Anda di halaman 1dari 2

BANJIR

Banjir yang melanda negara kita telah mengejutkan pelbagai pihak. Masing-masing sibuk mengutarakan
pendapat mereka tentang faktor-faktor yang mendorong wujudnya fenomena alam ini. Mereka
berpendapat pandangan mereka lebih tepat. Sebenarnya, banyak perkara yang mampu dilakukan untuk
menangani mala petaka ini sebelum, semasa dan selepas.

Kerajaan seharusnya memastikan sistem perparitan dalam keadaan baik. Pihak berkuasa tempatan
haruslah menjalankan pemeriksaan parit dan longkang di kawasan yang memang dianggap berisiko
tinggi untuk menerima banjir. Sikap telus dalam aspek ini memastikan aliran air tidak akan terganggu
atau tersumbat. Seterusnya, air tidak boleh bertakung sebegitu mudah. Sistem perparitan yang baik juga
memastikan air mudah surut selepas banjir.

Malah, kerajaan seharusnya menubuhkan pusat kajian banjir kebangsaan. Pusat ini berperanan untuk
menyelaraskan semua aktiviti berkaitan dengan banjir. Pusat ini bertanggungjawab mengeluarkan
amaran banjir dan memastikan setiap bantuan disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir dengan lancar.
Dengan kewujudan pusat ini semua perancangan dan tenaga tidak dibazirkan tetapi digunakan sebaik
mungkin. Malah, pusat kebangsaan banjir ini juga mampu memastikan tidak berlaku penyelewengan
dalam pemberian bantuan banjir.

Malahan, semua pasukan keselamatan seperti polis, tentera, dan pasukan pertahanan awam perlu
bersedia. Semua cuti mereka harus dibekukan ketika musim hujan. Mereka juga harus diberi latihan
untuk mengendalikan mangsa-mangsa banjir atau keadaan banjir dengan lebih cekap lagi. Penggunaan
peralatan moden dan cukup seperti bot dan helikopter harus ditingkatkan. Persediaan ini memastikan
semua mangsa akan terselamat kerana mereka akan diselamatkan oleh pasukan yang sudah terlatih
dalam situasi bahaya seperti banjir.

Kutipan derma harus dijalankan oleh kerajaan beberapa bulan sebelum musim hujan berlaku. Kutipan
derma ini penting supaya semua masyarakat negara berkongsi masalah negara tanpa memilih kaum.
Wang derma yang sudah dikutip boleh digunakan untuk merancang strategi yang mampu untuk
menyekat masalah banjir ini daripada berlanjutan. Kutipan derma ini juga membantu kerajaan kerana
kewangan kerajaan tidak akan terjejas lantaran rakyat sendiri sanggup berkorban demi kebajikan rakyat
senegara.
Selain itu, kerajaan seharusnya menjalankan kempen kesedaran terhadap isu ini melalui media massa.
Dalam kempen itu, pelbagai cara atau kaedah menghadapi banjir dijelaskan kepada rakyat. Pengetahuan
ini mampu digunakan oleh mangsa-mangsa banjir dengan lebih bijak demi keselamatan mereka..
Kemahiran ini juga memastikan mangsa-mangsa banjir mengetahui cara-cara mendapatkan maklumat
seperti kewujudan pusat-pusat bantuan banjir dan keadaan cuaca semasa. Pengetahuan ini memastikan
mangsa-mangsa banjir tidak panik.

Kesimpulannya, banjir memang sukat diatasi tetapi sikap berwaspada mampu mengurangkan impak
bencana ini. Semua pihak tanpa perlu menuding jari haruslah memainkan perana mereka dalam isu ini.
Rakyat seharusnya lebih bersikap proaktif dengan membuat persediaan awal mereka sendiri tanpa
bergantung kepada kerajaan. Kita tidak mahu pelbagai masalah wujud selepas bencana ini
surut.Mungkin peribahasa Sediakan payung sebelum hujan boleh menjadi renungan semua.

Anda mungkin juga menyukai