Anda di halaman 1dari 6

Kasyaf dan ilham sufi

13. Kasyaf dan ilham sufi

Setiap makhluk yang diciptakan Tuhan dilengkapkan-Nya dengan fitrah. Fitrah menerbitkan
bakat dan keupayaan semulajadi yang membolehkan setiap kejadian itu berfungsi menurut
kejadiannya. Fitrah matahari mengheret matahari untuk bergerak pada satu landasan sambil
mengeluarkan cahaya yang mengandungi tenaga yang diperlukan oleh kejadian di bumi.
Haiwan, tumbuh-tumbuhan, galian dan lain-lain semuanya mempunyai fitrah masing-masing
dan setiap satunya bergerak menurut peraturan fitrahnya. Di antara semua kejadian, manusia
dikurniakan fitrah yang paling sempurna kerana manusia berkewajipan memerintah dan
mentadbir sekalian makhluk. Malaikat sendiri tunduk kepada manusia. Malaikat yang
menguruskan bidang penglihatan tidak menghalang manusia menggunakan penglihatan
matanya sekalipun yang dilihat olehnya itu diharamkan oleh Allah s.w.t. Malaikat yang menjaga
nyawa tidak mencabut nyawa itu sekalipun manusia melakukan kejahatan dan kedurhakaan
kepada Allah s.w.t.
Fitrah manusia merupakan sebaik-baik persediaan dalam melaksanakan tugas-tugas
kehambaan kepada Allah s.w.t. Melakukan ketaatan kepada Allah s.w.t dan menguruskan
kehidupan di bumi merupakan kewajipan manusia. Dalam melaksanakan hal yang demikian itu
fitrah manusia dikurniakan sesuatu yang sangat luar biasa iaitu keupayaan untuk membuat
pilihan. Hanya manusia dan jin yang memiliki keupayaan memilih. Makhluk lain tidak diberikan
bakat tersebut. Dalam membuat pilihan fitrah manusia boleh menggunakan bakat-bakatnya
iaitu fikiran, ilham dan kasyaf.
Melalui bakat berfikir manusia boleh membuat pilihan dalam menguruskan kehidupan lahiriah
mereka. Kekuatan fikiran yang ada dengan manusia mengangkat manusia kepada darjat yang
tinggi. Mereka mampu menguasai daratan, lautan dan udara. Mereka mampu mengambil
manfaat daripada anasir alam yang ada di sekeliling mereka. Sempadan bagi kekuatan fikiran
adalah jangkauan pancaindera dan logik. Apa yang tidak mampu dijangkau oleh pancaindera
akan menimbulkan kesulitan kepada fikiran dan apa yang tidak termasuk dalam bidang logik
akan mengelirukan fikiran.
Bidang yang tidak dapat diterokai oleh fikiran mampu diterokai oleh ilham. Fikiran sangat mahir
dalam menyusun sesuatu yang bersangkutan dengan kebendaan. Kebendaan yang menjadi
bidang fikiran ini bertindak sebagai hijab kepada bidang ilham. Pengaruh dan tarikan
kebendaan menjadi tembok yang menghalang manusia daripada memperolehi ilham.
Pengaruh dan tarikan kebendaan tertuju kepada hati. Jika hati dapat keluar daripada
kekuasaan dan ikatan kebendaan hati akan mampu mengeluarkan sinar cahayanya untuk
memperluaskan bidang yang dapat diterokai oleh akal fikiran melalui cetusan ilham. Akal fikiran
yang dibantu oleh ilham dapat keluar dari bidang logik dan sempadan kebendaan. Manusia
dapat menerima kewujudan kuasa ghaib yang menguasai anasir alam yang nyata.

