Anda di halaman 1dari 9

BBW3203: SENI PENULISAN

“Cerita Si Mat Yo”

Nama: Muhamad Aliff Iskandar Bin Ismail

NoMatriks: 188926

Pensyarah: Dr. Zuraini Binti Jusoh


“Baru reti nak balik?” kedengaran akan suatu suara menegur Yo dalam kegelapan malam itu.

Dengan tidak semena-mena Yo terkejut dan hampir tergelincir tangga rumahnya itu namun dia

masih lagi sempat menyeimbangkan badannya lagi, mengelakkan dirinya daripada terjatuh. Dia

menoleh ke atas dan kelihatan seperti seekor lembaga sedang berdiri di pintu tangga rumahnya itu.

“ Wahai, lembaga! Apa yang kau buat di rumahku ini?” Yo cuba menegur dengan nada yang agak

keras lembaga itu. Dia sepertinya seperti sedang dalam ketakutan. Maklumlah, jarum jam di

tangannya sudah menunjukkan pukul 3.15 pagi. Macam-macam boleh berlaku dalam kesunyian

malam ini. Kalau bukan perompak, makhluk halus.

“Lembaga abah kau. Ni mak kau la!”

Yo cuba meneliti kembali lembaga itu. Tiba-tiba, lampu di tangga rumah itu terbuka. Betullah itu

maknya. Yo ketawa kecil seorang diri dan terus naik ke atas.

“ Mak ni, cakap la awal-awal. Kan dah kena lembaga,” Yo sekali lagi ketawa seorang diri.

“ Ooo... aku ni kau cakap lembaga! Kau tu lembaga! Masa macam ni baru nak balik,” Mak Odah

berkata kepada anaknya itu.

“ Tiap-tiap malam ke bendang je kerja kau ni. Nak suluh cari ikan la. Nak suluh udang galah la.

Tengok ni, apa pun tak bawa balik,”

“ Ikan tidur malam ni, mak,” Yo terus melangkah masuk ke rumah dan menuju ke biliknya sambil

menahan ketawanya.

Keesokkan harinya, kelihatan seorang orang tua sedang menunggang motorsikal. Sepertinya orang

tua itu dalam lingkungan 50 hingga 60 tahun. Setibanya orang tua itu di sebuah gerai, dia terus

mematikan motorsikal dan menuju masuk ke dalam gerai tersebut. Si tua itu mengambil tempatnya
di gerai itu dan meminta secawan kopi dan selembar roti canai kepada pelayan gerai tersebut.

Setelah beberapa minit menunggu, sarapannya dihidangkan oleh seorang lagi orang tua, mungkin

juga dia itu pemilik gerai tersebut.

“ Harun, kau ada dengar tak? Semalam lembu Yaakob kena rembat. Habis satu kandang kosong.

Siapa punya kerja la ni?” pemilik kedai itu berkata sambil meletakkan secawan kopi ke atas meja

yang diduduki oleh Harun.

“ Kau biar betul, Li. Satu ekor pun tak tinggal? Jahat punya pencuri. Habis tu Yaakob dah buat

laporan ke?” Harun kelihatannya beria-ria dengan khabar yang didengarinya itu.

“ Dia dah buat dah. Aku bukan apa, Harun. Kebelakangan ni banyak kes kecurian, pecah rumah,

zina..... Apa lagi? Ahh... apa-apalah berlaku kat kampung kita ni. Aku selalu tengok anak kau tu,

si Yo tu, asyik berkeliaran waktu malam sampai pagi buta. Aku takut dia kena tuduh apa-apa je,”

“ Kau jangan risau la, Li. Anak aku tu walaupun dia tak pandai macam anak orang lain, tak belajar

tinggi macam anak orang lain, aku tahu dia tu budak baik. Dia keluar malam pun sebab nak ke

bendang, cari ikan. Ni pun dia tengah kat bendang aku tu. Tengah mencedung padi,” Harun cuba

mempertahankan anaknya.

