Anda di halaman 1dari 7

Modul 1 : KPLI Asas Dinamika Guru Unit 1 : Bahasa Melayu Kini

Tajuk 6 WACANA

1. Apakah definisi wacana?


2. Apakah cirri-ciri wacana?
3. Apakah makna kohesi dan koheren?

6.0 Pengenalan

Wacana (Discourse) adalah kesatuan bahasa yang lengkap dan paling tinggi dalam
pertuturan dan penulisan memperlihatkan kesinambungan fikiran, baik dari aspek
komunikasi dan konteks. Salah satu unsur linguistik dalam wacana ialah pertautan atau
perkaitan semantik yang meliputi aspek kohesi dan koheren.

Koheren bergantung kepada penggunaan kohesi yang sesuai dan gramatis. Koheren
juga bergantung kepada konteks dan situasi. Koheren adalah kesatuan idea dalam
wacana yang menggambarkan kejelasan idea, ada penekanan kepada idea utama dan
idea sampingan, dan dipersembahkan dengan gaya tertentu. Dalam penulisan
karangan, yang diutamakan ialah aspek isi kandungan, organisasi dan gaya
persembahan yang tepat dengan tajuk.

Pada akhir pelajaran ini anda akan dapat:

(1) Memahami pengertian wacana, dan ciri-ciri wacana.


(2) Menghasilkan wacana yang utuh dalam pertuturan dan penulisan.

Modul ini menjelaskan tentang;

6.1 Definisi wacana


6.2 Ciri-ciri wacana
6.3 Jenis-jenis wacana
6.4 Keutuhan wacana
6.5 Penanda wacana

6.1 Definisi wacana

Wacana ialah keseluruhan pelahiran bahasa oleh penutur atau penulis, iaitu pelahiran
sistem bahasa dan unsur-unsur luar daripada sistem bahasa yang menyumbang ke arah
menjadikan pertuturan atau tulisan berkenaan sebagai sesuatu yang bermakna dalam
berkomunikasi(Asmah Haji Omar,1986).

Wacana boleh direalisasikan dalam bentuk karangan yang utuh seperti novel,buku, siri
ensaiklopedia, paragraf, kalimat atau kata yang membawa amanat yang lengkap
(Harimurti Kridalaksana,1982)

50
Modul 1 : KPLI Asas Dinamika Guru Unit 1 : Bahasa Melayu Kini

Tegasnya, wacana ialah unit bahasa yang melebihi had ayat yang terdiri daripada ayat,
sejumlah ayat, bab, cerita, dialog dan buku yang menunjukkan hubungan dan
perkembangan fikiran yang berurutan.

6.2 Ciri-ciri Wacana

a .Perlu dikaji kaitan penutur dengan masyarakat sekitarnya.


Kaitan antara penutur dengan masyarakat sekitarnya akan menentukan gaya wacana
sama ada gaya formal atau tidak formal.

b. Harus ada tujuan yang menentukan jenis ayat.


Jika tujuan penutur adalah untuk mendapatkan maklumat, jadi ayat yang terbentuk
ialah ayat tanya.

c. Berdasarkan kaitan penutur dengan pendengar.


Wacana lisan adalah perkaitan antara penutur dengan pendengar, manakala wacana
tulisan adalah kaitan antara penulis dengan pembaca.

d. Tidak boleh memuatkan maklumat yang bertentangan.


Contoh:Kelmarin dia tidur sehari suntuk. Kelmarin dia tidur hingga jam 9.00 pagi.

e.Perlu ada unsur-unsur susun atur menurut sebab, akibat, tempat, waktu, keutamaan
dan sebagainya.Ayat-ayat itu harus mempunyai urutan yang berkait rapat.

f. Harus mempunyai andaian dan inferensi.


Maklumat pertama dalam wacana digelar andaian, manakala maklumat berikutnya
disebut inferensi.

g. Harus ada maklumat baru.


Ayat-ayat yang mengesahkan kebenaran ayat sebelumnya
tidak boleh dimasukkan dalam satu wacana.

6.3 Jenis-jenis wacana

a. Wacana lisan(spoken discourse)


Wacana lisan adalah wacana yang disampaikan secara lisan. Ia juga disebut
sebagai wacana interaktif.

b. Wacana tulisan(written discourse)


Wacana tulisan adalah wacana yang disampaikan secara bertulis melalui media
tulis.

c. Wacana langsung(direct discourse)


Wacana langsung merupakan kutipan wacana yang sebenarnya dibatasi oleh
intonasi atau pungtuasi.

