Anda di halaman 1dari 15

Build your own FREE website at

Tripod.com Share: Facebook | Twitter | Digg | reddit

Banjir Kilat: Peningkatan Risiko dan Pendedahan Masyarakat


Bandar
Chan Ngai Weng

Chan Ngai Weng, PhD (Middx.) ialah Profesor Madya di PP Ilmu Kemanusiaan
dalam bidang Geografi

Di Malaysia, risiko dan terdedahnya manusia kepada bahaya banjir


kilat, khasnya di kawasan bandar-bandar besar yang mempunyai
taburan penduduk yang padat serta kadar binaan yang tinggi,
telah meningkat dengan signifikannya dalam tahun-tahun
kebelakangan ini. Hal ini terbukti oleh kejadian-kejadian banjir
kilat yang serius di sekitar bandar utama negara seperti Kuala
Lumpur, Georgetown, Ipoh, Kota Bharu dan lain-lain (Chan, 1996a).

Biasanya, sebab utama banjir kilat ialah aliran permukaan pesat


akibat perubahan guna tanah (dari permukaan telapair seperti
hutan kepada permukaan tidak telapair seperti konkrit, simen dan
asphalt), alur-alur sungai dan longkang yang tersekat,
berkurangnya keupayaan sungai melalui pemendapan kelodak dan
kejadian hujan ribut seperti hujan ribut perolakan yang lebat.

Lazimnya, banjir kilat berlaku dengan pesat (iaitu beberapa minit


hingga setengah jam selepas hujan berlaku) tetapi juga berakhir
dengan cepat (iaitu jangka hidupnya adalah dari setengah jam
hingga sehari).

Manusia kini telah tiba pada satu peringkat evolusinya apabila


kemajuan teknologi membolehkannya mempengaruhi dan mengawal
banyak aspek alam semula jadinya. Justeru itu, manusia telah
dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam penetuan masa
depan tamadun. Walaupun manusia masih belum dapat mengawal
berbagai-bagai fenomena alam semula jadi seperti kejadian
hurikan, taufan, letusan gunung berapi dan gempa bumi, kemajuan
teknologi telah membolehkan manusia memodifikasikan dan
mengubahkan pelbagai fenomena alam seperti hujan (melalui
pembuatan ‘hujan tiruan), aliran permukaan (melalui pengawalan
guna tanah), kemarau dan bekalan air (melalui pengairan dan
saliran), cuaca dan iklim (melalui pencemaran dan pembandaran)
dan lain-lain.

Di dalam kes banjir kilat, memang terdapat pelbagai cara struktur


dan bukan struktur untuk mengawasinya. Pengurusan banjir yang
cekap dengan menggunakan teknologi semasa patut dapat
mengurangkan kejadian banjir kilat. Namun begitu, beberapa
aspek banjir kilat seperti magnitud, kekerapan dan tempoh
kejadian didapati terus meningkat di kebanyakan tempat di
Malaysia, khasnya di bandar-bandar besar yang mengalami
pembangunan pesat (Jamaluddin, 1985).

Banjir bulan September 1995 di Pulau Pinang dan banjir bulan


Disember 1995 di Shah Alam dan Kuala Lumpur ialah contoh-
contoh yang ketara (Chan dan Goh, 1995a). Di Georgetown,
khasnya di sekitar Jalan P. Ramlee dan Jalan Perak, banjir kilat
sering berlaku di kebanyakan tempat setiap kali hujan lebat
berlaku untuk beberapa jam.

Keadaan ini juga berlaku di Kuala Lumpur di sekitar Jalan Kelang


Lama, Kampung Baru, Pantai Dalam dan Kampung Haji Hukum
Abdullah. Di bandar-bandar tersebut, banjir kilat telah menjadi
begitu kerap sehingga alasan pihak-pihak berkenaan bahawa
banjir disebabkan oleh ‘tindakan Tuhan’ tidak dapat diterima lagi.

Rakyat kini adalah lebih berpendidikan, lebih sedar akan masalah


alam sekitar dan juga mendapat maklumat semasa dengan lebih
kerap. Mereka lebih yakin bahawa kejadian banjir kilat
disebabkan oleh kesilapan manusia dan kegagalan pengurusannya
daripada hasil ‘Tuhan’ atau hasil fenomena semula jadi.

