Anda di halaman 1dari 4

Karangan:23 April Hari Buku (Kelangsungan Dunia Buku Di Celah-Celah Kepesatan ICT)

Posted on April 26, 2010 | 1 Comment


Dalam dunia perbukuan, tanggal 23 April amat bermakna buat penerbit, penulis dan
juga pencinta buku.
Ketika komputer dan Internet merevolusi kaedah pencarian maklumat dan ilmu,
buku kekal di sanubari ramai sebagai penyampai khazanah ilmu dan penghibur.
Setiap tahun pada tarikh ini, Hari Buku disambut dengan pelbagai aturcara di
seluruh dunia, dan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) juga tidak ketinggalan
meraikannya esok.
Selain Program Mari Membaca 1Malaysia dan Jualan Buku dari 23 April hingga 25
April di perkarangan PNM, Forum Hak Cipta turut dianjurkan untuk mengingatkan
orang ramai akan pentingnya menghormati hak milik karya-karya.
Ketua Pengarah PNM Datuk Raslin Abu Bakar berkata PNM akan sentiasa
menyokong usaha meningkatkan dunia perbukuan negara dan melaksanakan
tanggungjawabnya sebagai gedung ilmu kepada masyarakat.
Sungguhpun jumlah keahlian keseluruhan daripada 2,429 buah perpustakaan yang
ada di negara ini mencecah hampir lapan juta orang sehingga hujung tahun lepas,
beliau berpendapat kadar membaca buku dalam kalangan rakyat negara ini masih
rendah.
Kempen galakan membaca masih harus diteruskan agar ilmu pengetahuan rakyat
tidak ketinggalan zaman dan dunia perbukuan terus berkembang, kata beliau
kepada Bernama.
BUKU TIDAK AKAN PUPUS
Tetapi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) banyak mengubah cara menimba
ilmu dan buku semakin dipinggirkan.
Mengakui komputer dan Internet banyak mengubah kaedah pencarian maklumat
dan ilmu, Raslin berpendapat ilmu yang mantap masih diakui dalam bentuk buku.
Dunia buku dalam bentuk cetakan atas kertas juga masih bertahan meskipun
pernah diramalkan akan pupus.
Budaya membaca buku perlulah diseimbangkan dengan penggunaan ICT. Lonjakan
penggunaan ICT pada hari ini membawa saingan kepada buku. Maka, kempenkempen membaca buku perlu dilaksanakan berterusan untuk menarik minat umum
terhadap budaya membaca, ulas beliau.

Menurut Raslin, Malaysia masih memerlukan penerbitan buku memandangkan


jumlah penerbitan buku masih kecil dibandingkan jumlah penduduk negara ini.
Maka usaha memperbanyak penerbitan buku masih diperlukan.
Beliau mengulas mengenai teknik penerbitan melalui teknologi komputer yang
sentiasa berkembang pesat tetapi cepat pula ketinggalan zaman, serta mahal.
Kerana itulah buku dalam cetakan pada kertas masih bertahan meskipun di
negara-negara maju seperti Amerika, Eropah dan Jepun.
Ia lebih murah, senang dibawa dan senang dibaca berbanding mengakses bahan
bacaan di Internet yang memerlukan pelbagai peralatan seperti komputer/komputer
riba, sambungan jalur lebar dan lokasi yang bersesuaian. Malah, tidak semua
mampu memiliki kemudahan ini, jelasnya.
PENGGALAKAN PENERBIT
Usaha penerbitan buku harus diperbanyak agar perpustakaan di seluruh negara
dapat memenuhi rak-rak dengan buku-buku yang memberikan ilmu kepada para
pembaca.
Dalam usaha memperbanyak penerbitan buku yang berkualiti dari segi kandungan
dan bentuknya, beliau berharap persatuan-persatuan penulis dapat menghasilkan
buku-buku berkenaan yang berbentuk ilmiah.
Beliau turut menyarankan para penulis bekerjasama dengan penerbit-penerbit
mapan yang menguasai teknologi penerbitan dan teknik pemasaran yang mantap.
Bagi menyemarakkan dunia penerbitan, paling utama kita menggalakkan
penerbitan buku Bahasa Melayu yang kini menampakkan kehadirannya di rangkaian
kedai-kedai buku di seluruh Malaysia.
Malah permintaan terhadap buku-buku dalam Bahasa Melayu di negara ini juga
bertambah, iaitu buku-buku umum keperluan di luar sekolah.
Untuk menjadi negara maju, rakyatnya harus berilmu dan sentiasa mencari bahan
bacaan yang boleh meningkatkan pengetahuan.
Sempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia pada 23 April ini, kita berharap
kegiatan penerbitan buku akan berterusan. Kita memerlukan buku-buku yang
memberi ilmu, yang luas pemasarannya dan mampu dibeli oleh orang ramai,
sambung beliau.