1/6

Kasyaf dan ilham sufi

Terdapat dua golongan manusia yang menguasai bidang ilham. Mereka adalah ahli falsafah
dan ahli sufi. Ahli falsafah yang menggunakan kekuatan diri sendiri hanya mampu mengambil
ilham pada bahagian permukaan sementara ahli sufi berkeupayaan untuk menyelam ke dasar
lautan ilham. Walaupun berbeza darjat ilham tetapi oleh kerana ia masih di dalam satu daerah,
maka terdapat tolak-ansur di antara sufi yang di dalam daerah ilham dan ahli falsafah yang juga
di dalam daerah ilham. Sufi yang begini beranggapan ahli falsafah adalah juga ahli sufi. Begitu
juga anggapan ahli falsafah terhadap ahli sufi. Fahaman ahli falsafah dan fahaman ahli sufi
tahap ilham banyak persamaan. Sufi pada tahap ini boleh bekerjasama dengan ahli falsafah
dalam mengwujudkan kepercayaan atau agama sejagat. Agama sejagat ini mengambil
nilai-nilai murni kemanusiaan sebagai peraturan hidup dan keikhlasan sebagai kehambaan
kepada Tuhan. Setiap individu diperlukan mempratikkan nilai-nilai murni kemanusiaan dan
bebas melakukan keikhlasan menurut kemampuan dan bakat yang ada dengannya dalam
menyatakan khidmatnya kepada Tuhan. Golongan ini sangat mengasihi manusia dan sangat
bertolak ansur dengan sesama manusia. Mereka menganggap semua agama adalah baik dan
benar. Mereka berfahaman semua agama menyembah Tuhan yang sama walaupun caranya
berbeza. Mereka tidak mengutuk perbuatan memyembah Tuhan dengan menggunakan
perantaraan seperti patung-patung. Kebanyakan agama dalam dunia hari ini telah diolah
semula oleh golongan sufi-falsafah. Maksud sufi di sini termasuklah ahli agama yang selain
Islam yang mengamalkan bidang kerohanian dan melatih diri dalam bidang tersebut. Dari
kalangan merekalah muncul orang-orang yang membina tempat patung-patung dalam
tempat-tempat ibadat agama Nasrani dan Yahudi. Orang yang beragama menyembah berhala
tidak berasa janggal apabila mereka memasuki rumah ibadat orang Nasrani dan Yahudi.
Pengaruh yang demikian juga menjalar ke dalam masyarakat Islam. Orang-orang Islam yang
berjiwa falsafah gemar membina sesuatu yang menonjol dan tersergam di dalam masjid-masjid.
Jika penyembah berhala melihat kaum Muslimin sedang sujud mungkin mereka menyangka
kaum Muslimin sujud kepada benda yang menonjol dan tersergam itu.
Sufi seterusnya masuk ke dalam bidang kasyaf. Penyaksian mata hati dan pengalaman rasa
merupakan bidang kasyaf. Hati menyaksikan dan merasakan suasana ghaib dan hal-hal yang
berhubung dengan ketuhanan. Walaupun sufi menyaksikan dan merasakan hal ketuhanan
tetapi ia bukanlah Tuhan. Apa yang dibukakan kepada sufi itu adalah ibarat kunci yang
membuka pintu makrifat untuk sufi mengenali Tuhan. Kasyaf tahap tertinggi hanyalah
pengalaman rasa tanpa penyaksian tentang hal ketuhanan itu. Pengalaman rasa atau zauk
tanpa penyaksian membawa sufi bermakrifat tentang Allah s.w.t yang Maha Esa, tiada sesuatu
yang menyerupai-Nya. Makrifat cara begini menanamkan kefahaman yang tidak mampu
dihuraikan.
Penghuraian yang lengkap tentang Allah s.w.t hanya terdapat dalam wahyu. Apa yang
diterangkan oleh wahyu tentang Allah s.w.t dapat difahami oleh seseorang manusia menurut
tahap pemikiran, ilham dan kasyafnya. Orang yang mempunyai ke tiga-tiga bakat-bakat fitrah
itu secara sempurna akan mengenal Allah s.w.t dengan sempurna. Wahyu menerangi kasyaf,
kasyaf menerangi ilham dan ilham menerangi fikiran. Nur wahyu yang menerangi kasyaf, ilham
dan fikiran itu membuka simpulan pada lidah sehingga lidah boleh berucap dengan fasih
tentang Allah s.w.t, menurut kadar yang Dia izinkan.
Apabila sekalian bakat-bakat fitrah itu sudah disinari oleh nur wahyu baharulah fitrah

