Anda di halaman 1dari 12

Konsep Tamadun Islam

Ustaz Abd Aziz bin Harjin, Pensyarah UiTM Perlis,


Malaysia.
Astronomi Menurut Islam
Definisi Ilmu Astronomi :
Berikut adalah definisi-definisi yang diberikan oleh tokoh-
tokoh atau sarjana-sarjana Islam pada zamannya:-
(1) Ilmu untuk mempelajari suria, bintang, buruj, jarak, saiz
dan gerakan jasad-jasad tersebut oleh: As Shafa
(2) Ilmu untuk mengetahui hal ehwal jasad-jasad cakerawala
yang bertaburan di angkasa lengkap dengan bentuk,
kedudukan, ukuran serta jaraknya. oleh : Thasy Kura
(3) Ilmu berkaitan dengan gerakan dan peredaran bintang-
bintang yang tetap. Dari gerakan dan peredaran bintang ini
dapat diketahui bentuk dan kedudukannya melalui hitungan
gerakannya yang dapat dilihat dengan cara metrik. oleh :
Ibnu Khaldun

2.1.3 Al-Quran Sumber Ilmu Pengetahuan & Astronomi :


Al-Quran adalah sumber tentang khazanah ilmu
pengetahuan, dan telah memberikan pengaruh yang amat
besar terhadap pendidikan dan kebudayaan ummat manusia.
Pengaruh ini antara lain adalah penemuan-penemuan ilmiah
dan pertumbuhan ilmu pengetahuan yang amat pesat dalam
dunia Islam pada abad ke 7 hingga ke abad 14 Masehi.
Al-Quran dan ilmu pengetahuan merupakan dua aspek
kebenaran yang sama, dan tidak ada pertentangan diantara
kedua-duanya. Al-Quran juga menyuruh manusia untuk
berdoa semoga Allah s.w.t. menambahkan ilmu pengetahuan
kepada mereka. Al-Quran menegaskan bahawa hanya orang
yang berilmu akan mendapat darjah ketakwaan yang lebih
tinggi kepada Allah. Ia adalah kerana mereka mengetahui
dan memahami tanda-tanda kebesaran Allah, baik yang
termaktub dalam al-Quran mahupun yang dapat dilihat dalam
alam semesta.
Al-Quran menjelaskan bahawa seluruh kandungan alam
semesta penuh dengan tanda-tanda kekuasaan Allah, dan
hanya manusia yang berilmu sahaja yang dapat mengamati
dan memahaminya.
Astronomi mempunyai hubungan yang sangat erat dengan
masalah-masalah ibadah seharian dalam Islam. Hal ini
diterangkan dengan terperinci di dalam ilmu falak syarie. Ilmu
astronomi juga adalah ilmu yang tertua daripada semua ilmu
pengetahuan alam. Ilmu ini menjelaskan tentang
kemajmukan langit dan bumi.
Al-Quran memberikan perhatian khusus terhadap ilmu
Astronomi. Banyak ayat-ayat al-Quran menceritakan perihal
Astronomi. Ia memberi ruang kepada manusia untuk
menghayati kebesaran Allah yang jelas terbukti dari wujudnya
bintang-bintang, planet-planet, matahari dan bulan dengan
segala bentuk dan sifatnya.
Berikut dicatatkan beberapa ayat yang penting berkaitan
dengan astronomi:
(i) Al-Quran menuntut manusia supaya memerhati langit,
firman Allah s.w.t. dalam surah Qaaf; ayat ke 6: Maka
tidakkah mereka memandang ke langit yang ada di sebelah
atas mereka, bagaimana kami membinanya (dengan rapi)
serta Kami menghiaskannya (dengan bintang-bintang) dan
dengan keadaan tidak ada padanya retak renggan sedikit
pun ?.
