Anda di halaman 1dari 1

Mengapa Kera Tidak Mempunyai Rumah?

Di dalam sebuah hutan, terdapat sebuah keluarga kera yang tidak mempunyai rumah.
Apabila waktu malam, mereka berteduh di atas pokok.
Pada suatu hari, hujan turun dengan lebat. Kera-kera itu menjadi kelam kabut.
Mereka berlompatan ke sana ke mari untuk mencari tempat berteduh. Anak dan isteri
kera bertanya tentang rumah. Bapa kera berjanji akan membina rumah apabila hujan
reda.
Setelah hujan berhenti, kera-kera itu pun berlompatan dengan riang sambil
mencari makanan. Rancangan untuk membuat rumah dilupakan begitu sahaja.
Apabila hujan turun, kera-kera itu akan mencari tempat berteduh semula. Maka,
pada suatu hari isteri kera tidak dapat bertahan lagi lalu dia mengadu kepada
suaminya.
“Hujan turun lagilah, abang. Kalau kita ada rumah, kita akan dapat berteduh,”
kata isteri kera.
“Mengapa ayah masih tidak membina rumah lagi?” tanya anak kera.
“Ah… nantilah. Apabila hujan reda, kita akan membina rumah,” jawab bapa kera.
Namun begitu, apabila hujan berhenti, sekali lagi rancangan itu dilupakan. Janji

tinggal janji. Segala-galanya tidak menjadi kenyataan. Mereka malah hanya asyik
bergembira.
Hingga sekarang, kera masih tidak mempunyai rumah.

Anda mungkin juga menyukai