Anda di halaman 1dari 8

TAZKIRAH RAMADHAN: DOA PALING UTAMA DI BULAN RAMADHAN

APAKAH DOA YANG PALING UTAMA DI BULAN RAMADAN DAN SIAPAKAH DIA
UWAIS AL-QARNI?

Oleh Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah sekalian. Kedatangan bulan Ramadhan walaupun
menjadi suatu kebiasaan kepada kebanyakan orang, tetapi sebenarnya ianya menjadi suatu mercu tanda
kepada orang-orang yang ingin mencapai kepada matlamat penghidupan yang sebenarnya iaitu seperti
yang disebutkan oleh Allah swt;

Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas
orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa (Al-Baqarah:183)

Khususnya dalam kontek kita berpuasa disebutkan sebagai “La‘al lakum tattaqun” maksudnya dengan
berpuasa kamu akan memperolehi darjat ketaqwaan kepada Allah swt. Menjadi suatu yang agak
lumrah kepada insan, biasa disebut, di hafal dan diingati kalimah ini “La‘al lakum tattaqun”, tetapi
pernahkah, sampaikah kita ke tahap “tattaqun” itu bila sampai Ramadan dan berakhir Ramadan?

Sampaikah kita kepada apa yang nabi sebut kepada isteri-isterinya dan kepada sahabat-sahabatnya iaitu
“Faya ‘ajaban liman adraka ramada na fala yughfarulah”, iaitu maksudnya “Alangkah hairannya
(ajaibnya) bagi orang yang telah sampai umurnya kepada menjelang Ramadan, apabila habis
Ramadan hairan kalau dia tidak mengambil kesempatan untuk Allah mengampunkan semua dosa-
dosanya”.

Tidak ada insan yang tidak berdosa melainkan nabi yang maksom. Kita lihat dizaman ini banyak
perkara yang terpaksa kita telan dan kita tempuh. Akibatnya kita terpaksa menerima kemurkaan-
kemurkaan Allah swt. kepada hamba-hambanya. Kita lihat dari bala bencana, musibah demi musibah,
kita lihat dari berbagai-bagai kejadian yang tidak menyenangkan menunjukkan bahawa adanya
kemurkaan Allah. Allah tidak akan murka melainkan kerana besarnya dosa manusia. Kerana itu datang
ramadan, memanglah boleh menghairankan orang yang sempat hidup sampai Ramadan, apabila habis
Ramadan dosa dia tidak terampun.

Sebab itu Siti Aisyah radiaAllahhu anha ingin sangat untuk bertemua peluang dengan malam Qadar
(Lailatul Qadar), dia bertanya kepada nabi “Bilakah berlaku malam Qadar?”. Nabi bertanya kepada
Aisyah semula “Apakah kamu nak buat bila kamu bertemu dengan malam Qadar?”. Aisyah menjawab
“Saya tak tahu” kemudian Aisyah bertanya lagi “Apakah yang patut saya buat bila bertemu dengan
malam Qadar itu?”. Nabi berkata kepada Aisyah “Malam itu malam yang amat baik untuk beramal
dimalamnya dan amat mudah dimakbul Allah doanya”. Aisyah bertanya lagi “Apakah doa yang paling
baik untuk aku berdoa pada malam itu?” Nabi jawab “ Kalau kamu sempat berjumpa dan mengetahui
malam itu ialah malam Qadar berdoalah

“Allah humma innaka ‘afuu ’un karimun tuhib bul ‘af wa fa’ fu ‘anni” (maknanya Ya Allah,
Engkaulah Tuhan yang sangat suka mengampun, ampunkanlah dosa-dosa ku).

Sebenarnya Nabi dah tahu yang Aisyah itu akan masuk syurga ertinya dosanya telah diampunkan oleh
Allah tetapi kenapa Nabi masih menyuruh Aisyah untuk memohon kepada Allah agar diampunkan
dosa?. Sedangkan Aisyah memang layak untuk tidak dimasukkan ke dalam neraka, hanya layak ke
syurga. Soal dosa dan pahala dia dah tak kisah sangat tapi nabi masih menyuruhnya berdoa supaya
Allah ampunkan dosa.
Saya nak kaitkan dengan satu kisah iaitu bila Allah bagi tahu kepada nabi Muhammad s.a.w. iaitu ada
insan yang akan lahir dikalangan Tabiin (“Tabiin” maknanya satu kumpulan insan yang tidak sempat
berjumpa dengan nabi tetapi hanya sempat berjumpa dengan sahabat nabi sahaja. Kalau orang yang
sempat berjumpa dengan nabi, itu dipanggil “Sahabat”. Kalau orang yang lahir kedunia ini setelah nabi
wafat tetapi sempat berjumpa dengan Sahabat ia dipanggil Tabiin).