(ii) Kenyataan bahawa langit itu tidak bertiang disebutkan
dalam al-Quran antaranya:
Allah jualah yang menjadikan langit terangkat tinggi dengan
tiada bertiang sebagaimana kamu melihatnya, kemudian Ia
bersemayam di atas Arasy, dan Ia menundukkan matahari
dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya) ; masing-
masing beredar dalam waktu yang ditentukan. Allah jualah
yang mentadbirkan segala urusan (makhluknya) , dan
menerangkan kekuasaanNya satu persatu, supaya kamu
yakin pertemuan (kamu) dengan Tuhan kamu. [Surah Ar-
Rad ; ayat 2]
2.1.4 Kosmologi Dalam Al-Quran :
Kosmologi adalah titik permulaan daripada ilmu pengetahuan
dalam Islam. Ia adalah berhubung kait dengan permulaan
penciptaan alam semesta, samada yang berada di dalam
atau diluarnya. Al-Quran menyebutkan hakikat tertinggi alam
semesta yang menunjukkan bahawa Allah adalah kekuatan
yang mengendalikannya. Penyelidikan tentang alam semesta
ini akhirnya membawa manusia kembali untuk menikmati
ilmu pengetahuan tentang keesaan Allah s.w.t.
Dalam surah al-Araaf, ayat ke 54, Allah s.w.t. mengingatkan
bahawa:
Sesungguhnya Tuhan kamu adalah Allah yang telah
menciptakan langit dan bumi dalam enam hari, lalu Ia
bersemayam di atas Arasy ; Ia melindungi malam dengan
siang yang mengiringinya dengan deras, dan Ia pula
menciptakan matahari dan bulan serta bintang-bintang,
semuanya tunduk kepada perintahNya....
Allah menjadikan seluruh langit dan bumi dalam enam hari
mengikut hitungan Tuhan. Hari yang disebutkan dalam ayat
ini bukanlah hari 24 jam sebagaimana yang kita hitung
sekarang. Dalam al-Quran, surah al-Haj, ayat 47, dan surah
as-Sajdah, ayat 5, dijelaskan bahawa bilangan hari di sisi
Allah sama dengan 1000 tahun hitungan manusia.
Dalam surah al-Marij, ayat 4 diterangkan satu lagi hitungan
satu hari sama dengan 50, 000 tahun menurut hitungan
tahun peredaran bumi matahari.
Penjelasan daripada ayat-ayat di atas mengenai dengan
bilangan hari dapat dirumuskan bahawa di dalam bahasa
Arab, hari itu juga bererti masa atau zaman. Ia berbeza dari
hitungan hari kita yang berdasarkan definasi astronomi yang
melibatkan bumi mengelilingi matahari.
Kesimpulan daripada maksud ayat yang berkenaan
membawa pengertian malalui kemajuan penyelidikan ilmu
bahawa kejadian langit dan bumi adalah melalui enam
zaman.
Zaman Pertama: Semuanya masih merupakan wap atau
asap. Bermula daripada wap timbul pula pecahan-pecahan
kecil yang kemudiannya menjadi planet-planet termasuk
bumi.
Zaman Kedua: Wap bertukar menjadi air.
Zaman Ketiga: Kejadian bukit-bukit dan gunung-ganang.
Zaman Keempat: Kehidupan di dalam air seperti tumbuh-
tumbuhan dan binatang-binatang.
Zaman Kelima & Keenam: Apa yang dapat dilihat dan dialami
sekarang.
Dalil bermula segala-galanya dari wap atau asap adalah
terdapat dalam surah al-Fussilat, ayat ke 11 yang
bermaksud:
Kemudian Ia menunjukkan kehendakNya ke arah (bahan-
bahan) langit sedang langit itu masih berupa asap...".
Sesuai dengan hasil penyelidikan ilmiah mengenai dengan
asal usul sistem suria yang bermula dengan asap,
kemudiannya berpisah menurut hukum tarikan graviti dan ia
kemudian membentuk menjadi matahari sebagai nucleus,
lalu terbentuk planet-planet lain termasuklah bumi.
Ayat-ayat al-Quran berikut menghuraikan dengan lebih lanjut
terhadap berlakunya ciptaan Allah mengenai bumi dan langit.
Surah al-Fussilat; ayat 9-12:
Katakanlah (wahai Muhammad) : Sesungguhnya tidak patut
kamu kufur kepada Tuhan yang menciptakan bumi dalam dua
masa, dan kamu adakan sekutu-sekutu bagiNya ! Yang
demikian (sifatnya dan kekuasaanNya) ialah Allah Tuhan
sekalian alam.
Dan Ia menjadikan di bumi ini gunung-gunung yang
menetapnya (tersergam tinggi) di atasnya, serta Ia
melimpahkan berkat padanya, dan Ia menentukan ada
padaNya bahan-bahan keperluan hidup penduduknya,
sekadar yang menyamai hajat yang diminta dan dikehendaki
oleh keadaan mereka; (semuanya itu berlaku) dalam empat
masa.
