Anda di halaman 1dari 12

”SI TANGGANG ANAK DERHAKA”

“Hei… Perempuan tua, jangan engkau pandai-pandai mengaku dirimu itu ibuku! Ibuku
tidak sekotor ini. Aku anak orang kaya. Lebih baik kau berambus dari sini….”
” Pengawal, halau perempuan tua ini, hamba benci melihatnya!”
Para hadirin sekalian,
Begitulah kesombongan dan keangkuhan Si Tanggang terhadap ibunya dalam kisah
” Si Tanggang Anak Derhaka” yang akan saya ceritakan pada pagi yang berbahagia
ini.
Pada zaman dahulu kala, di sebuah kampung yang terpencil terdapat sebuah
keluarga yang miskin. Di dalam keluarga tersebut tinggal Mak Umpit dan anak
tunggalnya yang bernama Si Tanggang. Kehidupan mereka sehari-harian, bak kata
pepetah kais pagi, makan pagi, kais petang, makan petang.

Pada suatu hari, Si Tanggang berkata kepada ibunya yang sedang menyapu
di halaman rumah...
” Ibu, kehidupan kita ini sangat miskin. Tanggang rasa eloklah Tangggang
pergi merantau di negeri orang mencari kekayaan. Nanti... Tanggang akan dirikan
mahligai yang indah dan akan Tanggang kalungkan intan permata pada tubuh ibu...”
Alangkah terkejutnya Mak Umpit apabila mendengar hasrat anak kesayangannya
itu.
”Apa??? Kau nak tinggalkan ibu...? Ibu sudah tua Tanggang... kasihanilah
ibu... jangan tinggalkan ibu, Tanggang...”

Segala rintihan dan rayuan Mak Umpit tidak diendahkan oleh anaknya Si Tanggang..
Keesokan harinya, keluarlah Si Tanggang meningggalkan ibunya yang tua di
kampung sendirian.

Setelah sekian lama berada di negeri orang, dengan berkat kerajinan Si Tanggang,
beliau telah berjaya menjadi Datuk Nakhoda. Kini, Si Tanggang sudah menjadi kaya
raya dan telah berkahwin dengan seorang puteri raja yang cantik jelita. Akibat
daripada kemewahan dunia yang dimiliki Si Tanggang, kini ... beliau telah lupa kepada
ibunya yang tua dan miskin di kampung.

Pada suatu hari, isteri Si Tanggang telah ikut serta bersam Si Tanggang dan
anak-anak kapal belayar berniaga. Dalam pelayaran tersebut akhirnya kapal Si
Tanggang telah berlabuh di pantai berhampiran kampung kelahirannya. Berita
kedatangan kapal Si Tanggang telah diketahui oleh orang-orang kampung... Ibu Si
Tanggang sangat gembira dengan berita kepulangan anaknya kesayangannya itu.
Tanpa berlengah lagi Mak Umpit terus pergi berjumpa Si Tanggang dengan
mendayung sampan menuju ke kapal Si Tanggang untuk berjumpa anak
kesayangannya itu.

