Anda di halaman 1dari 12

1.

0 PENGENALAN

Pelaksanaan kurikulum baharu iaitu Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), telah
menjadikan mata pelajaran Sejarah sebagai mata pelajaran teras yang wajib dipelajari oleh
semua murid mulai Tahun Empat di Tahap Dua dan dikenali sebagai Kurikulum Standard
Sejarah Sekolah Rendah.

Pengenalan mata pelajaran Sejarah di sekolah rendah bermula dari Tahun Empat
adalah bertujuan untuk menyemai kefahaman murid terhadap mata pelajaran Sejarah di
peringkat awal agar murid memperoleh dan menguasai pengetahuan serta kemahiran
sejarah.

Pendekatan mata pelajaran ini menjurus kepada pemupukan kemahiran berfikir


secara kritis, kreatif dan inovatif melalui aktiviti inkuiri penemuan dan penerokaan bagi
mengukuhkan pemahaman tentang sejarah. Sejarah di peringkat sekolah rendah adalah
merupakan kesinambungan ke peringkat sekolah menengah sebagai suatu disiplin ilmu yang
dinamik.

Pengajaran mata pelajaran ini secara tidak langsung dapat menerapkan elemen
kewarganegaraan dan nilai sivik. Perkara ini amat penting bagi membentuk diri pelajar untuk
menjadi insan yang berguna kepada negara. Selain itu juga, penyampaian mata pelajaran ini
memerlukan individu atau seorang guru yang menepati ciri-ciri seorang guru Sejarah.
Pendidik yang berpengetahuan dalam Sejarah akan dapat menyampaikan mata pelajaran ini
dengan berkesan di sekolah.

1
2.0 KEPENTINGAN PENERAPAN ELEMEN KEWARGANEGARAAN DAN NILAI SIVIK

Tidak dapat dinafikan bahawa mata pelajaran Sejarah menerapkan elemen kewarganegaraan
dan nilai sivik dalam kurikulum di sekolah. Perkara ini amat penting kepada diri pelajar bahkan
kepada negara kita sendiri. Penerapan ini adalah langkah awal kepada pembentukan diri
murid untuk mencintai negara sendiri.

Salah satu kepentingannya adalah dapat meningkatkan perpaduan rakyat di Malaysia.


Perpaduan amat penting agar keharmonian sesebuah negara itu terpelihara. Tambahan pula,
masyarakat berbilang kaum di negara kita memerlukan perpaduan agar sentiasa bersatu
dalam menjaga keamanan dan kemakmuran negara. Selain itu juga, remaja adalah pewaris
negara ini dan mereka memainkan peranan penting untuk terus mempertahankan perpaduan
di negara ini. Oleh itu, elemen kewarganegaraan dan nilai sivik yang diterapkan akan
mewujudkan generasi muda yang memiliki semangat perpaduan yang tinggi (Sufean, 1989).

Selain itu juga, penerapan ini dapat mengukuhkan semangat cintakan negara dalam
diri murid. Menurut Mohamad Khairi (2014), elemen kewarganegaraan dan nilai sivik
merupakan asas ketahanan dan kekuatan diri yang penting dan perlu disemai serta dihayati
oleh generasi muda supaya mereka lebih komited, berani dan yakin untuk menghadapi
pelbagai cabaran demi mempertahankan bangsa dan negara. Oleh itu, dengan wujudnya
semangat cinta akan negara dalam diri murid, mereka akan sedar dan tahu tanggungjawab
mereka dalam memastikan negara yang mereka cintai ini sentiasa aman dan sejahtera.
Justeru itu, anasir luar atau musuh negara akan mudah diatasi sekiranya individu tersebut
mencintai negaranya sendiri.

Tambahan pula, kemerdekaan negara ini akan sentiasa terpelihara kerana elemen
kewarganegaraan dan nilai sivik diterapkan dalam diri generasi muda khususnya murid-murid
di sekolah. Kemerdekaan dan demokrasi yang dikecapi oleh rakyat Malaysia dari ini tidak
akan dicapai tanpa perjuangan rakyat dan pemimpin sebelum ini. Kejayaan kemerdekaan ini
perlu dipikul bersama oleh generasi masa kini dan diterapkan kepada generasi akan datang
(Mohd Sohaimi, Dayu, & Budi Anto, 2011). Hal ini amat penting kerana kejayaan ini tidak
mudah untuk dicapai malah perjuangan ini masih belum selesai kerana cabaran semakin
meningkat dan perjalanan generasi muda masih jauh lagi. Kesimpulannya, kemerdekaan ini
perlu dijaga kerana ianya menunjukkan maruah dan jati diri rakyat Malaysia.