Lalu ia menjadikannya tujuh langit dalam dua masa, dan Ia
memberi tahu kepada tiap-tiap langit akan urusan dan
keperluannya masing-masing. Dan Kami hiaskan langit yang
dekat (pada pandangan mata penduduk bumi) dengan
bintang-bintang yang bersinar cemerlang serta memelihara
langit itu dengan sebaik-baiknya....
2.1.5 Penciptaan Alam Semesta :
Al-Quran mangajak manusia untuk mengetahui dan
memahami nilai dan kekuatan yang hakiki melalui penelitian
dan pengamatan terhadap fenomena alam semesta yang
penuh dengan segala rahsia dan keajaiban, yang akhirnya
membawa manusia menyedari keagungan Allah. Penelitian
dan pengamatan ini menunjukkan adanya keserasian dan
keseimbangan yang takjub dalam hukum-hukum Islam.
Di dalam al-Quran terdapat beberapa ayat mengenai aspek-
aspek tertentu ciptaan bumi dan langit yang memberi
maklumat terhadap peristiwa-peristiwa yang teratur yang
menunjukkan perkembangannya dengan terperinci. Al-Quran
memberi gambaran yang sempurna tentang penciptaan alam
semesta, iaitu merangkumi yang berada diluar mahupun
yang berada di dalamnya. Seluruh alam raya yang maha luas
ini adalah ciptaan Allah s.w.t. yang melambangkan keesaan
Allah taala.
Penyelidikan tentang alam raya akhirnya membawa manusia
kembali untuk menikmati ilmu pengetahuan tentang Tuhan
Yang Maha Esa dengan seluruh alam semesta ini berada
langsung di bawah perintahNya.
Surah Al-Baqarah, ayat 117 menegaskan Allah s.w.t. sebagai
Pencipta dan Penguasa dari semua hukum dan fenomena
alam semesta.
Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi (dengan
segala keindahannya) , dan apabila Ia berkehendak (untuk
menjadikan) sesuatu, maka Ia hanya berfirman kepadanya :
Jadilah engkau ! Lalu menjadilah ia.
2.1.6 Penciptaan Langit, Bumi & Benda-benda Antara
Keduanya :
Semua proses penciptaan alam semesta ini kemutlakannya
berada dalam kendalian dan perintah Allah s.w.t. yang telah
memberi bentuk yang sempurna. Hukum dan fenomenanya
teratur dan tepat meliputi ruang yang maha luas sehinggalah
kepada unsur-unsur terperinci dalam alam semesta. Allah
mencipta alam semesta ini dengan berjuta bintang dan
lengkap dengan segala sistem cakerawala, planet-planet,
matahari dan bulan dalam galaksi yang begitu luas.
Kesemuanya adalah mengikut perintah Allah pada susunan
dan aturan yang ditetapkan untuk mereka dengan sempurna.
Al-Quran membentangkan beberapa fakta terhadap ciptaan
alam semesta dalam tiga golongan ciptaan segala
kandungan di langit, segala kandungan di bumi dan segala
kandungan diantara keduanya, yang merupakan satu
organisasi Tuhan yang begitu tersusun dan bersistematik
dalam beberapa ayat:
i. Surah Taha ; ayat ke 6:
Dialah jua yang memiliki segala yang ada di langit dan yang
ada di bumi serta yang ada diantara keduanya, dan juga
yang ada di bawah tanah basah di perut bumi.
ii. Surah al-Furqaan ; ayat ke 59:
Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang
ada antara keduanya, dalam enam masa, kemudian Ia
bersemayam di atas Arasy, ialah Ar-Rahman....
iii. Surah As-Sajdah ; ayat ke 4:
Allah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala
yang ada di antara keduanya di dalam enam masa....
iv. Surah Qaaf ; ayat ke 38:
Dan demi sesungguhnya ! Kami telah menciptakan langit
dan bumi serta yang ada di antara keduanya dalam enam
masa, dan Kami tidak mengalami sebarang susah payah.
Rujukan dalam al-Quran mengenai serta segala yang ada di
antara langit dan bumi terdapat dalam beberapa ayat lagi.
