Anda di halaman 1dari 3

AKTIVITI KOKURIKULUM MEMBENTUK INSAN CEMERLANG

Salam sejahtera dan salam 1 Malaysia saya tujukan khas buat tuan pengerusi
majlis, barisan intelektual kehakiman bijak bestari, penjaga masa yang setia
dengan detik waktunya, rakan-rakan pemidato dan seterusnya warga dewan
yang dimuliakan.

Berdirinya saya di sini pada hari yang mulia ini adalah untuk menyampaikan
sebuah pitado yang bertajuk Aktiviti Kokurikulum Membentuk Insan
cemerlang

Hadirin yang dihormati,

Sebelum kaki mengorak langkah, sebelum bibir mengatur bicara, izinkan saya
mendefinisikan tajuk pidato saya pada hari ini. Menurut Kamus Dewan Edisi
keempat halaman 804, aktiviti kokurikulum merupakan kegiatan selain mata
pelajaran yang diajar dalam bilik darjah. Halaman 165 pula menyatakan
bahawa membentuk membawa erti sebagai menjadikan atau membuat
sesuatu, manakala halaman 580 memberi definisi insan sebagai makhluk yang
dicipta oleh Allah s.w.t. Halaman 262 menyatakan bahawa cemerlang
membawa maksud bersinar, gilang gemilang dan berkilauan. Maka secara
tuntasnya, dapatlah disimpulkan bahawa aktiviti kokurikulum membentuk insan
berkualiti yang bakal mendukung aspirasi negara.

Hadirin yang berjiwa setia,

Saya mulakan hujah saya yang pertama di bawah lembayung bicara


kokurikulum memupuk nilai murni dalam jati diri pelajar. Melalui aktiviti
kokurikulum, nilai-nilai murni akan dapat ditanam dalam jati diri pelajar
termasuklah nilai bekerjasama, berdaya saing dan saling hormat-menghormati.
Keadaan ini secara langsung akan dapat melahirkan perasaan 1 Malaysia bagi
rakyat yang berbilang kaum seperti yang dihasratkan oleh Perdana Menteri
kita, Dato Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Malah, aktiviti kokurikulum yang
diadakan pada hari ini menyaksikan pelajar yang berbilang kaum berada di
bawah satu bumbung untuk menjayakan pertandingan pidato. Situasi ini jelas
menunjukkan bahawa aktiviti kokurikulum mewujudkan nilai murni dalam diri
pelajar iaitu saling menghormati dan berdaya saing. Insan seperti inilah yang
kita perlukan untuk mengetuai pucuk pimpinan negara yang seterusnya
membawa Malaysia merealisasikan Wawasan 2020.

Sidang dewan yang budiman,

Beralih kepada hujah saya yang kedua, kokurikulum memaksimumkan


pengisian masa, menjauhkan keruntuhan moral. Umum mengetahui, individu
yang bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum sentiasa dicemburui masa. Tanpa
pengurusan masa yang sempurna, sukar untuk mereka cemerlang dalam
aktiviti kokurikulum, gemilang dalam akademik dan terbilang dalam kehidupan
mendatang. Mereka perlu menggunakan masa secara maksimum dan sentiasa
bersikap profesional. Mereka tidak mempunyai masa senggang untuk melepak
atau berfoya-foya. Oleh itu, mereka dapat menjauhkan diri daripada
terjerumus ke dalam kancah keruntuhan akhlak remaja. Maka jelaslah,
kokurikulum melhirkan insan cemerlang yang dapat memaksimumkan pengisian
masa serta sihat rohani dan jasmaninya agar dapat menyumbang kepada
keluarga, agama, bangsa dan negara.

Sidang hadirin yang dihormati,

Hujah saya yang terakhir di bawah Nirmala kata kokurikulum penjana daya
kreativiti. Pepatah melayu ada menyatakan, kalau tidak dipecahkan ruyung,
manakan dapat sagunya. Begitulah keadaanya dengan pelajar di Malaysia.
Jika bakat mereka tidak dicungkil, maka mustahil untuk mereka mengetahui
bakat, kreativiti dan potensi diri. Ramai guru di sekolah mencungkil bakat para
pelajar agar kreativiti mereka dapat dibimbing dan dibentuk menjadi
sempurna. Hal ini kerana, pelajar merupakan aset negara yang sangat penting
untuk membantu Malaysia dalam apa juga bidang di dunia ini untuk
membolehkan negera tercinta berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah
dengan negara-negara lain.

Hadirin yang dikasihi,

Sebelum saya mengakhiri bicara ini, ingin saya tegaskan sekali lagi bahawa
aktiviti kokurikulum memberi sumbangan yang amat bermakna dalam
membentuk insan cemerlang. Tirai pidato saya labuhkan dengan kata-kata
yang diinspirasikan oleh Dato Doktor Nordin Kardin, mantan naib canselor
universiti Utara Malaysia, insan yang berdaya saing akan mampu
memanipulasikan dirinya ke arah kemajuan seiring perkembangan zaman.
Renungkanlah, fikirkanlah, cernakanlah.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai