Anda di halaman 1dari 6

KHAZANAH HUTAN JANGAN DIPUNAH

(Sempena Hari Hutan Sedunia, 21 Mac dan Hari Air Sedunia, 22 Mac)

Oleh Melati Mohd Ariff

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Pada 2005, terdapat hampir empat bilion hektar
hutan di seluruh dunia dan penyahhutanan terutamanya untuk pertanian berlaku secara
berleluasa pada kadar kira-kira 13 juta hektar setahun. Hutan asas (ditakrif sebagai
hutan dengan spesies asli tanpa petunjuk nyata kegiatan manusia serta gangguan
besar ke atas proses ekologi) merupakan 36 peratus daripada jumlah hutan tersebut.
Sebanyak enam juta hektar daripada hutan asas ini "hilang" setiap tahun bukan sahaja
akibat penyahhutanan antaranya untuk tujuan pembalakan tetapi juga akibat sikap
rakus manusia atas nama kemajuan dan pembangunan. Kemusnahan hutan tidak
terhenti di situ sahaja. Purata, 104 juta hektar hutan terjejas setiap tahun akibat
kebakaran hutan, serangga atau bencana iklim seperti kemarau dan banjir. Angka-
angka tersebut merupakan sebahagian daripada hasil dapatan Penilaian Sumber Hutan
Global 2005 oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-
bangsa Bersatu (PBB).

HUTAN BUKAN SETAKAT POKOK

Hutan merupakan salah satu ekosistem yang tidak ternilai harganya di dunia kerana ia
mengandungi lebih 60 peratus kepelbagaian hayat dunia. Kepentingan hutan meliputi
fungsi ekologi dari segi perlindungan tanah dan lembangan juga ekonomi
memandangkan begitu banyak hasil hutan yang boleh dituai di samping menjadi
"rumah" bagi kebanyakan puak Orang Asli di seluruh dunia. Hutan juga sering dirujuk
sebagai "Peparu Bumi" kerana tanaman hijau menyerap karbon dioksida sewaktu
proses fotosintesis dan melepaskan oksigen ke atmosfera. Di sebalik kepentingannya
yang luar biasa, kegiatan penyahhutanan secara tidak langsung melenyapkan
khazanah semula jadi ini dari permukaan Bumi serta meningkatkan suhu bumi. Menurut
Pergerakan Hutan Hujan Sedunia (WRM), rangkaian kumpulan rakyat antarabangsa
Utara dan Selatan, berjuta-juta hektar hutan tropika lenyap setiap tahun. Di antara 1960
dan 1990 adalah dianggarkan lebih dari 20 peratus hutan tersebut lenyap dari muka
bumi di mana 33 peratus daripadanya di Asia dan 18 peratus di Afrika dan Amerika
Latin.

KAITAN ANTARA HUTAN DAN AIR

Pencinta alam sering mengaitkan bekalan air dengan pemuliharaan hutan. Seorang
daripadanya ialah Prof Dr Chan Ngai Weng yang turut menyifatkan hutan terutamanya
hutan bukit dan tanah tinggi serta persekitaran terdekatnya sebagai sistem semula jadi
yang sensitif. Apabila diganggu, jelas beliau, impaknya bukan sahaja mendatangkan
bencana kepada komponen sistem tersebut malah kepada manusia. "Apabila hutan
turut menjadi kawasan tadahan air, faedahnya lebih banyak selain daripada membilang
berapa banyak batang balak yang boleh ditebang daripada hutan tersebut. "Faedah-
faedah tersebut termasuk fungsi ekologi, kawalan hakisan, kawalan banjir dan kawalan
kepelbagaian hayat," kata Dr Chan yang juga Presiden Water Watch Penang (WWP).
Beliau memberi amaran bahawa sejarah dan penulisan saintifik menunjukkan
pembangunan hutan bukit bukan sahaja boleh memusnahkan persekitarannya yang
berhampiran tetapi juga bahagian bawah bukit. Paling membimbangkan, katanya,
kemusnahan yang berlaku tidak boleh diperbaiki. "Beberapa bencana akibat
penyahhutanan seperti Highland Towers, tanah runtuh berhampiran Genting Highland
dan Pos Dipang (Perak)," tambahnya.

