Anda di halaman 1dari 4

Isu Kesantunan Masyarakat Malaysia: Isu Gejala Sosial

Memetik interprestasi tokoh bahasa terkenal Asmah Haji Omar (1996), kesantunan
berbahasa ialah penggunaan bahasa sehari-hari yang tidak menimbulkan kegusaran,
kemarahan dan rasa tersinggung daripada pihak pendengar. Konsep kesantunan bukan
sahaja terikat dengan linguistik tetapi juga perlakuan bukan linguistik. Kesantunan linguistik
merujuk kepada pemilihan kata atau nada manakala kesantunan bukan linguistik ialah
perlakuan melalui gerak laku, gaya dan ragam. Oleh itu, pernyataan tersebut dapat dikaitkan
dengan isu kesantunan masyarakat Malaysia yang akan diutarakan dalam intipati penulisan
akademik ini. Berdasarkan konteks masyarakat Malaysia, kesantunan amat penting bagi
mengekalkan perpaduan dan keamanan sejagat. Namun demikian, kesantunan masyarakat
Malaysia dekad ini menunjukkan kelunturan nyata apabila isu gejala sosial kian menular
terutamanya dalam kalangan remaja.

Gejala sosial seperti lumba haram semakin giat dalam kalangan remaja di Malaysia.
Lumba haram adalah satu bentuk perlumbaan motor yang diadakan di atas jalan raya awam
tanpa kebenaran pihak berkuasa (Wikipedia, 2015). Istilah Mat Rempit sudah mangli
dengan golongan remaja yang terlibat dalam aktiviti lumba haram. Sehubungan itu, memetik
artikel Astro Awani bertajuk Penonton Lumba Haram Boleh Dikenakan Tindakan bertarikh
20 Julai 2015 dapat dikaitkan dengan konsep kesantunan. Petikan artikel ini menyatakan
bahawa kehadiran penonton di sepanjang jalan berperanan mendorong serta merangsang
aktiviti lumba haram dengan mempamerkan aksi berbahaya. Jelaslah bahawa kesantunan
bukan linguistik tidak diamalkan terbukti apabila orang di sekeliling tidak mencegah aktiviti
tersebut dengan melaporkan kepada pihak berkuasa malahan menjadi penonton. Penonton
tersebut barangkali kawan mereka ataupun individu yang sengaja ingin melihat aksi
samseng jalanan.

Kontrakdiksinya, tujuan kesantunan bukan semata-mata untuk memancarkan


peribadi mulia dan mempamerkan kehormatan kepada pendengar tetapi menunjukkan
keimanan seseorang. Tanda aras keimanan seseorang apabila menggunakan kesantunan
berbahasa dengan tujuan dan matlmat yang baik (Faridah Nazir, 2015). Contohnya,
berkaitan dengan penonton lumba haram tersebut sepatutnya menganggapnya sebagai
suatu yang sangat penting untuk diambil tindakan segera sebagaimana tuntutan matlamat
baik dalam kesantunan. Strategi menegur yang sepatutnya dalam kesantunan budaya
masyarakat Melayu juga tidak dipraktikkan. Masyarakat Melayu sedia maklum bahawa
strategi kiasan merupakan salah satu cara untuk menegur perkara sensitif secara berhemah
dengan menggunakan pemilihan kata sesuai dan nada yang betul agar tidak menimbulkan
persengketaan. Sekiranya, masyarakat lama Melayu juga banyak mengungkapkan sesuatu

1
dengan peribahasa untuk mencapai tujuan dan matlamat. Oleh itu, kesantunan berbahasa
dalam pemilihan kata untuk menegur seseorang tidak dipraktikkan oleh penonton lumba
haram. Intihanya, masyarakat Malaysia semakin meminggirkan konsep kesantunan dalam
menegur untuk menangani isu gejala sosial seperti lumba haram tersebut.

Dalam pada itu, seramai 29 orang ditahan dengan 15 saman dikeluarkan kepada samseng
jalanan dalam operasi yang bermula pada pukul 3 pagi dan berakhir pukul 7 pagi
tadi.Daripada jumlah itu, empat lelaki yang berusia 17 hingga 26 tahun diberkas kerana
menunggang di bawah pengaruh dadah dan ujian saringan air kencing mendapati kesemua
mereka positif dadah jenis metamphetamine. (Astro Awani, 2015)

Berdasarkan petikan di atas dapat dikaitkan dengan konsep kesantunan dari aspek
penjagaan muka sebagai asas kesantunan. Penjagaan muka menurut masyarakat Melayu
ialah segala kelakuan kebahasaannya hendaklah membayangkan nama baik keluarganya
(Asmah, 1996). Penjagaan air muka masyarakat Melayu berasaskan maruah dan martabat
ibu bapa, keluarga dan diri sendiri. Lantaran itu, pernyataan di atas menunjukkan remaja
pada hari ini sudah menconteng arang ke muka orang tuanya dan diri sendiri kerana positif
dadah di samping menjadi samseng jalanan. Yakni, mereka tidak mementingkan maruah ibu
bapa yang akan menjadi sebutan masyarakat lain kerana terlibat dalam aktiviti tidak
bermoral. Natijah pengaruh dadah, remaja ini sudah tiada kesantunan dalam diri apabila
berlumba haram pada pukul tiga pagi dan waktu Subuh. Ifrit ini menyebabkan deruman
keras motosikal akan menggangu ketenteraman kejiranan. Pada waktu yang sama tindakan
kumpulan berkenaan yang berkumpul dengan lebih 1,000 motosikal di jalan raya
mengakibatkan kesesakan lalu lintas dan membahayakan keselamatan pengguna jalan
raya.