2/6

Kasyaf dan ilham sufi

kemanusiaan itu melonjak kepada fitrah Muslim. Manusia yang fitrahnya belum mencapai tahap
fitrah Muslim, walaupun pintar menggunakan akal namun, dia masih belum bersesuaian
dengan kehendak Allah s.w.t. Daya nilai fitrah manusia banyak bersesuaian dengan daya nilai
fitrah Muslim dalam bidang akhlak tetapi tidak dalam bidang ketuhanan. Kebenaran yang sejati
berada pada fitrah Muslim. Apa yang dinilaikan baik oleh fitrah manusia jika bercanggah
dengan penilaian fitrah Muslim, maka fitrah manusia mesti akur dengan kebenaran fitrah
Muslim. Orang Islam yang bijak sekalipun tidak akan dapat melihat hikmah di sebalik suruhan
dan tegahan agama, sekiranya fitrahnya tidak naik kepada tahap fitrah Muslim atau pun jika
akalnya enggan tunduk kepada kebenaran yang dinyatakan oleh wahyu. Apabila fitrah manusia
mencapai tahap fitrah Muslim, akan ujudlah penyerahan yang sejati kepada Allah s.w.t, tanpa
hujah dan tanpa takwil. Dia akan tunduk kepada peraturan Allah s.w.t yang dibawa oleh
Rasul-Nya. Dalam jiwanya akan lahir keghairahan beragama. Dia akan cemburu jika Allah s.w.t,
Rasulullah s.a.w, al-Quran dan agamanya dipersendakan apa lagi kalau dikhianati.
Semua bakat-bakat fitrah mestilah menjadi Muslim. Akal fikiran menjadi Muslim, ilham menjadi
Muslim dan kasyaf menjadi Muslim. Bila semua bakat itu sudah menjadi Muslim, akan
bercahayalah Roh Islam seseorang itu. Roh Islam akan hanya mengeluarkan yang Muslim,
tidak ada percanggahan dengan Islam. Roh Islam yang paling sempurna adalah Roh Nabi
Muhammad s.a.w. Jibrail a.s membacakan wahyu dan Roh Islam Nabi Muhammad s.a.w
mentafsirkannya. Apa yang baginda s.a.w tafsirkan menepati apa yang wahyu maksudkan,
tanpa sedikitpun percanggahan. Jika mahu melihat al-Quran dalam rupa manusia, maka Nabi
Muhammad s.a.w adalah al-Quran' yang hidup, berkata-kata dan bergerak dalam daerah
kehidupan manusia. Selain Nabi Muhammad s.a.w darjat persamaan dengan wahyu itu
bertingkat-tingkat menurut darjat akal, ilham dan kasyaf masing-masing.
Fikiran, ilham dan kasyaf sufi bukanlah satu sumber ilmu yang menyamai wahyu atau pun
bebas daripada wahyu. Bakat-bakat tersebut hanyalah alat untuk mentafsirkan wahyu yang
disampaikan oleh Rasulullah s.a.w mengenai sesuatu perkara yang diimani. Bakat-bakat
tersebut walaupun boleh digunakan sebagai alat bagi menterjemah wahyu tetapi ia bukanlah
secara sempurna. Ia berkedudukan seperti ijtihad para mujtahid yang mungkin benar dan
mungkin silap. Dalam pembinaan hukum dan fatwa yang mengenai orang ramai, kedudukan
ijtihad ahli mujtahid lebih kuat daripada ilham dan kasyaf sufi.
Ilham dan kasyaf sufi lebih bersifat peribadi, berguna untuk sufi itu sendiri dalam menentukan
arah tindakannya. Kesan mabuk yang berlaku pada jalan kewalian sufi sukar terpisah daripada
seseorang sufi itu dan kesan tersebut boleh mempengaruhi ilham dan kasyafnya. Apa yang
diperolehi oleh sufi yang dipengaruhi oleh mabuk mungkin tidak menepati kebenaran yang asli.
Sufi tersebut mungkin mengeluarkan pendapat yang kurang benar dan meninggalkan yang
lebih benar. Oleh yang demikian kebenaran ilham dan kasyaf sufi itu mesti diuji dengan
kebenaran al-Quran dan as-Sunah. Kedudukan seseorang sufi itu diukur dengan melihat sejauh
mana ilham dan kasyafnya bersesuaian dengan ajaran al-Quran dan as-Sunah. Sufi yang telah
mencapai tahap kewalian peringkat tertinggi, yang telah terlepas daripada kesan mabuk, fana
dan bersatu dengan Tuhan, tidak bercanggah dengan al-Quran dan as-Sunah.
Al-Quran dan Hadis telah memberi penjelasan yang lengkap mengenai perkara-perkara yang
bersangkutan dengan akidah. Perkara yang sudah cukup terang dan jelas ini tidak boleh