Li cuma hanya menganggukkan kepalanya sahaja dan terus beredar pergi. Pak Harun mengelamun

sebentar mendengar luahan Li.Tangannya menccapai kopi yang dipesannya dan menghirup sedikit

kopi itu.Dia berfikir sejenak. Tak mungkinlah anaknya itu yang menjadi punca kepada segala

permasalahan yang menimpa kampung Dalam Parit sejak dua menjak ini. Walau bagaimanapun,

dia tetap kena berhati-hati. Ramai orang yang menganggap anaknya itu sampah masyarakat hanya

kerana dia tidak berpelajaran tinggi dan hanya melakukan kerja-kerja kampung untuk mencari

rezeki. Satu kemusykilan muncul di minda Pak Harun. Jika difikirkan balik, kebelakangan ini
anaknya kelihatan seperti orang yang berduit. Jika sebelum ini, semua barang dapur dan rumah

selalunya dibeli olehnya tetapi baru-baru ini kesemua perbelanjaan termasuklah bil elektrik dan

air ditanggung oleh anaknya.

Waktu petang menjelang tiba, di suatu sudut di kampung itu kelihatan sekumpulan pemuda sedang

duduk di bawah sebatang pokok. Salah seorang daripada mereka ialah Ramli, anak kepada ketua

kampung. Sudah menjadi adat di kampung tersebut, sesiapa saja yang mempunyai kuasa ataupun

mempunyai hubungan dengan orang yang berkuasa akan menjadi ikutan orang lain. Terkadang,

pemuda-pemuda tersebut mendendangkan lagu dan ketawa sesama mereka. Kebetulan pada

waktu, Yo lalu di depan kawasan mereka melepak. Sepertinya Mat Yo baru pulang daripada

bendang. Di pinggangnya masih lagi tersarung golok milik Pak Harun.

“ Eh, tu bukan Mat Yo ke?” seorang daripada kawan Ramli berkata.

“ Ya, betullah tu dia. Panggil dia datang sini,” Ramli mengarahkan kawannya itu untuk memanggil

Yo.

Tanpa bercakap banyak, terus mereka memanggil Yo untuk datang kepada mereka. Pada mulanya

Mat Yo malas hendak melayan kerenah Ramli dan kawan-kawannya itu tetapi setelah beberapa

kali dipanggil, akhirnya dia mengalah dan membuka langkahnya menuju ke kumpulan itu.

Sebenarnya, Yo tak beberapa suka dengan kumpulan itu. Daripada zaman sekolah hinggalah

dewasa, kerja mereka asyik menyakat Mat Yo sahaja. Kalau bukan dipanggil ‘bodoh’, dipanggil

‘lembap’. Mungkin kerana itu Mat Yo tidak beberapa menggemari akan Ramli dan kawan-

kawannya.

“ Nak ke mana laju-laju ni, Yo? Bukannya kau ada apa pun nak buat,” Ramli bertanya kepada Mat

Yo. Nada pertanyaannya seakan-akan sinis dan merendah-rendahkan Mat Yo.


“ Tak ke mana pun, Li. Aku nak balik ke rumah aku je ni. Aku dari bendang bapa aku,” Mat yo

menjawab, tangannya masih lagi mengenggam golok kepunyaan bapanya itu.

“ Baguslah. Tu je taraf orang macam kau ni, Yo. Kalau bukan bendang, jadi perompak. Kalau

perompak, jadi pengedar dadah. Hahaha,” Ramli dan kawan-kawannya mengetawakan Mat Yo.

Air muka Mat Yo yang sebelum ini tenang tiba-tiba berubah. Dia tidak tahu apa yang sedang

dialaminya sekarang. Adakah dia marah? Adakah dia sedih? Seolah-olah kedua-dua perasaaan

tersebut bercampur-aduk menjadi satu.