Seterusnya, penerapan ini amat penting agar dapat meningkatkan imej negara kita.
Malaysia terkenal sebagai sebuah negara yang aman dan membangun dari segi politik, sosial,
ekonomi. Pembangunan ini berlaku kerana wujudnya semangat bekerjasama rakyatnya.
Tambahan pula, kebijaksanaan pemimpin memainkan peranan yang penting dalam perkara
ini. Justeru itu, usaha ini akan diteruskan oleh generasi muda pada hari ini. Sekiranya elemen-

2
elemen penting ini tidak diterapkan maka negara kita akan hancur dan anasir-anasir luar akan
berusaha untuk menguasai negara Malaysia yang dicintai ini.

Penerapan elemen kewarganegaraan dan nilai Sivik dalam diri murid-murid melalui
mata pelajaran Sejarah jelas menunjukkan kepentingannya. Oleh itu, matapelajaran Sejarah
ini amat penting sebagai saluran awal untuk membentuk rakyat Malaysia yang memiliki
keperibadian yang baik. Pendedahan awal yang diberikan kepada murid-murid akan dapat
menanamkan nilai patriotisme dalam diri mereka.

3
3.0 KESAN PENERAPAN ELEMEN KEWARGANEGARAAN DAN NILAI SIVIK TERHADAP
PELAJAR

Penerpan elemen ini akan membawa banyak kebaikan berbanding keburukan kepada diri
pelajar. Hal ini keranan elemen-elemen ini adalah ciri-ciri yang perlu ada dalam diri rakyat
Malaysia khususnya pelajar di sekolah. Kesan-kesan penerapan ini akan dapat dilihat pada
masa akan datang ataupun apabila para pelajar meningkat dewasa.

Antara kesan penerapan elemen kewarganegaraan dan nilai sivik terhadap pelajar
adalah pelajar akan berusaha untuk mempertahankan keharmonian negara. Penghayatan
dalam mata pelajaran Sejarah membolehkan para pelajar mengetahui masalah perkauman
dan perebutan kuasa yang berlaku antara pembesar-pembesar pada zaman Kesultanan
Melayu Melaka telah membuka laluan kepada penjajahan dan penaklukan imperialis-
imperialis. Nasib rakyat peribumi tidak terbela dan mereka hidup merana kerana orang Barat
berkuasa pada ketika itu (Azmah, 2013). Oleh itu, para pelajar tidak akan menginginkan
peristiwa pahit tersebut berulang. Mereka akan berusaha melindungi negara agar sejarah
seperti itu akan berulang kembali.

Tambahan pula, hampir seluruh generasi muda hari ini memiliki kehidupan yang serba
senang dan mudah. Perkara ini menjadi kebimbangan kerana ianya boleh mengurangkan
semangat patriotisme mereka. Kemudahan sosial, kemajuan ekonomi, dan pelbagai bentuk
hiburan boleh melekakan dan mengalpakan mereka daripada hal-hal yang serius seperti
kemajuan bangsanya dan tanggungjawab mereka terhadap masyarakat dan negara. Justeru
itu, penerepan elemen kewarganegaraan dan nilai sivik kepada pelajar hari ini akan dapat
melindungi mereka daripada perkara-perkara tersebut. Hal ini demikian kerana kehidupan
mereka pada masa akan datang akan lebih mencabar daripada yang berlaku hari ini.
Penerapan nilai-nilai sivik ini akan dapat melindungi mereka daripada lalai dan menjadikan
mereka insan yang boleh melindungi diri sendiri daripada unsur-unsur yang membawa
keburukan kepada diri mereka dan juga negara Malaysia.

Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Begitu besar harapan kita terhadap
pelajar-pelajar hari ini. Maka penerapan elemen kewarganegaraan dan nilai sivik akan dapat
menanamkan nilai jati diri dan kesanggupan mereka untuk berkorban demi negara. Didikan
awal yang diberikan akan dapat menjadikan mereka insan yang berguna kepada negara pada
masa akan datang. Menurut Husin dan Noorhasniah (2012), generasi berdisiplin dan produktif
adalah kemudi pembangunan kepimpinan negara pada masa akan datang. Justeru itu, nilai-
nilai Sivik yang disemai dalam diri setiap pelajar akan dapat menjadikan mereka insan yang
tidak mudah terpengaruh dengan budaya-budaya luar yang mempamerkan acuan lain dari
ciri-ciri Malaysia.

