Anda di halaman 1dari 6

PENGGUNAAN INTERNET DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Perkembangan dunia Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) telah memberikan banyak impak positif kepada pelbagai
bidang perindustrian termasuklah dunia pendidikan. Tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia yang menjadikan penggunaan
pelbagai bahan bantu mengajar seperti komputer riba, cakera padat, penggunaan pelbagai perisian pendidikan pembelajaran
dan pelbagai alat bantu mengajar yang lain. Oleh yang demikian, adalah perlu untuk setiap pendidik menggunakan pelbagai alat
bantu mengajar sama ada yang berbentuk peralatan mahupun perisian bagi membantu merangsang dan meningkatkan minat
dan kecenderungan Murid terhadap sesuatu topik pembelajaran. Pengajaran dan pembelajaran adalah fokus utama pihak
pengurusan pendidikan kebangsaan sama ada di peringkat sekolah rendah mahupun di peringkat sekolah menengah. Justeru,
pihak pengurusan pendidikan baik di peringkat negeri mahupun di peringkat kebangsaan sentiasa mencari alternatif atau
kaedah pengajaran dan pembelajaran terbaik dalam usaha untuk meningkatkan keupayaan sesuatu proses pengajaran dan
pembelajaran (Baharuddin, 2005). Latihan aplikasi dan integrasi teknologi maklumat dan komunikasi atau juga dikenali dengan
gelaran ICT adalah antara usaha yang telah diperkenalkan di kebanyakan sekolah rendah dan menengah.

Pelaksanaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran terhadap Murid yang mengikuti Program Pemulihan Khas
merupakan satu perkara yang tidak hanya mampu memberikan rangsangan pembelajaran kepada murid, malah dapat
meningkatkan pencapaian akademik mereka (Abd. Rahman, 1992). Koh Boh Boon (1982) menyatakan bahawa pendidikan
pemulihan sekiranya diteliti dengan lebih mendalam, sifatnya adalah lebih terbatas dan lebih khusus kerana ianya bertujuan
untuk membaiki kelemahan pembelajaran murid. Pelaksanaan program ini melibatkan murid-murid lambat iaitu mereka yang
lembap atau lambat mencapai matlamat pembelajaran jika dibandingkan dengan murid-murid lain yang sebaya dengan
mereka. Oleh yang demikian, selaras dengan perkembangan dan kemajuan teknologi semasa, Teknologi Maklumat dan
Komunikasi (ICT) digunakan untuk membantu murid-murid ini dalam usaha untuk meningkatkan pencapaian akademik dan
memajukan diri seperti mana yang dicapai oleh Murid-Murid lain khususnya yang sebaya dengan mereka.

Kepentingan Internet Kepada Guru

Teknologi pengajaran adalah satu konsep pembelajaran yang mengaplikasikan kemajuan dan kemudahan teknologi semasa
dalam aktiviti pengajaran dan pembelejaran di dalam bilik darjah. Menurut Abdul Rahim Mohd Saad(1996), abad ke 21
mengundang pelbagai cabaran dan perubahan berkaitan dengan keperluan pendidikan dan latihan di sekolah, institusi
pengajian tinggi, industri dan sektor perdagangan. Kewujudan teknologi maklumat dan teknologi multimedia telah
meninggalkan impak yang kuat. Penggunaan internet adalah aktiviti pengajaran dan pembelajaran mampu memberikan banyak
manfaat kepada guru khususnya dalam mempengaruhi cara seseorang guru menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
Penggunaan internet ini juga mampu membentuk satu suasana pengajaran dan pembelajaran yang lebih efektif dalam
mencapai setiap matlamat dan objektif pengajaran dan pembelajaran yang telah dibentuk. Antara kelebihan penggunaan
internet dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran kepada guru adalah seperti mana yang berikut:-

o Mengubah Peringkat Membuat Keputusan : Kebiasaannya, penggunaan media dirancang semasa kurikulum dilaksanakan,
bukan semasa peringkat merancang dan menentukan kurikulum. Oleh itu terjadilah penggunaan media secara sesuka hati
tanpa berdasarkan perancangan yang sistematik. Dengan penerimaan teknologi pengajaran pada peringkat perancangan
kurikulum, perancang kurikulum dapat bekerjasama dengan pereka pengajaran untuk menentukan penggunaan teknologi
pengajaran dalam kurikulum sekolah. Cara ini akan lebih menjamin keberkesanan perlaksanaan pengajaran dan kurikulum yang
telah digariskan.