Masyarakat Malaysia yang dikatakan mempunyai nilai hormat-menghormati dan


bertolak-ansur dalam memelihara konsep kesantunan ibarat tidak relevan lagi. Senario ini
kerana remaja di Malaysia tidak mengamalkan strategi kesantunan memudahkan. Menurut
Noriati A.Rashid(2007) strategi ini digunakan dalam ujaran-ujaran yang memberi maksud
sesuatu urusan atau perkara yang dipermudah demi kebaikan bersama. Buktinya, mereka
tidak mengambil berat tentang masyarakat di sekeliling apabila beraksi pada awal pagi
malahan menyukarkan urusan pengguna jalan raya lain. Secara total, strategi bukan verbal
yang sepatutnya menjadi penanda aras kesantunan masyarakat Malaysia masih pincang
disebabkan gejala sosial remaja tidak berakhlak mulia.

Setelah meneliti isu gejala sosial dan kaitannya dengan konsep kesantunan dari
pelbagai aspek, cadangan secara rasional akan dihuraikan. Antara cadangan untuk
mengatasi isu kesantunan dalam kalangan remaja di atas ialah menguatkuasakan undang-

2
undang dan keprihatinan sikap ibu bapa. Kerajaan hendaklah membendung masalah ini
dengan mengambil tindakan undang-undang terhadap pesalah. Contohnya permasalahan
untuk penonton lumba haram hendaklah dikenakan tindakan di bawah Seksyen 48 Akta
Pengangkutan Jalan 1987 kerana menghalang kelancaran lalu lintas. Selain itu, remaja
bawah umur yang terlibat dalam lumba haram ini hendaklah dihantar ke sekolah juvana
serta dihukum membuat kerja-kerja amal sehingga 100 jam dan motosikal dirampas (Portal
1 Klik, 2008). Kaedah ini dapat menyedarkan mereka agar tidak mengulanginya. Mereka
juga akan menjadi seorang yang bertanggungjawab secara tidak langsung memupuk nilai
murni dalam diri untuk menjadi lebih baik.

Seterusnya, peranan ibu bapa amat penting dalam menangani isu gejala sosial agar
konsep kesantunan dapat dipelihara sepanjang masa dalam mewujudkan masyarakat
Malaysia tinggi nilai adabnya. Ibu bapa hendaklah menerapkan nilai keagamaan terhadap
anak mereka. Hal yang demikian, anak yang dididik dengan agama yang kuat akan terlatih
jiwanya untuk melakukan hal-hal positif dan menghindarkan diri daripada permasalahan
sosial. Nilai keagamaan amat penting dalam membentuk kesantunan dan tingkah laku
seseorang kerana keimanan dijaga. Terutamanya dalam agama Islam ada menekankan
unsur kesantunan dalam himpunan hadis-hadis, iaitu pesanan Nabi Muhammad SAW.
Sebagai contoh, mahfumnya dari sebuah hadis yang bermaksud sebaik-baik manusia
antara kamu ialah orang yang akhlaknya baik. Oleh itu, ibu bapa wajar mendidik anak
dengan strategi rujukan sumber Rasul dan Islam agar mewujudkan masyarakat Malaysia
tinggi nilai kesantunan.

Kesimpulannya, konsep kesantunan amat penting dalam melahirkan masyarakat


Malaysia yang terhindar daripada gejala sosial terutamanya golongan remaja.
Memandangkan konsep ini boleh menjadikan masyarakat Malaysia harmoni dan sejahtera,
langkah-langkah untuk menghidupkannya kembali hendaklah diberi sokongan oleh semua
pihak. Hal yang demikian, semua pihak haruslah mengamalkan sikap berat sama dipikul,
ringan sama dijinjing bagi menangani isu gejala sosial demi memelihara konsep
kesantunan.

3
RUJUKAN

Astro Awani. (2015). Penonton Lumba Haram boleh Dikenakan Tindakan-Polis. Didapatkan
SEPTEMBER 25, 2015, daripada Astro Awani: http://www.astroawani.com/berita-
malaysia/penonton-lumba-haram-boleh-dikenakan-tindakan-polis-66494
Asmah Haji Omar. (1996). Wacana Perbincangan, Perbahasan dan Perundingan. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Faridah Nazir, R. L. (2015). Kesantunan Masyarakat Malaysia. Selangor Darul Ehsan:
Sasbadi Sdn. Bhd.
Ishak Md Salleh. (2012). Karangan SPM 4-5. Kuala Lumpur: Sasbadi Sdn. Bhd.
Noriati A. Rashid. (2007). Kesantunan Orang Melayu. Kuala Lumpur: Universiti Sultan Idris.
Marlyna Maros. (2011). Strategi Kesantunan. Jurnal Elektronik Jabatan Bahasa &
Kebudayaan Melayu, 3, 7-20.
Portal 1 Klik. (2008). "Samseng Jalanan @ Mat Rempit". Didapatkan SEPTEMBER 25,
2015, daripada penerangan.gov:
http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/keselamatan/4256-samseng-jalanan--mat-
rempit.html
Siti Hajar Abdul Aziz. (2011). Bahasa Melayu 1. Kuala Lumpur: Oxford Fajar Sdn. Bhd
Wikipedia. (2015). Lumba Haram. Didapatkan SEPTEMBER 25, 2015, daripada
Wikipedia.org: https://ms.wikipedia.org/wiki/Lumba_haram

Anda mungkin juga menyukai