Anda di halaman 1dari 19

Global Media Journal – Malaysian Edition Volume 5, Issue 2, 2015

ISSN: 2231-9948

MEDIA BAHARU: MEDIUM PILIHAN PELAJAR ISLAM BAGI MENGETAHUI


ISU HALAL DAN HARAM URUSAN MUAMALAT

Nur Amalina Mohd Zain1


Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi,
Universiti Putra Malaysia
amal_mz@yahoo.com

Ezhar Tamam, Ph.D


Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi,
Universiti Putra Malaysia
ezhar@ upm.edu.my

Rosya Izyanie Shamshudeen, Ph.D


Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi,
Universiti Putra Malaysia
rosya@upm.edu.my

ABSTRAK

Kewujudan pelbagai jenis media (cetak, elektronik dan baharu) menawarkan pelbagai pilihan
kepada khalayak untuk menggunakan media tersebut sebagai medium dakwah. Pemahaman
tentang faktor individu memilih media tertentu sebagai sumber maklumat dapat menjelaskan
penggunaan maklumat khalayak (Ruggiero, 2000) dan reaksi mereka terhadap mesej tersebut.
Artikel ini mengupas kecenderungan pelajar Islam dalam memilih media untuk mengetahui
isu halal dan haram urusan muamalat. Seramai 11 pelajar Universiti Putra Malaysia telah
ditemubual secara mendalam bagi mengenal pasti media utama yang digunakan untuk
mendapatkan maklumat isu halal dan haram urusan muamalat. Data kajian dianalisis dengan
menggunakan teknik Analisis Perbandingan Berterusan bagi mendapatkan tema dan
membuat penghuraian tentang isu yang dikaji. Ada tiga faktor penentu pemilihan media oleh
pelajar Islam iaitu ciri media, pengalaman penggunaan dan persepsi terhadap media serta
motivasi untuk mengetahui isu spesifik berkaitan halal dan haram. Kajian juga mendapati
bahawa media baharu merupakan saluran yang paling popular dalam kalangan pelajar Islam
untuk mengetahui isu terkini tentang halal dan haram dalam urusan muamalat.

Kata kunci: faktor pemilihan media, isu halal dan haram, media, medium dakwah

1
Corresponding author

49
Global Media Journal – Malaysian Edition Volume 5, Issue 2, 2015
ISSN: 2231-9948

PENGENALAN
Hukum halal dan haram merupakan perkara yang telah ditetapkan oleh Allah SWT sebagai
panduan bagi seluruh umat Islam dalam menjalani kehidupan. Konsep halal haram adalah
suatu yang luas dan kompleks untuk diperjelaskan kerana ia meliputi pelbagai aspek
kehidupan masyarakat Islam. Walau bagaimanapun, konsep ini wajar difahami serta isu halal
dan haram dalam urusan muamalat yang timbul dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan
ini harus ditangani segera bagi memelihara akidah dan kesucian agama Islam (Mohd Ali,
Hairunnizam & Abd. Razak, 2012). Antara isu halal haram yang sering timbul dalam
kalangan masyarakat Islam di Malaysia ialah tentang status pinjaman pembiayaan pendidikan
daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), penggunaan logo dan
sijil halal palsu pada barangan dan premis, serta percampuran bahan tidak halal dalam produk
makanan yang disahkan halal (Ahmad Zaini, 2007; Wan Nasrah, 2012).

Pengetahuan tentang hukum halal dan haram perlu dipelajari serta difahami melalui sumber
yang sahih, iaitu al-Quran dan hadis di samping mendapat penerangan yang jelas daripada
sumber maklumat yang berkredibiliti. Isu halal dan haram dipilih sebagai subjek untuk
dibincangkan dalam artikel ini ekoran timbulnya dakwaan-dakwaan negatif tentang sikap dan
sensitiviti masyarakat Islam terhadap aspek halal dan haram (Mohd Martin, 2011; Melati,
2010). Tambahan pula, kebimbangan dan kekeliruan masyarakat Islam terhadap berita isu
halal yang didedahkan oleh pelbagai saluran media telah mendorong pengkaji untuk
mengetahui dengan lebih lanjut tentang pemilihan dan penggunaan media dalam kalangan
khalayak. Kajian ini penting kerana pemahaman ke atas sebab individu memilih media
tertentu sebagai sumber maklumat isu halal dan haram akan menjelaskan bagaimana
maklumat tersebut akan digunakan (Ruggiero, 2000).

Dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai hab halal, pihak media telah menjadi
penyalur maklumat terkini dalam isu halal dan haram demi mencerna pengetahuan dan
menyuntik kesedaran masyarakat Islam terhadap kesamaran yang timbul tentang status halal
produk atau perkhidmatan. Agensi media di negara ini menyedari akan tanggungjawab
mereka kepada masyarakat Malaysia yang majoriti penduduk adalah beragama Islam. Justeru,
pihak media mengambil berat serta prihatin tentang isu yang melibatkan sensitiviti penganut
agama Islam ini.

Kepekaan masyarakat Islam terhadap isu halal dan haram dapat diwujudkan menerusi
perolehan maklumat. Maka, saluran media seperti akhbar dan majalah, radio, televisyen dan
aplikasi media baharu (Othman, 2011) telah dimanfaatkan oleh badan berwajib, contohnya
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk menyebarluaskan maklumat dan memberi
pengetahuan kepada masyarakat Islam tentang perkembangan isu halal dan haram semasa
kerana kesan penyampaiannya yang lebih efektif berbanding medium lain. Peranan media
sebagai ejen dakwah tidak dapat dinafikan apabila masyarakat Islam di Malaysia
menggunakan media untuk memahami ilmu-ilmu berkaitan dengan Islam (Bahtiar, Hasan &
Mohamad Khadafi, 2004) termasuklah isu halal dan haram urusan muamalat. Oleh sebab itu,

50
Global Media Journal – Malaysian Edition Volume 5, Issue 2, 2015
ISSN: 2231-9948

seorang Muslim yang sensitif kepada hukum agama secara automatik menjadi peka terhadap
maklumat isu halal dan haram yang disalurkan melalui media.

Meskipun masyarakat Islam terdedah dengan maklumat tentang isu halal dan haram menerusi
pelbagai saluran media, namun kajian empirikal dan spesifik tentang saluran yang digunakan
oleh pelajar Islam yang sedang menuntut di universiti untuk mengetahui isu halal dan haram
urusan muamalat masih kurang dijalankan. Justeru itu, dua persoalan untuk dirungkai melalui
kajian ini ialah; apakah saluran media yang menjadi pilihan pelajar Islam bagi mengetahui isu
halal dan haram urusan muamalat? Apakah faktor pelajar Islam memilih satu-satu media
untuk mengikuti isu halal dan haram urusan muamalat?

