Anda di halaman 1dari 4

2.

0 MAKSUD PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN DARIPADA sssiPERSPEKTIF KONSTRUKTIVISME


Konstruktivisme adalah satu fahaman bahawa murid membina sendiri pengetahuan atau konsep secara aktif berdasarkan pengetahuan dan pengalaman sedia ada. Dalam proses ini, murid akan menyesuaikan pengetahuan yang diterima dengan pengetahuan sedia ada untuk membina pengetahuan baru. Konstruktivisme merupakan teori yang menganggap bahawa pengetahuan tidak boleh wujud di luar minda pelajar tetapi dibina dalam minda berdasarkan pengalaman sebenar (Poh Swee Hiang, 1997). Teori konstruktivisme menekankan peranan individu, kepentingan membina makna dan peranan aktif murid. Pembelajaran dari perspektif konstruktivisme dilihat sebagai satu proses dimana murid membina makna secara aktif daripada pengalaman yang dilaluinya dan bersangkutan dengan pengetahuan sedia ada serta dalam konteks sosial (Zurida Ismail, Norhaidah Syed Idros, Mohd. Ali Samsudin, 2009). Murid tidak boleh diumpamakan seperti bekas kosong yang perlu diisi dengan ilmu pengetahuan. Sebaliknya murid kaya dengan pengalaman, pengetahuan dan kepercayaan tersendiri tentang fenomena yang berlaku dalam alam ini. Pengalaman, pengetahuan dan kepercayaan ini wujud dalam struktur kognitif mereka dan menjadi asas kepada pembinaan makna dan pengetahuan baru. Pengetahuan awal ini biasanya dibentuk melalui pengalaman, berbentuk intuitif dan menjadi penapis kepada pembelajaran seterusnya (Salvin, R.E, 2005). Maksud pembelajaran dari perspektif ini ialah ia menggalakkan murid bertanya dan berdialog dengan murid dan guru kerana ia merupakan pembelajaran secara dua hala yang memerlukan komunikasi berlaku semasa aktiviti pembelajaran. Di samping itu, maksud pembelajaran dari perspektif konstruktivisme ialah proses mendapatkan ilmu pengetahuan, dan proses ini adalah kompleks dan aktif hasil interaksi proses-proses kognitif. Proses ini juga melibatkan interaksi aktif antara guru dengan murid. Murid pula akan cuba membina makna daripada pembelajaran yang berlaku dengan menghubungkaitkannya dengan pengetahuan sedia ada dan

pengalaman lampau. Selain itu, menurut Moshar (2000), pembelajaran dalam kumpulan atau pembelajaran kooperatif dapat merangsang aktiviti kognitif pada aras yang lebih tinggi dan sekaligus memberi peluang bagi penstrukturan skema kognitif. Menurut perspektif konstruktivisme, pembelajaran adalah satu proses yang aktif dimana murid mengguna input sensori untuk membinanya. Murid belajar cara belajar semasa belajar (Ervin, 2003). Ia meliputi membina makna dan membina sistem makna. Menurut Mok Soon Sang (2008), maksud pembelajaran daripada perspektif konstruktivisme adalah sama dengan pendapat Bruner (1999) yang menyatakan bahawa pembelajaran konstruktivisme berdasarkan penglibatan aktif murid dalam penyelesaian masalah dan pemikiran kritikal dalam aktiviti pembelajaran. Murid membina pengetahuan melalui pengalaman sendiri dengan menguji idea-idea, segala informasi dan mengaplikasikannya kepada situasi baru. Perkara ini memang jelas kerana ahli psikologi kognitif yang paling terkemuka, Jean Piaget, melihat kanak-kanak sebagai murid aktif yang berlagak seperti saintis kecil. Mereka membina teori sendiri tentang bagaimana dunia berfungsi dan mencari jalan untuk mengesahkan hati nurani mereka. Lev Vygotsky, seorang ahli psikologi Rusia percaya bahawa murid yang bijak adalah individu yang berhadapan dengan benda baru dan menggunakan pengalaman serta mereka bersungguh-sungguh untuk menghuraikan kelainan berdasarkan pengalamanpengalaman tersebut. (Mohd Nor Izwan Sulaiman, 2008). Ini menunjukkan apabila murid berhadapan dengan bahan atau benda baru semasa proses pembelajaran maka mereka bersemangat untuk menjelaskan tentang benda tersebut dengan mengaitkan pengetahuan sedia ada. Maka pembelajaran dari perspektif konstruktivisme perlu menggunakan bahan maujud untuk mengajar murid. Maksud pembelajaran daripada perspektif konstruktivisme ialah, pembelajaran adalah hasil daripada usaha murid itu sendiri dan guru tidak boleh belajar untuk murid. Ini bermaksud murid perlu berdikari dalam mendapatkan maklumat kerana teori ini menekankan pembelajaran berpusatkan murid.

