Anda di halaman 1dari 10

uesday, 11 September 2012

Tugasan EDU 3108 part ii

Kod Etika Profesion Keguruan

Etika boleh didefinisikan sebagai satu sistem dasar akhlak, adat


atau tingkah laku atau kesusilaan (Kamus Dewan Bahasa & Pustaka).
Kamus Oxford keluaran tahun 1994 mendefinisikan etika sebagai prinsip
moral atau satu set pinsip moral. Daripada perspektif Islam, etika merujuk
kepada tingkah laku betul berasaskan Al-Quran dan ketakwaan kepada
Allah. Etika juga secara umumnya boleh ditakrifkan sebagai satu set
perlakuan atau tingkah laku yang harus dijadikan ikutan untuk kebaikan
individu dan sesebuah organisasi. Etika Profesional pula boleh ditakrifkan
sebagai satu set garis panduan yang bertujuan meningkatkan tahap kualiti
dan produktiviti kerja serta disiplin dalam perkhidmatan dengan memberi
penekanan terhadap semua aspek yang berkaitan dengan penerimaan
norma-norma masyarakat. Etika professional ini diterima pakai di semua
kementerian yang dianggap profesional sebagai garis panduan untuk
memastikan pengurusan organisasi berjalan dengan teratur dan kualiti
kerja dapat dipertingkatkan.

Kod etika profesion keguruan diwujudkan bertujuan untuk


memartabatkan profesion perguruan dan kod etika ini mempunyai
kepentingannya yang tersendiri. Kod etika menyediakan garis panduan
bagaimana bertingkah laku dalam profesion perguruan. Oleh itu, kod etika
ini merupakan rujukan kepada para guru dan apa yang terkandung dalam
kod etika ini sesuai untuk diamalkan oleh guru di sekolah. Kod Etika
Profesion Keguruan menyatakan dengan jelas tentang tanggungjawab
guru terhadap pemegang amanah dalam bidang pendidikan yang terdiri
daripada murid, ibu bapa, sekolah, rakan sejawat dan profesion perguruan
itu sendiri. Dengan adanya kod etika ini, guru akan dapat lebih memahami
tanggungjawab yang perlu dipikul serta akan dapat untuk memahami
dengan lebih mendalam keperluan untuk menggalas tanggungjawab yang
diamanahkan. Kod Etika Profesion Keguruan mengandungi etika kerja yang
merupakan nilai-nilai yang penting dalam sesebuah organisasi kerana
untuk menjadi sesebuah organisasi yang berjaya, tonggak utamanya ialah
budaya kerja dan nilai-nilai penting yang perlu disemai di kalangan guru
serta kakitangan sekolah.

Tanggungjawab guru terhadap profesion perguruan boleh didapati


di Kod Etika Profesion Keguruan yang mengandungi 22 tanggungjawab
yang perlu dipikul oleh guru di sekolah. Antara tanggungjawab tersebut
ialah ;
A. Guru tidaklah harus bertingkahlaku sehingga begitu rupa sehingga
boleh mencemarkan sifat profesionalnya dan yang akan menyebabkan
hilang kepercayaan orang ramai terhadap profesion perguruan.

B. Guru tidaklah harus bertingkahlaku begitu rupa yang boleh membawa


kepada jatuhnya maruah diri dan kehilangan amanah berhubung dengan
kewangan.

C. Dalam semua hubungan dan tugas, guru hendaklah menjalankannya


dengan jujur.

Sila rujuk Lampiran untuk melihat Kod Etika Profesion Keguruan yang
sepenuhnya.