Banjir kilat bukan seluruhnya dihasilkan oleh ‘tindakan manusia’


mahupun oleh ‘tindakan semula jadi’. Tanpa hujan ribut, dataran
banjir mungkin tidak begitu kerap ditenggelami. Namun begitu,
pilihan manusia untuk mendiami dan membangunkan dataran banjir
dengan pesat, khasnya di bandar-bandar besar, merupakan sebab
utama meningkatnya kejadian banjir kilat. Masalah ini kian
meruncing kerana manusia berterusan membangunkan dataran
banjir, memusnahkan kawasan hutan dan memotong cerun bukit
untuk pembangunan.
‘Bahaya banjir’ merupakan satu fenomena atau kejadian yang
mewujudkan ancaman atau bahaya kepada manusia. Banjir
bukannya ‘bahaya’ dalam semua konteks pada semua masa.
Misalnya, banjir yang berlaku di kawasan bakau dan paya yang
tidak didiami orang bukannya suatu bahaya. Sebaliknya, ia mungkin
dikelaskan sebagai suatu ‘sumber’ alam kerana banjir itu dapat
menjadikan tanah di sekitarnya lebih subur dengan membawa
masuk zat-zat dari tempat lain.

Banjir hanya menjadi bahaya apabila melibatkan masyarakat


manusia, khususnya kejadian banjir yang berlaku di kawasan
berpenduduk padat yang berpotensi mengakibatkan kehilangan
nyawa dan kemusnahan harta benda. Oleh itu bahaya banjir ialah
potensi ancamannya.

Bahaya banjir boleh berubah menjadi buruk sehingga dianggap


‘bencana banjir’, apabila kesannya mengakibatkan kemusnahan
besar dan/atau kehilangan nyawa manusia yang signifikan. Dalam
sesuatu bencana banjir, hampir seluruh masyarakat manusia
menjadi mangsa. Sistem-sistem sokongan dalam masyarakat
tersebut menjadi terjejas dan mekanisme penyesuaiannya juga
musnah. Lazimnya, kehilangan nyawa adalah tinggi.

Kerugian Banjir Kilat

Di Malaysia, kematian yang diakibatkan oleh banjir kilat tidaklah


sebesar seperti yang dialami oleh Bangladesh, iaitu beratus-ratus
ribu nyawa sering terkorban.

Namun begitu, kerosakan kepada harta benda, kemusnahan


infrastruktur, kehilangan perniagaan dan kehilangan nyawa adalah
signifikan (Chan, 1995). Misalnya, walaupun tiada kajian teliti yang
dijalankan, jumlah kerugian dalam banjir 1971 di Kuala Lumpur,
banjir Jun 1991 dan banjir September 1995 di Pulau Pinang, dan
banjir Disember 1995 di Shah Alam, Selangor dianggarkan
berjuta-juta ringgit.

Kos tahunan yang dibelanjakan oleh kerajaan Malaysia dalam


mengendali operasi bantuan bencana banjir (persiapan,
penyelamatan, pemindahan, penempatan sementara, pembekalan
makanan dan pakaian, serta pemuliharaan mangsa-mangsa banjir)
adalah besar. Dari segi kehilangan nyawa, hampir setiap tahun di
merata tempat di Malaysia terdapat mangsa yang terkorban.

Biasanya, kerugian akibat banjir yang dianggarkan oleh pihak


kerajaan (misalnya oleh Jabatan Pengairan dan Saliran atau oleh
Kementerian Pertanian) tertumpu pada kerosakan tanaman,
ternakan, infrastruktur awam dan bangunan awam.

Setakat ini, tiada kajian mendalam yang meneliti kerugian yang


dialami oleh pihak swasta dan orang awam. Jika kerugian swasta
dan orang awam dikira, maka jumlah kerugian akibat banjir
mungkin menjadi sangat besar. Misalnya, kajian kerugian banjir
yang dijalankan oleh Japan International Cooperation Agency
(JICA) menunjukkan bahawa purata potensi kerugian bagi satu
kejadian banjir dengan tempoh ulangan satu dalam 10 adalah kira-
kira RM500 juta dalam nilai mata wang 1988. Nilai ini akan
meningkat sehingga kira-kira RM1,000 juta dalam tahun 2005.
Jika sesuatu kejadian banjir dengan tempoh ulangan satu dalam
200 tahun berlaku, maka jumlah kerugian akan meningkat menjadi
RM2,500 juta dalam tahun 2005.