Nabi berpesan kepada Umar dan Ali, “Akan lahir dikalangan Tabiin seorang insan yang doa dia sangat
makbul nama dia Uwais al-Qarni dan dia akan lahir dizaman kamu”.

Kita telah mengenali siapa dia Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali iaitu orang-orang yang telah
disenaraikan sebagai “al-Mubasyirun bil Jannah” iaitu mereka dah dijamin masuk syurga.

Nabi seterusnya berkata kepada Umar dan Ali, “Dizaman kamu nanti akan lahir seorang insan yang
doa dia sangat makbul. Kamu berdua pergilah cari dia. Dia akan datang dari arah Yaman, dia dbesarkan
di Yaman. Dia akan muncul dizaman kamu, carilah dia. Kalau berjumpa dengan dia mintak tolong dia
berdoa untuk kamu berdua.”

Sama juga macam kisah Siti Aisyah tadi, Umar dan Ali bertanya kepada nabi soalan yang sama iaitu
“Apakah yang patut saya mintak daripada Uwais al-Qarni, Ya Rasulullah? Nabi menjawab “Kamu
mintak kepadanya supaya dia berdoa kepada Allah agar Allah ampunkan dosa-dosa kalian”.

Banyak peristiwa sahabat yang berjumpa dengan nabi, mintak sesuatu yang baik kepada mereka, nabi
menjawab “Pohonlah al-Maghfirah daripada Allah swt.” Jadi topik al-Maghfirah (keampunan) ini
menjadi topik yang begitu dicari yang begitu relevan, hatta kepada orang yang telah disenaraikan
sebagai ahli syurga. Kalau logiknya ahli syurga macam dah tak perlu kepada ampun dosa kerana
mereka dah dijamin masuk syurga, tetapi tidak, nabi masih tekankan supaya mintak Allah ampunkan
dosa.

Siti Aisyah telah bertemu dengan malam Qadar, dia telah berdoa sepanjang malam sampai ke subuh
dengan doa yang nabi ajarkan iaitu “Allah humma innaka ‘afuu ’un karimun tuhib bul ‘af wa fa’ fu
‘anni” (maknanya Ya Allah, Kamulah Tuhan yang sangat suka mengampun, ampunkanlah dosa-dosa
saya).

Memang benarlah firasat seorang nabi, Uwais al-Qarni telah muncul di zaman Sayyidina Umar dan
Sayyidina Ali. Memang mereka tunggu dan cari kabilah-kabilah yang datang dari Yaman ke Madinah,
akhirnya bertemu mereka dengan Uwais al-Qarni.

Dengan pandangan mata luar, tidak mungkin dia orang yang nabi maksudkan. Kerana orang itu pada
pandangan insan-insan biasa atau orang-orang yang datang bersama dengannya bersama kabilah
menganggapkan dia seorang yang akal tidak sempurna (wire short), sesuatu yang macam tidak betul
pada pandangan orang. Tetapi dia ada sesuatu…..

Asal usul Uwais al-Qarni

Dia asalnya berpenyakit sopak, badannya putih, putih penyakit yang tidak digemari. Walaupun dia
sopak tetapi dia seorang yang soleh, terlalu mengambil berat tentang ibunya yang uzur dan lumpuh.
Dia telah begitu tekun untuk mendapatkan keredhaan ibunya. Bapa dia meninggal dunia ketika dia
masih kecil lagi. Dia sopak sejak dilahirkan dan ibunya menjaga dia sampai dia dewasa.

Satu hari ibunya memberitahu kepada Uwais bahawa dia ingin sangat untuk pergi mengerjakan haji.
Dia menyuruh Uwais supaya mengikhtiarkan dan mengusahakan agar dia dapat dibawa ke Mekah
untuk menunaikan haji.

Sebagai seorang yang miskin, Uwais tidak berdaya untuk mencari perbelanjaan untuk ibunya kerana
pada zaman itu kebanyakan orang untuk pergi haji dari Yaman ke Mekah mereka menyediakan
beberapa ekor unta yang dipasang diatasnya “Haudat”. Haudat ini seperti rumah kecil yang diletakkan
di atas unta untuk melindungi panas matahari dan hujan, selesa dan perbelanjaannya mahal. Uwais
tidak mampu untuk menyediakan yang demikian, unta pun dia tidak ada, nak sewa pun tidak mampu.

