Anda di halaman 1dari 9

BAHASA DARI PERSPEKTIF AL-QURAN

Mustafa Daud (UUM)


Munif Zarirrudin Fikri Nordin (UUM)

PENDAHULUAN
BAHASA adalah wahana tamadun. Dalam konteks tamadun Islam, wahana terawal
yang mengungkapkan segala aspek ketamadunannya ialah bahasa Arab atas sifatnya
sebagai bahasa al-Quran. Pemilihan bahasa Arab sebagai bahasa kitab suci yang
terakhir memperlihatkan kekuatan dan keupayaannya sebagai bahasa agama yang
saintifik, rasional, dan bersifat ilmu pengetahuan (Syed Naquib 1972: 37). Pemilihan
bahasa Arab perlu juga dianggap sebagai simbol kelahiran serta kemantapan bahasa-
bahasa lain yang turut menyumbangkan peranan yang besar dan penting ke arah
pembinaan dan perkembangan tamadun Islam di seluruh pelosok dunia termasuklah
bahasa Melayu di Nusantara.

Ibnu Khaldun (1331-1406M) menerusi karya agungnya Muqaddimah Ibni Khaldun


meletakkan syarat bahawa kekuatan tamadun Islam hanya akan dapat disaksikan
apabila penggunaan bahasa dijadikan sebagai "syiar agama" (t.t.: 420) dan dalam
konteks ini, bahasa yang dimaksudkan beliau ialah bahasa Arab. Kekuatan bahasa itu
sekali gus menjadi kekuatan kepada aspek-aspek lain yang akhirnya menghasilkan
pula kekuatan kepada tamadun tersebut itu sendiri. Itulah yang berlaku kepada
tamadun Islam.

Makalah ini mengandungi lima bahagian. Bahagian pertama membincangkan definisi


bahasa yang diperjuangkan oleh al-Quran. Bahagian kedua membicarakan unsur-
unsur bahasa yang diketengahkan oleh al-Quran. Bahagian ketiga memaparkan
metodologi al-Quran dalam meletakkan konsep asas bahasa dan linguistik seperti
retorik, sosiolinguistik, psikolinguistik, komunikasi, dan sebagainya. Bahagian
keempat mengupas gagasan nilai dalam bahasa yang diterapkan oleh al-Quran.
Manakala bahagian terakhir pula merumuskan sumbangan al-Quran terhadap bahasa-
bahasa yang menerima pengaruh Islam.

DEFINISI BAHASA
MENURUT Imil Badi (1986:13), tidak ada definisi mutlak bagi bahasa.
Ahli-ahli bahasa sendiri tidak dapat menentukan definisi tunggal bagi bahasa kerana
luasnya perkaitan antara disiplin bahasa dengan disiplin lain seperti psikologi,
sosiologi, mantik, falsafah, biologi, dan berbagai-bagai disiplin lagi. Kesemua disiplin
tersebut melihat bahasa dari perspektif yang berbeza mengikut metodologi masing-
masing.

Namun begitu, secara amnya, bahasa dapatlah diertikan sebagai satu sistem
komunikasi manusia yang terdiri daripada bunyi-bunyi berstruktur (atau yang
bertulis) kepada unit yang lebih besar seperti morfem, perkataan, ayat (Richards, Platt
& Platt 1992:196) yang dihasilkan oleh organ pertuturan untuk membolehkan
manusia berinteraksi antara satu sama lain (Anis:1973:14). Inilah juga definisi yang
dikemukakan oleh al-Quran menerusi ayat yang bermaksud:

"Tidakkah engkau lihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu


perbandingan, iaitu kalimah yang baik adalah sebagai batang pokok yang baik, yang
pangkalnya (akar tunjangnya) tetap dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Ia
mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah
membuat perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat dan
mendapat pelajaran".

