islam secara zahir sahaja sedangkan hati mereka menolaknya.
Mereka menjadikan Islam bukan sebagai agama Tuhan, tetapi hanyalah sebagai sebuah

9 / 23

Kamus Tasawuf (L-Z)

pertubuhan atau pergerakan kemanusiaan. Oleh yang demikian mereka membuang ajaran dan
peraturan agama pada bila-bila masa sahaja yang mereka suka. Mereka juga gemar
mempersendakan kepercayaan agama yang mereka anggap lebih rendah daripada nilai-nilai
kemanusiaan yang ada dengan mereka. Sifat-sifat munafik itu berjalan' dari satu generasi ke
generasi yang lain, hinggalah kepada generasi sekarang. Kemunafikan yang ada bergantung
kepada kekuatan sifat-sifat munafik yang menguasai hati. Jika sifat-sifat munafik itu sampai
kepada tahap mampu menutup hati daripada melihat kebenaran ajaran dan peraturan Islam
maka sifat-sifat kemunafikan itu bertukar menjadi kekufuran.
munkar: Perkara baik menurut nilai-nilai murni kemanusiaan yang diperakui oleh ajaran agama
menjadi perkara makruf sementara perkara buruk pula menjadi perkara munkar. Dalam agama,
perbuatan makruf berhak mendapat pahala dan perbuatan munkar layak menerima dosa.
muraqabah: Kehampiran hati dengan Allah s.w.t menyebabkan hati merasai bermuraqabah
atau berhadapan dengan Tuhan.
mursyid: Guru yang arif mengenai syariat zahir dan syariat batin dan juga mengamalkan
kedua-duanya. Guru tersebut memiliki kedua-dua jenis ilmu iaitu ilmu fikah dan ilmu tasauf. Dia
memahami selok-belok perjalanan kerohanian dan mampu menghuraikan
pengalaman-pengalaman kerohanian yang ditempuhi oleh muridnya iaitu orang salik. Guru
yang demikian memiliki kasyaf qulub, iaitu boleh membaca perkembangan pemikiran dan jiwa
muridnya. Bakat tersebut memudahkan mursyid itu membimbing muridnya.
muta'allim: Orang yang menuntut ilmu.
muthmainnah: Nafsu muthmainnah.
Mutlak: Keadaan Tuhan yang Berdiri Dengan Sendiri.
mutahaqqiq: Salik yang telah melepasi peringkat fana dan baqa dan kembali kepada
kesedaran kemanusiaan seperti biasa. Mutahaqqiq berkemampuan menguruskan kehidupan di
dalam dunia ini sebagaimana seorang manusia biasa, tidak lagi terbawa-bawa dengan
kemabukan dan latah.
muttakhaliq: Muttakhaliq adalah orang yang memasuki alam kerohanian dan mengalami hal
ketuhanan. Sifat, keperibadian, daya-rasa dan daya-nilainya berubah. Segala sesuatu
diisbatkannya kepada Tuhan. Dia samada melihat dirinya sebagai alat dan Tuhan yang
menggunakan alat ataupun dia melihat Tuhan mengurniakan kepadanya alat dan dia sendiri
yang menggunakan alat tersebut.
ISTILAH N - Z
nafs: Diri manusia. Bila dipandang sebagai diri yang mempunyai keinginan ia dipanggil nafsu.
Bila dipandang sebagai diri yang berakal ia dipanggil nafsu natiqah. Bila dipandang sebagai
gabungan berbagai-bagai sifat ia dinamakan hati. Nafsu, nafsu natiqah dan hati adalah diri
manusia sendiri yang dipandang melalui berbagai-bagai aspek.

10 / 23

Kamus Tasawuf (L-Z)

nafsu ammarah: Peringkat nafsu yang paling rendah dan paling kuat dikuasai oleh syahwat,
dunia dan syaitan. Hijab yang muncul melalui nafsu ini menyebabkan tertutup hubungan hati
dengan Tuhan. Nafsu mengarahkan semua pancaindera dan akal kepada perkara-perkara
keduniaan semata-mata. Hati yang tidak menerima cahaya iman akan menghasilkan sifat-sifat
ammarah
nafsu kamaliah: Peringkat nafsu yang paling tinggi, iaitu tahap kesempurnaan nafsu. Nafsu
kamaliah adalah peringkat nafsu yang paling sempurna, suci bersih dan murni.
nafsu lawwamah: Sifat nafsu yang paling rendah, iaitu ammarah, adalah ego, enggan
mengakui kesalahan diri sendiri. Apabila sifat nafsu itu menjadi bertambah baik cahaya
kebenaran dapat menyelinap masuk ke dalam hati dan akal. Dalam suasana yang demikian
seseorang dapat melihat dan mengakui kesalahan dirinya. Suasana diri yang boleh mengkeritik
diri sendiri itu dinamakan peringkat lawwamah.
nafsu mardhiah: Sifat nafsu yang luhur, yang diredai oleh Allah s.w.t.
nafsu mulhamah: Sifat nafsu sebelum memasuki kembali kepada suasana rohani yang asli.
nafsu muthmainnah: Nafsu yang bersih, tulen dan asli yang menjadi sifat nafsu yang asal
kepunyaan rohani sebelum dipengaruhi oleh anasir jasad dan alam dunia. Apabila dicemari
oleh anasir jasad dan dunia tahap kesucian nafsu menurun kepada mulhamah. Jika kekotoran
bertambah lagi ia menurun kepada tahap lawwamah. Nafsu yang sudah banyak tercemar dan
berada pada tahap yang paling hina dikenali sebagai ammarah.
nafsu radhiah: Tingkat nafsu di antara muthmainnah dan mardhiah. Kemuncak fana berlaku
dalam peringkat radhiah. Orang radhiah lupa kepada dirinya dan makhluk sekaliannya.
Kesedarannya hanyalah pada Allah s.w.t.
nasut: Alam benda-benda.
nisbat: Istilah yang digunakan dalam tarekat Naqsabandiyah bagi menceritakan suasana yang
tidak putus ingatannya kepada Allah s.w.t.
nur: Unsur seni lagi latif yang termasuk dalam perkara Latifah Rabbaniah. Nur bukanlah
cahaya seperti cahaya lampu, cahaya matahari, cahaya kilat dan lain-lain cahaya yang boleh
dilihat. Kekuatan akal dan khayal tidak mampu menghuraikan hakikat nur. Apa sahaja yang
dinisbahkan kepada Tuhan adalah dalam keadaan nur. Malaikat yang menjalankan perintah
Tuhan adalah nur. Roh yang menjadi urusan Tuhan adalah nur. Wahyu yang diturunkan oleh
Tuhan adalah nur. Taufik, hidayat dan rahmat Tuhan adalah nur juga. Ilmu juga nur.
Nama-nama Tuhan, sifat-sifat Tuhan dan Hadrat Tuhan yang dirasai oleh hati adalah nur juga.
Nur yang termasuk di dalam golongan kewujudan yang diperintah, seperti malaikat dan roh
manusia, adalah makhluk dan menghuni ruang alam. Nur urusan Tuhan, nama-nama, sifat-sifat
dan Hadrat Tuhan bukanlah makhluk dan tidak mengambil ruang. Nur yang dinisbahkan secara
langsung kepada Tuhan adalah keadaan atau hal Tuhan dan dipanggil Nur Allah. Walaupun
terjadi pengalaman kerohanian mengenai Nur Allah, seperti nama-nama-Nya, sifat-sifat-Nya

