Anda di halaman 1dari 3

COVID-19 dan Cabaran Mengurus Modal

Insan
Fakulti Sains Sosial Dan Kemanusiaan, Kata-kata Hikmah/Refleksi/Iktibar, Libatsama
Komuniti / By Khairull Azmi Ishak / Julai 5, 2020 / 5 minutes of reading

Oleh: Khairull Azmi Ishak

Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan

Universiti Teknologi Malaysia

Detik 18 Mac 2020 mencatat sejarah tatkala bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
di seluruh negara selaras dengan pengumuman yang dibuat oleh YAB Perdana Menteri, Tan
Sri Muhyiddin Yassin. PKP dilaksana bagi mengekang penularan wabak COVID-19 yang
melanda negara dan dunia. Kini, Malaysia sudah melalui tiga fasa PKP iaitu PKP peringkat
awal, PKP Bersyarat (PKPB) dan terkini, PKP Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Ogos 2020.
Pelaksanaan PKP ini memberi impak mendalam kepada semua pihak. Hampir tiada yang
terkecuali, daripada kepimpinan tertinggi negara hingga ke rakyat marhaen.

Dalam konteks pendidikan tinggi, penulis sebagai salah seorang pentadbir di sebuah
universiti awam turut melalui pengalaman berharga sepanjang PKP hingga PKPP dilaksana.
Norma baharu mengurus modal insan telah muncul akibat kewujudan pandemik COVID-19.
Ini bagi memastikan segala proses dan prosedur serta tindakan berkaitan tugasan melibatkan
semua pihak berkepentingan dapat berjalan dengan lancar dan berkesan. Pandemik ini benar-
benar menuntut tindakan luar kebiasaan dalam urusan pentadbiran dan ia sememangnya satu
cabaran besar buat para pentadbir.

Cabaran paling utama tentunya dengan ketiadaaan perjumpaan secara bersemuka dalam
proses perbincangan, perancangan, pembuatan keputusan, pemberian arahan kerja, dan
pemantauan kerja staf dalam semua peringkat pentadbiran. Ini amat jelas dalam tempoh PKP
di peringkat awal. Ketika itu, media komunikasi menjadi amat berguna seperti telefon pintar,
media sosial, dan medium digital seperti WebEx, Zoom dan Google Meet. Penggunaan
platform digital sebegini ternyata berbeza dengan kebiasaan sebelum ini yang bersifat tatapan
muka berdepan. Ilmu dan kemahiran tambahan diperlukan dalam menjalani norma baru
pengurusan modal insan terutama dalam penggunaan medium dalam talian.

Cabaran kedua pula bersangkutan dengan yang utama iaitu ketidakupayaan mencapai liputan
internet yang berkualiti kerana didorong oleh kekangan perkhidmatan internet di sesebuah
kawasan, terutamanya di kawasan perumahan. Sebahagian staf tidak mempunyai WIFI di
rumah dan banyak bergantung kepada “hotspot” yang sedia ada di telefon pintar masing-
masing. Sebilangan staf juga masih menggunakan telefon bimbit tradisional atas kekangan
kewangan untuk memiliki telefon pintar, yang menyebabkan mereka tidak mendapat capaian
internet untuk tujuan melaksanakan tugasan kerja harian.

Cabaran ketiga menjurus kepada ketidakmampuan sebilangan staf atau pekerja untuk
mempunyai komputer atau laptop persendirian. Selama ini mereka bergantung kepada
peralatan yang dibekalkan oleh majikan di pejabat-pejabat. Senario ini telah menyukarkan
urusan pekerjaan untuk menjadi lancar dan menjejaskan urusan pentadbiran. Keadaan ini juga
memberi kesan terhadap pekerja yang sebenarnya berprestasi cemerlang, namun tidak dapat
menunjukkan prestasi kerja yang baik gara-gara ketiadaan peranti digital untuk pelaksanaan
tugasan pejabat di rumah sewaktu PKP.

Cabaran keempat pula ialah keberadaan sebilangan staf di lokasi yang jauh dari tempat kerja,
bahkan di luar sempadan sesebuah negeri. Ini berlaku kerana sewaktu PKP bermula,
sebilangan staf sedang bercuti sempena cuti persekolahan anak-anak. Kelompok pekerja ini
telah pulang ke kampung halaman bersama keluarga. PKP yang bermula pada 18 Mac 2020
itu telah dilanjutkan kepada tempoh yang lebih panjang, melebihi tempoh asal iaitu dua
minggu. Hal ni mewujudnya cabaran besar buat para pekerja terbabit untuk melaksanakan
tugasan kerja mereka. Alhamdulillah, pengumuman kerajaan yang membenarkan perjalanan
rentas negeri dibuat bagi tujuan kerja dan pulang semula ke rumah masing-masing telah
melegakan keadaan dan memberi nafas baru kepada pentadbiran dan pengurusan modal
insan.

Bagi menghadapi cabaran-cabaran ini, pihak pengurusan atau pentadbiran yang


bertanggungjawab mengurus modal insan perlu menjadi lebih kreatif dan mencipta formula
baru dalam norma baru pengurusan dan pentadbiran. Kemampuan memahami situasi, berfikir
tahap tinggi atau di luar kebiasaan serta meraikan kepelbagaian adalah sesuatu yang dituntut. 
Tempoh yang sangat kritikal terutama semasa fasa awal PKP telah mengharuskan para
pengurus untuk mengurus modal insan mereka dengan sebaik mungkin agar moral dan
prestasi mereka tidak terganggu atau menurun dek cabaran atau kekangan yang mereka
hadapi sewaktu PKP.

Dengan pelbagai cabaran di atas, pelbagai strategi telah diketengahkan untuk terus
memastikan impak pandemik COVID-19 dan PKP dapat ditangani dengan baik. Pertama,
mengekalkan tahap konsistensi kerja para staf. Pengekalan fokus adalah penting
memandangkan staf bekerja dari rumah dan berada dalam persekitaran berbeza. Mengekalkan
fokus staf menjadi satu keutamaan, khususnya dengan sentiasa memperingatkan staf tentang
matlamat utama pekerjaan dan cara-cara mencapainya, menyediakan platform kepada staf
untuk merekodkan kemajuan tugasan mereka sebagai ukuran prestasi semasa, dan meminta
agar staf terus berhubung dengan penyelia bagi membolehkan segala maklumat penting
disalurkan kepada pihak berwajib.

Strategi kedua pula ialah memperkukuh nilai-nilai kebersamaan antara para staf atau pekerja.
Pada ketika PKP dilaksana, terdapatnya staf yang memerlukan sokongan moral dan motivasi
kerana inilah kali pertama negara berdepan bencana wabak yang besar. Banyak program
berunsur kerohanian telah dilaksanakan kerana ia dipercayai mampu untuk menjadi benteng
dalam diri dalam memastikan amanah pekerjaan dapat terus dilaksanakan sebaiknya.
Tazkirah dan ceramah dalam talian juga telah dibuat untuk berpesan-pesan secara berhikmah
kepada rakan-rakan sekerja.

Selain aktiviti kerohanian, program yang dinamakan “Santai dari Rumah” turut dijalankan
bagi membentuk kebersamaan para staf. Perkongsian ilmu daripada bahan bacaan dan hobi-
hobi staf yang bersifat produktif seperti bercucuk tanam telah dilakukan bagi membentuk
persekitaran bekerja dari rumah yang lebih bersifat bersahaja namun tetap berpegang kepada
prinsip bekerja secara konsisten.
Selain itu, pelbagai kelas bahasa telah dijalankan dalam talian dengan memanfaatkan
kelebihan sebilangan staf dari luar negara yang boleh bertutur dalam bahasa lain seperti
bahasa Jepun dan bahasa Korea. Kepelbagaian bahasa ini mencorakkan persekitaran yang
tampak lebih global dan menonjolkan citra institusi yang mendokong nilai-nilai
universalisme.

Strategi ketiga ialah memastikan staf atau pekerja terus menjiwai nilai-nilai utama yang
dipegang oleh majikan atau institusi. Program yang dinamakan “High Performance Delivery”
telah dijalankan. Program memberi fokus kepada nilai-nilai teras universiti, dalam kes ini
ialah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) iaitu integriti, sinergi, kelestarian, dan
kecemerlangan, serta termasuk nilai spiritual yang memperkukuh nilai-nilai lain. Pentadbir
atasan universiti telah dijemput menyampaikan siri kuliah ini bagi membolehkan para staf
menerima input langsung daripada pemimpin institusi.

Sebagai pentadbir kanan di sebuah fakulti dalam UTM, penulis mempunyai hemat bahawa
segala strategi dan program-program yang dijalankan dalam tempoh PKP, PKPB, dan
malahan PKPP ini menonjolkan satu unsur keprihatinan universiti kepada keadaan yang
kurang kondusif yang terpaksa dijalani oleh para staf dan pekerja disebabkan pandemik
COVID-19.

Penulis percaya bahawa segala usaha yang dijalankan ini telah menjadi penampan kepada
impak pandemik yang bukan sahaja membawa cabaran besar terhadap kesihatan, bahkan juga
norma pekerjaan di mana-mana tempat sekalipun. Dengan ini, impaknya dapat ditangani
dengan baik meskipun diperakui wujud ruang-ruang untuk terus diperbaikinya. Inilah satu
hikmah terhadap kewujudan wabak ini iaitu mendorong ramai pihak bertindak secara
bijaksana dalam mendepani cabaran yang tidak pernah terfikir akan berlaku. Ia satu sejarah
baru buat negara dan dunia.

Anda mungkin juga menyukai