Anda di halaman 1dari 8

ohmedianetwork

Social Media, Web & Advertising Company - www.ohmedia.my


1. Boleh tuan ceritakan sedikit latar belakang tentang diri, dan juga senarai blog yang sedang dibangunkan? Assalamualaikum wbht kepada pihak Majalah niaga dan kepada semua pembaca setia majalah hebat ini. Terlebih dahulu, terima kasih kepada saudara Hasbul Aqill kerana

ingin menemuramah saya untuk keluaran Majalah Niaga kali ini. InsyaAllah apa yang saya akan kongsikan ini, adalah sedikit sebanyak kisah liku-liku hidup saya dari awal pembabitan saya di dalam dunia blog sehinggalah kini. Sedikit info mengenai saya, saya dilahirkan di Johor dan dibesarkan di Negeri Sembilan. Selepas tamat zaman persekolahan, saya melanjutkan pelajaran ke Limkokwing University di dalam bidang Creative Multimedia selama lebih kurang 3 tahun. Selepas bergelar graduan dengan menerima Anugerah Pelajar Terbaik dari Limkokwing University dan Hetlett Packard (HP), saya memulakan karier sebagai seorang Designer di sebuah syarikat milik Limkokwing University sendiri dan mendapat satu pengalaman dan pengajaran yang amat intensif sekali terutamanya dari strategi perniagaan hinggalah ke aspek marketing secara tidak langsung. Namun ianya tidak kekal apabila saya membuat keputusan untuk tidak lagi terus terikat sebagai "kuli" dan ingin memilih untuk mempunyai kebebasan waktu saya sendiri biarpun saya mempunyai kelulusan. Saya ingin jadi BOSS pada diri saya sendiri! Saya mahu saya sendiri yang tentukan apa yang patut saya buat untuk berjaya bukannya orang lain. Saya mahu saya sendiri tentukan perjalanan hidup saya, waktu dan soal rezeki, insyaAllah ada di mana-mana. Bagi saya, saya tak perlu meneruskan satu karier yang sememangnya sudah bagus sedangkan hati saya tidak gembira dengan apa yang saya lakukan. Sehingga hari ini seawal usia 23 Tahun, saya adalah merupakan Ketua Pegawai Eksekutif di Oh Media Network yang berpangkalan di dalam pejabat serba hijau di Desa Pandan, Kuala Lumpur. Sebuah syarikat pengiklanan atas talian yang menjadi fenomena dan ikutan di dalam dunia internet pada ketika ini. Mempunyai 5 orang staff dan lebih 20 orang krew tetap (marketing crew) yang sedia untuk bekerjasama bersama kami untuk apa jua event yang kami anjurkan. Sehingga hari ini, kami boleh membariskan blog-blog yang berada di bawah pengaruh Oh! Media seperti;

www.ohartis.com - Kepada peminat dunia hiburan, laman blog ini mungkin tidak perlu diperkenalkan lagi. Kemegahan web ini, adakalanya melebihi nama utama syarikat kami kerana ramai yang lebih mengenali Oh! Artis berbanding nama Oh! Media itu sendiri. Oh! Artis merupakan blog dengan niche hiburan yang amat popular medium penyebaran berita terkini tentang selebriti tempatan dan luar negara. Dengan rekod lebih lebih 1 juta pembaca setiap bulan dan menerima lebih 800,000 pageviews, saya pasti dengan pelbagai perancangan yang telah dilaksanakan dan bakal dilaksanakan, web ini akan terus maju kehadapan. www.ohtidak.com - Memaparkan pelbagai artikel dan gambar menarik termasuk isu semasa dan sebagainya. Dengan niche yang bebas, blog ini menerima lebih dari 700,000 pembaca setiap bulan dari seluruh dunia. Dengan lebih dari 6 Juta Pageviews setiap bulan, blog ini lebih mengutamakan gambar dari penulisan, ianya juga diakses oleh ramai pengunjung dari luar Malaysia walaupun mereka tidak memahami Bahasa Melayu. Selain itu, blog yang lain adalah justkhai.com iaitu blog saya sendiri di mana tempat saya berkongsi pelbagai tips untuk para blogger dan kehidupan seorang usahawan internet mengikut pengalaman dan pencapaian saya sendiri, ohislam.com iaitu sebuah blog bebas iklan dan keuntungan yang menempatkan pelbagai perkongsian artikel keagamaan, ohgeekz.com sebuah laman gadget dan teknologi, ohAppleMY.com sebagai sebuah laman tumpuan sepenuhnya untuk peminat barangan Apple dan yang akan datang, ohgear.com iaitu sebuah laman blog dan forum tentang kereta. Selain itu, Oh Media Network juga mempunyai satu syarikat pecahan iaitu saluran radio internet iaitu, ohmedia.fm (www.ohmedia.fm) dengan lebih 10 orang DJ dan krew yang bersiara selama 24 jam setiap hari. Walaupun belum mempunyai frekuensi, dengan kelengkapan mobile apps untuk pengguna iOS dan Android, radio ini boleh didengar dari mana-mana sahaja di dalam dunia. Kami amat aktif membangunkan radio ini dengan mengadakan banyak aktiviti luar seperti konti luar di RnR Seremban dan menjadi radio rasmi untuk Evolusi Muzik Sihat - Malaysia Book of Records di Wangsa Walk bulan lalu sekaligus membawa nama syarikat kami kepada lebih ramai client dan pembaca blog. Maklumat lanjut tentang syarikat Oh Media Network dan segala produk dan jenis perkhidmatan di kami jalankan, anda boleh layari web rasmi kami di www.ohmedia.my atau ke Facebook kami di www.ohmedia.my/fb

2. Kenapa tuan memilih blogging sebagai satu aktiviti atau kerjaya dalam kehidupan seharian? Saya mula ber'blogging sejak usia saya 14 Tahun lagi dan pada ketika itu, dunia blog tidaklah sehebat dan semeriah sekarang. Pada ketika itu, dunia blog dipandang sepi tidak bermaya. Tiada sesiapa lagi di Malaysia yang benar-benar berani menjadikan blogging sebagai satu kerjaya kerana pada ketika itu, dunia blog di Malaysia tidaklah sehabat apa yang kita nampak sekarang. Blog tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan.

Pada ketika itu, kebanyakan blog yang ada hanyalah berjenis peribadi. Tidak banyak blog yang diwujudkan untuk niche tertentu seperti sekarang. Kalau ada pun, hanya boleh dibilang dengan jari dan blog mereka tidak akan terkenal. Sehinggalah ianya berterusan sedikit demi sedikit dan memberi impak kepada dunia politik di Malaysia, hiburan dan banyak lagi, lalu blog menjadi satu platform penyampai maklumat yang pastinya lebih pantas dari media lain kerana semuanya dihujung jari sahaja. Setelah melalui pelbagai rintangan sejak saya bermula dengan blog dan forum (Scukz) suatu ketika dulu, akhirnya saya meneruskan legasi blogging ini sehingga kini. Saya memilih untuk menjadikan blogging sebagai satu karier adalah kerana blogging merupakan hobi dan minat saya. Blogging adalah satu hobi yang amat menyeronokkan. Dari hobi, saya jadikan ianya sebagai satu kerja dan memastikan ianya akan memberikan hasil yang lumayan.