Menurut Rashid (2006), pembelajaran secara konstruktivis juga menggalakkan proses inkuiri murid melalui kajian dan eksperimen. Proses inkuiri merangkumi segala proses soal selidik untuk mendapatkan jawapan atau kesimpulan daripada soalan, atau daripada masalah yang dikemukakan. Aktiviti ini memerlukan pelajar mengenal pasti soalan bermasalah, membentuk hipotesis, merancang aktiviti kajian, menjalankan kajian atau siasatan dan seterusnya mendapatkan jawapan dan membuat rumusan. Proses pembelajaran secara inkuiri amat berguna bagi mendapatkan maklumat dan pengetahuan baru dalam pelbagai bidang. Secara keseluruhan, maksud pembelajaran daripada perpektif konstruktivisme ialah, dalam proses pembelajaran, maklumat baru akan diproses dan diserapkan untuk dijadikan sebahagian struktur kognitif dalam minda murid. Pembelajaran bermakna akan berlaku apabila maklumat baru dapat dikaitkan dengan struktur kognitif sedia ada untuk membina satu kerangka baru ilmu pengetahuan yang lebih luas. Maksud pengajaran dari perspektif konstruktivisme ialah melaksanakan pengajaran berpusatkan pelajar. Sebagai contoh, melibatkan murid dalam aktiviti penyiasatan hands-on, minds-on, eksperimen dan melalui aktiviti inkuiri yang memerlukan murid mencari penyelesaian kepada masalah (Poh Swee Hiang, 1997). Di samping itu, maksud pengajaran dari perspektif ini ialah,menggalakkan soalan atau idea yang dimulakan oleh murid dan menggunakannya sebagai panduan merancang pengajaran. Sebagai contoh, seorang guru akan menggalakkan muridnya untuk kemukakan soalan dan guru itu akan menggunakan soalan tersebut untuk dijelaskan kepada murid-murid. Selain itu, maksud pengajaran daripada perspektif konstruktivisme ialah menggalakkan murid bertanya dan berdialog antara murid dan guru. Dengan kata lain, interaksi dua hala berlaku semasa pengajaran disampaikan oleh guru dan ini akan memastikan bahawa murid mengikuti pengajaran guru tersebut serta mereka mampu memahami (Mok Soon Sang, 2008 Maksud pengajaran daripada perspektif konstruktivisme ialah, seorang guru tidak menyampaikan maklumat secara terus kepada murid, tetapi guru menggalakkan dan

membimbing murid untuk mengaitkan pengetahuan sedia ada murid dengan pengetahuan baru yang ingin disampaikan. Pengetahuan yang dipunyai oleh murid adalah hasil daripada aktiviti yang dilakukan oleh murid tersebut dan bukan pengajaran yang diterima secara pasif. Ini bermaksud pengajaran tidak bersifat pasif tetapi murid akan melibatkan diri secara aktif dalam pngajaran. Menurut Damezs (2011), guru pula berperanan sebagai fasilitator yang membantu murid membina pengetahuan dan menyelesaikan masalah. Guru juga sebagai pereka bentuk bahan pengajaran yang menyediakan peluang kepada murid untuk membina pengetahuan baru. Guru akan mengenal pasti pengetahuan sedia ada murid dan merancang kaedah pengajarannya dengan sifat asas pengetahuan tersebut. Selain itu, maksud pengajaran daripada perspektif konstruktivisme ialah seorang guru perlu menggalakkan murid-muridnya mengemukakan hipotesis. Kita sedia maklum bahawa maksud hipotesis adalah ramalan yang dibuat sebelum menjalankan sesuatu eksperimen. Menurut Poh Swee Hiang (1997), hipotesis mungkin betul dan salah selepas kita mendapatkan keputusan eksperimen tersebut. Maka, apabila murid-murid mengemukakan hipotesis mereka pada hakikatnya sedang mengaitkan pengetahuan sedia ada atau pengalaman lampau mereka untuk membuat hipotesis sesuatu eksperimen untuk meramalkan keputusan eksperimen itu. Tuntasnya, pengajaran dan pembelajaran adalah satu proses yang amat penting bagi seorang guru dan murid. Pengajaran dan pembelajaran konstruktivisme perlu wujud dalam semua bilik darjah kerana teori ini mampu melahirkan murid yang berdikari, yakin, suka meneroka dan mereka akan lebih faham serta seronok semasa proses pengajaran dan pembelajaran disampaikan oleh guru.

Anda mungkin juga menyukai