” Oh, Tanggang anakku! Tidakkah engkau kenal lagi ibumu ini? Rindunya rasa
hati ibu semenjak kepemergianmu nak...”
Si Tanggang terkejut dengan kedatangan perempuan tua itu. Dia berasa malu kepada
isterinya untuk mengaku perempuan yang tua dan hodoh itu ibu kandungnya. Lalu Si
Tanggang pun menghalau perempuan tua itu dari kapalnya.
“Hei… Perempuan tua, jangan engkau pandai-pandai mengaku dirimu itu ibuku! Ibuku
tidak sekotor ini. Aku anak orang kaya. Lebih baik kau berambus dari sini….”
” Pengawal, halau perempuan tua ini, hamba benci melihatnya!”
Kerana terlalu sedih, Mak Umpit menagis teresak-esak apabila dimaki dan dihalau
oleh anak kandungnya sendiri. Lalu dia pun mendayung semula sampannya ke pantai.
Setibanya Mak Umpit di pantai, dia terus menadah tangan ke langit dan berseru
lepada Tuhan;
“Oh, Tuhanku! Kalau benar Si Tanggang itu adalah anakku yang kususui dari
sususku ini dan yang ku didik dari sebesar dua tapak jari ini, tujukkanlah balasan Mu
ke atas anak yang durhaka!!!”
Tidak semena-mena satu ribut yang Amat kyat telah Turín. Kilat dan guruh
memecah langit telah datang dengan tiba-tiba. Terdengarlah suara anak kapal riuh
rendah di dalam bahtera. Dalam riuh rendah itu, terdengarlah suara Si Tanggang
melaung.....
” Ibu.... ibu.... ibu...ampunkan dosa Tanggang bu....
Tanggang ini anak ibu........ ibu ampunkan Tanggang bu.....
Ampunkan Tanggang bu.... ampunkan Tanggang bu.....”
Bahtera Si Tanggang semakin karam, pekik dan lolong orang-orang di dalamnya
semakin hilang...... akhirnya..... Tanggang, isteri dan anak-anak kapalnya menjadi
batu akibat daripada penghinaan dan penderhakaan Si Tanggang terhadap ibunya....

Para hadirin sekelian;


Itulah balasannya kepada anak-anak yang tidak mengenang budi dan dan
menderhaka kepada kedua orang tuanya yang telah bersusah payah mendidik dan
membesar dari kecil hingga ke dewasa.
Sekian, terima kasih.
Terima kasih Pengerusi Majlis Yang saya hormati para hakim, guru-guru dan
rakan-rakan sekalian. Selamat pagi dan salam sejahtera. Saya akan menyampaikan
sebuah cerita yang bertajuk “Singa yang Sombong”.

Yang terlena, sedar-sedarkan. Yang tersedar, dengar-dengarkan. Yang


terdengar fikir-fikirkan.

Dalam sebuah hutan, tinggal seekor singa yang sombong. Badannya yang
besar dan kuat menyebabkan semua haiwan takut kepadanya. Banyak haiwan yang
telah menjadi mangsanya.

Suatu hari, semua haiwan di rimba telah mengadakan satu perjumpaan.


Mereka berbincang bagaimana untuk menewaskan singa yang ganas lagi sombong
itu. Tiba-tiba Sang Kancil bangun dan bersuara.

“Wahai kawan-kawan, kehidupan kita sekarang semakin terancam. Semakin


lama, semakin ramai kawan kita yang menjadi mangsa singa yang zalim itu. Oleh itu
marilah kita sama-sama berfikir, bagaimana hendak menewaskan singa itu.

“Ya, kami sedia membantu” jawab haiwan yang lain.

“Siapa ada cadangan, silakan” kata Sang Kancil. Semua terdiam. Tiba-tiba
tebuan bersuara,

“Wahai kawan-kawan, biarlah saya cuba menewaskan singa itu.” Haiwan lain
ketawa sambil memperkecilkan kebolehan Tebuan.

“Selain saya, siapakah yang berani menawarkan diri, silakan.” Tebuan


mencabar kawan-kawannya. Masing-masing tunduk diam.

“Oleh kerana tidak ada haiwan lain yang berani menentang Singa, marilah kita
sama-sama menyokong Sang Tebuan sebagai wira kita.” Kata Sang Kancil dan
disambut dengan tepukan yang gemuruh oleh penghuni rimba itu.

Pada keesokan harinya, semua penghuni rimba keluar untuk menyaksikan


pertarungan antara Singa dan Tebuan. Tiba di suatu tempat, mereka tenampak Singa
masih tidur di bawah pokok. Lalu Tebuan pun terbang menghampiri Singa.

“Hai Singa yang zalim. Hari ini aku mencabar engkau untuk berlawan
denganku.” Kata Tebuan dengan berani.
“Engkau nak berlawan dengan aku?” Tanya Singa itu sambil ketawa.

“Belum cuba, belum tahu.Walaupun aku kecil, tapi dengan azam yang kuat,
aku akan dapat menewaskan kemalasanmu yang besar.” Jawab Tebuan penuh
semangat.

