Anda di halaman 1dari 6

RAMBAI

Oleh: Muhammad Farouk Aznan Bin Zolkarnain


PISMP C6
1.0 SINOPSIS

Zubir merupakan anak yatim piatu. Ayahnya mesra dipanggil Pak Harun dan ibunya Mak
Siti. Dia berumur 12 tahun. Sejak pemergian ibu dan bapanya, dia terpaksa hidup berdikari.
Pada waktu pagi, dia akan pergi ke sekolah seperti biasa. Pada sebelah petang pula, dia
akan membantu Pak Salleh berniaga di pasar malam untuk menampung perbelanjaan
sekolahnya. Zubir mempunyai pokok rambai yang pernah ditanam di hujung kampung
bersama ibu bapanya suatu masa dahulu. Setiap hari Zubir akan pergi ke sana untuk
bertemu Rambai. Walaupun tempat itu jauh dari rumahnya, namun di situlah tempat Zubir
menumpang kasih. Dia selalu bermain, berbual dan meluahkan kerinduan pada ibu bapanya
hingga kadang kala dia tertidur di bawah pokok rambai itu. Rambai sudah dianggap seperti
kawan baiknya. Namun, Zubir sudah tidak datang lagi untuk bermain bersama Rambai.
Rambai tetap menunggu kehadiran Zubir sehingga akhirnya Zubir datang ke sana semula.
Rambai sungguh gembira. Kegembiraan itu tidak lama kerana pada hari seterusnya, Zubir
tidak datang lagi. Rambai tahu Zubir akan datang untuk bermain dengannya, jadi Rambai
tetap menunggu Zubir. Firasatnya tepat kerana petang itu Zubir datang, namun tidak untuk
keesokan harinya. Rambai berasa sungguh sedih, namun Rambai tahu Zubir sayang
padanya dan pasti akan datang lagi untuk bermain dengannya. Setelah seminggu, Zubir
datang semula ke hujung kampung. Kali ini, Zubir membawa khabar sedih kepada Rambai.
Rambai akur dengan keputusan Zubir. Rambai sempat bertanya satu soalan yang
mengejutkan Zubir. Zubir menangis semahunya sambil memeluk Rambai. Apakah yang
berlaku kepada Zubir sehingga dia tidak datang untuk berjumpa Rambai? Siapakah Rambai
sebenarnya? Soalan apa yang ditanya oleh Rambai kepada Zubir? Mengapa Zubir
menangis?

1
RAMBAI
Oleh: Muhammad Farouk Aznan Bin Zolkarnain

Pagi itu seperti pagi-pagi yang lalu. Sejuk. Udara juga sangat nyaman. Pokok-pokok sekitar
dengan daun hijaunya masih basah hingga ada yang tunduk malu kerana sedikit berat oleh
kebasahan embun. Banyak pokok berdaun lebat dan tinggi turut tumbuh di hujung kampung
bersama-sama Rambai namun jaraknya agak jauh, menyebabkan Rambai kesunyian.
Rambai masih menanti senyuman yang saban hari dirinduinya. “Manalah Zubir ni? Janjinya
mahu melawat aku sebelum ke sekolah,” detik hatinya.

Zubir memecut seperti Usain Bolt kerana dia sudah lewat untuk ke sekolah. Lopak
air dan selut diredah begitu sahaja hingga kasut buruknya bertukar warna. Pagi tadi, dia
bangun lewat. Selesai sahaja menunaikan solat Subuh, dia terus mencapai baju sekolahnya
yang sudah dua hari tidak dibasuh. Mandi? Mestilah tidak! “Aduh, busuknya baju aku! Tidak
apalah Zubir, kau kena ukur baju di badan sendiri,” bisiknya. Zubir hanya mempunyai dua
pasang baju sekolah sahaja, itu pun yang dijahit oleh arwah ibunya. Dia sempat mencapai
sehelai baju yang dipakainya malam tadi lalu disumbat ke dalam beg. Baju itu akan dipakai
untuk membantu Pak Salleh berniaga di pasar petang ini.

Kringgg! Bunyi loceng menandakan waktu persekolahan telah tamat. Seperti biasa,
Zubir merupakan murid pertama yang meninggalkan kawasan sekolah. Dia berlari menuju
ke hujung kampung. Hatinya melonjak kegembiraan. “Tak sabarnya mahu berjumpa dengan
Rambai. Rindu!” Dari jauh, Rambai ternampak sosok tubuh yang amat dikenali dan
dirinduinya. Rambai melambai-lambai daunnya sebagai tanda meraikan kedatangan Zubir
ke situ.