PERANAN MEDIA DALAM MENINGKATKAN SENSITIVITI MASYARAKAT


ISLAM TERHADAP ISU HALAL DAN HARAM
Media merupakan tunjang penting bagi masyarakat kerana ia berfungsi sebagai pemerhati,
pentafsir dan penghubung (Md Salleh & Saiful, 2000) dalam menyampaikan isu-isu penting
kepada masyarakat. Media juga perlu beroperasi berteraskan syariat Islam, iaitu dengan
memberi kefahaman tentang ajaran Islam khususnya kepada masyarakat Islam sebagaimana
yang telah dibincangkan oleh pengkaji-pengkaji terdahulu (Mohd Nasran, 2009; Mohd
Shuhaimi & Sohirin, 2012; Mohd Sabri, 2009; Zulkiple, Musa, Fauziah & Suria, 2012). Salah
satu usaha pihak media bagi mencapai matlamat ini ialah dengan menggunakan konsep media
Islamik. Konsep ini menekankan kepada prinsip Islam sebagai tunjang utama dalam
menyebarkan berita, maklumat serta idea baharu bagi mengajak masyarakat menuju
kebenaran, menyeru kepada kebaikan dan mencegah keburukan (Mohd Nasran, 2009) serta
bersikap sensitif terhadap isu-isu semasa berkaitan pengamalan syariat Islam. Di Malaysia,
usaha awal untuk merealisasikan konsep media Islamik dapat dilihat dengan tertubuhnya
stesen televisyen dan stesen radio yang mengkhususkan kandungan bergenre Islamik.
Kewujudan media Islamik memberi ruang kepada para pendakwah untuk menyebarluaskan
ajaran Islam kepada masyarakat. Penggunaan media oleh badan kerajaan untuk menyebarkan
ajaran Islam ke peringkat serantau dan antarabangsa mampu menjadikan Malaysia sebagai
hub kandungan Islam.

Bagi golongan pendakwah, mereka menganggap bahawa media amat berguna bagi
mempromosikan kefahaman khusus tentang Islam dan merupakan kaedah komunikasi yang
popular serta moden untuk menyampaikan dakwah (Mohd Shuhaimi & Sohirin, 2012).
Golongan ini juga mendapati bahawa media sangat berguna untuk menyampaikan dakwah
Islam kepada golongan muda dan golongan berpendidikan.

Selain aktiviti dakwah yang lazimnya dijalankan secara bersemuka oleh individu atau pihak
yang berkecimpung dalam bidang keagamaan, media dapat dijadikan platform alternatif
dalam proses penyebaran ajaran Islam. Sebagai contoh, rancangan-rancangan televisyen
seperti berita, hal ehwal semasa berbentuk ilmu pengetahuan, program agama, hiburan dan

51
Global Media Journal – Malaysian Edition Volume 5, Issue 2, 2015
ISSN: 2231-9948

kesenian yang selari dengan syariat Islam dikategorikan sebagai kandungan yang membawa
manfaat kepada khalayak (Mohd Nasran, 2009).
Hakikatnya, media mempunyai kemampuan untuk menyebarkan maklumat dengan cepat,
padat, ringkas, mudah difahami (Amaludin, Zaid, Sarjit, Lee, Nazri & Asyikin, 2011) serta
membolehkan mesej berunsur Islam disebar kepada khalayak yang pelbagai (Mohd Shuhaimi
& Sohirin, 2012). Misalnya media baharu, dapat membekalkan pelbagai kandungan sama
ada berbentuk dokumentasi, berita, analisis, isu dan gambaran tentang Islam dengan lebih
efektif (Mohd. Shuhaimi & Sohirin, 2012) kepada semua lapisan masyarakat yang
mempunyai akses kepada Internet .

Dalam masa yang sama, media dilihat sebagai alat yang berupaya mempengaruhi pemikiran,
emosi dan tingkah laku masyarakat Islam termasuklah ketika berhadapan dengan isu halal
dan haram urusan muamalat (Rosmawati, Salasiah & Adawiyah, 2011). Sehubungan itu,
media telah digunakan untuk menyebarkan maklumat dan laporan isu halal dan haram kepada
masyarakat khususnya yang beragama Islam. Sebagai contoh, pendedahan akhbar tentang
pelbagai isu halal dan haram dapat membentuk kesedaran masyarakat tentang status
makanan, barangan dan perkhidmatan yang digunakan.

Maklumat berkaitan isu halal dan haram urusan muamalat disampaikan melalui media
kendalian kerajaan dan juga swasta seperti akhbar, stesen radio dan stesen TV dalam format
berita, rencana, komentar, ruangan soal-jawab, rancangan berbentuk majalah, bual-bicara,
portal akhbar dalam talian dan portal rasmi organisasi. Akhbar merupakan saluran yang
melaporkan isu halal dan haram secara meluas. Utusan Malaysia, Berita Harian, Harian
Metro, Kosmo dan Sinar Harian adalah antara naskhah yang menjadi pilihan masyarakat
Melayu kerana menggunakan bahasa Malaysia yang lebih mudah difahami (Bahtiar, Hassan
& Khadafi, 2004). Pemaparan berita yang lebih meluas tentang isu agama Islam oleh akhbar
berbahasa Malaysia bertujuan untuk membentuk agenda dan menarik perhatian masyarakat
Islam agar memberi tumpuan kepada isu yang dianggap penting bagi komuniti Muslim
(Hanaa & Che Su, 2015). Tambahan lagi, mereka cenderung memberi fokus kepada isu yang
signifikan dan penting kepada diri mereka berdasarkan kadar liputan yang dilaporkan oleh
akhbar (Muthalib & Wong dalam Fong & Md Sidin, 2010). Akhbar berbahasa Inggeris pula
jarang melaporkan isu berkaitan mana-mana agama secara mendalam bagi mengelakkan
timbulnya isu atau menyentuh sensitiviti agama mana-mana kaum (Teoh, 2007) sementara
akhbar vernakular (bahasa Cina dan Tamil) lebih memberi keutamaan kepada isu yang
signifikan kepada masyarakat Cina dan India. Pendekatan yang diberikan terhadap sesuatu
isu oleh setiap akhbar adalah berbeza berdasarkan perspektif dan agenda masing-masing
(Fong & Md Sidin, 2010).

Selain akhbar, beberapa majalah seperti Dewan Masyarakat, Fardu Ain dan Solusi turut
menyediakan kolum khusus bagi mengupas topik berkaitan hukum syariah dalam urusan
muamalat, contohnya kolum Asas Muamalat Islam, Makanan Halal serta Soal Jawab
Muamalat. Terdapat juga badan NGO seperti Persatuan Pengguna Pulau Pinang yang
menerbitkan buletin yang memaparkan isu-isu halal dan haram terkini dengan mengupas isu-
52
Global Media Journal – Malaysian Edition Volume 5, Issue 2, 2015
ISSN: 2231-9948

isu terpilih. Penulisan dalam media cetak diolah dan dikupas secara professional (Mohd
Shuhaimi & Sohirin, 2012) oleh golongan intelektual, professional, saintis mahupun orang
perseorangan supaya masyarakat memperoleh manfaatnya.

Di samping itu, televisyen dan radio turut memainkan peranan sebagai medium dakwah
dalam menyampaikan maklumat tentang hukum muamalat. Usaha yang dilakukan oleh stesen
televisyen al-Hijrah yang menerbitkan rancangan bercorak majalah dan diskusi ilmu bagi
membincangkan isu-isu halal haram yang berlaku di Malaysia dilihat sebagai sumbangan
besar pihak media untuk membangkitkan sensitiviti masyarakat Islam terhadap hukum halal
dan haram. Sebagai contoh, rancangan Ejen Halal dan Khidmat Syariah (TV al-Hijrah)
memaparkan isu halal dan haram yang membelenggu pengguna Islam di negara ini. Antara
topik yang dikupas menerusi rancangan tersebut ialah berkenaan status halal bahan
kandungan produk makanan, barangan gunaan, ubat-ubatan dan bahan kosmetik
(www.tvalhijrah.com).

