Anda di halaman 1dari 2

>> BERITA > JENAYAH > 29,000 kertas siasatan jenayah komersial ‘terbengkalai’: KPN

29,000 kertas siasatan jenayah komersial


‘terbengkalai’: KPN
AHMAD ISMADI ISMAIL | | 6 November 2019

Sinar harian

KUALA LUMPUR – Sebanyak 29,000 kertas siasatan berhubung kes jenayah komersial masih belum
diselesaikan sejak 14 tahun lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, antara punca kertas siasatan ini
‘terbengkalai’ adalah pertukaran anggota dan pegawai yang kerap dalam pasukan Polis Diraja
Malaysia (PDRM).

“Pertukaran itu turut melibatkan pegawai penyiasat dan penolongnya, kita telah mengambil langkah
yang sepatutnya dalam menyelesaikan baki kertas siasatan itu,” katanya pada sidang media selepas
melancarkan Buku Manual Siasatan dan Buku Arahan Penyiasatan PJSJK di Maktab PDRM di sini hari
ini.

Menurutnya, Buku Manual Siasatan dan Buku Arahan Penyiasatan PJSJK dijangka banyak kes
berkaitan jenayah komersial dapat diselesaikan serta kertas siasatan kes komersial dapat
dilengkapkan dalam jangka masa yang singkat.

“Ini akan memberikan satu kepuasan dan keadilan kepada mereka yang menjadi mangsa kepada
jenayah komersial,” katanya.

Menurutnya, tiada lagi alasan pegawai polis di atas kelewatan serta kepincangan tindakan yang
diambil bagi melengkapkan siasatan.

“Mereka tidak boleh memberi alasan-alasan kerana mereka boleh merujuk buku tersebut bagi
membantu melengkapkan siasatan mereka,” katanya.

Abdul Hamid berkata, beliau amat menghargai inisiatif yang dijalankan oleh Bahagian Urus
Setia/Perundangan JSJK yang bertungkus-lumus menghasilkan Buku Arahan Penyiasatan Pengarah
Jabatan Siasatan Jenayah Komersial.

“Cetusan idea Pengarah JSJK ini adalah selaras dengan keperluan perkembangan semasa, khususnya
dalam aspek siasatan JSJK. Buku ini menghimpunkan semua arahan Pengarah JSJK berkaitan siasatan
dari 2006 sehingga kini.
“Saya berharap warga PDRM khususnya pegawai JSJK dapat menjadikan buku ini sebagai panduan
agar segala arahan dan prosedur kerja dapat dipatuhi,” katanya.

Beliau berkata, manakala Buku Manual Siasatan pula merupakan edisi ketiga dan terdapat
penambahbaikan daripada dua edisi terdahulu.

“Manual Siasatan edisi ketiga ini adalah lebih lengkap dan ia telah disusun atur dengan
menggunakan bahasa yang mudah difahami serta ringkas dilengkapkan dengan contoh dokumen
bagi memudahkan pegawai penyiasat JSJK mempraktikkannya secara berkesan,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Abdul Hamid memaklumkan beliau mendapati ada berlaku
penyelewengan membabitkan segelintir anggotanya ketika menyiasat kes komersial.

“Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Seri Zakaria Ahmad sedang meneliti
perkara ini, dalam masa terdekat ada tindakan terhadap mereka.

“Perkara ini masih dalam penelitian, sama ada ia berbentuk cuai, malas atau mempunyai agenda lain
untuk melindungi individu tertentu, maklum lah kes ini melibatkan orang kenamaan atau ahli
perniagaan, mungkin ada unsur penyelewengan sebegitu,” katanya.

Anda mungkin juga menyukai