Anda di halaman 1dari 7

BAHAGIAN B

ULASAN PENGURUSAN BENCANA


1.0 PENGENALAN
Bencana dinyatakan dalam Arahan 20 Majlis Keselamatan Negara sebagai; Sebarang insiden
sama ada semulajadi atau kerana faktor manusia yang berlaku secara tiba-tiba menyebabkan
kecederaan/kematian dan kerosakan terhadap harta benda atau persekitaran dan menyebabkan
gangguan terhadap aktiviti kehidupan seharian. Gangguan atau bencana adalah akibat dari
kejadian yang menyebabkan kegagalan penyampaian perkhidmatan Kerajaan.
Gangguan atau bencana yang berlaku di Malaysia adalah akibat dari kejadian-kejadian seperti
berikut:
(a) Bencana alam seperti banjir, gempa bumi, tanah runtuh, kemarau, kebakaran hutan, ribut
petir, ribut tropika, tsunami dan wabak penyakit;
(b) Gangguan yang tidak dirancang atau disengajakan seperti kebakaran, keganasan, sabotaj,
kecurian, vandalisme dan tunjuk perasaan;
(c) Gangguan kepada perkhidmatan dan utiliti seperti bekalan elektrik, air, gas, komunikasi
dan pengangkutan awam; dan
(d) Gangguan akibat serangan siber seperti pencerobohan, virus, Dis tributed Denial of
Service (DDoS), kegagalan sistem ICT termasuk aplikasi, rangkaian dan perkakasan.
2.0 PUNCA BENCANA
Berdasarkan kepada definisi yang diberikan, dapat dirumuskan bahawa punca bencana adalah
seperti berikut;
a) Semulajadi - Gempa bumi, kebakaran, banjir, tanah runtuh, ribut taufan, tsunami, puting
beliung dan sebagainya.
b) Persekitaran - Pembuangan kimia larangan, tumpahan minyak, runtuhan bangunan, radiasi
kimia perosak, letusan gunung berapi, letupan bahan api, kemalangan kenderaan, debu,
jerebu, cahaya lampu, binatang serta serangga perosak.

c) Politik/provokasi - Perbalahan pekerja, rusuhan, mogok, pemberontakan, ancaman bom,


membakar dengan sengaja, kecurian, sabotaj, kecuaian dan kelemahan aspek keselamatan
serta vandalisme.
d) Teknologi - Kegagalan perkakasan atau perisian, virus, gangguan elektromagnetik,
kegagalan bekalan kuasa elektrik, aktiviti penggodam, kegagalan sistem penghawa dingin
berpusat dan sebagainya.
3.0 ULASAN MENGENAI LANGKAH MENGATASI BENCANA
Malaysia sering menghadapi bencana akibat kejadian banjir dan ribut yang menyebabkan
kemusnahan kepada harta benda, kehilangan nyawa dan perpindahan penduduk. Insideninsiden seperti Ribut Tropika "Greg" yang melanda Pantai Barat Sabah pada 26 Disember
1996 di mana lebih daripada 200 orang terkorban dan 4,925 buah rumah musnah dan
kejadian banjir besar meliputi seluruh negeri Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang,
Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak pada Disember 2006 telah menyebabkan kerugian
yang amat besar kepada negara. Walaupun secara geografinya Malaysia terletak di luar
kawasan Lingkaran Api Pasifik (Pacific Rim Of Fire), kejadian tsunami yang melanda Pantai
Barat Semenanjung Malaysia pada 26 Disember 2004 telah menyebabkan 74 orang terkorban
telah mengejutkan negara. Gempa bumi yang berlaku di Indonesia baru-baru ini turut dirasai
gegarannya. Gegaran yang berlaku di Bukit Tinggi, Pahang dan Negeri Sembilan boleh
menyebabkan kejadian bencana dalam negara. Malaysia juga harus bersedia untuk
menghadapi kemungkinan kejadian bencana akibat gempa bumi yang mungkin melanda
negara ini pada masa hadapan.
Selain daripada kejadian bencana alam semula jadi, bencana juga boleh berlaku
akibat daripada kegagalan dan kecuaian manusia. Pelaksanaan pembangunan yang tidak
terancang, pembangunan di kawasan-kawasan cerun dan di kawasan tadahan hujan,
pembalakan yang tidak terkawal dan pencemaran alam sekitar akibat pembakaran terbuka
mengundang kejadian bencana. Bencana dapat ditakrifkan sebagai sesuatu kejadian yang
berlaku secara mengejut, bersifat kompleks dan mengakibatkan kehilangan nyawa,
kemusnahan harta benda dan alam sekitar serta menjejaskan aktiviti masyarakat setempat.
Pengurusannya memerlukan kecekapan menggembelingkan serta penyelarasan yang berkesan
sumber, peralatan, kekerapan dan penggunaan tenaga manusia yang ekstensif daripada
pelbagai pihak. Ianya juga melibatkan tindakan yang kompleks dan memerlukan jangkamasa
yang panjang untuk diselesaikan. Bertitik tolak daripada keruntuhan Pangsapuri Highland

