Anda di halaman 1dari 6

IBU TELADAN ASMA' BINTI ABU BAKAR AS SIDDIQ DZATUN

NITHAQAIN
Ibu
Teladan
Asma'
Binti
Abu
Bakar
As
Siddiq,
Nithaqain

Dzatun

Ya Allah! Kasihanilah dia kerana solat yang panjang diselangi tangisan di


tengah kedinginan malam yang sepi, ketika orang-orang lain sedang
nyenyak dibuai mimpi. Ya Allah! Kasihanilah dia yang sering menahan lapar
dan dahaga ketika bertugas jauh dari Madinah atau Mekah dalam
menunaikan ibadah puasa kepadaMu. Ya Allah! Aku menyerahkannya di
bawah pemeliharaanMu, aku redha dengan apa yang telah Engkau tetapkan
bagiku dan baginya, dan berilah kami pahala orang-orang yang sabar...!"
[Doa Asma' radhiallahu anha buat puteranya, Abdullah bin Zubair]
Asma' binti Abu Bakar As-siddiq, saudara kepada Aisyah Ummul Mukminin
(isteri Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam), puteri kepada sahabat
Rasulullah yang mulia, Saidina Abu Bakar As-siddiq, isteri Zubair bin Awwam,
pejuang dan tokoh Islam yang mengutamakan redha Allah di dalam
perjuangannya, Merupakan seorang wanita muhajir yang mulia dan bonda
kepada Abdullah bin Zubair, salah seorang pejuang yang gugur
mempertahankan agamanya, dan sesungguhnya kedudukannya ini cukup
untuk mengangkat darjat beliau ke tempat yang tinggi, mulia dan terpuji.
Peribadinya dirahmati Allah dengan keistimewaan yang sangat menonjol,
setanding dengan para Muslimin di ketika itu, cerdas, cerdik, lincah,
pemurah dan berani.
Kedermawanan beliau dapat dilihat jelas melalui ucapan anaknya," Aku
belum pernah melihat wanita yang sangat pemurah melebihi ibuku termasuk
Aisyah Radhiallahu anha. Beliau (Aisyah) mengumpulkan apa yang
diperolehinya sedikit demi sedikit, lantas setelah itu barulah dinafkahkannya
kepada mereka yang memerlukannya. Sedangkan ibuku, dia tidak pernah
menyimpan sedikit pun sehingga hari esok"
Kebijaksanaan Dzatun Nithaqain
Kecemerlangan berfikir Asma Radhiallahu anha terpancar dari sikapnya yang
penuh prihatin dan perhitungan yang bijaksana. Peristiwa Hijrah Abu Bakar
menyaksikan pengorbanan seorang sahabat demi Islam, tidak meninggalkan
sesen pun harta untuk keluarganya melainkan dibelanjakan keseluruhannya
untuk Allah dan rasulNya. Ketika Abu Quhafah (ayah kepada Abu Bakar