3/6

Kasyaf dan ilham sufi

digugat oleh apa sahaja, termasuklah fahaman, ilham dan kasyaf sufi. Jika terjadi
percanggahan di antara ucapan ahli sufi dengan kenyataan al-Quran dan as-Sunah mengenai
perkara akidah, ia mestilah ditolak dan perkataan al-Quran dan as-Sunah itu yang wajib
diimani. Ucapan sufi yang demikian hendaklah dianggapkan sebagai ucapan yang lahir
daripada suasana hati yang dipengaruhi oleh mabuk dan fana dan sufi berkenaan belum lagi
menghabiskan perjalanannya. Jika perkataan sufi menyokong kenyataan al-Quran dan
as-Sunah, maka perkataan tersebut hendaklah dibenarkan. Dalam memahami maksud
al-Quran dan as-Sunah, aliran Ahli Sunah wal Jamaah hendaklah diikuti.
Ada perkara-perkara yang al-Quran dan al-Hadis hanya memberi maklumat secara sepintas
lalu atau pun tidak memberi maklumat sedikitpun. Perkara-perkara berkenaan termasuklah
soal-soal syurga, neraka, bumi, alam maya, malaikat, jin, makhluk rohani dan lain-lain. Ahli sufi
banyak memperkatakan soal-soal yang demikian berdasarkan ilham dan kasyaf mereka, tanpa
sokongan nas yang sahih. Dalam soal ini orang ramai tidak dituntut untuk mengimani perkataan
sufi. Ilham dan kasyaf sufi boleh jadi benar dan boleh jadi juga tidak benar. Nabi-nabi diperakui
oleh Allah s.w.t sebagai maksum, dijamin terpelihara daripada gangguan syaitan dan tidak
terjadi kesalahan pada ilham dan kasyaf mereka. Apa juga kekeliruan yang timbul akibat
gangguan syaitan diperbetulkan dengan segera dan kebenaran perkataan Nabi-nabi
ditetapkan. Jaminan yang demikian tidak diberi kepada golongan yang bukan Nabi. Namun
begitu, perkataan sufi mengenai soal-soal yang tidak bersangkutan dengan akidah itu boleh
dijadikan iktibar dan mempercayainya tidak menjadi kesalahan. Melalui perkataan mereka
orang-orang yang ingin memahami perkara-perkara tersebut mendapat sedikit pemahaman
yang boleh dikembangkan melalui kekuatan akal fikiran.
Sufi memperolehi maklumat melalui kasyaf. Kadang-kadang kasyaf berlaku kepada sufi dalam
bentuk ibarat atau pembukaan secara umum tanpa perincian. Kasyaf yang demikian perlu
ditafsirkan. Biasa terjadi tafsiran yang dibuat oleh sufi itu tidak menepati gambaran atau ibarat
yang dibukakan kepadanya Bila sufi menerima berita secara umum maka tafsiran secara umum
juga yang diberikannya. Maklumat yang diperolehi secara umum, tanpa perincian, tidak dapat
menceritakan sesuatu perkara dengan tepat. Sufi juga mungkin mendapat maklumat mengenai
sesuatu kejadian dan maklumat tersebut datangnya daripada sumber takdir yang akan
berubah, sedangkan perubahan yang akan berlaku tidak dibukakan kepadanya. Allah s.w.t
berfirman:
Apa sahajat ayat keterangan yang Kami mansukhkan (batalkan) atau yang Kami tinggalkan
(atau tangguhkan), Kami datangkan ganti yang lebih baik daripadanya atau yang sebanding
dengannya. Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap
sesuatu? ( Ayat 106 : Surah al-Baqarah )
Ayat di atas memberitahukan tentang takdir yang di dalam perbatasan yang boleh berubah
dengan kehendak dan perintah Allah s.w.t.
Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang menggembirakan di dunia dan di akhirat; tidak ada
(sebarang) perubahan pada kalimat (janji-janji) Allah; yang demikian itulah kejayaan yang
besar. ( Ayat 64 : Surah Yunus )