11 / 23

Kamus Tasawuf (L-Z)

dan Hadrat-Nya, itu bukan bermakna Nur Allah masuk ke dalam hati, fikiran atau khayalan
manusia. Apa yang manusia alami hanyalah gubahan Tuhan untuk melahirkan makrifat tentang
Diri-Nya. Gubahan Tuhan yang demikian membuka pengertian tentang hakikat ketuhanan yang
diselubungi oleh selimut ghaib yang kukuh.
nurani: Unsur atau anasir nur. Hati yang merupakan daging segempal adalah anasir nyata dan
dinamakan hati sanubari. Hati seni bukan anasir nyata. Ia adalah anasir nur dan dinamakan hati
nurani. Oleh kerana hati adalah daripada anasir nur maka ia mampu menerima hal ketuhanan
yang dari nur.
Nur Akal: Akal ada dua jenis, iaitu akal zahir dan akal batin. Akal zahir mengenderai otak. Akal
batin adalah unsur nur. Apabila akal batin sudah diterangi oleh nur baharulah perkara
ketuhanan dapat difahami. Nur bagi akal batin menerangi akal yang pada otak. Baharulah
manusia dapat memikirkan tentang ketuhanan dan perkara ghaib.
Nur al-Muwaajahah: Nur al-muwaajahah berperanan membawa hamba berhadapan' dan
menyaksikan' Tuhan dalam suasana "Tidak ada sesuatu yang serupa dengan-Nya".
nurani: Unsur atau anasir nur. Hati yang merupakan daging segempal adalah anasir nyata dan
dinamakan hati sanubari. Hati seni bukan anasir nyata. Ia adalah anasir nur dan dinamakan hati
nurani. Oleh kerana hati adalah daripada anasir nur maka ia mampu menerima hal ketuhanan
yang dari nur.
Nur Iman: Cahaya iman. Iman adalah hubungan hati dengan Allah s.w.t. Hati adalah bangsa
nur atau nurani. Apa juga yang dari Allah s.w.t adalah dalam unsur nur. Iman yang terpancar di
dalam hati adalah juga nur. Nur Iman yang menerangi hati nurani membuka hubungan dengan
Nur Ilahi.
Nur Kalbu: Nur yang memancar di dalam hati. Nur kalbu menerangi akal. Akal yang diterangi
oleh nur berguna bagi pengajian tentang perkara ghaib dan ketuhanan. Tanpa sinaran Nur
Kalbu akal tidak mampu bertafakur mengenai perkara ghaib dan ketuhanan.
Nur Muhammad: Urusan Tuhan yang berada pada sisi-Nya berhubung dengan penciptaan
alam makhluk. Bolehlah dikatakan bahawa sekalian alam makhluk termasuklah manusia, jika
disaksikan dalam Ilmu Tuhan maka sekaliannya disaksikan sebagai Nur Muhammad. Jika
dipandang sebagai hakikat maka ia adalah Hakikat Insan dan juga Hakikat Alam. Nur
Muhammad adalah suasana pentadbiran Tuhan bukan makhluk yang mendiami ruang alam.
Bekas alam yang menerima bakat dan keupayaan Nur Muhammad itu dinamakan Roh
Muhammad.
Nur Sir: Nur Rahsia Allah s.w.t. Nur sir yang menerima sinaran Nur Allah dan nur sir
memancarkannya kepada nur hati, lalu hati mengalami sesuatu hal ketuhanan. Apa yang Allah
s.w.t mahu sampaikan kepada hamba-Nya disampaikan-Nya kepada sir. Sir menterjemahkan
utusan Tuhan itu dalam bentuk nur dan nur tersebut dihantarkan kepada hati. Hati yang
mempunyai bakat makrifat memahami perutusan nur yang dihantarkan oleh sir itu.
nur tawajjuh: Hati hanya boleh menghadap dan menghampiri Tuhan kerana peranan nur. Nur

12 / 23

Kamus Tasawuf (L-Z)

yang berperanan demikian dinamakan nur tawajjuh.


