Anda di halaman 1dari 3

KARANGAN SPM 5/16

Soalan:

Kesedaran sivik merupakan aspek penting dalam kehidupan. Namun sikap ini semakin
kurang diamalkan dalarn kalangan masyarakat. Huraikau punca wujudnya keadaan ini
dan cara-cara untuk menerapkan kesedaran tersebut.

Karangan Contoh:

Kesedaran sivik boleh ditakrifkan sebagai rasa sedar yang mendalam dan
berterusan serta muncul dari hati seseorang atas dasar tanggungjawab untuk
memelihara hak dan kepentingan awam. Kesedaran sivik akan menjadikan seseorang
individu itu warganegara yang ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk mempertahankan
kepentingan awam untuk dikongsi bersama. Hari ini, kita begitu megah mengatakan
bahawa negara kita telah maju dan pesat membangun seiring dengan era globalisasi
namun, malangnya tanpa kita sedari kesedaran sivik dalam kalangan rakyat Malaysia
begitu rendah malah semakin luntur ditelan arus pemodenan. Hal ini terbukti apabila
masih terdapat dalam kalangan masyarakat kita, individu-individu yang masih tidak
menghormati satu sama lain. Kata-kata, �Yang muda disayangi, yang tua dihormati,�
tidak dapat kita lihat daripada perlakuan mereka. Buktinya, sampah-sarap dibuang di
merata-rata tempat telah mengotorkan dan menyakitkan mata memandang bukan lagi
perkara asing di negara kita. Di manakah silapnya sehingga pada zaman negara
mengorak langkah ke arah menjadi negara maju pun, fenomena negatif yang
memperlihatkan kerendahan kesedaran sivik masyarakat kita masih berleluasa dan
dapat kita lihat di mana-mana? Oleh itu, kita harus meneliti dan mendalami punca
permasalahan ini agar langkah yang ampuh dan berkesan dapat dilaksanakan bagi
menyuburkan kesedaran sivik ini dalam kalangan masyarakat kita.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa segala-galanya bermula dari rumah.


Kurangnya kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat kita berpunca daripada
keruntuhan institusi kekeluargaan. Memang tidak dapat dinafikan bahawa terdapat
masyarakat kini menjadikan rumah sebagai neraka buat anak-anak mereka. Kajian
Jabatan Kebajikan Masyarakat mendapati bahawa kadar perceraian dan rumah tangga
bermasalah semakin hari semakin meningkat terutama di bandar-bandar besar seperti
Kuala Lumpur, George Town dan Johor Baharu. Perceraian memperlihatkan masalah rumah
tangga antara suami isteri yang berpunca daripada permusuhan, perkelahian dan
kecurangan antara suami isteri. Siapakah saksi kepada semua permasalahan ini? Sudah
pastilah jawapannya ialah anak-anak. Menyaksikan ibu bapa seperti anjing dengan
kucing, akan mempengaruhi pertumbuhan jiwa anak-anak terutama remaja yang sedang
meningkat dewasa. Perasaan marah kepada ibu bapa ini akan mendorong mereka
melepaskan kemarahan itu di luar rumah, iaitu dengan menconteng tempat-tempat
menunggu bas atau merosakkan harta benda awam seperti tandas dan telefon awam.
Sikap ini dapat diumpamakan seperti marahkan pijat, kelambu dibakar. Segala
perlakuan ini menjadi bukti betapa rendahnya kesedaran sivik dalam kalangan
masyarakat kita. Jadi, tidak keterlaluan jika kita menyatakan bahawa salah satu
punca kurangnya kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat adalah berpunca daripada
kelonggaran dalam institusi rumah tangga itu sendiri sehingga menyebabkan jiwa
anak-anak menjadi tidak subur atau terbantut yang akan memberi impak kepada
perlakuan mereka yang tidak bermoral.