4
Penerapan elemen kewarganegaraan dan nilai sivik terhadap pelajar secara tidak
langsung dapat mengelakkan mereka daripada bersikap mementingkan diri dan bersikap
etnosentrisme pada masa akan datang. Sikap etnosentrisme ialah sikap yang mementingkan
kelompok etnik sendiri (Suryadi, Nanang, & Dimas, 2010). Sikap seperti ini akan menjejaskan
hubungan dengan kaum lain di negara ini. Oleh itu, penerapan nilai-nilai sivik akan dapat
melindungi mereka daripada bersikap seperti ini. Di samping itu juga, mereka akan dapat
mengamalkan Gagasan 1 Malaysia yang menekankan aspek perpaduan secara tuntas ke
arah pembentukan sebuah negara yang progresif. Bahkan, mereka juga tidak akan
menyentuh isu-isu sensitif seperti hak istimewa sesuatu kaum yang termaktub dalam
perlembagaan.

Justeru itu, penerapan elemen kewarganegaraan dan nilai sivik terhadap pelajar akan
memberikan kebaikan kepada diri pelajar dan juga negara Malaysia. Amalan sikap di mana
bumi dipijak, di situlah langit dijunjung perlu ada dalam diri pelajar. Natijahnya, negara akan
terhindar daripada sebarang malapetaka yang buruk.

5
4.0 PERANAN PENGURUSAN KURIKULUM SEJARAH SEKOLAH RENDAH

Pengurusan kurikulum Sejarah di sekolah rendah digalas oleh panitia Sejarah. Penubuhan
panitia mata pelajaran ini adalah berdasarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.4/1986
Kementerian Pelajaran Malaysia. Melalui pekeliling ini, penubuhan panitia di sebuah sekolah
adalah bertujuan untuk menggembleng tenaga guru-guru yang mengajar mata pelajaran
untuk menyelaraskan aktiviti atau tugas-tugas mereka sebagai pendidik. Mereka juga
mestilah mempunyai semangat bekerjasama, salaing membantu, dan menyelaraskan usaha
mereka dengan lebih terkelola dan bersepadu.

Panitia mata pelajaran Sejarah dianggotai oleh kesemua guru yang terlibat atau
mengajar mata pelajaran Sejarah di sekolah rendah. Panitia Sejarah dipimpin dan
dikendalikan oleh seorang Guru Kanan yang dilantik sebagai Ketua Panitia oleh Guru Besar.
Menurut Mohamad Mazni dan Nasarudin (1998), ketua panitia perlulah dilantik dalam
kalangan guru kanak yang beropsyen Sejarah di sesebuah sekolah.

Organisasi Panitia Sejarah Sekolah Rendah

Penasihat

Guru Besar

Ketua Panitia

Guru Kanan Sejarah

Setiausaha Panitia

Ahli-ahli Panitia

Rajah 1

6
Berdasarkan Rajah 1, Ketua Panitia secara automatik akan dilantik sebagai
Jawatankuasa Kurikulum Sekolah. Jawatankuasa ini berperanan sebagai penghubung di
antara ahli-ahli di dalam setiap panitia dengan Guru Besar dan pihak pentadbiran sekolah.

Antara aspek pengurusan panitia Sejarah adalah berkenaan dengan sistem fail.
Sistem fail merujuk kepada proses menyimpan segala rekod dan dokumen untuk rujukan
dengan selamat dan mudah diperolehi dengan cepat bila dikehendaki (Mohamad Mazni &
Nasarudin, 1998). Proses ini juga meliputi klasifikasi, penyusunan, penyimpanan, dan
pelupusan rekod. Pada peringkat panitia pelajaran, fail bewarna putih akan digunakan dan
diklasifikasikan sebagai fail terbuka dan terhad. Sistem fail amat penting agar dapat merekod
dan menyimpan semua perkara yang berkaitan dengan Sejarah seperti Surat-menyurat Ko-
kurikulum Akademik dan koleksi soalan ujian dan peperiksaan mengikut tahap murid di
sekolah.