51
Modul 1 : KPLI Asas Dinamika Guru Unit 1 : Bahasa Melayu Kini

d. Wacana tidak langsung(indirect discourse)


Wacana tidak langsung adalah pengungkapan kembali wacana, tanpa mengutip
harfiah kata-kata yang dipakai oleh pembicara dengan pembinaan gramatikal
atau kata tertentu seperti bahawa dan sebagainya.

e.Wacana pembentangan(expository discourse)


Wacana yang tidak mementingkan waktu dan penutur, berorientasi pada pokok
pembicaraan, dan bahagian-bahagian diikat secara logik.

f.Wacana penuturan(narrative discourse)


Wacana yang mementingkan urutan waktu, dituturkan oleh orang pertama atau
ketiga dalam waktu tertentu, berorientasi kepada pelaku, dan seluruh
bahagiannya diikat oleh kronologi.

g.Wacana prosa
Wacana yang disampaikan dalam bentuk prosa. Wacana ini boleh secara lisan
mahupun tulisan, berupa wacana langsung atau tidak langsung, boleh pula
secara pembentangan atau penuturan.

h.Wacana puisi
Wacana puisi adalah wacana yang disampaikan dalam bentuk puisi, baik secara
lisan ataupun tulisan.

i.Wacana drama
Wacana drama merupakan wacana yang disampaikan dalam bentuk drama atau
dialog, baik secara lisan mahupun tulisan.

6.4 Keutuhan wacana

Keutuhan wacana merupakan satu aspek penting kerana akan memastikan sama ada
sesuatu kesatuan itu boleh dikatakan wacana atau hanya satu kumpulan ayat yang tidak
teratur. Keutuhan wacana dapat diteliti daripada wujudnya kaitan-kaitan dari aspek
fonologi, semantik, dan gramatis.

6.4.1 Kaitan dari Aspek Fonologi

Kaitan ini dapat dilihat daripada hentian atau kesenyapan suara, nada suara, intonasi
dan tinggi rendah. Unsur ini juga boleh menimbulkan kaitan semantik antara bahagian-
bahagian wacana.
Contoh:
(a) Keluar?
(b) Keluar!

Kata keluar dalam (a) berupa pertanyaan, manakala (b) berupa perintah.

52
Modul 1 : KPLI Asas Dinamika Guru Unit 1 : Bahasa Melayu Kini

6.4.2 Kaitan dari Aspek Semantik

6.4.2.1 Kaitan semantik antara bahagian-bahagian wacana dapat dilihat seperti berikut:

(a) Kaitan sebab dan tujuan.


Contoh:
Guru itu rajin mengajar. Dia mengharapkan semua muridnya lulus cemerlang
dalam UPSR.

(b) Kaitan sebab dan akibat.


Contoh:
Ramli keletihan berlari jauh. Dia pengsan.

(c) Kaitan sebab dan hasil.


Contoh:
Puan Maznah seorang usahawan yang gigih dan berjaya. Dia
memiliki sebuah syarikat keselamatan yang terbesar di Malaysia.

(d) Kaitan syarat dan hasil.


Contoh:
Murid-murid mesti belajar bersungguh-sungguh. Kesungguhan
menghasilkan keputusan peperiksaan yang cemerlang.

(e) Kaitan perbandingan.


Contoh:
Siti Musliha bijak. Abangnya lebih bijak lagi.

(f) Kaitan latar dan kesimpulan.


Contoh:
Sajak itu sungguh indah bahasa perbandingannya. Sebenarnya Usman
Awang yang menciptanya.

(g) Kaitan sampingan.


Contoh:
Saya sudah mengulang kaji. Saya letih, jadi biarlah saya berehat
sekarang.

(h) Kaitan memperkuatkan isi.


Contoh:
Sungguh sopan pelajar itu. Berbudi bahasa dan lembut tutur katanya.

6.4.2.2 Kaitan semantik dari segi konteks atau latar wacana. Kaitan ini dapat dilihat
pada:

(a) Laras bahasa yang digunakan

Contoh:
Bersihkan keladi dan celur dengan air kapur sirih. Air kapur sirih
dibuang.Toskan. Belacan, bawang putih, bawang merah dan halia digiling
hingga lumat. Gaulkan semuanya dengan cili boh ke dalam periuk. Masukkan

53
Modul 1 : KPLI Asas Dinamika Guru Unit 1 : Bahasa Melayu Kini

air asam jawa, asam keping dan belacan yang ditumbuk tadi. Masukkan
keladi dan masak hingga mendidih..

