Anda di halaman 1dari 3

ARKIB : 16/06/2004

Solat lima waktu - 80 peratus tidak


mengerjakannya
Oleh ZUARIDA MOHYIN

SOLAT atau sembahyang merupakan ibadat yang amat penting bagi


setiap Muslim yang mukalaf kerana ia adalah fardu ain.
Ini diperkuatkan dengan sebuah hadis Nabi yang bermaksud: Solat itu
tiang agama, sesiapa yang mendirikan solat bererti mendirikan agama
dan sesiapa yang meninggalkan solat bererti ia meninggalkan agama.
Pun begitu, pakar motivasi dan penceramah bebas terkemuka, Datuk
Dr. Mohd Fadzilah Kamsah, mendedahkan 80 peratus umat Islam di
Malaysia masih tidak menyempurnakan solat lima waktu dalam sehari.
Peratusan angka ini diperoleh melalui tinjauan beliau menerusi
program-program ceramah dan motivasi, yang dijalankan di seluruh
negara serta pemerhatian terhadap gaya hidup masyarakat Islam
masa kini.
``Mereka boleh berada di padang bola lebih dari satu jam, peniaga
pasar malam terlalu sibuk melayan pelanggan sehingga terlupa
menunaikan solat biarpun hanya mengambil masa 15 atau 20 minit.
``Malah ada juga yang sanggup membuang masa di pusat membeli-
belah, pusat karaoke, menyaksikan konsert, menonton perlawanan
bola sepak, terlibat dengan lumba motor haram selama berjam-jam
tetapi mengabaikan taklif agama yang mengambil masa pendek,'' kata
Dr. Fadzilah dengan suara tersekat-sekat menahan sebak pada majlis
pelancaran album motivasinya yang berlangsung di salah sebuah hotel
terkemuka di Jalan Pahang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tambah beliau, hanya sekitar 17 hingga 20 peratus yang menunaikan
solat fardu cukup lima waktu dalam sehari.
Jumlah ini terlalu kecil sekiranya dibandingkan dengan jumlah
penganut agama Islam di negara ini.
Lebih menyedihkan, senario yang berlaku di kalangan pelajar sekolah
menengah, iaitu hanya 15 peratus sahaja mengakui bersembahyang
lima kali sehari.
Kekecewaan dan kebimbangan Dr. Fadzilah jelas tergambar apabila
beliau tidak dapat membendung air mata dan menangis, membuatkan
hadirin tergamam seketika.
``Biarpun masa yang diperlukan itu pendek, tetapi banyak orang yang
ingkar untuk melakukannya kerana tidak menghayati ibadah tersebut,
natijah daripada tidak ada latar belakang pembelajaran agama.
``Kewajipan solat sering dipandang remeh atau dianggap tidak ada
nilai sensasi untuk diketengahkan kepada umum.
``Namun hakikatnya, ia terpaksa disampaikan ke pengetahuan semua
kerana saya khuatir umat Islam akan menuju kehancuran apabila
umatnya sudah seperti penganut agama lain yang sembahyang
mengikut kehendak sendiri atau suka-suka sahaja,'' terang beliau.
Kata Dr. Fadzilah lagi, kepincangan ini terpikul di bahu setiap individu
Islam itu sendiri, bak kata pepatah Melayu, tepuk dada tanya hati.
Di dalam al-Quran, banyak firman Allah yang memerintahkan kita
mengerjakan solat, antaranya dalam surah al-Baqarah ayat 43 yang
bermaksud: Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah
zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang
yang rukuk.
Ini menjelaskan kepada kita bahawa orang yang menunaikan solat
sebenarnya telah menunaikan tanggungjawabnya dan dikasihi oleh
Allah dan rasul-Nya kerana mengikut ajaran Islam.
``Semua pihak kena peka terutamanya ibu bapa kerana tidak
menerapkan kewajipan ini menjadi amalan harian di dalam diri anak-
anak.
``Rasa kasihan untuk mengejutkan anak solat Subuh merupakan salah
satu contoh kerugian besar dan cara yang salah dalam mempamerkan
kasih sayang kepada anak.
``Sebenarnya di dalam solat manusia diajak untuk mengabdikan diri
kepada Allah. Selain itu, solat merupakan benteng diri daripada
melakukan perkara-perkara mungkar.
``Orang yang melakukan solat juga mampu menjadi orang yang
melaksanakan tanggungjawab kepada diri, keluarga, masyarakat dan
agama,'' kata Fadzilah.
Menurut beliau lagi, terdapat banyak sebab rapuhnya keimanan
seseorang itu; kerana suasana kerja, pengaruh teman-teman,
pengaruh luar yang tidak menggalakkan dan sebagainya.
Namun, punca sebenar berlakunya demikian ialah kerana tidak ada
rasa tanggungjawab atau minat untuk menunaikan sembahyang,
kerana tidak memahami rahsia-rahsia keperluan sembahyang.
Dr. Fadzilah mengakui kebenaran bahawa manusia lebih peka
menumpukan perolehan yang bersifat material.
``Allah s.w.t. menyuruh agar manusia menjadikan dunia ini laluan bagi
kehidupan di akhirat, tetapi manusia sering mengeksploitasi hidup di
dunia ini, seumpama hidup yang kekal, menyebabkan mereka lupa
hidup di akhirat dan membelakangkan perintah-perintah-Nya,'' ujarnya.
Sebelum itu, Dr. Fadzilah melancarkan dua album, Petua Menjadi
Pelajar Sekolah Menengah Yang Gemilang dan Langkah Bijak Usahawan
Terbilang Bahagian 2. Ia diterbitkan oleh Telaga Biru Sdn. Bhd.
Di dalam album Petua Menjadi Pelajar Sekolah Menengah Yang
Gemilang, beliau menekankan bahawa segala kehebatan dan
kecemerlangan telah ada dalam diri, sekadar menanti untuk digerak
dan diserlahkan.
Ia memuatkan beberapa tajuk menarik antaranya; masalah dan
cabaran pelajar sekolah menengah, rungutan guru terhadap kerenah
pelajar, langkah cemerlang menjadi pelajar terbilang dan teknik-teknik
efektif mengulangkaji pelajaran.
Manakala album kedua yang dilancarkan pagi itu pula diterbitkan
setelah bahagian pertama mendapat sambutan menggalakkan.
Ia adalah kesinambungan mengenai petua-petua menjadi seorang
usahawan yang terbilang. Ini kerana Dr. Fadzilah menekankan hakikat
bahawa usahawan yang cemerlang suka melakukan perkara yang tidak
suka dikerjakan oleh usahawan yang gagal.
Di samping itu, ia juga mendedahkan beberapa punca kegagalan serta
memberi pelbagai tips, rahsia dan petua ke arah melahirkan usahawan
terbilang dan menjalankan perniagaan dengan cemerlang.
Kedua-dua tajuk ini telah diterbitkan di dalam bentuk VCD, CD dan
kaset.
Turut hadir dalam majlis pagi itu ialah Pengarah Urusan Telaga Biru, Ab.
Waharp Yusoff. Tetamu turut dihiburkan oleh persembahan empat
orang anak muda yang menggelarkan diri mereka kumpulan nasyid
RAST.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?


y=2004&dt=0616&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz4drbPRD
Sx
Utusan Melayu (M) Bhd

Anda mungkin juga menyukai