Ciptaan Allah s.w.t. yang berada di luar langit dan bumi
disebut dalam al-Quran beberapa kali yang bermaksudkan
perwujudan benda-benda kosmos di luar galaksi.
2.1.7 Penciptaan Langit Sebagai Satu Entiti :
Keserasian dan kesempurnaan ciptaan Allah menurut al-
Quran adalah sebagai lambang bagi tanda-tanda kekuasaan
Allah, sesuai dengan firmannya dalam beberapa surah
mengenai ciptaan 7 lapisan langit. Angka 7 tersebut
merupakan suatu angka yang simbolik.
Maksud firman berikut menerangkan parihal penciptaan
langit:
(i) Surah al-Mulk ; ayat 3-4:
Dialah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit
yang berlapis-lapis, engkau tidak dapat melihat pada ciptaan
Allah yang maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak
seimbang dan tidak munasabah: (jika engkau ragu-ragu)
maka ulangilah pandangan (mu) ..dapatkah engkau melihat
sebarang kecacatan?
(ii) Surah al-Baqarah ; ayat ke 29:
Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada
di bumi, kemudian Ia menuju dengan kehendakNya ke arah
(bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan
sempurna, dan Ia maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
(iii) Surah al-Muminin ; ayat ke 17:
Dan demi sesungguhnya kami telah mencipta tujuh jalan di
atas kamu, dan Kami pula tidak lalai daripada (menyediakan
keperluan) makhluk-makhluk Kami.
(iv) Surah Nuh ; ayat ke 16-17:
Tidakkah kamu mengetahui dan memikirkan bagaimana
Allah telah menciptakan tujuh petala langit bertingkat-
tingkatDan Ia menjadikan padanya bulan sebagai cahaya
serta menjadikan matahari sebagai lampu (yang terang
benderang) .
2.1.8 Kepentingan Ilmu Astronomi :
Seperti sedia difahami, bahawa agama Islam itu terbina oleh
lima tiang utama yang kita kenali sebagai Rukun Islam iaitu
mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan solat lima
waktu sehari semalam, berpuasa sebulan bulan Ramadhan,
membayar zakat dan mengerjakan haji.
Kalau diteliti secara halusi, boleh dilihat bahawa kesemua
perkara dalam Rukun Islam ada peranan yang boleh
dimainkan oleh ilmu falak/astronomi.
Astronomi memberi ruang kepada para penyelidik dan ilmuan
yang mendalaminya bagi meningkatkan darjah keimanan. Ia
membolehkan umat Islam menentukan waktu solat dan arah
qiblat dan penyediaan takwim serta penentuan awal bulan
Hijriah bagi menentukan tarikh-tarikh penting dalam diari
umat Islam.
Kesyumulan yang ada pada Islam sememangnya tiada
keraguan lagi. Ia merangkumi seluruh aspek kehidupan
manusia daripada yang sekecil-kecilnya hinggalah kepada
yang sebesar-besarnya. Atas sebab kesyumulan inilah maka
Islam mampu untuk berdepan dan menyelesaikan sebarang
masalah. Kemampuan Islam bukan terhenti setakat itu
sahaja, tetapi mampu pula membawa taraf hidup manusia itu
jauh lebih baik daripada apa yang dinikmatinya sekarang,
asalkan dengan syarat kesyumulan itu dihayati. Sains dan
teknologi yang dipelajari, digunakan dan dikuasai oleh
manusia pada zaman serba canggih ini juga tidak terlepas
daripada jangkauan kesyumulan yang dibawa oleh Islam itu.
Sayangnya, kemampuan yang dianugerahkan oleh Allah
kepada manusia untuk menguasai sains dan teknologi ini
telah membuatkan manusia lupa daratan. Ada golongan
manusia yang bertuhankan sains dengan mengenepikan
langsung aspek agama. Tidak kurang pula yang mengambil
Islam apabila dirasakan perlu kerana dapat menjaga
kepentingan tertentu.
Ketidakseimbangan yang wujud hasil daripada pemikiran dan
tangan manusia inilah yang menjadi faktor utama kacau-bilau
yang ada di dunia sekarang ini. Kumpulan yang menguasai
teknologi telah menjadikannya sebagai senjata untuk
menindas kumpulan atau negara yang lemah. Sementara
bagi mereka yang lemah pula tidak segan-silu untuk terus
menadah tangan meminta bantuan, seolah-olah tanpa
bantuan dari mereka yang berteknologi ini maka akan
binasalah mereka.