Selain itu, beliau mengharapkan masyarakat umum terutamanya generasi muda


terus digalakkan membaca.
Ia sebagai usaha mendapatkan ilmu melalui pendidikan sepanjang hayat yang
menjadi satu daripada lapan nilai dalam Gagasan 1Malaysia.
ROYALTI UNTUK PENULIS BAHASA MELAYU
Profesor Datuk Dr Abdul Latif Abu Bakar yang mewakili Gabungan Penulis Nasional
(Gapena) turut berpendapat, umumnya ramai rakyat Malaysia yang masih tidak
sedar tentang kewujudan Hari Buku.
Menurut beliau, ia tidak disedari berikutan minat membaca yang kurang dan
bilangan yang berkunjung ke perpustakaan untuk membaca buku ilmiah juga tidak
ramai.
Selain pembaca yang kurang, apa yang saya perhatikan, jualan buku ilmiah
memang agak perlahan. Kalau dapat terjual 2,000 naskhah itu sudah hebat. Contoh
lain ialah jualan majalah-majalah ilmiah seperti majalah terbitan DBP, jika dulu,
jualannya tinggi dan mendapat sambutan.
Sekarang kita lihat walaupun golongan cerdik pandai makin bertambah, tetapi
jualan buku dan majalah sebegini kian menurun, ulasnya sambil mengakui
kewujudan kemudahan ICT juga ialah sntara faktornya.
Bagi Prof Abdul Latif, jumlah pengunjung ataupun keahlian perpustakaan yang
ramai masih tidak dapat meningkatkan budaya membaca dalam kalangan rakyat
negara ini. Jika pun ada, ramai yang lebih gemar memilih karya-karya berbentuk
pop dan novel remaja.
Sebagai pensyarah di Institut Pengajian Tinggi, beliau turut melihat kurangnya
minat membaca dan membeli buku dalam kalangan penuntut.
Beliau turut mencadangkan kerajaan menyediakan insentif kepada penulis buku
ilmiah berbahasa Melayu dengan cara pemberian subsidi royalti yang tinggi agar
boleh bersaing dengan penerbitan buku ilmiah berbahasa Inggeris.
Dalam kalangan penuntut IPT pula, Dr Abdul Latif menggalakkan kempen kesedaran
mengenai Hak Cipta harta intelek secara berterusan dipertingkat agar golongan ini
memahami dan menghormati karya penulis tanah air.
SAMBUTAN PERPUSTAKAAN LAIN

Pada hari yang sama, beberapa perpustakaan awam lain turut menganjurkan
sambutan serupa.
Di Kangar misalnya, sambutan Hari Buku dianjurkan oleh Perbadanan Perpustakaan
Awam Negeri Perlis dari 21-27 April. Ia turut diadakan bersempena dengan 10 tahun
pemerintahan Raja Perlis dan majlis pelancaran disempurnakan baginda.
Menurut Pengarahnya, Norma Mohd Darus tahun ini ialah tahun ketiga sambutan itu
diadakan. Paling mendapat sambutan ialah pendaftaran ahli percuma serta hari
bebas denda.
Pada hari itu, para peminjam yang terlewat memulangkan buku tidak akan
dikenakan bayaran denda.
Perpustakaan Negeri juga mengadakan Program Mari Membaca Bersama untuk
kanak-kanak tadika dan sekolah rendah. Selain itu, beberapa perpustakaan pekan
dan desa turut mengadakan sambutan yang sama, jelas Norma.
Menurutnya sambutan Hari Buku sejak tiga tahun lalu meningkatkan jumlah
pengunjung manakala ahli perpustakaan meningkat hingga 82,000 orang di seluruh
Perlis.
Selain Perbadanan Perpustakaan Negeri Perlis, Jabatan Pengurusan Maklumat,
Perpustakaan Tun Abdul Razak, UiTM Shah Alam (PTAR) juga mengadakan sambutan
yang sama dengan objektif membudayakan minat membaca dalam kalangan
penuntutnya.
Dalam menangani isu Hak Cipta, PTAR mengadakan taklimat dan sesi perkongsian
maklumat berkaitan isu hak cipta dan gejala plagiat kepada pelajar semasa Taklimat
Orientasi Pelajar baru dan Kelas Kemahiran Maklumat.
Ia dilaksanakan secara berterusan bagi memberi kesedaran kepada pengguna PTAR
untuk menghargai buku dan karya penulis.
Sambutan Hari Buku penting kerana ia merupakan sebahagian daripada aktiviti
keilmuan yang sangat berguna dalam membentuk generasi berilmu.

Anda mungkin juga menyukai