“Rambai! Aku datang ni! Rindunya aku pada kau. Maaf, aku tidak dapat datang pagi
tadi kerana aku bangun lambat,” Zubir mengadu kepada Rambai.

“Tidak apalah, Zubir. Jom, kita main!” ajak si Rambai.

“Tapi, aku tidak boleh lama ya? Aku perlu menolong Pak Salleh berniaga di pasar
untuk bayar kelas tambahan di sekolah,” ujar Zubir sambil mengenyitkan matanya pada
Rambai seolah-olah dia sedang memujuk Rambai untuk memberi keizinan kepadanya.

“Baiklah. Kau sudah makan?” tanya Rambai. Zubir menggeleng.

“Makanlah buah aku dahulu sebagai alas perut. Nanti di pasar, baru kau makan
makanan yang mengenyangkan.”

2
“Baik Rambai. Terima kasih!”

Hari esoknya, Rambai menunggu kehadiran Zubir seperti biasa. Namun Zubir tidak
muncul.

“Mesti dia bangun lambat lagi,” ujarnya sambil tersenyum sendirian.

Tiba-tiba, Rambai teringat akan kenangan mereka. Rambai mengenali Zubir sejak
Zubir masih kanak-kanak lagi. Rambai ditanam oleh Zubir dan kedua-dua ibu bapanya.
Keluarga Zubir tidaklah kaya dengan harta benda, tetapi mereka kaya dengan budi bahasa,
sopan santun dan kasih sayang.

Rambai sempat berkenalan dengan Pak Harun dan Mak Siti sebelum mereka
meninggal dunia semasa Zubir berusia 11 tahun. Sejak itu, hubungan mereka bagai isi
dengan kuku. Rambailah yang selalu mendengar luahan Zubir yang rindu pada ibu bapanya.
Rambai juga selalu menemani Zubir bermain supaya dia lupa akan kesedihannya. Rambai
bangga dengan Zubir kerana dia berusaha dengan gigih untuk menyara kehidupannya pada
usia yang sangat muda. Oleh sebab itu, Rambai amat menyayangi Zubir dan begitulah
sebaliknya. Pada Zubir, Rambailah keluarga dan sahabatnya.

Rambai tersedar daripada lamunannya. Hari sudah petang dan masih tiada kelibat
Zubir di situ. “Mungkin Zubir terus ke pasar untuk menolong Pak Salleh,” desis hatinya. Hari
itu berlalu tanpa gelak tawa Zubir bermain bersama Rambai.

Telah dua hari Zubir tidak datang bermain dengan Rambai. Rambai menjadi buntu
dan risau. “Adakah Zubir sakit? Tapi hari itu, dia baik-baik sahaja.” Tiba-tiba, Rambai
ternampak Zubir dari celah-celah pokok yang ada di situ. Rambai sungguh gembira dan
teruja.

“Zubir, mengapa sudah lama tidak datang bermain? Setiap hari aku menunggu kau,”
Rambai meluahkan isi hatinya dengan nada yang sedih.

“Maaflah Rambai. Selepas ini aku tidak boleh datang bermain lagi. Pak Salleh jatuh
sakit dan tidak bekerja di pasar lagi. Aku terpaksa mencari pekerjaan lain untuk membayar
duit buku latihan UPSR,” ujar Zubir. Rambai terdiam. Rupa-rupanya inilah sebab Zubir tidak
datang berhari-hari. Akhirnya, Rambai bersuara.

“Zubir, kau petiklah buahku ini. Kemudian, kau jual di pasar. Duit hasil jualan itu kau
gunalah untuk menampung perbelanjaan persekolahan dan belanja seharian. Ini sahajalah
yang mampu aku bantu,” luah Rambai. Zubir menitiskan air matanya.

3
“Terima kasih, Rambai. Aku tidak akan lupakan jasa baik kau,” ujarnya sambil
memeluk ‘tubuh’ Rambai. Selesai memetik buah rambai, Zubir beransur pulang kerana hari
sudah hampir senja.

Hujan turun dengan lebat. Alam semula jadi seolah-olah memahami perasaan
Rambai ketika itu. Sudah empat hari Zubir tidak datang untuk bermain dengannya, namun
seperti biasa dia tetap menunggu Zubir. Sihatkah budak itu? Adakah dia ditimpa masalah
lagi? Persoalan demi persoalan muncul di minda Rambai.

“Rambai, aku datang ni.” Rambai sungguh terkejut mendengar suara yang amat
dikenalinya itu. Kali ini, Zubir muncul entah dari mana sehinggakan kehadirannya tidak
disedari oleh Rambai yang sedang bingung memikirkan keadaannya.

“Kau ke mana? Kenapa sudah lama kau tidak datang untuk bermain?” tanya
Rambai.

