Anda di halaman 1dari 5

Kajian yang telah dibuat mendapati berpuasa membantu seseorang menjadi

lebih cantik dan sihat;

1.  Amalan berpuasa merupakan satu cara tubuh menpertingkatkan proses


penyingkiran toksin dan zarah-zarah asing dari badan dengan lebih cepat dan
berkesan. Kadar detoksifikasi untuk setiap individu adalah bergantung
kepada umur, kadar metabolisme, sikap, pemikiran dan jantina.

2.  Berbukalah dengan minuman detoks seperti jus buah-buahan atau segelas


air yang dicampur dengan 1 sudu makan madu asli dan 2 sudu makan jus lemon
TETAPI bagi pengidap gastik kronik, elakkan jus lemon.

3.  Di antara makanan detoks ialah celeri, pegaga. sayuran hijau,


spirulina, aloevera, anggur, oren dan lobak merah.

4.  Banyakkan minum air kosong. Mandi sekurang-kurangnya dua kali sehari.

5.  Puasa akan menyeimbangi perjalanan dan fungsi organ di samping


meningkatkan imunisasi dan pembiakan sel badan. Sel badan akan bernafas,
membina dan menyembuhkan dirinya

6.  Puasa merupakan satu kaedah terapi yang sering digunakan oleh pakar
perubatan holistik kerana ia mempercepatkan proses penyembuhan.

7.  Berpuasa membantu mengurangkan masalah sembelit, selesema, migrain,


keletihan, demam dan lain-lain.

8.  Berpuasa akan mengurangkan beban kepada sistem perkumuhan seperti usus,


pankreas, hempedu dan hati.

9.  Penyingkiran toksik akibat dari amalan berpuasa akan menjadikan sel


badan berfungsi lebih cekap kesannya, kulit akan lebih gebu dan berseri.

10. Amalan berpuasa akan menjadikan anda awet muda kerana pemakanan
berlebihan akan meyebabkan proses penuaan berlaku dengan lebih cepat.

11. Pengurangan kalori ketika berpuasa menyebabkan hati lebih efisyen untuk
menukarkan glikogen kepada glukosa. Ini akan mempercepatkan pembakaran
lemak. Baik untuk menurunkan berat badan.

12. Ketika bersahur, ambil makanan sihat seperti nasi, oats, cereal dan
roti. Elakkan makanan terlalu pedas dan berempah. Elakkan juga makanan
masin kerana anda akan merasa dahaga keesokan harinya.

13. Sesetengah orang yang berpuasa akan mengalami pening, loya, nafas
berbau atau sukar tidur. Ini adalah kerana badan sedang melakukan proses
detoksifikasi. Kesemua simptom tersebut merupakan "mild crisis healing"
atau krisis penyembuhan. Namun hasilnya badan akan lebih sihat dan
bertenaga.

Selamat berpuasa kepada semua umat Islam


HADITH PALSU KELEBIHAN TARAWIH
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang. Puji-pujian bagi Allah Subhanahu
Wata'ala, Selawat dan Salam keatas junjungan kita Nabi Muhammad Sallaahu 'Alaihi
Wasallam serta para sahabatnya.
   
SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini satu hadis tentang kelebihan Tarawih pada malam-
malam Ramadan telah tersebar dengan meluas sekali. Media elektronik, cetak serta media
massa lain turut memainkan peranan menyebarkannya melalui akhbar, dairi Islam, TV, radio,
risalah dan lain-lain dengan harapan semoga mereka mendapat saham dalam usaha
menggalakkan umat Islam supaya rajin beramal ibadat, terutamanya dalam bulan yang
diberkati itu. Hadis yang dimaksudkan itu ialah satu hadis yang agak panjang kononnya
diriwayatkan oleh Sayyidina Ali r.a. yang sebahagian darinya adalah seperti berikut :
 
Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda berkenaan dengan
fadilat sembahyang Tarawih pada bulan Ramadan antaranya:
                                 Malam Pertama: Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama seperti
mana dia baru dilahirkan (mendapat keampunan dari Allah Taala).
                                 Malam Keempat: Mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang yang
membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.
                                 Malam Keenam: Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat-malaikat
yang tawaf di Baitul-Ma`mur (sebanyak 70 ribu malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu
dan tanah akan mendoakan supaya Allah mengampuni dosa-dosa orang yang mengerjakan
sembahyang tarawih pada malam ini.
                                 Malam Ketujuh: Seolah-olah dia dapat bertemu serta menolong Nabi Musa A.S.
menentang musuh ketatnya Firaun dan Haman.
                                 Malam Kelapan: Allah mengurniakan pahala orang sembahyang tarawih
sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim A.S.
                                 Malam kesembilan: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat
hambanya seperti Nabi Muhammad S.A.W.
                                 Dan kelebihan-kelebihan seterusnya sehingga sampai kemalam yang ke-tiga
puluh
 
Namun begitu setelah diajukan pertanyaan kepada beberapa tokoh agama tanah air mengenai
kedudukan hadis ini, dari manakah ianya diambil, semuanya tidak dapat memberikan
penjelasan. Dan setelah diteliti dalam kitab induk hadis seperti Sunan Sittah dan lain-lain kitab
hadis lagi, ianya tidak ditemui. Begitu juga dalam kitab-kitab hadis palsu (maudhu`aat) sendiri
pun tidak didapati hadis ini. Ini menunjukkan bahawa hadis ini merupakan satu hadis yang
baru diada-adakan sehingga ulama-ulama hadis dahulu yang menulis tentang hadis maudhu`
pun tidak mengetahui akan wujudnya hadis ini. Kita tidak menafikan kelebihan sembahyang
Tarawih dan kedudukannya dalam sunnah. Namun begitu kita tidak mahu umat Islam tertipu
dengan berbagai-bagai janji palsu yang menyebabkan umat Islam mengerjakan amalan
kebaikan dengan mengharapkan sesuatu yang sebenarnya tidak akan diperolehinya. Dengan
tersebarnya hadis-hadis palsu seumpama ini juga akan mencemarkan kesucian hadis
Rasulullah s.a.w. yang dipelihara dengan dengan begitu baik oleh ulama kita dahulu.
 
Rasulullah S.A.W. telah pun memberikan amaran terhadap orang-orang yang mengadakan
pendustaan atas namanya dengan ancaman yang berat sebagaimana sabdanya: Barang
siapa sengaja mengadakan dusta atas namaku maka hendaklah dia menyediakan tempatnya
dalam neraka. (Bukhori, Muslim)
 
Hadis ini diriwayatkan dengan banyak sekali sehingga sampai keperingkat Mutawatir.
Ancaman ini merangkumi segala jenis pendustaan keatas Nabi S.A.W. sama ada dengan
maksud memberi galakan supaya rajin beramal ibadat ataupun ancaman supaya menjauhi
segala larangan Allah (targhib dan tarhib).
 
Mulla Ali Qari dalam Al-Asrarul-Marfu' ah selepas membawakan lebih dari seratus riwayat
hadis mengenai pendustaan atas nama Nabi Muhammad s.a.w. menukilkan kata-kata Imam
Nawawi dalam syarah Muslim. Kata Imam Nawawi: Haram meriwayatkan sesuatu hadis palsu
(maudhu`) bagi orang yang mengetahui bahawa hadis itu maudhu` atau dia hanya menyangka
hadis ini maudhu`. Siapa yang menceritakan hadis yang dia tahu atau dia sangka bahawa
ianya maudhu` serta dia tidak menerangkan keadaannya maka dia termasuk dalam ancaman
ini. Katanya lagi, tidak ada perbezaan dalam pengharaman pendustaan atas Nabi Muhammad
s.a.w. di antara hadis tentang hukum-hukum dan hadis yang bukan berkenaan dengan hukum
seperti hadis yang mengandungi dorongan serta galakan beramal ibadat, hadis-hadis nasihat
dan lain-lain. Semuanya haram termasuk dalam sebesar-besar dosa dan sejelek-jelek perkara
dengan ijmak ulamak Islam? seterusnya dia berkata: Ulama sudahpun sepakat mengenai
haram berdusta atas nama orang-orang biasa. Bagaimana pula dengan orang yang kata-
katanya adalah syariat, kalamnya adalah wahyu dan berdusta atasnya adalah pendustaan
atas Allah juga. Firman Allah bermaksud: Tidaklah dia mengucapkan mengikut kemahuan
hawa nafsunya. Apa yang diucapkan tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan. (An-Najm:
3-4).
 