Kesimpulannya, Kod Etika Profesion Keguruan ini merupakan satu


set panduan tingkah laku yang perlu menjadi ikutan guru-guru di sekolah
di samping turut mengandungi nilai-nilai kerja yang perlu dipupuk di
kalangan guru. Dengan adanya kod etika ini, guru akan mempunyai
panduan tingkah laku sebagai rujukan dan pedoman bagi menjaga nama
baik profesion perguruan. Sekiranya semua guru menghayati apa yang
terkandung di dalam kod etika ini, budaya kerja guru akan bertambah
efisen dan tidak akan timbul sebarang isu berkenaan masalah guru di
sekolah. Semoga kod etika ini dapat menjadi panduan bagi guru-guru
baharu kelak.

Rumusan Intipati Surat Pekeliling Ikhtisas & Rasional


Pemilihannya

(A) Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 5/1997 Larangan Merokok Di


Sekolah

Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 5/1997 merupakan pekeliling yang


dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan pada ketika itu untuk
mewartakan sekolah sebagai kawasan larangan merokok dan pekeliling ini
dikeluarkan mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau, 1993.
Pekeliling larangan merokok ini adalah digunapakai oleh semua guru,
kakitangan sekolah, ibu-bapa dan mana-mana individu yang berurusan
dengan pihak sekolah. Sebaik sahaja memasuki kawasan sekolah, ianya
adalah kawasan larangan merokok bagi semua individu yang berada di
dalam sekolah. Surat pekeliling ini juga menyatakan bahawa larangan
merokok ini adalah meliputi seluruh kawasan premis sekolah samaada di
tempat terbuka ataupun terselindung dari pandangan murid. Dengan ini,
seluruh bangunan sekolah adalah kawasan larangan merokok termasuk
tandas dan bilik-bilik khas seperti bengkel kemahiran hidup atau makmal
komputer. Antara lain, Surat Pekeliling ini menyatakan bahawa Perkara 4.1
dalam surat pekeliling Ikhtisas bil.1/1993 : Garis Panduan Kempen Anti-
Merokok Di Sekolah-Sekolah adalah terbatal di bawah penguatkuasaan
pekeliling ini.

Surat Pekeliling Larangan Merokok ini merupakan satu langkah


bijak yang dilakukan oleh Kementerian Pelajaran ( Dahulu dikenali sebagai
Kementerian Pendidikan ) untuk membendung gejala merokok yang
semakin menjadi-jadi di kalangan remaja pada ketika ini. Tidak dinafikan
bahawa terdapat ramai guru yang merokok di sekolah dan kebanyakannya
merokok di tempat yang terlindung daripada pandangan murid-murid.
Dalam situasi ini, Guru Besar seharusnya memainkan peranannya untuk
menegur dan menguatkuasakan peraturan larangan merokok ini di
sekolah. Guru Besar juga harus menegur orang luar yang merokok yang
masuk ke kawasan sekolah seperti penghantar barang dan ibu bapa
murid. Namun, senario sebenar yang berlaku di sekolah ialah guru-guru
bebas untuk merokok di tempat yang terselindung dan aktiviti merokok ini
akan menjadi lebih rancak sekiranya Guru Besar itu sendiri adalah perokok
dan komuniti guru di sekolah tersebut juga perokok tegar.

Rasional pemilihan Surat Pekeliling ini adalah kerana pada masa


kini, gejala merokok di kalangan remaja khususnya amat membimbangkan
dan salah satu punca masalah ini adalah pendedahan kepada rokok pada
usia yang amat muda. Oleh itu, tidak hairanlah jika murid-murid sekolah
menengah sudah terdedah kepada rokok sejak berada di Tingkatan 1 lagi.
Oleh itu, langkah Kementerian Pelajaran untuk mewartakan sekolah
sebagai kawasan larangan merokok adalah satu langkah drastik yang bijak
bagi mengawal gejala merokok ini di kalangan murid-murid sekolah
rendah dan sekolah menengah. Guru-guru harus menjadi pelopor untuk
mendidik murid-murid agar tidak merokok dan menerapkan kesan serta
bahaya merokok kepada murid-murid di sekolah. Murid-murid boleh
dianalogikan umpama kaca yang akan pecah berderai jika dihempaskan
ke lantai dan guru adalah menjadi orang yang akan memikul tugas
menjaga kaca tersebut dengan selamat agar tidak jatuh ke lantai dan
pecah berderai.