1
o Mengubah Sistem atau Pendekatan Pengajaran : Teknologi pengajaran boleh mempengaruhi sistem atau pendekatan proses
pengajaran dan pembelajaran. Ia boleh menukar sistem atau pendekatan pengajaran konvensional, menerima sistem
pembelajaran jarak jauh, sistem kelas terbuka atau sistem sekolah bebas. Teknologi pengajaran boleh mengubah cara
pengajaran dirancang dan disusun. Sebagai contoh, kurikulum pengajaran literasi komputer. Dalam perancangan pengajaran, ia
melibatkan penggunaan komputer, pembinaan pengetahuan melalui pembelajaran usaha sama, penyelesaian masalah dan
penggunaan strategi pembelajaran penguasaan. Penggunaan teknologi pengajaran terutamanya teknologi maklumat, mungkin
mengubah cara jadual waktu dirancang dan dilaksanakan di sekolah, maktab dan di universiti. Proses pengajaran dan
pembelajaran pula berpusatkan pelajar dan berasaskan pengetahuan dan maklumat. Guru hanya mengurus aktiviti
pembelajaran dan menyediakan sebanyak mungkin pengalaman dan pencarian maklumat menggunakan teknologi baru
untukpembelajaran. Pengenalan kepada jadual waktu anjal oleh KPM pada tahun 1993 memberikan fleksibiliti dalam
perancangan kurikulum dan strategi pengajaran. Ini membolehkan guru merancang pelajaran dengan lebih berkesan dan
memberi lebih masa bagi guru menyemak buku latihan dan menangani masalah pembelajaran, sedangkan jumlah waktu
mengajar adalah sama (Yusuf Hashim, 1998).

o Mengubah Pengalaman Pembelajaran : Tanggapan masa kini terhadap pengalaman pembelajaran terjadi bukan secara tidak
sengaja tetapi sengaja diadakan. Oleh itu, pengalaman ini perlu diadakan melalui perancangan yang rapi. Penggunaan atau
aplikasi teknologi pengajaran secara teratur boleh membantu setiap pelajar mendapat pengalaman pembelajaran yang khusus
(sudah tentu melalui proses tertentu) bagi menguasai sesuatu perkara.

Secara amnya, menyifatkan teknologi pengajaran sebagai satu bidang yang berusaha ke arah meningkatkan kualiti atau
keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Semenjak permulaan tercetusnya bidang ini, usaha ke arah ini jelas kelihatan.
Misalnya, pada tahun 1930an, penghasilan bahan-bahan visual seperti filem, gambar, slaid dan realia giat diadakan bagi
membantu guru dalam pengajaran di bilik darjah.

Implementasi PPBK Di Malaysia

Pengaplikasian penggunaan komputer dalam sistem pendidikan di Malaysia telah lama berlaku. Lebih dari itu, penggunaan
komputer ini tidak hanya terhad di peringkat pendidikan tinggi sahaja, malah turut mencakupi pendidikan pada peringkat
prasekolah. Pengunaan Cakera Padat Interaktif untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran, penggunaan talian internet untuk
tujuan capaian data dan pelbagai alat bantu mengajar yang lain telah menjadikan sistem pendidikan negara semakin
berkembang maju. Perubahan positif ini telah mendorong ramai penyelidik untuk melihat keberkesanan penggunaan komputer
dan teknologi maklumat ini dalam sistem pengajaran dan pembelajaran seperti mana yang akan dibincangkan kemudian.

Ashinida, Afendi dan Mohd. Shabri (2004) adalah antara penyelidik yang ingin melihat keberkesanan penggunaan Pembelajaran
Bahasa Berbantukan Komputer (PBBK) dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa asing. Kajian yang dijalankan mendapati
bahawa kesemua 40 respondan yang dikaji menyatakan bahawa program PPBK boleh membantu meningkatkan kemahiran
pelajar dalam Bahasa, menjimatkan masa dan tenaga semasa proses pengajaran dan pembelajaran berjalan serta memudahkan
pelaksanaan proses pengajaran guru. Sementara itu, 90 peratus daripada respondan yang dikaji juga menyatakan bahawa

2
program PPBK dapat meningkatkan mutu pengajaran guru dan pembelajaran murid. Statistik ini menunjukkan bahawa para
guru mempunyai persepsi yang sangat positif dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab dengan berbantukan komputer.
Statistik ini dapat dirumuskan seperti dalam jadual di bawah:-

Data yang ditunjukkan membuktikan bahawa persepsi guru terhadap pelaksanaan program ini amatlah baik dan galakan yang
diberikan menunjukkan pelaksanaan program ini sedikit sebanyak dapat membantu pelajar yang mengalami kesukaran dalam
memahami pendidikan Bahasa.