Nurullah: Nur Allah s.w.t.
Nur Zikir: Ibadat yang dilakukan oleh seseorang hamba melahirkan nur. Wuduk melahirkan
nur. Sembahyang melahirkan nur. Zikir juga melahirkan nur. Syarat bagi melahirkan nur dalam
ibadat itu ialah ikhlas kerana Allah s.w.t semata-mata. Setiap nur yang lahir daripada ibadat itu
mempunyai fungsinya masing-masing dalam membantu seseorang hamba mendekati dan
mengabdikan diri kepada Tuhan. Nur zikir melahirkan ingatan, kasih sayang dan kerinduan
kepada-Nya. Zikir yang sudah melahirkan nur akan menambahkan kekuatan seseorang hamba
dalam pengabdiannya kepada Tuhannya dan dia memperolehi kelazatan dalam berbuat
demikian.
Nyawa Insan: Jasad hidup kerana Roh Haiwani dan Roh Haiwani pula memperolehi
penghidupan daripada Roh Insan atau Nyawa Insan yang dinamakan juga Latifah Sir.
Pembimbing Hakiki: Di dalam pengajian ketuhanan tidak ada istilah kebetulan. Tidak ada
yang berlaku secara kebetulan, tanpa dirancang atau ditadbir. Semua yang berlaku adalah di
bawah tadbir Allah s.w.t. Jika secara tiba-tiba seseorang itu mendapat sesuatu pengetahuan
atau terbuka kepadanya sesuatu jalan, ianya berlaku bukanlah secara kebetulan tetapi
menurut tadbir Tuhan. Oleh kerana hal tersebut berlaku secara tiba-tiba sumber kedatangannya
tidak diketahui dengan jelas tetapi diyakini bahawa al-Haq, iaitu Tuhan yang Maha Mengasihani
memberi taufik dan hidayat kepada hamba-Nya yang berkenaan. Apabila pengajaran tersebut
dinisbahkan kepada al-Haq atau Tuhan, ia diistilahkan sebagai Pembimbing Hakiki. Orang yang
menerima bimbingan secara demikian dapat merasakan bahawa pengetahuan yang sampai
kepadanya adalah secara terancang bukan secara kebetulan. Kehadiran Pembimbing Hakiki
tersebut, walaupun tidak diketahui hakikatnya, menambahkan keyakinan kepada hamba yang
sedang berjalan pada jalan Tuhan itu.
Pembimbing Rohani: Sama seperti Pembimbing Hakiki.
Penglihatan Mutlak: Penglihatan Allah s.w.t yang bersifat Mutlak. Penglihatan Allah s.w.t tidak
ada permulaan dan tidak ada kesudahan. Jika dikatakan Allah s.w.t Melihat makhluk-Nya, maka
Dia Melihat makhluk-Nya itu sejak azali, sebelum makhluk diciptakan. Dia Melihat makhluk-Nya
tatkala makhluk itu diciptakan. Dia Melihat makhluk-Nya sesudah makhluk diciptakan dan
sampailah kepada keabadian. Dia Melihat perbuatan makhluk sebelum makhluk melakukan
perbuatan itu, ketika makhluk melakukannya dan sesudah makhluk melakukannya. Dia Melihat
yang awal dan yang akhir, yang zahir dan yang batin. Pada setiap perbuatan dan kejadian ada
Penglihatan-Nya. Pada setiap penglihatan makhluk ada juga Penglihatan-Nya. Oleh yang
demikian makhluk tidak dapat melakukan dan melihat sesuatu tanpa Allah s.w.t Melihatnya.
Penyaksian Hakiki: Penyaksian Hakiki mata hati adalah suasana hati yang sentiasa
menyaksikan sesuatu tentang Tuhan, pada setiap masa dan semua kejadian.
Perbendaharaan Yang Tersembunyi: Rahsia-rahsia ketuhanan atau hakikat-hakikat yang
berada pada sisi Tuhan. Kumpulan hakikat-hakikat tersebut dinamakan Hakikat Muhammadiah.

13 / 23

Kamus Tasawuf (L-Z)