Seiring dengan penerbitan rancangan berkonsepkan Islamik oleh stesen televisyen, stesen
radio juga mengambil pendekatan yang sama dengan menerbitkan program berunsur
keagamaan. Di negara ini, Radio IKIM merupakan satu-satunya stesen radio yang
menyiarkan program bercorak agama (www.ikim.gov.my) yang beroperasi selama 24 jam
sehari. Stesen radio IKIM pernah menerbitkan satu slot khas iaitu Bicara Muamalat bagi
memberi ruang kepada pakar dalam bidang Muamalat untuk menjelas dan membincangkan
topik muamalat yang melibatkan isu halal dan haram. Program ini dibawakan kepada
khalayak sekitar tahun 2011 dan 2012 berikutan pelbagai polemik berkaitan hukum muamalat
timbul di Malaysia.

KECENDERUNGAN KHALAYAK TERHADAP ISU AGAMA


DAN PENGGUNAAN MEDIA
Satu kajian yang dijalankan di Indonesia mendapati bahawa golongan muda khususnya
remaja lebih meminati siaran agama berbentuk komentar, dialog interaktif, drama dan diskusi
berbanding ceramah agama. Hasil kajian itu juga mendapati bahawa topik muamalah Islam
berada di tempat ketiga dalam senarai rancangan yang paling diminati khalayak (Syukur,
2002). Hasil kajian tersebut memberi isyarat agar pihak media tidak terus terikat dengan
perspektif tradisional dalam menyampaikan dakwah Islam, tetapi perlu menggunakan format
penerbitan kontemporari seperti drama, filem dan dokumentari (Mohd Shuhaimi & Sohirin,
2012) untuk menyampaikan mesej keislaman seperti isu halal dan haram. Format
kontemporari ini dapat menarik minat lebih ramai golongan muda untuk mengetahui dan
memahami ilmu berkaitan hukum halal dan haram. Dalam masa yang sama, kaedah ini
menjadi mekanisme yang baik bagi menyebarkan dakwah Islam dan memberi kesedaran
kepada masyarakat untuk lebih menitikberatkan hukum Islam.

Pada masa kini, generasi muda lebih gemar menggunakan aplikasi media baharu berbanding
televisyen dan akhbar (Dimmick, Chen & Li, 2004; Schafer, 2010) sebagai sumber
53
Global Media Journal – Malaysian Edition Volume 5, Issue 2, 2015
ISSN: 2231-9948

maklumat. Pergantungan kepada Internet bagi mengakses media baharu adalah untuk
pelbagai tujuan seperti pengumpulan berita (Lee, 2006; Vissers & Quintelier, 2009) lebih-
lebih lagi apabila golongan muda sering mendapatkan berita dari sumber dalam talian yang
dianggap lebih mudah dan intensif (Vissers & Quintelier, 2009).

Satu kajian yang dijalankan oleh Farrah dan Melati (2013) ke atas generasi muda di Malaysia
yang memfokuskan kepada penggunaan media baharu mendapati bahawa interaksi menerusi
rangkaian sosial (Facebook, MySpace, LinkedIn) merupakan aktiviti paling popular dalam
kalangan pengguna muda berusia 20-24 tahun. Selain itu, hasil kajian mendapati bahawa
responden cenderung untuk mencari maklumat (berkaitan tugasan akademik, rekacipta dan
pembangunan diri), membaca (blog peribadi, politik, isu sosial) dan berkongsi maklumat
(komen, gambar, video) menerusi media baharu. Shirley, Weipeng dan Shahira (2008)
menjelaskan bahawa masyarakat Islam di Singapura telah memanfaatkan media baharu
untuk meluahkan pendapat mereka tentang Islam, muat turun atau muat naik maklumat isu
tentang Islam, membeli buku-buku Islam, dan mengajukan soalan berkaitan ajaran agama
melalui e-mel.

Disebabkan oleh media baharu mempunyai aplikasi yang pelbagai, maka ia telah menjadi
medan terbaru bagi menyampaikan maklumat agama. Hal ini sekaligus membolehkan
masyarakat memperoleh dan memahami pelbagai isu halal dan haram daripada sumber yang
berbeza-beza. Kemudahan capaian kepada Internet membolehkan masyarakat Malaysia
mengakses maklumat mengenai sesuatu isu secara meluas menerusi pelbagai aplikasi media
baharu. Menerusi media baharu, penyebaran dakwah lebih berkesan kerana maklumat dapat
merentasi ruang dan masa dengan kos yang rendah (Dian & Agus, 2012). Malahan, khalayak
juga boleh memilih maklumat yang diingini serta dapat menggunakan pelbagai aplikasi yang
terdapat dalam media baharu (Dian & Agus, 2012) seperti blog, laman web rasmi, rangkaian
sosial, forum, video dan gambar. Tambahan pula, maklumat dalam media baharu mudah
diakses oleh penduduk di serata dunia serta dapat membujuk, mempengaruhi, menerangkan,
membina kepercayaan dan menyampaikan ilmu (Mohd Azul & Nor Azita, 2003). Dalam satu
kajian ke atas generasi muda Muslim di Jakarta mendapati bahawa faktor yang mendorong
individu untuk menggunakan aplikasi e-agama adalah disebabkan motivasi teknologi.
Motivasi teknologi merujuk kepada keserasian pengguna dengan teknologi yang digunakan.
Ini bermaksud, seseorang mestilah boleh dan mempunyai keupayaan untuk memahami
teknologi media baharu bagi membolehkan dirinya mengakses maklumat daripada e-agama
(Umar & Samsudin, 2013).

Penggunaan media baharu oleh masyarakat bagi mengetahui isu agama termasuk isu halal
dan haram menunjukkan bahawa masyarakat Islam menerima perkembangan teknologi dan
menggunakan kemudahan jaringan Internet untuk belajar, berdebat isu berkaitan agama dan
mempraktikkan ilmu agama yang dimiliki (Bunt, 2000). Terdapat pelbagai laman web
berunsur Islam yang membolehkan dakwah disebarkan dengan cepat, efisyen dan murah
kepada sesiapa sahaja yang dapat mengakses Internet (Dian & Agus, 2012). Masyarakat
Islam boleh mengetahui isu halal dan haram secara bebas menerusi portal-portal seperti
54
Global Media Journal – Malaysian Edition Volume 5, Issue 2, 2015
ISSN: 2231-9948

www.e-fatwa.gov.my/, www.islam.gov.my/muamalat, www.halal.gov.my/v3/, www.jurnalh


alal.com/ dan www.hdcglobal.com/. Portal-portal ini dikelolakan oleh jabatan dan agensi
kerajaan yang bertanggungjawab dalam bidang keagamaan serta terlibat dalam pengurusan
aspek halal. Di samping laman rasmi, laman web peribadi seperti zaharuddin.net (www.
zaharuddin.net) juga merupakan antara sumber rujukan yang diyakini kerana pengendalinya
merupakan pakar bidang muamalat yang banyak mengupas dan memberi pencerahan tentang
isu halal dan haram urusan muamalat berdasarkan senario yang berlaku di Malaysia.

Di samping laman web dan blog, rangkaian sosial seperti Facebook juga menjadi ruang
penyebaran maklumat berkaitan dengan agama Islam seperti isu halal dan haram urusan
muamalat. Laman sosial dapat berfungsi sebagai ruang dakwah yang efektif melalui mesej
bertulis kerana ciri aplikasinya yang mudah untuk digunakan. Tambahan pula, majoriti
pengguna Facebook terdiri dari golongan muda sekaligus menjadikannya sebagai saluran
yang baik untuk menyampaikan mesej dakwah kepada para pelajar (Laila, 2014). Menerusi
Facebook, JAKIM telah mewujudkan profil bertujuan untuk menyampaikan maklumat
berkaitan isu halal dan haram terkini kepada masyarakat. Pewujudan rangkaian sosial oleh
badan ini sangat berguna kerana mereka dapat berinteraksi dengan masyarakat dan memberi
maklumbalas dengan segera sekiranya timbul sebarang persoalan dari khalayak berkaitan isu
halal dan haram.

Walaupun terdapat pelbagai sumber mengenai isu halal dan haram yang boleh diakses dalam
media baharu, namun timbul isu tentang sejauh mana kredibiliti maklumat yang disampaikan
kerana kebanyakan kandungan ditulis oleh individu yang bersifat anonymous (Dian & Agus,
2012). Sebagai contoh, blog merupakan salah satu ruang media baharu yang dicirikan oleh
penerbitan kandungan oleh pengguna (Bruns, 2008) yang identiti sebenar pemiliknya tidak
diketahui. Banyak blog persendirian yang diwujudkan sebagai tempat untuk berkongsi
pengalaman, mengutarakan pandangan, mengupas isu semasa dan berkongsi isu yang
diminati oleh pemilik blog. Ada juga yang menjadikan blog sebagai tempat untuk
menyebarkan fitnah dan maklumat palsu demi kepentingan diri atau pihak tertentu. Khalayak
pada hari ini berdepan dengan cabaran bagi memastikan kesahan maklumat agama yang
diperoleh. Justeru itu, masyarakat perlu bijak menapis maklumat yang diakses, membuat
penilaian dan mengenal pasti mesej yang benar untuk dijadikan panduan lebih-lebih lagi
apabila ianya berkaitan dengan isu pegangan akidah umat Islam.

TEORI PENGGUNAAN DAN PEMUASAN KEHENDAK


Teori ini bertujuan untuk memahami tentang mengapa dan bagaimana khalayak
menggunakan media (Katz, 1959; Ruggiero, 2000). Pendekatan teori ini mengemukakan
andaian bahawa penggunaan media dipengaruhi oleh keperluan individu dan bermotif untuk
mencari kepuasan (Blumler & Katz, 1974). Setiap individu mempunyai motivasi dan
kehendak yang berbeza-beza. Oleh sebab itu, wujud pelbagai cara khalayak memilih dan
menggunakan media (Katz, Blumler & Gurevitch, 1974; Rubin, 2009). Teori ini juga
mengandaikan bahawa khalayak adalah aktif dalam membuat keputusan dan secara sedar
55
Global Media Journal – Malaysian Edition Volume 5, Issue 2, 2015
ISSN: 2231-9948

menggunakan kandungan media, contohnya dengan mendapatkan informasi atau


menggunakan fakta tertentu yang terdapat dalam media (McQuail, 2000).

Khalayak menggunakan media untuk memenuhi keperluan psikologi dan sosial mereka.
Antara keperluan tersebut ialah pemesongan (melepaskan diri, hiburan), mewujudkan
hubungan peribadi (interaksi sosial), membina identiti peribadi (pengenalpastian karakter dan
pengukuhan nilai) serta pengawasan (pengumpulan maklumat). Kajian lepas yang
menggunakan pendekatan ini mendapati bahawa terdapat dua motivasi yang membawa
kepada penggunaan media bermotif keagamaan, iaitu keimanan (tahap keagamaan,
perlindungan dan kedekatan diri kepada Allah) dan tindakbalas (ketidakpuasan terhadap
media bukan agama, pemesongan, bimbingan rohani dan sokongan moral (Kisung, 2011).

METODOLOGI
Kaedah kualitatif dipilih bagi menjalankan kajian ini. Penyelidik menggunakan teknik
temubual bersemuka secara mendalam bagi mengumpul data kajian dengan mengaplikasikan
teknik persampelan bertujuan dalam memilih informan. Informan dipilih berdasarkan kriteria
yang telah ditetapkan iaitu; 1) informan mestilah pelajar yang sedang mengikuti pengajian di
peringkat pra-ijazah atau Bacelor di UPM, 2) beragama Islam, dan 3) pernah mengikuti isu
halal dan haram dalam media. Kajian ini dijalankan dalam latar Universiti Putra Malaysia
(UPM). Sebanyak 11 sesi temubual telah dijalankan bersama 11 orang pelajar Universiti
Putra Malaysia (UPM) daripada pelbagai bidang pengajian. Analisis kandungan dijalankan
dengan menggunakan teknik analisis perbandingan berterusan (APB) (Strauss & Corbin,
1998). Analisis data telah dilakukan secara manual tanpa menggunakan sebarang perisian
komputer. Kaedah ini merangkumi proses pemilihan unit analisis, pengekodan data,
pembentukan tema atau kategori dan akhirnya penganalisisan keseluruhan data. Data kajian
ini telah mencapai tahap ketepuan pada informan kesebelas. Ketepuan data dicapai apabila
tiada lagi tema baru yang muncul dan data dianggap telah mencukupi.

HASIL KAJIAN DAN PERBINCANGAN


Informan kajian terdiri daripada lima pelajar lelaki dan enam pelajar perempuan berusia
antara 19 hingga 24 tahun. Hasil daripada analisis kajian, didapati bahawa informan
meletakkan media sebagai alat yang mencetuskan sensitiviti mereka terhadap hukum halal
dan haram urusan muamalat. Media menjadi salah satu sumber terawal bagi informan
mengetahui tentang isu halal dan haram, sekaligus mengingatkan mereka terhadap hukum
agama yang wajib dipatuhi. Media dilihat lebih menjadi pilihan informan bagi mengikuti isu
halal dan haram berbanding sumber-sumber lain kerana ia mempunyai pelbagai jenis saluran,
mudah dicapai dan membekalkan banyak maklumat. Hal ini digambarkan apabila hampir
kesemua informan menyatakan bahawa media massa digunakan sebagai sumber maklumat
untuk mengetahui isu halal dan haram di samping sumber-sumber maklumat yang lain.
Antara informan yang mengakui akan peranan media sebagai pencetus sensitiviti mereka
terhadap isu halal dan haram ialah KH, NA, FA dan HA:
56
Global Media Journal – Malaysian Edition Volume 5, Issue 2, 2015
ISSN: 2231-9948

...media ni memainkan peranan pentinglah untuk menyampaikan


maklumat...memberi kesedaran kepada masyarakat dan diri sendiri...dapat
kesedaran melalui media massa tu la... (KH, 23)

...kesedaran tu tak terlalu tinggi tapi terdapat peningkatanlah disebabkan oleh


peranan yang dimainkan oleh media... (NA, 23)

...banyak input yang saya dapat daripada media...media beri kesedaran pada
saya, saya lebih sensitif lah... (FA, 23)

...media ni sebenarnya salah satu alternatif kepada saya untuk memberi


kesedaran...walaupun dia tidak begitu menyeluruh atau tidak mencapai tahap
yang saya inginkan, tapi saya rasa itu salah satu sumber yang boleh didapati...
(HA, 23)

Kebanyakan informan mengakui bahawa media secara umum, memainkan peranan penting
bagi menimbulkan sensitiviti mereka terhadap isu halal dan haram, sekaligus mengukuhkan
pegangan agama mereka. Hal ini kerana mereka menyedari bahawa pelbagai saluran media
banyak menyebarkan maklumat mengenai isu halal dan haram terkini kepada masyarakat.