HUTAN TANAH TINGGI


Menurut Dr Chan, penyahhutanan hutan tanah tinggi akan membinasakan alam semula
jadi dan antara yang paling utama ialah kemusnahan "hutan awan" (cloud forest) yang
boleh mengakibatkan kehilangan sumber air yang berharga. Katanya, bagi kebanyakan
penyelidik air dan pakar perhutanan, salah satu fungsi utama hutan bukit adalah
kemampuan menyerap lembapan di udara atau apa yang dipanggil sebagai
"pemendakan mendatar" (horizontal precipitation). Istilah ini merujuk kepada lembapan
yang memasuki ekosistem hutan menerusi pemeluwapan (condensation) wap
atmosfera ke atas daun, rumput dan permukaan kawasan tumbuhan yang lain.
"Bergantung kepada lokasi, hutan awan ini mungkin lazimnya boleh ditemui di tanah-
tanah tinggi seperti Cameron Highlands, Fraser's Hill, Genting Highlands dan juga
tanah tinggi di Malaysia Timur. "Hutan-hutan tanah tinggi ini mengalami iklim mikro
(microclimate) yang unik di mana suhu biasanya di paras rendah sementara
kelembapan pula begitu tinggi. Akibatnya, sering ada lapisan kabus atau awan meliputi
hutan-hutan ini," kata Dr Chan yang juga profesor Jabatan Ilmu Alam, Universiti Sains
Malaysia (USM), Pulau Pinang. Menurut beliau, kajian ke atas hutan awan di kawasan
tropika yang lembap menunjukkan hutan tersebut sering dilitupi awan atau kabus pada
sepanjang masa, dan di samping menyerap air hujan, hutan berkenaan juga menerima
lembapan tambahan dalam bentuk pemeluwapan titisan air di udara. "Kelembapan
yang tinggi serta suhu yang rendah merupakan syarat membantu penukaran wap air
kepada titisan air. Penyahhutanan akan memusnahkan terus kemampuan penyerapan
hutan awan ini," jelas Dr Chan.

SUMBER AIR YANG SEMAKIN BERKURANGAN

Membinasakan hutan bukit boleh menyebabkan kehilangan sumber air yang banyak.
Tanpa pokok, sebahagian besar lembapan di udara akan kekal di tempatnya sehingga
proses hujan berlaku. Yang lebih penting, kata Dr Chan, ialah hakikat tanpa kawasan
hutan yang tebal, apa sahaja lembapan yang ada di atmosfera akan terdedah kepada
sistem angin. "Angin akan membawa lembapan itu ke tempat lain, sebagai contoh
mengembalikannya ke lautan tanpa digunakan," tambahnya. Kawasan hutan yang
mengalami penyahhutanan juga, katanya, tidak akan dapat menampung dan
mengekalkan lembapan, sama ada di udara dan di tanah. Penyahhutanan akan
mengeringkan tanah yang terdedah menerusi proses penyejatan (evaporation) dan
mengurangkan sumber air. "Apabila keseluruhan kitaran hidrologi semula jadi
terganggu, ini akan mencetuskan bahaya alam sekitar dan bencana seperti tanah
runtuh, banjir di bahagian hilir, kehilangan fungsi kawasan tadahan air menyebabkan
empangan kekeringan dan air tercemar akibat kadar endapan yang tinggi. "Apa yang
saya sebut tadi semakin kerap berlaku di Malaysia dalam dekad-dekad kebelakangan
ini apabila semakin banyak hutan bukit dibangunkan secara mendadak dan
membahayakan. Penyahhutanan yang berleluasa akan mengurangkan asas sumber
air. Untuk itu, perlindungan hutan bukit iaitu sumber utama air kita merupakan langkah
awal ke arah pembangunan sumber air yang lestari," Dr Chan memberi peringatan.

APABILA TANAH TINGGI MENJADI TANAH RENDAH

Melindungi hutan bukit bukan sahaja kebimbangan Dr Chan tetapi juga R.


Ramakrishnan yang dilahir dan dibesarkan di Cameron Highlands. Beliau juga
merupakan Presiden REACH, singkatan untuk "Regional Environment Awareness
Cameron Highlands", pertubuhan berasaskan kemasyarakatan yang ditubuhkan pada
2001 oleh sekumpulan penduduk Cameron Highlands. Dalam wawancara dengan
Bernama baru-baru ini, beliau berkongsi kebimbangannya mengenai "kegiatan
menebang hutan yang berleluasa di Cameron Highlands serta iklim tanah tinggi
tersebut yang semakin panas." "Semasa saya kecil dan membesar di Cameron
Highlands, tiada siapa boleh keluar rumah pada waktu pagi tanpa memakai jeket tebal.
Seluruh Cameron Highlands pada masa itu diliputi kabus. Sekarang jarang sekali ada
kabus,"kata Ramakrishnan mengenai zaman kanak-kanaknya. Dalam masa yang
sama, kata beliau, meskipun masih ada burung berkicauan di Cameron Highlands,
sesetengah daripada spesies burung tersebut "menyanyikan lagu yang berbeza."
"Penggemar burung di Cameron Highlands ada melihat kehadiran spesies burung dari
tanah rendah seperti rhino hornbill, black eagle, mountain bulbul, Asian flycatcher dan
burung mynah. "Pada masa yang sama, sesetengah spesies burung tempatan seperti
Malayan whistling thrush dan silver-eared mesia semakin pupus. Burung silver-eared
mesia ini makan buah-buahan dari pokok yang biasanya tumbuh di tepi sungai.
Kebanyakan pokok ini pun sudah ditebang," jelas Ramakrishnan. Menurut beliau,
penghijrahan burung-burung dari tanah rendah ke Cameron Highlands merupakan
petanda jelas suhu di tanah tinggi itu semakin panas.