Perintah Batin: Hati nurani dinamakan juga Diri Batin. Nur dari alam ghaib diterima oleh hati
nurani atau Diri Batin itu. Nur yang dari alam ghaib mempunyai kekuatan menguasai hati
nurani. Perutusan yang disampaikan oleh nur tersebut diterima oleh hati nurani seumpama
menerima perintah, tidak berupaya mengingkarinya. Hati kemudian memaksa pancainderanya
untuk melakukan menurut perutusan yang telah diterimanya. Hal yang demikian dinamakan
perintah batin. Orang yang menerima perintah batin ini sering melakukan sesuatu yang pada
zahirnya kelihatan tidak munasabah bagi orang ramai. Namun begitu orang berkenaan tidak
ragu-ragu melakukan perkara yang telah disampaikan kepada Diri Batinnya itu sekalipun
dipandang remeh oleh orang lain.
Petunjuk Ilmu: Hati nurani adalah unsur nur dan ilmu juga unsur nur. Nur ilmu memancar
kepada nur hati. Pancaran nur ilmu mengwujudkan sesuatu suasana di dalam hati. Hati
memahami perutusan yang dibawa oleh nur ilmu itu. Hal yang demikian dinamakan petunjuk
ilmu.
Petunjuk Laduni: Apabila nur dari alam ghaib dinisbahkan kepada pekerjaan atau urusan
Tuhan ia dinamakan Petunjuk Laduni. Ia adalah bimbingan yang Allah s.w.t sampaikan kepada
hamba-Nya yang dikehendaki-Nya.
Qadak : Urusan atau suasana Pentadbiran Tuhan mengenai sesuatu perkara. Ia boleh juga
dikatakan sebagai hakikat bagi kejadian Tuhan ataupun suasana ilmu Tuhan yang mengenai
makhluk-Nya. Apa juga yang Tuhan berkehendak menciptakan sudah ada pada sisi-Nya, dalam
Ilmu-Nya sebagai Pentadbiran-Nya dan dipanggil hakikat-hakikat yang menguasai segala
kejadian.
Qadar: Apa yang terzahir atau berlaku menurut Qadak yang pada sisi Tuhan atau menurut
kehendak yang ada pada Ilmu-Nya atau menurut hakikat-hakikat yang menguasai. Qadak
berada pada sisi Tuhan dan Qadar adalah yang keluar' menurut Qadak tersebut. Qadak adalah
ilmu Tuhan dan Qadar adalah perbuatan-Nya menurut Ilmu-Nya. Boleh juga jika maksud yang
dijelaskan mengenai Qadak digunakan untuk Qadar dan maksud untuk Qadar digunakan untuk
Qadak. Sebahagian ulama mentafsirkan Qadar sebagai suasana ilmu Tuhan dan Qadak pula
suasana perbuatan Tuhan. Kedua-dua bentuk pentafsiran tersebut boleh diguna-pakai.
Qurbi Faraidh: Suasana kerohanian di mana seseorang itu berubah kesedaran dan sifatnya.
Dalam suasana yang demikian seseorang itu melihat ketidak-upayaan dirinya dan dia hanya
menumpang daya dan upaya yang dari Allah s.w.t. Dia melihat apa sahaja yang keluar
daripadanya adalah di bawah kekuasaan dan perbuatan Tuhan secara langsung tanpa dia ikut
campur sedikitpun.
Qurbi Nawafil: Suasana kerohanian di mana seseorang melihat dirinya sebagai bekas yang
Tuhan letakkan bakat-bakat dan keupayaan serta dia diizinkan menggunakan bakat-bakat serta
keupayaan tersebut. Orang yang demikian melihat dirinya sebagai pengurus yang diberi kuasa
untuk mentadbir apa yang dibekalkan kepadanya.

14 / 23

Kamus Tasawuf (L-Z)

Qutubul Aqtab: Ketua Agung sekalian wali-wali.


radhiah: Nafsu radhiah.
raghib: Orang yang dilalaikan oleh dunia, syaitan dan dorongan hawa nafsu yang rendah.
Akalnya tidak terbuka untuk memikirkan tentang kebesaran dan kemurahan Tuhan Hatinya
hanya dipenuhi oleh tuntutan hawa nafsu, tidak ada selira untuk mengingati Tuhan atau
beribadat kepada Tuhan.
Rahsia: Rahsia atau Sir adalah perantara' yang kerananya penciptaan makhluk menjadi
mungkin. Ia menjadi pemangkin atau hijab kepada kewujudan makhluk. Rahsia atau Sir inilah
yang memungkinkan ada hubungan makhluk dengan Tuhan. Hakikatnya hanya Allah s.w.t
sahaja yang mengetahuinya.
Rahsia Allah s.w.t: Sama seperti Rahsia.
Roh Allah s.w.t: Hakikat Roh. Urusan Tuhan yang berhubung dengan roh-roh. Ia dinamakan
Roh Allah, iaitu hakikat yang berada pada sisi Allah s.w.t yang menguasai semua roh-roh.
Roh Insan: Latifah Sir.
Roh Muhammad: Roh yang paling latif yang menjadi penjana kepada sekalian kehidupan.
Roh Mutlak: Roh Allah s.w.t.
Roh Tuhan: Roh Allah s.w.t.
Rububiah: Suasana Pentadbiran Tuhan mengenai makhluk.
salat daim: Sembahyang yang berkekalan. Ada beberapa pengertian mengenai salat daim.
Pertama, ia bermaksud sembahyang yang dilakukan secara berkekalan, iaitu tidak
meninggalkan sebarang sembahyang fardu. Kedua, ia bermaksud hati sentiasa terikat dengan
sembahyang, samada sedang melakukan sembahyang atau sedang menunggu untuk
mengerjakan sembahyang sebelum masuk waktu sembahyang. Ke tiga, ia bermaksud suasana
Latifah pada tahap kesedaran sir. Dalam kesedaran tersebut muka hati sentiasa menghadap
kepada Allah s.w.t, tanpa diganggu oleh kesibukan pekerjaan atau kehadiran makhluk yang
perlu dilayani. Keadaannya samalah seperti keadaan orang yang sedang berpuasa. Kesibukan
dalam urusan harian tidak menghilangkan suasana berpuasa pada hati orang berkenaan. Pada
tahap kesedaran sir setiap perbuatan dan perkataan menjadi ibadat.
salihin: Orang salih, iaitu orang beriman yang berjalan sesuai dengan peraturan syariat.
salik: Orang yang memasuki bidang latihan kerohanian.
salikin: Sama seperti salik.

15 / 23

Kamus Tasawuf (L-Z)

sama'ah: Menceritakan kebaikan yang dilakukan bagi tujuan mendapatkan puji-pujian.