Ibu Uwais semakin uzur maka ibunya mendesak dan berkata kepada anaknya “Anakku mungkin ibu
dah tak lama lagi akan bersama dengan kamu, ikhtiarkanlah agar ibu dapat mengerjakan haji”.

Uwais mendapat suatu ilham, dia terfikir apa nak dibuat. Dia membeli seekor anak lembu yang baru
lahir dan dah habis menyusu. Dia membuat sebuah rumah kecil (pondok) di atas sebuah “Tilal” iaitu
sebuah tanah tinggi (Dia buat rumah untuk lembu itu di atas bukit).

Apa yang dia lakukan, pada petang hari dia dukung anak lembu untuk naik ke atas “Tilal”. Pagi
esoknya dia dukung lembu itu turun dari “Tilal” untuk diberi makan. Itulah yang dilakukannya setiap
hari. Ada ketikanya dia mendukung lembu itu mengelilingi bukit tempat dia beri lembu itu makan.

Perbuatan yang dilakukannya ini menyebabkan orang kata dia ini gila. Memang pelik, buatkan rumah
untuk lembu diatas bukit, kemudian setiap hari usung lembu, petang bawa naik, pagi bawa turun bukit.

Tetapi sebenarnya niatnya baik. Kalau lembu kita buat begitu pagi sekali petang sekali daripada lembu
yang beratnya 20kg, selepas enam bulan lembu itu sudah menjadi 100kg. Otot-otot (muscle) tangan
dan badan Uwais menjadi kuat hinggakan dengan mudah mengangkat lembu seberat 100kg turun dan
naik bukit.

Selepas lapan bulan dia buat demikian telah sampai musim haji, rupa-rupanya perbuatannya itu adalah
satu persediaan untuk dia membawa ibunya mengerjakan haji. Dia telah memangku ibunya dari Yaman
sampai ke Mekkah dengan kedua tangannya. Dibelakangnya dia meletakkan barang-barang keperluan
seperti air, roti dan sebagainya. Lembu yang beratnya 100kg boleh didukung dan dipangku inikan pula
ibunya yang berat sekitar 50kg. Dia membawa (mendukung dan memangku) ibunya dengan kedua
tangannya dari Yaman ke Mekah, mengerjakan Tawaf, Saie dan di Padang Arafah dengan senang
sahaja. Dan dia juga memangku ibunya dengan kedua tangannya pulang semula ke Yaman dari Mekah.

Setelah pulang semula ke rumah dia di Yaman, Ibu dia berkata kepada dia “ Uwais, apa yang kamu
berdoa sepanjang kamu berada di Mekah?”. Uwais menjawab “Saya berdoa minta supaya Allah
mengampunkan semua dosa-dosa ibu”. Ibunya bertanya lagi “Bagaiman pula dengan dosa kamu”.
Uwais menjawab “Dengan terampun dosa ibu, ibu akan masuk syurga, cukuplah ibu redha dengan saya
maka saya juga masuk syurga”.

Ibunya berkata lagi “Ibu nak supaya engkau berdoa agar Allah hilangkan sakit putih (sopak) kamu ini”.
Uwais kata “Saya keberkatan untuk berdoa kerana ini Allah yang jadikan. Kalau tidak redha dengan
kejadian Allah, macam saya tidak bersyukur dengan Allah ta’ala”. Ibunya menanbah “Kalau nak
masuk syurga, kena taat kepada perintah ibu, Ibu perintahkan engkau berdoa”.

Akhirnya Uwais tidak ada pilihan melainkan mengangkat tangan dan berdoa. Uwais berdoa seperti
yang ibu dia minta supaya Allah sembuhkan putih yang luar biasa (sopak) yang dihidapinya itu. Tetapi
kerana dia takut masih ada dosa pada dirinya dia berdoa “Tolonglah Ya Allah kerana ibu aku suruh aku
berdoa hilangkan yang putih pada badanku ini melainkan tinggalkan sedikit”

Allah swt. sembuhkan serta merta, hilang putih sopak diseluruh badannya kecuali tinggal satu tompok
sebesar duit syiling ditengkuknya. (Kalau bagi nabi, baginda ada Khatam Nubuwah iaitu tanda
kenabian, tanda pada nabi bersinar) Tanda tompok putih pada Uwais sebab dia mintak agar jangan
dibuang kesemuanya, kerana ini (sopak) adalah anugerah, maka nabi sebut kepada Umar dan Ali akan
tanda ini. Tandanya kamu nampak dibelakang dia ada satu bulatan putih, bulatan sopak. Kalau
berjumpa dengan tanda itu dialah Uwais al-Qarni.