Entah kenapa keadaan yang riuh-rendah itu dengan tidak semena-mena menjadi sunyi. Kali ini, air

muka Ramli pula yang berubah. Daripada riang-ria menjadi takut. Macam mana tidak takutnya?

Sebilah golok ditujukan terus ke mukanya.

“ Aku sedar aku ni siapa, Li! Aku ni tak pandai macam kau! Dapat belajar tinggi-tinggi, dapat

masuk universiti! Tapi, kau tahu tak? Sekurang-kurangnya aku ni ada adab! Ada akal lagi nak jaga

perasaan orang!” Mat Yo meluahkan bara kemarahan ke atas Ramli. Golok milik Pak Harun itu

tidak berganjak sedikit pun daripada muka Ramli. Ramli menelan air liurnya dan menoleh ke arah

kawan-kawannya. Tiada seorang pun daripada mereka yang berani untuk meleraikan konflik yang

sedang berlangsung itu. Dapat dikatakan bahawa kesemua daripada mereka pengecut.

Mat Yo kemudiannya menjatuhkan goloknya daripada muka Ramli dan beredar pergi. Tidak

sampai beberapa langkah, dia menolehkan kepalanya kepada Ramli dan berkata “ Lagi satu, aku

ni walaupun tak belajar tinggi, tak menyusahkan mak bapa aku. Tak macam kau, belajar tinggi-

tinggi, akhirnya merempat kat rumah juga. Dah la tak bekerja,”.


Ramli menjeling kembali dengan perasaan dendam. Hari ini dia tertewas dengan perangkapnya

sendiri. Hasratnya untuk bermain-main dengan perasaan Mat Yo akhirnya memakan dirinya

sendiri.

Beberapa hari kemudian, muncul lagi khabar yang tidak beberapa enak. Beberapa buah rumah di

kampung tersebut telah dipecah masuk. Namun kali ini, ada saksi yang menyaksikan kejadian

pecah rumah itu. Katanya kejadian tersebut dilakukan oleh seorang yang bertopeng. Satu lagi

khabar angin yang tidak sedap didengar ialah khabarnya ada oarng yang melihat Mat Yo

berkeliaran di kawasan kejadian beberapa jam sebelum kejadian.

Selepas mendengar khabar tersebut, terus Pak Harun meninggalkan gerai kopi Li dan menuju ke

rumahnya. Dalam hatinya, dia masih lagi risau jika betul apa yang difikirkannya selama ini bahawa

ada kemungkinan yang anaknya menjadi dalang kepada kes-kes yang berlaku itu. Setibanya dia di

rumah, dia menuju ke ruang tamu dan melihat Mat Yo sedang leka menonton televisyen. Pak

Harun perlahan-lahan menuju ke sofa di ruang tamu itu dan melabuhkan punggungnya. Mat Yo

kelihatannya masih lagi sedang dibuai oleh televisyen.

“ Yo, abah nak tanya kau ni,” Pak Harun membuka bicaranya.

“ Ada apa ni, pak?” Mat Yo dalam kebingungan.

Pak Harun tanpa melengahkan masa menceritakan kes pecah rumah dan khabar yang didengarnya

itu kepada anaknya. Tiada apa yang lagi di hatinya selain mengharapkan bahawa anaknya itu tidak

terlibat dengan mana-mana masalah yang sedang berlaku itu.

“ Oh, malam tu ke? Ada orang lihat Yo kat kawasan rumah-rumah tu ke?”
“ Ada orang yang tengok la. Kalau tak memang bapak tak tanya kau la sekarang ni,” Pak harun

membalas.

Sebenarnya apa yang berlaku pada malam tersebut ialah Mat Yo sedang berjalan pulang daripada

sungai, tempat dia mencari ikan. Dengan ditemani oleh lampu suluh dan juga jala ikan, dia menuju

pulang ke rumah. Tidak tahu pula dia ada kes pecah rumah pada waktu itu. Yang menjadi persoalan

sekarang ialah siapa yang melihatnya di kawasan tersebut. Pada waktu itu pukul 3 hingga 5 pagi,

tidak mungkinlah ada orang yang masih lagi berjaga. Kalau adapun, macam mana dia lihat wajah

Mat Yo dalam gelap gelita.