Hasil kajian mendapati bahawa informan lebih kerap memperkatakan media baharu sebagai
saluran penyampaian yang lebih berkesan dalam membangkitkan sensitiviti mereka terhadap
hukum halal dan haram. Informan menegaskan bahawa isu yang disebarkan melalui media
baharu berjaya mencetus sensitiviti golongan remaja seperti mereka berbanding media
konvensional (contoh: akhbar, radio dan televisyen). Respons daripada informan menjelaskan
bahawa media baharu merupakan saluran terbaik bagi mendorong generasi informan ini
untuk lebih menitikberatkan hukum halal dan haram semasa bermuamalah serta
menyuburkan nilai-nilai Islam yang sedia ada dalam diri mereka.

...generasi muda sebaya saya mendapatkan perkembangan-perkembangan


terkini melalui blog, forum dan sebagainya...(HA, 23)

...tahu isu pun dari media massa...sumber dari laman sosial...selalunya


melihat pada Facebook...(KH, 23)

...pelajar-pelajar dah tak tengok dah TV, surat khabar...memang Internet je


betul-betul maklumat kami sekarang...(AK, 24)

Setelah mengetahui bahawa mesej isu halal dan haram yang disebarkan menerusi media dapat
mengingatkan informan terhadap identiti mereka sebagai seorang Muslim, perbincangan
seterusnya adalah berkait dengan faktor yang menyumbang kepada pemilihan saluran media
bagi mengikuti isu halal dan haram. Terdapat tiga faktor penyumbang iaitu ciri media,
57
Global Media Journal – Malaysian Edition Volume 5, Issue 2, 2015
ISSN: 2231-9948

pengalaman penggunaan dan persepsi terhadap media serta motivasi untuk mengetahui isu
spesifik tentang halal dan haram.

Ciri media
Ciri-ciri yang berbeza pada setiap media mempengaruhi khalayak untuk memilih media
tertentu bagi mendapatkan sesuatu maklumat. Kebanyakan informan mengakui bahawa
media merupakan saluran bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan isu halal dan haram
kerana ia mempunyai pelbagai saluran, sumber yang mudah diperoleh, mempunyai banyak
maklumat dan merupakan sumber yang berwibawa. Walaupun terdapat pelbagai bentuk
media, namun, namun rata-rata informan lebih gemar menggunakan media baharu atas
beberapa sebab.

Antara sebab-sebab yang mendorong informan menggunakan media baharu untuk mengikuti
isu halal dan haram kerana maklumat mudah dicapai dengan adanya kemudahan Internet
secara percuma. Kemudahan ini membolehkan informan mengikuti sebarang isu dengan lebih
cepat dan mudah sama ada menggunakan komputer riba, tablet atau telefon pintar. HA
menyatakan:

...Maklumat pun boleh didapati di hujung jari, so Internet ni merupakan salah


satu sumber maklumat yang mudah diperolehi... (HA, 23)

Informan juga lebih cenderung untuk menggunakan media baharu sebagai sumber untuk
mengetahui isu halal dan haram kerana saluran ini mempunyai pelbagai aplikasi yang
menyalurkan banyak maklumat, antaranya menerusi portal akhbar online, blog, laman web
rasmi, enjin carian, youtube dan rangkaian sosial. SA mengakui hakikat ini:

...Kadang kat Facebook ni orang suka share kan. Macam kalau kat situ kita
sambil online tengok ada naik pasal isu tu, so macam kadang-kadang kita
akan baca la kalau macam tak puas hati ke, tengok maklumat lanjut kita kan
search sendiri ke macam yang dekat blog, laman web tu... random la... (SA,
22)

Di samping itu, kemampuan media baharu untuk menyampaikan maklumat dengan cepat
turut mendorong informan menggunakannya bagi mengetahui isu halal dan haram.

...Kadang-kadang perkara itu kami tahu sebelum ayah kami tahu sebab kami
search Internet dulu. Sumber berita [bercetak] mungkin lambat sikit... FA
(23)

Meskipun ramai informan menganggap bahawa media baharu memiliki banyak kelebihan,
tetapi segelintir informan tidak dapat memanfaatkan kelebihan saluran tersebut sepenuhnya
kerana berhadapan dengan masalah jalur lebar dan tidak mempunyai masa untuk mencapai

58
Global Media Journal – Malaysian Edition Volume 5, Issue 2, 2015
ISSN: 2231-9948

maklumat berkaitan isu halal dan haram disebabkan komitmen pada pelajaran dan aktiviti
kampus.

...Selalu kalau buka...apa nama dia Metro, My Metro tu selalu macam kalau
bahagian agama Islam...apa-apa dia akan keluar kan kat tepi tu, klik juga lah.
Tengoklah mana yang sempat, kadang-kadang klik-klik tak keluar kan wifi
ni... (FA, 23)

Kekangan masa ekoran daripada komitmen sebagai pelajar juga menyebabkan informan tidak
mempunyai banyak masa untuk mencapai maklumat berkaitan isu halal dan haram
sepertimana yang dinyatakan oleh MU. Menurutnya, lazimnya ruang yang ada untuk
melayari Internet digunakan untuk tujuan mencari maklumat berkaitan dengan tugasan
pengajian.

…jarang, biasanya online buka Facebook ataupun untuk assignment je la.


Tak sempat la sekarang. (MU, 21)

Selain rangkaian sosial , televisyen juga menjadi alat yang mampu membangkitkan sensitiviti
informan, contohnya menerusi rancangan Ejen Halal di TV al-Hijrah. Namun begitu,
televisyen kurang digunakan oleh informan kerana kemudahan tersebut tidak disediakan di
semua kolej kediaman. Hal ini dinyatakan oleh beberapa informan, antaranya FA dan AM.
Informan mengakui bahawa mereka hanya berpeluang menonton rancangan berkaitan isu
halal dan haram apabila pulang bercuti di kampung. Kekangan ini telah mengurangkan
penggantungan informan terhadap televisyen sebagai sumber untuk mengetahui isu halal dan
haram urusan muamalat.

