Anda di halaman 1dari 1

SETIAP MANUSIA MEMPUNYAI HOBI. HURAIKAN FAEDAH HOBI KEPADA ANDA.

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, hobi dapat didefinisikan sebagai aktiviti kegemaran yang dilakukan pada waktu
senggang dan bukan merupakan pekerjaan utama. Peribahasa rambut sama hitam tapi hati lain-lain menunjukkan bahawa setiap
individu mempunyai hobi yang berbeza-beza dan tersendiri. Sebagai analoginya, ada yang suka bersukan, ada yang minat
mengumpul setem, ada juga yang gemar mendaki gunung dan pelbagai hobi yang lain. Persoalannya, mengapakah setiap insan di
dunia ini perlu mempunyai hobi? Sesungguhnya semua orang mempunyai alasan tersendiri yang menyebabkan mereka
melakukan hobi yang digemari itu. Menurut pandangan saya, hobi memang sewajarnya dimiliki oleh semua orang tanpa mengira
usia, pangkat dan keturunan. Memang tidak dapat dinafikan bahawa aktiviti positif seumpama ini banyak memberikan maslahat
dalam kehidupan setiap insan. Tidak terkecuali saya, yang turut memperoleh kebaikan daripada hobi yang saya lakukan. Oleh hal
yang demikian, faedah-faedah hobi yang mewarnai fokus perbincangan akan dikupas dengan lebih terperinci.

Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakan di atas, saya menjadikan hobi saya untuk mengisi masa lapang dengan
aktiviti yang berfaedah. Bertitik tolak daripada itu, masa senggang saya digunakan untuk bermain bola sepak, berjoging dan
membaca buku. Hal ini secara tidak langsung menghindarkan diri saya daripada aktiviti kurang sihat dan bergaul dengan rakan
yang mempunyai masalah sosial. Contoh yang boleh diketengahkan ialah remaja yang sedang mencari identiti diri dan
mengalami kecelaruan jiwa akan mudah terlibat dalam aktiviti merempit, melepak dan pergaulan bebas kerana mereka tidak
mempunyai matlamat hidup seperti layang-layang yang terputus talinya. Dalam konteks ini, dengan adanya hobi, masa saya tidak
disia-siakan dan tidak terbiar begitu sahaja kerana masa itu emas yang perlu diisi dengan aktiviti yang berfaedah. Bukan itu
sahaja, dengan mempunyai hobi dapat mengelakkan diri saya daripada berasa bosan dalam mengharungi kehidupan seharian di
alam fana ini. Konklusinya, hobi dapat memenuhi masa lapang saya dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat.

Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa hobi juga dapat menambahkan ilmu pengetahuan saya yang
sedia ada. Sebagaimana yang kita ketahui, hobi seperti membaca, melayari internet dan menonton televisyen dapat membantu
meningkatkan pengetahuan am seseorang. Selain itu, saya juga dapat menguasai kemahiran dalam melakukan aktiviti harian
seperti memasak dan melukis. Sebagai contoh, aktiviti mengait yang telah saya praktikkan dari hari ke hari dapat meningkatkan
kemahiran saya lagi dan akhirnya dapat menghasilkan sesuatu karya kreatif yang menarik seperti peribahasa sehari selembar
benang, lama-lama menjadi kain. Bukan itu sahaja, saya juga dapat menambakan ilmu pengetahuan apabila menonton rancangan
dokumentari di televisyen seperti Majalah 3 dan Insect War. Bahkan, dalam zaman yang serba canggih ini, saya juga boleh
mendapatkan informasi yang saya perlukan dengan mudah melalui internet. Maka, jelaslah bahawa dengan mempunyai hobi
yang tertentu dapat membantu saya dalam menambahkan ilmu pengetahuan dan meningkatkan penguasaan serta kemahiran diri
dalam pelbagai bidang karya kreatif.

Suatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan adalah apabila saya mempunyai hobi, saya dapat mengekalkan
kesihatan fizikal dan mental. Hobi yang sering saya lakukan untuk mengekalkan kesihatan fizikal dan mental adalah dengan
mendaki gunung, berjoging dan berenang. Dengan melaksanakan hobi ini, daya tahan kardiovaskular dapat ditingkatkan. Hal ini
secara tidak langsung, dapat meningkatkan imuniti badan saya daripada sebarang jangkitan penyakit seperti demam, selesema
dan batuk. Hal ini seterusnya dapat membantu saya melaksanakan aktiviti harian secara efektif kerana badan cergas, otak cerdas.
Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakan di atas, apabila saya memanfaatkan masa saya dengan hobi yang saya gemari
secara tidak langsung dapat mengurangkan stres. Hal ini adalah kerana, apabila saya melakukan hobi, saya akan menumpukan
sepenuh perhatian terhadap aktiviti tersebut dan bukannya memikirkan masalah kehidupan yang kadang kala membebankan
minda saya. Bagi membuktikan perkara ini, apabila saya membaca novel, saya akan leka dengan mesej yang ingin disampaikan
oleh novelis, sehingga melupakan masalah yang membelenggu sukma buat seketika. Tegasnya, dengan mempunyai hobi saya
dapat kepuasan diri kerana melakukan sesuatu aktiviti yang digemari dan membebaskan diri daripada sebarang masalah yang
menghimpit kalbu.

Banyak yang mulai sedar bahawa hobi juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara sesama insan. Hobi bukan
sekadar dalam lingkungan dunia individu sahaja malah dapat dilakukan secara berkumpulan. Sebagai contoh, hobi yang boleh
dilakukan secara berkumpulan seperti mengulang kaji pelajaran, bermain boling dan melancong bersama dengan keluarga.
Melalui komunikasi dua hala, secara tidak langsung bukan sahaja dapat merapatkan hubungan silaturahim malahan juga dapat
mewujudkan kemesraan lantas memupuk kerjasama antara satu sama lain. Dalam hal ini, nilai saling membantu dan bekerjasama
yang termaktub sebagai nilai yang ke-35 dalam Pendidikan Moral dapat dipraktikkan. Perpaduan juga turut dapat dilahirkan
apabila masyarakat yang terdiri daripada multietnik terlibat dalam hobi yang sama, visi kudsi Wawasan 2020 sudah pasti dapat
direalisasikan. Deduksinya, hobi mendatangkan faedah yang amat bermakna dalam mengaribkan perhubungan antara sesama
insan.

Perbincangan saya telah meniti ke puncaknya, maka sebagai akhirulkalam hobi banyak mendatangkan faedah kepada
segenap strata masyarakat. Oleh itu, saya akan berhati-hati seperti menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus tepung
tidak berselerak dengan menguruskan masa untuk hobi dan pelajaran saya dengan bijaksana. Selanjutnya, saya juga akan
mengelakkan diri daripada melayari laman sesawang yang berunsur negatif agar mental dan jiwa saya tidak goyah dek nafsu
yang bermaharajalela . Pada pendapat saya, ibu bapa hendaklah menggalakkan anak-anak mempunyai hobi sejak kecil lagi
kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini demikian kerana anak-anak umpama sebutir batu permata yang belum
digilap, ibu bapalah yang bertanggungjawab menggilapnya sehingga menjadi berlian yang indah nan berkilau. Remaja yang
berkembang baik dari psikologi dan fisiologi akan menjadi tulang belakang dalam memacu kegemilangan negara kelak. Marilah
kita memikul tanggungjawab bersama-sama untuk merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020 supaya negara kita dapat berdiri
sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain.

Anda mungkin juga menyukai