Anda di halaman 1dari 5

1.

0 PENGENALAN

Dasawarsa ini, dalam dunia yang dilingkari dengan kemajuan sains dan teknologi yang
semakin pesat telah membawa banyak perubahan kepada ketamadunan manusia dalam
semua aspek. Jika kita lihat pada zaman dahulu, aspek pendidikan adalah sangat tidak
dititikberatkan jika dibandingkan dengan masa kini. Hal ini demikian kerana, sekiranya
seseorang manusia pada hari ini tanpa ilmu pengetahuan melalui pendidikan, maka manusia
tersebut tidak akan dapat menyumbang kepada pembangunan negara dan sesebuah negara
tersebut akan rugi dari aspek modal insan. Untuk melahirkan murid yang cemerlang pada hari
ini, tanggungjawabnya sememangnya terletak pada diri seseorang guru. Seseorang guru di
sekolah ibarat ibu dan bapa kepada murid-murid. Oleh itu, mereka perlulah menunjukkan
teladan yang baik ketika mengajar di dalam kelas untuk mewujudkan suasana kelas yang
mesra budaya.

Menurut Syed Ismail dan Ahmad Subki (2012), persekitaran pembelajaran yang mesra
budaya akan mengembangkan nilai sivik yang menjadi nadi bagi kehidupan masyarakat yang
harmonis dan aman di peringkat nasional dan global. Bagi negara kita yang terdiri daripada
masyarakat yang pelbagai bangsa dan agama, penerapan nilai-nilai sivik dalam diri setiap
individu adalah sangat penting untuk memelihara keamanan dan keharmonian negara kita.
Antara nilai-nilai sivik tersebut ialah seperti hormat-menghormati, kasih sayang, toleransi dan
sebagainya. Oleh itu, guru-guru di sekolah khususnya guru sekolah rendah perlu memastikan
elemen mesra budaya adalah disemai di dalam kelas semasa berlangsungnya sesi pengajaran
dan pembelajaran (PdP) untuk mewujudkan suasana yang kondusif dan positif dalam kalangan
murid-murid.

1
2.0 LANGKAH-LANGKAH YANG BOLEH DIAMBIL OLEH GURU DALAM PENGURUSAN
BILIK DARJAH YANG MESRA BUDAYA

2.1 PENGURUSAN PERSEKITARAN FIZIKAL

Pengurusan persekitaran fizikal bilik darjah merupakan salah satu aspek yang
sangat penting untuk mewujudkan suasana bilik darjah yang kondusif dan mesra
budaya untuk membantu perkembangan murid dalam pembelajaran. Oleh itu,
persekitaran fizikal bilik darjah seperti keluasan ruang dan susun atur perabut perlu sesuai
dengan kapasiti pelajar kerana bilangan pelajar yang melebihi kapasiti yang sepatutnya
sehingga boleh menyebabkan suasana dalam bilik darjah kurang selesa dan akhirnya
menimbulkan masalah disiplin seperti bergaduh, tidak memberi perhatian semasa guru
mengajar, mendatangkan kecederaan dan sebagainya (Mok dalam Hasfarina Abas, 2012).

Oleh hal yang demikian, seseorang guru harus mengawal kelas dengan bijak
dengan menyusunatur tempat duduk dengan mempelbagaikan murid yang terdiri
daripada pelbagai kaum supaya mereka boleh menerima dan bekerjasama antara satu
sama lain. Di samping itu, guru juga perlu memastikan suasana bilik darjah adalah ceria
dan bersih. Aspek keceriaan kelas adalah sangat penting kerana sesebuah kelas yang
ceria mampu meningkat semangat dan motivasi murid untuk belajar dan seterusnya
boleh meningkatkan prestasi murid (Haliza Hamzah & Joy Nesamalar Samuel, 2016). Antara
usaha yang boleh dilakukan oleh guru untuk menceriakan kelas ialah seperti menghias
bilik kelas, memastikan cahaya di dalam kelas adalah mencukupi, mengemaskini papan
kenyataan dan sebagainya.

2.2 PENGURUSAN SOSIO-EMOSI MURID

Selain daripada persekitaran fizikal, aspek sosio emosi murid juga sangat
penting untuk menjamin persekitaran sesebuah bilik darjah yang mesra budaya.
Menurut Noor Azima dalam Rizalina Mat Radzi (2014), perkembangan sosio emosi
kanak-kanak khususnya adalah keupayaan kanak-kanak untuk berinteraksi serta memberi
tindak balas emosi terhadap sesuatu situasi atau keadaan yang dapat dilihat melalui kelakuan
kanak- kanak. Sekiranya sosio emosi seseorang murid di dalam kelas adalah positif, maka

2
ianya secara tidak langsung akan menjadi perangsang untuk membangkitkan semangat murid
untuk melibatkan diri dalam aktiviti PdP.

Buktinya, menurut Woolfook dalam Syed Ismail dan Ahmad Subki (2012),
motivasi atau kuasa dalaman akan membangkit, mengarah dan mengawal minat dan
tingkah laku murid. Oleh itu, semasa melaksanakan aktiviti PdP, seseorang guru boleh
memberi galakan ataupun pujian kepada murid sekiranya murid menjawab dengan betul
latihan ataupun soalan yang diberikan. Hal ini secara tidak langsung boleh memberi semangat
dan motivasi kepada murid untuk terus aktif dalam aktiviti bilik darjah. Selain itu,
seseorang guru juga perlu mengelakkan dirinya mengeluarkan kata-kata yang negatif
seperti ‘kamu memang bodoh la…’, ‘pemalas betul kamu ni…’ dan sebagainya (Anita
et.al, 2015). Hal ini demikian kerana situasi sebegini akan memberi impak negatif terhadap
emosi murid-murid dan akhirnya mereka akan berkelakuan pasif pada kelas yang akan
datang.