...Saya suka menonton Ejen Halal, al-Hijrah. Dia banyak berita, tapi saya
dapat tengok time cuti jelah...(FA, 23)

...Mungkin kalau biasa kat rumah, balik rumah kan time Maghrib tu kan buka
Oasis so tengok Ustaz Don punya cerita kan. Kadang dia kupas sikit tentang
muamalat, so di situ pun saya dapat gak info tentang muamalat, tentang
Islam. Sebab kat rumah je yang boleh tengok TV kan...( AM, 19)

Pengalaman penggunaan dan persepsi terhadap media


Selain daripada ciri yang terdapat pada sesuatu media, pengalaman menggunakan media dan
persepsi terhadap media turut mendorong informan memilih media tertentu bagi mengikuti
isu halal dan haram. Didapati bahawa pengalaman penggunaan dan persepsi yang negatif
terhadap satu-satu media menjadikan informan kurang berminat untuk menggunakan media
cetak dan elektronik untuk mengetahui isu-isu tersebut. Sebagai contoh, pengalaman lalu
telah membentuk persepsi negatif informan terhadap mesej yang disampaikan melalui
televisyen, sekaligus mengurangkan keinginan SA untuk mengikuti isu halal dan haram
menerusi saluran televisyen.
59
Global Media Journal – Malaysian Edition Volume 5, Issue 2, 2015
ISSN: 2231-9948

...bila TV punya berita saya tukar channel lain sebab kadang-kadang saya
rasa berita ni semua macam apa berita yang sedia ada macam tak betul kan,
so saya malas nak dengar sebenarnya...rasa macam haa dengar tau berita tu
biasa berat sebelah kan...Saya ada macam prejudis sikit la...(SA, 23)

Pandangan stereotaip yang negatif terhadap laporan berkenaan isu-isu lain yang disiarkan
menerusi berita TV telah menjejaskan kepercayaan informan untuk mengikuti isu halal dan
haram melalui sumber ini. Perkara ini membuktikan bahawa ada kalanya khalayak mungkin
berasa ragu atau tidak percaya kepada sesetengah kandungan media (Jungkee & Alan, 1997),
seterusnya mengurangkan minat mereka untuk mengikuti isu-isu lain yang disampaikan
menerusi media tersebut.

Antara lain, terdapat juga informan yang menganggap bahawa mesej yang disiarkan melalui
televisyen tidak menjaga sensitiviti masyarakat Islam. Hal ini menjadikan informan tidak
berminat untuk mengikuti isu halal dan haram menerusi saluran tersebut. Sebagai contoh, IZ
menyuarakan rasa terkilan dengan sikap penerbit iklan televisyen yang tidak mementingkan
soal halal dan haram semasa mempromosikan barangan kepada khalayak.

...Kalau macam televisyen ni dia sekadar iklan je...haaa dia tak kira halal
haram. Dia sepatutnya kalau iklan tu dia nyatakan la mana halal mana haram
kan...kadang-kadang media ni untuk keuntungan. Dia untuk melepaskan
sesuatu program tersebut, dia sampai lupakan benda tu halal dan haram... (IZ,
24)

Selain penggunaan televisyen yang terhad oleh informan, kurangnya kecenderungan


informan untuk mengikuti isu halal dan haram menerusi radio pula adalah kerana informan
menganggap bahawa siaran radio tidak banyak menyiarkan mesej berunsur keagamaan.

...Saya rasa jarang dengar isu muamalat kalau radio kan, kalau saya selalu
dengar radio pun, tak ada rasanya disebut pasal muamalat dekat radio. Radio
punya berita pun cerita sikit-sikit penting-penting bab hiburan yang banyak
kan...(SA, 23)

Respons daripada sejumlah kecil informan tentang penggunaan radio sebagai sumber untuk
mendapatkan maklumat isu halal dan haram menunjukkan bahawa radio bukanlah medium
pilihan untuk mendapatkan maklumat berkaitan agama. Perkara ini jelas tergambar apabila
majoriti informan seolah-olah tidak menyedari kewujudan radio sebagai salah satu media
sebaran maklumat.

Di samping media elektronik, tidak banyak informan yang memilih media cetak sama ada
surat khabar, majalah atau selainnya untuk mendapatkan maklumat tentang isu halal dan
haram kerana sebahagian dari mereka beranggapan bahawa akhbar mahupun majalah tidak
banyak memberi pendedahan maklumat tentang isu tersebut kepada khalayak. Isu halal dan
60
Global Media Journal – Malaysian Edition Volume 5, Issue 2, 2015
ISSN: 2231-9948

haram yang dimuatkan dalam media cetak dikatakan tidak ditonjolkan sebagai isu utama,
sebaliknya isu politik lebih ditonjolkan mengatasi kepentingan isu halal dan haram.
Sebilangan kecil informan turut menyatakan bahwa mereka pernah membaca isu halal dan
haram dalam majalah, tetapi mereka gagal mengingati apa isu yang dipaparkan. Hal ini
menggambarkan bahawa media cetak tidak digunakan secara maksimum sebagai sumber isu
halal dan haram urusan muamalat.

Motivasi untuk mengetahui isu spesifik berkaitan halal dan haram


Hasil kajian mendapati bahawa kecenderungan informan memilih suatu media disebabkan
oleh motivasi untuk mengikuti isu halal dan haram tertentu. Informan cenderung untuk
memilih media tertentu yang dianggap mampu membawakan topik yang memenuhi
keperluan kognitif, keperluan sosial dan bermotif keagamaan. Pemilihan informan sama ada
untuk menggunakan akhbar, majalah, radio, televisyen, laman web, blog, atau rangkaian
sosial media baharu adalah didorong oleh keperluan terhadap maklumat isu halal dan haram
tertentu yang masih tidak mencukupi atau tidak jelas. Maka, informan bermotivasi untuk
memilih media yang dapat membekalkan maklumat yang lengkap dan menyeluruh tentang
topik tersebut bagi mengurangkan ketidakpastian mereka. Perkara ini dinyatakan oleh
informan seperti berikut:

...kita kena tahu apa yang perlu kita tahu, yang samar-samar dan tak jelas lagi
tentang halal dan haramnya...(IZ, 24)

...mula saya ragu tentang isu Chatime, air pearl tu, kan kebanyakannya
pekerja Chinese kan. Kemudian saya buka satu sumber blog tu dia cerita
detail sebab dan bukti tentang isu tu...(AI, 20)

Di samping itu, informan memilih media secara spesifik apabila berasakan saluran itu dapat
membekalkan maklumat secara meluas tentang topik yang ingin diketahui. Pemilihan media
yang tepat untuk mengikuti isu halal dan haram dapat membantu mereka membina hubungan
sosial dengan orang sekeliling yang mempunyai norma yang sama. Keinginan informan
untuk menyertai suatu kelompok sosial (contoh: rakan-rakan, jiran) telah menyebabkan
informan terdorong untuk mengambil berat tentang isu-isu yang melibatkan nilai dan
kepercayaan masyarakat Islam. Tindakan orang sekeliling yang membincangkan isu halal dan
haram yang dipaparkan oleh pelbagai saluran media telah menimbulkan keinginan informan
untuk turut sama membicarakan isu tersebut. Hal ini dijelaskan oleh AI:

...kadang-kadang ikut trend, macam dulu isu Colgate tu kan yang ubat gigi tu
kan haa...itu saya memang tengok betul-betul la walaupun saya bukan
pengguna dia. Just nak ambil tahu je...(AI, 20)

Seorang lagi informan, SA, menjelaskan bahawa dia bermotivasi untuk mengikuti isu tentang
status hukum pinjaman PTPTN yang disampaikan media baharu apabila ia menjadi buah
mulut masyarakat. Menurutnya, dia lebih berminat untuk mendapatkan maklumat tentang isu
61
Global Media Journal – Malaysian Edition Volume 5, Issue 2, 2015
ISSN: 2231-9948

pengambilan pembiayaan PTPTN menerusi media baharu ketika isu tersebut sedang hangat
diperkatakan. Penggunaan media baharu secara meluas dalam kalangan remaja sebayanya
membolehkan informan membincangkan isu tersebut bersama-sama rakan-rakan, sekaligus
mengukuhkan ikatan sosial sesama mereka.