Selepas tidak lama Uwais berdoa yang demikian, ibunya telah meninggal dunia. Dia telah menunaikan
kesemua permintaan ibunya. Selepas itu dia telah menjadi orang yang paling tinggi martabatnya disisi
Allah. Doa dia cukup makbul hatta penyakit sopak pun boleh sembuh. Mengikut al-Quran, Nabi Isa
Alaihisalam yang pernah berdoa untuk kesembuhan penyakit sopak dizamannya.

Berbalik kita kepada point asal, Sayidina Umar dan Sayidina Ali dapat berjumpa dengan Uwais ini
minta satu sahaja iaitu minta supaya doakan supaya Allah swt. mengampun semua dosa-dosa mereka.

Ketika Uwais al-Qarni berjumpa Umar dan Ali, dia berkata “Aku datang ini dari Yaman ke Madinah
kerana aku nak tunaikan wasiat nabi kepada kamu iaitu supaya kamu berdua berjumpa dengan aku.
Aku datang ini nak tunaikan wasiat itulah”. Maka Uwais pun telah mendoakan untuk mereka berdua.

Doa yang paling utama di malam Qadar


Seperti yang saya sebutkam dipermulaan tadi “Faya ‘ajaban liman adraka ramada na fala
yughfarulah”, Memang hairan orang yang dapat hidup sampai Ramadan ini, tetapi dosa dia tidak
diampun.

Kalau malam ini malam Qadar, fokus kita selalunya memanglah nak minta hal-hal keduniaan. Kalau
kita dapat rasakan dalam perasaan dalaman seorang insan kecil hamba Allah ini apa yang hendak kita
mintak di malam Qadar? Saya rasa orang tidak begitu berminat untuk minta supaya diampunkan segala
dosa, mereka akan minta yang lain pula, minta saham naik, perniagaan laris, dapat kahwin lagi dua,
kaya, mesti pilihan mereka kepada kesenangan-kesenangan dunia, sedangkan “Wallah yuridul
akhirah”. Allah dan RasulNya lebih mengutamakan penghidupan akhirat itulah yang paling mustahak
sekali.

Selama ini pun kita tidak tahu bahawasanya terampunkah dosa-dosa yang telah kita buat? walaupun
kita rasa macam dosa itu Allah telah ampunkan.

Ada peluang yang macam ini iaitu malam Qadar atau berpeluang berjumpa dengan orang-orang yang
konfirm macam tadi iaitu doa-doa mereka makbul seperti orang-orang yang soleh dan seumpamanya
doa yang paling utama dan besar diminta ialah minta supaya Allah mengampunkan semua dosa-dosa
kita.

Bukan kata orang lain sebagai contoh besar, hatta nabi yang dikatakan “Ghoforollah hu mat
taqadaman”, Allah ta’ala ampunkan dosa dia yang telah lalu (jika ada) dan juga ampun untuk yang
akan datang.

Tetapi kenapa nabi masih berdoa kepada Allah tiap-tiap hari tidak kurang dari seratus kali iaitu
“Astagh firruka humma waatubu ilaih”. Sehari seratus kali , sembahyang baginda, berdoa panjang-
panjang sampai dikataka juga (hadith Aisyah) sampai bengkak kaki nabi. Sampai Siti Aisyah berkata
kepada nabi, “Ya Rasulullah, kenapalah sampai kamu teruk-teruk beribadah hingga bengkak kaki,
sembahyang lama-lama, menangis lama-lama, tidakkah Allah telah ampunkan dosa kamu dahulu dan
kemudian?”. Nabi menjawab “Kalau demikian adanya mengapa aku tidak menjadi hamba yang
bersyukur”.

Syukur maknanya melakukan ibadah kepada Allah swt. Inilah yang saya katakan tadi, datanglah sistem
yang Islam kemukakan kepada ummah, seluruh aktiviti-aktiiti ibadah, penumpuan kepada persiapan-
persiapan yang dikatakan “Wa tazau wadu” kesemuanya ditujukan ke arah pembersihan diri, hati, akal
dan budi daripada yang dipanggil “al-khush” (yang tidak baik).