Sesungguhnya ajaran Islam yang suci ini, sudah lama
mengajak dan mengajar manusia untuk memerangi
ketidakadilan seperti ini. Cuma yang malangnya, orang-orang
Islam sekarang tidak mengindahkan seruan yang besar ini,
sehinggakan sumber kekuatan yang dianugerahkan Allah
kepada hampir setiap negara orang-orang Islam tidak
dimanfaatkan sepenuhnya.
Orang Islam bukannya tidak faham bahawa Islam itu mampu
untuk memulihkan imej mereka di mata dunia dan mampu
pula menjadikan mereka umat yang terbaik. Dengan segala
kekayaan yang ada pada bumi Islam, orang Islam mampu
untuk berusaha dan bekerjasama untuk menghasilkan
teknologi yang diperlukan. Pun begitu ini semua didahulukan
dengan syarat. Iaitu orang Islam perlu kembali sepenuhnya
kepada ajaran Islam yang murni tersebut. Islam sangat
menekankan supaya Kebesaran Allah itu dapat dihayati
dengan memerhati dan mengkaji alam ini. Contohnya, dalam
surah Al Fatihah yang dibacakan pada setiap kali
sembahyang itu dimulakan dengan bacaan:
"SEGALA PUJI BAGI ALLAH, TUHAN SEKELIAN ALAM."
Dalam ayat pertama surah yang penting ini, telah menarik
perhatian orang Islam kepada Allah dan penciptaanNya.
Sebagai orang Islam kita perlu melihat kepada ciptaan Allah
yang dijadikan ini dengan penuh rasa tanggungjawab dan
seterusnya menerokai alam ini sebagai jalan untuk
mendekatkan diri kepada Allah. Rasa tanggungjawab itu
hendaklah lahir dari kefahaman Islam yang jelas dan betul
supaya penerokaan ilmu pengetahuan yang bakal dilakukan
tidak terpesong daripada kehendak Islam yang sebenar. Kita
bimbang sekiranya mereka yang terlibat dengan usaha
penerokaan ini adalah terdiri daripada mereka yang jahil
terhadap Keesaan Allah, maka lahirlah golongan-golongan
yang menyembah ilmu semata-mata dengan tidak mengambil
kira Zat yang mencipta ilmu tersebut.
Sekiranya ini berlaku, maka usaha untuk memperbaiki
keadaan yang sudah sedia ada akan menjadi lebih buruk
lagi. Maka sebab itulah para ilmuan dan cendikiawan Islam
yang mempunyai kesedaran hendaklah melengkapi diri
masing-masing dengan pengetahuan Islam yang
secukupnya, agar ilmu yang akan disebarkan nanti adalah
ilmu pengetahuan yang sudah dibentuk dengan acuan Islam.
Sejarah keagungan Islam yang gilang gemilang yang tercatit
dalam banyak buku sejarah telah membuktikan Islam dan
penganutnya mampu menjadi model yang terbaik. Pada
waktu itu, orang-orang Islam bukan sahaja dianggap sebagai
umat yang kuat berpegang pada agama tetapi juga yang
membawa bersama mereka tamadun budaya yang tinggi
seperti akhlak, pemerintahan, senibina, sastera, sains dan
sebagainya. Bahkan kota-kota besar seperti Baghdad adalah
dianggap sebagai kota ilmu oleh dunia pada waktu itu.
Kemasyhuran umat Islam sebagai pelopor di bidang ilmu
melangkaui batas sempadan sehingga para pelajar hampir
dari seluruh dunia datang untuk mempelajari dan mengambil
ilmu dari orang Islam.