(Surah Ibrahim: 24-25)

Hamka dalam tafsiran ayat ini berpendapat bahawa al-Quran menganjurkan supaya
manusia menggunakan keupayaan berbahasa yang dianugerahi Allah berdasarkan
ketentuan aqidah, syarak, dan akhlak yang bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah.
Bahasa seharusnya digunakan untuk meningkatkan keimanan, ketaqwaan, dan amal
saleh. Bahasa yang dapat mencapai matlamat tadi diibaratkan sebagai tanah yang
subur dan benih yang baik, apabila ditanam menumbuhkan pohon yang rendang dan
buah yang ranum, memberi manfaat dan kebaikan kepada manusia dan haiwan.
Sebagai tempat berteduh dan berlindung ketika panas dan menghilangkan lapar dan
dahaga dengan buah yang ranum dan manis (Hamka 1983: 138-42).

Dalam erti kata lain, bahasa yang baik lagi bernilai terhasil daripada budi dan sopan
santun serta bertitik tolak daripada keimanan, ketaqwaan, dan amal saleh yang
akhirnya membawa keamanan dan menghasilkan kesejahteraan kepada kehidupan
manusia di dunia dan di akhirat. Inilah konsep bahasa yang diperjuangkan oleh Islam.

Dari perspektif falsafah bahasa, definisi, dan konsep ini menyingkap hubungan antara
bahasa dengan ilmu pengetahuan manusia, proses berfikir, pandangan semesta, dan
realiti kewujudan serta kehidupan manusia. Pada peringkat ini, bahasa dapat
disifatkan sebagai wahana utama bagi menjana segala kegiatan manusia baik
perhubungan, pengucapan, perakaman mahupun perwarisan dalam tamadun manusia
(Hashim:1994: xi).

Untuk meninjau kedudukan dan keupayaan al-Quran sebagai sumber bahasa, definisi
al-Quran akan diteliti terlebih dahulu. Menurut definisi yang disepakati oleh jumhur
ulamak dan ahli usul (Muhammad Ali al-Sabuni 1988: 12) al-Quran ialah:

"Kalam Allah yang penuh mukjizat diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. melalui
perantaraan Malaikat Jibril a.s., ditulis dalam mashaf, diturunkan secara beransur-
ansur, pembacaannya adalah ibarat, bermula dengan surah al-Fatihah dan diakhiri
dengan surah al-Nas".

Al-Quran dapat digambarkan sebagai sebuah bahasa yang bersifat rabbani. Banyak
sekali perkataan yang digunakan oleh Allah s.w.t. bagi menjelaskan bahawa al-Quran
adalah sebuah bahasa. Malahan perkataan "al-Quran" itu sendiri yang bermakna
"bacaan" disifatkan sebagai bahasa kerana sesuatu yang menjadi bahan bacaan pasti
mempunyai sistem-sistem bahasa agar dapat difahami oleh pembacanya (lihat surah
al-Qiyamah:17-1. Begitu juga halnya dengan perkataan lain seperti al-Kitab, al-
Furqan, dan al-Zikr. Al-Kitab bererti buku, al-Furqan bermakna pembeza antara hak
dengan yang batil sementara al-Zikr bermaksud peringatan. Daripada ketiga-tiga
sinonim tersebut, nyata sekali bahawa keupayaan dan kekuatan al-Quran
direalisasikan oleh satu sistem bahasa yang mantap, saintifik lagi rasional.
UNSUR BAHASA MENURUT AL-QURAN

AL-QURAN mengemukakan berbagai-bagai unsur bahasa. Kepelbagaian ini


membawa kepada lahirnya berbagai-bagai tasawwur tentang bahasa seperti yang
dibincangkan dalam bahagian definisi. Antara unsur bahasa yang diketengahkan oleh
al-Quran termasuklah:

Bahasa adalah alat mengenal Tuhan berdasarkan ayat pertama yang bermaksud:
"Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhan Yang menciptakan". (Surah al-'Alaq: 1)

Bahasa adalah ilmu yang diajarkan oleh Allah s.w.t. berdasarkan ayat yang
bermaksud:
"Dan Dia mengajarkan kepada Adam nama-nama (perkataan-perkataan) seluruhnya,
kemudian mengemukakannya kepada para Malaikat lalu berfirman: "Sebutkanlah
kepada-Ku nama-nama itu jika kamu memang orang-orang yang benar". (Surah al-
Baqarah: 31)

Bahasa adalah lambang kesempurnaan kejadian manusia berdasarkan ayat yang


bermaksud:
"Sesungguhnya Kami telah mencipta manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya".
(Surah al-Tin: 4)

Bahasa adalah alat untuk menusia beribadat kepada Allah berdasarkan ayat yang
bermaksud:
"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka
menyembahKu". (Surah al-Zariyat: 56)

Bahasa adalah alat interaksi manusia berdasarkan ayat yang bermaksud:


"Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan
seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku
supaya kamu saling kenal mengenal". (Surah al-Hujurat: 13)

Bahasa adalah alat manusia berfikir berdasarkan ayat yang bermaksud:


"Sesungguhnya Kami menurunkannya berupa al-Quran dengan berbahasa Arab agar
kamu berfikir".
(Surah Yusuf: 2)

Bahasa bukti kekuasaan Tuhan dalam mencipta organ pertuturan manusia berdasarkan
ayat yang bermaksud:
"... dan Dia menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati (tetapi) kamu
sedikit sekali bersyukur". (Surah al-Sajadah: 9)

Bahasa adalah media kehidupan bersosial berdasarkan ayat yang bermaksud:


"(Menolak peminta-peminta sedekah) dengan perkataan yang baik dan memaafkan
(kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi
(dengan perbuatan atau perkataan) yang menyakitkan hati. Dan (ingatlah) Allah Maha
Kaya lagi Maha Penyantun".
(Surat al-Baqarah: 263)

Bahasa adalah media dakwah berdasarkan ayat yang bermaksud:


"Serulah ke jalan Tuhanmu dengan penuh hikmah (perkataan yang tegas dan benar
yang dapat membezakan antara yang hak dengan yang batil) dan peringatan (dengan
cara) yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang terbaik". (Surah al-Nahl:
125)

METODOLOGI BAHASA DAN LINGUISTIK

DARIPADA kaca mata Islam, manusia dicipta oleh Allah s.w.t. (lihat surah al-
Mukminun: 12 & 13). Tujuan penciptaan manusia ialah supaya manusia mengenali
Allah s.w.t. sebagai Tuhan dan mengabdikan diri kepada-Nya (lihat surah al-Zariyat:
56). Untuk menyempurnakan pengabdian atau peribadatan ini, Allah s.w.t. tidak
menjadikan manusia secara sia-sia (lihat surah al-Mukminun: 115) bahkan
membekalkan manusia organ-organ bahasa agar manusia berinteraksi dengan-Nya
dan juga agar manusia berinteraksi dengan manusia serta alam (lihat surah al-Sajadah:
9).

Matlamat "ibadat" kepada Allah s.w.t. inilah yang menjadi dasar kepada metodologi
bahasa dan linguistik yang akan dibincangkan dalam bahagian ini. Allah s.w.t. telah
membayangkan satu gagasan metodologi yang menjadi tunjang kekuatan al-Quran
menerusi firman-Nya:

"Dan Kami turunkan daripada al-Quran itu suatu yang menjadi penawar dan rahmat
bagi orang-orang yang beriman". (Surah al-Isra': 82)

Metodologi bermakna kaedah saintifik yang digunakan dalam mengendalikan sesuatu


perkara, termasuk juga dalam pengumpulan dan penganalisisan data. Dalam hal ini,
prinsip metodologi yang dikemukakan oleh al-Quran ialah prinsip yang menjadi
penawar dan pembawa rahmat kepada segala isi alam. Oleh itu, metodologi yang
digunakan dalam al-Quran ialah metodologi yang dapat memenuhi keperluan asas
komunikasi manusia-Allah s.w.t. dan manusia-alam dalam ruang lingkup
makrolinguistik yang serba luas skopnya seperti psikolinguistik, sosiolinguistik,
komunikasi, retorik, dan kognisi melalui satu sistem dalam konteks bahasa dan
linguistik khasnya. Akhirnya metodologi ini menuju matlamat menjadikan manusia
mengenali dan mengabdikan dirinya kepada Allah s.w.t.