(Walaupun ayat-ayat di atas diucapkan secara terputus-putus, kita masih


dapat memahaminya dan menganggapnya sebagai wacana kerana cara
penyampaiannya memang sedemikian)

(b) Kesepaduan tajuk

Contoh:
Kehidupannya senang. Dia berumah besar dan memiliki kereta mewah.
Perubahannya sungguh tidak disangka.

(Orang yang dimaksudkan itu dahulunya susah dan miskin)

(c ) Kaitan sosial antara penutur dengan pendengar.

Contoh:
Abu: Sudah siap?
Ali: Belum. Masa tidak cukup.

(kedua-dua penutur memahami apa yang dimaksudkan meskipun


orang lain mungkin tidak memahaminya.)

6.4.3 Kaitan Dari Aspek Gramatis

Keutuhan wacana dapat dilihat daripada penggunaan penanda gramatis, seperti:

(a) Kata hubung


Sejumlah perkataan yang bertugas menghubungkan antara klausa dengan
klausa, ayat dan kesatuan.
Contoh:
Atau, dan, lalu, sambil, andai kata, sungguhpun demikian, walaupun begitu,
kendatipun, oleh yang demikian, ketika itu.

(b) Pelenyapan
Pelenyapan atau penghilangan bertujuan mengelakkan pengulangan
terhadap sesuatu maklumat yang tersirat daripada pernyataan-pernyataan
yang telah diberikan.

Contoh:
Fatin datang petang semalam. Ibunya pagi ini.
(yang dilenyapkan ialah datang pada bahagian ayat keduanya)

54
Modul 1 : KPLI Asas Dinamika Guru Unit 1 : Bahasa Melayu Kini

6.5 Penanda Wacana


Penanda wacana merupakan kata-kata dan rangkai kata atau frasa yang
menunjukkan pertalian, hujah dan buah fikiran. Penanda wacana boleh
digunakan sebagai kata, ayat dan satuan-satuan yang lebih besar.

Contoh:
akhirnya oleh itu
boleh jadi oleh sebab itu
begitu pun oleh yang demikian
dengan itu sebelum itu
dengan demikian sekiranya
di samping itu sesungguhnya
disebabkan oleh tambahan lagi
justeru walaupun demikian
lantaran itu walau bagaimanapun
memandangkan maka
malah

Tutorial

Jawab soalan-soalan berikut untuk dibincangkan dalam sesi


tutorial

a) Lengkapkan pantun ini:

i) ….……………………….,
Dapat rusa berbelang kaki;
Berguru kepalang ajar,
…………………………….

ii) Tinggi-tinggi Si Matahari,


………………………………;
………………………………,
Baru sekarang saya mendapat

b)
Kampung seri murni telah didirikan sejak lima
belas tahun yang lalu. Tetapi pembangunan
kampung itu sangat lambat. Penduduknya
masih lagi menggunakan air perigi dan
berlampukan pelita minyak tanah.

Apakah keutuhan wacana bagi teks yang di atas?

c) Bina beberapa teks yang lain yang dapat menggambarkan


hubungan atau kaitan aspek fonologi, semantik dan gramatis
yang boleh membentuk sesebuah wacana yang utuh.
Bincangkan teks anda dengan rakan-rakan yang lain.

55
Modul 1 : KPLI Asas Dinamika Guru Unit 1 : Bahasa Melayu Kini

Rumusan

Wacana ialah keseluruhan tutur yang merupakan suatu kesatuan, ucapan,


pertuturan atau percakapan. Ia melebihi had ayat yang terdiri daripada ayat,
sejumlah ayat, bab, cerita, dialog atau buku yang menunjukkan hubungan dan
perkembangan fikiran yang berurutan.

Ab.Rahman Ab.Rashid dan Yap Kim Fatt (1997). Bahasa Melayu


Komunikasi 2. Petaling Jaya: Longman Malaysia Sdn.Bhd.

Harimurti Kridalaksana (1978). ‘Keutuhan Wacana’ dalam Dewan


Bahasa. Kuala Lumpur: Dewan bahasa dan Bahasa.

56

Anda mungkin juga menyukai