Anda di halaman 1dari 2

Oleh itu, sewajarnya langkah kerajaan memperkenalkan semula mata pelajaran di peringkat

sekolah rendah dan mewajibkan mata pelajaran Sejarah sebagai syarat penting dalam
kelulusan peperiksaan Sijil pelajaran Malaysia (SPM). Langkah ini bukan saja menjadikan mata
pelajaran Sejarah akan dipelajari dengan bersungguh-sungguh malah akan difahami dan
dihayati secara mendalam.

Sebenarnya, mata pelajaran Sejarah dapat memupuk jati diri, akal budi, semangat cintakan
tanah air yang mendalam kepada setiap pelajar. Ia juga mempunyai kaitan dengan prinsip
kedua dan ketiga dalam Rukun Negara iaitu melalui pelajaran Sejarah akan dapat memupuk
kesetiaan kepada raja dan negara serta memahami keluhuran perlembagaan.
Kesetiaan kepada negara adalah jiwa kebangsaan kita. Melalui semangat kesetiaan dari
sanubari seseorang itu akan lahir rasa setia kepada raja dan tanah airnya yang sekali gus
mampu menyatukan kita semua daripada pelbagai rumpun menjadi satu bangsa bersatu
padu.
Melalui pelajaran Sejarah juga seseorang itu akan memahami keluhuran perlembagaan
negara yang memberi perlindungan kepada setiap anggota masyarakat di negara ini dari segi
melindungi hak dan keistimewaan mereka sebagai warga negara. Selain itu, dapat
memahami bagaimana negara ini mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
Perlembagaan juga meletakkan rasa tanggungjawab dan kewajipan warga negara yang
mendukungnya. Sejajar dengan itu, setiap warga negara harus menghormati, menghargai
serta memahami maksud dan kandungan serta latar belakang penggubalannya bagi
memastikan Malaysia terus aman, makmur dan maju dalam segenap bidang.
Oleh sebab perlembagaan negara digubal berasaskan kesepakatan semua kaum di negara
ini, maka ia merupakan kontrak sosial rakyat yang tidak boleh dipersoalkan dan diganggu
gugat mana-mana pihak.
Perlembagaan negara juga adalah sumber rujukan kepada semua perkara berkaitan dengan
sistem pemerintahan, perundangan, kedudukan dan hak sosio ekonomi rakyat Malaysia.
Mereka yang tidak memahami sejarah saja akan mempertikaikannya.
Begitulah pentingnya mata pelajaran Sejarah di sekolah dapat mendidik, memberi kefahaman
dan pengetahuan kepada rakyatnya apabila dewasa.
Dasar Pendidikan Kebangsaan telah terbukti dapat melahirkan masyarakat bersatu padu
sehingga ke hari ini.
Melalui pendidikan juga dapat menyemai semangat patriotisme iaitu perasaan cinta terhadap
tanah air yang dapat dididik dan diterapkan dalam hati dan jiwa pelajar. Perasaan ini perlu
wujud dalam hati setiap individu rakyat Malaysia yang berbilang kaum.
Sehubungan itu, semangat patriotik dapat membentuk rakyat Malaysia yang bersatu padu
dan harmoni. Melalui pendidikan, berdasarkan pengetahuan dan pemahaman aspek-aspek
sejarah negara, pelajar dibimbing untuk menganalisis peristiwa dan menilai fakta sejarah
secara rasional.
Daripada pemahaman dan penghayatan sejarah negara, pelajar dapat membina kekuatan
dalam diri dengan semangat cintakan negara.

Mereka akan memberikan perkhidmatan dan bertugas di negara ini atas rasa cinta kepada
negara yang tidak berbelah bagi.
Setiap rakyat Malaysia disarankan berusaha ke arah menjadikan negara maju mengikut acuan
kita sendiri. Oleh itu, rakyat Malaysia perlu mempunyai pengetahuan mengenai sejarah dunia
luar supaya berkemampuan untuk bersaing dengan mereka.
Dalam era globalisasi, persaingan tidak dapat dielakkan kerana kuasa politik dan ekonomi
dikuasai orang yang berilmu dan bermaklumat.
Adalah penting pendidikan Sejarah memperkenalkan pelajar kepada dunia luar menerusi
kurikulum futuristik yang turut menekankan kepada pendidikan bertaraf dunia yang berkait
rapat dengan teknologi maklumat dan komunikasi.
Semangat daya tahan perlu disuburkan di jiwa pelajar. Menerusi kemahiran pembelajaran,
pemahaman dan pemikiran sejarah berupaya menyediakan individu pelajar dalam
mempelajari sesuatu yang baru, memahaminya dengan mendalam, dan memilih maklumat
yang penting dan relevan.
Pendidikan Sejarah juga sebagai satu disiplin ilmu yang dinamik, dilakukan melalui
pendekatan pembelajaran yang melibatkan pelajar secara aktif dan berterusan. Sehubungan
itu, sejarah sebagai satu cabang ilmu perlu ditekankan sebagai ilmu yang praktikal dalam
kehidupan seharian bagi memupuk dan membentuk rakyat Malaysia berjiwa patriotik.
Melalui pendidikan Sejarah, kita bukan saja mempelajari riwayat hidup mereka yang berjaya
dan agung. Malah, kita juga belajar bagaimana sesebuah negara itu terbentuk dan merdeka
seterusnya menjadikan rakyatnya hidup dalam aman dan sejahtera.
Apa yang kita pelajari daripada sejarah menunjukkan kepada kita yang kehidupan ini melalui
liku dan zaman. Sejarah mengajar kita supaya tidak mengulangi kesilapan yang pernah kita
alami sebelumnya.
Sejarah mestilah ditulis dengan tepat, benar dan tidak dipengaruhi politik. Dalam proses
pengajaran dan pembelajaran (P&P), guru seharusnya dapat menjadikan Sejarah itu hidup,
menyeronokkan dengan penggunaan teknologi terkini supaya minat pelajar terhadap sejarah
dapat dipertingkatkan.
Selanjutnya, proses perpaduan kaum di Malaysia dapat ditingkatkan jika semua rakyat
memahami dan menghayati sejarah negara ini. Perpaduan masyarakat juga dapat dikukuhkan
bagi menghadapi cabaran baru yang sedang dihadapi akibat perubahan yang dibawa arus
dan proses globalisasi.

Anda mungkin juga menyukai