radhiallahu anhu) yang masih musyrik menemui keluarganya, beliau berkata


kepada Asma',
"Demi Allah! Tentu ayahmu telah mengecewakanmu dengan hartanya, di
samping akan menyusahkanmu dengan pemergiannya!". Jawab wanita yang
mulia ini, "Tidak wahai datuk! sekali-kali tidak! Beliau banyak meninggalkan
wang buat kami" ujarnya sambil menghibur dan menenangkan datuknya.
Dikumpulkannya batu-batu kerikil yang kemudiannya dimasukkan ke dalam
lubang tempat kebiasaannya menyimpan wang. Kemudian dibawakan
datuknya yang buta itu ke tempat simpanan tersebut, lantas berkata,
"Lihatlah datukku! Beliau banyak meninggalkan wang buat kami!". Perkataan
tersebut ternyata berjaya meyakinkan Abu Quhafah. Maksud perbuatan
tersebut adalah untuk menyenangkan hati datuknya, agar tidak bersusah
hati memikirkan hal tersebut. Malah, Asma' juga tidak menginginkan
bantuan dari orang musyrik meskipun datuknya sendiri. Inilah bukti yang
menunjukkan besarnya perhatian beliau terhadap dakwah dan kepentingan
kaum Muslimin.
Diberi julukan sebagai 'dzatun nithaqain' oleh Rasulullah yang membawa erti
"wanita yang mempunyai dua tali pinggang", sebagai peringatan terhadap
peristiwa Hijrah yang menyaksikan pengorbanan dan keberanian Asma' yang
tiada tolok bandingannya. Beliau bersusah payah menyediakan bekalan
makanan dan minuman buat Rasulullah dan Abu Bakar Radhiallahu anhu di
saat genting seperti itu. Beliau mengoyakkan ikat pinggangnya kepada dua
untuk dijadikan tali pengikat untuk mengikat bekalan makanan dan minuman
tersebut, sehingga kerana peristiwa itu Rasulullah mendoakan beliau agar
digantikan tali pinggang tersebut dengan yang lebih baik dan lebih indah di
syurga kelak.
Tidak hanya itu pengorbanan Asma Radhiallahu anha. Peristiwa hijrah ini
turut menyaksikan kekuatan berfikir dan perancangan strategi yang dimiliki
oleh seorang Muslimah hasil dari aktiviti politik dan kecemerlangan berfikir
yang diadun dengan ketaqwaan dan keimanan yang teguh. Asma'
Radhiallahu anha bukan sekadar menjadi penghantar makanan kepada dua
orang sahabat yang berperanan penting bagi umat Islam, malah beliau juga
menyampaikan berita-berita penting tentang rencana-rencana pihak musuh
terhadap kaum Muslimin. Dengan kehamilannya ketika itu, Asma'
mengambil peranan yang menjanjikan risiko tinggi, di mana bukan saja
nyawanya menjadi taruhan, malah lebih dari itu, nyawa Rasulullah Sallallahu
Alaihi wa Sallam dan ayahnya turut sama terancam. Memikirkan kemarahan
musuh Islam lantaran lolosnya Rasulullah dari kepungan, kafir Quraisy
2

pastinya akan berusaha bersungguh-sungguh mencari-cari Rasulullah


Sallallahu Alaihi wa Sallam untuk dibunuh kerana bencinya mereka terhadap
dakwah Islam dan pejuang-pejuangnya.
Di saat-saat genting seperti itu, Asma' mampu meramal segala kemungkinan
yang bakal berlaku, dan dengan kecerdikan dan penuh perhitungan, beliau
berjalan menuju Gua Tsur sambil menggembala kambing-kambingnya
berjalan di belakangnya. Taktik ini dilakukan untuk mengaburi mata pihak
musuh kerana jejaknya terhapus oleh jejak-jejak kambing gembalaannya itu.
Tindakan ini belum tentu mampu dilakukan oleh seorang lelaki yang berani
sekalipun, lantaran hal tersebut bakal mengundang bahaya, kezaliman, dan
kekejaman orang-orang kafir Quraisy.
Permasalahan ini tidak cukup sampai di situ. Setelah kejayaan Rasulullah dan
Abu Bakar keluar dari tempat persembunyian dan berhasil berhijrah ke
Madinah, Asma' Radhiallahu anha dan keluarganya didatangi beberapa orang
Quraisy, di antaranya Abu Jahal yang telah bertindak kasar menampar pipi
Asma Radhiallahu anha dengan sekali tamparan yang mengakibatkan
subangnya terlepas!. Asma' menjawab dengan penuh diplomasi saat beliau
ditanya tempat persembunyian Rasulullah dan ayahnya dengan berkata,"
Demi Allah, aku tidak tahu di mana ayahku berada sekarang!"
Hijrah Asma' Radhiallahu anha dan suaminya ke Madinah berlaku selang
beberapa lama dari hijrah sebelumnya, di mana pada ketika itu Asma'
sedang sarat mengandungkan Abdullah bin Zubair dan hanya menanti detikdetik kelahirannya. Perjalanan yang jauh dan berbahaya ditempuhi jua
sehinggalah angkatan para sahabat tiba di Quba'. Kelahiran anak pasangan
sahabat ini disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan. Dialah
bayi pertama yang dilahirkan di Madinah.
Sebaik-baik Ummu wa Rabbatul Bait
Seorang muhajirah yang agung, antara wanita yang awal memeluk Islam,
sangat memuliakan suaminya meskipun Zubair hanya seorang pemuda
miskin yang tidak mampu menyediakan pembantu buatnya. Hatta tidak
mempunyai harta yang dapat melapangkan kehidupan keluarganya,
melainkan hanya seekor kuda yang dijaganya dengan baik. Beliaulah isteri
yang sentiasa sabar dan setia berkhidmat untuk suaminya, sanggup bekerja
keras merawat dan menumbuk sendiri biji kurma untuk makanan kuda
suaminya di saat Zubair sibuk menjalankan tugas-tugas yang diperintah
Rasulullah kepadanya.
3

Di dalam didikannya, keperibadian Abdullah bin Zubair dibentuk. Beliau


adalah susuk seorang ibu yang sangat memahami peranannya dalam
melahirkan generasi utama yang berkualiti, generasi yang menjadikan
kecintaan kepada Allah dan RasulNya di atas segala-galanya, sama ada
harta, isteri, keluarga mahupun segala jenis perbendaharaan dunia. Beliau
mencetak keperibadian generasi yang siap berjuang membela bendera Islam
dan kalimah La ilaha illallah Muhammad Rasulullah. Keperibadian seperti ini
terpancar jelas di dalam diri puteranya, Abdullah bin Zubair. Hal ini dapat
kita teladani melalui kisah pertemuan terakhir di antara seorang ibu dan
anak yang saling menyayangi dan mencintai satu sama lain, semata-mata
kerana kecintaan keduanya kepada Allah Subhanahu wa Taala dan RasulNya.
Abdullah: Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, wahai ibunda!
Asma': Wa'alaikum salam warahmatullahi wabarakatuh, ya Abdullah!
Mengapa engkau datang ke sini di saat-saat seperti ini? Padahal batu-batu
besar yang dilontarkan Hajjaj kepada tenteramu menggetarkan seluruh Kota
Mekah?
Abdullah: Aku hendak bermusyawarah dengan ibu
Asma': Tentang masalah apa?
Abdullah: Tenteraku banyak meninggalkanku. Mereka membelot dariku ke
pihak musuh. Mungkin kerana mereka takut terhadap Hajjaj atau mungkin
juga kerana mereka menginginkan sesuatu yang dijanjikannya sehingga
anak-anak dan isteriku sendiri berpaling daripadaku. Sedikit sekali jumlah
tentera yang tinggal bersamaku. Sementara utusan Bani Umayyah
menawarkan kepadaku apa saja yang ku minta berupa kemewahan dunia
asal saja aku bersedia meletakkan senjata dan bersumpah setia mengangkat
Abdul Malik bin Marwan sebagai khalifah. Bagaimana pendapatmu wahai
ibu?
Asma': Terserah kepadamu Abdullah! Bukankah engkau sendiri yang
mengetahui tentang dirimu? Jika engkau yakin bahawa engkau
mempertahankan yang haq dan mengajak kepada kebenaran, maka
teguhkanlah pendirianmu sepertimana para perajuritmu yang telah gugur
dalam mengibarkan bendera agama ini! Akan tetapi, jika engkau
menginginkan kemewahan dunia, sudah tentu engkau adalah seorang anak
lelakiku yang pengecut! dan bererti engkau sedang mencelakakan dirimu
sendiri dan menjual murah harga kepahlawananmu selama ini, anakku!
4

Abdullah: Akan tetapi, aku akan terbunuh hari ini ibu.