3. Sejauh mana pendapatan dari blog membantu tuan dalam kehidupan seharian? Saya bermula dengan menerima bayaran hanya berpuluh-ringgit sebulan suatu ketika dulu. Kemudian berganjak kepada beberapa ratus ringgit sebulan. Kemudiannya mulah mencecah ribuan ringgit dan terus berganjak kepada gaji seorang pensyarah mahupun doktor dan pada tahap sekarang, pendapatan mencecah 5 angka pada setiap bulan telah biasa saya lakukan hanya melalui blog dan sedikit perkhidmatan. Saya melakukan semua ini dengan perancangan peribadi saya sendiri tanpa merujuk kepada mana-mana pihak lain kerana saya yakin, hanya diri saya sendiri yang tahu kemampuan saya dan apa yang perlu saya lakukan untuk terus memajukan syarikat ini. Dengan pendapatan blog juga, saya mewujudkan syarikat dan membina pejabat Oh Media Network yang dengan sepenuhnya menggunakan pendapatan melalui blog yang telah diwujudkan. Jika para pembaca follow blog saya (www.justkhai.com), Facebook saya mahupun Twitter, pastinya menyedari yang saya akan membeli apa sahaja yang akan membuatkan saya gembira. Apapun tanpa orang ketahui, saya sentiasa amalkan sikap melakukan sesuatu untuk mendapatkan sesuatu. Saya pasang sasaran untuk dicapai, saya lakukan dan jika berjaya baru saya akan hadiahkan diri saya sendiri dengan barangan yang saya mahukan. Ini adalah satu cara untuk menghargai diri sendiri. Semua itu datang dari pendapatan blog dan pelbagai perkhidmatan yang saya lakukan. Kini, saya sedang berkira-kira untuk membeli kereta idaman saya walaupun masih berada di dalam usia muda! Kereta apa? Tunggu ajelah! Hehe. Jika dulu kalau mahu meminang anak dara orang, ibu bapa mereka akan bertanya apa pekerjaan kita. Kalau bukan seorang Doktor, Arkitek, Pensyarah mahupun Jurutera, jangan harap dapat meminang anak mereka. Kini, kerjaya sebagai seorang Blogger juga pastinya mendapat tempat di hati mereka. Wohha!

4. Apakah 3 strategi yang tuan gunakan untuk meningkatkan jumlah pelawat setiap bulan? Banyak strategi dan perancangan yang saya aturkan untuk meningkatkan jumlah pelawat setiap hari. Sehingga kini, pengiklanan di mana-mana blog atau sebagainya tidak pernah lagi menjadi pilihan saya untuk meningkatkan jumlah pelawat setiap bulan tetapi ramai yang menggunakan perkhidmatan Oh! Media untuk mempromosi blog mereka. Jadi, apa sebenarnya strategi yang saya lakukan?

1. Saya tidak terlalu memfokuskan kepada SEO. Bukanlah langsung tidak perlu ambil peduli, tetapi bagi saya ianya tidaklah perlu keterlaluan. Saya telah buktikan, tanpa perlunya terlalu obses kepada SEO, blog anda juga boleh menerima pembaca yang ramai setiap hari. Di dalam setiap content yang dikeluarkan di dalam blog, saya mengamalkan teknik "Killer Content" di mana setiap hari saya perlu mencari satu isu utama yang menjadi bualan ramai kemudian menulis mengenainya di blog saya. Dengan jumlah pembaca setia yang agak ramai, jadi tiada masalah untuk saya meneruskan teknik ini sampai bila-bila. Pembaca sedia ada akan terus ada, dan ramai lagi pembaca yang dahagakan maklumat akan terus datang menjadi pembaca setia blog. 2. Dengan kewujudan Facebook Pages yang mempunyai hampir 400,000 pengikut, adalah bukan perkara mustahil untuk saya mempromosi blog saya lebih dari setengah jumlah pengikut di Facebook Pages tersebut hanya melalui post yang saya keluarkan setiap hari. Saya telah nampak akan masa depan Facebook Pages ini ketika ramai blogger yang tidak lagi menyedarinya. Sehinggalah kini, kebanyakkan blog di Malaysia telah mula aktif di Facebook Pages mereka sendiri dan mula membina empayar blog mereka yang tersendiri. Ini satu perkara yang amat sihat untuk dunia blogging di negara ini. Dapatkan ebook saya yang akan dikeluarkan nanti untuk mengetahui teknik-teknik rahsia yang saya lakukan untuk membangunkan sebuah Facebook pages yang berpengaruh dan dikenali. 3. Sentiasa memastikan segala isi di dalam blog anda boleh diterima semua pembaca blog anda. Sebagai pemilik blog, anda patutnya lebih mengetahui siapa pembaca anda dan apa yang mereka mahukan. Jadi, usah syok sendiri ketika menulis blog! Mereka adalah "BOSS" dan anda adalah kuli sahaja kerana mereka yang boleh memberikan pendapatan kepada blog anda. Jadi, jaga hati mereka seperti menjaga hati majikan anda. Laku dan tunaikan apa yang mereka mahu dan usah terlalu egois kerana kelak ia akan memakan diri anda sendiri apabila blog anda mula dibenci dan tidak lagi menjadi tarikan untuk dilayari pembaca setia anda sebelum ini. Ingat, dalam blogging jangan syok sendiri atau lebih baik anda tulis blog di dalam Microsoft Word sahaja untuk anda bacalah sorang-sorang. Selain itu, jika ada bajet atau mempunyai rakai blogger lain, lakukan pelbagai contest kerjasama bersama untuk menghargai pembaca blog anda. Banyak lagi sebenarnya dan sudah banyak kali saya berkongsikan tips untuk soalan ini di blog saya, www.justkhai.com. Memang ramai yang berkongsi tentang perkara ini, cuma di blog saya, saya berkongsi dengan cerita saya sendiri mengikut pengalaman saya sebagai seorang blogger dan usahawan internet sepenuh masa. Mungkin anda boleh baca di sana.