Walau bagaimanapun, pelaksanaan program ini tidak hanya terhad kepada pendidikan Bahasa semata-mata. Program yang
mempunyai potensi untuk meningkatkan keupayaan dan kemahiran murid-murid yang mempunyai tahap dan pencapaian
akademik yang rendah perlu diperluaskan penggunaannya khususnya terhadap murid-murid yang menerima pendidikan khas.
Rentetan daripada statistik yang ditunjukkan ini, pengkaji telah membuat keputusan untuk melihat keberkesanan prorgam
Pengajaran dan Pembelajaran Berbantukan Komputer dalam usaha untuk meningkatkan kemahiran membaca pelajar yang
menghadapi masalah menguasai aktiviti membaca. Hasil kajian yang akan dibentuk kelak adalah suatu yang perlu dikaji dengan
lebih mendalam sama ada pelaksanaan program ini dapat meningkatkan pencapaian dan kemahiran membaca pelajar yang
menghadapai masalah pembelajaran atau sebaliknya.

Dalam kajian yang dilakukan oleh Baharudin (2005) mendapati bahawa penggunaan teknologi dalam bilik darjah harus diberi
keutamaan bagi menghasilkan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Penggunaan alat beteknologi seperti komputer
dalam proses pembelajaran dan pengajaran adalah alternatif yang produktif dalam proses perpindahan maklumat dan
kemahiran. Selain itu, ekses guru dan pelajar dapat ditingkatkan melalui penggunaan komputer. Hal ini kerana penggunaan
komputer dapat meningkatkan penyerapan maklumat kerana ia melibatkan media grafik bergambar, video dan sistem
pemprosesan maklumat yang pantas dan teratur. Kelebihan ini membawa kepada pengatasian had masa dan ruang.

Walau bagaiamanapun, menurut kajian yang dilakukan oleh lapan orang pengkaji iaitu Rosen dan Weil (1995), Winnans dan
Brown (1992), Dupagne dan Krendl (1992) serta Hadley dan Sheingold (1993), walau begitu sekali canggihnya komputer, namun
ia perlu dilengkapkan dengan pelbagai perisian yang berguna seperti “hardware” dan “software” yang dapat membantu guru
meningkatkan kecekapan mereka dalam memaksimumkan proses memanipulasikan keupayaan komputer. Dengan ini,
keyakinan guru meningkat dan mudah bagi mereka untuk mencurahkan pengalaman mereka dan seterusnya membantu para
pelajar untuk bersedia menggunakan komputer.

Pendapat di atas disokong oleh seorang pengkaji yang bernama Pedretti (1999). Kajian yang dilakukan olehnya menunjukkan
bahawa guru yang bijak mengaplikasikan komputer mampu membuat pelbagai pembaharuan dalam menjalankan tugasnya
sebagai perantara keilmuan kepada sasarannya. Manakala Cox (1999) pula menyatakan bahawa guru-guru yang sering
menggunakan komputer dalam melaksanakan tanggungjawabnya mempunyai keyakinan yang tinggi dalam mengunakan ICT

3
dan lain-lain alat seperti projektor, LCT CD dan sebagainya. Hal ini adalah kerana mereka percaya bahawa penggunaan alat
berteknologi seperti itu dapat meningkatkan proses pembelajaran dan pengajaran menjadi lebih menarik, mudah dan lebih
seronok.