“Aku sudah tidak dapat datang bermain lagi. Rumah aku sudah uzur. Banyak yang
perlu dibaiki. Bolehkah kau menolong aku?” Zubir mengadu dengan nada suara yang sedih.

“Maafkan aku. Aku tidak mempunyai rumah untuk diberikan tetapi kau boleh
memotong dahan-dahanku yang besar ini untuk kau membaiki kerosakan rumah kau itu,”
cadang Rambai.

“Terima kasih, Rambai. Nanti aku datang lagi untuk bermain. Aku perlu segera
membaiki rumah aku.” Zubir cepat-cepat memotong kesemua dahan pokok rambai. Dia
sedih kerana tidak dapat bermain dengan Rambai, tetapi rumahnya perlu dibaiki segera!
Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan!

Hari berganti hari. Sudah seminggu Rambai tidak bermain dengan Zubir. Rambai
tetap menunggu Zubir datang setiap hari. Masih terbayang wajah ceria Zubir yang seronok
bermain. Rambai sangat rindukan Zubir.

Tiba-tiba…

“Rambai. Kau sihat?” tanya Zubir. Tidak ada senyuman pada wajahnya. Dia
memegang sebuah beg pakaian yang sudah buruk.

“Aku sihat. Kau tidak ke sekolah?”

“Tidak. Aku sudah berhenti sekolah.” Rambai sangat terkejut mendengar jawapan
Zubir.

4
“Mengapa? Kau tidak ada wang untuk ke sekolah? Atau rumah kau rosak lagi?
Tetapi, aku sudah tidak ada buah atau dahan untuk diberikan kepada kau lagi,” ujar Rambai
kesedihan.

“Aku akan ikut Pak Salleh berpindah ke bandar. Pak Salleh akan menjagaku dan dia
mahu membiayai perbelanjaan sekolah aku di sana.” Zubir tidak memandang Rambai. Zubir
hanya tunduk untuk menyembunyikan kesedihannya.

“Bila kau akan bertolak ke sana?” tanya Rambai.

“Sekejap lagi. Pak Salleh sedang mencari sampannya yang hanyut di sungai.”

“Kau suruhlah Pak Salleh potong batang pokok aku ini untuk dijadikan sampan.
Anggaplah ini hadiah terakhir aku kepada kau,” ujar Rambai dengan penuh pasrah.

“Terima kasih, Rambai. Kau telah banyak menolong aku.”

Setelah Pak Salleh selesai membina sampan, dia mengucapkan terima kasih kepada
Rambai yang sudi membantu mereka. Sebelum bertolak ke bandar, Zubir berjumpa dengan
Rambai kerana Rambai mahu memberitahunya perkara yang penting.

“Zubir, adakah kau sudah tidak perlukan aku lagi? Aku pun sudah tidak ada apa-apa
yang boleh diberikan kepada kau. Aku hanya ada tunggul dengan akar yang hampir mati ini
sahaja.”

Zubir terdiam kerana terkejut dengan soalan itu. Air matanya sudah mula mengalir di
pipi. Dia sangat sayang dan mahu bermain lagi dengan Rambai, namun dia perlu ikut Pak
Salleh berpindah demi masa depannya.

“Zubir, sebenarnya ibu dan bapa kau ada berjumpa aku sebelum mereka pergi
meninggalkan kita buat selamanya. Mereka meminta aku untuk menjaga kau apabila
mereka sudah tiada. Sebab itulah aku selalu bermain bersama kau, supaya kau lupa akan
kesedihan dan keperitan yang terpaksa kau lalui pada usia yang sangat muda. Namun,
sejak kau tidak datang lagi untuk bermain bersama aku, aku tahu kau sudah semakin
dewasa. Kau gigih berusaha untuk mencari wang sehingga sanggup tidak datang bermain.
Kau tabah membaiki rumah yang rosak hingga tidak mempunyai masa untuk bermain. Kau
juga bijak membuat keputusan untuk meneruskan pelajaran di bandar, walaupun kau tahu,
kau tidak akan dapat lagi bermain dengan aku. Tugas aku sudah selesai. Pergilah, Zubir.
Aku akan sentiasa mendoakan kau.”

Zubir tidak dapat menahan sedih. Dia segera memeluk Rambai dan menangis dalam
dakapan Rambai.

5
“Aku akan belajar dengan bersungguh-sungguh. Kau jangan lupakan aku ya. Ikan di
laut asam di darat, di dalam kuali bertemu jua.” Zubir mengesat air matanya tetapi
tangannya masih erat memeluk Rambai.

“Pak Harun, Mak Siti, tugas saya sudah selesai,” desas Rambai sambil tersenyum.

Anda mungkin juga menyukai