Keesokan harinya, Mat Yo seperti biasa keluar pergi bendang dan sungai apabila menjelma malam

untuk menjala ikan. Pada malam tersebut, rezekinya agak kurang dan tidak memberangsangkan.

Dia cuba berfikiran positif dan menyakinkan dirinya bahawa setiap apa yang berlaku ada

hikmahnya.

Setelah kepenatan, dia membuat keputusan untuk pulang balik ke rumahnya. Dia melihat jam

tangannya. Sudah pukul 2 pagi rupanya. Dia cepat-cepat menarik naik jalanya dan memikulnya di

bahu. Malm itu, bulan kelihatanya terang dan cantik sekali. Jadi, suasana sekeliling kampung itu

tidaklah segelap malam-malam yang lain. Senanglah untuk dia berjalan pulang ke rumah nanti.

Tatkala Mat Yo berjalan pulang, dia mendengar bunyi sesuatu yang mencurigakan. Bunyi itu

datang daripada salah satu buah rumah di kawasan berdekatannya. Dia cuba menyakinkan dirinya

untuk pergi ke arah bunyi tersebut tetapi sifat ingin tahunya menguasai diri. Akhirnya, dia

mengambil keputusan untuk melihat apa yang sedang berlaku.

Tidak disangka, apa yang dilihatnya ialah sebuah susuk badan sepertinya sedang berusaha untuk

memotong mangga pagar rumah. Mat Yo tanpa berfikir apa-apa terus menerkam ke arah susuk
tubuh itu. Berlaku suatu pergelutan antara mereka berdua. Mat Yo sempat menumbuk beberapa

susuk badan lelaki yang sedang bergelut dengannya itu. Tetapi, tiba-tiba dia merasakan sakit di

belakangnya. Dia cuba menoleh ke belakangnya. Kelihatan seorang lagi lembaga berdiri di

belakangnya. Lembaga tersebut telah memukul belakangnya dengan kayu.

“ Ada dua orang? Masalah ni,” Mat Yo bermonolog dengan dirinya.

Pergelutan itu terlerai dan kini Mat Yo terpaksa berhadapan dengan dua orang jahat. Dia berfikir

kalau dia cuba melarikan diri, mesti salah seorang daripada mereka akan cuba mengejar dia.

Tiba-tiba salah seorang daripada dua penjahat tersebut menerkam ke arah Mat Yo. Mat Yo terus

menendang perut penjahat tersebut dan menjatuhkan penjahat tersebut. Seorang lagi penjahat itu

cuba juga menerkam ker arah Mat Yo tetapi entah bagaimana Mat Yo berjaya merampas kayu

yang dipegang oleh penjahat tersebut dan melibas kayu tersebut ke kepala penjahat itu. Ternyata

libasan tersebut cukup untuk menyelesaikan pergelutan tersebut, terus penjahat tersebut jatuh

pengsan.

Seorang lagi penjahat, yang ditendang jatub oleh Mat Yo tadi bangkit bangun dan lari lintang-

pukang.

Keesokan paginya, keluar sebuah tajuk di muka hadapan akhbar “Anak ketua Kampung Diberkas

Polis”. Ternyata yang selama ini yang telah menjadi dalang kepada segala kes pecah rumah dan

kecurian ialah Ramli, anak ketua kampung itu sendiri dan kawannya. Alasan Ramli melakukan

pekerjaan tresbut ialah tidak mempunyai kerja dan sudah terlalu lama menganggur. Aksi berani

Mat Yo pada malam tersebut telah berjaya menyelesaikan kekusutan yang dialami oleh kampung

tersebut.

Anda mungkin juga menyukai