Samad: Salah satu daripada nama-nama Allah s.w.t yang menceritakan tentang hal-Nya.
As-Samad membawa maksud bahawa Allah s.w.t jualah tempat makhluk berhajat dan
bergantung. Makhluk tidak mungkin bebas daripada pergantungan kepada-Nya. As-Samad juga
membawa maksud bahawa Allah s.w.t sahajalah yang berkuasa menerima permohonan hamba
dan memperkenankannya. Selain itu as-Samad juga membawa maksud bahawa Allah s.w.t
adalah penghujung segala sesuatu. Segala doa, hajat, harapan, cita-cita, khayalan dan
sebagainya, walaupun dituju kepada sesiapa sahaja namun, kesudahannya sampai kepada Dia
juga. Tidak ada perkataan, perbuatan, niat dan lain-lain yang terlepas daripada Allah
as-Samad.
siddik: Salah satu daripada sifat-sifat yang wajib bagi Rasulullah s.a.w. Siddik bererti benar,
iaitu Rasulullah s.a.w adalah benar dalam penyampaian baginda s.a.w. Baginda s.a.w hanya
menyampaikan apa yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. Baginda s.a.w tidak mengada-adakan
cerita dan tidak pula menyembunyikan sebarang perkhabaran yang disampaikan oleh Allah
s.w.t.
Sifat Hakiki: Sifat Allah s.w.t yang melampaui penyifatan dan ibarat.
Sir: Rahsia, iaitu Rahsia Allah s.w.t yang menghubungkan makhluk dengan-Nya. Hakikat
hubungan tersebut tidak diketahui oleh makhluk.
Suara Hakiki: Perintah batin, petunjuk ilmu, petunjuk laduni atau nur dari alam ghaib diterima
oleh hati nurani. Nur yang demikian sampai kepada hati dengan membawa sesuatu perutusan
dan pengertiannya ditanamkan kepada hati seumpama menanam sebiji benih. Hati adalah
umpama bumi yang menumbuhkan benih tersebut. Setelah benih itu tumbuh maka pokoknya
menjadi nyata. Sehubungan dengan itu hati berperanan menterjemahkan perutusan segumpal
yang diterimanya. Dalam berbuat demikian hati seolah-olah menerima pengajaran dan
tutur-kata yang menghuraikan perutusan nur yang diterimanya. Tutur-kata' yang didengar atau
difahami oleh hati itu dinamakan Suara Hakiki. Ia adalah suara hati bukan suara manusia
berkata-kata secara nyata.
suhuf: Catatan wahyu yang diturunkan kepada nabi-nabi yang sedikit bilangannya dinamakan
suhuf sementara yang lebih banyak dinamakan kitab.
syariat: Hukum dan peraturan Tuhan mengenai sesuatu perkara yang wajib dipatuhi oleh
manusia. Syariat diturunkan kepada nabi-nabi dan mereka menyampaikannya kepada umat
manusia.
syariat batin: Peraturan syariat yang berhubung dengan amalan hati seperti niat, iman,
tawakal dan sebagainya.
syariat zahir: Peraturan syariat yang berhubung dengan amalan zahir seperti cara-cara
mengerjakan sembahyang, haji dan lain-lain.

16 / 23

Kamus Tasawuf (L-Z)

syurgawi: Nikmat, kesejahteraan dan keselamatan yang ada di syurga.


syuhud: Penyaksian dengan mata hati. Walaupun perkataan penyaksian digunakan namun,
syuhud bukanlah melihat semata-mata. Syuhud menggabungkan penyaksian, pendengaran
dan perasaan hati. Dalam syuhud apa yang disaksikan itu jugalah yang didengar dan
dirasakan. Gabungan bakat-bakat yang ada pada hati itulah dinamakan syuhud.
syirik: Melanggar sempadan yang memisahkan ketuhanan daripada kehambaan. Syirik terjadi
apabila taraf ketuhanan diturunkan sehingga menyamai taraf kehambaan dan juga apabila taraf
kehambaan dinaikkan sehingga menyamai taraf ketuhanan. Syirik bukan sahaja terjadi dalam
perkara penyembahan malah perkara-perkara lain juga boleh menyebabkan syirik, seperti
pemujian, penyayangan, ketaatan dan sebagainya. Jika berlaku pemujian, penyayangan dan
ketaatan kepada makhluk sehingga membelakangi hak ketuhanan Allah s.w.t, maka terdapatlah
syirik padanya.
syuhada: Orang yang mati syahid, iaitu orang yang mati dalam peperangan pada jalan Allah
s.w.t.
syuhudi: Penyaksian dengan mata hati. Walaupun perkataan penyaksian digunakan namun,
syuhud bukanlah melihat semata-mata. Syuhud menggabungkan penyaksian, pendengaran
dan perasaan hati. Dalam syuhud apa yang disaksikan itu jugalah yang didengar dan
dirasakan. Gabungan bakat-bakat yang ada pada hati itulah dinamakan syuhud.
syurgawi: Sifat-sifat yang ada dalam syurga seperti keselamatan dan kelazatan.
tabligh: Salah satu daripada sifat-sifat yang wajib bagi Rasulullah s.a.w. Tabligh bermaksud
menyampaikan, iaitu Rasulllah s.a.w menyampaikan sebagaimana yang diperintahkan oleh
Allah s.w.t, tanpa menyembunyikan atau meminda sesuatu.
tafakur: Proses pengambilan ilmu oleh akal zahir daripada akal yang bersuluhkan nur. Proses
ini berlaku sebagai perbincangan dengan diri sendiri. Diri sendiri yang menjadi penanya dan
penjawab. Bantuan nur membuka kefahaman terhadap perkara-perkara yang tidak difahami
sebelumnya. Aspek diri yang bertanya mendapat jawapan yang memuaskan daripada aspek
diri yang menjawab.
tajalli: Hal ketuhanan yang Allah s.w.t gubahkan bagi memperkenalkan Diri-Nya dan gubahan
tersebut dihantarkan-Nya kepada hati hamba-Nya.
tajalliyat: Tajalli.
tajalli ilmu: Pembukaan terhadap pengetahuan mengenai pengalaman kerohanian yang telah
dilalui dan hasilnya tercapailah makrifat.
tajalli Rahmani: Pembukaan mengenai hal-hal ketuhanan yang dipengaruhi oleh Tarikan
ketuhanan secara langsung. Dalam tajalli Rahmani salik mencapai fana dan ikut hancur adalah
ego dirinya. Apabila salik kembali kepada kesedaran semula dia kembali dengan tawaduk,