4/6

Kasyaf dan ilham sufi

Ayat di atas ini pula memberitahukan tentang daerah takdir yang tidak akan berubah kerana
Allah s.w.t telah menetapkannya. Kasyaf seorang sufi mungkin hanya sampai kepada daerah
takdir yang mungkin berubah, tidak sampai kepada daerah takdir yang tetap. Oleh yang
demikian apa yang disaksikannya mungkin berlaku dan mungkin juga tidak berlaku.
Perlu juga diketahui bahawa seseorang sufi melalui peningkatan kerohanian secara sedikit
demi sedikit, bukan sekaligus. Suasana kerohanian atau makam mempengaruhi fahaman dan
pegangan sufi. Seorang sufi boleh mengeluarkan beberapa pendapat yang berbeza mengenai
perkara yang sama. Pendapatnya di awal perjalanan, pertengahan dan di akhir perjalanan
mungkin bertentangan di antara satu sama lain. Pendapatnya yang paling benar adalah
pendapat yang diberikannya setelah dia kembali kepada kesedaran sepenuhnya dan berkamil
dengan syariat sepenuhnya.
Sufi yang masih di dalam perjalanan menemui beberapa fahaman yang bercanggah dengan
prinsip syariat. Di antara yang demikian adalah konsep tauhid af'al, tauhid sifat dan tauhid
wujud. Konsep tauhid yang demikian membawa Tuhan ke dalam perbatasan alam dan
mengadakan persamaan di antara Tuhan dengan makhluk. Sufi yang sedang dikuasai oleh
suasana kerohanian yang demikian menafikan perbuatan dirinya, sifatnya dan wujudnya.
Semuanya diisbatkan kepada Allah s.w.t. Muncullah ungkapan seperti: "Tiada yang berbuat
melainkan Allah. Tiada yang hidup melainkan Allah. Tiada yang maujud melainkan Allah" dan
lain-lain ungkapan yang seumpamanya. Ungkapan yang paling popular dikaitkan dengan
kesufian adalah: "Ana al-Haq!" Ada golongan yang beranggapan kononnya sufi yang belum
mengucapkan "Ana al-Haq" belum lagi mencapai makam yang paling tinggi. Golongan sufi
ikutan menggunakan ungkapan yang demikian bagi memukau kesedaran diri sendiri dengan
cara mengulangi ucapannya sebanyak mungkin dan menghayati maknanya sehingga terpahat
kepercayaan yang demikian dalam jiwa mereka. Golongan yang mengikut secara membuta tuli
inilah yang menyebarkan kesesatan, berselindung di sebalik perkataan sufi yang sedang
mabuk.
Manusia yang masih ada keupayaan untuk membuat pilihan, berfikir dan merasa, mestilah
faham keadaan sufi yang fitrah mereka menerima kejutan alam ghaib sehingga keupayaannya
untuk membuat pilihan, berfikir dan merasa hilang. Sufi yang demikian dikatakan berada di
dalam jazbah. Orang yang berada dalam jazbah adalah umpama orang yang keluar ke laut
menaiki perahu kecil. Bila dipukul gelombang dia menjadi mabuk dan meracau. Setelah dia
sampai ke tengah laut, ombak sudah tenang, mabuknya berkurangan dan akhirnya dia kembali
normal. Bila dia sudah sedar dia tidak meracau lagi. Pengalaman jazbah berguna kepada sufi
berkenaan kerana pengalaman yang demikian menanggalkan sifat-sifat yang keji dari hatinya
dan sifat ikhlas menjadi sebati dengannya. Pengalaman jazbah itu juga berguna kepada guru
yang menjadi pembimbing kerana dengannya guru dapat mengetahui suasana dan stesen
kerohanian muridnya. Ia juga menjadi tanda bahawa murid berkenaan mempunyai harapan
untuk menjadi cemerlang kesudahannya. Guru yang arif akan membimbing muridnya supaya
melepasi peringkat-peringkat zauk sehingga sampai kepada penghujung jalan yang tenang dan
damai. Murid yang sudah melepasi peringkat jazbah dan kembali kepada kesedaran
kemanusiaan biasa akan menyedari akan kekeliruan yang muncul dalam fahamannya
sepanjang perjalanannya. Dia bertaubat daripada pegangan yang lalu. Kini dia menyaksikan
satu kebenaran sahaja iaitu kebenaran kehambaan kepada Allah s.w.t. Manusia dan jin

5/6

Kasyaf dan ilham sufi

diciptakan untuk mengabdikan diri kepada-Nya, bukan untuk bersatu dengan perbuatan, sifat
atau wujud-Nya.
Fahaman yang keluar dari ilham dan kasyaf sufi sekiranya menyalahi syariat wajiblah ditolak.
Jika orang yang mengetahui tentangnya ada kebolehan, ucapan latah sufi haruslah
diterjemahkan menurut stesen kerohanian sufi berkenaan dan penjelasan harus diberi kepada
orang ramai agar latah sufi tidak disalahertikan. Sufi yang mengeluarkan ucapan latah ketika
dalam jazbah haruslah dimaafkan, walaupun ucapannya menyalahi syariat. Harus diingat
bahawa sufi tidak terlepas sepenuhnya daripada suasana mabuk sebelum dia sampai kepada
makam siddiqiyat. Semua makam di bawah daripada makam siddiqiyat tidak terlepas daripada
pengaruh mabuk sedikit atau banyak. Kesimpulannya pendapat sufi yang bertentangan dengan
syariat wajib ditolak tetapi peribadi sufi itu sendiri tidak boleh dikutuk kerana dia dikuasai oleh
mabuk.

6/6

Anda mungkin juga menyukai