Selain itu juga, panitia Sejarah haruslah merancang aktivitinya tersendiri agar dapat
menjadi hala tuju panitia tersebut bagi sesebuah tahun atau tempoh tertentu. Sebagai contoh,
Buku Perancangan Tahunan yang terancang. Buku perancangan ini akan meliputi
pengurusan dan pentadbiran panitia, perancangan akademik panitia, perancangan persatuan
akademik, dan dokumen sokongan.

Panitia Sejarah juga akan mengadakan mesyuarat panitia sekurang-kurangnya sekali


bagi setiap penggal persekolahan selaras dengan syarat Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 4/1986.
Tambahan pula, panitia Sejarah memainkan peranan dalam menetapkan guru yang mengajar
mengikut kelas. Ini adalah perancangan pengajaran Sejarah di sekolah. Ketua Panitia
bertanggungjawab untuk membuat permohonan kepada Guru Besar sekiranya guru opsyen
Sejarah tidak mencukupi. Di samping itu juga, pihak panitia bertanggungjawab dalam
menyediakan Rancangan Pengajaran Tahunan mengikut format yang disediakan. Selain itu,
semakan berkala dan analisa rancangan ini perlu dilakukan agar mendapatkan hasil yang
terbaik.

Selain itu juga, panitia Sejarah juga perlu menguruskan kewangan dan stok untuk
mata pelajaran Sejarah. Sebagai contoh, memastikan peruntukan dan baki tahuan semasa,
merancang perbelanjaan panitia, dan mengemaskini stok baru.

Pembentukan Panitia Sejarah di sekolah rendah akan meningkatkan lagi kecekapan


dalam pengurusan mata pelajaran ini dan meningkatkan lagi keberkesanan pengajaran
Sejarah di sekolah. Selain itu juga, panitia ini akan menjadikan pengurusan mata pelajaran
lebih sistematik dan teratur.

7
5.0 CIRI GURU SEJARAH SEKOLAH RENDAH

Pengajaran mata pelajaran Sejarah bukanlah sesuatu yang mudah. Ilmu pengetahuan
Sejarah yang dimiliki tidak semestinya menjadikan seorang guru itu sebagai guru Sejarah
yang baik. Pelbagai ciri lain yang perlu ada pada seorang guru Sejarah.

Salah satu ciri guru sejarah adalah berpengetahuan luas dan mendalam mengenai
Sejarah. Kemahiran dan pengetahuan sejarah perlu ada dalam diri guru Sejarah. Guru yang
berpengetahuan luas akan sentiasa membuat pembacaan bagi meningkatkan ilmu
pengetahuan. Bahkan, guru tersebut haruslah mampu membawa isu-isu semasa untuk
dibincangkan di dalam kelas. Guru Sejarah yang memiliki pengetahuan luas akan sentiasa
membuat persiapan rapi sebelum menyampaikan pengajarannya. Hal ini bertujuan untuk
mengelakkan penyampaian fakta mahupun isi pelajaran yang salah kepada para pelajar.

Selain itu juga, guru Sejarah mestilah menguasai pelbagai kaedah pengajaran selaras
dengan perkembangan bidang pendidikan. Amalan penggunaan buku teks sahaja perlu
ditinggalkan. Perkara seperti ini yang menyebabkan pelajar berasa bosan dengan mata
pelajaran Sejarah. Kaedah pengajaran abad ke-21 perlu dikuasai agar setiap penyampaian
isi pelajaran dapat diikuti oleh pelajar. Selain itu juga, aplikasi teknik lakonan di dalam kelas
juga menjadi suatu kebaikan kerana ianya dapat menarik minat pelajar untuk belajar.
Pembelajaran sambil bermain juga seharusnya difahami dan dilaksanakan di dalam kelas.
Menurut Harun (2006), kepelbagai dalam kaedah pengajaran sebenarnya dapat
meningkatkan lagi keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

Seterusnya, guru Sejarah seharusnya mahir dalam pedagogi. Pelaksanaan aktiviti


dalam pengajaran di dalam kelas seharusnya seimbang dan setaraf dengan tahap kognitif
pelajar. Cara-cara pengajaran perlu dipelbagaikan dan tidak tertumpu kepada suatu cara
sahaja. Perkara ini penting kerana pelajar mempunyai kemahiran yang berlainan dan citarasa
yang berbeza (Noriati A. Rashid et al., 2016). Oleh itu, kemahiran menganalisis pelajar
terutamanya pelajar Sejarah amat penting supaya guru tersebut dapat memilih teknik yang
sesuai semasa mengajar. Kesimpulannya, kemahiran dalam pedagogi amat penting sebagai
seorang guru Sejarah.

