Anda di halaman 1dari 3

Yang Berusaha Saudari Pengacara Majlis, yang dihormati Guru Besar Encik Hassan

bin Ismail, Yang Dipertua PIBG serta ahli jawatankuasa, guru-guru cemerlang
SKSGP dan seterusnya ibu bapa penyanyang serta anak-anak yang saya muliakan.

Pertama-tamanya izinkan saya melafaz dan menzahirkan rasa kesyukuran ke


hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan inayahNya maka kita dapat
berkumpul dalam dewan yang indah ini bagi melaksanakan satu lagi agenda
pendidikan yang diatur oleh pihak pengurusan sekolah dan juga jawatankuasa PIBG
Sek. Keb Sri Gunung Pulai (SKSGP). Ucapan syabas dan tahniah kepada
Jawatankuasa Pengelola majlis ini yang tentunya telah berusaha dengan gigih
supaya majlis ini berjalan lancar dan teratur. Terima kasih tidak terhingga kepada
Yang Dipertua PIBG serta ahli jawatankuasanya kerana memberi komitmen yang
tinggi sehingga mejlis ini berjaya dilaksanakan. Ucapan penghargaan dan terima
kasih yang tidak terhingga kepada seluruh warga kerja atas inisiatif dan
kesungguhan yang ditunjukkan bagi menjayakan Majlis Restu Ilmu ini. Kita sedar,
majlis seumpama ini amat perlu dijalankan untuk memberi makna kepada kehidupan
anak-anak yang bakal mewarisi masa depan Negara.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Saban tahun, pihak sekolah dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru
(PIBG) tidak pernah lupa mengadakan majlis untuk memohon restu dalam
memastikan kejayaan cemerlang anak-anak dalam Ujian Penilaian Sekolah
Rendah(UPSR). Malahan bagi saya, majlis ini diadakan khusus untuk meraikan para
waris yang sentiasa meletakkan kecemerlangan dan kejayaan anak-anak menjadi
agenda pertama dalam kehidupan mereka. Jadi pada kesempatan ini saya bagi
pihak ibu bapa ingin merakamkan ucapan semoga berjaya bukan sahaja kepada
para pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan malahan ibu bapa juga para guru
yang menjadi nadi atau tulang belakang mencanai dan menggilap satu kejayaan
untuk anak-anak permata kami.
Sebenarnya tuan-tuan dan puan-puan, kejayaan seorang pelajar tidak hanya
terletak pada usaha dan kesungguhan yang dimainkan oleh guru semata-mata. Kita
sedar, bahawa guru-guru di peringkat sekolah rendah perlu harus memberi, agar
para pelajar bersedia untuk menerima. Selain insan yang sering memberi cahaya
itu, ibu bapa juga perlu sentiasa memainkan peranan penting untuk mencorakkan
masa depan anak-anak mereka. Malahan tuan-tuan dan puan-puan, pada saya yang
paling utama kejayaan adalah terletak pada diri para anak itu sendiri, agar sentiasa
mempunyai komitmen dan motivasi diri yang tinggi sekiranya ingin mengecapi
kecemerlangan. Sesungguhnya kita harus sedar bahawa dalam usaha menuju ke
puncak, banyak laluan sukar yang perlu ditempuhi. Dato Azhar Mansor, Datuk
Sharifah Mazlina dan Dato Syeikh Muzzaffar sendiri melalui pelbagai kesukaran
dalam usaha menjelajah dunia dan meneroka angkasa! Pepatah Melayu selalu
mengingatkan kita, Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan, Hendak seribu daya,
tak hendak seribu dalih, Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.
Oleh itu tuan-tuan dan puan-puan, marilah kita sama-sama berganding bahu untuk
mencipta kejayaan demi kejayaan buat anak-anak kita. Pada saya, kejayaan anak-
anak tuan-tuan dan puan-puan merupakan satu anugerah kepada pihak sekolah dan
ganjaran buat tuan-tuan dan puan-puan.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Dalam majlis ini, saya mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan


terima kasih tidak terhingga kepada guru-guru dalam menjayakan Majlis Restu Ilmu
pada hari ini. Terima kasih kepada semua guru yang telah melaksanakan
tanggungjawab berat membimbing, mendidik dan menyediakan anak-anak dengan
segala kudrat yang ada supaya dapat menduduki peperiksaan UPSR dengan penuh
yakin dan berjaya dengan cemerlang , Insyaallah. Bagi pihak mereka, saya dengan
ini memberi restu dari hati tulus ikhlas dan menghalalkan segala ilmu pengetahuan
dan didikan yang dicurahkan kepada kamu. Kami maafkan jika ada kesalahan yang
telah dilakukan sepanjang berguru dengan guru-guru di sekolah ini. Mudah-
mudahan dengan keikhlasan kami ini akan mendapat kerahmatan Allah SWT dan
mengurniakan kita semua dengan kejayaan demi kejayaan yang cemerlang suatu
hari nanti.
Tuan-puan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian,

Saya pasti bahawa seluruh warga dewan pada hari ini sedar, bahawa anak-
anak yang kita restui hari ini merupakan waris yang bakal mendukung impian dan
harapan Negara. Untuk itu, saya menyeru kepada saudara dan saudari sekalian
agar dapat sama-sama berganding bahu meningkatkan kualiti hidup sihat dalam
kalangan anak-anak. Sihat yang dimaksudkan bukan hanya tertumpu kepada
kesihatan tubuh badan malahan kesihatan minda supaya harapan dan impian tuan-
tuan dan puan-puan akan direalisasikan sama seperti harapan dan impian seperti
mana yang telah termaktub dalam Falsafah Pendidikan Negara.

Maka saya ingin menyeru kepada diri saya dan tuan puan sekalian, marilah
kita saling bergandingan bagi memastikan anak-anak ini bakal menjadi sebahagian
warna-warna kegembiraan Negara pada masa hadapan dan bukan merupakan
secalit warna kehancuran atas kealpaan dan kelekaan kita. InsyaAllah.

Akhir kata, sekali lagi saya merakamkan ucapan semoga berjaya kepada
semua anak-anak tahun 6 SKSGP dan juga syabas kepada semua warga kerja yang
bertungkus-lumus menjayakan Majlis Restu Ilmu pada hari ini.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai