Anda di halaman 1dari 2

Pendidikan Alam Sekitar penting

Saya tertarik dengan kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor yang
menyatakan rasa kesal kerana tragedi tanah runtuh melibatkan Rumah Anak-Anak Yatim dan
Anak-Anak Kebajikan Madrasah Al-Taqwa Felcra Semungkis, Batu 14 Hulu Langat
sebenarnya boleh dielakkan.
Ini kerana, pihak berkenaan mengesan pergerakan tanah di kawasan itu sebelum ini tetapi
tidak melaporkan kepada pihak bertanggungjawab.
Berdasarkan kenyataan tersebut, jelas sekali rakyat Malaysia kurang berpengetahuan tentang
elemen alam sekitar yang perlu diberi perhatian untuk mengelakkan berlakunya tragedi.
Peristiwa tanah runtuh di Madrasah At-Taqwa bukanlah kali pertama di negara kita. Malah
sudah berulang kali.
Namun kejadian sebelum ini seolah-olah tidak pernah menjadi pengajaran kepada
sesiapapun. Pembinaan struktur bangunan di kawasan lereng bukit masih lagi berleluasa.
Ilmu pengetahuan diiringi dengan kesedaran yang akan membentuk amalan yang baik
terhadap alam sekitar amat penting diterapkan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Bukan tidak ada usaha ke arah menerapkan pendidikan alam sekitar, namun keupayaan untuk
melaksanakan secara sempuna adalah terbatas.
Pelbagai kempen alam sekitar dilaksanakan tetapi usaha ini masih lagi tidak memberi
kesedaran sepenuhnya kepada rakyat Malaysia. Dalam Kurikulum Pendidikan Negara,
Pendidikan Alam Sekitar adalah satu bentuk nilai yang merentas kurikulum.
Pendidikan Alam Sekitar perlu diterapkan dalam semua mata pelajaran yang diajar bermula
peringkat prasekolah lagi. Malah Jabatan Alam Sekitar sendiri menyediakan Modul
Pendidikan Alam Sekitar khas untuk pelajar prasekolah.
Guru perlu melaksanakan penerapan Pendidikan Alam Sekitar ini secara langsung dan tidak
langsung. Justeru, dengan sedikit nilai yang diterapkan kemungkinan generasi yang masih
kecil pun pasti sedar tentang kepincangan pengurusan alam sekitar yang banyak berlaku hari
ini.
Namun, apa yang sangat mengecewakan hari ini ialah peminggiran subjek yang menjurus
kepada alam sekitar seperti mata pelajaran Geografi.
Apabila pelajar belajar Geografi, pengetahuan tentang gejala alam sekitar seperti tanah runtuh
ini dapat didedahkan dalam topik tertentu.
Dalam kurikulum hari ini Geografi ditekankan hanya sedikit dalam Kajian Tempatan.
Geografi hanya menjadi mata pelajaran wajib bagi Tingkatan Satu hingga Tiga sahaja.
Semasa di Tingkatan Empat dan Lima, Geografi menjadi subjek elektif dan tidak banyak pula
sekolah yang memilih subjek ini sebagai mata pelajaran elektif yang ditawarkan.
Justeru, semakin jauhlah pengetahuan alam sekitar yang diketahui oleh rakyat Malaysia.
Di peringkat Institut Pendidikan Guru, subjek Pendidikan Alam Sekitar hanya diberikan
kepada pelajar KPLI dan KDPM sahaja. Di peringkat ijazah tidak diberikan kecuali guru
pelatih yang mengambil major Pengajian Sosial.
Namun, lebih memburukkan lagi di peringkat Institut Pendidikan Guru mata pelajaran
Geografi dalam kurikulum Peringkat Persediaan dan Ijazah akan dihapuskan sama sekali bagi
bakal guru yang mengambil major Pengajian Sosial.
Kursus Pengajian Sosial yang asalnya terkandung bahagian Geografi diganti sepenuhnya
dengan Sejarah yang pada dasarnya untuk menangani masalah patriotisme dalam kalangan
remaja yang semakin berkurangan.
Untuk pengetahuan semua, kesedaran alam sekitar juga adalah salah satu daripada nilai
patriotisme yang mesti diterapkan.
Justeru, sebagai satu usaha untuk meningkatkan pengetahuan alam sekitar dalam kalangan
rakyat Malaysia, tekankanlah Pendidikan Alam Sekitar dan mata pelajaran berkait alam
sekitar seperti Geografi.
Tindakan ini mungkin boleh dijadikan sebahagian usaha untuk menyelesaikan isu alam kitar
di negara kita.
NOR RUL AZLIFAH ZULKAFALI
IPG Kampus Bahasa Melayu,
Kuala Lumpur

Anda mungkin juga menyukai