Anda di halaman 1dari 4

SEMASA VIRAL ENG

Jaga dan pelihara amanah


USTAZ IDRIS SULAIMAN
11 September 2015

Gambar hiasan.

SEGALA puji bagi ALLAH SWT yang menjanjikan ganjaran pahala besar bagi mereka yang
menjaga amanah dan memeliharanya di samping memberi ancaman azab seksa atas sesiapa yang
cuai dalam memikulnya.

Perkataan amanah dalam bahasa Arab diambil daripada perkataan aman iaitu hati yang tenang
dan bebas daripada ketakutan. Amanah adalah segala hak yang dipikul seseorang sama ada hak
ALLAH atau manusia.

Firman ALLAH: "Sesungguhnya Kami kemukakan tanggungjawab amanah kepada langit dan
bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), lalu mereka enggan memikulnya kerana
bimbang tidak dapat menyempurnakannya; lalu manusia yang memikulnya." (Surah Al-Ahzaab:
72)

Ulama tafsir sepakat, amanah yang dimaksudkan dalam ayat di atas adalah segala hukum-hakam
syarak, di mana barang siapa melaksanakannya akan memperoleh pahala dan barang siapa
meninggalkannya mendapat dosa.

Disebutkan amanah ini dikemukakan kepada langit, bumi dan gunung-ganang tetapi ternyata
semua menolak kerana khuatir akan cuai dalam memikul tanggungjawab tersebut sehingga
mengundang kemurkaan ALLAH dan azab-Nya. Ternyata, akhirnya manusia yang memikul
walhal ia adalah satu amanah tanggungjawab yang cukup besar.

Maka dalam memikul tanggungjawab ini manusia terbahagi kepada tiga kelompok:-

Pertama: Kelompok yang memikulnya secara zahir tetapi cuai daripada sudut batin.

Mereka adalah golongan munafik yang menzahirkan iman kerana takut akan orang Islam
sedangkan hati mereka kufur ikut orang kafir.

Kedua: Kelompok yang cuai dalam memikul amanah ini secara zahir dan batin.

Mereka adalah orang-orang kafir musyrikin yang zahir dan batin mereka syirik menyekutukan
ALLAH dan menyalahi Rasul-Nya.

Ketiga: Kelompok yang menjaga amanah ini secara zahir dan batin.

Mereka adalah orang yang beriman daripada sudut amalan dan kepercayaan.
Maka kedua kelompok pertama akan diseksa berbanding dengan kelompok ketiga yang akan
mendapat rahmat belas kasihan ALLAH.

Firman ALLAH: "Akibatnya ALLAH akan menyeksa lelaki yang munafik dan perempuan
munafik, dan orang lelaki yang musyrik serta perempuan yang musyrik; dan ALLAH akan
menerima taubat lelaki yang beriman serta perempuan yang beriman. Dan sememangnya
ALLAH Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah Al-Ahzaab: 73)

Amanah merangkumi semua yang ALLAH wajibkan atas hamba-Nya. Maka solat adalah
amanah; zakat adalah amanah; puasa adalah amanah; haji adalah amanah; taharah bersuci untuk
solat adalah amanah; dan semua kewajipan agama adalah amanah yang perlu ditunaikan.

Begitu juga dengan meninggalkan hal yang haram adalah suatu amanah. Barangan kepunyaan
orang yang dijaga adalah amanah. Rahsia antara seseorang dengan saudaranya adalah amanah.
Jawatan kepimpinan negara adalah suatu amanah. Hakim di mahkamah turut memikul amanah.

Guru memikul amanah. Penjual yang menjual barangan jualannya memikul amanah untuk
bersikap jujur dan tidak menipu serta menghindari keuntungan daripada hasil yang haram.
Penjawat awam dan swasta memikul amanah. Seorang bapa di rumahnya memikul amanah
terhadap anggota keluarganya.

Semua mereka akan ditanya perihal amanah yang mereka pikul. Jika amanah itu dijaga dengan
baik maka mereka akan diberi ganjaran dan jika mereka lalai dan cuai azab seksa akan menanti
mereka.

ALLAH memerintahkan supaya segala amanah yang dipikul perlu ditunaikan. Firman ALLAH:
"Kemudian jika kamu saling percaya sesama kamu maka hendaklah orang yang dipercayai itu
menyempurnakan amanah yang diamanahkan kepada-Nya, dan hendaklah dia bertakwa kepada
ALLAH Tuhannya." (Surah Al-Baqarah: 283)

Firman ALLAH lagi: "Sesungguhnya ALLAH menyuruh kamu supaya menunaikan segala jenis
amanah kepada yang berhak menerimanya." (Surah Al-Nisaa’: 58)

Perlunya sesuatu amanah itu ditunaikan sehinggakan Nabi SAW mengingatkan: "Tunaikan
amanah kepada orang yang memberinya kepada kamu dan jangan kamu mengkhianati orang
yang khianat." (Riwayat Tirmizi, sahih)

Peritah ini semua menunjukkan menunaikan amanah adalah suatu kewajipan yang tidak boleh
diambil mudah.