Al-Quran memberikan satu analogi iaitu Bumi kalau sudah cantik dan subur dia mudah menumbuhkan
pokok-pokok yang bermanfaat dan bagi bumi yang kotor (bagi maksud tidak sesuai ditanam
tumbuhan) seperti tempat berbatu dan berpasir, tanam apapun tak tumbuh, kalau tumbuh pun dia tak
jadi seperti tempat yang lain.

Maksudnya sama seperti insan, kalau yang disimpan dalam diri kita ini kotor (benda yang jijik) maka
tidak akan keluar melainkan yang kotor juga. Kalau dalam diri kita baik, dia akan menumbuhkan yang
baik, amal dia baik, kata-kata dia baik, akhlak dia baik, muammalah dia baik dan dia dikatakan orang
yang baik.

Allah itu baik, Dia tidak terima amalan melainkan amalan yang baik juga. Sebab itu dari awal Islam
datang dah ada sistem seperti contoh ayat-ayat al-Quran yang awal turun surah Al-Mudatsir, firman
Allah yang bermaksud “Wahai orang-orang yang sedang tidur, bangunlah kamu beri peringatan kepada
manusia (maknanya bergerak dalam satu wadah perjuangan, mengerakkan jiwa diri sendiri dan jiwa
insan) dan kepada Tuhanmulah kamu wajib membesarkanNya, jangan mengagungkan yang lain,
agungkan Allah swt. sahaja.

Caranya diberikan beberapa analogi seperti apa yang kamu pakai iaitu pakaian biasa, rumah tempat
tinggal, kereta yang dinaiki dan apa sahajalah mestilah yang bersih, kamu kena sucikan dia. Sebab ini
sangat kena dengan ayat yang nabi hayati. Diantara pakaian yang nabi suka pakai ialah pakaian putih
yang melambangkan suci dan bersih. Walaupun kadangkala nabi pakai warna merah dan hitam didalam
peperangan tetapi yang paling nabi sukai ialah warna putih.

Sebab itu kita lihat, pakaian haji putih, kain kafan putih (tak pernah nampak lagi kain kafan warna
hijau, kain kafan biru lagi tak pernah nampak). Ditempat saya masjid-masjid gunakan kain putih
sebagai alas tempat sujud. Serban umumnya putih. Serban nabi putih kadangkala ada yang hijau.

Apabila diluar memakai pakaian putih bersih maka didalam diri perlu buang segala kekotoran. Islam
mengajar agar diluar bersih sehingga kedalam diri juga bersih. Kalaulah inilah yang nabi buat dari pada
mula memanglah bulan Ramadan ini yang utama ialah untuk membersihkan diri.

Dengan puasa yang kita buat, malam kita bertarawih, berdoa secara bersistematik dari awal ramadan
sampai akhir ramadan iaitu doa;

“Allah humma innaka ‘afuu ’un karimun tuhib bul ‘af wa fa’ fu ‘anni” (maknanya Ya Allah,
Engkaulah Tuhan yang sangat suka mengampun, ampunkanlah dosa-dosa ku).

Kalau dibuat setiap malam dari awal ramadan sampai akhir ramadan pastilah kita jumpa dengan satu
malam yang mana malam ini ialah malam Qadar. Sebab dia pasti datang setiap tahun dibulan ramadan.
Kalau kena malam itu maka sampailah tujuan tadi kita dapat memohon daripada Allah swt. minta yang
paling berharga iaitu bermohon agar Allah mengampunkan semua dosa-dosa kita. Kalau bertemu
demikian kita sampailah kepada matlamat tadi iaitu “La’al lakum tat takun” dengannya kamu
bertaqwa, dengannya kamu sampai kepada matlamat yang dikatakan tadi.

“Ya ‘ajaban”, memang menghairankan orang yang sempat datang Ramadan kepadanya dia tidak
manfaatkan ramadan itu untuk Allah ampunkan semua dosa-dosanya.

Semua krisis-krisis dunia, semua masalah yang insan hadapi di dunia, yang kita hadapi hari ini dalam
semua masalah, pergaduhan, hutang yang banyak, akan berakhir bila orang itu mati. Kita berjanji
dengan orang, bertelagah, bergaduh, semua krisis-krisis dunia ini kepada seorang insan dia habis bila
dia mati.
Tetapi krisis dosa dengan Allah ta’ala khasnya krisis keimanan, krisis kerana kita menyimpan dosa
yang melibatkan iman dan sebagainya, didunia dia tidak menampakkan masalah tetapi sebenarnya ia
akan bermula apabila telah hampir nak mati, masuk kubur lagi masalah, alam barzakh lagi masalah,
sampai kepada alam mahsyar lagi bermasalah puncanya balik kepada dosa tadi.

