Anda di halaman 1dari 4

Turki: Perjuangan, Pengharapan

SAFWAN SAPARUDIN

PERTEMUAN eksklusif penulis dengan Merve Kavakcı di Kuala Lumpur barubaru ini.

TANGGAL 15 Julai 2016 nyaris-nyaris meragut demokrasi di Republik Turki. Peristiwa hitam
tersebut diingati rakyat Turki saban tahun dengan perasaan bercampur baur antara sedih, marah
dan syukur. Tahun ini rakyat Turki menyambut ulang tahunnya ketiga bagi memperingati
kegagalan cubaan rampasan kuasa yang telah mengorbankan darah rakyat Turki sendiri. Turki
mengiktiraf tarikh tersebut sebagai hari kemenangan rakyat.

Dalam peristiwa tersebut, lebih 251 rakyat awam terkorban, ribuan cedera akibat ditembak dan
bertarung dengan kereta kebal dan tentera bersenjata. Bangunan parlimen, balai polis, kawasan
istana presiden menjadi sasaran bom. Pusat media TRT dan lapangan terbang dirampas. Nyawa
presiden juga nyaris melayang. Hulusi Akar, jeneral angkatan tentera sendiri telah diculik. Malam
itu, suasana persis peperangan yang menyaksikan bedilan jet F-16 menyasarkan rakyat awam
dan bangunan rasmi kerajaan.

Melalui aplikasi Facetime, Erdogan menyeru rakyat Turki turun ke jalan raya dan melawan
pengkhianatan tersebut. Rakyat keluar beramai-ramai ke jalanan dengan bersenjatakan tubuh
badan mereka. Ada yang berbaring di hadapan kereta kebal dan berjaya melumpuhkan kawalan
tentera. Sebahagiannya berjaya ‘menumpaskan’ psikologi tentera pengkhianat agar menyerah
diri. Azan berkumandang dari masjid ke masjid di bumi Istanbul dan Ankara. Suasana yang amat
mendebarkan. Namun, malam itu darah rakyat mengalir di jalan raya. Ramai yang gugur syahid
mempertahankan negara.

Pengkhianatan ini merupakan dosa besar terhadap negara. Jenayah menjatuhkan negara secara
paksa dengan membunuh manusia yang tidak bersalah tidak dapat dikompromi dan wajib diadili
dengan hukuman yang setimpal kerana ribuan nyawa rakyat telah diperjudikan.

Peristiwa ini sebenarnya satu peringatan dan pengajaran besar kepada semua agar sentiasa
berusaha mempertahankan kedaulatan negara dan sistem demokrasi yang menjamin kepentingan
rakyat.

TURKI PASCA AKP


Dalam persaingan kuasa antara kumpulan politik di Turki, tahun 2002 tiba giliran AKP memerintah
dengan kejayaan majoriti besar di luar jangkaan. Parti AKP yang sinonim dengan pendekatan
mesra-Islam, progresif dan profesional telah banyak merubah wajah Turki.

Dalam tempoh 10 tahun, Turki berjaya mengubah imej lebih moden, bersih dan berkebajikan.
Ekonomi Turki pesat membangun khususnya tahun 2010-2011 yang mencatatkan prestasi paling
memberangsangkan. Peranan Turki juga amat berpengaruh di Asia Barat dan Afrika khususnya
melalui usaha bantuan pembangunan sosial dan ekonomi di rantau tersebut.

Sepanjang zaman AKP juga Turki turut dilanda ujian besar terutamanya ancaman terorisme
daripada kumpulan teroris Kurdistan PKK, isu pelarian Syria, kelembapan ekonomi dan cubaan
kudeta.

Dalam tempoh 17 tahun tersebut juga, politik dalaman Turki menempuhi banyak fasa yang amat
kritikal khususnya perubahan sistem presidensial yang dilihat sebagai percubaan mengukuhkan
kuasa Erdoğan.

Ramai menyifatkan langkah Erdoğan tersebut satu risiko yang terlalu besar. Rakyat Turki sendiri
telah bersuara melalui beberapa siri pilihan raya yang menampakkan sokongan kepada kerajaan
kini semakin menyusut. Ini dapat dilihat dalam pilihan raya datuk bandar bulan Jun yang lalu
apabila bandar besar seperti Istanbul dan Ankara jatuh ke tangan CHP.