Towers di Hulu Kelang, Selangor pada 11 Disember 1993, di mana 48 orang menjadi korban,
Jemaah Menteri yang bersidang pada 18 Mei 1994 telah memutuskan supaya satu mekanisma
pengurusan bencana diwujudkan bagi menguruskan bencana di negara ini. Majlis
Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah dipertanggungjawabkan
untuk memikul tugasan ini. Arahan MKN No. 20, Dasar dan Mekanisma Pengurusan dan
Bantuan Bencana Negara telah diwujudkan dan ditandatangani oleh YAB Perdana Menteri
pada 11 Mei 1997. Arahan ini menggariskan dasar pengurusan dan bantuan bencana serta
menentukan peranan serta tanggungjawab agensiagensi yang terlibat semasa bertindak
menangani sesuatu kejadian bencana yang berlaku. Arahan ini juga meliputi tindakan
pemantauan terhadap aktivitiaktiviti pencegahan dan persediaan agensi-agensi tertentu untuk
menghadapi sesuatu bencana. Berdasarkan Arahan ini, Jawatankuasa Pengurusan dan
Bantuan Bencana telah dibentuk meliputi Peringkat Pusat, Negeri dan Daerah bagi
menguruskan bencana mengikut tahap masing-masing.
Selaras dengan pembentukan jawatankuasa-jawatankuasa ini, perintah dan kawalan di
tempat kejadian juga dibentuk di mana Polis Diraja Malaysia dilantik sebagai Komander dan
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sebagai Timbalan Komander untuk mengurus
situasi di tempat kejadian dengan dibantu oleh agensi sokongan yang lain. Pelbagai undangundang telah digubal dan dikuatkuasakan oleh Kerajaan untuk mencegah bencana daripada
berlaku. Antaranya adalah Akta Pemuliharaan Tanah 1960, Akta Kualiti Alam Sekitar 1974,
Akta Jalan, Saliran dan Bangunan 1974, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976,
UndangUndang Kecil Bangunan Seragam 1984 dan lain-lain lagi. Akta-akta ini menyokong
antara satu sama lain bagi membentuk rangka kerja pencegahan bencana secara menyeluruh.
Banjir merupakan bencana yang sering berlaku di Malaysia. Menurut Jabatan Pengairan dan
Saliran (JPS), setiap tahun dianggarkan 29,800 kilometer persegi kawasan di Malaysia
mengalami kejadian banjir. Kejadian banjir pada tahun 2006 dan 2007, negara telah
mengalami kejadian banjir yang teruk yang menyebabkan kerugian masing-masing mencecah
RM1.1 bilion dan RM776 juta hanya bagi aset-aset kerajaan di negeri-negeri yang terlibat.
Kerugian ini tidak termasuk kerugian yang ditanggung oleh rakyat dan kerugian tidak
langsung terhadap ekonomi di kawasan yang dilanda banjir. Sejak tahun 1972, Kerajaan telah
membelanjakan berbilion-bilion ringgit bagi Projek Tebatan Banjir di bawah Rancangan
Malaysia Lima Tahun untuk mengurangkan risiko banjir. Dalam Rancangan Malaysia Ke-8
(2001- 2005), Kerajaan telah memperuntukkan RM1.79 billion bagi projek tebatan banjir.
Manakala, dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (2006-2010), peruntukan bagi projek tebatan

banjir meningkat secara mendadak kepada RM 5.81 billion. Selain itu, Kerajaan juga
memperuntukkan RM100 juta kepada JPS bagi projek penyelenggaraan sungai di seluruh
negara bagi tahun 2009. Projek Tebatan Banjir Stormwater Management and Road Tunnel
(SMART) yang mengintegrasikan langkah pencegahan banjir kilat serta kesesakan lalu lintas
di Kuala Lumpur telah berjaya meredakan kejadian banjir kilat yang berlaku di Kuala
Lumpur. Ini membuktikan komitmen Kerajaan yang amat tinggi terhadap projek-projek
pencegahan banjir demi menjaga kesejahteraan rakyat. Selain daripada itu, JPS telah
menyediakan Manual Pengurusan Air Ribut Bandar atau Manual Saliran Mesra Alam
(MSMA) pada tahun 2000, manakala, Jabatan Perancang Bandar dan Desa pula telah
melaksanakan program yang menitikberatkan perancangan dan pembangunan yang berhemah
di kawasan berisiko bencana yang dikenali sebagai Land Use Planning Appraisal For Risk
Areas (LUPAr) pada tahun 2005 untuk dipatuhi dan dilaksanakan oleh pihak berkuasa
tempatan dalam pembangunan fizikal di kawasan mereka. Jabatan Kerja Raya pula telah
menyiapkan Pelan Induk Cerun Negara pada awal tahun 2009 bertujuan untuk pengurusan
cerun-cerun dan pengurangan risiko untuk kejadian tanah runtuh yang lebih komprehensif.
Jabatan Alam Sekitar pula telah menggunapakai Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan dalam
menangani kejadian jerebu di dalam negara.
Kerajaan melalui agensi-agensi tertentu telah menyediakan prasarana amaran awal
bencana. JPS telah membangunkan sistem ramalan dan amaran awal banjir di mana
maklumat-maklumat ini disalurkan kepada agensi tindak balas dan juga kepada orang awam.
Sistem ini merangkumi 196 stesen telemetri hujan, 95 stesen telemetri aras air, 1683 tolok
lurus, 182 papan amaran banjir serta 395 siren amaran banjir. Jabatan Meteorologi Malaysia
(JMM) merupakan agensi utama dalam menyediakan ramalan dan amaran awal kepada
negara dalam perkaraperkara berkaitan meteorologi dan seismik dalam negara. Sistem
Amaran

Awal

Tsunami

Nasional

Malaysia

(SAATNM)

telah

dibangunkan

dan

dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Sistem ini turut melibatkan pemasangan 2 unit
pelampung tsunami di Pulau Rondo dan Pulau Layang-Layang. Sistem ini membolehkan
negara mendapat amaran awal sekiranya berlaku gempa bumi dan tsunami di Lautan Hindi,
Laut China Selatan dan Lautan Pasifik. JMM bekerjasama rapat dengan Pacific Tsunami
Warning Center (PTWC) yang berpusat Hawaii dan Japan Meteorological Agency (JMA).
Selain daripada sistem amaran awal tsunami, JMM juga sejak lama dahulu telah bertindak
dalam menyediakan sistem pemantauan dan penyebaran amaran berkaitan dengan ramalan
cuaca. Sistem Third Generation Wave Model (WAM) dan Storm Surge Model digunapakai