Kerugian akibat banjir pada harta benda swasta, perniagaan dan


industri juga sangat signifikan. Kerugian yang dialami termasuklah
kerugian langsung dan kerugian tidak langsung, kerugian boleh
dikesan (tangible loss) dan kerugian tidak boleh dikesan
(intangible loss). Misalnya, Chan (1995) mendapati bahawa purata
kerugian sesuatu banjir yang dialami oleh sebuah isi rumah dalam
tahun 1993 adalah dalam lingkungan RM1,393.

Jumlah kerugian ini nampaknya tidak besar tetapi apabila


dibandingkan dengan purata pendapatan isi rumah yang menetap di
dataran banjir, maka ia akan menjadi signifikan. Dalam kajian ini,
hampir separuh daripada isi rumah yang dikaji mempunyai purata
pendapatan bulanan di bawah RM500.

Di dalam kajian yang sama terhadap perniagaan, didapati bahawa


hampir semua kedai perniagaan telah mengalami kerugian akibat
banjir kilat. Kira-kira 58.9% daripada bilangan pemilik perniagaan
yang dikaji mengatakan bahawa mereka telah mengalami kerugian
melebihi RM1,000 dalam banjir kilat yang baru berlaku.Kira-kira
58.9% daripada bilangan pemilik perniagaan yang dikaji
mengatakan bahawa mereka telah mengalami kerugian melebihi
RM1,000 dalam banjir kilat yang baru berlaku.

Yang lebih signifikan ialah bahawa 9.3% daripada pemilik


perniagaan mengalami kerugian melebihi RM10,000. Kerugian yang
dialami oleh industri juga amat besar. Ini demikian kerana banjir
sering menyebabkan terganggunya syif kerja dan mengakibatkan
kerosakan bahan mentah, barangan siap dan jentera.
Memandangkan Pulau Pinang banyak bergantung pada sektor
industri, maka kesan banjir kilat menjadi amat penting diketahui.

Kajian ini menunjukkan bahawa kerugian akibat banjir yang dialami


oleh industri adalah antara RM10,000 hingga RM500,000 setiap
kilang. Jumlah kerugian biasanya bergantung pada jenis dan saiz
kilang, dan juga magnitud dan tempoh banjir.

Sebab-sebab Meningkatnya Risiko dan Terdedahnya


Masyarakat Bandar pada Banjir Kilat

Malaysia mengalami rejim iklim khatulistiwa yang panas dan


lembap sepanjang tahun. Ciri utama iklimnya ialah jumlah hujan
tahunan lebat di antara 1,500 mm hingga melebihi 3,500 mm
(Rajah 1). Yang lebih penting ialah kejadian tempoh-tempoh hujan
lebat berterusan, biasanya selama beberapa hari dengan intensiti
hujannya adalah lebat. Misalnya, jumlah hujan sebanyak 610 mm
dalam masa 24 jam merupakan suatu kelaziman.

Pada umumnya, kejadian hujan ribut perolakan semasa musim-


musim peralihan monsun pada bulan-bulan April dan Oktober
adalah serentak dengan kejadian banjir kilat. Namun begitu,
banjir kilat juga sering berlaku di pantai timur semasa musim
monsun timur laut. Di pantai barat semenanjung, kejadian banjir
kilat juga berlaku pada musim monsun barat daya di negeri-negeri
utara semenanjung seperti Kedah dan Perlis.

Semasa musim monsun barat daya, angin barat selatan yang


diikuti kejadian ‘badai selari’ (line squalls) yang dikenali sebagai
‘Angin Sumatra’ juga membawa hujan lebat di pantai barat
semenanjung, khasnya di Pulau Pinang dan sepanjang pantai Kedah
dan Perlis. Pada masa itu, banjir kilat sering berlaku.

Banjir kilat juga telah menjadi semakin kerap pada tahun-tahun


kebelakangan ini dan menyebabkan meningkatnya risiko,
terdedahnya manusia atau vulnerabiliti manusia kepada banjir.
Kawasan dataran banjir memang telah lama merupakan kawasan
penempatan yang menarik bagi penduduk Malaysia.