Ilmu yang dimiliki oleh orang Islam pada waktu itu bukan
sahaja memberi manfaat kepada orang Islam semata-mata
tetapi juga kepada dunia. Sumbangan Islam kepada dunia
ilmu adalah suatu yang amat besar nilainya. Di zaman
keemasan Islam inilah lahirnya tokoh-tokoh besar seperti Al
Biruni dan Al Kindi yang memberi sumbangan kepada ilmu
fizik. Al Khawarizmi, Umar Khayyam, Al Battani dan Altusi di
bidang ilmu matematik. Al Fazari dan Al Nayrizi memberi
sumbangan di bidang astronomi. Ibnu Sina, Al Razi dan Al
Zahrawi di bidang perubatan dan bermacam-macam lagi
sumbangan yang telah diberikan oleh ilmuan-ilmuan Islam ini
kepada dunia. Inilah istimewanya apabila ilmu pengetahuan
itu berada di tangan orang Islam yang benar-benar beriman
dan beramal dengan ilmunya, maka seluruh dunia akan
mendapat manfaat darinya. Sebaliknya jika ilmu itu berada di
tangan mereka yang tidak bertanggungjawab maka
berlakulah apa yang dapat kita lihat pada hari ini,
penindasan, penipuan, penyelewengan dan bermacam-
macam kerosakan lagi yang semuanya menjuruskan
masyarakat ke arah kemusnahan.
Oleh itu adalah satu yang amat malang bagi umat Islam
sekarang yang tidak mahu mengambil contoh dan
pengajaran daripada sejarah Islam untuk dijadikan modal
penggerak umat yang layu dan kaku masakini. Umat Islam
kini lebih mudah dijajah fikirannya, mudah ditipu dan terlalu
lemah untuk bangun menyatakan haknya. Umat Islam kini
diletakan di satu sudut dan dilihat sebagai umat yang mundur
dari segenap segi dan perlu diberi bantuan setiap kali bila
ingin melangkah untuk berdikari.
Kenapakah ini berlaku kepada umat yang telah dijanjikan
kemuliaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat? Kenapakah
imej umat Islam menjadi sebegini buruk? Jawapannya ialah
umat Islam itu sendiri yang menjadikan dirinya sedemikian.
Jangan semata-mata menyalahkan orang lain. Allah telah
memberikan segala bentuk panduan di dalam kitab suci Al
Quran untuk dilaksanakan dan telah menurunkan rasulNya
sebagai petunjuk. Kedua-duanya menjadi dasar utama
kepada umat Islam untuk dijadikan panduan hidup dan juga
menjadi syarat utama untuk umat Islam kembali kepada
kemuncak kegemilangannya.
Di samping itu, umat Islam haruslah melengkapkan diri
dengan segala keperluan masakini supaya mampu berdikari
dengan tidak mengharapkan atau bergantung kepada orang
luar. Kepentingan ilmu sains dan teknologi adalah satu
keperluan yang perlu diberi perhatian. Ini adalah kerana
penguasaan umat Islam di bidang ini akan memudahkan lagi
Islam maju ke hadapan dengan lebih berkesan dan mudah
diterima masyarakat. Dari sinilah Islam dapat membina
semula kekuatan dan kembali menguasai dunia
sebagaimana yang telah pernah dibuktikan oleh sejarah.
Barangkali inilah persoalan yang perlu difikirkan dan dijawab
oleh setiap individu muslim.
Dalam bidang astronomi terdapat beberapa karya karangan
Abu Masyar dan al-Khawarizmi. Karya mereka telah
diterjemahkan ke bahasa Latin oleh Adelard of Bath dan John
of Siville. Karya al-Battani juga telah diterjemahkan ke dalam
bahasa Latin oleh Alfonso X. Ahli astronomi Eropah bernama
Romond telah menulis karya astronominya berdasarkan
karya Ibn al-Zarqiyali (Azarchel) . Ibn al-Zarqiyali mahir dalam
menentukan gerhana matahari dan telah mencipta sebuah
kompas untuk menentukan jarak antara bulan dan bumi dan
di antara bintang-bintang dan matahari. Dalam bahasa
Eropah terdapat beberapa istilah astronomi yang dipinjam
daripada bahasa Arab. Antaranya ialah alsumut dan nadir
(nazir) . Umat Islam juga telah berjaya mencipta kompas
yang digunakan dalam pelayaran di laut. Dengan itu
pelayaran di laut dan kegiatan perdagangan telah
berkembang dengan lebih pesat. Muhammad bin Musa telah
mencipta astrolab (jam matahari) . Beliau juga mencipta
sebuah alat yang dapat mengukur bulatan dunia. Pada abad
ke-12M, Abu Solet telah mencipta sebuah alat yang dapat
menimbulkan semula kapal yang sudah tenggelam.

Ustaz Abd Aziz bin Harjin


Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

P: 04-9882701
H: 013-4006206
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com

Anda mungkin juga menyukai