“Baiklah, kalau engkau berani, marilah.” Kata Singa.

Dengan pantas, Tebuan terbang mengelilingi Singa itu. Singa itu berpusing-
pusing untuk menampar Tebuan tetapi tidak berjaya. Lama-kelamaan Singa itu
menjadi letih. Tebuan mengambil kesempatan ini. Dengan pantas ia masuk ke dalam
lubang hidung singa yang luas itu. Lalu menyengat Singa itu dari lubang
hidungnya.

Singa itu meraung kesakitan. Ia bersin beberapa kali tetapi tidak berjaya
mengeluarkan Tebuan. Semakin lama, semakin kuat gigitan Tebuan itu.

Tidak lama kemudian, Singa itupun mati kesakitan yang amat sangat. Semua
binatang bersorak kegembiraan. Mereka menyanjung keberanian tebuan itu.

Ingat kawan-kawan, orang yang besar tidak semestinya kuat dan orang yang
kecil tidak semestinya lemah. Kedua, Kita tidak boleh bersikap malas, maka
berusahalah. Kita mesti berusaha jika ingin Berjaya.

Sebelum mengundur diri mari kita fikirkan. Kecil jangan disangka anak, besar
jangan disangka bapa. Akal yang cerdik dan semangat kental dapat mengalahkan
kekuatan fizikal.

Sekian, terima kasih.


Terima kasih dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis, para hakim yang arif
lagi bijaksana, guru-guru yang dikasihi serta rakan-rakan sekalian. Tajuk cerita yang
akan saya sampaikan pada hari ini ialah Arnab Dengan Buaya.
Di dalam sebuah hutan terdapat sekawan arnab. Salah seekor daripada arnab-
arnab itu sungguh cantik. Bulunya lebat, lembut dan putih melepak. Giginya pula
tersusun rapi dan putih berseri. Sahabat handai dan binatang-binatang lain di dalam
hutan itu selalu memuji kecantikan gigi arnab ini.
Akibat pujian dan perhatian ini, semakin hari arnab itu menjadi semakin
sombong. Ia mula berlagak seolah-olah ialah yang tercantik di dunia ini. Lama-
kelamaan, haiwan-haiwan lain mula menjauhkan diri daripadanya. Oleh kerana tiada
sesiapa lagi yang suka berbual dengannya, arnab itu selalu berjalan sendirian.
Pada suatu hari, arnab itu berjalan di tepi sungai. Arnab ternampak seekor buaya
sedang berjemur di tebing. Arnab berasa takut dan tidak berani mendekati buaya itu.
“Hai Arnab, cantik sungguh gigi ! Kalau gigi aku juga begitu cantik, sudah pasti
aku boleh menjadi raja di laut.” Kata buaya itu kepada arnab. Arnab berasa sungguh
gembira kerana sudah lama dia tidak mendengar pujian begitu.
“Bagaimana engkau menjaga kecantikan gigi kau tu?” Tanya buaya itu lagi. Arnab
berasa bangga dengan pujian itu. Sambil tersenyum, arnab berkata, “Engkau mesti
banyak makan sayur-sayuran dan jangan makan daging.”
Kemudian, buaya pun mengangakan mulutnya. “Bolehkah engkau tolong
periksa gigiku. Gigiku sudah banyak yang rosak,” kata buaya lagi. Tanpa berfikir
panjang, arnab pun menghampiri buaya lalu memeriksa gigi buaya satu demi satu.
Tanpa berlengah-lengah lagi, buaya terus menutup mulutnya dan menelan arnab itu.
Maka tamatlah riwayat arnab yang mempunyai gigi yang cantik tetapi pendek akal itu.
Demikianlah kawan-kawan berakhirnya cerita saya pada kali ini. Sekian, terima kasih.

Terima kasih dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis, para hakim yang arif
lagi bijaksana, guru-guru yang dikasihi serta rakan-rakan sekalian. Tajuk cerita yang
akan saya sampaikan pada hari ini ialah Penebang Kayu Dengan Anaknya.
Di dalam sebuah kampung, tinggal seorang penebang kayu yang miskin .
Penebang kayu itu mempunyai seorang bapa yang telah tua lagi uzur dan seorang
anak. Pada suatu hari, penebang kayu itu bercadang untuk menghantar bapanya ke
dalam hutan dan membiarkannya tinggal di situ.
“Bagaimana nanti kalau jiran–tetangga kita bertanya tentang ayah?” tanya isteri
penebang kayu.
“Kamu beritahulah mereka yang dia tinggal di tokong untuk menghabiskan sisa-
sisa hidupnya,” kata penebang kayu itu. Penebang kayu dan isterinya tidak sedar
bahawa percakapan mereka telah didengari oleh anak mereka.
Keesokan harinya, penebang kayu pergi ke pekan untuk membeli sebuah bakul
yang besar. Sebaik sahaja waktu senja, penebang kayu itu pun memasukkan bapanya
ke dalam bakul tersebut.
“Apa yang kamu cuba lakukan?” tanya bapanya.
“Ayah, kami tidak terdaya menjaga ayah kerana kami miskin dan sentiasa sibuk.
Kami ingin membawa ayah ke tempat yang selamat. Di sana, ayah akan dijaga
dengan baik,” kata penebang kayu itu sambil memikul bakul tersebut. Orang tua itu
berasa sedih dan mengerti maksud anaknya. Penebang kayu itu pun memikul
ayahnya berjalan kearah hutan.
Sebelum bayang penebang kayu itu hilang daripada pandangan, anak penebang
kayu itu menjerit, “Ayah, jangan lupa bawa balik bakul itu semula!”
“Mengapa?” tanya penebang kayu itu kehairanan.
“Ayah,” kata anak penebang kayu itu dengan lembut, “Apabila ayah tua kelak,
saya akan gunakan bakul itu untuk memikul ayah pula.”
Kaki penebang kayu itu menggigil dan tidak boleh bergerak. Dia tunduk sambil
berfikir. Selepas beberapa ketika, dia pun berkata kepada anaknya. “Marilah kita
pulang ke rumah.”
Demikianlah kawan-kawan berakhirnya cerita saya pada kali ini. Sekian, terima
kasih.

