Anda di halaman 1dari 4

TEKS UCAPAN YANG BERBAHAGIA DR HAJI MUHIDDIN BIN HUSIN,

PENGARAH PELAJARAN NEGERI SABAH

MAJLIS PERASMIAN PENUTUPAN PERSIDANGAN PENGURUSAN PENDIDIKAN

PERSATUAN PENGETUA SEKOLAH MENENGAH SABAH

DI HOTEL PROMENADE, KOTA KINABALU

PADA 7 JULAI 2010

Assalamualaikum Warahnmatullahi Wabarakatuh,

Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia

Terima kasih pengacara majlis,

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

Terlebih dahulu saya ingin memanjatkan kesyukuran kepada Allah S.W.T kerana dengan taufik dan
limpah kurnia-Nya, dapatlah kita bersama-sama diberi kesempatan untuk berkumpul dan bertemu
dalam sebuah persidangan yang amat penting ini. Saya menyifatkan persidangan ini amat penting
kerana berlangsung dalam era transformasi dan pembaharuan pendidikan yang berkonsepkan 1
Malaysia, Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan. Saya yakin persidangan kali ini telah berjaya
mengetengahkan input-input yang mampu menjana idea dan merencanakan beberapa inovasi yang
boleh digunapakai terutama dalam merealisasikan matlamat pendidikan marcapada kini.

(Tahniah kepada E. Liasin Kalah)

Tuan-tuan dan puan-puan saya hormati sekalian, tokoh pembaharuan Islam tersohor, Muhamad Abduh,
menegaskan bahawa matlamat asas pendidikan (apta’alim wa al tarbiyyah) ialah untuk membentuk
sahsiah insan menerusi penerapan nilai-nilai murni ke dalam jiwa peribadinya agar menjadi insan yang
baik (rijalan salihan fin nafsih). Oleh itu, dasar pendidikan di negara kita berpandukan Falsafah
Pendidikan Negara yang bermatlamat melahirkan insan kamil yang seimbang secara holistik dari segi
jasmani, emosi, rohani dan intelek serta sosial. Matlamat inilah yang menjadi asas bagi setiap dasar dan
perancangan pendidikan yang digubal dan dilaksanakan di negara kita. Maka, dalam menuju misi bagi
melahirkan modal insan yang berkemampuan untuk mengisi keperluan demi memajukan ekonomi
negara pada masa hadapan, aspek penguasaan ilmu dan kemahiran perlu diimbangi oleh ketrampilan
dan keperibadian insan yang mulia. Kejayaan membentuk modal insan cemerlang akan membantu kita
mencapai Wawasan 2020 yang kian menghampiri kita sedekad lagi.

Sehubungan itu, Pengetua Berkualiti Menjana Modal Insan Cemerlang yang menjadi tema dan jala tuju
persidangan kali ini amat bertepatan dengan aspirasi negara kita. Para pengetua selaku peneraju utama
dalam sesebuah sekolah perlu bijak membuat percaturan bagi melahirkan modal insan yang cemerlang.
Sedang kita bersiap siaga untuk melakukan lonjakan berganda bagi mencapai taraf ekonomi
berpendapatan tinggi, pendidikan menjadi wahana penting untuk melahirkan modal insan yang berilmu,
berkemahiran tinggi dan berketrampilan untuk memacu ekonomi berasaskan pengetahuan. Di samping
itu, nilai-nilai mulia seperti saling menghormati,bertanggungjawab, penyayang, bertimbang rasa,
berbudi bahasa, berdisiplin tinggi dan sentiasa gigih hendaklah dipupuk dan diamalkan dalam kalangan
anak didik kita supaya menjadi budaya hidup masyarakat kita.

Pembentukan modal insan cemerlang ini selaras dengan gagasan 1 Malaysia yang dihasratkan oleh YAB
Dato’ Seri Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia. Hasrat 1 Malaysia ialah gagasan
untuk membina kekuatan melalui perpaduan nasional dan semangat kebersamaan. Lapan nilai aspirasi
yang menjadi teras gagasan 1 Malaysia iaitu budaya ilmu, intergriti, ketahanan, kesetiaan,
kebijaksanaan, budaya ketepatan, budaya berprestasi tinggi dan budaya inovasi merupakan nilai-nilai
teras yang perlu disemai dan dibajai sebagai budaya kehidupan rakyat Malaysia demi memacu kejayaan
yang lebih hebat pada masa hadapan. Aspirasi negara terhadap pengetua sebagai menjana modal insan
cemerlang menuntut komitmen yang tinggi daripada semua para pengetua. Generasi pelapis yang kini
berada di bangku sekolah perlu diterapkan dengan kelapan-lapan nilai ini secara berkesan dan
terancang oleh para pengetua dengan dibantu oleh warga pendidik yang berada di sekolah masing-
masing. Oleh itu saya menyeru kepada para pengetua agar member kefahaman kepada anak buah
masing-masing akan falsafah dan prinsip keserakanan yang saya yakin mampu mempercepat proses
pencapaian kecemerlangan secara bersama. Prinsip keserakanan harus wujud dalam diri setiap pendidik
supaya aspirasi negara dapat diterjemahkan dalam satu kefahaman bersama.