Maka seorang pemerintah wajib berlaku adil terhadap rakyatnya sebagaimana seorang hakim
wajib menjatuhkan hukumannya dengan saksama. Seorang guru perlu mengajar dengan ikhlas
agar menjadi contoh teladan yang baik buat muridnya.

Begitu juga dengan seorang penjawat awam, dia perlu melaksanakan tugasnya sepertimana
diamanahkan kepadanya. Dia perlu menjaga waktu kerja dan mengatur tugasan hariannya di
samping membahagikan masa berjumpa dengan pelawat untuk menyelesaikan permohonan dan
mendengar aduan mereka. Tugas-tugas ini perlu dilakukan dengan jujur dan amanah tanpa pilih
kasih atau meminta apa-apa. Ini kerana sebarang bentuk hadiah atau habuan yang diterima
adalah rasuah.

Golongan yang mengambil rasuah dalam menjalankan tugas mereka telah melakukan dua
jenayah besar; pertama mereka mengkhianati amanah yang diberi dan kedua mereka memakan
harta dengan cara yang haram. Mereka adalah golongan yang tiada agama dan tiada perasaan
malu yang menyakiti sesama manusia yang lain.

Sebagaimana ALLAH menyuruh supaya amanah ditunaikan, dalam masa yang sama ALLAH
menegah perbuatan khianat. Firman ALLAH: "Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu
mengkhianati (amanah) ALLAH dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-
amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)." (Surah Al-Anfaal: 27)

ALLAH juga menjelaskan khianat adalah sifat Yahudi. Firman-Nya: "Dan ada pula di antara
mereka (orang Yahudi) yang kalau engkau amanahkan kepadanya menyimpan sedinar pun, dia
tidak akan mengembalikannya kepadamu kecuali kalau engkau terus menerus menuntutnya."
(Surah Ali Imran: 75)

Nabi SAW mengkhabarkan khianat adalah sifat orang munafik. Sabda Baginda SAW: "Tiga
tanda orang munafik; jika dia berkata dia berdusta, jika dia janji dia mungkiri dan jika dia
diamanahkan sesuatu dia khianat." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Mengkhianati suatu amanah adalah satu kezaliman. Dan orang yang zalim akan menyesal di
akhirat kelak. Firman ALLAH: "Dan bahawasanya ALLAH tidak akan menjayakan tipu daya
orang yang khianat." (Surah Yusof: 53)

Sabda Nabi SAW: "Hak akan ditunaikan kepada tuannya pada hari kiamat; sehinggakan
kambing yang tidak bertanduk (akan mengambil haknya) daripada kambing yang bertanduk."
(Riwayat Muslim)

Antara perihal akhir zaman yang disebutkan Nabi SAW kepada kita adalah hilangnya sifat
amanah dalam kalangan manusia. Daripada Huzaifah bin Al-Yaman RA, Nabi SAW bersabda:
"Seseorang itu akan tidur lalu dicabut sifat amanah daripada hatinya, lalu sisanya masih ada
seperti noda hitam yang kecil.

Kemudian dia tidur pada kali kedua, maka (sisa) amanah tadi dicabut daripada hatinya, dan
sisanya masih ada seperti bekas kapalan, seperti bara api yang kamu jatuhkan pada kakimu,
maka kulitnya mengeras lalu kamu lihat ia melepuh padahal dalamnya tidak ada apa-apa."
Kemudian Nabi SAW mengambil batu kerikil lalu dijatuhkan atas kakinya. "Sehingga pada pagi
harinya (seperti biasa) manusia melakukan jual beli, tetapi hampir tidak seorang pun yang
menunaikan amanah.

Hingga dikatakan: Sesungguhnya (di sana) pada keluarga si fulan ada seorang yang dipercayai.
Hingga orang itu dipuji-puji; alangkah tabahnya, alangkah cerdiknya dan alangkah hebatnya.
Padahal dalam hatinya tidak terdapat iman meskipun seberat biji sawi." (Riwayat Bukhari &
Muslim)

Semoga kita tergolong dalam kalangan mereka yang menjaga amanah dan menunaikannya
dengan jujur serta tidak mengkhianati amanah yang diberi.

Anda mungkin juga menyukai