Anda di halaman 1dari 2

Kepentingan Membaca Karangan 2015

Pendahuluan : Dalam beberapa ungkapan peribahasa banyak juga yang membuat perbandingan
perihal golongan cerdik dengan yang bodoh. Peribahasa seperti si bodoh menjadi makanan si
cerdik, menggambarkan kecerdikan dan kepintaran menjadi keutamaan dalam masyarakat.
Demikian pula dengan sepotong maksud ayat dalam Al Quran yang menyatakan, Adakah sama
golongan yang berilmu dengan golongan yang jahil?. Kedua-dua ungkapan indah tersebut
memberikan gred tertinggi kepada golongan yang bijak dan berilmu. Oleh itu, apakah ciri utama
untuk menjadi golongan yang berilmu? Pemilikan ilmu tidak dapat ditiadakan dengan tradisi
membaca. Oleh sebab itulah dalam tamadun Islam sendiri, Firman yang pertama yang turun
kepada Nabi SAW ialah surah Al Alaq dengan membawa arahan membaca. Ketinggian darjat
golongan yang gemar membaca akan meletakkan mereka sedarjat lebih tinggi daripada golongan
biasa kerana dibezakan oleh ilmu. Oleh itu, membacalah untuk mengaut segala khazanah ilmu.
Apabila kita telusuri semula sejarah panjang tamadun Islam, kecemerlangan tamadunnya
berpaksikan ilmu pengetahuan. Tradisi membaca yang amat ditekankan dalam Islam telah
berjaya melahirkan tokoh-tokoh agamawan dan ilmuwan yang tersohor. Daripada pembacaan
yang penuh berdisiplin itulah, maka lahirlah tokoh-tokoh Islam yang amat hebat seperti ibnu
Sina, Al Farabi, Imam Malik, Imam Shafie dan banyak lagi. Al Quran sebagai kitab teras dalam
kepercayaan Islam telah memuatkan pelbagai khazanah ilmu yang meliputi empat paksi utama
ilmu iaitu Akidah, Ibadat, Jinayat dan Munakahat. Penganut Islam yang benar-benar membaca
dan menghayati isi kandungan Al Quran telah berjaya mengangkat syiar Islam ke seluruh empat
penjuru alam. Pernah dikhabarkan, ketika kejatuhan kerajaan Abasiyah di tangan kuasa Mogul,
air sungai Furat telah menjadi hitam pekat kerana cairan dakwat daripada buku-buku yang
dibuang ke dalam sungai. Begitulah gambaran hebatnya budaya ilmu dalam kalangan generasi
Islam zaman awal.
Perang Salib telah menjadi satu lagi bukti bahawa tradisi membaca telah mengangkat martabat
sesuatu bangsa. Hal tersebut berlaku apabila tentera-tentera Salibiyah yang dipimpin oleh
Richard The Lion Heart telah memperoleh inspirasi budaya lmu dalam tamadun Islam. Banyak
kitab ilmu yang telah dibawa balik lalu diterjemahkan ke bahasa Latin. Akhirnya berkembanglah
suatu lagi tamadun yang terbina atas budaya membaca. Permulaan zaman Renaissance di Eropah
benar-benar terbentuk hasil menelaah dan mengkaji segala sumber ilmu yang bermula dengan
tamadun Islam. Akhirnya, hingga kini Eropah telah menjadi kiblat perkembangan ilmu seperti
falsafah, tamadun dan teknologi. Bangsa Eropah bangkit daripada zaman gelap menjadi bangsa
yang mengeksport ilmu. Demikianlah betapa hebatnya amalan membaca.
Berbalik kepada era moden, tradisi membaca telah menjadi penanda aras utama kepada
pencapaian luar biasa beberapa buah negara kuasa ekonomi dunia. Negara-negara seperti
Jepun, Korea Selatan dan beberapa negara baharu di Eropah telah menjadi kuasa ekonomi dunia.
Walaupun potensi ekonomi mereka agak terhad, namun kuasa ilmu telah berjaya mengangkat
negara-negara tersebut untuk terus bersaing dalam pasaran teknologi moden. Jepun yang amat
dikenali dengan kekuatan membaca dalam kalangan rakyatnya memang sukar ditandingi oleh
kuasa-kuasa besar hatta Amerika sekalipun. Rakyat Jepun dikatakan secara purata mampu
membaca 120 buah buku dalam setahun. Kini dua lagi kuasa baru di Asia Timur jauh iaitu Korea

Selatan dan Taiwan turut bersaing hebat dalam bidang teknologi. Hari ini, rakyat Korea Selatan
amat disegani oleh dunia luar apabila teknologi android mereka dalam penghasilan telefon pintar
Samsung telah berjaya menawan pasaran dunia. Begitulah beberapa petunjuk hebat hasil
penjanaan ilmu kerana bangsa membaca bangsa yang berjaya.
Amalan membaca sekali gus dapat membawa sesuatu bangsa untuk keluar dari zon jumud
kepada intelek. Hakikatnya, rakyat Malaysia pada era penjajahan telah dianggap sebagai bangsa
bodoh yang boleh dijajah dan dicucuk hidung. Namun, atas kesedaran untuk kembali bermaruah,
bangsa Malaysia juga mula celik ilmu sebaik negara mencapai kemerdekaan. Akhirnya rakyat
Malaysia mula menuntut ilmu dalam pelbagai bidang. Kita mula menjadi bangsa pencinta ilmu
dan bermulalah tradisi membaca. Penubuhan pelbagai institusi pengajian sama ada rendah,
menengah mahupun tinggi telah memberikan peluang rakyat menggali pelbagai cabang ilmu
seperti bahasa, sejarah, keagamaan dan teknologi. Walaupun hakikat minat membaca rakyat
Malaysia masih rendah jikalau hendak dibandingkan dengan rakyat Jepun, namun kesedaran ke
arah itu telah bermula. Hasil kesedaran terhadap budaya ilmu dan budaya membaca, kini kita
telah muncul sebagai salah sebuah negara Dunia Ketiga yang cukup pantas berkembang.
Demikianlah suatu dimensi baharu dalam budaya membaca untuk meletakkan kita duduk sama
rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju.
Kesimpulannya, memetik nukilan Saiyidina Ali KW, Tuntutlah ilmu kerana ilmu menjaga kamu
dan kamu menjaga harta. Ilmu apabila diperdagangkan bertambah dan harta apabila
diperdagangkan berkurang, membuktikan bahawa ilmulah yang menjadi harta paling kekal.
Demi sebutir ilmu, maka membacalah yang menjadi wadah utama. Sebagai bangsa yang masih
baharu, kita masih jauh untuk bersaing dengan negara-negara maju, namun jikalau tradisi
membaca terus diperkasakan, insya-Allah kita juga akan menjadi bangsa yang berjaya.

Anda mungkin juga menyukai