Seperti mana yang telah dinyatakan, teknologi pengajaran adalah satu konsep pengajaran dan pembelajaran yang menjadikan
kemudahan dan peralatan ICT sebagai salah satu medium utama dalam pelaksanaan aktiviti di dalam bilik darjah. Penggunaan
komputer, laptop, LCD projektor, cakera padat dan pelbagai elemen ICT lain dijadikan sebagai bahan bantu mengajar yang
dapat menarik dan meningkatkan kecenderungan pelajar untuk menjalankan sesuatu aktiviti pembelajaran. Melalui integrasi
ICT beberapa perubahan dan pendekatan proses pengajaran dan pembelajaran berlaku. Antaranya ialah perubahan fokus
daripada pengajaran berpusatkan guru kepada pengajaran berpusatkan pelajar. Dalam hal ini pelajar menjadi fokus kepada
aktiviti pembelajaran yang berorientasikan kepada proses penerokaan dan penemuan berdasarkan kepada teori
konstruktivisme. Bill Gates (1999), dalam bukunya Business @ The Speed of Thought yang menyatakan komputer peribadi
dapat mengubah kaedah pembelajaran tradisional yang memerlukan guru memberi arahan kepada pendekatan ‘hands on’ dan
menggunakan sepenuhnya sifat inkuiri yang ada dalam diri pelajar. Komputer peribadi membolehkan mereka meneroka
maklumat mengikut kapasiti masing-masing.

Satu kajian (Bahrudin, Mohamad Bilal & Muhammad Kasim 2001), menunjukkan bahawa ICT dapat membantu mengatasi
kelemahan pendidikan sains yang diajar secara tradisional serta penglibatan guru dalam penggunaan komputer secara lebih
produktif. Guru harus mengintegrasi kemahiran teknologi dan peluang pembelajaran secara konstruktivis untuk melihat
keberkesanan penggunaan teknologi. Peranan ICT dalam P&P akan membawa kepada kaedah-kaedah yang baru dan inovatif
dalam pembelajaran dan penilaian. Namun begitu kehadiran ICT sahaja tidak dapat membantu proses transformasi ini. Perkara
yang penting dalam integrasi ICT ialah setiap strategi itu harus menjurus kepada keperluan P&P dan sebagai satu cara untuk
guru dan pelajar menyelesaikan masalah semasa proses pembelajaran serta memperolehi hasil yang bertepatan dengan isi
kandungan.

Dalam keadaan ini terdapat peranan ICT dari segi meningkatkan mutu dan mempelbagaikan penyampaian dan pengajaran
melalui penggunaan internet, bahan-bahan multimedia disamping bahan pengajaran yang sedia ada. Bahan-bahan multimedia
interaktif dibangunkan dengan dengan menggunakan bahan visual grafik, teks, muzik, video serta animasi yang membantu
mengukuhkan lagi kefahaman pelajar terhadap sesuatu konsep. Penggunaan internet dapat menyediakan sumber yang begitu
luas kepada guru dan juga murid untuk meneroka, mencari bahan pengajaran atau rujukan serta penyelidikan. Melalui portal-
portal pendidikan yang disediakan sama ada portal tempatan atau luar, guru dan murid dapat memanafaatkan sebaik mungkin.
Portal pendidikan dapat memberi kefahaman yang lebih kepada murid-murid dalam sesuatu mata pelajaran contohnya dalam
eksperimen sains, guru hanya menunjukkan satu-satu eksperimen sekali sahaja tetapi melalui portal pendidikan mereka boleh
berulang kali mencubanya. Tambahan pula setiap bahan di dalam portal sentiasa dikemaskini dan murid mendapat banyak
bahan baru berbanding dengan buku teks yang diperbaharui lima tahun sekali.(Zalina Yahaya, 2001).

Melalui penggunaan komunikasi elektronik (e mail), net meeting, chat room dan sebagainya guru dan murid dapat bertukar-
tukar idea sesama sendiri atau dengan guru dan pelajar dari sekolah yang lain. Pertukaran maklumat dengan sekolah dari luar
negara akan lebih digalakkan memandangkan faedah dari segi meningkatkan komunikasi guru dan murid disamping mendapat
ilmu baru mengenai kebudayaan dan negara masing-masing. Melalui penggunaan ICT pelajar dapat menguasai pelbagai
kemahiran manipulatif seperti kemahiran pemprosesan perkataan, pangkalan data dan pembentangan dengan menggunakan
alat-alat teknologi. Kemahiran dan penguasaan dalam teknologi akan melahirkan pelajar yang lebih bersedia dan yakin untuk
memasuki alam pekerjaan.