Selain itu, semangat patriotik yang rendah juga menjadi sebab lunturnya
kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini. Anak-anak hari ini
kurang dididik agar berbangga menjadi rakyat Malaysia. Oleh itu, perasaan sayang
akan negara dan berbangga menjadi warganegara Malaysia masih amat kurang dalam
kalangan masyarakat kita. Satu contoh yang jelas membuktikan pernyataan ini adalah
apabila Lagu Kebangsaan, Negaraku, berkumandang di udara, berapa ramaikah antara
kita yang berhenti dan berdiri tegak secara sukarela bagi menghormati lagu
tersebut? Tidak keterlaluan dikatakan bahawa jumlahnya adalah terlalu sedikit;
iaitu hanya dalam kalangan warga �senior� kita. Apabila tahap kesedaran dan
kecintaan terhadap negara rendah, natijahnya perasaan �Negara KitaTanggungjawab
Kita� juga turut kurang dalam diri setiap individu. Lantaran itu, ada yang tidak
berasa bersalah apabila mereka membuang sampah di tempat-tempat yang tidak
sepatutnya, seperti ke dalam sungai atau di mana-mana yang difikirkan selesa untuk
mereka berbuat demikian. Perkara yang jelas adalah wujudnya sikap, �aku, aku� dan
�engkau, engkau� dalam diri masyarakat kita. Oleh itu, perasaan sepunya terhadap
harta benda awam, perasaan menghormati pelbagai kaum atas dasar ini ialah tempat
kita dan negara ini ialah negara kita dan kitalah yang bertanggungjawab atas
keharmonian, kesejahteraan serta keindahannya, tidak wujud dalam diri mereka yang
terlibat. Maka, sehingga hari ini, kita masih menyaksikan perlakuan-perlakuan
negatif yang memperlihatkan bahawa tahap kesedaran sivik masyarakat ternyata masih
rendah.

Pada era globalisasi ini, negara kita begitu ghairah untuk mencapai matlamat
menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Dalam keghairahan
mengejar kemajuan dan fatamorgana hidup terutamanya dalam aspek kebendaan telah
mewujudkan golongan masyarakat yang individualistik dan materialistik. Kemajuan
serta pembangunan pesat juga telah meragut semangat kejiranan dan kemesraan dalam
masyarakat. Sikap �siapa lu siapa gua� semakin berleluasa. Hidup bak �enau dalam
belukar, hanya melepaskan pucuk masing-masing� sudah menjadi kelaziman dalam
masyarakat. Natijahnya, kepentingan terhadap kebendaan ini menyebabkan seseorang
bertindak tanpa mementingkan perasaan dan kebajikan orang lain. Dengan alasan tidak
mahu menjaga tepi kain orang lain, masyarakat, terutamanya yang di bandar-bandar
besar hanya sibuk dengan kerjaya dan urusan masing-masing. Kegiatan gotong-royong
yang diadakan hanya akan disertai jika terdapat orang-orang besar yang
merasmikannya. Jika tidak, amalan bergotong-royong itu tidak akan mendapat
sambutan. Oleh yang demikian, kita menyaksikan masyarakat di bandar-bandar besar
mengadakan majlis kenduri dan perkahwinan di hotel-hotel. Dengan berbuat demikian,
mereka sebenarnya telah membunuh semangat kerjasama yang mewujudkan silaturrahim
serta keharmonian dalam masyarakat. Peluang untuk saling mengenali dan bertegur
sapa antara jiran juga tidak dapat dipraktikkan. Jadi, tidak hairanlah jika
dikatakan kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat kita semakin berkurang.

Walaupun petanda-petanda kerendahan kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat


semakin jelas, namun kita tidak boleh hanya berpeluk tubuh dan membiarkan
permasalahan ini semakin serius. Oleh itu, sebelum nasi menjadi bubur, sebelum yang
bengkok terus menjadi patah, langkah-langkah untuk mengembalikan kesedaran sivik
dalam kalangan masyarakat perlu segera dilaksanakan. Dalam hal ini, kita terpaksa
meletakkan tanggungjawab penting ini kepada pihak pendidikan. Hal ini juga turut
disedari oleh Menteri Pelajaran kita. Oleh sebab itu, beliau telah mengarahkan agar
kurikulum semua mata pelajaran yang sedia ada dirombak semula. Jika melalui
Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM), elemen nilai-nilai murni wajib diterapkan
dalam setiap mata pelajaran, maka dalam kurikulum baharu yang disemak semula,
perkara ini ditambah pula dengan meletakkan elemen semangat patriotik sebagai
sesuatu yang wajib diterapkan dalam pengajaran. Selain itu, mata pelajaran Sivik
dan Kewarganegaraan telah dimasukkan dalam kurikulum sekolah dan wajib dipelajari
oleh semua pelajar. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed pernah
menyatakan bahawa kita perlu mencontohi sikap masyarakat Jepun. Walaupun negara
mereka semakin maju, namun, masyarakatnya masih mengekalkan nilai-nilai murni di
samping mengamalkan budaya dan adat resam bangsa mereka. Semangat inilah yang
membawa negara mereka pada kemajuan kerana rakyatnya sanggup berkorban jiwa dan
raga demi negara yang tercinta. Tegasnya, dalam usaha menerapkan kesedaran sivik
yang tinggi dalam diri masyarakat kita, maka perubahan dalam sistem pendidikan
wajib dilaksanakan.