Antara lain rasional pemilihan Surat Pekeliling ini adalah sebagai


peringatan kepada diri saya sendiri agar tidak merokok di kawasan
sekolah walaupun komuniti guru yang akan saya sertai di sekolah
penempatan pertama saya nanti mungkin komuniti guru yang merokok di
kawasan sekolah. Saya akan berusaha sedaya-upaya untuk menjaga nama
baik profesion perguruan dengan tidak merokok di kawasan sekolah
walaupun di tempat yang tersembunyi dengan berpegang teguh kepada
Integriti Perkhidmatan Awam dan Surat Pekeliling yang telah
dikuatkuasakan di sekolah.

(B) Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 10/2009 Pelaksanaan Program


Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PKJR) dalam Bahasa Malaysia
Di Sekolah Rendah.

Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.10/2009 ini merupakan pekeliling untuk


pelaksanaan Program Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PKJR) dalam
Bahasa Malaysia di sekolah rendah. Di dalam surat pekeliling ini
dinyatakan bahawa Kementerian Pelajaran memandang serius kes yang
berlaku kepada murid-murid ketika pergi dan balik dari sekolah.
Kementerian Pelajaran telah mengambil langkah yang bijak dalam
menjaga kebajikan warga sekolah yang bernaung di bawahnya dengan
mengeluarkan Surat Pekeliling yang mengandungi garis panduan
pelaksanaan program PKJR ini.

Di dalam Surat Pekeliling ini dinyatakan bahawa program PKJR ini


akan dilaksanakan dalam matapelajaran Bahasa Malaysia dan
diperuntukkan satu waktu seminggu. Elemen-elemen keselamatan jalan
raya akan diserapkan ke dalam matapelajaran Bahasa Malaysia semasa
sesi Pengajaran dan Pembelajaran di dalam kelas. Guru Besar hendaklah
memastikan bahawa guru Bahasa Malaysia menerapkan program PKJR ini
semasa kelas Bahasa Malaysia untuk satu waktu seminggu. Guru Besar
juga hendaklah memastikan bahawa bahan-bahan untuk pengajaran
program PKJR ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk kegunaan murid-murid
semasa sesi P&P. selain dapat mempelajari benda baru, murid-murid
dapat didedahkan dengan langkah keselamatan di jalan raya dan langkah
pencegahan untuk mengelakkan sesuatu yang tidak diingini berlaku ke
atas mereka.

Selain itu, pihak sekolah juga dikehendaki untuk memberi kerjasama


kepada pihak penyelidik daripada Jabatan Keselamatan Kerja Raya (JKJR)
dan Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk melihat keberkesanan
pelaksanaan program PKJR ini di sekolah. Ini merupakan sebagai langkah
penambahbaikan pada masa akan datang terhadap program PKJR ini
untuk meningkatkan ilmu pengetahuan murid berkaitan dengan
keselamatan jalan raya dan pada masa yang sama mengurangkan kadar
kemalangan jalan raya yang menimpa murid-murid ketika pergi dan balik
sekolah. Program PKJR ini merupakan perintis kepada program
keselamatan jalan raya yang lebih berkesan dan efektif pada masa akan
datang dengan penambahbaikan yang akan memberi murid-murid lebih
input berkaitan keselamatan di jalan raya.