Beberapa informan lain pula menggunakan media tertentu untuk mengikuti isu halal dan
haram disebabkan motif keagamaan, iaitu kerana didorong oleh rasa tanggungjawab sebagai
seorang Muslim.

...isu halal haram ni menjadi isu yang agak sensitif bagi umat Islam kat
Malaysia ni. Dia tu menjadi satu tanggungjawab kepada kitalah sebagai
seorang Muslim, seorang Islam. So kita harus lebih peka kepada isu-isu
sensitif ni... (HA, 23)

...rasa tergerak hati rasa berdosa kalau tak ambil tahu benda tu...(AK, 24)

Pemilihan suatu media yang bermotifkan agama berlaku kerana timbulnya kesedaran
informan tentang tanggungjawab sebagai seorang Muslim untuk memelihara diri daripada
terlibat dengan perkara yang dimurkai Allah SWT. Justeru, usaha bagi mengekalkan identiti
dan memantapkan jati diri sebagai seorang Muslim menjadi motivasi yang kuat untuk
informan memilih media tertentu bagi mengetahui isu halal dan haram. Tambahan pula, sikap
prihatin terhadap isu agama dapat mendorong individu memuhasabah dan memperbaiki
kekurangan diri sebagai seorang Islam termasuklah dalam aspek menjaga kesucian akidah.

KESIMPULAN
Peranan media pada hari ini bukan sahaja sebagai penyalur maklumat berkenaan isu
kemasyarakatan dan pembangunan negara, malah sudah menjadi ejen dakwah dalam
mempromosikan maklumat tentang agama Islam kepada masyarakat Islam. Penggunaan
media oleh informan yang disifatkan sebagai alat pencetus sensitiviti terhadap hukum halal
dan haram urusan muamalat menunjukkan bahawa media berupaya menghidupkan nilai
keagamaan dalam diri masyarakat Muslim. Hal ini membuktikan bahawa salah satu motif
penggunaan media adalah bagi memenuhi keperluan keagamaan khalayak.

Dari aspek pemilihan media, majoriti informan lebih cenderung menggunakan media baharu
sebagai saluran untuk memperoleh maklumat berkenaan isu halal dan haram urusan
muamalat. Informan lebih kerap memperkatakan kerelevenan penggunaan media baharu
dalam kehidupan generasi Y berbanding media-media lain. Walau bagaimanapun, media-
media lain juga masih digunakan sebagai sumber maklumat, tetapi tidak secara maksimum.
Ini disebabkan oleh kelebihan yang dimiliki media baharu yang dikuasakan oleh Internet
yang mempunyai pelbagai aplikasi (blog, laman web, enjin carian, laman sosial), mudah
dicapai dan menyampaikan maklumat dengan cepat sekaligus menjadikannya sebagai

62
Global Media Journal – Malaysian Edition Volume 5, Issue 2, 2015
ISSN: 2231-9948

medium yang popular dalam kalangan informan untuk mengetahui isu halal dan haram
urusan muamalat.

Faktor-faktor pendorong pemilihan media yang telah dibincangkan dalam artikel ini
menggambarkan bahawa informan kajian ini mempunyai penilaian yang berbeza-beza
terhadap saluran media yang menyampaikan maklumat berkenaan isu halal dan haram urusan
muamalat. Keunikan ciri yang dipunyai setiap media menjadi aset yang dapat menarik
informan bagi menjadikannya sebagai sumber maklumat utama. Sebagai khalayak yang
mempunyai banyak pilihan sumber untuk memperoleh maklumat tentang sesuatu isu,
informan mempunyai pendirian dan persepsi tersendiri terhadap setiap media, sama ada ia
bersifat positif atau negatif, seterusnya mendorong atau merencatkan penggunaan media
tersebut. Tuntasnya, pemilihan media ditentukan oleh kapasitinya dalam membawa mesej
yang selaras dengan motivasi informan untuk mengetahui isu halal dan haram urusan
muamalat. Dengan kata lain, satu-satu media digunakan bagi mendapatkan maklumat suatu
topik kerana ia dapat memenuhi keperluan kognitif, keperluan sosial dan motif agama
individu tersebut.

RUJUKAN
Ahmad Zaini Ab Rahman. (7 Jun 2011). Perlukah JAKIM menjadi ‘Halal Player’?
Diakses daripada http://www.detikdaily.net/v6/modules.php?name=News&file=print
&sid=14272

Amaludin Ab. Rahman, Zaid Ahmad, Sarjit Singh Darshan Sing, Lee Yok Fee, Muhamad
Nazri Lokman & Noor Asyikin Harun. (2011). Persepsi dan kefahaman masyarakat
bukan Islam terhadap Islam hadhari. Jurnal Hadhari, 3(2), 63 – 82.

Anderson, E. W., Fornell, C., & Rust, R. T. (1997). Customer satisfaction, productivity and
profitability: Differences between goods and services. Marketing Science, 16(2),
129-145.

Bahtiar Mohamad, Hasan Abu Bakar & Khadafi Rofie. (2004). Imej Islam di media
cetak: Analisis kandungan akhbar mingguan di Ma1aysia. The Malaysian Journal of
Language and Communication, 1(1), 79-88.

Blog Peribadi Ustaz Dr. Zaharuddin Abd Rahman. Diakses daripada www.zaharuddin.net

Blumler, J. G. & Katz, E. (1974). The Uses and gratification of mass communication:
Current perspectives on gratification research. Beverly Hills: Sage.

Bruns, A. (2008). Blogs, wikipedia, second life, and beyond: From production to produsage.
New York: Peter Lang.

63
Global Media Journal – Malaysian Edition Volume 5, Issue 2, 2015
ISSN: 2231-9948

Bunt, G.R. (2000). Virtually Islamic: Computer-mediated Communication and Cyber Islamic
Environments. Cardiff: University of Wales Press.

Dian Mursyidah & Agus Salim. (2012). Dakwah melalui media siber: Analisis pesan
dakwah dalam Website Dakwatuna.com. Media Akademika, 27(4), 569-586.

Dimmick, J., Chen, Y., & Li, Z. (2004). Competition between the internet and traditional
news media: The gratification-opportunities niche dimension. The Journal of Media
Economics, 17(1), 19-33.

Farrah Dina Yusop & Melati Sumari. (2013). The use of social media technologies
among Malaysian youth. Procedia - Social and Behavioral Sciences, 103, 1204-
1209.

Fong Y. L. & Md Sidin Ahmad Ishak. (2010). Covering religious conflict in Malaysia: How
Sin Chew Daily framed the Lina Joy controversy. Jurnal Pengajian Media, 12(2), 11
22.

Hanaa K. K., & Che Su Mustaffa. (2015). Agenda setting of Iraq image in Malaysian English
Newspaper. Asian Social Science, 11(2), 225-237.

Hidayat Komaruddin & Widjanarko Putut (2008). Reinventing Indonesia: Menemukan


kembali masa depan bangsa. Jakarta: PT Mizan Publika.

