Anda di halaman 1dari 3

Tak Perlu Tutup Matrikulasi

SEJAK pentadbiran kerajaan diambil alih Pakatan Harapan (PH), pelbagai reformasi
dasar-dasar negara telah dan sedang dijalankan. Kesemuanya dilaksanakan atas
justifikasi merealisasikan manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Ada dasar yang
baik, ada juga dasar yang perlu ditambahbaik. Sebagai contoh, rakyat menyokong usaha
membanteras gejala rasuah dan salah guna kuasa.

Selain itu, rakyat begitu teruja dengan dasar-dasar yang begitu dekat dengan rakyat,
terutamanya bidang pendidikan. Di bawah kepimpinan Dr. Maszlee Malik, Kementerian
Pendidikan mengumumkan pelbagai inisiatif untuk mereformasi sistem pendidikan
negara. Antaranya meningkatkan kualiti pendidikan, meningkatkan prasarana pendidikan,
mengurangkan beban kerja pendidik, meningkatkan nilai-nilai kemanusiaan dalam
pendidikan, mempromosi Pendidikan dan Latihan Vokasional (TVET) dan komited
menjayakan gagasan kebebasan akademik, termasuk meminda Akta Universiti dan Kolej
Universiti 1971 (AUKU).

Dalam konteks ini, kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menarik
perhatian. Menurutnya, sistem pendidikan negara kini berada dalam landasan yang betul.
Maknanya sistem pendidikan tidak perlu diubah kecuali menambah baik sistem
penyampaian awam di peringkat sekolah dan pendidikan tinggi.

Pada masa kini, kewujudan pusat matrikulasi dijadikan isu oleh sesetengah pemimpin
sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang. Ada suara-suara sumbang yang
mencadangkan agar pusat matrikulasi ditutup. Pelbagai sebab dikemukakan. Ramai
generasi masa kini lupa tentang ‘pasak negara’ dalam pembentukan negara bangsa
termasuk sengaja tidak memahami dan menghayati Perlembagaan Persekutuan.

Hakikatnya, kewujudan pusat matrikulasi atau pusat asasi di seluruh negara bertujuan
mempersiapkan pelajar memasuki pendidikan tinggi negara. Hal ini disebabkan
pembelajaran di peringkat pendidikan tinggi amatlah mencabar. Justeru, kepimpinan
terdahulu, termasuk Dr. Mahathir sendiri yang pernah menerajui Kementerian Pendidikan,
berusaha dan memerah fikiran untuk menjayakan sistem pendidikan tinggi negara.

Pada 1991, Dr. Mahathir menggariskan sembilan cabaran dalam menjayakan Wawasan
2020. Antara cabaran itu, meningkatkan pendidikan dalam kalangan rakyat. Selain itu,
beliau berusaha melahirkan masyarakat saintifik, berdaya maju, kreatif dan inovatif. Oleh
itu beliau memperbanyakkan penubuhan universiti berteraskan sains, teknologi dan
kejuruteraan di seluruh negara.

Selain wujudnya pusat matrikulasi dan pusat asasi, sesetengah universiti menawarkan
program akademik di peringkat diploma. Program ini bertujuan membangunkan modal
insan secara berperingkat mengikut tahap keupayaan pelajar. Apatah lagi sekiranya
program yang ditawarkan begitu sukar dan mencabar terutamanya dalam bidang sains,
teknologi dan kejuruteraan serta sains perubatan. Universiti Teknologi Mara (UiTM)-
dahulu dikenali sebagai Institut Latihan RIDA dan Institut Teknologi Mara (ITM) dan UTM
(dahulu dikenali sebagai Maktab Teknik dan Institut Teknologi Kebangsaan) sebagai
contoh, telah melahirkan graduan hebat dalam pelbagai bidang profesional.