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

Penilaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang telah mula dilaksanakan pada tahun 2010 meliputi semua
gensi kerajaan. Sistem pengukuran prestasi menggunakan KPI di sekolah penting dan perlu dilaksanakan.
Tuntutan terhadap sekolah dalam kecemerlangan akademik, kokurikulum, disiplin, amalan-amalan
pengurusan, kepimpinan, kompetensi guru yang tinggi dan lain-lain memerlukan sekolah menggunakan
strategi serta amalan yang berpaksikan prestasi. Penggunaan KPI dan sasaran prestasi boleh digunakan
dalam setiap aspek pengurusan sekolah iaitu prestasi boleh diukur dari segi proses yang disampaikan
dan keberhasilan di sekolah. Sasaran prestasi perlu mengambil kira perkara-perkara seperti keupayaan
proses yang meliputi aliran kerja, keperluan sumber manusia, kewangan peralatan, infrastruktur yang
sesuai serta kepuasan dan kehendak pelanggan.

Sistem pengukuran KPI sebagai kayu ukur kepada kecemerlangan perkhidmatan pendidikan akan dapat
meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan untuk rakyat Malaysia. Pelbagai
usaha telah dilaksanakan oleh Kementerian Pelajraan Malaysia untuk melahirkan guru berkualiti dan
memastikan kualiti sistem pendidikan negara kekal dan bertaraf dunia.

Kita bersyukur, Malaysia pada hari ini telah diiktiraf sebagai negara yang paling berjaya dalam
menyediakan akses kepada pendidikan untuk semua rakyat. UNESCO dalam Education for All Global
Monitoring Report 2009 telah meletakkan Malaysia pada kedudukan ke 43 daripada 129 buah negara
sekaligus menempatkan Malaysia dalam kalangan 56 buah negara yang berada pada kedudukan aras
tinggi pada Indeks. Pembangunan Pendidikan untuk semua ini merupakan kejayaan yang amat
membanggakan untuk sistem pendidikan Malaysia. Walau bagaimanapun, hal ini tidak bermakna kita
boleh kekal selesa dengan pencapaian kita. Dalam usaha untuk melonjakkan kemajuan dan
kemakmuran negara ke tahap yang lebih tinggi, kita mestilah sentiasa berusaha bukan sahaja untuk
meningkatkan akses kepada pendidikan, tetapi memperluas akses kepada pendidikan berkualiti. Oleh
sebab, core business di sekolah ialah pengajaran dan pembelajaran, kita haruslah memupuk kepimpinan
dalam bidang pengajaran dan pembelajaran iaitu kepimpinan intruksional, serta memberi tumpuan
kepada pengajaran dan pembelajaran bermatlamat. Para pengetua haruslah menggalakkan para guru
mewujudkan ciri-ciri pengajaran dan pembelajaran yang kreatif dan inovatif supaya budaya inovasi dan
kreatif dapat dipupuk dan disuburkan dalam kalangan anak didik. Di samping itu, para guru mesti boleh
mengimplentasikan kaedah pendidikan yang tepat iaitu strategi pengajaran dan pembelajaran yang
digunakan memerhatikan situasi, kondisi dan karakter seseorang, sehingga nilai-nilai murni dapat
ditanam dan dijelmakan dengan baik dalam diri anak didik. Saya yakin dengan kewibawaan para
pengetua untuk memperkasa kualiti para guru di sekolah masing-masing dalam mempersiapkan diri
anak didik agar menjadi insan yang cekal dan berupaya mengharungi tuntutan dan perubahan arus
globalisasi.

(Mengingatkan saya kepada 3 kenyataan penting mengenai pendidikan, khasnya pendapat:

(a) Lovas – ‘If a student doesn’t understand…..’

(b) Sariah –

(c) The ultimate aim ….