Dari segi sejarah, penduduk awal telah menetap di tepi sungai,


muara sungai dan di sekitar dataran banjir berhampiran sungai.
Cara penempatan ini mungkin disebabkan oleh kemudahan bekalan
air, pertanian dan pengairan, perikanan, pengangkutan dan
perhubungan, perlombongan (bijih timah) dan pertahanan. Oleh
sebab kebanyakan penempatan terletak di tepi sungai, maka
dataran banjir merupakan kawasan yang padat dengan penduduk.

Pada masa ini, telah dianggarkan bahawa terdapat sekurang-


kurangnya 2.5 juta orang yang menetap di dataran-dataran banjir
di Malaysia. Mereka inilah yang mengalami risiko tinggi dan yang
terdedah kepada bahaya banjir. Dataran banjir juga merupakan
kawasan tertumpunya kebanyakan aktiviti ekonomi.

Jadual 2 menunjukkan taburan pusat-pusat bandar di kawasan


dataran banjir di Malaysia. Tiga pusat yang terbesar terletak di
kawasan dataran banjir.mDi samping itu, lima daripada 10 pusat
yang terbesar juga terletak di kawasan dataran banjir dan
setengah daripada semua pusat bandar terletak berhampiran
dengan sungai. Justeru itu, maka tidak hairanlan bahawa risiko
dan terdedahnya masyarakat manusia kepada banjir adalah tinggi.

Pembangunan pesat yang diiringi oleh kadar pertumbuhan pesat


ekonomi Malaysia pada tahun-tahun lewat 1980-an hingga
sekarang makin meruncingkan masalah banjir kilat.

Dari 1988 hingga 1995, ekonomi Malaysia telah tumbuh pada


kadar 8.0% setahun dan tanda-tanda menunjukkan bahawa ia akan
tumbuh dengan lebih pesat lagi pada tahun-tahun yang akan
datang. Dengan kadar pembangunan yang begitu pesat menuju ke
arah pencapaian matlamat negara sebagai negara perindustrian
baru (NIC), maka lebih banyak kawasan bandar akan berkembang
dan lebih banyak kawasan dataran banjir juga akan dimajukan.

Penghijrahan penduduk desa-bandar juga mempengaruhi taburan


penduduk yang padat di kawasan dataran banjir bandar.
Memandangkan dasar kerajaan menggalakkan penduduk luar
bandar meningkatkan taraf hidup mereka, maka ramai penduduk
luar bandar telah berhijrah ke bandar-bandar untuk mencari
kemewahan.

Kebanyakan penghijrah ini kemudian tertumpu di kawasan


setinggan di bandar-bandar besar. Di Kuala Lumpur, penghijrah-
penghijrah biasanya didapati menetap di kawasan setinggan di
sekitar Kampung Baru, Kampung Abdullah Haji Hukum. Kampung
Pantai Dalam, Jalan Kelang Lama dan Brickfields dan kesemua
kawasan berhampiran sungai yang sering dilanda banjir kilat.

Pertumbuhan penduduk bandar yang disebabkan oleh penghijrahan


desa-bandar dan pertumbuhan semula jadi telah membawa kepada
tekanan-tekanan terhadap tempat kediaman. Kekurangan rumah
kos rendah telah menyebabkan proses persetingganan menjadi
semakin tidak terkawal.

Dari 1911 hingga 1990, kadar pembandaran telah meningkat dari


10.7% hingga 44.7%. Bilangan pusat-pusat bandar juga telah
bertambah lebih daripada lapan kali (Jadual 3). Misalnya,
pembangunan adalah begitu pesat sehingga pusat-pusat bandar
Kuala Lumpur-Petaling Jaya-Shah Alam -Kelang akan menjadi satu
konurbasi berterusan di sepanjangnya lurah Kelang menjelang
tahun 2020. Telah dianggarkan bahawa jumlah keluasan kawasan
bandar di bahagian tengah lurah Kelang pada tahun 2005 ialah
80.0%.

Di kebanyakan bandar di Malaysia, bencana banjir kilat semakin


meningkat dari segi kekerapan dan magnitud kerana manusia
memilih untuk menetap di dataran banjir, tidak mengambil berat
tentang bahaya banjir, mengurus banjir dengan tidak baik,
memajukan tanah dengan berlebihan (khasnya tanah bukit), dan
memusnahkan sumber hutan dalam kadar yang pesat. Di
Georgetown dan Kuala Lumpur, pembangunan pesat di dataran
banjir telah mencetekkan dasar sungai; pembuangan sampah sarap
menghalang aliran sungai; dan penggunaan tebing sungai untuk
pertanian haram, perumahan haram (setinggan) dan tujuan lain
sekurang-kurangnya telah mengakibatkan meningkatnya kekerapan
banjir kilat (Chan, 1996a dan 1996b).