5. Apakah cara yang tuan gunakan sehingga hari ini bagi menjana pendapatan dari blog? Saya bermula dengan membina sebuah brand terlebih dahulu kemudian baru mengeluarkan produk-produk saya. Bukannya mengeluar produk tanpa sebuah jenama yang benar-benar kukuh. Dengan keikhlasan dan minat untuk blogging, pendapatan akan datang secara perlahanlahan kepada anda. Seperti yang saya ceritakan tadi, saya bermula dengan hanya puluhan ringgit melalui blog, kemudian kepada beberapa ratus sahaja, kemudian ribu, belas ribu dan puluh ribu. Usah mengharapkan pendapatan yang tinggi pada bulan pertama anda mula berblogging kerana nyata itu hanya mimpi di siang hari. Anda tidak akan berjaya jika motif anda membina blog adalah untuk duit! Anda bermula dengan keikhlasan dan minat untuk berblogging kemudian percayalah, sebagai pembaca mereka dapat "menghidu" keikhlasan anda dalam setiap bait ayat anda.

Adakah artikel anda sekadar ingin mencari pendapatan melalui blog atau anda sememangnya ikhlas untuk menyampaikan sesuatu perkara berguna kepada mereka? Ramai blogger membina blog sesuka-hati mereka, kemudian merangkak-rangkak mencari populariti dan pendapatan untuk blog sendiri. Lihat orang lain berjaya dengan blog, mereka juga mahu jadi seperti mereka tanpa ingin ambil tahu bukan senang untuk blogger yang berjaya untuk mendapat apa yang mereka ada pada hari ini. Kegagalan demi kegagalan, akhirnya mereka merasa fed-up dan terus meninggalkan dunia blog kerana tidak yakin yang mereka akan berjaya. Silapnya lagi, di mana mereka tidak mula membina sebuah jenama terlebih dahulu. Bila anda mempunyai jenama dan ramai pengikut, apa sahaja produk yang akan keluarkan, pastinya akan mendapat sambutan. Bila blog mendapat sambutan dan sokongan ramai, baru pendapatan akan datang kepada anda dengan sendirinya. Banyak pihak yang akan menghubungi anda untuk beriklan. Banyak juga pihak-pihak yang besar akan menggunakan blog anda sebagai medium pengiklanan mereka. Ini kerana anda mempunyai sebuah jenama yang mereka kenali dan diakui ramai pengikut. Sanggupkah mereka ingin beriklan dengan blog-blog yang masih lagi merangkak membina jenama sendiri? Tidak dikenali? Tentunya tidak! Ramai juga blogger menganggap cara mencari pendapatan melalui blog hanya dengan menggunakan Nuffnang, Advertlets, Innity atau sebagainya sahaja sedangkan dunia blog sepatutnya lebih terbuka lebih luas untuk menjana pendapatan dari cara lain. Anda boleh melakukan pelbagai perkhidmatan mengikut kepakaran yang anda ada. Anda cari permintaan kemudian baru mulakan perniagaan melalui blog. Bukan mulakan perniagaan, kemudian baru nak cari permintaan. Sememangnya anda dan blog anda akan tersungkur. Untuk mencari pendapatan yang tinggi melalui blog, elakkan untuk menumpukan pada satu blog sahaja sebaliknya anda perlu berani bermain dengan pelbagai niche blog yang anda mampu. Usah tumpukan pada blog peribadi semata-mata kerana tiada siapa mahu baca kisah personal anda. Lainlah jika anda seorang artis! Untuk itu, walaupun anda hanya mempunyai satu blog bercirikan blog peribadi, anda kongsikanlah pelbagai perkara yang lebih menarik dan bermakna untuk para pembaca blog anda baca. Usah buang masa mereka atau itu adalah yang pertama dan terakhir mereka berkungjung ke blog anda. Tiada mereka, zero income adalah jawapan kepada anda dan blog anda.