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

Pemimpin sekolah mempunyai impak signifikan atas kecemerlangan murid berdasarkan analisis
daripada 70 kajian lepas yang melibatkan 2,194 sekolah. Kajian ini menunjukkan bahawa peningkatan
satu sisihan piawai dalam kualiti kepimpinan akan memberikan kesan kepada pencapaian murid
sebanyak 10 persentik. Dalam hal ini, pemimpin instruksional yang mapan perlu bijak dan proaktif dalam
menyusun strategi. Kepimpinan instruksional berperan dalam pembangunan guru, di samping
merancang, menyelaras dan menilai aktiviti pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Sebagai agen
perubahan utama, pengetua harus dan mesti memastikan visi dan misi diterjemahkan, selaras dengan
matlamat sekolah, bagi mencapai kemenjadian anak didik. TIdak dapat dikesampingkan juga, para
pengetua mestilah menyediakan persekitaran sekolah yang kondusif dan menyokong proses pengajaran
dan pembelajaran di dalam dan di luar bilik darjah. Oleh itu, antara tembok halangan yang harus
dirobohkan terlebih dahulu untuk mencipta kecemerlangan di sekolah ialah kelompangan yang wujud
dalam diri pemimpin sekolah itu sendiri seperti kekurangan ilmu dan kemahiran serta kepincangan sikap
demi mengangkat kualiti para pengetua.

Bagi menggalakkan budaya kecemerlangan di sekolah kerajaan mensasarkan 20 buah sekolah diiktiraf
sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) pada tahun 2010. Pemilihan SBT dibuat berdasarkan tahap
kecemerlangan akademik dan pencapaian pelajar termasuk disiplin, kebersihan, aktiviti kokurikulum dan
penguasaan bidang keutamaan sekolah SBT juga bertujuan untuk mengangkat kualiti pencapaian
institusi pendidikan melalui peningkatan tahap autonomi dan akauntibiliti serta membenarkan sekolah
melaksanakan inovasi dalam pengurusan masing-masing (pemusatan dalam aspek kurikulum dam
anggota perkhidmatan). Selain itu, SBT ialah wadah untuk menghasilkan pelajar cemerlang bertaraf
antarabangsa dan yang mempunyai personality dalam semua bidang. Impaknya adalah untuk
menjadikan SBT sebagai penanda aras kecemerlangan dan inspirasi kepada sekolah-sekolah lain untuk
membangunkan kecemerlangan ke tahap yang lebih tinggi melalui bimbingan dan jaringan antara
sekolah-sekolah tersebut, sekaligus melonjakkan pencapaian pelajar secara keseluruhan di negara kita.
Inilah pada hemat saya, cabaran sebenar kepada para pengetua di negara ini untuk menghasilkan SBT
dalam kelompok sekolah dari negeri Sabah. Sama-samalah kita berdoa agar negeri kita mampu
menghasilkan SBT berkat kesungguhan dan usaha keras tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

(Alhamdulillah --- dalam pelaksanaan SIP baru-baru ---- Sabah negeri ke-8)

Para pengetua juga perlu merebut peluang yang telah disediakan oleh kerajaan di bawah Pelan
Penambaikan Sekolah (School Improvement Plan) kewujudan beberapa insentif di bawah system
Tawaran Baru (Bai’ah baru) atau New Deal kepada kepimpinan sekolah serta guru-guru bagi
meningkatkan prestasi sekolah sewajarnya dijadikan sebagai motivasi untuk meningkatkan
kecemerlangan sekolah masing-masing. Hal ini disebabkan tujuan diperkenalkan Bai’ah Baru ini adalah
untuk memastikan setiap sekolah ditadbir secara professional bagi meningkatkan tahap kecemerlangan
sekolah demi menjana modal insan cemerlang.

(bukan niat untuk SBT, Bukan New Deal)

Kepada tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian, sekali lagi saya menegaskan bahawa kita
mampu mengangkat kualiti pendidikan di negeri kita ini standing dengan negeri-negeri lain di Malaysia.
Prasyaratnya, kita mesti berani, yakin dan berusaha gigih untuk mencapai matlamat itu kerana hendak
seribu daya, tak nak seribu dalih.

(Sebelum mengakhiri ucapan ini saya ucapkan ‘terima kasih atas undangan’)

Akhir sekali, saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada semua AJK Pelaksana Persidangan
Pengurusan Pendidikan Persatuan Pengetua Sekolah Mengenah Sabah Tahun 2010 yang telah
mencurahkan seluruh keringat dan komitmen untuk memastikan acara ini menjadi reality bak kata
pepatah “Jika tidak dipecahkan ruyong, manakan dapat sagunya”. Kepada semua pengetua sahutlah
segala harapan dan cabaran sebagai pentadbir sekolah yang perlu merekayasa dalam mengurus sekolah
masing-masing meningkatkan kecemerlangan pendidikan di Sabah.

Oleh itu, dengan lafaz “Bismillah hirRahman nirRahim” saya merasmikan Majlis Penutupan Persidangan
Pengurusan Pendidikan Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sabah Tahun 2010.

Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassallammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Anda mungkin juga menyukai