Sebab itu nabi telah bagi satu garis panduan yang cukup senang kita faham. Kita tidak disuruh minta
dimalam Qadar supaya turun emas dari langit, minta agar dikasihani oleh semua orang, minta agar
dijadikan ketua selama-lamanya, untung berniaga, bukan itu yang patut diminta. Sebaliknya nabi bagi
contoh kalau ini dapat kamu capai walaupun dunia kamu susah sekejap tetapi kamu akan berakhir
krisis dunia ini bila kamu mati.

Jika kamu ada dosa ini mati bermula suatu penghidupan yang perit, malah dari sejak nak mati
sekalipun sudah bermula, sampai kepada peringkat orang-orang yang “Zalimi an fusu hum” orang-
orang yang menzalimi diri mereka dalam kehidupan ini kerana membiarkan dosa, banyak melakukan
dosa, tidak cuba untuk membuang dosa, bila nak mati akan datang malaikat kepada mereka dengan
pemukul untuk pukul muka, belakang hingga ke punggung mereka. Ia bermula daripada nyawa nak
keluar, tergantung-gantung diantara langit dan bumi, diantara barzakh dengan tidak barzakh, masuk
kubur terseksa.

Sebab itulah nabi nak lepaskan kita daripada seksaan ini semua, nak pastikan kepada isteri dia Siti
Aisyah pun berpesan “Kalau kamu dapat malam Qadar jangan minta yang lain selain daripada minta
supaya diampunkan Allah segala dosa”.

Ingatlah juga ketika nabi berpesan kepada orang yang dia sayangi iaitu Umar (bapa mertuanya) dan Ali
(menantunya) kalau kamu berjumpa dengan Uwais al-Qarni mintalah supaya Allah ampunkan segala
dosa kamu. Begitu juga nabi berpesan kepada sahabat-sahabat yang lain supaya bermohon supaya
Allah ampunkan segala dosa.

Penutup

Memang telah menjadi tradisi kita di Darussyifa’, kita bertemu sekali dalam bulan Ramadan bersama-
sama berbuka puasa, bersolat tarawih dan saya berpeluang untuk berucap mengajak diri saya dan
mengajak semua orang. Kita akan manfaatkan Ramadan ini dengan fokus kita supaya tidak ada lagi
dosa, kalau ada dosa diampunkan. Caranya kita jangan tambah dosa, yang ada selesaikan. Minta
ampun yang berbaki daripadanya.

Dan AlhamdulilLah jika kita diambil oleh Allah di bulan Ramadan lebih-lebih lagi jika kita mati di
Mekah di bulan Ramadan. Macam baru-baru ini orang Malaysia yang mati kemalangan jalanraya di
Mekah, kita cemburu kerana Allah pilih dia dan tidak pilih kita. Pilih mereka yang dalam musafir,
dalam keadaan buat Umrah, dalam bulan Ramadan pula, mati syahid dunia kerana mereka luka parah,
kemudian disembahyangkan pula di Masjidil Haram yamg setiap malam sembahyang itu jutaan
manusia yang mendoakan mereka masuk syurga. Jadi itu satu keberuntungan kerana Allah pilih
mereka. Kita pula menunggu giliran entah dimana..

Maka persediaan kepada kita, pada saya, pada saudara sekalian, kita ambil peluang Ramadan ini untuk
Allah ampunkan dosa kita semua. Supaya kita termasuk dikalangan hamba yang akan beruntung
khasnya selepas kita kembali kepada Allah swt.

Selamat berpuasa, selamat berhari raya, maaf zahir batin, terima kasih kepada yang menganjurkan
majlis malam ini Darussyifa’ dan kita mengharapkan kepada Allah swt. agar sentiasa menghimpunkan
kita sebagai orang-orang yang sentiasa berkasih sayang dan saling bermaaf-maafan menuju kepada
kerahmatan dan keberkatan Allah swt.

|||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
Tazkirah ramadan ini ditulis semula daripada rakaman tazkirah Ramadan oleh Tuan Guru Dato’ Dr.
Haron Din pada hari Khamis 12 Ramadan 1427H bersamaan 5 Oktober 2006.

Anda mungkin juga menyukai