Terima kasih dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis, para hakim
yang arif lagi bijaksana, guru-guru yang dikasihi serta rakan-rakan sekalian. Tajuk
cerita yang akan saya sampaikan pada hari ini ialah Puteri Sulung Dan Puteri Bongsu.
Pada suatu ketika dahulu, Raja Ambun mempunyai puteri kembar yang amat
cantik. Puteri Bongsu yang begitu cantik dikatakan berdarah putih dan amat disayangi
oleh raja.
Kecantikan Puteri Bongsu yang berdarah putih telah sampai kepengetahuan
Raja Tinggi. Raja Tinggi pun menghantar rombongan untuk meminang Puteri Bongsu.
Raja Ambun menjadi serba salah. Kalau pinangan itu ditolak, tentu akan berlaku
peperangan. Tetapi, kalau pinangan itu diterima, baginda akan dukacita sepanjang
hayat kerana baginda amat kasih kepada Puteri Bongsu.
Akhirnya, Raja Ambon telah menukarkan Puteri Bongsu dengan Puteri
Sulung. “Rancangan ini tentu berjaya,” kata seorang pembesar. “Raja Tinggi tidak
pernah melihat Puteri Bongsu. Kita suruhlah Puteri Sulung mengaku yang dia
bernama Puteri Bongsu,” Akhirnya pinangan Raja Tinggi itu pun di terima.
Raja Tinggi pun berkahwin lah dengan Puteri Sulung yang disangkanya Puteri
Bongsu itu. Pada suatu hari, jari Puteri Sulung telah terluka akibat terkena pisau. Luka
itu berdarah dan darahnya berwarna merah. Raja Tinggi berasa terkejut kerana darah
itu tidak berwarna putih.
“Dinda mesti berkata benar, siapakah dinda sebenarnya?” tanya Raja Tinggi
sambil menghunus kerisnya. Puteri Sulung menggeletar. “ Adinda ialah kakak kepada
Puteri Bongsu,”
Raja Tinggi amat murka. “Rupa-rupanya beta telah ditipu! Kita akan serang
negeri Ambun,” kata Raja Tinggi dengan garangnya.
Akhirnya, Raja Tinggi pun menghantar tentera untuk menundukkan negeri
Ambun.
Demikianlah kawan-kawan berakhirnya cerita saya pada kali ini. Sekian, terima
kasih.
Terima kasih dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis, para hakim
yang arif lagi bijaksana, guru-guru yang dikasihi serta rakan-rakan sekalian. Tajuk
cerita yang akan saya sampaikan pada hari ini ialah Ampai-ampai Dan Puteri Laut.
Pada zaman dahulu, ada seorang hamba Raja Laut yang sangat setia kepada
rajanya. Namanya Ampai-ampai. Ampai-ampai telah ditugaskan oleh raja untuk
menjaga puteri baginda yang sangat cantik.
Pada suatu hari, puteri itu pergi bermain-main di tepi pantai bersama beberapa
orang dayang. Pada ketika itu sebuah kapal besar yang dimiliki oleh seorang putera
raja yang kacak telah berlabuh di tepi pantai itu. Putera raja terpesona melihat
kecantikan puteri Raja Laut. Puteri Raja Laut pun demikian juga apabila terlihat putera
raja yang gagah perkasa dan kacak itu.
Putera raja telah memujuk puteri Raja Laut supaya menaiki kapalnya yang
sedang berlabuh itu. Setelah memberi isyarat kepada dayang-dayangnya, puteri itu
pun naik ke kapal putera raja. Putera raja mengerahkan kelasi-kelasinya supaya
menaikkan layar dan segera belayar meninggalkan pantai itu.
Pada waktu itu, Ampai-ampai baru tersedar. Dia berlari menuju ke pantai tetapi
kapal itu sudah pun meninggalkan pantai. Ampai-ampai pun pulang ke istana lalu
menceritakan kejadian itu kepada Raja Laut.
Raja Laut sangat murka. Baginda mengambil sebatang kayu lalu memukul
tubuh Ampai-ampai sehingga remuk dan hancur tulangnya. Setelah itu Raja Laut
menbuangkan Ampai-ampai ke tepi laut.
“Engkau jangan naik ke darat sebelum puteri beta pulang kepada beta,” titah
baginda.
Ampai-ampai dilanda ombak ke sana sini dan akhirnya tersangkut pada ranting-
ranting kayu di tepi pantai. Itulah sebabnya Ampai-ampai tidak bertulang hingga
sekarang ini dan sepanjang masa tersidai pada ranting-ranting kayu di gigi air.
Kononnya, dia akan menunggu di tempat begitu sehingga Puteri Raja Laut itu lalu di
situ dan pulang kepada ayahandanya. Demikianlah kawan-kawan berakhirnya cerita
saya pada kali ini. Sekian, terima kasih.
Terima kasih dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis, para hakim
yang arif lagi bijaksana, guru-guru yang dikasihi serta rakan-rakan sekalian. Tajuk
cerita yang akan saya sampaikan pada hari ini ialah Perempuan Muda Yang Berani.
Pada suatu masa dahulu, negeri Tiku diperintah oleh Raja Tua. Baginda telah
menyuruh rakyatnya membuat sebuah perahu yang besar. Setelah perahu itu siap,
baginda pun telah mengadakan upacara untuk melancarkan perahu itu ke laut. Rakyat
negeri itu telah dikerahkan untuk menolak perahu ke laut tetapi anehnya perahu itu
sedikit pun tidak bergerak dari tempatnya. Raja Tua sangat hairan lalu memanggil
anak angkatnya Balun yang tahu akan bermacam-macam ilmu.
Balun pun mengambil dupa dan mengasap kemenyan. Setelah jampi dibaca dan
seluruh perahu diasapnya, Balun pun berkata “ Perahu ini tidak akan dapat diturunkan
jika tidak digalang dengan tubuh manusia. Tetapi yang menjadi galangan itu mestilah
anak atau saudara tuanku. Orang lain tidak boleh!”
Mendengar kata-kata Balun itu, semua orang menjadi gempar. Tidak ada
seorang pun anak kerabat raja yang hendak mengorbankan nyawanya untuk
pelancaran perahu tersebut.
Dalam keadaan hiruk pikuk itu, seorang perempuan muda yang sedang
mengandung tampil ke hadapan perahu. Dia ialah anak saudara kepada Raja Tua.
Perempuan muda itu berbaring di atas tilam dan bantal yang dibentangkan di haluan
perahu. Semua rakyat dan kerabat diraja menangis melihatkan perempuan muda
yang begitu berani mengorbankan nyawanya demi kepentingan Raja Tua.
Apabila semua sudah sedia, Balun pun mengambil tujuh batang lidi dan
rapat ke perahu itu. Setelah membaca jampi, perahu itu pun ditolak ke laut. Sekali lagi
telah berlaku keanehan. Dengan mudah, perahu itu dapat ditolak ke dalam air.
Semua orang yang berkumpul bersorak kegembiraan. Raja Tua berlari-lari
mendapatkan anak saudaranya dan mendapati anak saudaranya itu tidak mendapat
apa-apa kecederaan. Oleh kerana keberaniannya, Raja Tua telah menurunkan semua
harta pusaka kepada anak saudara perempuannya itu.
Demikianlah kawan-kawan berakhirnya cerita saya pada kali ini. Sekian, terima kasih.