Rasional pemilihan Surat Pekeliling ini ialah kerana pada masa kini, kita
mendengar banyak kemalangan yang berlaku melibatkan murid-murid
sekolah dan lebih menyedihkan apabila kemalangan yang melibatkan
murid-murid sekolah ini berlaku ketika mereka hendak pergi ke sekolah
atau balik dari sekolah. Dengan adanya Surat Pekeliling ini, ianya akan
menjadi panduan saya untuk mengajar program PKJR ini di sekolah
sekiranya saya ditugaskan untuk mengajar matapelajaran Bahasa
Malaysia di sekolah nanti. Antara lain rasional pemilihan Surat Pekeliling
ini ialah sekiranya saya dilantik menjadi Guru Besar di sekolah nanti, saya
akan memastikan bahawa pelaksanaan Program PKJR ini diteruskan dan
ditambahbaik daripada semasa ke semasa di peringkat sekolah untuk
memastikan murid-murid saya mendapat pendidikan keselamatan jalan
raya yang sepatutnya untuk manfaat pada masa akan datang.

(C) Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 3/1981 Penggunaan waktu tidak


mengajar/waktu luang (free period) guru-guru.

Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 3/1981 ini merujuk kepada


penggunaan waktu tidak mengajar ataupun waktu luang bagi guru-guru.
Guru-guru di sekolah memiliki waktu luang yang diperuntukkan sebagai
waktu bagi guru-guru untuk membuat perkara lain yang melibatkan
bidang tugasnya. Namun, ada sesetengah guru menganggap waktu ini
adalah waktu tidak bekerja dan anggapan ini adalah salah mengikut
Perkara 1 Surat Pekeliling ini. Perkara 2.1 menyatakan bahawa waktu tidak
mengajar atau waktu luang guru adalah waktu bekerja dan perkara 2.2
menyatakan bahawa Guru Besar mempunyai kuasa untuk mengarahkan
guru-guru melakukan perkara-perkara yang difikirkan perlu (baca bersama
perkara 2.2.6). Waktu tidak mengajar guru hendaklah diisi dengan perkara
yang boleh memberi faedah kepada murid-murid dan sekolah.

Surat Pekeliling ini juga menyatakan perkara-perkara yang boleh


dilakukan oleh guru untuk mengisi masa waktu tidak mengajar mereka
seperti menggantikan guru yang tidak hadir mengajar, memeriksa buku
latihan murid dan membuat persediaan untuk mengajar. Guru tidak
seharusnya melakukan perkara yang di luar bidang tugas seperti
menjalankan jualan langsung ataupun tidur pada waktu tidak mengajar
ini. Tindakan Kementerian Pendidikan (kini dikenali Kementerian Pelajaran)
ini merupakan langkah yang bertepatan dengan usaha untuk
meningkatkan tahap profesionalisme di kalangan guru dan untuk menjaga
nama baik profesion Pendidikan. Surat Pekeliling ini secara tidak langsung
atau dalam bahasa yang lebih lembut sebenarnya, melarang guru-guru
menjalankan sesi jualan langsung atau apa-apa jua jenis perniagaan pada
waktu bekerja yang boleh menganggu prestasi dan produktiviti guru di
sekolah.

Rasional saya memilih Surat Pekeliling ini adalah sebagai panduan


dan peringatan peribadi tentang waktu tidak mengajar atau waktu luang
ketika berada di sekolah pada tahun hadapan. Dengan adanya pekeliling
ini, saya akan mempunyai panduan untuk aktiviti yang akan saya lakukan
pada waktu tidak mengajar saya pada tahun hadapan. Semoga dengan
panduan Surat Pekeliling ini, saya dapat melakukan aktiviti yang bersifat
akademik dan memberi faedah kepada murid-murid dan persediaan sesi
pengajaran dan pembelajaran saya pada waktu tidak mengajar saya.

(D) Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 25/1998 Pelaksanaan


Matapelajaran Pendidikan Jasmani & Pendidikan Kesihatan.