SELAMATKAN BELUM-TEMENGGOR

Pembalakan, sama ada secara sah atau tidak merupakan salah satu sebab
penyahhutanan selain kegiatan pertanian, ternakan lembu dan pembinaan empangan
hidroelektrik. Kegiatan ini tidak disenangi pencinta-pencinta alam sekitar dan pejuang-
pejuang pemuliharaan. Pembalakan turut mengancam kewujudan habitat hutan, sama
ada spesies haiwan atau tumbuhan yang akan akhirnya menyebabkan kepupusan.
Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) melancarkan kempen besar-besaran tahun
lalu untuk menyelamatkan hutan simpan Belum-Temenggor daripada kerakusan
kegiatan pembalakan. Hutan simpan seluas 300,000 hektar ini dilaporkan berusia lebih
130 juta tahun. Di samping menjadi kawasan tadahan hujan yang utama, ia juga
merupakan kediaman untuk pelbagai spesies tumbuhan dan pokok yang melindungi
lebih 270 spesies burung dan lebih 100 spesies mamalia termasuk harimau Malaya dan
badak sumbu Sumatra yang semakin pupus. "Tak ramai yang sedar wujudnya bilangan
burung enggang yang banyak di hutan Belum-Temenggor yang tidak dapat ditemui di
mana-mana bahagian dunia. Di Malaysia ada 10 spesies burung enggang dan hanya di
hutan Belum-Temenggor ada kesemua 10 spesies ini. Hanya di hutan itu juga terdapat
kawanan burung enggang, sehingga ribuan ekor. "Burung-burung enggang ini ibarat
tukang kebun hutan tersebut dan tanpa mereka hutan ini akan terjejas lama kelamaan,"
kata Pengarah Eksekutif MNS, Dr Loh Chi Leong. Mengenai kempen untuk
menyelamatkan hutan Belum-Temenggor, beliau berkata meskipun pihaknya menerima
banyak sokongan tetapi "tak ada perubahan yang berlaku seperti yang kami harapkan."
MNS, katanya akan terus mendapatkan sokongan untuk kempen tersebut yang
disifatkannya sebuah hutan paling istimewa dan perlu diselamatkan.
KEMPEN KESEDARAN

Seorang lagi pencinta alam sekitar, Datuk Dr Salleh Mohd Nor berpendapat masyarakat
umum kurang prihatin terhadap nasib hutan di Negara ini. Beliau berkata kempen untuk
menyemai perasaan sayangkan hutan perlu diadakan seperti kempen anti-merokok dan
cintai sungai yang pernah dibuat oleh pihak kerajaan. "Kebanyakan kempen yang
dibuat sebelum ini hanya untuk jangka masa yang pendek. Masyarakat perlu dididik
dan diberi peringatan dari semasa ke semasa. Pertubuhan Bukan Kerajaan mempunyai
sumber kewangan yang terhad untuk melakukan usaha ini. "Untuk kempen mengenai
hutan, institusi kerajaan seperti Jabatan Perhutanan perlu berada di barisan depan,"
kata Salleh yang juga bekas Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia
(FRIM) dari 1985 hingga 1995. Memetik peribahasa purba, Salleh berkata "hutan ini
bukan diwarisi daripada nenek-moyang kita tetapi sebenarnya dipinjam daripada anak
dan cucu kita." "Apabila kita meminjam sesuatu, kita mesti jaga dan memulangkannya
balik dalam keadaan yang sama atau keadaan yang lebih baik kepada anak cucu kita.
Semua hasil sumber semula jadi ini dipinjamkan kepada kita oleh generasi masa
depan. Apa yang kita hendak tinggalkan untuk mereka? " tanya Salleh.

BERNAMA

Anda mungkin juga menyukai