6. Ramai orang menghadapi masalah untuk kekal konsisten dalam blogging? Apakah teknik yang tuan untuk kekal konsisten menulis entri, dan melakukan aktiviti bagi membangunkan blog? Pada pandangan saya, silap mereka hanya satu. Mereka TIDAK BERMINAT untuk menulis blog tetapi suka mengikut-ngikut orang lain sedangkan dia tidak langsung berminat untuk menulis blog. Tanpa minat, sukar untuk anda berjaya. Pada saya minat sangat penting sebelum yang lainnya. Tanamkan minat terlebih dahulu, kemudian konsistensi akan hadir dengan sendiri. Jika buat masa ini anda ingin menjadi seorang blogger sepenuh masa tetapi jauh disudut hati anda, anda langsung tidak minat menulis blog dan merasakan blog membebankan anda, anda berhentilah dan jangan lagi membuang masa. Mungkin anda dilahirkan bukan untuk menjadi seorang blogger yang berjaya. Banyak lagi kerjaya lain di luar sana menanti anda. Teknik yang saya gunakan untuk kekal konsisten dalam menulis entri dan membangunkan blog, saya membina jadual harian saya sendiri. Pada jam berapa saya perlu mengeluarkan artikel untuk blog saya dan pada jam berapa saya perlu melakukan aktiviti pemasaran untuk blog saya, semuanya telah diaturkan. Lebih-lebih lagi selepas saya menyedari yang saya

bukanlah seseorang yang amat berdisiplin dalam mengaturkan masa harian saya. Jadi, penyelesaiannya adalah menjadualkan diri untuk kebaikan diri sendiri. Kurangkan aktiviti luar yang tidak berfaedah. Kurangkan juga melakukan sesuatu yang tidak memberikan sebarang hasil dan hanya membuang masa anda. Jika anda mempunyai sesuatu kepakaran, minta bayaran walaupun pada kawan-kawan sendiri! Kawan adalah kawan, bisnes adalah biesnes. Pastikan juga masa yang anda gunakan dalam sehari untuk memajukan diri anda lebih 70% dari masa dan selebihnya, anda bolehlah isikan dengan aktiviti riadah, bermain games, lepak mamak dengan rakan-rakan atau apa sahaja yang anda suka. Anda ingin menjadi seorang remaja yang berjaya, jadi tidak bermakna anda perlu mengorbankan keseronokkan waktu remaja anda untuk hidup seperti remaja-remaja yang lain. Pucuk-pangkalnya, anda sendiri yang perlu menguruskan masa dengan baik. Apapun dalam mengekalkan konsistensi anda, jangan menulis blog di dalam keadaan anda terpaksa atau terkejar-kejar. Ini membuatkan pembaca akan rasa tawar hati apabila dapat mengetahui artikel anda adalah artikel untuk menjerat mereka masuk ke blog anda sematamata untuk mengejar trafik dan seterusnya, pendapatan. Untuk itu, keikhlasan ketika menulis artikel adalah perlu melainkan anda benar-benar seorang blogger yang hebat mengawal perasaan agar tidak nampak di dalam setiap penulisan yang dikeluarkan. Menulis blog memerlukan mood yang baik. Walaupun saya mempunyai pejabat sendiri, tetapi lebih banyak masa saya habiskan di luar untuk menulis blog. Saya menulis blog di mana-mana sahaja tempat yang mempunyai WiFi percuma. Di McDonalds, di Starbucks mahupun di kedai mamak sekalipun asalkan ianya menggembirakan hati saya untuk bekerja dan melahirkan artikel-artikel yang baik.