Dari satu sudut yang lain, metodologi bahasa yang diketengahkan oleh al-Quran turut
menggunakan pendekatan berasaskan empirisme dan rasionalisme menampilkan
prinsip kehalusan dan ketepatan sebutan yang digabungkan dengan keindahan kata-
kata serta jangkauan semantik yang cukup mendalam dan menarik. Oleh sebab itulah
antara kriteria yang mesti dipenuhi bagi menjadi seorang mujtahid, mufassir, atau
faqih termasuklah menguasai bahasa Arab. Penguasaan di sini bukan sekadar dapat
bertutur, menulis, dan membaca, memahami makna-makna semantik, kehalusan
retorik, struktur sintaksis dan struktur morfologinya, tetapi lebih jauh dari itu, dapat
menerapkan prinsip-prinsip dan ciri-ciri bahasa dan linguistik sebagai wahana dalam
mengemukakan dan mengupas pandangan, dalam mentafsir ayat atau hadis dan dalam
menentukan hukum. Kegagalan memenuhi kriteria ini akan menjejaskan maksud
sebenar yang terkandung dalam al-Quran dan hadis, dua sumber utama agama Islam.

Dengan ini, metodologi bahasa yang terkandung dalam al-Quran berfungsi


mencorakkan pola kemahiran, pandangan semesta, komunikasi serta tingkah laku
manusia. Al-Quran memaparkan sistem bahasa yang indah kerana naluri manusia
suka akan keindahan. Al-Quran mengetengahkan sistem bahasa yang tinggi
tipologinya untuk merangsang manusia berfikir dan bertindak sesuai dengan tahap
ketinggian ilmunya. Al-Quran turut menggunakan sistem bahasa yang tepat supaya
manusia sentiasa meletakkan kebenaran sebagai asas dalam menghisab
tanggungjawabnya sebagai hamba kepada Allah s.w.t. dan tanggungjawabnya sebagai
khalifah kepada diri sendiri, keluarga, dan orang lain. Dan yang paling penting al-
Quran mengungkapkan sistem bahasa yang berupaya menyatukan aqidah, syariat, dan
akhlak semua manusia meskipun berlainan bangsa, ras, budaya, dan jantina.

GAGASAN NILAI BAHASA

BAHAGIAN ini membincangkan kedudukan dan keupayaan bahasa yang


berorientasikan al-Quran, iaitu bahasa Arab. Namun begitu, bukanlah menjadi
matlamat makalah ini untuk menafikan keupayaan bahasa-bahasa lain terutamanya
yang banyak memainkan peranan dalam perkembangan Islam seperti bahasa Inggeris
atau bahasa Melayu di Nusantara. Subhi Salleh (1986: 362) linguis Arab sendiri
pernah menegaskan bahawa sekalipun bahasa Arab banyak memiliki keistimewaan
dari segi derivasi, paradigma, dan pengungkapan, tetapi tidak ada sebab untuk
membezakannya daripada bahasa-bahasa lain di sebalik sentimen agama atau
nasionalisme. Menurut beliau lagi, yang perlu dibezakan ialah metodologi yang
digunakan oleh bahasa-bahasa dalam perkembangan dan pengukuhannya (Subhi:
ibid.: 362).
Al-Quran telah menerapkan satu sistem nilai atau aksiologi bahasa yang tidak terdapat
dalam bahasa-bahasa lain. Sebelum al-Quran diturunkan, bahasa Arab Jahiliah adalah
bahasa yang lebih suci dan bebas daripada pengaruh estetik dan istilah metos,
metafizik, dan falsafah agama yang tentu mengelirukan berbanding dengan bahasa
Yunani-Romawi Kuno, bahasa Iran-Farsi Kuno, dan bahasa-bahasa yang digunakan
orang di Timur Tengah zaman itu (Syed Naquib ;op.cit.: 37) dalam rumpun
Semitiknya. Inilah salah satu sebab mengapa bahasa Arab dipilih sebagai bahasa al-
Quran. Pemilihan ini dijelaskan juga oleh Allah s.w.t. dalam ayat yang bermaksud:

"Dan jika Kami jadikan al-Quran itu suatu bacaan dalam bahasa selain bahasa Arab
tentulah mereka mengatakan: 'Mengapa tidak dijelaskan ayat-ayatnya?' Apakah (patut
al-Quran) dalam bahasa asing sedang (rasul adalah orang) Arab? Katakanlah: 'Al-
Quran itu adalah petunjuk dan penawar bagi orang-orang yang beriman'". (Surah
Fussilat: 44)

Selain itu, Allah s.w.t. turut menyebutkan perkataan "'Arab" sebagai kata keterangan
sifat bagi al-Quran dalam sepuluh ayat yang lain melalui dua paradigme yang berbeza
(Jabatan Leksikografi: 1990: 775).

Antara nilai bahasa yang dapat digarap menerusi al-Quran termasuklah:

1. Penggunaan bahasa dalam pengkajian ilmu-ilmu Allah s.w.t. (lihat surah al'Alaq: 3-
5) sebenarnya tidak terbatas keluasannya (lihat surah al-Kahfi: 109) termasuklah
dalam aspek kebahasaan dan linguistik itu sendiri sama ada makrolinguistik,
mikrolinguistik, terapan, ataupun bukan terapan.
2. Kekuatan bahasa bergantung pada kemampuan perbendaharaan kosa kata dalam
memperkatakan konsep ketuhanan, keduniaan, dan keakhiratan serta perkara-perkara
yang menyentuh persoalan metafizika.

3. Etika sosial perlu wujud bersama-sama bahasa sama ada yang melibatkan gender
usia, atau latar belakang yang berbeza. Dalam isu gender, al-Quran telah mengangkat
martabat wanita dengan mengisyaratkan bahawa kehidupan manusia memerlukan
interaksi antara lelaki dengan wanita di dunia dan di akhirat (Ibrahim Ibrahim:1988:
17).

4. Perkembangan dan pemantapan bahasa menuntut kadar penggunaan bahasa yang


tinggi di kalangan pengguna bahasa (penutur, penulis, pembaca, dan pengkaji bahasa).
Nilai ini bermula dengan budaya celik bahasa (lihat surah al-'Alaq:1).

5. Ketepatan bahasa dan struktur yang tidak berbelit-belit (ghair zu 'iwajin) adalah
faktor ketahanan dan keluasan penggunaannya sama ada dalam bentuk ayat yang
pendek, sederhana, atau panjang (lihat surah Al-Zumar: 2.

6. Kejelasan perkataan dan ayat dari segi ketepatan sebutan dalam pemindahan
maksud dari seorang pengguna bahasa kepada seorang pengguna bahasa yang lain
hasil penyatuan makna (fussilat ayatuhu) (lihat surah Fussilat: 3) sehingga mencapai
tahap stonda.

7. Keluasan sasaran (rahmatan lil 'alamin) (lihat surah al-Anbiya': 107). Nilai ini
adalah nilai sepanjang zaman kerana al-Quran diturunkan bukan sekadar memenuhi
keperluan masyarakat Arab Jahiliyyah di Semenanjung Arab pada era pra-Islam
semata-mata, tetapi menjangkaui batasan masa dan geografi dari satu generasi ke
generasi yang lain.

8. Bahasa Arab akan menjadi bahasa yang kekal terpelihara, sama ada terpelihara
dengan maksud tidak akan lenyap sehinggalah Hari Kiamat ataupun terpelihara dalam
erti kata tidak kehilangan identitinya (lihat surah al-Hijr: 9). Namun hal ini tidak
bermakna bahawa al-Quran menolak pragmatisme bahasa.