Dalam usaha giat mencapai taraf perindustrian, Malaysia mungkin


akan terjatuh ke dalam ranjau seperti yang telah menimpa
kebanyakan negara maju pada suatu ketika dahulu. Misalnya,
Britain dan Amerika Syarikat telah mengalami pertambahan kadar
kerosakan harta benda dan kehilangan jiwa sebagai akibat
kejadian banjir dan hal ini terjadi kerana kadar pembangunan yang
pesat di dataran-dataran banjir.

Tambahan lagi, pembangunan yang pesat lazimnya menitikberatkan


aspek-aspek ekonomi dengan mengorbankan aspek-aspek
perlindungan banjir. Hal ini mewujudkan strategi pembangunan
tidak seimbang yang mengorbankan prinsip-prinsip perlindungan
dan pemeliharaan alam sekitar.

Berdasarkan hasrat dan objektif kerajaan yang terkandung di


dalam wawasan 2020nya, Malaysia akan meningkatkan lagi usaha-
usahanya di dalam perindustrian dan mempercepat lagi kadar
pembangunan ekonominya dalam tahun-tahun 1990-an sehingga
tahun 2020.

Justeru itu, semakin banyak kawasan dataran banjir akan


dibangunkan dan lebih banyak harta benda, kemudahan awam dan
infrastruktur akan menjadi terdedah kepada banjir.

Walaupun wawasan 2020 merangkumi aspek-aspek perlindungan


alam sekitar, proses lain seperti pertumbuhan penduduk yang
pesat dan migrasi desa-bandar, dan perkembangan sektor swasta
dalam perniagaan, perdagangan, perumahan dan industri akan
mendedahkan lebih ramai penduduk kepada risiko dan bahaya
banjir. Sehubung dengan itu, vulnerabiliti penduduk yang tinggal di
dataran banjir terhadap banjir akan menjadi lebih tinggi.

Selain sebab-sebab yang dinyatakan di atas, bergantinya hutan


khatulistiwa yang padat dengan permukaan-permukaan tiruan yang
tidak telapair seperti simen, konkrit, asphalt, tar dan tanah
terdedah telah meningkatkan risiko, terdedahnya penduduk pada
banjir kilat di bandar-bandar utama di Malaysia.

Permukaan-permukaan tiruan mengurangkan dengan signifikannya


masa tangguhan titisan hujan tiba ke dalam sistem saliran (sungai
atau longkang). Di dalam sebuah ekosistem hutan semula jadi,
titisan-titisan hujan terpaksa melalui beberapa proses fizikal
yang memanjangkan masa air hujan tiba ke dalam sistem saliran.
Tambahan lagi, hutan dan tanah juga berupaya menyerap
sebahagian daripada hujan. Justeru itu, hanya sebahagian kecil air
hujan yang turun dalam ekosistem semula jadi akan masuk ke
dalam sistem saliran.

Sebahagian besar telah diserap oleh tumbuhan dalam hutan dan


juga oleh tanah sebagai simpanan air tanah. Maka hutan bukan
sahaja memanjangkan masa tangguhan tetapi juga menyerap
banyak hujan. Sebaliknya, di bawah keadaan permukaan tiruan
yang tidak telapair di bandar, hampir kesemua air hujan yang
turun akan masuk ke dalam sistem saliran pada tempoh masa yang
singkat. Akibat nya masa tangguhan kadangkala cuma beberapa
minit sahaja. Aliran yang begitu pesat ke dalam alur-alur sungai
dan longkang-longkang saliran akan menyebabkan banjir kilat
berlaku.

Penguatkuasaan undang-undang dan peraturan-peraturan yang


berkait dengan pengawalan banjir yang kurang efektif juga
merupakan salah satu sebab meningkatnya kekerapan banjir kilat.
Misalnya, walaupun Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) ialah
pihak berkuasa yang bertanggungjawab terhadap pengawalan
banjir, ia langsung tidak mempunyai kuasa undang-undang apabila
tiba masa membuat keputusan-keputusan yang berkait dengan
pembangunan sungai, tanah tepi sungai atau tanah dataran banjir.