7. Berdasarkan pengalaman tuan , adakah blogging ini sudah boleh dijadikan satu kerjaya dan menjana pendapatan sepenuh masa? Pada pandangan saya, sudah tentu! Saya amat yakin dan jelas akan masa depan dunia blog dan sudah lama sebenarnya ianya boleh dijadikan satu kerjaya untuk menjana pendapatan sepenuh masa bagi menampung kehidupan anda. Orang kata, sambil tidur pun duit masuk. Malah lebih menarik lagi, sambil buang air pun duit tetap mengalir. Tetapi ingat, ianya bukan semudah dengan kata-kata. Usaha yang perlu dilakukan bukanlah kepalang dan bukan semua orang mampu melakukannya. Seperti yang saya katakan di awal temuramah tadi, tepuk dada tanya selera. Hanya anda yang tahu minat dan kebolehan diri sendiri. Tanpa minat, sukar untuk ianya kekal. Dan minat sahaja pun tidak cukup tetapi usaha juga perlulah setimpal.

8. Berdasarkan pengalaman tuan , apakah resepi atau formula kejayaan seorang blogger? Pegang pada satu peribahasa Melayu, Alang-Alang Menyelup Pekasam, Biar Sampai Ke Pangkal Lengan. Bila kita dah buat keputusan untuk menjadi seorang blogger, maka lakukannya betul-betul. Bukan separuh jalan. Ianya memang memakan sedikit masa jika anda baru sahaja ingin bermula tapi percayalah suatu hari nanti selepas dapat membiasakan diri, segala pengorbanan anda akan berbaloi. Apa yang penting, usaha biar berterusan. Bersyukur itu perlu, tetapi jangan terlalu rileks untuk duduk di dalam zon selesa. Lakukan sesuatu yang baru dalam hidup anda pada setiap masa. Belajar benda baru dan ceburi bidang baru. Kata orang, "If you think you work hard, word harder!".

9. Pada pendapat tuan , platfom yang mana sesuai digunakan? Percuma (Blogspot) atau berbayar (Wordpress.org)? Kenapa? Ada orang suka makan ayam. dan ada orang suka makan ikan. Ada orang suka dengan iPhone dan ada orang suka dengan Android Phones. Begitulah manusia tercipta dengan berlainan pendapat dan citarasa. Pada saya kedua-dua platform blog ini amat baik untuk digunakan. Masing-masing ada kelebihan dan kekurangan namun pada pendapat saya, kepada yang ingin menceburi bidang blog secara serius, gunakanlah Wordpress dengan hosting dan domain sendri kerana anda lebih bebas untuk berbuat apa-apa. Blogspot saya ibaratkan sebuah rumah tumpangan. Bila-bila masa sahaja anda boleh diarah keluar. Apa yang boleh anda lakukan juga terbatas kerana itu bukan rumah anda. Berlainan pula dengan Wordrepss self-hosted, ianya adalah rumah anda! Anda boleh buat apa-apa sahaja yang anda suka. Terpulang pada anda nak bina rumah anda itu sebagai rumah kos rendah, kondominium atau Banglo, semuanya anda yang akan putuskannya. Rata-rata blogger yang saya kenal, adalah bermula dengan Blogspot dahulu kemudian berpindah ke Wordpress dan mereka tidak pernah lagi terfikir untuk berpindah semula ke Blogspot. Jadi keputusan di tangan anda. Apapun seperti yang saya katakan tadi, ianya mengikut apa tujuan anda untuk membina blog. Jika anda sekadar ingin membina blog seperti diari peribadi, Blogspot sudah lebih dari cukup untuk anda. Jika anda mensasarkan keuntungan dari blog, gunakan Wordpress beserta hosting dan domain sendiri. Asas yang mudah saya pegang. Andainya jika bil internet saya RM140 sebulan, saya akan pastikan saya tidak akan mengeluarkan duit poket saya sendiri untuk membayar bil setiap bulan tetapi saya akan bekerja kuat untuk memastikan yang RM140 itu benar-benar datang dari hasil pendapatan melalui internet pada bulan tersebut. Begitu juga dengan blog, jika anda ingin membuat blog sekadar suka-suka, Blogspot semamangnya sudah lebih dari cukup untuk anda dan anda tidak perlu mengeluarkan kos untuk pembayarna setiap bulan mahupun tahunan. 10. Pada pendapat tuan , adakah sesi personal coaching berkenaan cara untuk menjadikan aktiviti blogging sebagai satu kerjaya, dapat membantu blogger baru untuk bermula dengan landasan yang betul itu berbaloi dan wajar diwujudkan oleh blogger yang berpengalaman? Ya, jika anda berpengetahuan tentang ini, mengapa tidak? Ramai mereka diluar sana memerlukan bantuan. Apapun nasihat saya kepada mereka yang gemar menyertai seminar-seminar blog ini agar menitik-beratkan siapa penganjurnya. Jangan tertipu dan menghabiskan duit anda dengan pihak-pihak yang hanya ingin membuat keuntungan mudah dari kenaifan anda mengenai dunia blog. Carilah mereka-mereka yang benar-benar berpengalaman dan sudah berjaya buktikan hanya melalui blog, mereka telah berjaya. Apapun tidak keterlaluan jika saya katakan, anda sebenarnya tidak perlu membuang duit untuk itu melainkan anda benar-benar orang yang banyak duit. Semuanya telah lama ada di internet. Tinggal anda mahu atau tidak untuk memperuntukkan sedikit masa untuk mencari pelbagai tutorial dan artikel di internet mengenai asas pembinaan sebuah blog yang berjaya. Saya sendiri dulu bermula seorang diri sahaja tanpa bantuan sesiapa. Semua persoalan saya telah terjawab ada di Google. Search ajelah!