17 / 23

Kamus Tasawuf (L-Z)

tanpa ego diri, sombong atau takbur.


tajalli roh: Pembukaan mengenai perkara ghaib berlandaskan kekuatan Roh Haiwani yang
dihijabkan oleh sifat-sifat nafsu yang rendah. Tajalli roh mendorong kepada penyaksian
terhadap ketuhanan roh. Orang yang menerima tajalli roh menjadi semakin ego, merasakan
ketuhanan diri dan membuang syariat.
tajalli rohani: Sama seperti tajalli roh.
tajrid: Suasana hati yang melihat sesuatu perkara dari sumbernya, iaitu Tuhan. Kepantasan
mata hati memandang kepada Tuhan menyebabkan hukum sebab musabab tidak
mempengaruhinya. Hati yang demikian kuat berserah dan bergantung kepada Tuhan, bukan
kepada makhluk. Walaupun tindakan menurut hukum sebab musabab diambil namun,
keberkesanan diletakkan kepada Tuhan dan ketentuan-Nya, bukan pada sebab musabab
tersebut.
takwa: Sempadan hukum dan peraturan Tuhan yang perlu dijaga oleh seseorang hamba.
Hamba yang bertakwa memelihara dirinya agar tidak terdorong untuk keluar dari sempadan
tersebut. Dalam berbuat demikian hati dikuasai oleh rasa taat, merendah diri, takut, harap dan
sebagainya kepada Tuhan. Gabungan sifat-sifat kehambaan tersebut merupakan sifat takwa.
tanzih: Keadaan Tuhan yang melampaui penyifatan.
taqarrub: Mendekati Allah s.w.t.
tarekat: Jalan, cara atau sistem yang digunakan bagi tujuan mendekatkan diri kepada Tuhan.
tarekat Islam: Peraturan syariat zahir dan syariat batin.
tarekat kehidupan harian: Menyesuaikan kehidupan yang dijalani harian dengan peraturan
syariat zahir dan syariat batin.
tarekat sufi: Jalan kesufian.
tarekat tasauf: Pendekatan diri kepada Tuhan melalui cara tasauf menurut kaedah yang
dibentuk oleh guru-guru tasauf yang telah mencuba sendiri sesuatu kaedah itu.
tarekat ujian bala: Ujian bala seperti penyakit, kesusahan mencari rezeki, kemalangan dan
lain-lain adalah merupakan proses latihan kepada jiwa agar ia kembali kepada Tuhan.
tasauf: Satu aliran ilmu dan kefahaman agama yang menitik-beratkan soal hati, penyuciannya
dan hubungannya dengan Tuhan.
tasybih: Keadaan Tuhan yang boleh disifatkan.
taubat

18 / 23

Kamus Tasawuf (L-Z)

nasuha: Taubat yang sebenar-benarnya. Taubat jenis ini adalah seumpama mencabut rumput
dengan akarnya sekali agar rumput tersebut tidak berpeluang tumbuh kembali. Orang yang
melakukan taubat nasuha bukan sahaja berhenti melakukan kesalahan malah faktor-faktor
yang boleh membuka pintu kepada kesalahan tersebut juga dihapuskan.
taufik: Pertolongan Tuhan.
tauhid syuhudi: Penyaksian satu wujud oleh mata hati, dinamakan wahdatul syuhud.
tauhid wujudi: Keyakinan atau kepercayaan tentang satu wujud, dinamakan wahdatul wujud.
tawaduk: Merendah diri, terutamanya dengan Allah s.w.t.
tawajjuh: Salah satu suasana kerohanian di mana berlaku lonjakan' kesedaran daripada
kesedaran kebendaan kepada kesedaran hakikat yang membawa hati merasakan kehampiran
Allah s.w.t.
tawakal: Meletakkan harapan, pergantungan dan penyerahan hanya kepada Allah s.w.t.
Tawakal beserta setiap amalan, di sepanjang amalan itu, bukan hanya datang sesudah amalan
dibuat. Tawakal yang menemani setiap langkah pekerjaan membuat hati sentiasa memandang
kepada Allah s.w.t, melihat Kudrat dan Iradat-Nya, Haula dan Kuwwata-Nya serta Qadak dan
Qadar-Nya. Hamba tidak terlepas daripada berhajat dan bergantung kepada Allah s.w.t walau
satu detik pun. Allah s.w.t memiliki sifat iftiqar yang mewajibkan hamba memerlukan-Nya. Di
atas kefaqiran terhadap Allah s.w.t itulah hamba tidak putus bertawakal kepada-Nya.
tawasul: Mengadakan perantaraan bagi menyampaikan seseorang kepada Allah s.w.t. Ada
murid yang bertawasul kepada gurunya bagi mendekatkan dirinya dengan Tuhan. Ada orang
yang bertawasul kepada amalan baiknya bagi menyampaikan hajatnya kepada Tuhan. Ada
juga orang yang bertawasul kepada arwah orang yang sudah meninggal dunia bagi sesuatu
maksud.
ubudiah: Suasana kehambaan, iaitu wujud yang diperintah dan tertakluk kepada hukum
ketentuan Tuhan.
ukhrawi: Perkara atau suasana akhirat.
Uluhiyah: Suasana ketuhanan, iaitu Wujud yang memerintah dan mentadbir. Sekalian makhluk
berhajat dan bergantung kepada-Nya.
uns: Hati yang telah merasai jalinan hubungan dengan Allah s.w.t dan lahir rasa kasih
terhadap-Nya.
uzlah: Pengasingan diri di tempat yang sunyi bagi tujuan menyucikan hati, membuang
sifat-sifat yang tercela, menambahkan ibadat kepada Tuhan dan seterusnya mendekati-Nya.
Wahadiyyah: Suasana ketuhanan yang dinamakan nama-nama Tuhan. Nama-nama Tuhan