Di dalam hadis tersebut nampaknya ada galakan supaya umat Islam rajin untuk melakukan
amalan Tarawih dalam bulan Ramadan seperti kita sering dapati hadis ancaman terhadap
orang yang meninggalkan sembahyang yang sebenarnya hadis itu pun direka atas nama nabi
Muhammad s.a.w. seperti contoh satu hadis yang sebahagian darinya berbunyi: Jika
seseorang itu meninggalkan sembahyang Zuhur dosanya adalah seperti dia berzina dengan
ibunya sendiri. Jika dia meninggalkan sembahyang Asar dosanya adalah seperti meruntuhkan
Kaabah.

Adakah tidak cukup dengan janji ganjaran dari Allah bagi orang yang menghidupkan malam
Ramadan yang terdapat dalam kitab hadis shahih contohnya hadis yang bermaksud: Sesiapa
yang menghidupkan malam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran
dari Allah diampunkan dosa-dosanya yang lalu. (Al-Bukhari)

Dan adakah tidak cukup dengan ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang
yang terdapat dalam al-Quran antaranya firman Allah yang bermaksud: Apakah yang
menyebabkan kamu dimasukkan ke dalam neraka saqar? Mereka menjawab: Kami dahulu
termasuk orang yang tidak mengerjakan sembahyang. (Al-Muddatsir)

Sebenarnya bagi mereka yang suka menghidupkan malam Ramadan tidak mesti dengan
adanya hadis rekaan yang seperti ini mereka akan bersungguh-sungguh dalam menghidupkan
amalan Tarawih ini. Dan orang yang malas bersembahyang bawalah hadis yang bagaimana
teruk sekalipun seksaannya, namun mereka tetap tidak mahu mengerjakannya.
 
Antara ciri-ciri hadis maudhu`(rekaan) dari segi zahirnya selain dari meneliti sanad perawinya
ialah :
1.   Kelebihan yang disebutkan menyamai atau mengatasi kelebihan yang terdapat pada para
sahabat nabi kita Muhammad s.a.w. atau orang yang berjuang bersama dengan nabi yang lain
apatah lagi untuk menyamai atau mengatasi kedudukan nabi-nabi kerana umat yang datang
kemudian walaupun setinggi-tinggi wali sekalipun tidak akan dapat mengatasi atau menyamai
kedudukan sekecil-kecil sahabat apatah lagi untuk menyamai kedudukan seorang nabi.
2.   Kelebihan yang terdapat didalamnya tidak sepadan dengan amalan yang dilakukan
sedangkan ia menyalahi apa yang terdapat dalam syariat sebagaimana tersebut dalam Al-
Qur'an dan hadis-hadis sahih.
3.   Kandungannya serta ertinya rapuh, tidak menyerupai kalam Nabi Muhammad s.a.w. dan
lafaznya tidak sesuai keluar dari mulut Nabi seperti yang terdapat dalam hadis-hadis sahih.
4.   Dalam sesetengah risalah yang terdapat hadis ini, ianya dimulai dengan "Ya Ali"
sedangkan ulama hadis sudah mengatakan bahawa hadis yang dimulai dengan kata-kata ini
hanya dua atau tiga sahaja yang sahih. Yang lainnya palsu.
 
Oleh itu umat Islam sekalian, terutamanya pihak seperti institusi agama di peringkat negeri
dan pusat, sepatutnya prihatin terhadap perkara seperti ini demi menjaga kesucian hadis
Rasul yang menjadi pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Umat Islam janganlah mudah
tertipu dengan dakyah palsu yang dikaitkan dengan Rasulullah sedangkan ianya tidak ada
hubungan langsung dengan Rasulullah s.a.w. Janganlah sampai masyarakat kita melakukan
sesuatu amalan dengan harapan akan mendapat pahala sedangkan sebaliknya dosa besar
pula yang diperolehi dengan menyebarkan dan seterusnya beramal dengan hadis-hadis palsu
seperti ini.
 

Petikan dari terbitan dan edaran percuma:


DARUL QURAN WAS-SUNNAH
Lot 1499, Taman Seri Demit, Jalan Sultanah Zainab 2
Kubang Kerian , 16150 Kota Bharu, Kelantan.

Anda mungkin juga menyukai