Anda di halaman 1dari 3

Tak Campur Tangan Tetapi Pelawa

Saifulizam Mohamad - Utusan Malaysia

Keterlaluan! Itu sahaja ungkapan yang paling sesuai digunakan terhadap sebarang usaha yang cuba
melibatkan pihak bukan Islam mengkaji semula sukatan subjek Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan.

Apa rasionalnya usaha ini dilakukan dengan merujuk kepada entri awal Facebook milik Timbalan Menteri
Pendidikan, Teo Nie Ching berhubung perkara tersebut. Bagaimanapun entri itu kemudiannya
dipadamkan selepas mendapat keceman pelbagai pihak.

Dalam entrinya itu, Nie Ching mengalu-alukan semua pihak tanpa mengira agama dan bangsa
mengemukakan sebarang cadangan untuk tujuan penambahbaikan subjek tersebut kepada Pasukan
Petugas Khas Pendidikan Islam (PPKPI).

Ekoran daripada entri berkenaan, pelbagai pihak terdiri daripada parti politik, ahli akademik, pertubuhan
bukan kerajaan (NGO), individu dan netizen termasuk mufti mempersoalkannya kerana langkah itu
dilihat cuba memberi ruang kepada pihak bukan Islam mencampuri hal ehwal orang Islam.

Seperti mana kata Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria adalah sangat tidak wajar untuk kerajaan
membuka ruang kepada semua pihak tanpa mengira agama dalam memberi pandangan mengenai mata
pelajaran Pendidikan Islam.
“Perkara ini bercanggah kerana mengikut tradisi dan falsafah Pendidikan Islam, ia adalah bersumberkan
hukum daripada al-Quran dan as-Sunnah serta sumber-sumber yang disepakati oleh para ulama.
“Jika penglibatan orang bukan Islam dalam cadangan penambahbaikan tersebut dibenarkan, dikhuatiri ia
akan menimbulkan lebih banyak pertentangan pendapat berhubung ajaran Islam sebenar,” katanya dalam
satu kenyataan, baru-baru ini.

Apa yang ditegaskan oleh Mufti Perak itu ada asasnya dan ada benarnya. Ini memandangkan dalam Islam
terdapat disiplin ilmu dan hukum yang wajib dipatuhi dengan berlandaskan al-Quran, as-Sunnah, Qiyas
dan Ijmak Ulama.

Malah sebarang campur tangan daripada pihak yang tidak tahu asas tentang Islam, tidak arif tentang
hukum Islam, tidak mahir tentang selok belok agama Islam hanya akan merosakkan kesucian agama itu
sendiri.

Justeru, sebarang usaha melibatkan pihak bukan Islam untuk menambah baik pendidikan Islam yang kini
sedang dikendalikan oleh PPKPI hendaklah dihalang. Ini bukan platformnya untuk mana-mana pihak
bukan Islam melakukan uji kaji.

Mereka sememangnya tidak berhak diberi ruang walaupun sedikit kerana sebarang perkara berkaitan
dengan Pendidikan Islam tanggungjawabnya terletak di atas batu jemala orang Islam. Sepatutnya semua
pihak dalam Kementerian Pendidikan perlu peka memandangkan segala urusan dan hal ehwal agama
Islam adalah sesuatu yang amat sensitif.

Bak kata Pengerusi Keilmuan Nasional, Zambri Mohd. Isa, yang disentuh ini adalah subjek Pendidikan
Islam, bukan Sejarah, Geografi atau mana-mana subjek lain. Sewajarnya Kementerian Pendidikan hanya
menerima cadangan daripada mereka yang benar-benar berilmu dengan subjek ini, ujar Zambri

Dalam hal ini Nie Ching seharusnya sedar akan kesan kenyataan seumpama itu. Ungkapan `menjemput
individu, kumpulan dan institusi tanpa mengira agama dan bangsa untuk berkongsi isu dan cabaran serta
mengemukakan cadangan untuk menambah baik dan membawa kemajuan kepada Pendidikan Islam
melalui tinjauan ini pada pautan yang tertera di bawah’ hanya akan mengundang kemarahan umat Islam
negara ini . Seolah-olah pihak bukan Islam diberi mandat untuk menambah baik subjek berkenaan. Ini
sesuatu yang tidak boleh diterima.

Ini bukan soal fitnah tetapi persoalan tentang rasionalnya pelawaan itu. Lagipun ungkapan ini terang-
terang disebut dalam entri awal Facebook Nie Ching sebelum beliau bertindak memadamkannya.

Apapun banyak iktibar yang boleh diambil terhadap perkara yang berlaku itu. Pertama, adakah kerajaan
Pakatan Harapan benar-benar memelihara Islam? Kedua, adakah sudah terbit bibit-bibit `keberanian’
pihak bukan Islam cuba mencampuri hal ehwal Islam? Ketiga, adakah ini kesan daripada perpecahan umat
Islam negara?

Sukar juga untuk ditelah sebab-musabab pelawaan itu dibuat. Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik
baru-baru ini menegaskan, tidak timbul isu Nie Ching mencampuri urusan mata pelajaran Pendidikan
Islam Sekolah Kebangsaan seperti yang ditularkan dalam media sosial, baru-baru ini.
Kata Maszlee, Nie Ching hanya berkongsi maklumat mengenai inisiatif yang dilaksanakan Majlis
Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) berhubung cadangan penambahbaikan mata pelajaran tersebut
di sekolah.
Cuma penulis ingin bertanya, bagaimana pula status jemputan itu? Adakah pelawaan ini masih relevan
atau beliau memang tidak kisah?

Anda mungkin juga menyukai