Dalam hal-hal begini, Kerajaan Negeri dan pihak-pihak berkuasa


tempatan seperti Majlis Perbandaran dan Pejabat Daerah
lazimnya merupakan badan-badan berkuasa dalam menentukan
kelulusan sesuatu projek pembangunan.

Dalam hal pembangunan tanah di dalam sebuah negeri, malah


Kerajaan Persekutuan pun sering tidak mempunyai sebarang kuasa
kecuali jika tanah diperlukan untuk membina lebuh raya, bangunan
kerajaan atau binaan awam yang lain. Mengikut peraturan
pembangunan tanah dataran banjir yang melibatkan saliran atau
pengawalan banjir, Kerajaan Negeri perlu meminta nasihat
daripada pihak JPS. Justeru itu, JPS akan menilai projek
tersebut dari segi keperluan saliran dan pengawalan banjir dan
kemudian menyerahkan laporannya kepada pihak Kerajaan Negeri.

Namun begitu, perlu juga dinyatakan bahawa laporan JPS itu


hanya ‘nasihat’ dan bukan peraturan yang perlu diikuti dari segi
undang-undang. Oleh sebab faedah-faedah ekonomi dan kewangan
adalah sentiasa lebih dipentingkan daripada pertimbangan-
pertimbangan saliran, nasihat JPS mungkin diketepikan. Justeru
itu, maka tidak hairanlah bahawa sesetengah projek pembangunan
masih terus berjalan walaupun spesifikasi-spesifikasi saliran dan
pengawalan banjirnya adalah tidak mencukupi.

Sebagai akibatnya, penguatkuasaan peraturan-peraturan saliran


dan pengawalan banjir adalah kurang efektif. Jikalau pun pihak
Kerajaan Negeri rela menerima dan mengikut nasihat JPS,
syarikat-syarikat pembangunan swasta juga sering tidak
mematuhi peraturan-peraturan yang ditentukan. Misalnya, mereka
tidak menutup kawasan terdedah dengan kain plastik atau
menanam semula rumput di atasnya, kurang menanam pokok di
kawasan perumahan dan tidak menyediakan longkang dan sistem
saliran yang mencukupi.

Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, telah berlaku beberapa


peristiwa buruk yang melibatkan tanah runtuh dan banjir. Salah
satu ialah keruntuhan Highland Towers di Kuala Lumpur dalam
tahun 1993 (dianggarkan 70 orang telah terkorban), tragedi tanah
runtuh Genting Highlands (20 orang telah terkorban), banjir kilat
September 1995 di Pulau Pinang dan banjir kilat di Shah Alam
dalam Disember 1995.

Kesemua peristiwa tersebut mungkin dapat dielakkan jika JPS


mempunyai kuasa undang-undang untuk memastikan peraturan-
peraturan guna tanah kawasan bukit, saliran dan pengawalan
banjir diikuti. Buat masa kini, JPS hanya merupakan sebuah badan
‘nasihat’ sahaja. Walaupun terdapat banyak implikasi politik, JPS
haruslah diberi lebih banyak kuasa undang-undang untuk mengurus
dan membuat keputusan di dalam hal-hal yang berkenaan dengan
pembangunan tanah di dataran banjir, khasnya yang berhampiran
dengan sungai.

Hal yang berkait rapat dengan tidak berkesannya penguatkuasaan


peraturan-peraturan pengawalan banjir ialah pembangunan tanah
bukit. Misalnya, di Pulau Pinang, permintaan perumahan yang tinggi
disebabkan oleh kekurangan tanah pamah. Hal ini telah
menyebabkan pemaju-pemaju perumahan mencari alternatif tanah
di kawasan berbukit. Justeru itu, banyak tanah bukit telah dan
sedang dimajukan di Pulau Pinang.

Kebanyakan projek pembangunan tidak mematuhi undang-undang


yang berkait dengan syarat-syarat pembangunannya, malah
dimajukan juga projek di tanah bercerun melebihi 20o. Misalnya,
di projek perumahan besar Paya Terubong, kerja-kerja pembinaan
dijalankan di tanah yang bercerun di antara 50o hingga 70o
(Rajah 2). Oleh sebab itu, kawasan luas ini terdedah pada hakisan
unsur-unsur cuaca dan hal ini mungkin akan menyebabkan
berlakunya tanah runtuh. Selain pembangunan di kawasan ini,
terdapat juga pembangunan di sekitar Bukit Teluk Bahang, Bukit
Tanjung Bungah dan Bukit Bendera.