Kita wajar mengambil pengajaran daripada sejarah negara. Sejarah pembangunan negara
bermula dengan kesusahan dan kemiskinan dalam kalangan majoriti rakyat khususnya
orang Melayu. Kesenjangan ekonomi begitu ketara dalam kalangan rakyat pelbagai
bangsa, bandar dengan luar bandar, antara negeri dan wilayah. Sehubungan itu,
kepimpinan negara melaksanakan dasar-dasar yang strategik untuk membangunkan
ekonomi berpusatkan sistem pendidikan negara. Justeru, Dasar Ekonomi Baru
(1970-1990) dan Dasar Pembangunan Nasional (1990-2020) turut memasukkan agenda
pendidikan nasional untuk membangunkan negara secara inklusif dan holistik.

Dalam pada itu, rakyat negara ini sepatutnya menghayati Perlembagaan Persekutuan
yang merupakan tiang seri kenegaraan. Perlembagaan Persekutuan adalah dokumen
tertinggi yang sewajarnya menjadi rujukan dalam pembinaan negara bangsa yang
bersatu. Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan menyebutkan adalah menjadi
tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk menjaga hak-hak istimewa orang Melayu,
termasuklah bidang pendidikan.

Perkara pokok ini sengaja dilupakan oleh sesetengah pihak apabila mengemukakan
cadangan mengikut cita rasa masing-masing. Kewujudan dasar pendidikan vernakular
menggambarkan konsensus dalam kalangan rakyat berbilang bangsa, walaupun Perkara
152 Perlembagaan Persekutuan memaktubkan bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan. Dalam pada itu, Laporan Razak misalnya memberi ruang yang besar bagi
pelaksanaan pendidikan vernakular tetapi perlu menggunakan kurikulum yang sama
untuk mewujudkan perpaduan dan integrasi nasional dalam kalangan rakyat Malaysia.

Dasar Kementerian Pendidikan bukanlah rigid. Kementerian turut melaksanakan dasar


fleksibel untuk membolehkan lebih ramai kemasukan pelajar bukan bumiputera dalam
Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Sekolah Berasrama Penuh (SBP), pusat matrikulasi
dan UiTM. Sebagai contoh, selepas memenangi PRU Ke-14, Menteri Pendidikan
mengumumkan pertambahan bilangan pelajar bukan bumiputera dalam pusat matrikulasi
di seluruh negara.

Sistem pendidikan negara juga mengalami perubahan ketara mulai 2003. Kementerian
Pendidikan melaksanakan dasar pembelajaran dan pengajaran subjek sains dan
matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Dalam konteks ini, kesemua pelajar termasuk
kaum Melayu terpaksa menyesuaikan diri untuk membolehkan mereka menguasai bahasa
Inggeris bagi meneruskan pengajian di peringkat pendidikan tinggi. Jelas yang rakyat
boleh menerima dasar pendidikan walaupun perlu menempuh dengan pelbagai cabaran.

Sejarah pendidikan tinggi mengalami perubahan besar pada 1996 apabila Akta
Pendidikan diluluskan di Parlimen. Kesannya, institusi pengajian tinggi swasta (IPTS)
dibuka seluas-luasnya di negara ini untuk membolehkan rakyat mendapat akses dalam
pendidikan tinggi. Selain itu, ia juga bertujuan menjadikan Malaysia sebagai hab
pendidikan global di Asia Tenggara. Hakikatnya, penubuhan IPTS menyebabkan bahasa
Inggeris dan Mandarin semakin berkembang penggunaannya di peringkat pendidikan
tinggi. Bahasa Melayu tidak mendapat tempat di IPTS. Pelajar Melayu terpaksa `bergelut’
di IPTS dengan kadar bayaran yuran yang tinggi.

Berdasarkan beberapa fakta tentang sistem pendidikan negara, tiada keperluan untuk
Kementerian Pendidikan melayan tuntutan sesetengah pihak yang mahu menutup pusat
matrikulasi atau asasi. Apa yang lebih penting, menambah baik pelbagai aspek di pusat
matrikulasi termasuk penawaran bidang akademik, meningkatkan kualiti pendidikan,
menambah baik prasarana pendidikan dan mengutamakan kebajikan kakitangannya.
Rakyat mahu kerajaan melaksanakan suatu dasar pendidikan yang terbaik, khususnya
selepas PRU Ke-14.

* Prof. Madya Dr. Kassim Thukiman ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Sosial dan
Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Anda mungkin juga menyukai