4
Penggunaan ICT sebagai alat komunikasi merupakan serampang dua mata dalam perkongsian maklumat dan komunikasi. Guru
boleh mengambil peluang daripada keupayaan ini untuk menjalankan pembelajaran kolaboratif di dalam kelas. Kaedah ini
digunakan untuk membolehkan murid dan guru daripada lokasi yang berbeza menghantar, menerima dan berkongsi maklumat
dalam pelbagai bentuk elemen multimedia seperti teks, grafik, audio video dan animasi. ICT dalam P&P merupakan perkara
yang penting dan memerlukan sokongan serta usaha yang bersungguh-sungguh di antara pemimpin sekolah, guru, pelajar dan
semua pihak. Teknologi multimedia dan juga internet menyediakan satu kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berlainan
daripada kaedah pengajaran dan pembelajaran yang tradisi. Menerusi penggunaan teknologi moden ini, para pelajar dapat
menguasai sesuatu pembelajaran mengikut kaedah pembelajaran yang mereka minati dan gemari. Di samping itu, teknologi
maklumat dan Internet juga menyediakan kebolehan interaktiviti. Berikut merupakan antara kaedah pengajaran dan
pembelajaran berbantukan komputer.

Dalam melihat perkembangan positif yang berlaku dalam sistem pendidikan kebangsaan, kita juga perlu melihat sama ada
tenaga pendidik kini telah bersedia mengaplikasikan sepenuhnya penggunaan komputer dan teknologi maklumat dalam proses
pengajaran dan pembelajaran. Contohnya kajian yang dijalankan oleh Rosseni (2002) ke atas 40 orang guru. Kajian beliau
mendapati bahawa masih terdapat lagi di kalangan tenaga pendidik yang masih tidak tahu menggunakan cakera padat
interaktif (salah satu bahan banatu mengajar dalam pembelajaran berasaskan komputer) dalam pelaksanaan aktiviti pengajaran
dan pembelajaran. Daripada kajian beliau, sebanyak 42 peratus guru tersebut yang mempunyai tahap pengetahuan terhadap
penggunaan cakera padat yang rendah. Sementara itu, sebanyak 48 peratus daripadanya hanya tahu meneroka dan menilai
cakera padat untuk penggunaan pendidikan. Daripada hasil kajian yang dijalankan oleh Rosseni ini menunjukkan bahawa tahap
dan pengaplikasian cakera padat pendidikan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran masih berada pada tahap yang
rendah. Kebanyakan daripada pendidik ini hanya menggunakan buku teks sebagai asas utama dalam aktiviti pengajaran dan
pembelajaran mereka.

Dalam kajian yang dijalankan oleh Sathiamoorthy (2000) terhadap kemampuan mengurus inegrasi komputer di kalangan guru-
guru Sekolah Bestari, didapati bahawa sebanyak 9.8% daripada 205 guru yang dikaji tidak mempunyai kemampuan dalam
merancang integrasi komputer dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Keadaan ini menunjukkan bahawa kemampuan
dan kesediaan guru dalam menggunakan teknologi semasa seperti komputer, cakera padat dan seumpamanya berada pada
tahap yang tinggi.

Dalam pada itu, kajian yang dilakukan oleh Wan Noraini (2002) juga melihat kemahiran guru terhadap penggunaan komputer,
sebanyak 42% daripada 40 orang guru yang dikaji tidak mempunyai pengetahuan yang tinggi terhadap penguasaan dan
penggunaan teknologi CD/DVD dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Walaupun kadar ini tinggi, namun ramai
respondan yang tahu mengaplikasikan teknologi CD/DVD dalam menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

5
Kesimpulan

Kemajuan dan perkembangan yang pesat dalam bidang teknologi maklumat perlu dimanfaatkan sepenuhnya dalam melahirkan
masyarakat dan generasi yang berilmu pengetahuan dan bijak dalam mentadbir negara pada masa akan datang. Walaupun ada
pendapat yang mengatakan bahawa penggunaan komputer pada peringkat pendidikan awal adalah kurang perlu ekoran
daripada ketidak sediaan para pelajar menerimanya, namun pandangan seperti ini perlu diperbetulkan agar semua pihak sama
ada ibu bapa, penjaga, guru dan masyarakat secara keseluruhannya perlu melihat kepentingan penguasaan kemahiran ini pada
masa akan datang.

Anda mungkin juga menyukai