19 / 23

Kamus Tasawuf (L-Z)

yang banyak memperincikan keadaan Tuhan Yang Satu. Secara hakikat suasana yang
demikian dinamakan Hakikat Insan.
Wahdat: Suasana ketuhanan yang dipanggil sifat-sifat Tuhan. Suasana sifat menceritakan
keadaan nama-nama yang terkumpul, tidak diperincikan. Semuanya berada dalam satu
kesatuan. Satu nama Tuhan menceritakan satu keadaan Tuhan tetapi nama Allah
menceritakan keseluruhan aspek Tuhan. Wahadiyyah menceritakan aspek Tuhan secara
satu-satu. Wahdat pula menceritakan aspek Tuhan Yang Satu iaitu Allah s.w.t, tetapi ia
bukanlah Allah s.w.t. Wahadiyyah dan Wahdat hanyalah keadaan atau perihal Allah s.w.t tetapi
bukanlah Dia. Suasana Wahdat ini dinamakan Hakikat Muhammadiah, yang menerima
maklumat yang lengkap daripada Allah s.w.t. Maklumat Hakikat Muhammadiah itu
kemudiannya disalurkan kepada cabang-cabang hakikat.
wahdatul ma'abud: Fahaman dan kepercayaan kepada satu Tuhan yang wajib disembah,
ditaati dan segala pengabdian hanyalah untuk-Nya. Syariat mengajarkan wahdatul ma'abud,
tidak ada Tuhan melainkan Allah s.w.t.
wahdatul syuhud: Menyaksikan satu wujud. Penyaksian tersebut berlaku dalam pengalaman
kerohanian.
wahdatul wujud: Doktrin yang membawa fahaman dan kepercayaan bahawa hanya satu
wujud sahaja yang ada iaitu wujud Tuhan. Wujud makhluk dan wujud Tuhan adalah wujud yang
sama. Wujud hamba dan wujud Tuhan bersatu pada satu wujud.
wahyu: Petunjuk dan ajaran yang Allah s.w.t turunkan kepada nabi-nabi melalui beberapa
cara, cara yang paling terkenal adalah wahyu yang dibawa oleh Jibrail. Wahyu tahap pertama
diterima oleh Alam Hijab dalam peringkat Alam Arasy. Tidak ada makhluk mengetahui keadaan
nur wahyu yang pada Alam Hijab itu. Nur Arasy menghalang makhluk alam bawah daripada
menghampirinya. Sebagaimana Jibrail tidak dapat menghampiri Nur Arasy begitu jugalah Jibrail
tidak mampu bertahan menerima nur wahyu yang pada Alam Hijab. Allah s.w.t membaluti nur
wahyu itu dengan rahmat-Nya dan ia dibawa turun kepada Jibrail yang menanti di luar Alam
Hijab. Rahmat Allah s.w.t menyelamatkan Jibrail daripada hancur apabila menanggung nur
wahyu. Rahmat Allah s.w.t sentiasa menemani nur wahyu itu melalui setiap peringkat alam
sehingga ia sampai kepada nabi yang ditakdirkan menerima wahyu tersebut. Tidak diketahui
bagaimanakah hakikat nur wahyu yang sebenarnya, tetapi rahmat Allah s.w.t
mempermudahkannya sehingga wahyu yang sampai kepada nabi itu menjadi boleh diterima,
ditanggung, dibaca dan difahami oleh manusia. Walaupun begitu di dalam bungkusan rahmat
Allah s.w.t itu tetap ada nur wahyu yang asli yang mampu meleburkan Jibrail. Apabila Allah
s.w.t berkehendak memperkenalkan Kalam-Nya Yang Hakiki, disingkap-Nya sedikit tabir yang
menutupi nur wahyu itu. Tatkala itu hati yang berhadapan dengannya menjadi hancur, fana.
Setelah sedar semula hamba itu mendapat makrifat tentang Kalam Tuhan. Bagaimana mungkin
kewujudan alam ini bertahan menanggung hal-hal ketuhanan yang menguasainya? Semuanya
adalah kerana rahmat Allah s.w.t.
Wajibul Wujud: Wujud Yang Wajib iaitu Wujud Tuhan.

20 / 23

Kamus Tasawuf (L-Z)