9. Ketinggian tahap infleksinya. Hakikat ini diakui oleh ahli bahasa bukan Arab
seperti Asmah Haji Omar (1991:56). Menurut beliau, bahasa Arab adalah bahasa yang
memiliki tahap infleksi yang tinggi kerana perubahan-perubahan dalaman yang
dialaminya berbanding dengan bahasa Melayu yang lebih mengutamakan unsur
pelekatan dan penambahan di awal dan di akhir perkataan.

10. Uslub, gaya bahasa, dan makna ayat (sintaksis dan semantik). Menurut Ibrahim al-
Samirra'iy (1983:173), al-Quran mencetuskan budaya keindahan uslub, susunan, dan
makna dalam bahasa kepada masyarakat Islam. Budaya ini telah meniup semangat
tokoh-tokoh seperti Abu 'Amru bin al-'Ala', Abu 'Ubaidah, Ibnu Qutaibah, al-Tabariy
dan lain-lain untuk menghasilkan tulisan mereka.

SUMBANGAN AL-QURAN TERHADAP BAHASA DUNIA

AL-QURAN mempunyai pengaruh dan kesan yang amat mendalam serta meluas
dalam semua bahasa tempatan yang menerima Islam. Kuatnya pengaruh tersebut
dapat dilihat dari segi jumlah perkataan pinjaman bahasa Arab yang terdapat dalam
sesuatu bahasa tempatan (Mustafa 1996: 60).

M.A.J. Beg (1979: xiv) membahagikan sumbangan al-Quran kepada dua kategori,
iaitu sumbangan umum dan sumbangan khusus. Sumbangan umum bermaksud
sumbangan perbendaharaan kata yang berasaskan al-Quran yang dipinjam dan
diterima pakai sebagai sebahagian daripada bahasa semua bangsa yang memeluk
Islam dari Indonesia sehinggalah Sahara Barat.

Terdapat sekian banyak kelompok bahasa dalam Asia, Afrika, dan Eropah yang
meminjam perkataan Arab dan kelompok ini diringkaskan seperti yang berikut:

Bahasa Asia ialah Parsi, Turki, Kurdis, Urdu, Hindi, Origa, Melayu, Tamil, Tibet, dan
lain-lain.
Bahasa Afrika ialah Swahili, Somali, Amhara, Berber, Hausa dan lain-lain.
Bahasa Eropah ialah Sepanyol, Portugis, Latin, Inggeris, Perancis, Itali dan lain-lain.

Dari segi sumbangan khusus, al-Quran atau bahasa Arab telah mempengaruhi
sekurang-kurangnya empat bahasa lingua franca dunia, iaitu bahasa Melayu, Urdu,
Swahili, dan Hausa. Bahasa Melayu dituturkan di seluruh Alam Melayu khususnya di
Malaysia dan di Indonesia, bahasa Urdu di Pakistan, di India dan di Bangladesh,
bahasa Swahili dituturkan di Nigeria, di Kenya, di Uganda, di Tanzania sementara
bahasa Hausa pula dituturkan di Niger, di Cameroon dan sebagainya.

Terdapat dua cara bagaimana pengaruh ini boleh berlaku, iaitu melalui proses
islamisasi dan perhubungan secara langsung dengan bangsa Arab (M.A.J. Beg:ibid.:
1). Yang lebih menarik ialah semua bahasa tersebut menggunakan abjad Arab dalam
tulisan. Ada juga bahasa yang menerapkan sistem nahu dan struktur sintaksis yang
sama dengan bahasa Arab.