Pembangunan tanah bukit yang berskala besar mungkin merupakan


satu faktor penyumbang peningkatan risiko, dan vulnerabiliti
manusia terhadap banjir.

Hal ini demikian kerana pembukaan tanah bukit untuk


pembangunan (khasnya untuk perumahan, pertanian dan rekreasi)
akan mempercepat kadar hakisan dan kadar air larian permukaan,
meningkatkan tanah runtuh dan mencetekkan dasar sungai akibat
pemendapan kelodak.

Kesemua hal tersebut akan membawa bertambahnya kekerapan


banjir kilat. Misalnya, di dalam banjir September 1995 di Pulau
Pinang, kira-kira 60 tanah runtuh telah berlaku di sekitar Bukit
Bendera.

Setinggan haram merupakan proses sosial yang telah diperkukuh


oleh kuasa-kuasa sosioekonomi dan politik yang lebih menyeluruh
(Wan Abdul Halim Othman, 1982). Penempatan di zon-zon dataran
banjir bandar yang bahaya (yang sering dibanjiri) oleh setinggan
haram turut menyumbang peningkatan risiko, pendedahan dan
vulnerabiliti manusia kepada banjir.

Kemunculan koloni-koloni setinggan haram di dataran banjir


bandar sejak tahun-tahun 1970-an akibat migrasi desa-bandar
merupakan satu tindak balas terhadap seruan Kerajaan
Persekutuan untuk meningkatkan taraf hidup penduduk luar
bandar.

Sebagai akibat meningkatnya taraf pendidikan, maka pemuda-


pemudi luar bandar kini tidaklah ingin mengikuti langkah ibubapa
mereka untuk menjadi petani, nelayan, buruh kasar atau
penternak. Malah mereka langsung tidak mahu hidup di kampung.

Setiap tahun berpuluh-puluh ribu pemuda-pemudi desa berhijrah


ke bandar-bandar besar untuk mencari kemewahan. Malangnya,
bukan semua daripada mereka berjaya. Sebenarnya, segolongan
besar terpaksa memilih perumahan murah yang biasanya terdapat
di koloni-koloni setinggan.

Di Kuala Lumpur, kawasan-kawasan setinggan terdapat di Kampung


Baru, Brickfields, Kampung Haji Hukum Abdullah, Jalan Kelang
Lama dan Kampung Pantai Dalam, iaitu kesemuanya terletak di tepi
Sungai Kelang. Justeru itu, koloni-koloni setinggan tersebut
sering dilanda banjir dan merupakan kawasan-kawasan bahaya.

Di Pulau Pinang, kawasan setinggan juga di dapati di sekitar Sungai


Air Itam (di sekitar stadium) dan Sungai Pinang. Kawasan-kawasan
tersebut juga mengalami kekerapan banjir kilat yang tinggi. Baru-
baru ini satu fenomena baru telah muncul, iaitu yang berkaitan
dengan bertambahnya koloni-koloni setinggan pendatang asing
Indonesia di sekitar Kuala Lumpur dan bandar besar lain.

Di Pekan pula, terdapat satu koloni setinggan yang terdiri


daripada orang pelarian Kampuchea di Pulau Pekan Baru, sebuah
penempatan yang dibina di dalam air cetek beting selatan Sungai
Pahang.

Kesimpulan
Rencana ini menunjukkan bahawa risiko dan terdedahnya manusia
pada bahaya banjir kilat di merata tempat di Malaysia, khasnya di
kawasan bandar-bandar besar yang mempunyai kadar binaan
padat, telah meningkat dengan besarnya dalam tahun-tahun
kebelakangan ini.

Sebagai akibat meningkatnya tahap kesedaran awam melalui


pendidikan dan sebaran maklumat yang lebih baik, orang awam kini
memandang banjir kilat sebagai peristiwa yang bukannya berasal
daripada alam semula jadi.

Mereka semakin sedar bahawa sebab akibat banjir, khasnya di


kawasan bandar raya, adalah lebih sering disebabkan oleh
kesilapan manusia dan pengurusan yang tidak cekap daripada
sebab-sebab semula jadi. Justeru itu, tuntutan ahli-ahli politik
bahawa banjir kilat ialah ‘tindakan Tuhan’ memang tidak dapat
diterima.