2.3 PENGURUSAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Pengurusan pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah juga merupakan


salah satu aspek yang penting untuk menjamin suasana pembelajaran yang mesra
budaya. Guru perlu meneliti setiap aspek di dalam bilik darjah untuk memastikan
bahawa aktiviti PdP yang dijalankan boleh berjalan dengan lancar. Antara contoh aspek
yang perlu diberi perhatian oleh guru ialah seperti pengawalan disiplin murid, perancangan
kurikulum, iklim bilik darjah yang memberangsangkan dan sebagainya. Sekiranya aspek-
aspek yang telah dinyatakan tersebut tidak di diambil berat oleh guru, maka ianya akan
menjejaskan proses PdP di dalam bilik darjah.

Sebagai contoh, sekiranya seseorang guru tidak mengawal disiplin murid dengan
baik di dalam bilik darjah, maka ianya akan menghasilkan gangguan kepada murid-
murid lain dan akhirnya objektif pengajaran guru tidak akan tercapai. Dalam pengurusan
pengajaran dan pembelajaran juga, seseorang guru perlu adil dan saksama ketika
menjalankan aktiviti PdP. Seseorang guru tidak boleh mengamalkan sikap pilih kasih
dan mendiskriminasikan murid-murid yang bukan sama agama, kaum dan sebagainya
(Haliza Hamzah & Joy Nesamalar Samuel, 2016). Sekiranya hal ini berlaku, maka ianya
akan menyebabkan murid-murid benci kepada guru tersebut dan tidak akan melibatkan diri
dalam PdP dengan aktif.

3
2.4 PENGUATKUASAAN PERATURAN DI DALAM BILIK DARJAH

Peraturan di dalam bilik darjah merupakan suatu aspek yang sangat penting
untuk memastikan tingkah laku murid-murid di dalam kelas senantiasa terkawal. Menurut
Mohd Hasani dan Mohamad Johdi (2009), peraturan bilik darjah merupakan satu garis
panduan yang disediakan oleh guru bersesuaian dengan kelompok pelajar dalam sesuatu
bilik darjah dengan harapan mampu mengubah tingkah laku pelajar ke arah yang positif.
Prosedur menetapkan peraturan di bilik darjah sangat penting sebagai garis panduan
kepada tingkah laku murid di bilik darjah yang diharapkan oleh seseorang guru.

Oleh itu, seseorang guru perlulah menetapkan peraturan di bilik darjah dan
peraturan tersebut perlulah dipersetujui bersama oleh murid-murid sebagai satu kontrak
yang dapat mengawal tingkah laku mereka. Antara contoh peraturan yang perlu
diwujudkan ialah seperti peraturan mengenai apa yang perlu dilakukan oleh murid ketika
guru mengambil kedatangan murid, prosedur menjawab pertanyaan guru dan juga
peraturan khusus apabila aktiviti kumpulan dijalankan (Thanaletchumy, n.d). Sekiranya
peraturan-peraturan seperti itu diwujudkan di dalam bilik darjah, maka suasana bilik
darjah yang mesra budaya mampu diwujudkan dan murid akan menjadi lebih aktif
untuk mengikuti PdP.

3.0 PANDANGAN TERHADAP ISU YANG DIBINCANGKAN

Isu berkaitan pengurusan bilik darjah yang mesra budaya sememangnya merupakan
suatu isu yang perlu dititikberatkan oleh guru-guru di sekolah. Pengurusan bilik darjah yang
mesra budaya adalah suatu yang wajib supaya boleh mewujudkan suasana pembelajaran yang
harmoni. Tanpa pengurusan bilik darjah yang mesra budaya maka ianya secara tidak langsung
akan menyebabkan pelbagai masalah disiplin berlaku sehingga boleh mendatangkan
kecederaaan kepada murid-murid di dalam sesuatu bilik darjah. Buktinya, menurut laporan
Utusan Malaysia (2016), seorang murid perempuan Sekolah Kebangsaan Jasin, Melaka cedera
dihempap dinding kelas dan menyebabkan murid tersebut terpaksa dibawa ke hospital untuk
mendapat rawatan. Hal ini bermakna, dari aspek pengurusan persekitaran fizikal sekolah
tersebut adalah tidak diurus dengan baik. Hal ini secara tidak langsung meninggalkan kesan
trauma kepada murid tersebut dan murid-murid lain juga akan berasa takut untuk belajar di
dalam kelas.

4
4.0 KESIMPULAN

Kesimpulannya, sebagai seorang guru kita perlu memahami keadaan dan cara yang
terbaik untuk mewujudkan iklim yang boleh memupuk semangat murid untuk melibatkan diri
secara aktif dalam aktiviti PdP. Kita sebagai guru bukan sahaja berperanan sebagai pendidik,
malah kita juga berperanan sebagai pemudahcara, pembimbing dan perancang untuk
memastikan anak didik kita mampu mencapai kecemerlangan secara holistik dalam semua
bidang. Suasana bilik darjah yang mesra budaya sememangnya merupakan suatu medium
yang terbaik yang perlu disediakan kepada murid-murid agar mereka boleh memaksimumkan
penglibatan semasa PdP. Oleh itu, guru-guru perlulah proaktif untuk memastikan konsep bilik
darjah mesra budaya boleh dicapai dan seterusnya mampu melahirkan modal insan minda
kelas pertama.

Anda mungkin juga menyukai