Pelaksanaan matapelajaran Pendidikan Jasmani Dan Pendidikan


Kesihatan terkandung dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 25/1998 dan
mula dikuatkuasakan pada sesi persekolahan tahun 2009. Surat Pekeliling
ini turut menyatakan bahawa matapelajaran Pendidikan Jasmani dan
Pendidikan Kesihatan dijadikan matapelajaran teras sebagaimana yang
diperuntukkan dalam Peraturan Pendidikan 1996. Di dalam Surat Pekeliling
ini turut menggariskan peruntukan masa bagi matapelajaran Pendidikan
Jasmani dan Pendidikan Kesihatan untuk sekolah rendah dan sekolah
menengah. Peruntukan masa bagi sekolah rendah tahap satu ialah dua
waktu seminggu untuk Pendidikan Jasmani dan satu waktu untuk
Pendidikan Kesihatan . Bagi sekolah rendah tahap dua dan sekolah
menengah pula, waktu Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan
diperuntukkan dua waktu seminggu dan berselang-seli setiap minggu.

Matapelajaran Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan


hendaklah diajar oleh guru yang sama sebagaimana yang terkandung di
dalam Surat Pekeliling ini. Pakaian yang perlu digunakan oleh guru
Pendidikan Jasmani adalah mengikut Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.3/1979
dan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.6/1985. Pakaian yang perlu digunakan oleh
murid ketika aktiviti Pendidikan Jasmani pula adalah merujuk Surat
Pekeliling Ikhtisas Bil.3/1983 dan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.8/1985. Di
dalam Surat Pekeliling ini juga dilampirkan bersama agihan masa untuk
tajuk-tajuk dalam tunjang yang terkandung dalam Pendidikan Jasmani dan
Pendidikan Kesihatan. Surat Pekeliling ini adalah medium kepada hasrat
Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan murid yang sihat dari
aspek Jasmani, khususnya dan emosi, amnya. Dengan adanya
matapelajaran Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan ini, murid-
murid dapat membina kemahiran motor mereka dengan aktiviti-aktiviti
yang bersifat fizikal dan permainan di samping dapat mengetahui cara
untuk menjaga kesihatan dan kebersihan diri sendiri di dalam kelas
Pendidikan Kesihatan.
Rasional pemilihan Surat Pekeliling ini ialah sebagai garis panduan untuk
menjalankan sesi Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan apabila
berada di sekolah nanti. Surat Pekeliling ini juga adalah sebagai panduan
untuk pemakaian guru dan murid ketika kedua-dua matapelajaran ini
dijalankan di sekolah. Surat Pekeliling ini juga adalah sebagai panduan
untuk guru merancang Rancangan Pengajaran Tahunan dan mingguan
dengan adanya agihan masa untuk tajuk-tajuk mengikut tunjang di dalam
kedua-dua subjek ini. Agihan masa ini adalah penting untuk memastikan
guru tidak terlepas pandang sebarang topik yang perlu diajar di dalam
kelas. Dengan adanya Surat Pekeliling ini, adalah diharapkan ianya dapat
menjadi panduan untuk guru baharu yang ditugaskan untuk mengajar
subjek ini buat pertama kali di sekolah.

Konsep Akauntabiliti & Integriti

Konsep Akauntabiliti

Salah satu perkara utama di dalam dunia pendidikan pada hari ini
adalah berkenaan akauntabiliti. Akauntabiliti secara umumnya boleh
difahami sebagai menjalankan apa jua aktiviti yang diamanahkan yang
ditentukan mahupun ditetapkan secara bertanggungjawab ke atas atau di
atas segala kejayaan mahupun kegagalannya (Pelan Integriti
Nasional,2004). Kesyumulan Islam menggariskan konsep Akauntabiliti
berasaskan Surah An-Nisa':58, yang bermaksud,

"............. sesungguhnya Allah swt menyuruh kamu melaksanakan amanah


terhadap orang-orang yang memberi amanah

Konsep yang digariskan mengikut kesyumulan Islam ini adalah bersifat


terbuka dan lebih menekankan tentang amanah yang perlu dipikul apabila
diberikan amanah tersebut. Jika dilihat daripada dua pendapat di atas,
akauntabiliti ini lebih menjurus kepada pelbagai aspek yang perlu
dikekalkan akauntabilitinya. Aristotle pada tahun 400 sebelum masihi
turut menjelaskan konsep akauntabiliti dalam penulisannya ;

"Some officials handle large sum of money: Therefore, It is necessary to


have other officials to receive and examine the accounts. These
inspectors must administer no funds themself. Different citis call them
examiners, auditors, scrutineers, and public advocates."
Apa yang cuba ditekankan oleh Aristotle dalam penulisannya ini
ialah tentang inspectors yang akan menjadi penyemak kepada akaun.
Individu yang dilantik ini perlu memiliki akauntabiliti yang tinggi terhadap
tugasnya kerana tanpa akauntabiliti atau kebertanggungjawaban,
penyelewengan akaun dan rasuah akan mudah terjadi. Ini jelas
menunjukkan bahawa konsep akauntabiliti sudah bertapak sejak lebih
berabad lamanya di dunia ini dan konsep yang diperbaharui daripada
semasa ke semasa akan lebih releven dengan peredaran zaman sekarang
yang memerlukan individu yang mempunyai akauntabiliti yang tinggi
dalam pelbagai bidang.

konsep akauntabiliti adalah satu obligasi untuk memberikan jawapan dan


penjelasan mengenai sesuatu tindakan dan prestasi kepada mereka yang
berhak untuk mendapat jawapan dan penjelasan tersebut (Tan Sri Ahmad
Sarji)

Umumnya, Akauntabiliti merupakan satu amanah yang perlu


dilaksanakan oleh setiap individu yang bernama manusia kerana
akauntabiliti merupakan faktor pemangkin tindakan asas individu secara
dalaman bagi menghalang serta mengelakkan penyalahgunaan kuasa
bagi mencapai matlamat utama sesebuah organisasi. Akauntabiliti
merupakan aset yang penting dalam sesuatu organisasi untuk mencapai
dan mengekalkan kualiti kerja unggul.

Jika dilihat daripada pelbagai sumber, Akauntabiliti memiliki


pelbagai definisi yang diperolehi melalui pelbagai tanggapan dan
pendapat pelbagai pihak. Kamus Istilah Pentadbiran Perniagaan Pengajian
Tinggi dan Kamus Dwi Bahasa (DBP) mendefinisikan 'Akauntabiliti' sebagai
"Kepertanggungjawaban" dan "Bertanggungjawab kepada seseorang
mengenai sesuatu". Webster's New World Dictionary pula mendefinisikan
'Akauntabiliti' sebagai "Responsible, liable or explainable. The Chambers
20th Century Dictionary turut memberikan definisi mereka terhadap
akauntabiliti yang didefinisikan sebagai "The Liable to Give Account for
Something to Somebody." Jika diambil kira daripada semua definisi yang
diberikan di atas, akauntabiliti boleh disimpulkan sebagai
kebertanggungjawaban yang penuh terhadap amanah yang diberikan
kepada seseorang individu.

Objektif yang mahu dicapai oleh akauntabiliti pula ialah untuk


memastikan bahawa semua individu mempunyai rasa tanggungjawab
untuk melakukan tugas yang telah diamanahkan kepada mereka dan
bertanggungjawab penuh terhadap tugas yang diberikan tanpa mengira
berjaya atau gagalnya tugas tersebut. Guru seharusnya menghayati
konsep akauntabiliti kerana seorang guru mempunyai akauntabiliti
terhadap sekolah, diri sendiri , murid-murid dan profesion keguruan. Guru
harus sentiasa menerapkan akauntabiliti dalam pelbagai tugasan harian
mereka kerana tugas guru adalah tugas yang mulia dan dipandang tinggi
oleh masyarakat sekeliling.