Hoover, S. M., Clark L. S. & Rainie, L. (2004). ‘Faith Online’. Pew Internet & American Life
Project. Diakses dari laman web http://www.pewInternet.org

Institut kefahaman islam malaysia. Diakses daripada www.ikim.gov.my

Jungkee, K. & Alan, M. R. (1997). The variable influence of audience activity on media
effects. Communication Research, 24, 107-135. Doi:10.1177/009365097024002001

Katz, E. (1959). Mass comuunication research and the study of popular culture. Studies in
Public Communication, 2, 1-6.

Katz, E., Blumler, J. G. & Gurevitch, M. (1974). Utilization of Mass Communication by the
individual. Dalam J. G., Blumler & E., Katz. (1974). The uses and gratification of
mass communication: Current perspectives on gratification research. Beverly Hills:
Sage.

Kisung Yoon. (2011). Religious media use and audience’s knowledge, attitude, and
behaviour: the roles of faith motivation, program appeals, and dual information
processing. (Tesis PhD tidak diterbitkan). Kentucky: Universiti Bowling Green.
64
Global Media Journal – Malaysian Edition Volume 5, Issue 2, 2015
ISSN: 2231-9948

Laila Nadiatul Falah. (2014). Peran Facebook sebagai media komunikasi dakwah group
jama’ah muslimin (Hizbullah). eJournal Ilmu Komunikasi, 2(1), 388-400.

Lee, K. M. (2006). Effect of Internet use on college students’ political efficacy.


Cyberpsychology & Behavior, 9 (4): 415-422.

McLuhan, M. (1964). Understanding media: The extensions of man. New York: McGraw
Hill Book Company.

McQuail. (2000). McQuail’s Mass Communication Theory (4th ed). London: Sage Pub.

Md. Salleh Hassan & Saiful Nujaimi Abdul Rahman. (2000). Modul pengenalan
Komunikasi Massa. Serdang: Penerbitan Universiti Putra Malaysia.

Melati Mohd Ariff. (9 Feb 2010). Pengguna Perlu Lebih Maklumat Dalam Isu Halal.
Diakses daripada http://kpdnkk.bernama.com/newsBm.php?id=474431

Mohd Ali Mohd Noor, Hairunnizam Wahid & Abd. Razak. (2012). Strategi ke arah
peningkatan daya saing produk makanan halal di Malaysia. Diakses daripada
http://www.ukm.my/hairun/kertas%20kerja/produk%20makanan%20halal.pdf

Mohd Azul Mohamad Salleh & Nor Azita Ghani. (2003). Pola pemaparan kandungan
maklumat Islam menerusi internet: Kajian kes terhadap Institut Kefahaman Islam
Malaysia (IKIM) dan Angkatan Belia Islam Malaysia. Jurnal Komunikasi, 19, 23-37.

Mohd Martin Abdul Kahar. (2011). Seminar APEC gesa umat Islam sensitif isu halal.
Diakses dari laman web http://psasir.upm.edu.my/18049/

Mohd Nasran Mohamad (2009). Kerangka media menurut perundangan Islam. Dalam
Mohd Safar Hashim & Zulkiple Abd Ghani. Komunikasi di Malaysia: Satu
penelitian awal pendekatan Islam hadhari. Bangi Malaysia: Institut Islam Hadhari,
49-62.

Mohd. Shuhaimi Bin Haji Ishak & Sohirin Mohammad Solihin. (2012). Islam and media.
Asian Social Science, 8(7), 263-269.

Mohd Sabri Haron. (2009). Konsep dan falsafah Islam dalam Media. Dalam Mohd Safar
Hasim & Zulkiple Abd. Ghani (pnyt.). Komunikasi di Malaysia suatu penelitian awal
pendekatan Islam Hadhari (hlm. 35-48). Bangi: Institut Islam Hadhari, UKM.

Othman Mustapha. (Dis, 2011). Inovasi dan transformasi dakwah Jakim melalui media.
Dibentangkan di Seminar Islam GRID ke-2, Kuala Lumpur.

65
Global Media Journal – Malaysian Edition Volume 5, Issue 2, 2015
ISSN: 2231-9948

Rosmawati Mohd Rasit, Salasiah Hanin Hamjah & Adawiyah Ismail. (2011). Media
dakwah dan tingkah laku prososial: Satu perspektif. Kertas kerja dibentangkan di
Seminar Kebangsaan Media & Dakwah (SMED 2011), USIM.
Rubin, A. M. (2009). Uses and gratification: An evolving perspective of media effects.
Dalam R. L., Nabi & M. B., Oliver (Eds.) The SAGE handbook of media process and
effects (hlm. 147-159). Thousand Oaks: Sage Pub.

Ruggiero, T. E. (2000). Uses and gratifications theory in the 21st century. Mass
Communication & Society, 3(1), 3–37.

Schafer, M. (2010). Filling the credibility gap with news use: College students news habits,
preferences, and credibility preferences. Diakses daripada http://research.allacademic
.com/index.php?cmd=Download+Document&key=unpublished_manuscript&file_ind
ex=2&pop_up=true&no_click_key=tru&atachment_style=attachment&PHPSESSID=
980d47d00cc92929a5809082164383d1

Shirley S. Ho, Waipeng Lee & Shahiraa Sahul Hameed. (2008). Muslim surfers on the
internet: Using the theory of planned behaviour to examine the factors influencing
engagement in online religious activities. New Media Society, 10(1), 93–113.
DOI: 10.1177/1461444807085323

Strauss, A. & Corbin, J. (1998). Basic of qualitative research: Technique and procedures for
developing grounded theory (2nd ed.). Thousand Oaks: Sage.

Syukur Kholil. (2002). Penyiaran agama, penggunaan media dan kepuasan khalayak
agama di televisyen: Kajian di Medan Indonesia. (Tesis PhD tidak diterbitkan).
Bangi: Universiti kebangsaan Malaysia.

Teoh D. (2007). Reporting religion as news: The case of Malaysia. Diakses daripada
http://www.ocrpl.org

TV Al- Hijrah. Diakses daripada www.tvalhijrah.com

Umar Halim & Samsudin A. Rahim. (2013). Penglibatan digital: Akses dan penggunaan e
agama dalam kalangan generasi muda Muslim. Jurnal Komunikasi, 27(2), 121-135.

Vissers, S., & Quintelier, E. (2009). News consumption and political participation among
young people: Evidence from a panel study. Kertas dibentang di The 5th European
Consortiumfor Political Research General Conference Postdam.

Wan Nasrah Abdul Rahim. (18 April 2012). PTPTN: Haram cas lebihi kos sebenar. Diakses
daripada http://www.sinarharian.com.my/nasional/ptptn-haram-caj-lebihi-kossebenar
-1.40761
66
Global Media Journal – Malaysian Edition Volume 5, Issue 2, 2015
ISSN: 2231-9948

Williams, K. (2003). Understanding media theory. London: Oxford University Press.

Zulkiple Abd Ghani, Musa Abu Hassan, Fauziah Hassan & Suria Hani A. Rahman.
(2012). TV AlHijrah: Inovasi baru dalam landskap dunia penyiaran Islam. Prosiding
di Persidangan Antarabangsa Kepimpinan Islam-2 (ICIL). Diakses dari laman web
http://ddms.usim.edu.my/bitstream/handle/123456789/6034/TV%20AlHijr%3B%0%
20lnovasi%20Baru%20dalam%20Landskap%20Dunia%20Penyiaran%2Islam.pf?Seq
uence=1

67

Anda mungkin juga menyukai