RUMUSAN

TAMADUN yang dibangunkan oleh manusia memerlukan satu sistem bahasa yang
baik bukan hanya untuk berkomunikasi tetapi juga untuk mengungkapkan konsep dan
nilai keintelektualan, merancang kegiatan ekonomi mereka dan berbagai-bagai lagi
kegiatan dalam kehidupan. Keperluan bahasa semakin lama semakin meningkat dan
bertambah lebih-lebih lagi setelah berbagai-bagai kemajuan dan pencapaian
dihasilkan. Sebagai contoh, dalam beberapa tahun belakangan ini sahaja beberapa
cabang baru linguistik telah dikembangkan hasil daripada kombinasi dengan beberapa
disiplin seperti antropologikal linguistik, psikologuistik serta sosiolinguistik (Richard,
Platt dan Platt : op.cit.: 215).

Sejarah tamadun Islam membuktikan betapa penting dan besarnya fungsi bahasa.
Oleh hal yang demikian, bersesuaian dengan fungsinya yang penting dan besar ini,
konsep bahasa sebagai media dalam tamadun Islam sebenarnya dibentuk oleh suatu
sumber yang penuh kemukjizatan, iaitu al-Quran serta dipandu pula oleh nilai aqidah
dan akhlak.
Al-Quran sebagai sumber utama tamadun Islam telah menyediakan kerangka induk
sebuah sistem bahasa rabbani. Matlamat al-Quran ialah menjadikan bahasa sebagai
cara dan alat untuk manusia mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. dalam konteks
hubungan hablum minallah dan hablum minannas. Pemilihan bahasa Arab jelas
mencerminkan kekuatan yang dimilikinya dan sumbangan yang diberikan oleh al-
Quran melalui gagasan nilai mengangkat lagi martabat bahasa ini sebagai bahasa yang
memberi sumbangan paling besar terhadap perkembangan tamadun Islam.

Bibliografi

Abdul Rahman bin Muhammad bin Khaldun t.t.. Muqaddimat Ibn Khaldun. Beirut:
Dar al-Jil.
Anis Farihat 1973. Nazariyyat fi al-Lughat. Beirut: Dar al-Kitab al-Lubnaniy.

Asmah Haji Omar 1991. Aspek Bahasa dan Kajiannya. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Hamka 1983. Tafsir al-Azhar, Jusuk 13-17. Jakarta: Penerbit Pustaka Panjimas.

Hashim Hj. Musa 1994. Pengantar Falsafah Bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.

Ibrahim Ibrahim Barakat 1988. Al-Ta'nith fi al-Lughat al-'Arabiyyat. Al-Mansurat:


Dar al-Wafa' li al-Tiba'at wa al-Nasyr wa al-Tauzi'.

Ibrahim al-Samirra'iy 1983. Fiqh al-Lughat al-Muqaran. Beirut: Dar al-'Ilm li al-
Malayin.

Imil Badi' Yaaqub 1986. Fiqh al-Lughat al-'Arabiyyat wa Khasaisuha. Beirut: Dar
al-'Ilm li al-Malayin.

Jabatan Leksikografi dan Rekonstruksi Warisan, Institut Bahasa Arab, Republik Arab
Mesir 1990. Mu'jam Alfaz al-Quran al-Karim, Juzuk 2. Kaherah: Institut Bahasa
Arab.

M.A.J. Beg 1979. Arabic Loan-Words in Malay: A Comparative Study. Kuala


Lumpur: Universiti of Malaya Press.

Muhammad 'Ali al-Sabuniy 1988. Al-Tibyan fi 'Ulum al-Qur'an. Damsyik: Dar al-
Qalam.

Mustafa Hj. Daud 1996. Bahasa dalam Tamadun Islam. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Richards, J.C., Platt J. dan Platt H. 1992. Longman Dictionary of Language Teaching
and Applied Linguistics. Essex: Longman.

Subhi Salleh 1986. Dirasat fi Fiqh al-Lughat, cetakan kesebelas. Beirut: Dar al-'Ilm li
al-Malayin.
Syed Muhammad Naquib al-Attas 1972. Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan
Melayu. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

diipetik di URL al-Ahkam.net

Anda mungkin juga menyukai