Asma' : Itu lebih baik bagimu daripada kepalamu akan dipijak-pijak juga oleh
budak-budak Bani Umayyah dengan mempermainkan janji-janji mereka
yang sangat sukar untuk dipercayai!
Abdullah: Aku tidak takut mati, Ibu. Tetapi aku khuatir mereka akan
mencincang dan merobek-robek jenazahku dengan kejam!
Asma': Tidak ada yang perlu ditakuti perbuatan orang hidup terhadap kita
sesudah kita mati. Kambing yang sudah disembelih tidak akan merasa sakit
lagi ketika kulitnya dikupas orang!
Abdullah: Semoga Ibu diberkati Allah. Maksud kedatanganku hanya untuk
mendengar apa yang telah ku dengar dari ibu sebentar tadi. Allah Maha
Mengetahui, aku bukanlah orang yang lemah dan terlalu hina. Dia Maha
Mengetahui bahawa aku tidak akan terpengaruh oleh dunia dan segala
kemewahannya. Murka Allah bagi sesiapa yang meremehkan segala yang
diharamkanNya. Inilah aku, anak Ibu! Aku selalu patuh menjalani segala
nasihat Ibu. Apabila tewas, janganlah ibu menangisiku. Segala urusan dari
kehidupan Ibu, serahkanlah kepada Allah!

Asma': Yang ibu khuatirkan andainya engkau tewas di jalan yang sesat.
Abdullah: Percayalah Ibu! Anakmu ini tidak pernah memiliki fikiran sesat
untuk berbuat keji. Anakmu ini tidak akan menyelamatkan dirinya sendiri
dan tidak memperdulikan orang-orang Muslim yang berbuat kebaikan.
Anakmu ini mengutamakan keredhaan ibunya. Aku mengatakan semua ini di
hadapan ibu dari hatiku yang putih bersih. Semoga Allah menanamkan
kesabaran di dalam sanubari Ibu.
Asma': Alhamdulillah! segala puji bagi Allah yang telah meneguhkan hatimu
dengan apa yang disukaiNya dan yang Ibu sukai pula. Rapatlah kepada Ibu
wahai anakku, Ibu ingin mencium baumu dan menyentuhmu. Agaknya inilah
saat terakhir untuk ibu memelukmu..."
Abdullah:Jangan bosan mendoakan aku Ibu!
Sebelum matahari terbenam di petang itu, Abdullah bin Zubair syahid
menemui Rabbnya. Dia kembali kerana mengutamakan redha Allah dan
redha ibunya yang beriman. Diriwayatkan, bahawa Al-Hajjaj berkata kepada
5

Asma' setelah Abdullah terbunuh :"Bagaimanakah engkau lihat perbuatanku


terhadap puteramu ?" Asma' menjawab :"Engkau telah merosak dunianya,
namun dia telah merosak akhiratmu." Asma' wafat di Mekkah dalam usia 100
tahun, sedang giginya tetap utuh, tidak ada yang tanggal dan akalnya masih
sempurna. [Mashaadirut Tarjamah : Thabaqaat Ibnu Saad, Taarikh Thabari,
Al-Ishaabah dan Siirah Ibnu Hisyam]. Semoga Allah meredhai kedua
hambaNya, Asma' dan puteranya.
Khatimah
Inilah sebuah teladan yang sangat berharga buat kita semua. Asma'
Radiallahu anha bukan sahaja menunjukkan keberaniannya, kepatuhannya
kepada Allah, suami dan ayahnya, juga pengorbanannya yang besar, sikap
dermawannya dan kecemerlangan berfikir yang menjadi cermin
keperibadiannya. Bersama suaminya, Zubair bin Awwam, terbentuklah
keluarga sakinah, mawaddah wa rahmah, bukan kerana harta yang
melimpah ruah, tetapi limpahan barakah dan rahmat dari Allah Subhanahu
wa Taala kerana ahli keluarganya yang menjadikan kecintaan mereka hanya
kepada Allah dan Rasul di atas kecintaan-kecintaan lainnya. Dari keluarga ini,
lahirlah seorang syuhada yang gagah berani, tidak takut terhadap apapun
kecuali Allah Subhanahu wa Taala Semoga kisah Asma Abu Bakar ini akan
sentiasa mekar di jiwa kita sebagai motivasi diri dalam menyemai kecintaan
serta menjalankan kewajipan terhadap Rabbul Izzati.

Anda mungkin juga menyukai