Rakyat memerlukan akauntabiliti daripada pemimpin dan pihak


yang bertanggungjawab ke atas pengawalan banjir. Banjir kilat
bukannya ‘tindakan Tuhan’ ataupun ‘tindakan kuasa-kuasa semula
jadi’. Ia sebenarnya hasil interaksi antara sistem peristiwa semula
jadi dengan sistem gunaan manusia.

Interaksi begini boleh menghasilkan kesan negatif seperti banjir


ataupun hasil positif seperti tanah subur, iaitu satu sumber
semula jadi. Namun begitu, pilihan manusia untuk mendiami dan
membangunkan dataran banjir dengan pesat telah mengakibatkan
banyak kesan negatif, terutama meningkatnya kejadian banjir
kilat. Masalah ini kian meruncing kerana manusia terus
membangunkan dataran banjir, memusnahkan hutan dan memotong
cerun bukit untuk pembangunan.

Manusia patut mempelajari cara-cara memaksimumkan sumber


semula jadi dan meminimumkan bahaya dan bencana semula jadi.
Akan tetapi, manusia sering tidak belajar dengan cepat tetapi
lazim mengulangikan kesilapan-kesilapan dahulu.

Krisis alam sekitar yang dialami oleh kebanyakan negara maju di


barat (disebabkan oleh eksploitasi revolusi perindustrian) telah
terbukti oleh kejadian bencana alam yang semakin teruk. Namun
begitu, kebanyakan negara sedang membangun hanya memilih
untuk melihat faedah-faedah positif pembangunan industri dan
ekonomi yang dipamerkan oleh negara-negara maju tetapi menjadi
buta pada kesan-kesan negatifnya. Beginilah pandangan umum
kebanyakan negara membangun yang sedang mengejar dunia maju
supaya taraf pembangunan yang setanding tercapai.

Malaysia tidaklah harus memilih langkah pembangunan sebegini.


Strategi pembangunannya haruslah diseimbangkan oleh
perlindungan kepada alam sekitar dan pemeliharaan sumber
alamnya. Dalam hal itu, Malaysia perlu mencipta suatu dasar
pembangunan yang menintikberatkan pembangunan lestari.

Namun begitu, di bawah suasana ekonomi yang baik dalam tahun-


tahun kebelakangan ini, semua lapisan masyarakat sibuk mengejar
kemewahan. Malah pihak kerajaan juga sibuk mengejar wawasan
2020. Justeru itu, soal banjir menjadi kurang penting di sebalik
soal ekonomi, kemewahan dan pembangunan yang menujui arah
pencapaian matlamat negara industri baru (NIC). Bagi sebahagian
besar rakyat dari segenap lapisan hidup, soal banjir memang
kurang penting dibandingkan dengan soal keuntungan kewangan
yang mungkin diperoleh, kecuali mereka yang terpaksa menetap di
dataran banjir yang berbahaya.

Bibliografi

Chan, N.W. (1995). A Contextual Analysis


of Flood Hazard Management in
Peninsular Malaysia. Tesis Ph.D.,
Middlesex University (UK).

Chan, N.W. (1996). Vulnerability of Urban


Areas to Floods. The Star, 26 Jan. 1996,
m.s. 4-6.

Chan, N. W. (1996). Floods: Who's to Blame?


The Star, 24 Jan. 1996, m.s. 1, 7-8.

Chan, N.W. and Goh, B.L. (1995). Slip Sliding


Away, The Sun Megazine, 21 Nov. 1995,
m.s. 4-9.

International Law Book Services (1991).


Malaysia Kita, Panduan dan Rujukan untuk
Peperiksaan Am Kerajaan. Kuala Lumpur:
International Law Book Services.
Jamaluddin M.J. (1985). Flash Flood Problems
and Human Responses to the Flash Flood
Hazard in Kuala Lumpur Area. Akademika
26 (Januari), m.s. 45-62.

Karim, G. (ed.)(1990). Information Malaysia


1990-91 Yearbook. Kuala Lumpur: Berita
Publisihing.

Oii, J.B. (1979). Semenanjung Malaysia.


Kuala Lumpur: Longmans.

Wan Abdul Halim Othman (1982). Squatter


Communities in the Federal Territory.
Siri Monograf No. 6, Pusat Penyelidikan
Dasar, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Anda mungkin juga menyukai