Pertarungan kuasa di Turki juga semakin rancak. Kesan dalaman juga mempengaruhi sokongan
dikalangan kumpulan-kumpulan dalam AKP. Kocakan dalaman akibat kritikan terbuka Ahmet
Davutoglu serta khabar angin Ali Babacan dan Abdullah Gul yang dijangka menubuhkan gerakan
politik baru juga bertiup kencang.

PENCAPAIAN ANTARABANGSA
Dalam pada itu, nama Turki semakin disegani melalui dasar diplomasi kemanusiaan dan
kerjasama pembangunan. Usaha menerajui isu kemanusiaan dan keamanan sejagat khususnya
penyelesaian isu Syria melalui kerjasama Iran-Rusia-Turki dan perjanjian pengurusan pelarian
Turki-EU, bantuan kemanusiaan untuk 2.5 juta pelarian Syria di Turki dan pembangunan ke
negara-negara miskin telah meletakkan Turki sebagai negara contoh.

Dalam satu pertemuan eksklusif penulis dengan Dr. Merve Kavakcı (Duta Besar Turki ke Malaysia),
beliau menegaskan keyakinannya kepada Soft Power Turki. Menurutnya, dasar luar Turki telah
melalui satu anjakan paradigma, daripada hanya bersikap reactor dan hanya mengikut (tag along)
kepada sikap yang lebih proaktif dan memimpin dalam menyebarkan nilai kemanusiaan
khususnya negara yang ditimpa bencana dan kemunduran. “...Turkey is becoming an influencer,
leader, initiater and agenda-setter...in international politics,” ulas beliau.

Dr. Merve yang merupakan bekas profesor sains politik di Georgetown University mengulas
bahawa sejak tahun 2002 kita mula menjana pendekatan baru tentang cara kita melihat
kemiskinan, kedaifan dan kemaslahatan dunia.

Menurut beliau lagi, diplomasi kemanusiaan Turki melalui agensi pembangunannya, Agensi
Kerjasama dan Koordinasi Antarabangsa (TIKA) telah mengangkat satu standard dalam hubungan
antarabangsa.

Turki berusaha untuk memberi nilai semula kepada konsep (reconceptualize) dan meletakkan
konteks baharu (recontextualize) kepimpinan nenek moyang mereka pada zaman Uthmaniyah. Ia
bukan New Ottomanisme seperti yang dituduh oleh ramai pihak kerana Turki tidak berniat untuk
menjajah ala ala Neo-Kolonisme dan imperialis. “All our counterparts comprehend that our help is
no string attached. We don’t do that..,” tegasnya.

Beliau mengatakan bantuan dan pengaruh yang dijana tersebut bertujuan menyebarkan nilai
universal yang diajarkan oleh Islam. Ini telah ditunjukkan oleh nenek moyang mereka seperti
Sultan Bayezid II yang menawarkan perlindungan kepada umat Islam, Yahudi dan Kristian yang
dihalau keluar dan dizalimi oleh Ferdinand Magellan dan Ratu Isabella dari bumi Andalusia,
selepas Reconquista tahun 1492.

SOFT POWER
Kesimpulannya, Turki telah melalui beberapa fasa kritikal dan persimpangan dalam
mempertahankan demokrasi, kedaulatan negara, ancaman keselamatan dan serangan ekonomi.
Ujian kepimpinan juga terus menerus menjadi satu ‘permainan’ dan ‘makanan’ harian kerana
banyak faktor, kepentingan dan dorongan.

Malaysia sebagai sebuah negara membangun wajar memperkemaskan pembangunan dalam


semua sektor dan berusaha menghayati nilai universal seperti rahmah, kemanusiaan dan
keamanan sejagat melalui dasar-dasar yang berkesan dan pendekatan “penyelesaian terbaik”.
Penulis yakin kerajaan, badan bukan kerajaan, sektor swasta dan rakyat wajar menebarkan Soft
Power mengikut acuan Malaysia.

Penulis ingin menzahirkan penghargaan kepada Duta Turki kerana sudi menerima kunjungan
penulis. Susuk wanita besi inilah yang pernah dihalau daripada Parlimen pada tahun 1999 kerana
berhijab. Ketika usianya 30 tahun beliau telah bangkit menyatakan keyakinannya
mempertahankan kebebasan beragama, mengamalkan Islam dan budaya dalam sebuah negara
yang moden dan demokratik. Beliau satu anugerah istimewa kepada dunia.

PENULIS  ialah pelajar sains politik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan pengasas
Euromates.

Anda mungkin juga menyukai