Konsep Integriti

Pada hari ini, disini sana kita dapat mendengar tentang Integriti
diperkatakan oleh pelbagai Kementerian untuk memupuk kualiti kerja
yang unggul di kalangan penjawat awam. Kerajaan amat memandang
berat perihal integriti ini sehinggakan pada tahun 2004, Institut Integriti
Malaysia ditubuhkan untuk memacu perkembangan integriti di kalangan
penjawat awam. Institut Integriti Malaysia melalui Pelan Integriti Nasional
telah mendefinisikan integriti ini melalui pelbagai sudut.

Perihal sifat individu dan organisasi yang sempurna berteraskan nilai


murni seperti jujur, benar, amanah, adil, bertanggungjawabkan,
telus,cekap, dan bijaksana (Glosari Integriti,2006)

..kualiti unggul yang wujudsecara keseluruhan dan padu. Ia berlandaskan


etika danpencerminan etika dalamtindakan sehari-hari. (Pelan Integriti
Nasional, m.s.18)

Satu kualiti dan ciri positif yang wujud secara keseluruhan dan padu
pada individu dan organisasi. Ciri dan kualiti integriti mengandungi unsur
wholeness (yakni kewujudan secara berpadu sebagai keseluruhan) pada
diri individu ataupun organisasi (Pelan Integrasi Nasional,2004)

ntegriti secara umumnya bermaksud kualiti unggul yang wujud di


kalangan individu dan kualiti ini berteraskan kepada prinsp berpegang
teguh kepada kejujuran dan amalan bermoral tinggi. Selain itu, integriti
bermaksud keikhlasan, ketelusan, amanah, benar dan berpegang kepada
prinsip. Oleh itu, sebarang usaha bagi meningkatkan integriti akan
menjurus kepada melahirkan insan yang jujur, beretika serta memiliki
nilai-nlai keagamaan dan kerohanian yang kukuh. Kesemua nilai-nilai ini
penting dalam melahirkan generasi pemimpin yang bakal mengetuai
tampuk pemerintahan Negara pada masa hadapan. Masyarakat yang
mempunyai tahap integriti yang rendah akan menghasilkan suasana
pelaburan yang tidak sihat kepada negara. Justeru itu, ia akan meletakkan
negara di ambang kegagalan dalam merealisasikan Wawasan 2020 ke
arah sebuah negara maju.
Bagi individu yang bergelar penjawat awam, integriti pula
bermaksud melaksanakan amanah dan kuasa yang
dipertanggungjawabkan menurut kepentingan umum. Mereka tidak boleh
menyalahgunakan kuasanya yang diberi untuk kepentingan diri mahupun
keluarga. Apabila berlaku konflik kepentingan, penjawat awam harus
memberi keutamaan terhadap kepentingan awam. Dengan demkian,
penjawat awam perlu telus serta harus memikul tanggungjawab yang
diamanahkan (Sulaiman Mahbob, 2005). Integriti turut dikaitkan dengan
etika untuk difahami dengan lebih mendalam bagi penjawat awam. Etika
merupakan suatu tanggungjawab dan akibat daripada tingkah laku
seseorang atau profesion terhadap masyarakat. Sebagai contoh, seorang
penjawat awam sepatutnya memahami tanggungjawab terhadap peranan
dan tingkah laku sebagai kakitangan kerajaan. Bukan itu setakat itu
sahaja, etika bermaksud satu bentuk disiplin yang akan memberitahu kita
apakah sistem moral dan etika yang dihayati oleh satu-satu kelompok
masyarakat, iaitu secara mengkaji dan menganalisis sistem moral
tersebut.

Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa Integriti bagi penjawat awam


merupakan kesempurnaan kualiti kendiri terutamanya apabila
menjalankan tugas tanpa perlu sebarang pengawasan namun pada
akhirnya, hasil kerja yang dihasilkan amat berkualiti dan menepati tahap
kualiti yang diperlukan untuk menjaga produktiviti perkhidmatan yang
diberikan.

Posted by Michael Mike at 22:26

http://mikepjeduworld.blogspot.my/2012/09/tugasan-edu-3108-part-ii.html

Anda mungkin juga menyukai