Terima kasih dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis, para hakim
yang arif lagi bijaksana, guru-guru yang dikasihi serta rakan-rakan sekalian. Tajuk
cerita yang akan saya sampaikan pada hari ini ialah Harimau Yang Tamak.
Pada suatu hari, Maharaja Singa telah mengisytiharkan kepada penghuni rimba
bahawa mereka boleh menyembahkan satu kehendak mereka kepada baginda.
Binatang-binatang dalam hutan itu pun mengadap Maharaja Singa. Masing-masing
membawa permintaan. Tiap-tiap permintaan itu dikabulkan oleh baginda.
Setelah mendengar cerita kemurahan hati Raja Singa itu, timbullah rasa tamak
di hati harimau. “Aku mesti minta supaya rezeki aku lebih murah daripada sekarang.
Aku tidak mahu makan tiga kali sehari. Sebaliknya aku mahu makan tujuh kali sehari.
Kalau aku dapat makan tujuh kali sehari, tentulah aku akan lebih kuat daripada Singa.”
Setelah berfikir demikian, Sang Harimau pun pergi mengadap Maharaja Singa.
“Hah! Engkau datang juga, Harimau?” tegur Singa. “Apakah kehendak engkau?”
Harimau terkejut mendengar suara Singa yang bengis itu. Hatinya berdebar-debar.
“Patik… Patik mahu makan tujuh… tujuh …” kata Harimau tergagap-gagap.
“Tujuh apa?” sergah Maharaja Singa lebih keras.
“Tujuh hari sekali!” jelas Harimauu terketar-ketar.
“Baik. Dengan ini, aku sebagai Maharaja di hutan ini akan kabulkan
permintaan engkau. Mulai hari ini, engkau akan dapat rezeki tujuh haru sekali,” kata
Singa.
Sang Harimau tersedar yang dia telah tersalah cakap. Dia hendak mengatakan
tujuh kali sehari tetapi dia telah tersebutkan tujuh hari sekali. “
Tuanku…Patik…Patik…”
“Sudah!” potong Maharaja Singa. “Tiap-tiap binatang hanya boleh
mengemukakan satu permohonan sahaja. Permohonan engkau tadi telah pun beta
kabulkan.
Sejak hari itu, Harimau hanya dapat makan tujuh hari sekali. Itulah sebabnya
perut Harimau selalu kempis dan badannya tidak bermaya. Demikianlah kawan-
kawan berakhirnya cerita saya pada kali ini. Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai