Anda di halaman 1dari 3

1.

Syukur kepada Allah SWT, atas limpah rahmat dan izin-Nya jua kita dapat bersama-
sama dalam Majlis Penutupan Program Jejak Maklumat bagi sesi 2011. Saya
dimaklumkan bahawa program yang diadakan pada hari ini merupakan kali yang
keempat berjaya direalisasikan buat empat tahun berturut-turut. Sekalung tahniah
saya ucapkan kepada pihak pengurusan PKG Rompin dan barisan Guru
Perpustakaan dan Media sekolah-sekolah kawasan PKG Rompin atas
penggemblengan tenaga dan minda, serta komitmen yang tidak berbelah bahagi
telah berjaya mengekalkan kelangsungan program ini dengan menampilkan aktiviti-
aktiviti yang berbeza pada setiap tahun. Bukan suatu perkara yang mudah bagi
mengekalkan sesuatu program yang bercorak maklumat yang dipersembahkan
dalam bentuk permainan, lebih-lebih lagi generasi pelajar pada masa kini banyak
terdedah kepada ledakan teknologi maklumat dan komunikasi yang bukan sahaja
mampu mempersembahkan bahan-bahan yang berbentuk ilmu pengetahuan, malah
medium ini juga telah banyak mengambil alih peranan media tradisi seperti
televisyen, radio, dan bahan-bahan bercetak. Kita dapat melihat bagaimana generasi
kini dengan mudah dapat mengakses maklumat melalui laman-laman web yang
jutaan jumlahnya yang meliputi laman sosial seperti Facebook, Friendster, dan
Twitter. Mereka dapat menatap akhbar dan bermain “game” secara on-line. Pendek
kata, segala-galanya terletak di hujung jari, dan sehingga satu peringkat generasi
kini menjadi rambang mata untuk membuat pilihan. Namun begitu, kita tidak boleh
meminggirkan program yang bercorak komunikasi secara langsung seperti program
yang diadakan sebentar tadi. Hal ini kerana manusia merupakan makhluk yang perlu
bersosial. Kita saling memerlukan antara satu sama lain, dan kita juga telah dicipta
oleh Allah SWT dengan akal dan perasaan. Perhubungan yang berperantaraan
teknologi tidak sesekali dapat disamakan dengan perhubungan secara bersemuka.
Auranya amat berbeza. Amat bertepatan sekali langkah yang diambil oleh pihak
pengurusan PKG Rompin melontarkan idea program ini sebagai satu daripada
program tahunan mereka bagi mempererat hubungan warga PKG Rompin yang
terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama. Hal ini selaras dengan gagasan
kerajaan kita yang memperkenalkan konsep 1Malaysia yang mengharapkan
wujudnya rasa kebersamaan dalam sanubari kita untuk memikul tanggungjawab
melonjakkan negara kita ke arah kecemerlangan.
Para hadirin yang dihormati,

2. Pelajar peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah pada umumnya berada
pada tahap perkembangan fizikal, emosi, dan mental yang aktif dan mereka rata-rata
suka akan sesuatu yang menyeronokkan dan mencabar. Aktiviti-aktiviti yang hanya
melibatkan proses penglihatan dan pendengaran biasanya akan membosankan
mereka dan tidak dapat mengekalkan minat mereka untuk terus belajar. Corak
pembelajaran yang bersifat tradisional ini akan melambatkan proses penguasaan
kemahiran para pelajar dan menghalang perkembangan fizikal dan minda mereka
kerana mereka belajar dalam situasi yang terkawal. Oleh itu, aktiviti pembelajaran
yang menarik harus dirancangkan agar pembelajaran aspek pencarian maklumat
dapat dilakukan dengan lebih berkesan. Teknik pembelajaran yang menarik seperti
Program Jejak Maklumat yang melibatkan aktiviti secara kumpulan boleh diaplikasi
untuk pembelajaran kemahiran membaca di dalam kelas. Sebagai contoh, melalui
permainan “puzzle” dan pembinaan peta minda yang diselitkan dalam program ini
akan dapat menambah penguasaan kosa kata dan percambahan idea dalam
kalangan pelajar. Penguasaan kemahiran ini secara tidak langsung akan melatih
mereka dalam pencarian maklumat dan dapat meningkatkan penguasaan bahasa
mereka, serta terbentuknya masyarakat yang memiliki pemikiran yang tajam kerana
telah terlatih dengan budaya kerja yang sistematik. Hal ini demikian kerana kesemua
aktiviti yang dijalankan dalam program ini menggabungkan beberapa aspek
kemahiran seperti mendengar, bertutur, membaca, mencari, memadankan, menulis,
serta pergerakan fizikal akan memyebabkan seluruh perhatian pelajar tertumpu
kepada aktiviti tersebut dan mereka akan berasa seronok untuk cuba menyelesaikan
soalan-soalan yang dikemukakan. Tambahan lagi, dalam program ini, aktiviti
permainan yang ditampilkan adalah relevan dengan tahap umur, kecenderungan
mereka , dan tidak meminggirkan aspek pembentukan sahsiah. Tidak dapat
dinafikan, pada waktu ini, mereka berada dalam proses tumbesaran, perkembangan,
perkembangan mental, emosi, dan sosial. Permainan yang bercorak kolaborasi yang
diguna pakai dalam Program Jejak Maklumat akan dapat membantu perkembangan
personaliti pelajar dengan penerapan sikap sabar, toleransi, kerjasama, berdisiplin,
dan sebagainya semasa bermain. Hal ini selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan
Kebangsaan yang mementingkan penggabungan unsur-unsur jasmani, emosi,
rohani, intelek, dan sosial dalam usaha melahirkan generasi yang berketerampilan ,
kreatif, dan inovatif.

Para hadirin yang dimuliakan.

3. Tegasnya, Program Jejak Maklumat adalah penting untuk memperkukuh kebolehan


para pelajar dalam pencarian maklumat untuk memperkaya pengetahuan dan
memperkukuh kemahiran berbahasa mereka. Justeru, harapan saya kepada pihak
pengurusan PKG Rompin dan barisan Guru Perpustakaan dan Media kawasan PKG
Rompin agar terus memperkasa program ini dari semasa ke semasa dengan
mempersembahkan pembaharuan dari segi lokasi, aktiviti, anugerah, dan kualiti
program ini agar kekal lestari dengan perkembangan semasa dan menjadi etos yang
berkekalan kepada PKG Rompin tanpa mampu diganggu gugat oleh pihak lain
dalam usaha kita menjadikan PKG Rompin sebagai salah satu PKG yang terbaik di
negara ini dengan penampilan produk-produk yang bercorak bestari yang
berkeupayaan mengeluarkan warganya daripada kepompong sikap rendah diri yang
tidak bertempat dan lahirnya generasi yang memiliki kekuatan pengetahuan dan
minda yang berstatus glokal. Akhir sekali, dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim,
saya menyempurnakan Majlis Penutupan Program Jejak Maklumat Sesi 2011
dengan rasminya. Sekian, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima
kasih.

Anda mungkin juga menyukai