11. Apakah rancangan tuan untuk membangunkan blog dalam tempoh 3 tahun dari sekarang? Lihat sahaja kepesatan pembangunan syarikat berasaskan blog seperti Amanz Network mahupun Oh Media Network sendiri, saya amat yakin dunia blog akan berkembang dengan amat pesat lagi. Jika dulu orang ber'blogging secara suka-suka, kini blog tidak lagi sekadar itu. Perancangan saya untuk Oh Media, kami akan mengeluarkan pelbagai lagi jenis blog untuk melengkapkan semua kategori blog di atas permintaan ramai dan akan dilengkapi dengan insan-insan hebat yang akan memastikan kesemua blog kami nanti berjalan dengan lancar pada setiap hari. Kami juga dalam perancangan untuk mengeluarkan blog berbahasa Inggeris juga untuk capaian yang lebih meluas. Kesemua blog juga tidak lagi hanya memfokuskan kepada penulisan dan pembacaan sahaja, sebaliknya melahirkan produk-produk tersendiri untuk dijual, membina keahlian ahli kelab secara tahunan dan melakukan aktiviti luar secara kerap untuk lebih mendekati para pembaca blog dan terus memberi sentuhan magikal pada empire sedia ada. Ini sekaligus menjadikan dunia blog tidak lagi sekadar ditampuk yang lama. Kami juga akan memastikan Oh! Media menjadi platform awal dan utama untuk pengiklanan berprofil tinggi atau product review dari syarikat-syarikat besar dan berpengaruh. InsyaAllah.

#Penutup Itu sahaja yang dapat saya kongsikan di dalam temuramah bersama pihak Majalah Niaga buat kali ini. Diharapkan apa yang telah saya kongsikan ini memberi impak dan semangat yang baik kepada sesiapa sahaja yang membaca. Saya boleh dihubungi secara peribadi melalui email khai@ohmedia.my .. Saya doakan semoga semua blogger dan usahawan internet berjaya dan terus berjaya untuk pencapaian diri sendiri, mengharumkan nama negara dan secara tak langsung, membuktikan dunia blog di Malaysia sehebat dunia blog di negara lain. Terima kasih.

Facebook: ohmedia.my/fb Twitter: ohmedia.my/tw Email: support@ohmedia.my

No 26-2, Jalan 1/76C, Desa Pandan, 55100 W.P Kuala Lumpur

ohmedia.my | ohartis.com | ohtidak.com | ohislam.com | ohapplemy.com | justkhai.com | ohmedia.fm | ohgeekz.com | ohgear.com

Anda mungkin juga menyukai