Anda di halaman 1dari 2

SEMANGAT 1 MALAYSIA TERAS KEJAYAAN

OLEH: ANIS HUSNA BINTI ABU YAMIN (PPISMP BM1)

Sejambak kasih, seharum kasturi buat saudara peneraju agenda, kombinasi


kehakiman yang berlandaskan neraca keadilan, penjaga masa yang setia dengan detik
waktunya dan seterusnya warga dewan yang dekat di hati, tinggi pekerti. Sambutlah salam
daripada wirawati negara, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam 1
Malaysia berbungakan kemesraan. Arena hari Ini akan saya warnai dengan sebuah pidato
yang bertajuk “Semangat 1 Malaysia Teras Kejayaan”.

Sidang penonton yang penuh santun,

Sebelum lancang menuju ke muara, sebelum kata membelah bicara, sebelum isi
menyusur hujah, izinkan saya memberikan pendefinisian frasa yang membina tajuk pidato
saya agar hadirin terbuka minda. Semangat boleh ditakrifkan sebagai perasaan dan jiwa. 1
Malaysia pula dapat ditakrifkan sebagai rakyat yang berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa
Malaysia. Teras kejayaan pula bermaksud sesuatu yang menjadi asas agar berjaya untuk
kemenangan. Maka, dapat saya nyatakan bahawa aspirasi ini adalah bertujuan untuk mewujudkan
sebuah negara bangsa yang bersikap kekitaan dan kesamaan dalam kalangan rakyat.

Indikator saya yang pertama di bawah lembayung kata “Semangat Persaudaraan Membawa
Kejayaan Negara Tercinta”.Gagasan 1 Malaysia adalah lahir daripada semangat setiakawan.
Walaupun berbeza asal keturunan, kepercayaan agama dan akar budaya namun rakyat Malaysia
berpegang pada satu prinsip yang sama iaitu Rukun Negara. Kita berdiri, berfikir dan bertindak
sebagai rakyat Malaysia. Dalam hal ini, gagasan 1 Malaysia menuntut kita berfikir melepasi
sempadan kaum dan etnik masing-masing. Hubungan kaum dan etnik ini haruslah dikekalkan dalam
satu jang masa yang panjang. Kewujudan gagasan 1 Malaysia membentuk sikap menghormati, ikhlas
dan saling mempercayai antara satu sama lain. Buktinya, program Rancangan Integrasi Murid Untuk
Perpaduan (RIMUP) telah membuahkan hasil di mana pelajar Melayu, Cina dan India dapat duduk
semeja untuk belajar bersama-sama. Ini jelas menunjukkan bahawa tiada lagi jurang yang
memisahkan antara tiga kaum utama ini. Maka benarlah bahawa “Semangat Persaudaraan
Membawa Kejayaan Negara Tercinta”.

Warga dewan yang budiman,


Indikator saya yang seterusnya dengan gagasan bicara “Perpaduan Tunjang Keamanan
Negara”. Peristiwa berdarah pada 13 Mei 1969 wajar dijadikan iktibar. Formula yang dicipta oleh
Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Tan Siew Sin dann Tun Sambanthan adalah demi perpaduan
rakyat. Kini, gagasan 1 Malaysia disandarkan dalam memperkukuhkan perpaduan nasional antara
rakyat. Kita adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati dan dikongsi besama.
Pembangunan yang dapat kita lihat hari ini adalah limpahan perpaduan yang diteruskan dalam
gagasan 1 Malaysia. Lihatlah apa yang berlaku kepada negara-negara bergolak seperti Mesir, Syria
dan Libya. Kemusnahan demi kemusnahan berlaku, nyawa demi nyawa terkorban dek kerana tiada
keamanan yang dikecapi. Maka, jelaslah bahawa “Perpaduan Tunjang Keamanan Negara”.

Tuntasnya, semangat 1 Malaysia merupakan asas kejayaan negara kita. Jadi, saya menyeru
seluruh warga dewan agar berpegang teguh dengan gagasan 1 Malaysia agar negara kita terus
cemerlang, gemilang dan terbilang. “Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”. Salam permisi, ku
undur diri. Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai