Anda di halaman 1dari 1

PENDEKATAN PSIKO-PENDIDIKAN DALAM MENINGKATKAN PENCAPAIAN

AKADEMIK PELAJAR ASRAMA DI DAERAH PEDALAMAN SARAWAK

Aizuddin Ghazali, Zuria Mahmud

Abstrak

Psikopendidikan merupakan salah satu cabang dalam kaunseling kelompok yang


menawarkan pelbagai maklumat dan informasi berkaitan pendidikan, vokasional, peribadi
dan lain-lain kepada semua ahli kelompok dalam usaha meningkatkan kesedaran serta
membimbing mereka untuk mengambil langkah yang terbaik bagi situasi yang sedang
dihadapi. Kajian ini membentangkan mengenai pengalaman pengkaji yang telah menjalankan
program psikopendidikan terhadap 7 orang murid tahun 6 di salah sebuah sekolah rendah di
kawasan pedalaman Sarawak. Pelajar-pelajar ini dipilih oleh Guru Besar sekolah tersebut
yang amat risau akan prestasi mereka dalam peperiksaan sebenar UPSR. Justeru beliau
mengharapkan dengan penglibatan murid-murid dalam program psikopendidikan yang
dijalankan oleh pengkaji, mereka dapat melengkapkan diri bagi menghadapi peperiksaan.
Program psikopendidikan ini mempunyai 6 modul yang dikendalikan dalam 6 sesi kelompok.
Modul-modul yang diketengahkan merangkumi aktiviti mengenal kekuatan diri,
menguruskan masa, mencari sumber inspirasi kejayaan, menyelesaikan ‘unfinished business’,
menstruktur jadual harian serta penetapan sasaran yang ingin dicapai. Sepanjang sesi ini
dijalankan pengkaji berjaya merekodkan cara pelajar menguruskan masa mereka,
mengenalpasti insan yang menjadi sumber kekuatan untuk menggapai kejayaan, seterusnya
kebolehan mereka untuk mengatur strategi bagi memaksimumkan pencapaian dalam
akademik. Di akhir program, semua pelajar menyatakan penglibatan mereka dalam program
psikopendidikan berjaya mengubah cara berfikir dan lebih yakin dengan potensi diri mereka
untuk mencapai kejayaan dalam hidup. Dalam peperiksaan sebenar UPSR, 6 orang pelajar
yang mengikuti program ini telah mendapat keputusan lulus penuh dan seorang pelajar hanya
gagal dalam 1 matapelajaran berbanding keputusan mereka sebelum mengikuti program ini.

Kata Kunci : Psikopendidikan, Kaunseling Kelompok, UPSR

Anda mungkin juga menyukai