wali: Hamba yang kembali kepada taraf amr Tuhan dan diletakkan-Nya di bawah payung
pemeliharaan serta penjagaan-Nya. Seseorang wali melakukan sesuatu perkara bukan dengan
kehendak dirinya sendiri tetapi dengan kehendak dan izin Allah s.w.t. Walaupun demikian
seseorang wali masih juga mungkin melakukan kesalahan-kesalahan tetapi pemeliharaan Allah
s.w.t cepat menariknya kembali kepada jalan yang benar.
wali kecil: Tahap seseorang hamba dipelihara, dijaga dan ditadbir secara sepenuhnya oleh
Allah s.w.t, seumpama seorang bayi di tangan ibunya. Semua perkara dilakukan oleh si ibu,
bayi hanya menanti. Si bayi tidak mampu menguruskan dirinya sendiri. Begitulah keadaan wali
kecil yang diuruskan sepenuhnya oleh Allah s.w.t. Apabila dia meningkat lagi Allah s.w.t
kembalikan bakat-bakat dan keupayaan mengurus kepada dirinya sehingga dia menjadi
khalifah yang mampu menguruskan kehidupan di dalam dunia ini.
Wali Qutub: Wali peringkat tinggi.
warak: Sifat orang yang beriman, iaitu cermat di dalam segala pekerjaan. Orang yang beriman
menjaga batas hukum. Perkara yang halal adalah jelas dan perkara yang haram juga jelas. Di
antara yang halal dengan yang haram itu ada daerah yang samar-samar, yang dikatakan
mungkin halal dan mungkin haram. Orang beriman yang warak meninggalkan perkara yang
samar-samar dan meragukan itu. Semakin jauh daerah yang meragukan itu ditinggalkan
semakin selamatlah iman seseorang.
warid: Kurniaan Allah s.w.t kepada hati iaitu sinaran Nur-Nya yang dengan itu hati merasai
atau mengalami sesuatu hal mengenai ketuhanan.
waridah: Warid.
wirid: Amal ibadat seperti sembahyang, puasa dan zikir yang dilakukan secara teratur dan
berterusan mengikut satu pola tertentu.
wisal: Penyerapan yang berkekalan terhadap sesuatu hal ketuhanan. Hal tersebut menguasai
hati secara terus menerus dan terbentuklah sesuatu keperibadian dan sifat khusus pada orang
berkenaan yang dipakainya sehingga ke akhir hayatnya.
Wujud Hakiki: Wujud Tuhan, iaitu Wujud mutlak.
Wujud Mutlak: Wujud Tuhan. Wujud Mutlak adalah wujud yang tidak boleh disifatkan. Istilah
wujud itu sendiri tidak menepati maksud Wujud Mutlak. Bila dikatakan wujud maka ada
lawannya iaitu tidak wujud. Tidak ada sekutu atau lawan bagi Allah s.w.t. Dia melepasi wujud
atau tidak wujud. Dia tidak ada perkaitan dengan Wajibul Wujud atau mumkinul wujud. Jika
perkataan wujud mahu digunakan maka Wujud-Nya adalah Mutlak, iaitu melampaui wujud. Sifat
yang boleh dikatakan tentang Allah s.w.t adalah "Laisa kamithlihi syaiun - tidak ada sesuatu
sebanding dengan-Nya".
wusul: Biasanya hamba mengingati Allah s.w.t melalui nama-nama-Nya.. Jika tidak ada
sebutan nama-Nya atau tidak ada ingatan hati kepada nama-Nya, maka hati berpaling atau

21 / 23

Kamus Tasawuf (L-Z)

terlepas daripada mengingati-Nya. Dalam perjalanan makrifat ada tahap di mana ingatan
kepada Allah s.w.t bukan lagi melalui nama. Ia adalah dalam keadaan hati memandang'
kepada-Nya tanpa mengingati nama-Nya. Hamba menyaksikan bahawa nama tidak
mempunyai kekuatan apa-apa, malah nama itu juga bergantung kepada-Nya. Hamba yang
sampai kepada makrifat tahap ini merasakan kehadiran Allah s.w.t tanpa dihijab oleh sebarang
nama. Ingatannya kepada Allah s.w.t adalah rasa jelira, mesra dan lazat berhadapan
dengan-Nya. Suasana yang demikian dinamakan wusul atau sampai, iaitu sampai kepada-Nya.
Suasana tersebut adalah pengalaman kerohanian bukan sampai secara nyata.
wisal: Penyerapan yang berkekalan terhadap sesuatu hal ketuhanan. Hal tersebut menguasai
hati secara terus menerus dan terbentuklah sesuatu keperibadian dan sifat khusus pada orang
berkenaan yang dipakainya sehingga ke akhir hayatnya.
zauk: Pengalaman rasa yang dialami oleh hati yang berhubung dengan Tuhan. Melalui
pengalaman tersebut hati mengenali Tuhan.
zauk hakikat: Pengalaman rasa mengenai sesuatu perkara atau suasana pada sisi Allah s.w.t
yang menjadi sumber kepada kewujudan sesuatu perkara dan suasana tersebut.
zikir: Hubungan fikiran dan perasaan dengan Allah s.w.t. Zikir meliputi ucapan, perbuatan dan
perasaan. Ucapan nama-nama dan sifat-sifat Allah s.w.t adalah zikir. Melakukan sesuatu
amalan kerana mentaati perintah Allah s.w.t adalah zikir. Merenung dan memikirkan tentang
kebesaran dan kebijaksanaan Allah s.w.t yang ternyata pada kerapian ciptaan alam maya ini
adalah juga zikir. Merasai keagungan dan keindahan Allah s.w.t adalah juga zikir. Apa juga
yang beserta kerana Allah Ta'ala' adalah zikir.
zikir daim: Zikir yang berkekalan. Apabila suasana kerana Allah Ta'ala' tidak putus, seseorang
hamba itu sentiasa berada di dalam zikir, samada zikir ucapan atau zikir perbuatan atau zikir
perasaan ataupun gabungan kesemuanya. Keadaan ini diperolehi setelah mencapai tahap
penyaksian hakiki mata hati, iaitu mata hati menyaksikan Allah s.w.t pada setiap masa, semua
keadaan dan segala kejadian. Allah s.w.t disaksikan pada dua perkara yang berlawanan
dengan sekali pandang. Kerenah makhluk dan simpang siur perjalanan sistem sebab musabab
tidak menyambar pandangan mata hati daripada menyaksikan sesuatu tentang Tuhan yang
Hadrat-Nya meliputi segala sesuatu.
zindik: Kumpulan yang tidak mempercayai agama tetapi berpura-pura menganut fahaman
keagamaan. Kumpulan ini muncul di Makkah, seperti kumpulan munafik muncul di Madinah.
Puak munafik berpura-pura menyertai Islam kerana pada ketika itu agama Islam mempunyai
kekuatan di Madinah. Puak zindik berpura-pura menganut fahaman agama berhala kerana
pada ketika itu agama berhala mendapat tempat di kalangan orang Makkah.
zuhud: Suasana hati yang tidak dikuasai atau dipengaruhi oleh dunia, walaupun kemewahan
dan kesenangan keduniaan dimilikinya.

22 / 23

Kamus Tasawuf (L-Z)

23 / 23

Anda mungkin juga menyukai