dalam meramalkan keadaan angin kencang, laut bergelora dan ketinggian ombak di kawasan
pantai. Dalam perkara ini juga, JMM bekerjasama rapat dengan Joint Typhoon Warning
Center (JTWC). Maklumat-maklumat ramalan cuaca sentiasa disalurkan kepada agensiagensi pengurusan bencana termasuk agensi-agensi maritim yang berkaitan melalui telefon,
faks, khidmat pesanan ringkas, media massa dan laman sesawang. JMM juga telah
membangunkan Sistem Amaran Bencana Melalui Talian Tetap (Fixed-Line Alert System)
yang membolehkan masyarakat yang tinggal di antara 1 hingga 3 kilometer dari kawasan
persisiran pantai mendapat panggilan amaran perpindahan ke kawasan lebih selamat
sekiranya tsunami dan ombak besar akan benar-benar berlaku. Jabatan Alam Sekitar pula
telah membangunkan 51 stesen pemantauan kualiti udara di seluruh Semenanjung Malaysia
bagi memantau indeks pencemaran udara (IPU) dalam negara. Kemajuan Teknologi
Maklumat dan Komunikasi (ICT) dan media elektronik juga memainkan peranan penting
dalam pengurusan bencana. Maklumat-maklumat mengenai ramalan cuaca, peningkatan aras
air sungai, jalan-jalan ditutup dan jalan-jalan alternatif akibat banjir serta indeks pencemaran
udara (IPU) telah dapat diperolehi secara masa sebenar di laman-laman sesawang agensi yang
bertanggungjawab. Masyarakat boleh mendapatkan maklumat tersebut di hujung jari untuk
kegunaan mereka. Selain itu, media-media Kerajaan dan swasta juga memainkan peranan
yang amat penting dalam menyalurkan program-program kesedaran dan maklumat dalam
masa sebenar kepada masyarakat sekiranya berlaku bencana. Kerajaan juga telah
memperkemaskan sistem panggilan kecemasan melalui Sistem Tindak Balas Kecemasan
Malaysia 999 bagi membolehkan masyarakat menyampaikan maklumat kecemasan kepada
agensiagensi berkenaan. Bagi membolehkan agensi-agensi ini melaksanakan tugas dengan
cepat, masyarakat juga perlu memainkan peranan untuk tidak membuat panggilan palsu.
Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menyediakan pusat-pusat pemindahan dan sentiasa
berusaha untuk meningkatkan keselesaannya untuk menempatkan mangsa-mangsa bencana.
Agensi-agensi Kerajaan menguruskan pusat-pusat pemindahan dalam kerja-kerja memasak,
menjaga kebersihan, keselamatan dan aktiviti lain.
Bagi menerapkan kesedaran mengenai bencana kepada mesyarakat, pelbagai aktiviti
kesedaran telah dilaksanakan. Program-program kesedaran ini diadakan sama ada secara
bersendirian ataupun secara kerjasama di antara agensi-agensi Kerajaan. Antara lain, MKN
dan JMM telah mengadakan program kesedaran kepada agensi-agensi pengurusan bencana di
daerah dan masyarakat terutamanya Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung
(JKKK). Pada tahun 2009, Kempen Kesedaran Awam mengenai Cuaca Ekstrem, Gempa

Bumi dan Tsunami telah diadakan di 13 lokasi di Melaka, Pulau Pinang, Perak, Perlis,
Pahang, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

4.0 KESIMPULAN

5.0 RUJUKAN
Arahan No.20 Majlis Keselamatan Negara (t.t), Kuala Lumpur: Kerajaan Malaysia
Carter, W. N. (1991). Disaster Management : A Disaster Managers Handbook. Manila :
ADB
Pengurusan Bencana Tahun 2011 2012 (2010), Kubang Pasu: Jabatan Kebajikan
Masyarakat
Twigg, J. (2004). Disaster Risk reduction (Mitigation and Preparedness in Development and
Emergency Programming), Good Practice Review, No.9 March 2004 London: Overseas
Development Institute
Yodmani, S. (2001). Disaster Risk Management and Vulerability Reduction, The Asia and
Pacifi c Forum on Poverty: Reforming Policies and Institutions for Poverty Reduction,
Manila: ADB

Anda mungkin juga menyukai