Tambahan pula, guru Sejarah mestilah menguasai bidang teknologi maklumat dan
komunikasi dengan baik. Penggunaan alat-alat elektronik seperti komputer riba dan perisian
teknologi amat penting dalam mewujudkan pengajaran yang lebih menarik kepada pelajar.
Hal ini juga bertujuan agar pengajaran yang diberikan setaraf dengan perkembangan
teknologi pada masa kini. Tayangan video dan penggunaan audio di dalam kelas akan dapat
memudahkan pelajar untuk memahami sesuatu topik yang diajarkan (Noriati, Pong Ying,

8
Sharifah Fakhriah, & Wan Kamarudin, 2012). Tambahan pula, penguasaan dalam bidang ini
akan dapat memudahkan pengajaran guru di dalam kelas.

9
6.0 RUMUSAN

Oleh hal yang demikian, usaha-usaha untuk memupuk nilai, unsur patriotisme dan
kesedaran sivik dalam kalangan murid sekolah yang bakal meneraju kepimpinan negara pada
masa akan datang perlulah dijalankan sepanjang masa tanpa henti. Hal ini demikian kerana
perkara-perkara ini penting untuk melahirkan warganegara yang cinta akan negaranya dan
pasti akan menjadi individu yang berguna kepada bangsa, agama dan negaranya sendiri.
Individu yang memiliki semangat patriotik yang tinggi juga akan sentiasa berusaha untuk
memajukan diri dan negaranya agar mencapai kemajuan dan pembangunan dengan cepat,
setanding dengan negara-negara maju yang lain. Sekiranya semangat patriotik tidak dapat
dipupuk dalam kalangan generasi muda, pastilah mereka tidak ada perasaan cinta akan
negara dan menyebabkan mereka hilang jati diri. Oleh itu, semua pihak perlulah berganding
bahu dan memainkan peranan masing-masing agar nilai, unsur patriotisme dan kesedaran
sivik dapat dipupuk dan disuburkan dalam kalangan masyarakat ke arah pembentukan
warganegara Malaysia yang bertanggungjawab yang dapat mencapai kesejahteraan
masyarakat.

10
Rujukan
Azmah. (2013). Jebat: Malaysian Journal of History, Politics & Strategy. Perkembangan Politik
dan Kesannya ke atas Pembangunan Ekonomi Terengganu, Antara Tahun 1955
Hingga 1969. (40), 133-154.

Harun. (2006). Jurnal Pendidikan. Minat, motivasi dan kemahiran mengajar guru pelatih, 31,
83-96.

Husin & Noorhasniah. (2012). Peradaban dan Perkauman di Malaysia: Hubungan Etnik
Melayu-Cina. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.

Mohd Sohaimi, Dayu, & Budi Anto. (2011). Hubungan etnik: Kelangsungan Pembinaan
Negara Bangsa. Selangor: Penerbitan Multimedia Sdn Bhd.

Mohamad Khairi. (2014). Journal of Human Development and Communication. Hubungan


Penerapan Nilai Murni dalam Pengajaran Bahasa Melayu dengan Penghayatan Nilai
Murni Pelajar, (3), 81-92.

Mohamad Mazni & Nasarudin. (1998). Peranan Panitia Mata Pelajaran Sejarah dari Rakan
Sejarah. Kedah: Universiti Utara Malaysia.

Noriati A. Rashid et al. (2016). Murid dan Pembelajaran. Selangor: Oxford Fajar Sdn Bhd.

Noriati, Pong Ying, Sharifah Fakhriah, & Wan Kamarudin, 2012. Teknologi dalam Pengajaran
dan Pembelajaran. Selangor: Oxford Fajar.

Sufean Hussin. (1989). Pengajaran nilai dalam kurikulum. Petaling Jaya: Fajar Bakti

Sdn. Bhd.

Suryadi, Nanang, & Dimas. (2010). Jurnal Aplikasi Manajemen-Journal of Applied


Management. Kecenderungan Etnosentrisme, Sikap, dan Intensi Konsumen dalam
Membeli Produk Sepatu Buatan Usaha Kecil dan Menengah (UKM), (2), 325-336.

11
LAMPIRAN

12

Anda mungkin juga menyukai