Cara yang seterusnya untuk membentuk masyarakat yang mempunyai tahap


kesedaran sivik yang tinggi adalah melalui tindakan tegas dan penguatkuasaan
undang-undang. Jika kita tinjau ke negara jiran kita iaitu Singapura, kita akan
begitu kagum akan rakyatnya yang begitu patuh akan peraturan serta amat
bertanggungjawab terhadap harta benda awam. Namun begitu, dasar sebenar sikap
tersebut adalah daripada ketegasan kerajaan Singapura mendidik rakyatnya. Setiap
mereka yang didapati melanggar peraturan awam akan terus didenda. Malahan, dalam
perkara penggunaan tandas awam pun, Singapura sentiasa memastikan penggunaannya
yang betul. Sesiapa yang didapati tidak menarik pam air selepas menggunakan tandas
akan dikenakan hukuman pada masa itu juga. Negara kita juga perlu menguatkuasakan
peraturan dan undang-undang yang melibatkan rakyat yang kurang kesedaran siviknya
ini. Jika Singapura mewajibkan aktiviti khidmat masyarakat kepada sesiapa yang
didapati melanggar hak-hak penggunaan harta benda awam seperti telefon awam, dan
pembuangan sampah-sarap, mengapakah kita tidak boleh melaksanakannya? Golongan
masyarakat yang �berkepala batu� dan terlalu mementingkan diri sendiri ini
sememangnya perlu dikenakan tindakan tegas. Setakat ini, tiada tindakan yang
diambil terhadap mereka yang tidak dapat membezakan antara tong sampah dengan
tempat menunggu bas. Dalam hal ini, tindakan beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT)
menangkap orang ramai yang mengotorkan tempat-tempat awam dan mewajibkan mereka
membersihkan tempat itu semula adalah amat dipuji. Hal ini disebabkan, melalui
pelaksanaan peraturan yang tegas itu, orang ramai akan sentiasa beringat-ingat
semasa menggunakan segala kemudahan awam yang disediakan oleh pihak kerajaan untuk
kemudahan mereka. Izharlah bahawa hukuman atau tindakan yang tegas dan berat dapat
menanam kesedaran sivik dalam diri masyarakat kita.

Secara tuntasnya, terdapat beberapa punca yang menyebabkan kesedaran sivik


rakyat Malaysia semakin luntur dan beberapa langkah dapat diambil untuk menangani
permasalahan tersebut. Walaupun masalah kurangnya kesedaran sivik dalam kalangan
masyarakat kita belum begitu parah, namun, kita perlu berusaha untuk membaikinya.
Hal ini terutamanya dalam kalangan generasi muda kita kerana merekalah yang bakal
mencorakkan hala tuju masa depan negara. Kita menginginkan agar kemajuan yang kita
kecapi selaras dengan pembangunan jiwa dan peribadi anak-anak bangsa kita. Dalam
menyedari hakikat bahawa kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat masih rendah
atau semakin luntur, semua pihak harus membuka mata dan memainkan peranan masing-
masing untuk membina satu bangsa Malaysia yang berjaya dan mempunyai tahap
kesedaran sivik yang tinggi kerana negara kita menjadi tanggungjawab kita. Oleh itu
bersama-samalah kita seluruh warga negara yang tercinta ini memupuk sikap saling
bekerjsama dan saling bersatu hati agar kemajuan yang diingini tercapai tanpa
mengorbankan nilai dan susila bangsa dan agama kita. Janganlah diabaikan pesanan
ahli filsuf Tao iaitu jika kita mahu hidup setahun tanamlah gandum, jika kita mahu
hidup sepuluh tahun tanamlah pokok dan jika kita mahu hidup selama-lamanya tanamlah
jiwa manusia. Sekiranya kita ingin melihat kesedaran sivik masyarakat kita kukuh,
marilah kita bersama-sama menanam jiwa manusia dengan kesedaran sivik tanpa
menunggu hari esok.

Anda mungkin juga menyukai